Saturday, August 30, 2014

JEJAKA IDAMAN MALAYA - EPILOG


AQEELA tekun melakukan kerjanya. Hisyam yang duduk di depannya langsung tidak dihiraukan. Walaupun renungan Hisyam sedikit mengganggu tumpuannya tetapi dicekalkan hatinya agar kuat menghadapi godaan itu. Gangguan Hisyam yang kadang-kadang sengaja menarik fail-fail yang ingin diambilnya dibalas dengan membulatkan mata sebesar yang boleh.

“Qeelaaa…tak kesiankan abang ke?” Terdengar Hisyam mula merengek.

“Eee…nak kesiankan apanya?” Mata masih merenung skrin komputer. Aqeela malas nak memandang anak Dato’ Azman yang sudah duduk di depannya lebih satu jam.

“Abang lapar.” Hisyam merendahkan tona suaranya. Berharap Aqeela simpati kepadanya.

“Tadi dekat rumah siapa suruh tak sarapan?” Aqeela mendengus.

Tidak faham kenapa Hisyam sudah pandai merengek-rengek sekarang ni. Sebulan lebih usia perkahwinan mereka, Hisyam mula tunjuk perangainya yang pelbagai warna. Nakal, kuat mengusik, manja, selalu minta perhatian sampai dia pun dah naik lemas.

“Tinggalkanlah sekejap kerja tu.” Hisyam bersandar. Memerhati Aqeela yang langsung tidak memberi perhatian kepadanya.

“Tak bolehlah. Miss Chan nak guna untuk buat report.” Aqeela menoleh Hisyam sekilas. Hati tercuit juga melihat wajah cemberut Hisyam. Lapar sangat ke?

“Aiyooo…Encik Hisyam. Kalau you asyik kacau Aqeela. Bila masa kerja dia nak siap?” Miss Chan yang ingin ke pantri singgah sebentar di meja Aqeela.

“You bagi dia kerja banyak sangatlah, Miss Chan. Tengok dia dah tak mahu layan husband dia yang hensem ni.” Hisyam melirik manja pada Aqeela yang sedang menahan geram.

“Mana ada banyak, Encik Hisyam. Hari-hari you kacau dia. Kerja satu hari boleh siap sudah jadi tiga hari. Kalau Dato’ Azman tanya I cakap you puncanya.” Miss Chan tersenyum.

“Okey, okey. I janji. Hari ni last I kacau dia time kerja. I pinjam dia sekejap aje. I belum sarapan lagi ni.” Hisyam buat muka simpati.

“Okey, I bagi chance. Susah juga bila husband anak bos kan, Qeela. Satu jam aje tau. Or else she have to do overtime, Encik Hisyam.” Miss Chan kenyit mata dan berlalu dari situ.

Aqeela gigit hujung bibir. Miss Chan ni kenapalah baik hati sangat. Sebenarnya dia malas nak keluar. Tak tahu kenapa badan dia macam lemah sedikit hari ini. Pagi tadi semasa bangun dari tidur kepala dia sedikit berdenyut. Tapi semua itu tak diberitahunya kepada Hisyam.

“Sayang…” panggil Hisyam.

Aqeela berpusing menghadap Hisyam. Fail ditangan diletakkan di atas meja.

“Kita dekat pejabat ni,” beritahu Hisyam lagi.

Aqeela kecilkan mata. Tak faham dengan kata-kata Hisyam.

“Jangan gigit-gigit bibir macam tu.” Hisyam tersenyum nakal. Gatal.

Terus Aqeela lemparkan pemadam pensel yang ada di tangannya kepada Hisyam.

Mengekek-ngekek Hisyam ketawa. Nasib sempat elak. Kuat juga balingan Aqeela.

“Tak boleh ke otak tu suci sikit. Asyik fikir ke lain aje,” bebel Aqeela sambil menyusun kembali dokumen-dokumen yang sudah dia gunakan. Dimasukkan ke dalam fail dan diletakkan di tepi meja. Dia menunduk untuk mengambil beg duit di dalam laci.

“Lapar sebab tu jadi macam ni.” Hisyam tersengih. Alasan memang tak boleh diterima akal betul.

Aqeela menggeleng. Dia berdiri dan terus berjalan.

“Eh, sayang! Nak pergi mana?” Hisyam turut kalut bangun. Langkahnya dipercepatkan menyaingi Aqeela.

