Saturday, August 30, 2014

JEJAKA IDAMAN MALAYA - BAB 17


SUASANA di rumah keluarga Aqeela riuh rendah. Semua saudara mara sebelah ayah dan emaknya sudah berkampung. Jiran tetangga juga turut serta membantu. Semuanya bergotong–royong membuat persediaan untuk majlis doa selamat malam ini.

“Hisyam tak ada telefon ke?” Mak Cik Hendon memandang Aqeela yang sedang ralit menghiris daun pandan untuk dijadikan bunga rampai.

“Tak.” Aqeela jawab acuh tak acuh.

“Takkanlah tak telefon langsung? Sekurang-kurangnya bertanya khabar dengan tunang dia ni hah.” Berkerut dahi Mak Cik Hendon mengenangkan sikap bakal menantunya.

“Dia sibuk agaknya, mak. Buat persiapan.” Aqeela memandang sekilas emaknya.

“Persiapan apanya? Pihak lelaki mana ada buat apa-apa pun. Semuanya Datin Hanum dah tempah. Hisyam tu goyang kaki aje.” Mak Cik Hanum menyambung leterannya.

“Adalah hal lain tu, mak. Esok dia dah jadi menantu mak. Mak tanyalah sendiri dekat dia.” Aqeela mengeluh. Seboleh mungkin dia tidak mahu memburukkan Hisyam kepada orang lain terutama sekali emak dan ayahnya.

Memang Hisyam tidak pernah menghubungi dia sejak dari dia mula bercuti. Pesanan ringkas yang dia hantar tempohari pun hanya dibalas okey saja. Dia sendiri pening. Tidak tahu apa punca tunangnya itu bersikap sedemikian.

“Termenung pula. Dah pergi ke depan tu. Adik kamu cakap si Abby dengan Naz dah sampai. Ajak mereka berdua tu masuk,” beritahu Mak Cik Hendon.

“Mak sambung eh. Orang keluar sekejap.” Aqeela terus bangun dan keluar ke depan mendapatkan teman-temannya. Lega sebab boleh melarikan dari soalan-soalan maut emaknya.

“Tak kuasa mak lah. Za, kamu tolong sambung buat kerja ni. Orang-orang muda sesuailah buat benda ni.” Mak Cik Hendon menghalakan muncungnya pada daun pandan yang bersepah di atas meja makan kepada gadis berkurung kuning yang sedang bersimpuh di atas lantai.

Korang!!!” Aqeela menjerit. Terasa macam lama benar dia tidak bersua muka dengan dua orang teman baiknya itu.

“Qeela!” Serentak Abby dan Shahnaz menyahut.

Ketiga-tiga mereka berpelukan dan menjerit kegembiraan.

“Qeela, pergi masuk dalam. Malu ditengok orang ni.” Pak Cik Arip menegur perlakuan anaknya. Gembira sangat sampai tidak memikirkan orang sekeliling yang memandang.

Aqeela tersengih. Dua jari tanda keamanan ditunjukkan kepada ayahnya.

“Jomlah masuk dalam.” Aqeela menolong mengangkat satu beg pakaian temannya itu.

“Wah, cantiknya!” Abby merenung pelamin mini yang sudah siap dipasang di ruang tamu.

“Apa warna tema kau, Qeela?” Shahnaz memaut tangan kanan Aqeela.

“Tak ada tema pun. Cuma aku cakap dekat mak aku, aku suka warna putih. Nampak bersih dan suci.” Aqeela tersenyum. Ini pun nasib baik Kak Syu sekepala dengannya.

“Okeylah tu. Aku pun suka putih. Eh! Bilik pengantin mana?” Abby mencelah.

“Ni hah. Malam ni korang tidur dengan aku.” Aqeela menyelak langsir di sebelah kirinya.

“Errr…tak apa ke kita orang rasmikan dulu?” Shahnaz menarikan keningnya.

“Aah, Qeela. Hisyam okey ke?” polos Abby bertanya.

“Dah tu korang nak tidur mana? Sini?” Aqeela menuding jari ke lantai. Bukan dia tak faham usikan teman-temannya. Kalau dilayan makin menjadi nanti. Lebih baik dia putar soalan.

“Eleh. Shy-shy cat pula kawan kita ni, Naz.” Abby sudah bertepuk tangan dengan Shahnaz.

“Tak ada maknanyalah nak shy-shy cat bagai. Katil ni besar. Muat kut untuk kita bertiga.” Aqeela mencampakkan badannya ke atas katil.

Abby dan Shahnaz berpandangan sesama mereka. Tersenyum-senyum. Seolah-olah memahami kata hati masing-masing. Lalu mereka berdua turut berbuat perkara yang sama seperti Aqeela.

“Mesti kau seronok kan. Berkahwin dengan orang yang suka pada kita. Tak sangka jodoh kau cepat. Umur dua puluh lima status dah bertukar.” Abby memandang siling. Tersenyum mengenangkan kebahagian yang bakal Aqeela tempuhi.

