Saturday, May 31, 2014

JEJAKA IDAMAN MALAYA - BAB 1


      SUASANA deretan gerai makan yang terletak di tengah-tengah antara bangunan pencakar langit seperti biasa sibuk bila tiba waktu makan tengahari. Kebanyakan pelanggan adalah mereka yang berkerja di kawasan berhampiran. Bersesak ketika memilih makanan sudah menjadi kebiasaan.

“Memang selalu makan sini?” Jejaka berkemeja biru cair lengan panjang menegur gadis bertudung hijau di depannya.

“Huh?” Si gadis yang ralit membalikkan lauk ayam mendongak. Mata dikecilkan seolah-olah berfikir.

“Sorang aje ke?” Si jejaka bertanya lagi walau soalan yang pertama tidak berjawab. Manalah tahu soalan pertama tadi tidak didengari si gadis.

“Cakap dengan saya?” Si gadis menuding jari ke arah dirinya sendiri sebaik senduk di tangan diletakkan kembali. Ayam yang telah dipilih sempat dialihkan ke tepi.

“Taklah cakap dengan orang belakang tu.” Si jejaka tertawa kecil. Lucu bila si gadis nampak macam blur.

Si gadis menoleh ke belakang. Kemudian menepuk dahinya sendiri. Mana ada orang dekat belakang sebab dia sendiri berdiri berdekatan dengan dinding gerai.

“Tadi tanya apa? Saya datang sorang eh?” Si gadis tersenyum senget.

Si jejaka mengangguk.

“Takkanlah tak nampak saya datang dengan siapa.”

Mata si jejaka dah meliar. Mencari kawan si gadis yang selalu dia nampak bersama-sama dengan gadis ini. Susah pula dia nak cam dalam keadaan ramai manusia di sekeliling mereka.

“Saya datang dengan semua orang dekat sini. Datang nak makan bukan nak mengurat.” Elok memberi jawapan sinis, si gadis terus berlalu pergi.

Si jejaka tersenyum. Memang sudah diagak itu jawapan yang akan dia terima. Hampir sebulan dia memerhati gerak-geri si gadis. Dia seperti sudah memahami peragai si gadis. Si gadis sahaja yang tidak tahu akan kewujudan dia. Kurang kacak gamaknya dia ni.

“Hisyam!”

Si jejaka yang perasan namanya dipanggil menoleh. Seorang lelaki yang duduk di meja menghadap jalanraya melambai kepadanya. Dia melambai kembali. Setelah membayar harga makanan, dia menapak ke meja yang telah diduduki lelaki yang melambai tadi.

“Lama betul kau ambil makanan?” tanya lelaki merangkap kawan si jejaka.

“Banyak sangat pilihan, Mail. Rambang mata aku.” Si jejaka tersengih. Gelas yang berisi air sirap dicapai. Disisip sedikit dan diletakkan kembali.

“Yalah tu, Syam. Apa yang aku nampak, mata kau melekat kat tempat lain. Kau mengurat budak tu kan?” Mail memuncungkan bibirnya.

Sepantas kilat si jejaka yang dipanggil Syam menoleh. Dia tersenyum bila melihat si gadis seolah-olah sedang mencari tempat duduk kosong.

“Pucuk dicita ulam mendatang.” Hisyam tersengih memandang Mail. Lengan baju dilipat hingga ke paras siku sebelum memulakan sesi makan-makan.

“Aku macam pernah nampak budak ni tapi dekat mana eh.” Mail termenung.

Hisyam hanya tersenyum. Membiarkan temannya berfikir sendiri. Lafaz bismillah diungkapkan. Tangan kanan mula menyuap nasi ke dalam mulut.

“Bang, boleh kami duduk sini?” sapa satu suara. Jari menunjukkan kerusi kosong di sebelah Hisyam dan Mail.

“Errr…duduklah.” Tergagap-gagap Mail menyahut. Terperanjat. Baru sahaja dia memikirkan tentang gadis ini. Boleh pula si gadis datang kepadanya. Sempat dia mengerling Hisyam. Lebar betul senyuman temannya itu.

Si gadis terus duduk. Kawannya pula mengambil tempat di sebelah Mail.

“Tak apa ke saya dengan kawan saya duduk sini? Takutlah nanti ada yang marah.” Ramah sekali bicara si gadis. Berbeza betul ketika ditegur Hisyam sebentar tadi.

“Tak ada yang marahlah. Kami pun datang sini nak makan bukannya nak mengurat,” balas Hisyam selamba. Senyuman manis dihadiahkan pada si gadis.

Mail yang tidak tahu apa-apa hanya memandang Hisyam dan si gadis tadi bersilih-ganti.

Si gadis dah terkebil-kebil. Malu sendiri. Umpama menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri.

Kawan si gadis yang juga tidak tahu apa-apa hanya tersenyum.

