Saturday, August 30, 2014

JEJAKA IDAMAN MALAYA - BAB 20


AQEELA mengemas baju-bajunya yang akan dibawa ke rumah mentuanya. Hari ini Hisyam akan mengambil dia. Ayah, emak dan adik-adiknya akan menyusul kemudian menaiki keretanya.

“Dah telefon Hisyam, Qeela?” tanya Mak Cik Hendon di muka pintu bilik. Tak faham dia kenapa mesti Hisyam tinggalkan Aqeela di kampung sendirian.

“Dia dah mesej tadi. Sekejap lagi sampailah tu.” Aqeela tersenyum.

“Yalah.” Mak Cik Hendon keluar semula.

Aqeela termenung. Teringat kembali kejadian sehari selepas dia dan Hisyam menikah. Entah di mana silapnya. Dia tidak pasti. Mahu atau tidak dia dan Hisyam sudah sah menjadi suami isteri. Buruk atau baik perangai lelaki itu dia harus menerimanya.

“Dah siap?” Satu suara menegur.

“Hmmm…” Aqeela mendongak.

Segera dia memasukkan baju yang terakhir ke dalam beg sebelum bingkas bangun. Tudung ekspres yang diletakkan di atas katil dicapai. Dia mengekori langkah Hisyam yang menjinjing beg bajunya keluar dari bilik.

“Mak, kami pergi dulu. Jangan lambat pula. Bersanding pukul dua.” Aqeela bersalam dengan emaknya.

“Yalah.” Mak Cik Hendon turut keluar ke halaman rumah.

“Hati-hati bawa kereta tu, Syam.” Pak Cik Arip menepuk bahu Hisyam selepas mereka bersalaman.

Hisyam hanya tersenyum.

Sepanjang perjalanan yang mengambil masa lebih kurang setengah jam, tiada sepatah suara pun keluar dari mulut masing-masing. Aqeela lebih senang memandang ke luar. Bila telefon bimbitnya bergetar dibeleknya. Dia leka membalas puluhan pesanan ringkas ucapan tahniah yang dihantar teman-temannya sehingga tidak sedar kereta yang dipandu Hisyam telah masuk ke perkarangan banglo milik mentuanya.

“Sampai pun.”

Aqeela memandang ke sisi bila terasa pintu kereta dibuka. Dia tersenyum. Pandangannya beralih ke sebelah kanan. Baru dia perasan yang Hisyam sudah keluar. Sanggup lelaki itu membiarkan dia sendirian di dalam kereta.

“Dah siap berkemas dekat rumah sana?” Datin Hanum memeluk kemas bahu Aqeela setelah Aqeela bersalaman dengannya.

“D..dah, dah.” Aqeela tersenyum kelat. Rasanya dia boleh agak semua itu alasan Hisyam yang diberitahu kepada Datin Hanum.

“Jom masuk. Qeela dah makan?”

“Dah mommy.” Aqeela pamer senyuman. Sempat dia bersalaman dengan saudara mara Hisyam yang ada di ruang tamu.

“Kalau macam tu, terus naik ke bilik. Mak andam dah tunggu. Pukul dua belas dah kena gerak ke hotel.”

Aqeela hanya mengangguk. Dia memanjat tangga. Setibanya di atas dia termangu sendiri. Mencari-cari bilik mana satukah yang perlu dia masuk. Sedang dia kalut begitu, dia ternampak Hisyam keluar dari bilik paling hujung. Laju dia menuju ke situ.

“You bersiap dulu. I ada kerja sikit dekat bawah.” Serius sahaja wajah Hisyam sewaktu mereka bertembung. Langsung tiada senyuman.

Aqeela angguk dan terus masuk ke dalam bilik.

Sejam kemudian Aqeela sudah bersantai di ruang tamu. Senyuman langsung tidak lekang dari bibirnya. Semua memuji dia nampak sangat cantik dengan gaun putih meleret, tudung berwarna perak dan kepala dihiasi layah panjang berwarna putih. Itu bukan yang dia harapkan. Kata-kata pujian akan lebih bermakna jika keluar dari mulut Hisyam.

Buat masa sekarang Aqeela tidak mahu memikirkan sengketa dingin antara dia dan Hisyam. Dia lebih selesa berbual-bual dengan sepupu-sepupu Hisyam yang kebanyakannya hampir sebaya dengan dia. Seronoknya bila ada ramai saudara perempuan. Sepupu-sepupu dia lebih ramai lelaki berbanding perempuan.

“Kak Qeela, ada orang nak jumpa dekat luar.” Salah seorang sepupu Hisyam memberitahunya.

Berkerut dahi Aqeela memikirkan siapa gerangan yang ingin bertemu dengannya. Perlahan dia berjalan keluar.

“Qeela.”

“Kau. Macam mana kau tahu aku ada dekat sini?”

“Aku telefon mak kau dekat kampung. Dia yang bagi alamat rumah mentua kau.”

“Duduklah.” Aqeela menjemput tetamu yang tidak diundang itu duduk di kerusi yang terdapat di luar rumah.

“Selamat pengantin baru, Qeela. Kau nampak berseri. I’m happy for you.”

Thanks. Kau dengan Farid bila lagi? Aku rasa dah lama juga korang bertunang.”

“Suami kau mana?” Soalan Aqeela dijawab dengan soalan.

“Ada.” Aqeela menoleh ke pintu utama bila terperasan Hisyam seperti mencarinya. Lelaki itu nampak kacak bertuxedo putih sepadan dengannya. Menepati ciri-ciri jejaka idaman Malaya seperti yang digelarkan rakan-rakan sepejabatnya.

“Dah lama sampai?” tegur Hisyam pada Anidah. Dia mendekati Aqeela. Kerusi di sebelah Aqeela diduduknya.