“Jessi, I keluar sekejap. Encik Hisyam you ni nak bawak I pergi mana entah. I dah cakap dengan Miss Chan. Anything just call or text me.” Aqeela terus melangkah ke depan lif.

Hisyam tersenyum. Hati berbunga-bunga bila Aqeela sudi melayannya walau sibuk dengan kerja yang menimbun.

“Terima kasih.” Lengan Aqeela ditarik. Jemarinya disulamkan dengan jemari Aqeela. Hisyam rapatkan ke bibirnya. Dikucup seketika. Diturunkan sebaik pintu lif terbuka.

“Sama-sama kasih, Encik Hisyam. Kalau Qeela tak layan nanti abang melalut entah apa-apa. Bukan Qeela tak kenal perangai Awad Hisyam Dato’ Azman ni.” Aqeela tersenyum. Pada masa yang sama turut menggeleng.

“Itu yang buat abang sayang Qeela. Rasa macam nak peluk ketat-ketat aje.” Hisyam tersenyum juga. Mata merenung Aqeela penuh kasih.

“Abang jangan nak buat drama dekat sini. Ada CCTV. Sekejap lagi ada yang upload dalam Facebook.” Aqeela jegilkan mata. Lelaki ni kalau tak di cakap memang sah-sah dia akan buat. Nak beromantika memang tidak kira masa dan di mana-mana sahaja.

“Sayang ada akaun Facebook eh?” Hisyam bersandar malas pada dinding lif.

“Kalau tak ada kena kutuk kaw-kaw dengan Abby dan Shahnaz nanti. Ketinggalan zaman.” Aqeela tertawa kecil.

“Abang tak ada.” Hisyam buang pandang pada pintu lif.

“Errr…sorry.” Aqeela ketap bibir. Logik kut kalau Hisyam tak ada akaun Facebook sebab lelaki yang seumur dengan Hisyam jarang ada Facebook.

“Siapa aje yang boleh tengok akaun Facebook Qeela?” Hisyam pandang semula Aqeela di sisi.

“Keluarga, Kawan-kawan. Kebanyakan kawan-kawan Uitm.” Aqeela tersengih.

“Dulu-dulu masa belajar ada boyfriend?”

“Ramai.” Aqeela menjawab penuh yakin.

“Oh…” Hisyam tunduk. Mata memandang hujung kasut.

Special bf aje yang tak ada. Kalau ada pun semuanya dah jadi sejarah. Cukuplah yang ada dekat sebelah ni. Susah tau nak jaga. Nak-nak bila dia merajuk.” Aqeela menyiku lengan Hisyam. Cuba untuk memujuk.

You’re my everything, sayang. Macam manalah abang tak sayang Qeela sangat-sangat. Jujur, manja, pandai memujuk. I love you. Love you so much.” Hisyam ambil tangan Aqeela dan bawa ke dadanya. Matanya merenung tepat ke dalam anak mata Aqeela.

“Tahu.” Aqeela jongketkan hidung. Tersenyum manis untuk Hisyam.

“Sayang ni macam tulah. Tak boleh abang nak romantik-romantik sikit. Potong. Jom.” Hisyam tarik tangan Aqeela sebaik pintu lif terbuka.

Aqeela memicit sedikit pelipisnya saat mereka berjalan menuju ke kereta. Kepalanya kembali berdenyut. Mata dikecilkan untuk mengimbangi pergerakannya.

“Kenapa sayang?” Hisyam yang perasan perubahan Aqeela memberhentikan langkah.

“Pening. Panas sangat dekat luar ni agaknya.” Aqeela cuba memandang ke atas. Cuba merasai teriknya mentari. Namun entah di mana silapnya tiba-tiba dia rasa disekelilingnya gelap. Telinganya hanya menangkap namanya dipanggil sayup-sayup.

Mata yang terpejam rapat dibuka perlahan-lahan. Aqeela nampak Hisyam yang tersenyum memandangnya. Dia memerhati sekeliling. Sepertinya dia berada di dalam bilik rawatan.

“Dah sedar pun sayang abang ni. Nasib ada klinik yang dekat. Qeela buat jantung abang nak tercabut. Macam nak putus nyawa pun ya juga.” Hisyam menggenggam erat tangan Aqeela. Menzahirkan kebimbangan yang bersarang dalam hatinya.

“Maaf sebab buat abang risau. Dari pagi lagi Qeela dah rasa tak sedap badan.” Aqeela cuba untuk bangun.

