Saturday, August 30, 2014

JEJAKA IDAMAN MALAYA - BAB 19


AQEELA keluar semula dari bilik tidurnya setelah selesai menunaikan solat isyak. Sedari tadi bayang Hisyam langsung tidak kelihatan. Mungkin sedang berbual dengan ayah dan adik-adik agaknya. Saudara-maranya semuanya sudah pulang sebelum maghrib tadi.

“Mak.” Aqeela menjenguk bilik tidur Mak Cik Hendon. Dia menghayun langkah mendekati emaknya yang baru sahaja selesai menunaikan solat. Dengan selamba kepalanya dibaringkan di atas paha emaknya. Badannya diiringkan.

“Kamu ni. Kenapa manja semacam? Dah jadi isteri orang kan.” Mak Cik Hendon mengelus lembut rambut Aqeela walau mulutnya berbunyi lain. Satu-satunya anak perempuan yang dia ada kini telah diserahkan kepada orang lain.

“Masa mula-mula mak dengan ayah kahwin macam mana dulu?” Aqeela mula menyoal.

“Kami dulu lain. Pilihan keluarga. Tak macam orang sekarang.” Mak Cik Hendon merenung ke depan. Tersenyum mengenangkan kisah dia dan suaminya.

“Mak dengan ayah pernah jumpa tak sebelum bernikah?”

“Tok abah kamu tegas. Tengok muka pun dia tak bagi. Takut basi lepas nikah nanti katanya.”

“Tapi mak dengan ayah bahagia.” Aqeela tersenyum. Kemesraan emak dan ayahnya memang jelas terpancar walau sudah lebih suku abad mereka berkahwin.

“Bercinta selepas nikah ada hikmahnya.” Mak Cik Hendon tersenyum.

“Betul ke? Mak tahu kan orang ni macam kahwin ekspres. Tak bercinta langsung,” beritahu Aqeela.

“Semua tu boleh berubah. Perlahan-lahan.”

“Berubah?”

“Aah…bila dah duduk serumah. Segala buruk baik perangai suami kita akan terserlah. Masa tulah kita kenal siapa suami kita,” beritahu Mak Cik Hendon tenang.

“Aduhhh…Qeela ni banyak perangai buruk dari baik. Macam mana ni, mak?”

“Mak yakin Hisyam boleh terima tu semua. Cuma mak nak ingatkan dalam segala hal perlu mendahulukan suami. Keredhaan suami juga penting sebab tu syurga isteri di bawah telapak kaki suami.” Tangan Mak Cik Hendon masih melurut rambut Aqeela. Dulu emaknya turut memberi kata-kata nasihat seperti ini. Tidak sangka sekarang kata-kata itu diperturunkan kepada Aqeela pula.

“Kalau kita dah buat semua tu tapi suami tak hargai macam mana, mak?” Aqeela telentangkan badan menatap wajah tua Mak Cik Hendon.

“Kata anak mak kreatif? Fikirlah macam mana nak dia lebih menghargai kita. Insya-Allah usaha tu Allah akan balas.” Mak Cik Hendon tersenyum.

“Laaa…dekat sini rupanya kamu. Hisyam dah masuk bilik tu. Pergi tengok apa yang suami kamu nak.” Pak Cik Arip yang baru masuk hanya menggeleng. Ingatkan dah berkahwin perangai manja Aqeela dengan isterinya akan berkurang. Rupa-rupanya sama sahaja.

“Baru nak manja-manja dengan mak. Ayah jealouslah tu.” Aqeela duduk. Pura-pura marah dekat Pak Cik Arip.

“Tak ada maknanyalah ayah nak jealous sebab ayah tahu mak kamu tak boleh jauh dari ayah.” Pak Cik Arip tertawa.

“Saya ke? Bukan awak?” Mak Cik Hendon menjeling manja. Telekung yang dipakai dibuka.

“Qeela keluar dululah. Tak sanggup nak dengar. Selamat malam mak. Selamat malam ayah.” Mencicit Aqeela keluar dari bilik orang tuanya.

Aqeela tidak terus ke bilik tidurnya. Dia pasti Hisyam mesti belum tidur sebab baru sahaja masuk ke bilik. Langkahnya dilencongkan ke dapur. Tekaknya rasa haus tiba-tiba. Agaknya semua perempuan yang baru menempuh alam perkahwinan mengalami keadaan macam dia. Berdebar.

Langkahnya lemah menapak menuju ke bilik tidur. Pelbagai rasa memenuhi ruang dadanya. Berdebar, malu, sedih, gembira. Semuanya bercampur aduk. Seminggu tidak bercakap dan bersua muka dengan Hisyam, tiba-tiba dia rasa kekok.

“Kak, kau nak pergi mana?” tegur Aqil yang sedang menonton televisyen di ruang tamu.

Aqeela mendongak. Pintu tapi bukan pintu bilik. Baru dia perasaan yang dia terlajak sebenarnya.

“Panas.” Selamba Aqeela menguak pintu depan. Konon-knonnya bagi angin luar masuk ke dalam rumah.

“Abang Hisyam dah kat dalam.” Aqif tersengih-sengih. Keningnya turut menari.

“Biarlah dia. Korang tengok cerita apa ni?” Aqeela menghenyakkan punggung di sebelah Aqil.

Maleficient.” Aqil menggumam.

“Wei…ini kan cerita baru. Sah korang dah melanunkan filem ni kan.” Aqeela menumbuk perlahan bahu Aqil. Masak benar dengan perangai adik-adiknya.

“Nak hilangkan tekananlah, kak. Penat belajar. Minggu depan dah exam.” Aqil menggosok bahunya.

“Tekananlah sangat kan. Kata nak jadi engineer. Kenalah sabar.” Aqeela terus baring dihujung sofa. Kakinya sengaja didaratkan atas paha Aqil.

“Pergi masuk dalamlah, kak. Kesian abang Hisyam tidur sorang-sorang tu.” Aqil cuba menolak kaki Aqeela.

“Akak pun belum tengok cerita ni. Sekejap lagilah akak masuk.” Aqeela keraskan kakinya walau ditolak berkali-kali. Matanya merenung kaca televisyen namun fikirannya menerawang ke tempat lain. Lama-lama dia rasakan dirinya bagai di awang-awangan.

Aqeela menggeliat bila merasakan badannya digoncang.

“Kak, dah pukul dua ni. Kami nak masuk tidur,” beritahu Aqil. Dia dan Aqif terus masuk ke bilik tidur masing-masing.

“Hurmmm…” Aqeela duduk. Matanya digosok perlahan. Rasa kantuknya memang tak boleh dikawal. Maleficient ke mana dia ke mana. Hancur. Dia menoleh ke pintu bilik tidurnya bila mendengar pintu itu dibuka.

Hisyam terjengul dan berlalu ke dapur.

Pergi bilik air agaknya, fikir Aqeela. Dia kembali melayan mata yang hampir terpejam. Malas betul nak masuk ke bilik.

“You tak nak masuk tidur ke?” Hisyam yang sudah berdiri di depan pintu bilik memandang Aqeela.

“Hmmm…” Aqeela terus berdiri. Terperanjat dengan teguran Hisyam. Dia tidak terus masuk ke bilik tetapi menuju ke bilik air.

Lima minit kemudian, Aqeela sudah berada di dalam bilik tidur. Matanya memerhatikan Hisyam yang sudah terlelap. Dia mendekati penyidai. Sejadah diambil dan dihamparkan. Telekung dipakai. Sudah seminggu rutin solat sunat tahajjud ini dia amalkan.

Hatinya kini tenang kembali setelah mengadu kepada yang maha Esa. Perlahan-lahan Aqeela menyidai kembali sejadah dan telekung yang telah digunakan.

