Saturday, August 30, 2014

JEJAKA IDAMAN MALAYA - BAB 16


CAHAYA yang menerjah masuk ke ruang kamar tidurnya membuat Hisyam terpisat-pisat membuka mata. Tangan kanan menghalang silauan cahaya dari terus masuk ke dalam mata.

“Dah, dah. Bangun. Nak jadi suami orang dah, Syam. Matahari pun dah naik tu.” Suara Datin Hanum yang sedang menyelak langsir pintu gelangsar menyapa gegendang telinga Hisyam.

“Hmmm…” Hisyam menggeliat malas. Gaya macam nak bangun tapi comforter ditarik menutupi seluruh badan. Angin pagi yang berpuput lembut menampar wajahnya membuatkan matanya terbuai layu.

“Bangunlah. Handphone tu menjerit aje dari tadi. Entah-entah Qeela telefon atau mesej ke.” Datin Hanum menarik comforter yang menyelubungi Hisyam.

“Mommy…Syam cuti hari ni.” Hisyam merengek bila tidurnya diganggu.

“Bangunlah. Rezeki tak masuk nanti,” bebel Datin Hanum lagi.

“Yalah, yalah.” Hisyam bangkit. Matanya masih terpejam.

“Cukup-cukuplah tidur tu. Solat subuh tak tadi?” Datin Hanum yang sedang mengutip pakaian kotor Hisyam memandang anaknya. Hisyam memang tak benarkan orang lain masuk ke bilik tidur dia melainkan orang tuanya.

“Dah.” Hisyam menjeling Datin Hanum.

“Turun sarapan. Lepas tu pergi butik ambil baju nikah.” Datin Hanum berpesan sebelum keluar dari situ.

Mata Hisyam liar memandang sekeliling. Mencari sesuatu. Sebelum tidur malam tadi rasanya dia letak pada meja sisi. Badannnya membongkok menjengah ke bawah. Senyuman nipis terukir. Nasib baik ada karpet tebal dihampar di situ. Kalau tidak memang ‘arwahlah’ telefon bimbitnya.

Segera diambil telefon bimbitnya. Jari menekan kekunci. Ada ikon sampul surat terpapar. Dia menekan. Nama Aqeela muncul. Hisyam mengeluh sebaik habis membaca. Telefon dicampakkan. Dia menuruni katil. Langkah diatur menuju ke balkoni.

Hisyam menggosok perlahan lengannya bila sejuk angin yang bertiup mengenai badan. Dia hanya berseluar pendek paras lutut tanpa baju. Badan bersandar pada kerusi malas yang memang terdapat di balkoni biliknya.

Peristiwa malam tadi bagai terlayar di depan matanya. Tika itu dia merasakan hatinya bagai dirobek bila melihat Aqeela yang mengerekot di atas lantai dengan tangan menekan perut. Betapa dia telah menjadi seorang yang kejam. Kejam kepada orang yang dia sayang bergelar tunangannya. Kenapakah dia begitu tega menidakkan kehadiran Aqeela hanya dengan sebaris kata-kata yang dilemparkan Farid? Atau mungkin kerana gambar yang ditunjukkan Farid?

Farid. Apakah sebenarnya motif lelaki itu memberitahu dia? Kenapa mesti gambar Aqeela tidak bertudung ada dalam simpanan lelaki itu? Adakah benar kata-kata lelaki itu? Atau lelaki itu sengaja mengumpan hati dia supaya mengubah keputusan yang telah diambil? Kenapa semua ini harus terjadi kepada dia? Kenapa? Kenapa?

“Arghhh!!!” Hisyam menguak rambutnya ke depan ke belakang sehingga kusut.

“Ya, Allah! Budak bertuah ni. Hilang akal ke apa, Syam? Menjerit macam orang gila.” Terjerit Datin Hanum yang berada di halaman rumah. Terperanjat mendengar jeritan yang bagaikan histeria itu.

Hisyam bingkas berdiri. Kedua-dua tangan direhatkan pada pagar balkoni. Tersengih memandang Datin Hanum di bawah.

“Jangan nak tersengih macam kerang busuk. Pergi mandi sana. Sarapan lepas tu keluar. Cepat pergi cepat balik. Jangan nak melencong pula. Awak tu berdarah manis.” Berjela Datin Hanum membebel.

Yes, Mem!” Hisyam membalas sebelum hilang ke dalam kamar tidurnya semula.

Lima belas minit kemudian, Hisyam sudah terpacul di ruang makan. Pakaian sudah berganti. Berbaju-T putih dan denim biru. Kemas dan wangi.

“Qeela ke yang telefon tadi?” Datin Hanum yang baru masuk ke dalam rumah bertanya.

“Dia hantar mesej.” Hisyam yang sedang menceduk bihun goreng ke dalam pinggan menoleh sekilas ke arah mommynya.