“Doktor minta Qeela buat urine test.” Hisyam membantu Aqeela untuk duduk. Sebuah bekas disuakan kepada Aqeela.

“Untuk apa?” Aqeela memandang tangan kanan Hisyam.

I don’t know.” Hisyam jongket bahu.

Beberapa minit kemudian, Aqeela dan Hisyam duduk menghadap Doktor Jumayza. Doktor bertugas yang memeriksa Aqeela sewaktu Aqeela pengsan tadi.

“Tahniah. Puan mengandung. Dah empat minggu.” Doktor Jumayza tersenyum.

Really?” Hisyam memandang Doktor Jumayza tanpa kerlipan.

Doktor Jumayza mengangguk.

“Alhamdulillah.” Hisyam meraup mukanya. Tanda bersyukur kepada yang maha Esa. Dia memandang Aqeela yang hanya tersenyum.

“Nanti puan ambil ubat dekat luar ya.”

Mereka berdua duduk menanti nama dipanggil di tempat duduk yang terdapat di ruang menunggu.

“Terima kasih, sayang. Abang tak tahu nak cakap apa lagi. Kalau ikutkan hati tadi nak aje buat lompat bintang. Tapi nasib baik masih tak lupa diri.” Hisyam merangkul kemas bahu Aqeela. Tidak tahu hendak gambarkan bagaimana perasaannya sekarang ini. Gembira yang teramat.

“Kalau abang buat juga tadi, Qeela tak mengaku suami,” gurau Aqeela.

“Amboi, lupa diri nampak. Ingat kalau sorang-sorang Qeela boleh mengandung ke? Ini, ini yang berkerja keras tau.” Hisyam menuding jari ke badannya sendiri.

“Tak payahlah nak beritahu satu dunia.” Aqeela mencubit perut Hisyam. Malu. Sebab ada beberapa orang pesakit dah tersenyum-senyum memandang mereka.

“Hebat tak abang?” Hisyam menari-narikan keningnya.

“Eee…tak senonohlah. Tahulah orang tu jejaka idaman Malaya.” Pipi Aqeela dah memerah. Malu mendengar kata-kata selamba Hisyam.

“Terima kasih, sayang. Terima kasih. Abang janji abang akan sentiasa berada di samping sayang sepanjang masa. Kita sama-sama jaga nyawa di dalam ni.” Tangan Hisyam menggosok perlahan perut Aqeela. Tidak peduli mata yang memandang. Apa yang dia tahu dia bakal menjadi seorang bapa.

“Terima kasih untuk abang juga sebab percaya pada Qeela. Sudi terima Qeela yang serba kekurangan. Sudi memayungi Qeela dengan kasih sayang abang. Qeela sayang abang. Moga ini akan lebih mengeratkan lagi perhubungan kita suami isteri.” Aqeela meletakkan tangannya di atas tangan Hisyam.

Spontan Hisyam mengucup kepala Aqeela. Faham akan kata-kata Aqeela. Moga tiada lagi kekhilafan yang mungkin mereka akan lakukan di masa hadapan tetapi jika itu dugaan yang Allah aturkan. Berharap dia dan Aqeela mampu menanganinya sebaik mungkin.


TAMAT

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

JEJAKA IDAMAN MALAYA - BAB 25


DATIN HANUM memandang ke pagar bila terdengar bunyi enjin kereta. Getah paip di tangan dilepaskan ke tanah. Kepala paip diputar. Tuala kecil yang tersangkut pada kerusi di laman rumah diambil. Tangan yang basah dilap. Dia tersenyum sambil berjalan mendekati kereta Honda CR-Z hitam yang baru masuk tadi.

“Assalammualaikum, mommy.” Aqeela terus bersalam dengan Datin Hanum sebaik keluar dari kereta.

“Waalaikumussalam. Qeela pergi mana?” Datin Hanum memeluk erat Aqeela. Risau hatinya bukan kepalang. Namun kerisauan itu hilang bila menerima pesanan ringkas dari Hisyam semalam.

“Maafkan Qeela, mommy. Qeela dah buat semua orang risau.” Aqeela menunduk. Kesal dengan tindakan kurang matangnya.

“Qeela tak ada salah apa-apa pun. Kalau mommy pun agaknya akan buat benda yang sama.” Datin Hanum cuba memujuk. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk letakkan kesalahan sama ada kepada Aqeela atau Hisyam. Itu pesanan Dato’ Azman andai kedua-duanya pulang ke rumah.

“Mengada-ngada kan menantu mommy ni.” Aqeela tersenyum lega memandang wajah Datin Hanum.

“Baru-baru tak apa. Kalau dah lama memang mommy babapkan. Eh! Hisyam mana?”seloroh Datin Hanum. Matanya melirik ke pintu pagar sekilas.

“Dia suruh Qeela gerak dulu tadi. Dia nak singgah kedai. Cari barang apa entah,” beritahu Aqeela.

“Jomlah masuk. Selesa sikit kalau nak berbual panjang.” Datin Hanum menarik tangan Aqeela.

“Daddy?” Aqeela menjenguk kepala ke garaj. Kereta Dato’ Azman masih ada di situ tapi kelibat bapa mentuanya tidak kelihatan.

“Ada dekat atas.” Datin Hanum terus masuk ke dalam.

Langkah Aqeela terhenti bila telinganya menangkap deruan enjin kereta. Dia tegak berdiri di alang pintu. Menanti Hisyam keluar dari kereta. Matanya terkebil-kebil melihat Hisyam yang tersenyum-senyum sambil menjinjit beg plastik.

“Beli apa?” Berkerut dahi Aqeela dengan mata dikecilkan memandang ke tangan Hisyam.

“Pizza.” Hisyam menghulurkan beg plastik kepada Aqeela. Dia menunduk sedikit untuk membuka kasutnya.

“Pizza? Early in the morning?” Aqeela sambut juga. Betul-betul mat salleh laki aku ni. Nampaknya keraplah masa aku habiskan menghadap pak cik google. Mana aku tahu memasak makanan barat.

“Lapar. Malam tadi tak makan kan.” Hisyam paut pinggang Aqeela. Sempat menghadiahkan satu ciuman pada dahi Aqeela.

Behave, abang. Tak malu ke kalau mommy dengan daddy nampak?” Aqeela menjeling. Kaki dihayun masuk ke dalam bila Hisyam menariknya sama.

“Dia orang tak kisah. They know their son very well.” Sekali lagi Hisyam bertindak nakal. Kali ini pipi Aqeela jadi mangsa ciumannya.

“Dah balik pun,” tegur Dato’ Azman yang sedang menuruni tangga. Kelihatan kemas dengan suit pejabat yang tersarung di badan.

Pantas tangan Aqeela mencubit lengan Hisyam. Malu. Entah apa anggapan bapa mentuanya agaknya.

“Nak upah dekat bilik nanti. Qeela dah buat tangan abang biru.” Hisyam berbisik. Sengaja disuakan lengannya dekat dengan muka Aqeela. Mata dikenyit sambil tersenyum nakal.

Aqeela ketap bibir. Tak tahu nak balas apa. Penyudahnya dia dapatkan Dato’ Azman dan bersalam dengan bapa mentuanya itu.

“Tidur mana malam tadi?” soal Dato’ Azman. Dia terus duduk di sofa.

“Ru…rumah sewa.” Tergagap-gagap Aqeela menjawab. Dia turut melabuhkan punggung di sofa bertentangan. Beg plastik di tangan diletakkan di atas meja kopi.

“Dah malam sangat. Ingat nak balik ke sini juga. Syam dah beritahu mommy. Mommy tak cakap ke?” Hisyam memandang Dato’ Azman. Dia mengambil tempat di sebelah Aqeela. Tangan Aqeela diraih dan digenggam.

“Mommy dah cakap. Daddy lupalah tu.” Datin Hanum yang keluar dari ruang dapur bersuara. Di tangannya ada sepiring kuih kaswi. Dibelakangnya pembantu rumah mereka yang menatang dulang berisi cawan dan teko.

Dato’ Azman tersenyum mendengar kata-kata Datin Hanum.

“Apa ni? Pizza?” Datin Hanum membuka plastik untuk melihat isinya.

Hisyam dan Aqeela serentak mengangguk.

“Hidangkan sekali ni, Marni.” Datin Hanum hulurkan beg plastik itu kepada pembantu rumahnya. Dia kemudian duduk di sebelah Dato’ Azman.

“Lewat daddy pergi kerja hari ni?” Hisyam cuba membuang rasa resah bila melihat Dato’ Azman memandang dia dan Aqeela bersilih ganti. Dia berharap janganlah Dato’ Azman timbulkan kisah dia dan Aqeela.

