Saturday, August 30, 2014

JEJAKA IDAMAN MALAYA - BAB 22


AQEELA menjongketkan kening. Tidak senang ditenung tajam oleh temannya. Sudahlah perasaannya galau. Dia baru sahaja membelek skrin telefon bimbitnya. Hatinya sedikit bergetar tatkala membaca pesanan ringkas yang dihantar Hisyam.

“Siapa sms? Hisyam?” tanya Abby dengan wajah serius.

Aqeela angguk. Tiba-tiba dia rasa gerun pula dengan temannya ini. Tidak pernah Abby serius sebegini.

“Puas hati kau?” Abby menyindir.

“Kenapa kau cakap macam tu?” tempelak Aqeela.

“Ajar aku berbohong.” Sinis sahaja jawapan yang Abby berikan.

“Aku tak suruh.” Aqeela menunduk. Bermain dengan jari-jemarinya.

“Kau tak boleh macam ni, Qeela. Perkahwinan kau baru seminggu. Inai kat jari pun masih merah. Berlari sana berlari sini bukan dapat selesaikan masalah.” Suara Abby sedikit mengendur.

“Kau tak ada dekat tempat aku, Abby. Aku yang menanggungnya. Sakit. Rasa seperti dikhianati. Orang yang berjaya membuka hati aku lebih percayakan kata-kata orang lain.” Suara Aqeela bergetar seperti menahan marah.

“Aku tak salahkan Hisyam. Dia percayakan Farid sebab dia rasa Farid lebih mengenali kau dari dia. Lima tahun tu cukup lama, Qeela. Sedangkan dia hanya kenal kau tak sampai sebulan.” Abby bersandar.

“Tapi dia boleh tanya dengan aku. Bukannya mendiamkan diri. Sebenarnya dia yang melarikan diri. Bukan aku.” Aqeela balas pandangan temannya. Apa yang berlaku antara dia dan Hisyam bukan kesilapan dia. Kenapa temannya mahu menyalahkan diri dia.

“Mungkin dia keliru. Dia belum kuat lagi, Qeela. Sepatutnya kau tarik dia. Bukannya membiarkan dia terpedaya dengan kata-kata anasir luar tu.” Abby rapat ke meja. Tangan Aqeela dipegang. Cuba memberi kekuatan.

“Masalahnya aku tak tahu pun yang Farid ada berjumpa dengan dia. Kalau aku tahu aku takkan biarkan orang lain hancurkan kebahagian yang aku baru nak bina, Abby.” Aqeela menunduk. Sebak.

“Pergilah balik, Qeela. Bincang baik-baik. Dengar apa kata dia. Luahkan juga apa yang terbuku dalam hati kau. Mungkin dengan cara itu, kau dengan Hisyam akan lebih saling memahami. Manalah tahu segala kemelut ni dapat diselesaikan dengan mudah.” Abby menepuk lembut tangan Aqeela.

“Susahnya nak dapatkan cinta dan kasih sayang orang selepas nikah ni, Abby.” Aqeela mengesat hujung matanya.

“Jangan macam tu, Qeela. Jangan putus asa. Aqeela yang aku kenal bukan macam ni. Aqeela aku tak lemah. Aqeela yang aku kenal berhati kental, lantang bersuara, kuat mempertahankan haknya. Cari balik mana kau sorokkan benda tu semua.”

“Aku cuba, Abby.” Segaris senyuman terukir.

Aqeela rasakan seperti dia mendapat diri dia kembali. Kata-kata semangat yang dilontarkan Abby meresap masuk ke dalam hatinya. Sebetulnya semenjak dua minggu lepas jati dirinya seperti hilang dibawa angin. Betapa kehadiran Hisyam merubah kehidupannya tiga ratus enam puluh darjah.

“Aku yakin kau boleh, Qeela.” Abby turut tersenyum. Dipandangnya Aqeela yang sudah berdiri.

“Aku balik dulu. Tolong jangan maklumkan kepada sesiapa yang aku ada datang sini. Terima kasih, Abby.”

“Ini masa kau. Aku tahu kau boleh. Dah pergi balik.” Abby menggosok-gosok bahu Aqeela selepas mereka bersalaman.

“Assalammualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Aqeela melangkah keluar menuju ke lif. Tangan menekan butang di dinding. Telefon bimbit dikeluarkan. Sekali lagi pesanan ringkas dari Hisyam dibacanya. Hatinya sedikit terusik. Betul ke Hisyam merinduinya atau kata-kata itu hanya untuk memujuknya.