You better start eating now. The clock is ticking.” Hisyam cuba mengingatkan si gadis. Tangan yang sudah terdedah ditunjukkan pada si gadis.

Si gadis terus menjamah makanannya bila melihat waktu yang ditunjukkan pada jam tangan Hisyam.

Masing-masing asyik menjamu selera. Sesekali ada juga terdengar suara orang berbual. Namun si gadis hanya berbual dengan temannya. Hisyam dan Mail lebih suka mendiamkan diri. Tiada sepatah perkataan pun yang keluar. Mereka mengejar masa. Kalau berbual kosong mahu terlajak nanti.

Selesai makan, Mail meminta diri terlebih dulu. Dia ada temu janji yang perlu dihadiri.

Selepas itu, si gadis dan temannya turut beredar meninggalkan Hisyam terkulat-kulat sendirian.

Hisyam hanya memerhati. Langkah si gadis diamati penuh asyik. Cara apakah lagi yang perlu dia lakukan untuk mendekati si gadis agaknya. Akalnya cuba merencana sesuatu. Sudahnya dia hanya tersenyum.

Usai menghabiskan minumannya, Hisyam turut pergi dari situ. Langkah dihayun menuju ke lif sebaik masuk ke dalam bangunan dua puluh lima tingkat. Ada sekumpulan pekerja yang turut menanti di depan pintu lif. Maklumlah waktu makan tengahari hampir tamat.

"Nineteen, please." Suruh Hisyam dekat dengan telinga si gadis.

Si gadis menekan nombor sembilan belas. Kelihatan dahinya berkerut. Si gadis menoleh ke belakang.

Hisyam angkat tangan. Dia cuba untuk tidak berdiri terlalu rapat dengan si gadis walau keadaan sedikit sesak. Takut dicap cuba mengambil kesempatan. Mulut si gadis boleh tahan bisanya.

"You're following me." Suara si gadis sedikit menekan walau dalam nada berbisik. Badannya dirapatkan sedikit dengan Hisyam yang kelihatan tenang berdiri di belakang.

"Jangan nak perasan." Hisyam berbisik semula.

"Kita satu lif ni. Masih nak menafikan." Si gadis menjeling dengan ekor mata.

"Bukan you sorang aje yang kerja dalam bangunan ni." Suara Hisyam masih tenang.

Tiba di tingkat sepuluh, orang ramai mula berasak keluar. Pintu tertutup. Yang tinggal hanya Hisyam dan si gadis.

Si gadis menjarakkan kedudukan mereka. Berdiri bertentangan dengan Hisyam. Matanya menyorot tajam memandang Hisyam.

Hisyam berlagak seolah-olah tiada apa yang berlaku. Berdiri mengiring dengan sisi badan disandarkan pada dinding lif. Sebelah tangan dimasukkan ke dalam kocek dan sebelah lagi bebas di luar. Sangat santai.

Loceng berbunyi. Jari Hisyam menekan butang buka.

"You missed your level. By the way, nice meeting you." Hisyam tersenyum dan melangkah keluar.

Sebaik pintu lif tertutup, si gadis menghantukkan kepalanya. Seolah-olah melepaskan geram. Telefon bimbit di genggaman berbunyi.

“Aqeela!” Terdengar suara jeritan di hujung talian bila si gadis menjawab panggilan telefon.

“Kau kenapa tak turun sekali tadi? Buat apa pergi level atas?” Si pemanggil bertanya.

“Lupa. Aku dah turun bawah semulalah ni.” Talian dimatikan.

Hati menjerit geram. Semua ni salah lelaki tu. Siapa suruh terlebih kacak sampai jantung dia rasa nak tercabut. Mata ni pun satu. Terlebih merenung makhluk ciptaan Allah itu dah kenapa. Gatal. Ini kalau emak tahu mahu dikejarnya dia satu kampung. Aqeela berdecit.

Kaki melangkah laju menuju ke mejanya. Hari ini dalam sejarah betul. Boleh pula lupa dia berkerja di aras mana.

“Aqeela! Masuk bilik sekejap,” panggil seseorang.

“Miss Chan ni memang tak boleh tengok aku senang,” bebel Aqeela. Namun kaki diheret juga masuk ke bilik ketuanya.

Aqeela melangkah lemah keluar dari bilik Miss Chan. Ditangannya ada tiga buah fail. Dia mengeluh. Kerjanya tak pernah berkurang. Sentiasa ada. Tak boleh nak goyang kaki langsung. Kena jadi menantu bos syarikat ini agaknya barulah boleh bersenang-lenang.

Dari kejauhan, Aqeela ternampak kelibat Encik Razif, Pengurus Sumber manusia. Apa sahajalah Encik Razif buat dekat sini. Ahhh…lantak dialah.

Hisyam tenang saat kaki menjejaki tingkat sepuluh. Sempat dia memerhati sekeliling. Namun kelibat yang dicari tidak kelihatan.

"Aras sini bahagian kewangan, Encik Hisyam." Encik Razif berjalan mendahului Hisyam.