“Haruslah, Abby. Siapa sangka tak sampai sebulan, Encik Hisyam tu terus nak memperisterikan Qeela. Bercinta selepas nikah barulah syok.” Shahnaz turut tersenyum sama.

Aqeela mengeluh. Sebenarnya dia tidak bermaksud untuk mengganggu mood teman-temannya. Tapi dia sudah tidak sanggup menanggungnya seorang diri.

“Hei, kenapa ni?” Abby mengiring. Tangan mengampu kepala. Pandangannya mencerlung wajah Aqeela.

“Kenapa, kenapa?” Shahnaz yang tidak tahu apa-apa turut mengiring memandang Aqeela yang berada di tengah-tengah antara dia dan Abby.

“Dari mula aku bercuti sampai ke hari ni dia langsung tak call aku. SMS pun hanya sekali. Itu pun sebab aku beritahu dia aku dah sampai kampung.” Pandangan Aqeela tegak merenung siling.

“Takkanlah Encik Hisyam macam tu. Kali terakhir jumpa kau dengan dia, aku tengok elok aje.” Abby herotkan mulutnya ke kiri ke kanan. Sukar menerima apa yang baru didengarnya.

“Aku pun suka tengok kau dengan Encik Hisyam masa tu. Tenung merenung. Usik-mengusik. So sweet.” Shahnaz tersenyum.

“Masa tu memanglah dia macam tu…” Aqeela berjeda seketika.

“Petang tu, mood dia terus berubah. Diam. Muka pun tak seceria selalu. Selalunya kami akan pergi makan dulu tapi tidak pada hari itu. Dia terus hantar aku balik rumah.” Aqeela terkebil-kebil. Masih terbayang apa yang berlaku pada hari terakhir dia bersama dengan Hisyam.

“Agaknya dia ada darah gemuruh tak? Maklumlah nak jabat tangan tok kadi.” Abby cuba menyedapkan hati Aqeela.

“Betul cakap Abby tu, Qeela. Abang ipar aku dulu pun macam tu juga. Seminggu dia tak contact kakak aku. Emak aku ada juga bising-bising. Tapi selepas nikah abang ipar aku beritahu kenapa dia jadi macam tu.” Cerita Shahnaz bersungguh-sungguh.

“Kenapa?” Aqeela tenung muka Shahnaz.

Nervous sampai tahap tak nak dengar suara kakak aku. Takut bila tok kadi goncang tangan aje tertukar nama orang lain.” Shahnaz ketawa.

“Poyolah abang ipar kau.” Aqeela menepuk bahu Shahnaz. Dia bangkit dan duduk bersila.

Terburai terus ketawa mereka bertiga.

“Kak! Emak suruh kau pergi rumah Kak Kiah.” Terdengar suara Aqif melaung dari luar bilik Aqeela.

“Okey!” Aqeela pandang muka teman-temannya. Terasa seperti ringan sedikit bahunya selepas meluahkan apa yang tersimpan dalam hati.

“Kak Kiah tu siapa?” Abby sudah turun dari katil.

“Jiran aku. Dah dua hari aku berurut dan mandi spa dekat rumah dia. Hari ni last kena buat.” Aqeela turut turun dari katil.

Bestnya. Nak ikut boleh?” Shahnaz yang sudah berdiri memerhati Aqeela mengenakan tudung.

No problem. Bawa baju ganti sekali. Manalah tahu kut-kut korang pun nak join mandi jugak.”

“Errr…boleh ke?” Shahnaz yang sedang menyelongkar beg pakaiannya bertanya.

Abby yang sudah bertinggung di sebelah Shahnaz turut sama memandang Aqeela.

No problem. Kak Kiah tu lagi suka kalau ramai yang nak gunakan perkhidmatannya.” Aqeela tersenyum. Beg yang selalu dibawanya ke rumah Kak Kiah sudah digalas.

“Jom.” Abby bersuara. Serentak dia dan Shahnaz berjalan mendekati Aqeela.

“Abby, Naz, terima kasih.” Aqeela memeluk kedua-dua temannya serentak.

“Qeela, jangan macam ni. Mungkin Encik Hisyam ada alasan tersendiri.” Abby menyeka airmata yang mula mengairi tubir mata Aqeela.

What friends are for, Qeela. Tak perlu nak berterima kasih.” Shahnaz anggukkan kepala. Cuba memberi kata-kata semangat kepada Aqeela.

“Jangan sedih-sedih lagi. Esok kau nak menikah. Lari mood tu nanti.” Abby pula memujuk.

Thanks again. Aku memang terhutang budi dengan korang.” Aqeela pamer senyuman nipis.

Ketiga-tiga mereka memandang ke pintu bilik bila langsir pintu diselak.

“Ya Allah, tak pergi-pergi lagi!” sergah Mak Cik Hendon. Matanya dibuntangkan kepada Aqeela.

“Nak pergilah ni. Jom.” Aqeela menarik tangan kedua-dua temannya.

Mak Cik Hendon hanya menggeleng. Dia kembali semula ke ruang dapur.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

No comments:

Post a Comment