“Pagi ni tak ada appointment. Qeela okey?” Dato’ Azman memusatkan pandangannya kepada Aqeela. Dari pengamatannya nampak macam pasangan pengantin baru ni dah berbaik semula.

Aqeela hanya mengangguk. Kaget. Nampak sangat tindakan kurang bijaknya sudah membuat semua orang dalam rumah ni runsing. Dia memandang ke sebelah bila dirasakan genggaman tangan Hisyam semakin kuat.

“Alhamdulillah. Baguslah kalau Qeela dah okey. Daddy bukan apa. Risau. Lain kali kalau ada apa-apa yang tak puas hati, jangan simpan sendiri. Cari mommy atau daddy. Insya-Allah kalau kami boleh bantu kami bantu,” nasihat Dato’ Azman.

“Qeela minta maaf kalau Qeela buat semua orang risau pasal Qeela. Insya-Allah perkara ni tak akan berulang lagi.” Aqeela menunduk. Matanya bergenang.

“Dalam hal ni, daddy tak kata Qeela salah. Syam pun sama juga tapi tak semestinya kamu berdua betul. Perkahwinan bukan perkara main-main macam main pondok-pondok masa kecil dulu. Setiap apa yang dibuat mesti fikirkan pasangan kita. Bukan untuk diri sendiri aje,” tegas Dato’ Azman.

“Syam tahu, daddy. Syam yang silap. Mudah sangat percaya cakap orang luar.” Hisyam memandang wajah Dato’ Azman.

“Sebab tu daddy selalu cakap komunikasi tu penting. Kalau masing-masing simpan sendiri, macam nilah jadinya. Seorang ke hulu seorang ke hilir. Tak tahu nak betulkan yang silap sebab tak tahu dekat mana silapnya.” Dato’ Azman menoleh ke sisi bila Datin Hanum menghulurkan cawan kepadanya.

“Minum dulu, Qeela, Syam.” Datin Hanum memandang Hisyam dan Aqeela.

Aqeela meleraikan genggaman tangan Hisyam. Diambilnya cawan yang berisi teh kosong dan disua kepada Hisyam. Dia turut ambil satu untuk dirinya.

“Daddy kena keluar sekarang. Nak semak dokumen tender yang baru tu.” Dato’ Azman berdiri. Tangan dihulurkan kepada Datin Hanum.

Aqeela dan Hisyam turut berdiri.

“Ingat pesan daddy tu. Ini baru sikit ujian yang Allah bagi. Masih banyak lagi yang kamu berdua kena hadapi nanti.” Dato’ Azman meletakkan tangannya pada kepala Aqeela.

Aqeela hanya mampu tersenyum.

“Pergilah bercuti. Bawa Qeela jalan-jalan. Tenangkan fikiran. Untung-untung daddy dengan mommy dapat cucu cepat.” Dato’ Azman menepuk bahu Hisyam. Ada tawa di hujung kata-katanya.

Don’t worry, daddy. Syam tengah berkerja kuat ni.” Hisyam tersengih. Mata memandang tepat pada wajah Aqeela yang berona merah.

“Hanum, anak awak ni semuanya nak cepat. Tak sabar. Bercakap tak pernah berfikir. End up diri sendiri yang galau.” Sempat Dato’ Azman menyindir. Kesian pula melihat Aqeela yang sudah malu-malu dengan kata-kata Hisyam.

“Errr…” Hisyam menggosok tengkuknya. Tak pasal-pasal disindir ayah sendiri.

Dato’ Azman dan Datin Hanum ketawa.

Aqeela hanya mampu tersenyum. Sedikit sebanyak dia turut terkena tempias sindiran Dato’ Azman.

“Daddy pergi dulu. Assalammualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Serentak dibalas Hisyam dan Aqeela.

Datin Hanum menghantar Dato’ Azman hingga ke kereta.

Aqeela dan Hisyam duduk kembali.

Aqeela mengambil piring kuih kaswi. Dihulurkan pada Hisyam.

“Suap.” Hisyam menganga.

“Mengada.” Disuakan juga sepotong kuih ke mulut Hisyam. Aqeela terjerit bila Hisyam menggigit jemarinya.

Hisyam hanya ketawa. Ditarik jemari Aqeela dan dibawa ke mulut. Dikucup penuh kasih.

Datin Hanum yang baru hendak masuk ke dalam rumah berpatah keluar semula. Tidak mahu mengganggu anak dan menantunya. Ada senyuman terukir di bibirnya melihatkan kemesraan Hisyam dan Aqeela. Moga kebahagian itu akan berpanjangan.