Hisyam mengangguk. Dia membontoti Encik Razif menuju ke setiap kubikel. Jenuh dia tersenyum dan memperkenalkan diri kepada setiap orang. Paling merimaskan adalah pandangan setiap pekerja wanita di bahagian itu. Tenung dia macam nak telan.

"Cik Aqeela Hajna. Penolong Akauntan." Encik Razif berdiri tegak di depan kubikel yang terletak agak terkebelakang sedikit berbanding yang lain. Matanya memberi isyarat supaya gadis yang sedang duduk itu berdiri.

Ini dia orang yang dicari-cari. Lama-lama berdiri dekat sini pun dia tidak kisah. Hisyam tersenyum. Kepala ditundukkan sedikit tanda hormat. Mata merenung tepat ke dalam anak mata Aqeela.

"Ini Encik Awad Hisyam. Orang baru bahagian sumber manusia," beritahu Encik Razif tanpa dipinta bila dilihat Hisyam hanya tersenyum.

Aqeela hanya melemparkan senyuman kelat. Rasa malu tengahari tadi masih bersisa. Sebumbung rupanya, bisik Aqeela dalam hati.

"Encik Hisyam! Encik Hisyam!" panggil Encik Razif yang sudah berdiri di depan pintu bilik Akauntan. Tidak jauh dari meja Aqeela.

"Jumpa lagi esok." Hisyam kenyit mata. Langkah kemas diatur menghampiri Encik Razif.

"Buang tebiat agaknya." Aqeela hanya memerhati sehingga kelibat Hisyam dan Encik Razif hilang.



MASING-MASING bertafakur. Surah Al-fatihah dibaca penuh khusyuk. Kemangkatan Almarhum Sultan Perak sedikit sebanyak turut dirasai mereka walau bukan dari negeri yang sama.

"Amin. Nasib ada seat kosong." Hisyam selamba menarik kerusi di sebelah Aqeela.

Terkejut Aqeela usai meraup muka bila ditegur suara garau lelaki yang seboleh mungkin dielak untuk berjumpa. Boleh pula dalam banyak-banyak kerusi, kerusi sebelah dia saja yang tiada orang duduk.

"Tak ada orang kan?" Hisyam memandang Aqeela disebelahnya.

Aqeela menggeleng. Takkanlah nak cakap ada orang punya. Sedangkan hakikatnya rakan sekerja yang lain sudah memenuhkan tempat duduk kosong di hadapan mereka.

Mesyuarat kakitangan sudah bermula. Semuanya diam mendengar ucapan tuan pengerusi.

"You memang suka duduk belakang?" Hisyam masih memandang Aqeela. Geram sebab Aqeela langsung tidak mengeluarkan suara sedari tadi.

Aqeela menoleh sekilas. Malasnya nak berbual. Kenapalah lelaki ini terlebih peramah.

"Tekak sakit ke? Semalam elok aje you berbual." Hisyam tersengih walau Aqeela menghadiahkan satu jelingan tajam.

"Encik Awad Hisyam ada apa-apa soalan ke?" Tiba-tiba Dato' Azman memanggil nama Hisyam. Semua yang ada dalam bilik mesyuarat memandang kepadanya.

"Huh?! Tak ada." Hisyam menggeleng laju. Tangan mengurut perlahan tengkuknya. Aqeela di sebelah dipandang. Malu.

Aqeela mengulum senyum. Padan muka.

"You, kalau nak ketawa, ketawa ajelah." Hisyam mencebik.

"Dato' Azman memang tak suka staff berbual masa dia bercakap. Bear in your mind." Aqeela tersengih. Terserlah lesung pipit di pipi kanannya.

Hisyam terpaku. Biarlah Aqeela nak menyindir. Biarlah Aqeela mahu keluarkan kata-kata sinis. Itu semua tak penting. Yang penting Aqeela bersuara. Sudi berbual dengannya. Itu satu petanda yang baik.

Aqeela serba tidak kena bila Hisyam macam patung cendana. Memandangnya tanpa kerlipan.

“Encik Hisyam, Dato’ panggil you,” seloroh Aqeela. Saja mahu mengusik. Nak tahu tahap keprihatinan Hisyam pada sesi mesyuarat ini.

“Huh?! Ya, Dato’.” Hisyam terus bangun. Takut dia termalu lagi seperti tadi.

Sunyi. Semua mata tertumpu kepada Hisyam.

Anything, Encik Awad Hisyam?” Dato’ Azman angkat kening.

“Errr…nothing.” Hisyam duduk semula. Jelingan maut diberikan kepada Aqeela yang dilihat seperti mempunyai dua tanduk di kepala. Dua kali terkena dalam masa tak sampai lima minit.

Aqeela menekup mulut. Takut tawanya kedengaran pada yang lain. Itulah siapa suruh si dia ni pandang aku. Kan dah terkena.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.