Saturday, August 30, 2014

JEJAKA IDAMAN MALAYA - BAB 24


AZAN subuh yang sayup-sayup berkumandang mengejutkan Hisyam dari tidurnya. Perlahan-lahan dia membuka mata. Terukir senyuman di bibir melihat Aqeela masih lena dalam dakapannya. Dipereratkan pelukan pada badan Aqeela. Bibirnya menyentuh bahu Aqeela yang terdedah.

“Qeela…bangun. Nanti terlewat subuh.” Disebak rambut yang menutupi belakang leher Aqeela. Dikucup lembut belakang leher itu. Entah mengapa dia suka bauan yang terbit di situ.

“Hmmm…” Aqeela menggeliat kegelian. Badannya digoyangkan menolak Hisyam supaya menjauh. Kaki turut menolak kaki Hisyam yang bertindih dengan kakinya. Selimut di badan ditarik menutupi seluruh badan termasuk kepala.

“Sayang…jangan menggoda boleh tak? Kalau kita sama-sama terlajak jangan marahkan abang.” Hisyam sengaja mengusik. Kepala Aqeela yang berbungkus dicium. Tubuh itu dipeluk kemas sebelum dilepaskan. Dia bangkit dan mencapai sahaja tuala Aqeela di penyidai.

“Hmmm…bila masa orang goda dia. Pukul berapa dah ni?” Selimut yang menutupi muka diselak. Aqeela memandang Hisyam yang sudah berdiri di hujung kakinya.

“Lima empat puluh lima. Jom mandi. Karang subuh gajah jadinya.” Hisyam tarik selimut yang menutupi badan Aqeela dengan sengihan lebar.

Namun Aqeela menggenggam kuat di hujung satu lagi. Mata dibesarkan seboleh mungkin. Lelaki ini tahu ke tak tahu. Geram betul dia. Pagi-pagi buta dah cari pasal.

Acara tarik menarik pun bermula.

“Nak malu apa lagi ni, sayang. Abang dah nampak semua.” Hisyam tersenyum nakal.

“Abang!!!” Pantas Aqeela menutup semula mukanya dengan selimut. Malu.

Hisyam ketawa sambil menggeleng. Reaksi Aqeela nampak comel pada pandangan matanya. Pegangan pada selimut dilepaskan. Suis lampu bilik air dipetik. Kaki melangkah masuk ke dalam bilik air.

Aqeela menarik nafas lega saat mendengar bunyi pancuran air. Perlahan dia bangkit dari perbaringan. Selimut yang meliputi tubuhnya di ikat kuat. Katil yang berselerak dikemaskan. Cadar diganti baru. Saat mata pandang ke lantai ternampak pakaian dia dan Hisyam bersepah-sepah. Bibir mengulum senyum. Dikutip satu persatu dan diletakkan ke dalam bakul.

Pintu almari dibuka. Mata melilau mencari sesuatu. Pantas ditarik benda yang dicari di bawah lipatan baju-bajunya. Baju melayu warna kuning air yang tergantung turut dikeluarkan. Semuanya diletakkan di atas katil.

Dia bergerak ke penyidai. Sejadah diambil. Dihamparkan mengikut arah kiblat. Satu untuk Hisyam dan satu untuknya. Dia berpusing.

“Mak!” Aqeela menjerit kuat. Dada yang berombak kencang diurut laju. Sempat mata melirik pada dada suami yang masih basah. Eee…sekarang jelas siapa goda siapa.

“Mak kat kampunglah, sayang,” usik Hisyam. Kedua-dua tangan di pinggang. Air yang menitis ke muka diraup perlahan.

“Kalau tak terperanjatkan Qeela tak boleh ke?” Aqeela ketap bibir. Jelingan tajam diberikan. Pantang dah berbaik. Ada saja usikan dari Hisyam.

