Saturday, August 30, 2014

JEJAKA IDAMAN MALAYA - BAB 14


HISYAM termenung. Kata-kata yang dilemparkan Farid masih terngiang-ngiang dalam fikirannya. Sukar untuk dia mempercayai apa yang keluar dari mulut lelaki itu. Aqeela bukannya perempuan seperti yang lelaki itu katakan. Tapi gambar Aqeela tanpa tudung yang ada dalam simpanan Farid bagai membenarkan kata-kata lelaki itu. Hati dia pun sudah mula berasa sangsi. Adakah kerana Farid lebih mengenali Aqeela berbanding dia? Lima tahun. Pastinya lelaki itu lebih arif siapa Aqeela.

“Ini yang aku menyampah ni.” Kaki Hisyam dikuis si teman yang sedikit berisi badannya.

Hisyam membetulkan duduknya. Satu jelingan tajam dihadiahkan kepada temannya.

“Kau ni dah kenapa? Orang yang nak berkahwin sepatutnya gembira. Ini tidak. Muka macam tempoyak basi.” Si badan berisi sudah mula membebel.

“Lagi empat hari ni, bro. Kau jangan macam-macam pulak.” Seorang lagi temannya dah berbunyi.

“Kau orang rasa betul ke tak apa yang aku buat sekarang ni?” Hisyam memandang kedua-dua orang temannya.

“Kau ni cakap macam orang tak ada agamalah, Syam. Bukan kau dah buat solat istiharah ke?” Keras nada suara yang dilontarkan teman yang menguis kakinya tadi.

“Entahlah, Syakir. Tiba-tiba aku rasa macam semua ni terlalu pantas untuk aku.” Hisyam meraup wajahnya.

“Kau jangan main-main, Syam. Ini masa depan kau. Biarlah kita jabat tangan tok kadi tu sekali sahaja seumur hidup.” Syakir menghirup minumannya.

“Apa yang mengganggu fikiran kau sebenarnya, Syam?”

“Aku pun tak tahu, Qif. Arghhh!!!” Hisyam menjerit melepaskan kerunsingan. Rambut dikuak ke depan ke belakang.

“Kau janganlah macam ni. Kau buat aku takut nak berkahwinlah. Tinggal enam bulan aje lagi status aku pun akan bertukar.” Thaqif memandang lemah kepada Hisyam.

“Kau okey kut, Qif. Bertunang pun dah setahun. Mesti kau dah kenal betul dengan tunang kau tu.” Hisyam merenung ke arah jalanraya.

“Hei, bro! Bukan kau cakap bercinta selepas nikah lagi afdal ke? Jangan samakan cerita aku dengan cerita kau. Kau kena percaya kepada qada’ dan qadar Allah.” Thaqif menolak lembut bahu Hisyam.

“Awalnya aku rasa macam tu tapi sekarang. Entahlah.” Hisyam mengeluh.

“Kau orang berdua ni buat aku rasa seramlah. Rasanya aku nak membujang sampai ke tualah.” Syakir kemam bibir.

“Tak syoklah, bro. Membujang sampai ke tua. Rugi,” seloroh Thaqif.

“Yang itu aku setuju.” Hisyam mengangguk.

“Dan dan korang kan.” Syakir ketawa.

Hisyam turut sama ketawa. Buat seketika dia ingin melupakan apa saja yang mengganggu fikirannya. Cuba di buang jauh-jauh rasa sangsi itu. Dia hanya dapat berdoa kepada Tuhan yang maha Esa supaya dapat tetapkan hatinya atas keputusan yang telah dia buat.



AQEELA cuba meneyiapkan kerjanya secepat mungkin setelah mendapat panggilan daripada Hisyam yang telah menunggu dia di bawah. Lebih satu jam kerja-kerja dia tergendala tadi disebabkan kerosakan teknikal sistem komputernya. Habis sahaja menyimpan data yang terakhir, kelam-kabut dia berkemas.

Sempat juga Aqeela menyusun fail-fail yang bersepah di atas mejanya. Alatulis yang digunakan diatur kemas. Setelah berpuas hati, beg tangan dicapai. Segera dia melangkah keluar dari aras Bahagian Kewangan.

Mata Aqeela menyorot pandang ke dalam kereta Honda CR-Z yang diparkir betul-betul dihadapan pintu masuk lobi. Wajah Hisyam nampak kelam-kelam disebalik cermin gelap kereta. Dia berharap tunangnya itu tidak akan marah sebab terpaksa menunggu lebih kurang tiga puluh minit.

Sorry. Tadi ada gangguan sistem. Tunggu budak ICT betulkan.” Aqeela yang baru masuk ke dalam kereta terus memberitahu sebab kelewatannya.

“Hurmmm…” Hisyam terus menggerakkan keretanya. Langsung tak memandang wajah Aqeela.

Aqeela ketap bibir melihatkan reaksi Hisyam. Mungkin si dia marah sebab lama menunggu. Perlahan-lahan tali pinggang keledar ditarik. Dia membuang pandang ke luar tingkap.

Suasana sepi menyelubungi pasangan ini. Tiada usikan dan gurauan seperti selalu. Mungkin kepenatan. Masing-masing lebih senang melayan perasaan sendiri.

“You nak balik terus ke?” Hisyam bersuara setelah lebih kurang lima belas minit memandu. Itu pun sebab dia dah mula rasa bosan dengan kesesakan lalulintas.

Aqeela menoleh. Apa yang tak kena dengan lelaki ini? Tidak pernah si dia ajukan soalan macam tu. Selalunya si dia akan terus saja bawa ke mana-mana kedai makan. Tak pernah bertanya.

“Balik teruslah.” Itu yang terluah dari mulut Aqeela. Walau hakikatnya perut dia pedih menahan lapar. Waktu makan tengahari tadi dilanggarnya. Tidak sempat menjamah apa-apa makanan.

Hisyam hanya mengangguk. Matanya tetap fokus ke hadapan.

Aqeela melekapkan tangan kiri pada dadanya. Terasa seperti hatinya dicucuk sembilu. Kenapa dia berasa berlainan benar sikap Hisyam petang ini? Berbeza betul sewamtu tunangnya ini meninggalkan dia pagi tadi. Takkanlah kerana kelewatan dia menjadi punca si dia berubah.

“Terima kasih.” Aqeela terus keluar tanpa menunggu balasan Hisyam. Dia pasti Hisyam tak akan menjawab.

Aqeela berdiri memandang ke arah jalanraya sehingga kelibat kereta Hisyam hilang dari pandangan. Sunggu memang ada perasaan sebu di dalam dadanya. Sepatah perkataan pun tidak keluar dari mulut Hisyam. Tiada pesanan berjela yang selalu si dia titipkan.

Aqeela berpusing. Melangkah lemah masuk ke dalam rumah sewa. Beg tangan dicampak. Dia merebahkan diri di atas sofa. Terasa seperti seluruh sistem dalam badannya lumpuh. Dia mengerekot. Kedua-dua belah tangan menekan perut yang semakin pedih.

Tanpa sedar Aqeela terlelap. Dia terjaga bila telefon bimbitnya menjerit kuat. Perlahan-lahan dia merangkak ke bawah mencapai beg tangan yang dicampak tadi.

“Hello!” Aqeela menjawab lemah.

“Assalammualaikum, Qeela!” Kedengaran suara Mak Cik Hendon dihujung talian.

“Waalaikumussalam, mak.” Aqeela terus berbaring di atas lantai.

“Bila nak balik kampung? Kamu dah mula bercuti kan?”

“Esok agaknya. Qeela tak larat nak balik terus tadi.”

“Kamu ni kenapa? Sakit?” Cemas sahaja nada suara Mak Cik Hendon.

“Gastrik.”

“Tak makan malam lagi ke? Dah pukul sembilan ni.”

“Sekejap lagilah, mak. Qeela nak baring-baring dulu.”

“Jangan nak sekejap-sekejap. Kamu kan tahu kamu tak boleh berlapar. Mak telefon Hisyam sekejap. Suruh dia tengok-tengokkan kamu. Lagi empat hari nak nikah Qeela oiii. Kesihatan nak kena jaga.” Membebel panjang Mak Cik Hendon.

“Tak payahlah, mak. Jangan susahkan dia. Lepas rehat sekejap ni, Qeela tengoklah apa yang ada dekat dapur tu.” Aqeela membalas lemah. Dia tidak mahu menyusahkan Hisyam lagi. Sementelah tadi si tunang pun seperti tiada mood.

