Sunday, June 15, 2014

JEJAKA IDAMAN MALAYA - BAB 8


PAGI itu Aqeela bangun dengan semangat yang baru. Malam tadi puas dia mendengar tazkirah percuma dari Mak Cik Hendon. Walaupun perit apa yang dikatakan oleh emaknya namun semuanya betul. Kenapa dia masih hendak memilih sedangkan yang terbaik sudah ada di depan mata? Jodoh itu rahsia Allah. Begitu juga ajal seseorang. Mengapa dia hamba yang hina masih berdolak dalih dengan apa yang telah didatangkan kepadanya?

Malam tadi juga Aqeela tunaikan solat istiharah. Berharap Allah akan tunjukkan sesuatu kepada dia. Mungkin bukan dalam masa terdekat ini. Namun usaha, tawakal dan ikhtiar itu penting. Takkan selamanya dia hendak membiarkan hatinya beku.

Untuk hari ini, dia hanya mengenakan baju kurung moden bercorak abstrak warna kelabu putih dan dipadankan dengan selendang warna kelabu. Ringkas tapi cantik. Tidak perlu hendak bergaya lebih sebab memang itulah dia.

Jam pada tangan dipandang. Sudah tujuh dua puluh lima. Yang ditunggu tidak sampai-sampai. Aqeela resah. Duduknya di bangku yang terdapat di halaman rumah sewanya serba tidak kena.

Mata segera menoleh ke luar pagar bila mendengar bunyi tayar yang bergeser kuat di atas jalanraya. Aqeela melangkah keluar pagar.

"Sorry, heavy traffic. Lupa dah mula sekolah." Senyuman manis diukir sambil Hisyam membukakan pintu sebelah penumpang.

"It's better late than not." Aqeela terus masuk ke dalam.

"Phewww..." Pintu ditutup. Hisyam berlari anak ke sebelah pemandu.

"Boleh singgah dekat warung tepi simpang tu? I nak tapau." Aqeela memandang penuh harap.

"Nanti kita breakfast samalah." Hisyam cuba memberi cadangan.

"Bukan you ada meeting ke pagi ni? Mesyuarat Pengurusan?" Aqeela menjongketkan kening.

"Allah! Tengok betapa tuanya I. Lambat sangat kahwin macam inilah jadinya. Semua tak ingat." Hisyam tersengih. Pedal minyak ditekan. Kereta dipandu perlahan keluar dari kawasan rumah sewa Aqeela.

"Alasan." Aqeela memandang ke luar. Terbit juga senyuman pada bibirnya.

Hisyam berhenti di bahu jalan. Permintaan Aqeela dilayan. Sempat juga dia minta dibelikan makanan untuk dirinya. Dia hanya memerhati dari dalam kereta. Setiap gerak geri Aqeela memang mencuit hatinya. Gadis ini mudah betul mesra. Nampak gayanya semua orang suka padanya.

“Letak dekat tempat duduk belakang. Takkan you nak riba. Panas lagi tu kan.” Hisyam mengarah. Signal kanan diberi sebelum Honda CR-Z meluncur laju membelah kesesakan lalulintas.

Aqeela menurut sahaja. Tidak mahu kecoh-kecoh. Bukan dapat piala pun nak bertelagah benda yang remeh.

Lebih kurang lima belas minit perjalanan mereka sampai juga di hadapan Wisma Azman. Bangunan yang menempatkan pejabat Aqeela dan Hisyam.

"You turun sini. Senang sikit." Hisyam berhenti betul-betul di hadapan pintu masuk bangunan.

"Tak apalah. I nak tengok kereta. Dah berapa hari tak gerak. Takut tak boleh start." Aqeela cuba membantah.

"Give me your car's key. I'll do it for you. Nanti sebelum meeting I singgah tempat you." Hisyam hulurkan tangan. Senyuman herot tersungging di bibirnya.

Mahu atau tidak Aqeela serahkan juga kunci keretanya. Malas nak bertekak. Tangan sudah pada pemegang pintu. Dia menoleh bila Hisyam sempat menitipkan pesanan.

"I nak milo panas. Promise I tak sembur macam hari tu." Hisyam kenyit mata.

