Saturday, August 30, 2014

JEJAKA IDAMAN MALAYA - BAB 15


AQEELA memandu masuk kereta Perodua VIVA miliknya ke dalam kawasan rumah ibubapanya. Jam di dashboard dipandang. Dia menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dia dapat sampai awal walau sudah pukul lapan pagi kerana sudah berjanji dengan ibunya untuk sampai di kampung lebih kurang pukul tujuh setengah pagi.

“Kata lepas Subuh dah bertolak? Ini mesti kesiangan.” Pak Cik Arip yang sedang membakar sampah menegur Aqeela.

“Tidur semula lepas solat tadi. Kira okeylah ayah. Anak ayah selamat sampai.” Aqeela tersengih memandang ayahnya. Beg pakaiannya yang diletakkan di tempat duduk belakang diambil.

“Syukurlah dia dah sampai bang. Kenapa tak suruh Hisyam hantarkan? Kamu dah betul-betul sihat ke?” Mak Cik Hendon hanya berdiri memerhati Aqeela yang bersalaman dengan suaminya.

“Susahlah mak kalau nak suruh dia hantarkan. Nanti kalau nak suruh adik-adik pergi mana-mana, senang sikit. Guna aje kereta Qeela.” Aqeela mendekati emaknya dan bersalaman. Pipi tua itu dicium lembut. Kiri dan kanan.

“Ini kamu balik ke sini dah beritahu dia?” Mak Cik Hendon merenung wajah Aqeela.

“Sekejap lagi orang hantar mesej kat dia.” Aqeela terus masuk ke dalam rumah.

“Budah bertuah ni. Dah sampai baru nak beritahu. Patutnya sebelum bertolak lagi tadi dah cakap. Dah nak kahwin ni, perangai tak berubah. Ikut keras hati dia aje.” Mak Cik Hendon membebel. Dia turut masuk ke dalam rumah.

Pak Cik Arip hanya menggeleng dan tersenyum. Masak benar dengan perangai kedua-duanya.

Aqeela meletakkan beg pakaiannya di penjuru bilik. Mata meliar memerhati sekeliling. Semuanya serba baru. Almari baju, meja solek, katil, cadar, langsir semuanya sudah berubah wajah.

“Buat apa tukar semua kat dalam bilik orang ni, mak?” Aqeela hanya menjerit dipintu biliknya. Langsir pintu bilik dikuak sedikit. Berharap emaknya mendengar soalan yang ditanya.

“Mak mentua kamu yang suruh. Hadiah katanya. Mak pun segan. Tapi yalah dia dah beria-ia. Mak ikutkan aje.”

“Ohhh…” Hanya perkataan itu yang terluah.

Aqeela masuk semula ke dalam bilik. Dia duduk dibirai katil. Tersenyum sendiri. Bakal ibu mentuanya memang terlalu baik walau sedikit cerewet. Nampaknya dia bakal menjadi menantu kesayangan.

Bercakap hal menantu, dia teringatkan sesuatu. Beg tangan yang diletakkan di atas meja sisi dicapai. Telefon bimbit dikeluarkan. Teringat akan pertanyaan emaknya tadi. Dia memang terlupa akan hal itu. Satu pesanan ringkas dihantar kepada Hisyam.

+ Assalammualaikum. I baru sampai kampung. Lupa nak beritahu sebelum bertolak tadi.

Aqeela menunggu. Manalah tahu Hisyam akan membalas. Setelah sepuluh minit berlalu, tiada tanda-tanda pesanan ringkasnya berbalas. Mungkin si dia masih tidur lagi. Dia cuba berfikiran positif.

Dia bangkit. Almari baju dibuka. Secepatnya dia memasukkan pakaian yang dibawanya dan disimpan ke dalam almari. Setelah selesai semuanya, dia menukar pakaian harian yang biasa dipakai bila berada di rumah.

Sebelum keluar dari bilik, Aqeela membelek semula telefon bimbitnya. Manalah tahu dia tidak mendengar bunyi mesej masuk. Dia mengeluh. Tiada ikon sampul surat tertera pada skrin telefon bimbitnya. Telefon bimbit diletakkan kembali. Kaki dihayun lemah keluar dari bilik.

“Orang kalau nak kahwin, muka tu ceria. Senyum sepanjang masa. Ini macam cekodok basi dah kenapa. Kamu bergaduh dengan Hisyam ke?” Nampak saja kelibat Aqeela masuk ke dapur terus Mak Cik Hendon bertanya.

“Sakit semalam baru hilang. Takkanlah orang nak tersengih macam kerang busuk.” Aqeela sengaja memberi alasan. Masalah dia dengan Hisyam tak perlu dihebahkan kepada orang lain.

“Dah tahu diri tu ada gastrik, makan kenalah ikut masa. Pergi ambil nasi lemak tu makan. Mak tahu kamu mesti jamah roti ajekan tadi.” Muncung mulut Mak Cik Hendon menghala ke periuk nasi di atas dapur.

“Tak muatlah baju nikah orang macam ni. Siapa suruh mak masak sedap-sedap. Orang memang tak boleh tak makan masakan mak.” Aqeela mengambil sebiji pinggan di atas rak. Tutup periuk nasi dibuka. Kembang kempis hidungnya mencium aroma nasi lemak.

“Pandailah kamu salahkan mak pulak ya. Hari ni adik-adik kamu balik. Sekejap lagi sampailah tu,” beritahu Mak Cik Hendon dari tepi sinki. Dari tadi dia menyiang ikan sembilang untuk dibuat lauk tengahari nanti.