Nafas ditarik dalam-dalam sebelum dihembuskan perlahan. Kakinya diatur mendekati katil. Badan dibaringkan perlahan di sebelah Hisyam. Takut pergerakannya mengganggu tidur Hisyam yang mengiring menghadap dia.

Baru sahaja kepalanya diletakkan di atas bantal terasa Hisyam bergerak. Posisi Hisyam berubah membelakangkan dia. Aqeela memegang dada. Nampaknya malam pertama dia tidak sama macam orang lain. Kalau pun tidak melakukan perkara yang satu itu. Sekurang-kurangnya dapat juga tidur lena berbantalkan lengan suami tetapi dia hanya dapat melihat belakang Hisyam.

Aqeela turut mengiring membelakangkan Hisyam. Tahu apa yang dia buat itu salah tapi kalau orang dah tak sudi dia nak buat macam mana. Dia reda. Mata cuba dipejamkan namun fikirannya yang tidak tenteram gagal membuatkan dia lelap semula.

Akhirnya Aqeela mengambil keputusan untuk tidur di atas lantai beralaskan karpet. Perlahan-lahan dia bangkit dan berdiri. Hanya satu bantal sahaja diambil. Dia kembali meletakkan kepalanya. Doa tidur dibaca dalam hati. Matanya ditutup.

“You, bangun solat subuh.”

Aqeela terasa seperti di alam mimpi. Dia membiarkan sahaja panggilan suara itu.

“Qeela, tinggal lima belas minit sahaja lagi nak pukul tujuh.”

“Huh?!” Kelam kabut Aqeela bangkit.

Baru sahaja nak memulas tombol pintu dia menoleh semula ke katil. Bukan dia tidur di bawah ke semalam. Dia merenung Hisyam. Yang dia nampak hanyalah senyuman sinis lelaki itu.

“Apa-apa ajelah.” Aqeela menggumam sendiri.

“Lewat betul ni,” tegur Mak Cik Hendon yang sedang sibuk menyediakan sarapan di dapur.

Aqeela langsung tidak menyahut. Dia terus masuk ke dalam bilik air. Tidak sampai satu minit dia keluar semula.

“Sekejapnya ambil wuduk? Tak mandi?” perli Mak Cik Hendon.

Period.” Acuh tak acuh sahaja Aqeela menjawab.

Dia kembali semula ke dalam bilik. Pandangan tajam Hisyam yang memerhati gerak-gerinya langsung tidak dihiraukan. Dia menyelongkar tempat yang biasa dia simpan stok tuala wanitanya. Tiada. Kosong. Almari baju dibuka. Habis diselak lipatan baju yang kemas tersusun. Namun hampa. Dia membuka setiap laci. Tiada juga.

“Arghhh!!!” Aqeela menepuk dahi. Macam mana dia boleh lupa benda penting itu.

“You cari apa?”

Aqeela tidak menjawab sebaliknya dia mendekati meja sisi. Laci dibuka. Sekeping not warna merah diambil kemudian dia melangkah keluar.

“Mak, Aqil, Aqif dah bangun?”

“Tidur balik lepas subuh tadi.”

“Ayah?”

“Dah pergi kebun.”

“Alah…siapa nak tolong orang ni. Pad dah habis?” Aqeela merungut.

“Dah tahu nak sampai masa, kenapa tak beli siang-siang?” bebel Mak Cik Hendon.

“I tolong belikan.” Hisyam menegur di belakang Aqeela.

“Hah, baguslah tu. Minta tolong suami kamu tu belikan.” Mak Cik Hendon menyokong cadangan Hisyam.

“Errr…” Aqeela ketap bibir. Muka Hisyam dipandang.

“You nak yang ada wing ke?” Serius sahaja muka Hisyam bertanya.

“I nak yang overnight.”

Brand? Berapa? Dua bungkus?”

“Tak kisah apa jenama pun yang penting yang overnight. Satu aje dah cukup.” Aqeela mengambil tangan kanan Hisyam dan diletakkan not sepuluh ringgit di tapak tangan lelaki itu.