Aqeela geleng kepala. Lelaki ini memanglah. Ada saja alasan dia. Dia melangkah keluar. Dia berdiri sehingga kereta Hisyam berlalu sebelum melangkah masuk ke dalam bangunan.

"Aqeela," panggil seseorang dari sebelah kanan Aqeela.

“Anidah.” Aqeela menjawab lemah sebaik terpandang gadis yang memanggilnya.

“Boleh jumpa kau sekejap?” Gadis yang dipanggil Anidah merapati Aqeela.

“Untuk apa? Aku kena masuk pejabat sekarang.” Aqeela pura-pura memandang jam tangannya. Kalau boleh mengelak dia akan cuba mengelak.

Please? Lima minit?” Anidah berkeras.

“Ada apa?” Aqeela memandang Anidah.

“Farid.” Si gadis menuturkan satu nama.

Aqeela mengeluh.

“Dia dah berubah.” Anidah meluahkan rasa kecewa.

“Itu hal kau orang berdua. Kenapa mesti beritahu aku?” Sungguh Aqeela tidak mahu masuk campur hal orang lain.

“Dia dah tak macam dulu, Qeela.” Nada suara Anidah kedengaran sayu.

“Aku tak tahu nak kata apa. Itu hal kau dan dia. Aku gembira dengan kehidupan aku sekarang.” Aqeela pamer wajah serius.

"Aqeela." Hisyam mendekati Aqeela. Muka Aqeela yang nampak tegang memaksa dia datang rapat.

Aqeela menoleh. Terperanjat. Sangkanya Hisyam sudah naik ke atas.

"Ada hal apa ni?" Hisyam memandang penuh sangsi figura yang berdiri di hadapan gadisnya.

"Errr...tak ada apa-apa." Aqeela kaget. Tak tahu nak beralasan apa lagi.

"You have five minutes. Kalau tak punch card you merah." Hisyam sengaja memandang jam tangannya.

“Aku kena masuk pejabat sekarang.” Aqeela ingin segera beredar dari situ.

“Boleh tak kita berbual lagi nanti? Lunch?” Anidah memujuk.

Aqeela pandang muka Hisyam. Seolah-olah meminta pendapat lelaki itu walau lelaki itu tidak tahu apa-apa. Permintaan Anidah seperti meletakkan batu di atas kepalanya.

Hisyam hanya jongket bahu. Dia tidak tahu pucuk pangkal cerita dua orang gadis di depannya ini.

Please…” Anidah merayu.

“Pukul satu. Kedai mamak depan ni.” Aqeela terus melangkah masuk.

Anidah mengangguk laju. Lega bila permintaannya dilayan. Dia beredar.

Hisyam mengejar Aqeela. Ikut hati dia mahu bertanya. Tapi riak pada wajah Aqeela menuntut mulut dia untuk diam. Ini bukan masa yang terbaik.

“I keluar dulu.” Itu sahaja yang dituturkan Aqeela sebaik sampai di aras sepuluh.

Hisyam hanya mampu mengangguk. Dia memandang sehingga pintu lif tertutup.

Aqeela segera menuju ke meja kerjanya. Apa yang terjadi di bawah tadi memang tidak pernah dia sangka. Beg tangan disimpan di dalam laci. Kakinya laju dihayun ke pantri.

Plastik yang berisi nasi lemak diletakkan di atas meja bulat kecil. Aqeela menuju ke kabinet. Dua muk diambil. Satu diletakkan Nescafe 3 in 1. Satu lagi diletakkan Milo. Kedua-duanya dibawa ke dispenser.

Aqeela termenung sambil tangan mengocak air dalam muk. Fikirannya menerawang. Kedatangan Anidah sedikit sebanyak mengganggu permulaan hari berkerjanya.

“Ehem…” Terdengar dehaman seseorang.

Aqeela masih leka. Langsung tidak menyedari ada seseorang di belakangnya.

“Tumpah nanti. Air segera tak perlu kacau lama-lama.” Hisyam menarik lembut tangan Aqeela. Risau bila melihat titisan air yang tumpah disekeliling muk.

“You! Dah lama ke you datang?” Aqeela serba salah. Dia segera ke meja.

“Lama tak lamalah. Tapi dapatlah juga tengok orang tu tenung dinding macam boleh nampak seluruh Bandar JB ni.” Hisyam mengusik. Dua muk yang siap dibancuh Aqeela diambil.