“Aqil dengan Aqif dah cuti semester ke mak?” Aqeela sudah melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Gayanya memang tidak sabar mahu menikmati nasi lemak sambal udang petai yang penuh dalam pinggannya.

“Belum lagi. Tengah study week katanya. Dua minggu. Alang-alang cuti, itu yang dia orang nak balik.”

“Kalau nak exam buat apa nak balik? Tak payahlah susah-susah. Ramai orang kan yang akan tolong kita nanti?” Aqeela memandang emaknya.

“Satu-satunya kakak kami nak kahwin. Takkanlah kami tak nak balik.” Sergah satu suara garau di belakang Aqeela.

Mak Cik Hendon menoleh. Kepala digeleng laju.

Tersedak Aqeela. Menggagau tangannya mencapai botol air mineral. Gelas dicapai. Air  dituang. Diteguknya rakus. Sekali teguk habis segelas. Tangan mengurut leher sebelum bertalu-talu dia memukul orang yang menyergahnya.

“Ada kakak tak nikah jumaat ni. Saja aje kan kau, Aqil.” Aqeela menjeling.

“Amboi! Garangnya orang nak kahwin ni.” Aqil capai sudu di pinggan Aqeela. Selamat satu suapan masuk ke mulut.

“Pergi ambil sendirilah.” Aqeela menarik rapat pinggan nasi lemaknya ke dada.

“Kak, apa kata sebelum kakak kahwin. Kakak layan kita orang. Kiranya macam praktikallah. So, nanti senang nak layan suami kakak tu.” Aqif cuba memberi cadangan.

“Amboi mak. Tengok anak bujang dua puluh tahun mak ni. Suka-suka aje mengarah kakak dia.” Aqeela dah jegilkan mata.

“Betul juga cakap Aqif tu.” Mak Cik Hendon mengiyakan percakapan anak bongsunya.

“Cayalah mak.” Aqil dan Aqif dah ber’high five’.

“Mak ni…” Aqeela membentak tapi dia bangun juga. Senyuman terukir di bibir. Bila lagi dia hendak melayan adik-adiknya. Selepas ini semuanya akan tertumpu kepada suaminya. Hisyam. Senyumannya padam bila nama itu menjelma.

“Ayah pun nak juga, Qeela.” Pak Cik Arip melaung kuat dari belakang rumah.

“Hai, abang. Tadi bukan dah bertambah dua pinggan ke? Nanti jangan bising pula perut tu dah makin membesar,” perli Mak Cik Hendon bila suaminya terpacul di pintu belakang.

“Sekali sekala tak apa. Seronok pula bila tengok semua dah ada ni.” Pak Cik Arip mendekati isterinya. Tangan yang kotor dibasuh.

“Nasi lemak sambal tumis udang petai Mak Cik Hendon mana boleh lepaskan, mak. Best in the world.” Aqil memuji. Dia menyorongkan cawan yang sudah dituang dengan air teh kepada ayahnya.

Pak Cik Arip yang duduk di hujung meja menyambutnya. Senyuman lebar terukir di bibir. Kelihatan dia sangat gembira dengan situasi sekarang.

Best in the world kan. Lepas makan ni, kamu berdua tolong mak kait buah kelapa. Biar lebih sikit. Boleh guna untuk majlis nikah kakak kamu nanti.” Mak Cik Hendon memandang anak-anaknya.

“Kata guna khidmat catering, mak?” Aqeela yang senyap dari tadi menyoal.

“Memanglah. Tapi malam tu ayah dengan mak nak buat kenduri doa selamat sikit. Kita masak sendiri. Jiran-jiran kita ni semua dah berpakat. Senang sikit kerja mak,” beritahu Mak Cik Hendon. Selesai menyiang ikan sembilang, dia turut duduk di meja makan.

“Banyak guna duit tu, mak.” Aqeela gigit bibir. Orang kampung mereka ramai. Semuanya saling mengenali. Setiap kali ada kenduri atau apa-apa majlis pastinya mereka akan hadir.

“Jangan risau pasal duit tu. Tahulah mak dengan ayah nak uruskan. Sekarang ni risau pasal diri kamu. Lepas makan ni, pergi rumah Kak Kiah. Berurut dengan mandi sekali. Kena buat tiga hari. Berseri sikit masa hari nikahnya nanti.” Mak Cik Hendon memandang wajah Aqeela.

“Kena ke buat semua tu? Lecehlah.” Aqeela dah memuncung.

“Kalau kakak tak nak suami cari lain. Kena buat semua tu.” Aqif mengusik.

“Kecik besar kecik besar aje kakak tengok kau, Aqif.” Aqeela bulatkan matanya.

“Bila masa pula orang kecik. Orang sekarang lebih besar dari kakaklah.” Aqif masih mahu mengusik.

“Eee…” Aqeela tuding jari kepada adiknya.

“Dah, dah. Makan. Nanti semua benda tak jalan.” Pak Cik Arip yang hanya mendengar sahaja perbualan isteri dan anak-anaknya mencelah. Dia bukan marah pun. Sesekali bila mereka berkumpul memang beginilah jadinya. Bergurau senda dan usik mengusik sudah menjadi kebiasaan mereka sekeluarga. Menambah keharmonian mereka anak beranak.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

2 comments:

  1. Aii hisyam x abis lg ke merajuk tu...udah2 le, kata jejaka idaman malaya...dlm hati ada taman pulak

    ReplyDelete