“Mesej apa? Dia sakit lagi ke?” Datin Hanum menarik kerusi bertentangan dengan Hisyam.

“Dah sampai kampung.” Hisyam menjawab malas.

“Dah sampai kampung? Drive sendiri? Dah sihat ke dia? Kenapa Syam tak hantarkan?” Bagai peluru M-16 soalan yang keluar dari mulut Datin Hanum. Bertubi-tubi.

“Dia dah sihatlah tu, mommy. Gastrik aje pun.” Hisyam menjeling Datin Hanum. Terasa seperti bihun yang masuk ke dalam mulut tersekat di kerongkong. Mommynya ini seolah-olah menyalahkan dia.

“Memanglah gastrik aje. Tapikan lebih bagus kalau kamu yang hantarkan dia.” Datin Hanum menggeleng. Kesal mendengar bakal menantunya memandu sendiri pulang ke kampung.

“Hesy…bukan mommy cakap tak manis ke sana ke sini berdua ke sebab tinggal berapa hari aje lagi ni.” Hisyam cuba mengingatkan Datin Hanum akan pesanan yang pernah diberitahu kepada dia. Dia tersenyum.

“Ingat. Mommy belum tua lagi pun.” Datin Hanum menjeling. Wajah dimasamkan.

“Mommy Syam kan awet muda.” Hisyam mula memuji. Dia tahu dengan cara itu saja Datin Hanum akan tersenyum semula.

“Membodeklah tu. Nanti lepas ambik baju terus balik rumah tau.” Datin Hanum berpesan sekali lagi. Senyuman turut menghiasi wajahnya.

“Kalau tangguhkan pernikahan ini boleh tak, mommy?” Hisyam meletakkan garfu di atas pinggan. Cawan berisi kopi diambil. Disisipnya perlahan.

What?! Syam jangan nak buat gila. Kad semua dah edar, saudara mara kita semua dah tahu, catering dah tempah, pelamin semua, wedding planner pun dah bayar. No, no, no.” Menjerit Datin Hanum. Matanya membuntang memandang Hisyam.

Terbatuk-batuk Hisyam mendengar suara nyaring Datin Hanum. Sungguh inilah pertama kali dia mendengar suara mommynya meninggi satu oktaf.

“Syam tanya aje. Kalau tak boleh tak apalah. Kenapa mommy nak kalut sangat?” Hisyam bersuara kembali setelah batuknya reda.

“Dah awak tu tanya soalan luar alam. Manalah mommy tak melatah.” Datin Hanum ketap bibir.

“Cuba nasib.” Hisyam tertawa.

“Ini bukan perkara main-main, Syam. Kamu yang nak cepatkan pernikahan ni. Macam dah tak sabar sangat masa tu.” Pelik Datin Hanum bila Hisyam melontarkan soalan sedemikian sebenarnya.

“Entahlah, mommy. Rasa macam semua ni terlalu pantas. Syam salah buat keputusan ke, mommy?” Sayu pandangan Hisyam memandang Datin Hanum.

“Astaghfirullahaladzim. Mengucap Syam oiii... Solat istiharah yang Syam buat tu kan yang menggerakkan hati Syam. Jangan nak salahkan hati yang digerakkan Allah tu.” Mengucap panjang Datin Hanum. Kenapalah Hisyam boleh terfikir begini.

“Syam tak pernah salahkan takdir, mommy. I just don’t know.” Syam memandang ke tingkap. Tidak mahu Datin Hanum perasan kekeruhan pada wajahnya.

“Jangan nak fikir yang bukan-bukan. Dah mommy tak nak dengar lagi Syam merepek pasal nak tangguh-tangguh ni. Pergi ambik baju nikah tu.” Datin Hanum terus bangun. Tidak mahu melayan lagi kata-kata mengarut Hisyam.

Hisyam keluarkan telefon bimbit selepas kelibat Datin Hanum hilang. Jari jemarinya laju membalas pesanan ringkas yang dihantar Aqeela tadi. Selepas itu, dia segera bangkit. Dia kena pergi sekarang sebelum Datin Hanum muncul semula dan membebel.

“Assalammualaikum, bro. Kau free tak sekarang ni? Aku singgah kedai kau sekejap lagi. Aku pergi ambik baju nikah dulu. Jumpa nanti, bro. Bye.” Hisyam tersenyum. Dalam keadaan sekarang dia memerlukan teman untuk dia meluahkan perasaan. Hanya Syakir dan Thaqif saja yang memahami dia.

Hisyam menekan butang pada alat seperti rantai kunci. Pintu pagar terbuka perlahan-lahan. Elok saja ianya terbuka luas, gear ditukar. Brek tangan diturunkan. Dengan lafaz bismillah dia menggerakkan keretanya meluncur laju keluar dari rumah banglo itu.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

2 comments: