Saturday, August 30, 2014

JEJAKA IDAMAN MALAYA - BAB 18


JAM tangan diletakkan semula di atas meja solek. Lagi satu jam dia akan bergelar seorang isteri kepada seorang suami. Panggilan juga akan bertukar menjadi puan. Aqeela mengeluh. Untuk seminggu ini entah berapa kali dia berbuat demikian. Walhal dia tahu, setiap keluhan memendekkan rezeki yang akan datang.

“Kau kenapa?” Kak Kiah yang sedang membetulkan layah di kepala Aqeela menegur.

“Risau.” Aqeela berbohong. Air muka yang keruh cuba dimaniskan.

“Biasalah tu. Bukan kau aje yang rasa macam tu. Semua pengantin yang akak solek cakap benda yang sama. Banyakkan baca salawat dalam hati. Insya-Allah semuanya akan okey,” nasihat Kak Kiah. Dia memandang cermin sambil tersenyum.

“Terima kasih, kak. Insya-Allah saya buat.” Aqeela membalas senyuman yang diberi.

“Qeela, rombongan pengantin lelaki dah sampai. Mereka bersanggah dekat rumah mak teh kau.” Abby yang baru masuk ke dalam bilik menyampaikan berita. Dia terus bersimpuh di atas lantai.

Shahnaz yang masuk sama turut bersimpuh di sebelah Abby.

“Berseri kau, Qeela. Pandai Kak Kiah mengandam.” Shahnaz memuji.

“Akak touch-up sikit-sikit. Kawan korang ni memang dah lawa. Tak perlu nak solek tebal-tebal. Tak ada cela langsung dekat muka dia ni.” Kak Kiah mengemas bekas alat soleknya. Dia perlu menyolek pengantin lelaki pula.

“Dah nak pergi ke, kak?” Aqeela membelek wajahnya di cermin. Tudung berwarna perak yang kontras dengan layah dan baju nikah berwarna putih menambah seri pada wajahnya.

“Aah…karang kalau lambat, alamat kusamlah muka bakal suami kau tu dalam gambar. Dah selesai semua dekat sana. Akak datang sini semula. Kau jangan nak risau tak tentu hala pula. Akak pergi dulu.”

Aqeela mengangguk.

“Kenapa sikit sangat barang hantaran kau?” Abby mula bertanya.

“Cukuplah tu. Hisyam bagi lima aku balas tujuh. Kalau lepas ni rasa ada yang tak cukup. Kami pergi beli sendiri.” Aqeela menerangkan duduk perkara sebenar. Kalau ikutkan Hisyam memang nak bagi lebih tapi dia yang tidak mahu.

“Baik hati sangatlah kau ni. Kalau aku memang kaw-kaw aku tekan.” Shahnaz ketawa.

“Itu kau bukan Qeela.” Bahu Shahnaz ditolak Abby.

Cemberut terus muka Shahnaz. Dicapai telefon bimbitnya yang diletakkan di atas meja solek Aqeela.

Aqeela hanya tertawa kecil.

“Apa kau rasa sekarang, Qeela?” Abby kembali memberi perhatian kepada Aqeela. Tangannya didaratkan di atas paha Aqeela.

“Tenang. Malam tadi aku dah luahkan kepadaNya. Insya-Allah aku yakin aku boleh hadapi semuanya.” Aqeela memegang tangan temannya itu.

“Aku yakin kau boleh. Sesuatu yang terjadi itu sudah ditentukan olehNya.” Abby mengangguk.

“Ya.” Aqeela turut mengangguk.

Tiba-tiba kedengaran bunyi bising di luar. Shahnaz bangun menjenguk. Dia berpaling. “Rombongan pengantin lelaki dah ada. Tok kadi pun dah sampai.”

Degupan jantung Aqeela terus berdetak laju. Debaran di dada pun semakin kuat. Pantas sahaja dia berselawat seperti yang dipesan Kak Kiah tadi. Nafas ditarik sedalam-dalamnya sebelum dihembuskan kembali.

“Tok kadi nak masuk.” Shahnaz kembali mendekati Aqeela dan Abby.



TITISAN airmata yang mengalir dikesat dengan tisu yang dihulurkan Abby. Sekali lafaz Aqeela kini sah menjadi isteri Hisyam. Pak Cik Arip sendiri yang menikahkan mereka berdua. Sekarang dadanya dirasakan bagai dipalu kuat. Berdebar menantikan Hisyam selesai menunaikan solat sunat sebelum menyerahkan mas kahwin kepadanya.

“Assalammualaikum.” Hisyam bersila di hadapan Aqeela.

“Waalaikumussalam.” Perlahan dia menjawab. Aqeela angkat sedikit wajahnya. Tipulah kalau kata dia tidak rindu pada lelaki ini. Seminggu tiada bicara antara mereka memberi kesan yang mendalam pada hatinya.

“Hulurkan tangan, Qeela.” Shahnaz berbisik setelah Hisyam selesai melafazkan penyerahan mas kahwin.