“Qeela?” Dato’ Azman yang baru nak keluar dari lif terperanjat melihat keberadaan Aqeela di pejabat.

“Errr…daddy.” Aqeela terus menghulurkan tangan untuk bersalam. Dia berharap Dato’ Azman tidak bertanya mengapa dia di sini.

“Datang dengan Hisyam?” Dato’ Azman sambut huluran tangan Aqeela. Wajah Aqeela yang sedikit muram dipandang.

“Tak, sorang. Qeela pergi dulu, daddy.” Aqeela cepat-cepat melangkah masuk ke dalam perut lif sebaik pintu lif itu terbuka semula.

“Pelik. Buat apa datang ke sini?” Dato’ Azman menggeleng.



HISYAM mundar-mandir di halaman rumah. Tidak betah untuk duduk. Matanya tak lepas dari memandang pintu pagar yang terbuka luas. Beberapa kali juga dia keluar hingga ke atas jalanraya. Hatinya berdebar-debar menanti kepulangan Aqeela. Jam ditangan ditelek setiap minit.

“Dah cuba telefon dia, Syam?” Datin Hanum menghampiri Hisyam. Hatinya turut dipagut rasa bimbang mengenangkan Aqeela yang masih belum pulang. Jarum jam semakin menghampiri angka tujuh.

“Dia tak angkat.” Hisyam menoleh kepada Datin Hanum. Terpeta riak risau pada wajahnya. Pagi tadi dia menerima panggilan telefon dari Dato’ Azman mengatakan yang Aqeela datang ke pejabat tetapi tergesa-gesa meminta izin untuk pulang. Namun sehingga kini bayangan Aqeela langsung tidak kelihatan.

“Sekejap lagi dia baliklah tu. Jangan risaulah. Kita masuk solat maghrib dulu.” Datin Hanum menggamit lengan Hisyam untuk masuk ke dalam rumah.

Sayup-sayup berkumandang azan maghrib dari masjid berdekatan. Hisyam mengeluh. Telefon bimbit dikeluarkan semula dari kocek seluar. Dia menaip sesuatu sebelum menyimpan semula. Lemah langkah diatur masuk ke dalam rumah.

“Qeela masih belum balik lagi?” tegur Dato’ Azman ketika bertembung dengan Hisyam. Dia sudah berkain pelikat dan berbaju melayu. Bersedia untuk menunaikan solat maghrib di musolla yang memang dibinanya di sebelah rumah.

“Belum.” Hisyam menggeleng. Kaki lemah melangkah meniti anak tangga untuk ke bilik tidurnya.

Pintu bilik dikuak lemah. Tuala di penyidai dicapai dan disangkut di bahu. Telefon bimbit dikeluarkan dan diletakkan di atas meja solek. Dia melangkah ke bilik air. Separuh jalan dia berpatah balik. Telefon bimbit diambil dan dibelek. Kosong.

“Qeela, kenapa buat I macam ni?” Hisyam mendongak. Suaranya sedikit sebak.

“Syam, daddy dah tunggu.” Terdengar ketukan di pintu beberapa kali sebelum berhenti.

Panggilan Datin Hanum menyedarkan lamunan kosong Hisyam. Telefon bimbit diletakkan kembali. Segera dia ke bilik air.

Sepuluh minit kemudian Hisyam sudah bersama-sama dengan Dato’ Azman dan Datin Hanum berjemaah menunaikan solat maghrib. Usai bersolat, Dato’ Azman membacakan sedikit hadis dan maksud ayat Al-Quran berkaitan perkahwinan.

“Wanita-wanita yang keji diperuntukkan untuk lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji diperuntukkan untuk wanita yang keji pula, dan wanita yang baik diperuntukkan bagi lelaki yang baik, dan lelaki yang baik diperuntukkan bagi wanita yang baik pula. Surah An Nur Ayat 26.”

“Allah.” Hisyam mengeluh.

Tangan menekup wajah. Cukup terkesan dengan maksud ayat Al-Quran yang di bacakan Dato’ Azman. Jika Aqeela tergolong dalam wanita-wanita yang keji dia juga termasuk dalam kalangan lelaki-lelaki yang keji. Mengapalah dia boleh beranggapan begitu kepada perempuan sesuci Aqeela.

“Ada apa-apa yang Syam nak cakap?” Dato’ Azman memandang wajah Hisyam. Hati tuanya seperti dapat menebak ada sesuatu yang berlaku antara Hisyam dan Aqeela. Jika tidak masakan Aqeela seperti melarikan diri dan Hisyam pula sehari selepas menikah terus balik ke sini tanpa Aqeela.