Aqeela hanya tersengih. Cuba menyembunyikan keresahan di hati. Nak kata apa lagi. Terang-terang Hisyam nampak apa yang dia buat.

“Makanlah. Nanti sejuk.” Hisyam menyuakan pinggan yang telah diletakkan nasi lemak daun pisang.

“Huh? Aah…” Aqeela kalut membuka bungkusan nasi lemak tersebut. Sehingga ada sedikit yang berterabur di atas meja.

“You…” Hisyam menegur lembut.

Aqeela angkat wajah. Kening dijongket.

Is there something wrong?” Hisyam bersandar. Mata memandang tepat pada wajah Aqeela.

“Tak ada apa-apalah.” Aqeela mengutip kembali nasi yang berterabur. Nasib baik sikit saja yang tumpah. Sayang juga sebab nasi lemak daun pisang ini memang sedap.

Hisyam menadah tangan. Doa makan dibaca. Mata masih menatap si cantik manis di hadapannya ini.

“Laaa…kenapa tak makan lagi? You ada meeting sekejap lagi kan?” Aqeela besarkan mata. Rimas bila lelaki ini ralit merenung dia.

“Siapa perempuan tadi?” Akhirnya Hisyam bertanya juga. Tidak mahu berteka-teki sendiri. Air milo panas disisip sedikit.

“Anidah. Bekas teman serumah.” Aqeela menyuap perlahan sesudu nasi lemak ke dalam mulut.

“Oh! Tapi kenapa you macam tak ngam aje?” Hisyam bertanya sambil perlahan-lahan mengunyah makanannya.

“Ya ke? Is it too obvious?” Aqeela ketap bibir. Dari dulu sehingga sekarang dia memang sukar menyembunyikan ekspresi wajahnya.

“Pandangan I. Nampak macam ada yang tak kena aje antara you dengan dia.” Hisyam cuba serkap jarang.

“Entahlah. Dia dah lama keluar dari rumah tu. Tak tahu kenapa dan I malas nak tanya. Tup-tup sekarang nak jumpa I. Nak cerita masalah dia.” Aqeela kuis nasi lemak di depannya.

“Baguslah. Sekurang-kurangnya dia ingat you. Her housemate.” Hisyam tersenyum.

Ex-housemate. I sebenarnya tak mahu tahu apa-apa lagi pasal dia.” Keras nada suara yang keluar dari mulut Aqeela. Ikut hati dia malas nak beritahu apa-apa kepada Hisyam. Belum masanya untuk dia berkongsi masalah dengan lelaki ini.

Why?” Hisyam bersandar semula. Suka bila Aqeela mahu berkongsi rasa hati dengan dia.

“Tak ada apa-apalah. Macam yang you cakap dia ingat I tapi I harap ini kali terakhir I jumpa dia.” Aqeela masih memandang nasi di atas pinngan.

I can be your shoulder if you need me. Dah, makanlah.” Hisyam angguk kepala bila Aqeela memandangnya.

Perlahan-lahan Aqeela menyudu nasi lemak masuk ke dalam mulut. Your shoulder…entahlah. Biar masa yang menentukan.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

16 comments:

  1. Anidah nie rampas boipren qeela erk...

    ReplyDelete
  2. anidah ni kawan makan kawan la tu…..

    ReplyDelete
  3. Cian aqeela... kawan makan kawan rupanya..
    syeena hamdan t.q

    ReplyDelete
    Replies
    1. tu r kannn....dlm dunia realiti mmg wujud org mcm ni kannnn....

      Delete
  4. Morning my dear Syeena

    Hari ni no spanish word :)

    hurm dah muncul "punca" kena Qeela menjadi "Ice"... not badd

    rupanya ada gunting dlm lipatan ekkk... ok good job my dear Syeena

    Likeeeee

    love u
    kak ita

    ReplyDelete
  5. Padan ka qeela x layan hisyam masa mula2 dulu.. ada org wat hal ghupanya... isk isk isk

    ReplyDelete
  6. sweet ny hisyam..
    hisyam.. kita nak pinjam bahu awak boleh??
    hahahahah

    ReplyDelete