“Selamat pengantin baru. Farid kirim salam. Dia tak dapat datang. Baru lepas sedar dari koma.” Anidah menunduk. Matanya menekur lantai.

“Koma? Accident ke? Bila? Kenapa tak beritahu aku?” Aqeela tegakkan badan. Memang dia sudah lupakan Farid tetapi dia masih anggap lelaki itu sebagai kawan.

Hisyam menjeling Aqeela. Pertanyaan Aqeela seolah-olah mengiyakan kata-kata Farid.

“Selepas balik jumpa dengan Hisyam,” beritahu Anidah jujur.

Aqeela pandang muka Hisyam. Kenapa dia tidak tahu akan pertemuan dua orang lelaki ini?

Hisyam besarkan mata. Berpura-pura seolah-olah dia tidak tahu apa-apa. Pandangan dikalihkan kepada Anidah.

“Dia baru sedar semalam. Dia minta aku sampaikan pesanan pada Hisyam.” Anidah memandang Aqeela dan Hisyam.

“Pesanan apa?” Hisyam mula bersuara.

“Dia minta maaf. Apa yang dia katakan hari tu semua tidak benar. Dia tidak pernah menyentuh Qeela. Sepanjang Qeela berkawan dengan dia, Qeela sangat menjaga auratnya. Pasal gambar tu, Farid paksa aku mencurinya dari album gambar Qeela. Dia juga minta maaf pada kau, Qeela. Dia menyesal. Dia betul-betul berharap kau dapat maafkan dia.” Anidah tersenyum kelat.

Aqeela perasan yang Hisyam sudah tegakkan badan. Wajahnya turut diraup kasar. Gayanya seperti lelaki ini telah melakukan kesalahan besar.

“Gambar?” Aqeela memang tidak faham gambar apa yang dimaksudkan Anidah.

“Gambar kau tidak bertudung. Gambar tu dah lama aku ambil. Maafkan aku.” Anidah tundukkan muka.

Aqeela termenung. Sebab inikah Hisyam berubah? Percaya kepada fitnah yang dilemparkan oleh lelaki yang telah menghiris hatinya. Tidakkah Hisyam tahu bagaimana perangai Farid sebelum ini. Kenapa Hisyam begitu tega mempercayai kata-kata orang luar tanpa bertanya tentang kesahihannya dengan dia?

“Tak apalah, Anidah. Aku dah biasa difitnah. Aku maafkan Farid kalau itu boleh buat dia sembuh kembali. Aku pun dah lama maafkan orang yang percaya dengan kata-kata fitnah itu.” Aqeela menoleh ke sisi. Sekilas sahaja wajah Hisyam dipandang.

“Alhamdulillah. Terima kasih, Qeela, Hisyam. Aku balik dulu. Maaf sekali lagi kalau selama ini kami mengganggu kau berdua.” Anidah sudah berdiri dengan senyuman menghiasi bibirnya.

“Sampaikan salam pada Farid.” Hisyam tersenyum sama.

Anidah angguk.

Aqeela pula cuba untuk tersenyum namun nampak sedikit canggung. Perlahan dia berdiri dan bersalaman dengan Anidah. Kakinya seperti dipaku walau kelibat Anidah sudah lama hilang.

“I minta maaf. Silap I sebab ragu-ragu dengan you. Maafkan I, sayang. Maafkan I.” Hisyam memeluk erat pinggang Aqeela dari belakang. Dagunya dilabuhkan pada bahu kanan Aqeela.

Sayang? Baru nak panggil saying? Aqeela mendongak ke atas. Menghalang dari airmatanya tumpah. Risau akan mencacatkan solekan di muka. Perlahan-lahan pelukan Hisyam dileraikan. Dia tak tahu kenapa. Apa yang dia tahu hatinya cukup terluka. Orang yang dia percaya meragui kesucian dan keikhlasannya.

“Sayang…” Lembut Hisyam melontarkan suara. Mahu memujuk hati isteri yang terluka dengan sikapnya. Tangan kanan Aqeela digenggam erat.

“I nak masuk.” Itu sahaja yang mampu Aqeela katakan. Hilang terus panggilan abang. Dia tidak sanggup untuk berlama-lama dengan Hisyam.

“Laaa…dekat sini rupanya lovebirds ni. Mommy cari kamu berdua. Sibuk ajak bergambar dekat dalam tu.” Dato’ Azman tersenyum.

Aqeela cuba melepaskan genggaman tangan Hisyam namun semakin erat dirasakan pegangan tangan lelaki itu.

“Nak masuk ni, daddy. Tadi kawan Qeela datang. Itu yang kami dekat luar ni. Jom, sayang.” Hisyam menarik tangan Aqeela untuk masuk ke dalam.

Aqeela hanya tersenyum kelat sebaik melepasi Dato’ Azman. Malu dengan tingkah Hisyam. Untuk hari ini dia cuba untuk tidak memikirkan apa yang terjadi. Tidak mahu moodnya sebagai raja sehari terganggu.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

8 comments:

  1. hah ambik u sham...sedia asah skilll tuk pujuk qeela yg bakal merajuk gred 10

    tak ker sia sia mln pertma tertangguhhh

    hahaha org kwin dia nk kwin ...tergesa2 plak tu...lpas tu x percya ktwife plak

    ReplyDelete
    Replies
    1. semua nak cepat kan...lepas tu ego...

      Delete
    2. ego ngalah gunung everest...x ingat susah payah pikat qeela

      x pk klu dia JIM pun pyah qeela nk tergediks...apa la sgt si farid senget tu...

      aduiiiii syam syam....

      Delete
  2. Huhhh.... Rasa nk seligi jer Hisyam nih...... Grrr....

    ReplyDelete