Datin Hanum turut memandang Hisyam. Menuntut jawapan dari anaknya.

Hisyam mendongak. Terasa perit tekaknya hingga tidak dapat melontarkan suara tika memandang Dato’ Azman dan Datin Hanum bersilih ganti. Perlu ke dia berkongsi cerita? Tidakkah seperti dia membuka pekung di dada? Namun jika disimpan lambat laun kedua orang tuanya pasti dapat menghidu. Nafas dihela panjang sebelum dilepaskan perlahan-lahan.

“Syam tak tahu nak mula di mana.” Mata Hisyam merenung karpet. Cuba mencari kekuatan untuk meneruskan kata-kata.

“Pasal apa?” Datin Hanum menyampuk.

“Hanum…” Dato’ Azman menggeleng kepada Datin Hanum sebagai isyarat supaya tidak mencelah.

“Farid bekas teman lelaki Qeela ada datang berjumpa dengan Syam. Dia beritahu Qeela pernah bersama dengan dia dan…” Termati kata-kata Hisyam bila Datin Hanum menyampuk.

“Syam percaya? Mommy tak percaya Qeela seburuk itu. Ya Allah! Apa nak jadi dengan kamu ni? Patutlah kamu asyik cakap nak minta tangguh. Ini puncanya.” Melengking tinggi suara Datin Hanum memintas kata-kata Hisyam. Sakitnya hati dia dengan perangai Hisyam yang tidak matang. Kasihan Aqeela. Pastinya perasaan Aqeela terguris.

“Hanum!” Kali ini suara Dato’ Azman sedikit tegas. Wajah serius dipamer kepada Datin Hanum.

Datin Hanum menikus. Tidak berani menentang wajah Dato’ Azman.

“Ya, Syam percaya. Itu kesalahan paling bodoh yang pernah Syam buat. Syam menyesal. Menyesal sebab senang-senang termakan kata-kata Farid.” Wajah Hisyam nampak sugul. Kesal dengan tindakan bodohnya hingga membuatkan hubungan dia dengan Aqeela renggang.

“Qeela tahu?” soal Dato’ Azman. Tenang sekali suaranya.

“Tahu.” Hisyam mengangguk lemah.

“Mungkin sebab ini ke dia merajuk?” Dato’ Azman cuba mencungkil permasalahan anak menantunya.

Hisyam hanya mengangguk. Lidahnya kelu untuk menjawab. Terasa seperti ada batu permata dalam mulutnya. Berhadapan dengan Dato’ Azman seperti seorang pesalah berhadapan dengan hakim menunggu hukuman dijatuhkan.

“Kenapa tak bawa berbincang?” Dato’ Azman bertanya lagi.

“Qeela tak bersedia. Tak apalah. Syam tak mahu memaksa.” Hisyam tersenyum kelat.

“Syam sekarang dah jadi suami. Tanggungjawab berat. Perlu memimpin isteri. Menjadi ketua keluarga. Kalau pincang ketua pincanglah pengikutnya,” nasihat Dato’ Azman.

“Syam tahu, daddy.” Hisyam meraup muka. Badan ditegakkan. Perlahan-lahan dia bangkit.

“Nak pergi mana?” tanya Datin Hanum yang sedari tadi mendiamkan diri.

“Nak cari isteri Syam.” Hisyam terus keluar.

Datin Hanum pandang Dato’ Azman.

“Biarkan dia. Pandai buat pandailah dia tanggung.” Dato’ Azman turut bangkit dari duduknya.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

8 comments:

  1. Replies
    1. tak payah kesian sangat....miahahahahahaha

      Delete
  2. huh huh padan ngan muka... debik bru tau...klu akak jdi Qeela...ambik lg 1 minggu majuk...majuk sayang biar syam tau hargai diri dia

    ReplyDelete
    Replies
    1. ikutkan nak juga buat mcm tu tapi tak baik kan seksa perasaan suami lama2....miahahahahahaha...

      Delete
    2. hahaha tau pun...tpi knnnn grrrr sgttt...ada kerprcya ngan farid ngot nget tu... poyo plus tk ckp mtang tau syam niiii

      sib baik Qeela tu baikkkkk...tpi ada hikmah la tu tertangguh malam pertma...tup2 trus dtg 2 dlm 1... miahaha

      Delete
    3. hikhikhik....rahsia Allah kannn.... poyo je saya...

      Delete