“Jangan buat macam tu, sayang. Iman abang tak setebal mana. Takut terbabas nanti.” Hisyam masih tak sudah mahu mengusik. Dia nampak pandangan mata Aqeela menyinggah di dadanya. Sengaja tidak dilapnya air yang membasahi badannya tadi.  

“Buat apa? Ni siapa suruh pakai tuala Qeela?” Aqeela cuba kalih topik. Tidak suka dengan renungan Hisyam yang nampak macam miang sahaja.

Hisyam tersenyum lebar. Mata dikenyitkan. Tangan sudah bersedia untuk membuka simpulan tuala.

Stop!” Spontan Aqeela pejam mata rapat-rapat dengan kedua-dua belah tangan memegang tangan Hisyam. Tak sanggup nak tengok wayang percuma. Pantang silap cakap.

“Tadi marah-marah. Ini suruh orang berhenti pula.” Hisyam pamer wajah serius.

“Errr…” Aqeela mengintai Hisyam dengan sebelah mata. Serba-salah bila melihat wajah serius Hisyam. Salah cakap lagi ke?

“Ingat comel sangatlah buat macam tu.” Hujung hidung Aqeela ditarik. Geram dengan aksi Aqeela yang mencuit hatinya. Nampak manja dan menggoda. Nasib saja mereka belum menunaikan solat subuh.

“Hesy…” Aqeela gosok hidungnya. Badan dijauhkan dari Hisyam. Pintu almari dibuka semula. Sehelai tuala baru diambil dari timbunan lipatan baju. Kaki segera melangkah ke dalam bilik air.

“Arghhh!!!” Aqeela menjerit bila melihat hujung selimut yang membaluti tubuhnya basah. Memang dia lupa yang dia masih berselimut.

Jeritannya bergema lagi bila Hisyam dengan selamba membuka pintu bilik air dan masuk ke dalam. Mahu tak menjerit sebab dia baru sahaja melepaskan balutan selimut di badan. Cepat-cepat dia capai tuala yang baru disangkutnya tadi.

“Nak ambik wuduk.” Hisyam selamba membuka pili air. Mata mengerling pada badan Aqeela.

“Bilik air luar kan ada? Saja nak ambik kesempatanlah tu.” Aqeela menjeling. Berus gigi dicapai.

“Jauh. Ini pun kena ambik sekali lagi. Ada orang tu dengan rasa tak bersalah dah pegang tangan kita tak reti nak minta maaf.” Hisyam tersenyum-senyum. Tangan sudah menadah air yang keluar.

“Kalau orang tu tak buat benda di luar alam, tak ada maknanyalah orang ni nak pegang-pegang.” Aqeela menjawab dengan nada suara yang tidak jelas. Mulutnya penuh dengan buih ubat gigi.

“Dah orang tu nak sangat tuala dia. Orang ni nak bagilah. Dengan suami sendiri pun kedekut. Jangan mandi lama-lama sangat. Dah pukul enam.” Hisyam berbisik dekat dengan telinga Aqeela. Sempat dia percikkan air ke muka Aqeela sebelum berlalu keluar.

“Arghhh!!!” Untuk sekian kalinya jeritan Aqeela bergema lagi. Telinganya dapat menangkap suara Hisyam yang ketawa bagaikan tak ingat dunia selepas pintu bilik air ditutup.

Selesai membaca doa Hisyam pusing ke belakang. Tangan dihulurkan. Bersedia untuk bersalaman dengan Aqeela. Namun bila dia memandang wajah Aqeela dilihat Aqeela seolah-olah sedang mengulum senyuman.

“Kenapa?” Bertaut kening Hisyam memandang Aqeela. Pelik melihat kelakuan Aqeela.

Terburai terus ketawa Aqeela yang cuba ditahannya sedari tadi. Tawa yang ditahan-tahan saat dia terpandangkan Hisyam yang sudah bersiap untuk menunaikan solat subuh berjemaah bersamanya lagi.

“Qeela?” Hisyam bengang. Tidak faham apa yang ditertawakan Aqeela.