“Susah apanya? Dia kan tunang kamu. Dah pergi berehat. Mak telefon dia.”

“Mak! Mak!” Aqeela pandang skrin telefon bimbitnya. Gelap. Keluhan kecil keluar dari mulutnya.

Telefon bimbit dibiarkan terhampar di atas lantai. Dia memejamkan mata seketika. Matanya terbuntang bila mendengar ketukan bertalu-talu pada pintu rumah.

“Assalammualaikum. Qeela! Qeela!” Suara perempuan kedengaran kuat dibalik pintu.

Aqeela cuba untuk bangun tetapi dia tidak mampu. Kepedihan pada perutnya masih terasa. Bisa. Matanya dipejamkan. Cuba membuang rasa sakit itu.

“Ya Allah! Syam, tolong angkatkan Qeela kat atas sofa tu.”

Aqeela mendengar sayup-sayup suara yang memberi salam tadi.

“Errr… tak apa ke, mommy?” Suara lelaki pula menerjah cuping telinganya. Dia seakan mengenali suara itu.

“Daruratlah. Cepat angkat.” Keras suara perempuan itu membalas.

Aqeela merasakan badannya seperti melayang-layang. Seketika kemudian terasa seperti ada air disapukan pada wajahnya. Perlahan-lahan dia membuka mata.

“Alhamdulillah.”

“Mommy.” Aqeela menegur. Dia cuba untuk duduk. Namun tidak terdaya. Tangan pula menekan perut yang masih mencucuk-cucuk.

“Macam mana boleh jadi macam ni?” Datin Hanum menyoal.

“Gastrik.” Aqeela tidak mampu untuk berbohong dengan wanita yang sedang duduk disebelahnya.

“Tak makan malam lagi ke?”

Aqeela hanya menggeleng.

“Nasib mak kamu call Hisyam. Kalau tak, tak tahulah apa jadi dengan kamu.”

Sorry sebab dah susahkan mommy.” Aqeela cuba mengingatkan kembali perbualan telefon dengan emaknya tadi. Rasanya memang ada emak dia cakap akan menelefon Hisyam.

“Tak ada susahnya. Ni makan sikit.” Datin Hanum menyuakan sudu.

Aqeela menganga kecil. Airmatanya mengalir di hujung mata namun cepat-cepat diseka dengan belakang tangannya. Terharu dengan keprihatinan bakal ibu mentuanya.

“Ni airnya, mommy.” Hisyam menghulurkan segelas air suam kepada Datin Hanum.

Oh! Si dia ada. Aqeela terus memegang kepala. Lega bila dia masih bertudung. Mata turun ke badan. Baju kerja. Baru teringat dia masih belum mandi selepas pulang dari pejabat tadi.

Aqeela hanya mampu mengisi dua tiga sudu nasi sahaja ke dalam mulutnya. Seleranya memang tiada.

“Dah, rehat dulu. Mana kamu letakkan ubat gastrik?” Datin Hanum sudah berdiri.

“Kabinet belah atas tapi tak ingat yang mana satu.” Aqeela bertutur lemah.

Datin Hanum hanya angguk. Segera dia ke dapur.

“Kenapa tak cakap you nak makan tadi? Dah sakit macam ni kan dah menyusahkan semua orang. Nasib I tak ke mana-mana tadi.” Hisyam memandang Aqeela tajam.

Aqeela tidak tahu hendak membalas apa. Sedikit terasa dengan kata-kata Hisyam. Tidak pernah Hisyam bertutur kasar dengannya. Buat masa ini dia malas hendak berbalah. Ya, memang salah dia. Tapi tahukah si dia puncanya daripada siapa.

“Apa Syam ni. Bukan selalu Syam memang terus bawa Qeela pergi makan ke?” Datin Hanum menyampuk percakapan Hisyam. Pada tangannya ada sebungkus plastik ubat.

Aqeela perasan Hisyam meraup kasar wajahnya. Wajah itu nampak seperti rasa bersalah. Mungkin baru si dia perasan. Ah! Biarkanlah si dia. Esok-esok selepas reda mungkin si dia akan beritahu perkara sebenar.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

2 comments:

  1. Ala merajuk pulak jejaka sorang ni, relax arr hisyam, qeela xde wat cmtu pny..
    Samdol tu bg dush2 je..

    ReplyDelete