I don’t need this. You sekarang dah jadi tanggungjawab I.” Hisyam memulangkan semula duit tersebut.

Whatever.” Aqeela terus masuk ke bilik.

“Biasalah, Syam. Orang datang bulan memang macam tu.” Mak Cik Hendon yang memerhati drama sebabak anak dan menantunya cuba berseloroh.

“Saya pergi dulu, mak.” Hisyam tersenyum dan terus berlalu.



AQEELA tarik kerusi bulat. Punggung dilabuhkan di situ. Tuala yang tersangkut di bahu dibawa ke atas kepala. Perlahan-lahan dia menggosok rambutnya. Matanya melirik ke pintu bila mendengar seperti pintu dibuka. Hisyam yang baru masuk ke bilik dipandang dari cermin.

“I nak balik rumah mommy.” Hisyam menghempaskan badannya di atas katil. Tangan naik memicit kepala. Penat memikirkan perkara yang satu itu.

“Takkanlah dah nak balik sana. Apa kata ayah dengan mak nanti? Apa Qeela nak cakap dengan mereka?” Aqeela berpusing menghadap Hisyam. Tangannya mengurai rambut yang sedikit kusut.

“I aje yang balik. You just stay here.” Hisyam mendengus. Tidak suka bila keputusannya dibidas.

“Apa kata mommy nanti bila tengok abang balik sana sorang-sorang?” Aqeela bangun dan mendekati Hisyam. Dia duduk di birai katil. Wajah Hisyam dipandang.

She’s my mommy. Tahulah I nak jawab apa.” Hisyam menjeling. Telefon bimbit dikeluarkan dari kocek seluar. Tumpuannya dialihkan pada skrin telefon.

“Baru sehari kita menikah abang dah buat perangai.” Aqeela tunduk. Jari jemarinya bermain dengan hujung rambut. Tidak faham kenapa perangai Hisyam berubah tiga ratus enam puluh darjah.

“Buat perangai apa? Jangan nak pandai-pandai mengata orang. Cermin diri you sikit.” Oktaf suara Hisyam meninggi. Bengang bila dituduh begitu. Ikutkan hatinya yang panas pantas sahaja dia bertanyakan kisah sebenar Aqeela dan Farid.

Terhinggut bahu Aqeela. Terperanjat mendengar suara Hisyam yang meninggi. Diakah yang bersalah? Siapa yang buat perangai sebenarnya? Dia atau Hisyam?

“Qeela minta maaf kalau abang tersinggung. Qeela tak maksudkan apa-apa. Tak bolehkah abang tunggu sehari dua. Kesian mak dengan ayah. Rumah pun tak habis berkemas lagi.” Aqeela mengurut lembut lengan Hisyam.

Berharap lelaki itu memahami situasi yang sedang mereka hadapi. Kalau tidak mengenangkan lelaki ini bergelar suami memang sudah dibalas dengan kata-kata kasar. Kalau tidak kerana nasihat emak syurga seorang isteri terletak di telapak kaki suami memang terlepas juga perkataan kurang enak dari mulutnya.

Don’t touch me. Kemaskan baju I.” Hisyam menepis tangan Aqeela. Dia beranjak menjauhi Aqeela. Badan disandarkan pada kepala katil. Matanya masih ralit memandang telefon bimbit.

Aqeela menghela nafas panjang. Wajah Hisyam dipandang seketika. Tipulah kalau dia tidak terasa dengan penolakan Hisyam. Cuma dia tidak faham kenapa Hisyam jadi begini. Perlahan-lahan dia bangun. Kakinya diheret mendekati almari baju. 

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

4 comments:

  1. Kak syeena saya xsuke hisyam.. :|

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kesian Hisyam...dia tersalah dengar aje... ;)

      Delete
  2. saya faham apa y dilalui hisyam...ada lelaki yg perangai mcm ni...termasuk sy....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ada eh....ini cuma imiginasi saya....thanks Samuel iman Adams sudi baca cerita ni...

      Delete