Aqeela berhenti ketawa. Namun sisa tawanya masih ada. Tangan Hisyam dicapai dan diciumnya dengan penuh keikhlasan. Untuk kali ini dibiarkan dahinya dicium Hisyam. Betapa dia dapat rasakan seluruh badannya bergetar seolah-olah disalurkan dengan kasih sayang Hisyam.

“Abang minta maaf untuk semua kesalahan abang pada Qeela. Tak tahu nak cakap macam mana. Abang malu dengan Qeela. Malu sebab mempercayai fitnah Farid.” Hisyam menarik Aqeela dalam dakapannya.

“Tak ada apa yang Qeela nak maafkan. Abang tak salah. Macam yang abang cakap malam tadi. Abang keliru. Qeela faham.” Aqeela memperkemaskan pelukannya. Seboleh mungkin dia tidak mahu lagi mengingati mendung kelabu yang pernah berarak. Walau dia tahu langit tidak selalunya cerah. Namun dia berharap matahari akan sentiasa bersinar.

“Jangan tinggalkan abang lagi, sayang. Jangan sesekali berani tinggalkan abang lagi. Nanar abang jadinya bila seminit Qeela tak ada di depan mata apatah lagi sehari Qeela menghilang. Tegur abang jika abang lalai. Kita sama-sama bina masa hadapan kita.” Hisyam leraikan pelukan mereka. Kedua-dua belah pipi Aqeela dipegang. Bibir nipis itu dikucup seketika. Dilepaskan. Matanya mencari anak mata Aqeela.

Okay, time’s up. Qeela lapar.” Aqeela tersengih. Tangan mengusap perut.

“Potong betullah.” Hisyam tolak sedikit pipi Aqeela. Dia terus bangun. Sejadah diambil dan digantung pada penyidai. Saat dia menoleh ke belakang dilihatnya senyuman tak lekang dari bibir Aqeela.

Is there something wrong?” Hisyam melabuhkan punggung di atas katil. Wajah tidak puas hati dipamerkan.

“Muat juga abang pakai baju ayah tu kan?” Aqeela tersenyum-senyum.

“Perli abanglah tu.” Hisyam berdiri semula. Berjalan menuju ke meja solek. Dia pusing ke kiri ke kanan. Memang nampak agak ketat sedikit baju melayu yang dipakainya. Badan ayah mentuanya kecil sedikit dari badannya walau ketinggian mereka sama.

But still handsome plus sexy,” usik Aqeela yang sudah membuka telekungnya.

“Jejaka idaman Malaya. Mestilah hensem dan seksi.” Hisyam mengiyakan kata-kata Aqeela.

“Perasan.” Aqeela menjuihkan bibir. kaki dihayun keluar dari bilik.

“Bukan tadi Qeela ke yang cakap. Abang cuma iakan aje.” Hisyam bersuara dari belakang. Dia turut keluar dari bilik. Tangan sudah memegang kunci kereta.

“Nak pergi mana?” Aqeela yang ingin ke dapur memandang Hisyam.

“Ambik baju.”

“Kata seksi pakai baju tu.” Aqeela masih mahu mengusik.

“Seksa dan tak selesa.”

“Siapa suruh tak bawak baju untuk solat kalau tahu nak tidur sini?” Aqeela angkat kening.

“Manalah abang nak tahu malam pertama nak berlaku dekat sini.” Hisyam kenyit mata.

            “Dah pergi ambik baju tu. Karang melalut yang bukan-bukan.” Aqeela menggeleng.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

10 comments:

  1. akhirnya deru panas angin badai fitnah farid berakhir bila usainya malam pertma yg postponed hmpir 1 minggu

    huh dlm cerdik syam ada gak weng nya... sib baik msa 1 minggu tu Qeela ABC...

    ish tempoh bahaya tu... mau dpt baby cepat

    thanks syeena

    ReplyDelete
  2. eeewwwyyyyy......happy reading...

    ReplyDelete