“Sayang nak pergi mana?” Hisyam mengelus lembut pipi kanan Aqeela yang sedang mengunyah pizza.

Aqeela menoleh. Sempat dia mencubit sedikit pizza di tangan dan disuakan ke dalam mulut Hisyam.

Hisyam kunyah perlahan. Mata tak lepas dari memandang Aqeela. Merenung anak mata Aqeela dalam-dalam.

“Abang nak pergi mana?” Soalan Hisyam dibalas dengan soalan.

“Abang tak kisah asalkan Qeela sentiasa ada dengan abang.”

“Qeela takkan kemana-mana tanpa abang. Cukuplah dua minggu ini kita memendam rasa. Sakitnya hanya tuhan yang tahu. Rindu sangat-sangat.”

Hisyam tarik Aqeela rapat ke dadanya. Dahi Aqeela dikucup. Lama. Cuba untuk membayar kembali hari-hari yang hilang tanpa kasih sayang.

“Errr…abang. Ruang tamu ni.” Aqeela mendongak.

Tanpa bicara bibir Hisyam mendarat pula pada bibir Aqeela.

Aqeela terkebil-kebil bila Hisyam melepaskan bibirnya. Terasa berbahang mukanya dengan tindakan spontan Hisyam.

“Suka sangat potong mood.” Hisyam besarkan matanya.

Aqeela hanya tersengih.

“Ke mana pun abang pergi walau ke hujung dunia sekalipun, abang akan pastikan Qeela sentiasa ada di sisi abang. Cukuplah apa yang dah terjadi pada kita. Kita sama-sama belajar dari kesilapan. Semoga Allah memudahkan perjalanan hidup kita bersama. Love you till Jannah.” Hisyam kembali memeluk Aqeela.

         “Love you till Jannah too.” Aqeela membalas pelukan Hisyam. Berharap agar perkahwinan mereka berkekalan hingga ke hujung nyawa.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

JEJAKA IDAMAN MALAYA - BAB 24


AZAN subuh yang sayup-sayup berkumandang mengejutkan Hisyam dari tidurnya. Perlahan-lahan dia membuka mata. Terukir senyuman di bibir melihat Aqeela masih lena dalam dakapannya. Dipereratkan pelukan pada badan Aqeela. Bibirnya menyentuh bahu Aqeela yang terdedah.

“Qeela…bangun. Nanti terlewat subuh.” Disebak rambut yang menutupi belakang leher Aqeela. Dikucup lembut belakang leher itu. Entah mengapa dia suka bauan yang terbit di situ.

“Hmmm…” Aqeela menggeliat kegelian. Badannya digoyangkan menolak Hisyam supaya menjauh. Kaki turut menolak kaki Hisyam yang bertindih dengan kakinya. Selimut di badan ditarik menutupi seluruh badan termasuk kepala.

“Sayang…jangan menggoda boleh tak? Kalau kita sama-sama terlajak jangan marahkan abang.” Hisyam sengaja mengusik. Kepala Aqeela yang berbungkus dicium. Tubuh itu dipeluk kemas sebelum dilepaskan. Dia bangkit dan mencapai sahaja tuala Aqeela di penyidai.

“Hmmm…bila masa orang goda dia. Pukul berapa dah ni?” Selimut yang menutupi muka diselak. Aqeela memandang Hisyam yang sudah berdiri di hujung kakinya.

“Lima empat puluh lima. Jom mandi. Karang subuh gajah jadinya.” Hisyam tarik selimut yang menutupi badan Aqeela dengan sengihan lebar.

Namun Aqeela menggenggam kuat di hujung satu lagi. Mata dibesarkan seboleh mungkin. Lelaki ini tahu ke tak tahu. Geram betul dia. Pagi-pagi buta dah cari pasal.

Acara tarik menarik pun bermula.

“Nak malu apa lagi ni, sayang. Abang dah nampak semua.” Hisyam tersenyum nakal.

“Abang!!!” Pantas Aqeela menutup semula mukanya dengan selimut. Malu.

Hisyam ketawa sambil menggeleng. Reaksi Aqeela nampak comel pada pandangan matanya. Pegangan pada selimut dilepaskan. Suis lampu bilik air dipetik. Kaki melangkah masuk ke dalam bilik air.

Aqeela menarik nafas lega saat mendengar bunyi pancuran air. Perlahan dia bangkit dari perbaringan. Selimut yang meliputi tubuhnya di ikat kuat. Katil yang berselerak dikemaskan. Cadar diganti baru. Saat mata pandang ke lantai ternampak pakaian dia dan Hisyam bersepah-sepah. Bibir mengulum senyum. Dikutip satu persatu dan diletakkan ke dalam bakul.

Pintu almari dibuka. Mata melilau mencari sesuatu. Pantas ditarik benda yang dicari di bawah lipatan baju-bajunya. Baju melayu warna kuning air yang tergantung turut dikeluarkan. Semuanya diletakkan di atas katil.

Dia bergerak ke penyidai. Sejadah diambil. Dihamparkan mengikut arah kiblat. Satu untuk Hisyam dan satu untuknya. Dia berpusing.

“Mak!” Aqeela menjerit kuat. Dada yang berombak kencang diurut laju. Sempat mata melirik pada dada suami yang masih basah. Eee…sekarang jelas siapa goda siapa.

“Mak kat kampunglah, sayang,” usik Hisyam. Kedua-dua tangan di pinggang. Air yang menitis ke muka diraup perlahan.

“Kalau tak terperanjatkan Qeela tak boleh ke?” Aqeela ketap bibir. Jelingan tajam diberikan. Pantang dah berbaik. Ada saja usikan dari Hisyam.

“Jangan buat macam tu, sayang. Iman abang tak setebal mana. Takut terbabas nanti.” Hisyam masih tak sudah mahu mengusik. Dia nampak pandangan mata Aqeela menyinggah di dadanya. Sengaja tidak dilapnya air yang membasahi badannya tadi.  

“Buat apa? Ni siapa suruh pakai tuala Qeela?” Aqeela cuba kalih topik. Tidak suka dengan renungan Hisyam yang nampak macam miang sahaja.

Hisyam tersenyum lebar. Mata dikenyitkan. Tangan sudah bersedia untuk membuka simpulan tuala.

Stop!” Spontan Aqeela pejam mata rapat-rapat dengan kedua-dua belah tangan memegang tangan Hisyam. Tak sanggup nak tengok wayang percuma. Pantang silap cakap.

“Tadi marah-marah. Ini suruh orang berhenti pula.” Hisyam pamer wajah serius.

“Errr…” Aqeela mengintai Hisyam dengan sebelah mata. Serba-salah bila melihat wajah serius Hisyam. Salah cakap lagi ke?

“Ingat comel sangatlah buat macam tu.” Hujung hidung Aqeela ditarik. Geram dengan aksi Aqeela yang mencuit hatinya. Nampak manja dan menggoda. Nasib saja mereka belum menunaikan solat subuh.

“Hesy…” Aqeela gosok hidungnya. Badan dijauhkan dari Hisyam. Pintu almari dibuka semula. Sehelai tuala baru diambil dari timbunan lipatan baju. Kaki segera melangkah ke dalam bilik air.

“Arghhh!!!” Aqeela menjerit bila melihat hujung selimut yang membaluti tubuhnya basah. Memang dia lupa yang dia masih berselimut.

Jeritannya bergema lagi bila Hisyam dengan selamba membuka pintu bilik air dan masuk ke dalam. Mahu tak menjerit sebab dia baru sahaja melepaskan balutan selimut di badan. Cepat-cepat dia capai tuala yang baru disangkutnya tadi.

“Nak ambik wuduk.” Hisyam selamba membuka pili air. Mata mengerling pada badan Aqeela.

“Bilik air luar kan ada? Saja nak ambik kesempatanlah tu.” Aqeela menjeling. Berus gigi dicapai.

“Jauh. Ini pun kena ambik sekali lagi. Ada orang tu dengan rasa tak bersalah dah pegang tangan kita tak reti nak minta maaf.” Hisyam tersenyum-senyum. Tangan sudah menadah air yang keluar.

“Kalau orang tu tak buat benda di luar alam, tak ada maknanyalah orang ni nak pegang-pegang.” Aqeela menjawab dengan nada suara yang tidak jelas. Mulutnya penuh dengan buih ubat gigi.

“Dah orang tu nak sangat tuala dia. Orang ni nak bagilah. Dengan suami sendiri pun kedekut. Jangan mandi lama-lama sangat. Dah pukul enam.” Hisyam berbisik dekat dengan telinga Aqeela. Sempat dia percikkan air ke muka Aqeela sebelum berlalu keluar.