Aqeela menoleh sekilas kepada temannya. Tangan kanan dihulurkan. Matanya ralit memerhati Hisyam memakaikan gelang emas pada tangannya. Kemudian dia duduk diam dan tenang mendengarkan Hisyam membaca doa dengan tangan kanan diletakkan pada ubun-ubunnya.

“Cium tangan suami kau tu, Qeela.” Abby mencuit Aqeela yang kelihatan seperti mengelamun.

“Huh?!...” Kelam-kabut Aqeela menyambut huluran tangan Hisyam. Untuk pertama kali mereka bersentuhan secara halal. Lain sekali perasaan yang dirasakannya. Genggaman tangan Hisyam dilepaskan. Dia tidak sanggup untuk memegang tangan Hisyam lama-lama.

“Cium dahi Qeela, Syam. Boleh photographer ambil gambar.”

Suara Datin Hanum menerjah gegendang telinga Aqeela. Bukan suara Datin Hanum sahaja, tetamu yang lain turut mengusik sama.

Aqeela perasan Hisyam seperti tidak bersetuju dengan apa yang disuruh. Dia dapat mendengar Hisyam mendengus perlahan. Bukan itu sahaja, wajah Hisyam juga berubah kelat.

“Mommy, tak apa. Nanti selepas makan kami bergambar.” Lembut suara Aqeela menolak permintaan ibu mentuanya. Cukuplah tadi gambar dia dan Hisyam diambil saat dia mencium tangan lelaki itu.

Datin Hanum mengangguk.

Aqeela tahu Datin Hanum pasti kecewa. Dia boleh nampak riak pada wajah tua itu. Namun dia tidak mahu memaksa Hisyam melakukan sesuatu yang lelaki itu tidak suka.

“Jemputlah semua ke khemah. Makan tengahari dulu.” Pak Cik Arip mempelawa semua tetamu untuk menikmati hidangan yang telah disediakan selepas selesai pembacaan semua lafaz seperti yang telah ditetapkan.

“Qeela, ajak suami kamu tu makan,” suruh Mak Cik Hendon sambil melayan tetamu yang lain.

“Jom makan.” Aqeela mencuit sedikit lengan Hisyam. Dia terus bangkit dari mini pelamin. Tika itu Abby dan Shahnaz sudah menghilang.

“Hmmm…” Hisyam yang sedang berbual dengan teman-temanya hanya menoleh sekilas.

Aqeela bergerak keluar ke khemah dahulu. Hati dia sedikit terusik dengan layanan dingin Hisyam. Untuk itu dia lebih rela melayan tetamu yang hadir. Dikesempatan itu, Datin Hanum pun sibuk memperkenalkan Aqeela kepada semua saudara-mara sebelahnya dan sebelah Dato’ Azman.

“I nak makan.”

Aqeela menoleh bila rasa lengannya dicuit ketika dia sedang rancak berbual dengan Abby dan Shahnaz yang duduk tidak jauh dari rombongan pengantin lelaki. Bila masa pula lelaki ini berdiri di sebelahnya. Namun dia menapak juga mendekati meja yang dikhaskan untuk mereka berdua. Dalam hati sudah tersenyum. Pandai pula Hisyam mencari dia. Ingatkan dah kenyang tadi.

Hisyam hanya membisu saat mereka menikmati makanan yang terhidang. Walaupun begitu, Aqeela tidak berat mulut. Dia tetap melayan kerenah Hisyam. Itulah janjinya saat syurga untuknya sudah berubah kepada lelaki ini.

Selesai makan, Datin Hanum memaksa Aqeela dan Hisyam untuk merakamkan gambar mereka berdua di atas pelamin. Aqeela hanya menurut. Seboleh mungkin dia cuba memberikan kerjasama. Yalah, pastinya banyak duit yang telah Datin Hanum keluarkan untuk membayar jurugambar yang telah diupah. Sia-sia sajalah kalau dia dan Hisyam tidak bergambar.

“Cuba senyum sikit, Syam.” Suara Datin Hanum sedikit keras.

Aqeela yang berada di depan Hisyam mengerling lelaki itu sekilas.

“Abang Syam penat agaknya, mommy. Qeela rasa cukuplah untuk hari ni. Dah banyak pun bergambar. Minggu depan kita sambung lagi.” Aqeela perasan Hisyam seperti terperanjat bila dia membahasakan lelaki itu dengan panggilan abang. Biarlah. Biarlah lelaki itu mahu kata apa pun.


Aqeela nampak Datin Hanum menggeleng. Pastinya Datin Hanum kecewa dengan kelakuan Hisyam.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

4 comments:

  1. geramnya dengan si hisham tu...
    sorry kak syeena saya marathon ari ni...jadi baru komen kat bab ni.

    idarohaina

    ReplyDelete
  2. Eee xsukenyer hisyam ni dulu kemain lg..

    ReplyDelete