“Arghhh!!!” Untuk sekian kalinya jeritan Aqeela bergema lagi. Telinganya dapat menangkap suara Hisyam yang ketawa bagaikan tak ingat dunia selepas pintu bilik air ditutup.

Selesai membaca doa Hisyam pusing ke belakang. Tangan dihulurkan. Bersedia untuk bersalaman dengan Aqeela. Namun bila dia memandang wajah Aqeela dilihat Aqeela seolah-olah sedang mengulum senyuman.

“Kenapa?” Bertaut kening Hisyam memandang Aqeela. Pelik melihat kelakuan Aqeela.

Terburai terus ketawa Aqeela yang cuba ditahannya sedari tadi. Tawa yang ditahan-tahan saat dia terpandangkan Hisyam yang sudah bersiap untuk menunaikan solat subuh berjemaah bersamanya lagi.

“Qeela?” Hisyam bengang. Tidak faham apa yang ditertawakan Aqeela.

Aqeela berhenti ketawa. Namun sisa tawanya masih ada. Tangan Hisyam dicapai dan diciumnya dengan penuh keikhlasan. Untuk kali ini dibiarkan dahinya dicium Hisyam. Betapa dia dapat rasakan seluruh badannya bergetar seolah-olah disalurkan dengan kasih sayang Hisyam.

“Abang minta maaf untuk semua kesalahan abang pada Qeela. Tak tahu nak cakap macam mana. Abang malu dengan Qeela. Malu sebab mempercayai fitnah Farid.” Hisyam menarik Aqeela dalam dakapannya.

“Tak ada apa yang Qeela nak maafkan. Abang tak salah. Macam yang abang cakap malam tadi. Abang keliru. Qeela faham.” Aqeela memperkemaskan pelukannya. Seboleh mungkin dia tidak mahu lagi mengingati mendung kelabu yang pernah berarak. Walau dia tahu langit tidak selalunya cerah. Namun dia berharap matahari akan sentiasa bersinar.

“Jangan tinggalkan abang lagi, sayang. Jangan sesekali berani tinggalkan abang lagi. Nanar abang jadinya bila seminit Qeela tak ada di depan mata apatah lagi sehari Qeela menghilang. Tegur abang jika abang lalai. Kita sama-sama bina masa hadapan kita.” Hisyam leraikan pelukan mereka. Kedua-dua belah pipi Aqeela dipegang. Bibir nipis itu dikucup seketika. Dilepaskan. Matanya mencari anak mata Aqeela.

Okay, time’s up. Qeela lapar.” Aqeela tersengih. Tangan mengusap perut.

“Potong betullah.” Hisyam tolak sedikit pipi Aqeela. Dia terus bangun. Sejadah diambil dan digantung pada penyidai. Saat dia menoleh ke belakang dilihatnya senyuman tak lekang dari bibir Aqeela.

Is there something wrong?” Hisyam melabuhkan punggung di atas katil. Wajah tidak puas hati dipamerkan.

“Muat juga abang pakai baju ayah tu kan?” Aqeela tersenyum-senyum.

“Perli abanglah tu.” Hisyam berdiri semula. Berjalan menuju ke meja solek. Dia pusing ke kiri ke kanan. Memang nampak agak ketat sedikit baju melayu yang dipakainya. Badan ayah mentuanya kecil sedikit dari badannya walau ketinggian mereka sama.

But still handsome plus sexy,” usik Aqeela yang sudah membuka telekungnya.

“Jejaka idaman Malaya. Mestilah hensem dan seksi.” Hisyam mengiyakan kata-kata Aqeela.

“Perasan.” Aqeela menjuihkan bibir. kaki dihayun keluar dari bilik.

“Bukan tadi Qeela ke yang cakap. Abang cuma iakan aje.” Hisyam bersuara dari belakang. Dia turut keluar dari bilik. Tangan sudah memegang kunci kereta.

“Nak pergi mana?” Aqeela yang ingin ke dapur memandang Hisyam.

“Ambik baju.”

“Kata seksi pakai baju tu.” Aqeela masih mahu mengusik.

“Seksa dan tak selesa.”

“Siapa suruh tak bawak baju untuk solat kalau tahu nak tidur sini?” Aqeela angkat kening.

“Manalah abang nak tahu malam pertama nak berlaku dekat sini.” Hisyam kenyit mata.

            “Dah pergi ambik baju tu. Karang melalut yang bukan-bukan.” Aqeela menggeleng.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.