Saturday, August 30, 2014

JEJAKA IDAMAN MALAYA - BAB 25


DATIN HANUM memandang ke pagar bila terdengar bunyi enjin kereta. Getah paip di tangan dilepaskan ke tanah. Kepala paip diputar. Tuala kecil yang tersangkut pada kerusi di laman rumah diambil. Tangan yang basah dilap. Dia tersenyum sambil berjalan mendekati kereta Honda CR-Z hitam yang baru masuk tadi.

“Assalammualaikum, mommy.” Aqeela terus bersalam dengan Datin Hanum sebaik keluar dari kereta.

“Waalaikumussalam. Qeela pergi mana?” Datin Hanum memeluk erat Aqeela. Risau hatinya bukan kepalang. Namun kerisauan itu hilang bila menerima pesanan ringkas dari Hisyam semalam.

“Maafkan Qeela, mommy. Qeela dah buat semua orang risau.” Aqeela menunduk. Kesal dengan tindakan kurang matangnya.

“Qeela tak ada salah apa-apa pun. Kalau mommy pun agaknya akan buat benda yang sama.” Datin Hanum cuba memujuk. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk letakkan kesalahan sama ada kepada Aqeela atau Hisyam. Itu pesanan Dato’ Azman andai kedua-duanya pulang ke rumah.

“Mengada-ngada kan menantu mommy ni.” Aqeela tersenyum lega memandang wajah Datin Hanum.

“Baru-baru tak apa. Kalau dah lama memang mommy babapkan. Eh! Hisyam mana?”seloroh Datin Hanum. Matanya melirik ke pintu pagar sekilas.

“Dia suruh Qeela gerak dulu tadi. Dia nak singgah kedai. Cari barang apa entah,” beritahu Aqeela.

“Jomlah masuk. Selesa sikit kalau nak berbual panjang.” Datin Hanum menarik tangan Aqeela.

“Daddy?” Aqeela menjenguk kepala ke garaj. Kereta Dato’ Azman masih ada di situ tapi kelibat bapa mentuanya tidak kelihatan.

“Ada dekat atas.” Datin Hanum terus masuk ke dalam.

Langkah Aqeela terhenti bila telinganya menangkap deruan enjin kereta. Dia tegak berdiri di alang pintu. Menanti Hisyam keluar dari kereta. Matanya terkebil-kebil melihat Hisyam yang tersenyum-senyum sambil menjinjit beg plastik.

“Beli apa?” Berkerut dahi Aqeela dengan mata dikecilkan memandang ke tangan Hisyam.

“Pizza.” Hisyam menghulurkan beg plastik kepada Aqeela. Dia menunduk sedikit untuk membuka kasutnya.

“Pizza? Early in the morning?” Aqeela sambut juga. Betul-betul mat salleh laki aku ni. Nampaknya keraplah masa aku habiskan menghadap pak cik google. Mana aku tahu memasak makanan barat.

“Lapar. Malam tadi tak makan kan.” Hisyam paut pinggang Aqeela. Sempat menghadiahkan satu ciuman pada dahi Aqeela.

Behave, abang. Tak malu ke kalau mommy dengan daddy nampak?” Aqeela menjeling. Kaki dihayun masuk ke dalam bila Hisyam menariknya sama.

“Dia orang tak kisah. They know their son very well.” Sekali lagi Hisyam bertindak nakal. Kali ini pipi Aqeela jadi mangsa ciumannya.

“Dah balik pun,” tegur Dato’ Azman yang sedang menuruni tangga. Kelihatan kemas dengan suit pejabat yang tersarung di badan.

Pantas tangan Aqeela mencubit lengan Hisyam. Malu. Entah apa anggapan bapa mentuanya agaknya.

“Nak upah dekat bilik nanti. Qeela dah buat tangan abang biru.” Hisyam berbisik. Sengaja disuakan lengannya dekat dengan muka Aqeela. Mata dikenyit sambil tersenyum nakal.

Aqeela ketap bibir. Tak tahu nak balas apa. Penyudahnya dia dapatkan Dato’ Azman dan bersalam dengan bapa mentuanya itu.

“Tidur mana malam tadi?” soal Dato’ Azman. Dia terus duduk di sofa.

“Ru…rumah sewa.” Tergagap-gagap Aqeela menjawab. Dia turut melabuhkan punggung di sofa bertentangan. Beg plastik di tangan diletakkan di atas meja kopi.

“Dah malam sangat. Ingat nak balik ke sini juga. Syam dah beritahu mommy. Mommy tak cakap ke?” Hisyam memandang Dato’ Azman. Dia mengambil tempat di sebelah Aqeela. Tangan Aqeela diraih dan digenggam.

“Mommy dah cakap. Daddy lupalah tu.” Datin Hanum yang keluar dari ruang dapur bersuara. Di tangannya ada sepiring kuih kaswi. Dibelakangnya pembantu rumah mereka yang menatang dulang berisi cawan dan teko.

Dato’ Azman tersenyum mendengar kata-kata Datin Hanum.

“Apa ni? Pizza?” Datin Hanum membuka plastik untuk melihat isinya.

Hisyam dan Aqeela serentak mengangguk.

“Hidangkan sekali ni, Marni.” Datin Hanum hulurkan beg plastik itu kepada pembantu rumahnya. Dia kemudian duduk di sebelah Dato’ Azman.

“Lewat daddy pergi kerja hari ni?” Hisyam cuba membuang rasa resah bila melihat Dato’ Azman memandang dia dan Aqeela bersilih ganti. Dia berharap janganlah Dato’ Azman timbulkan kisah dia dan Aqeela.

“Pagi ni tak ada appointment. Qeela okey?” Dato’ Azman memusatkan pandangannya kepada Aqeela. Dari pengamatannya nampak macam pasangan pengantin baru ni dah berbaik semula.

Aqeela hanya mengangguk. Kaget. Nampak sangat tindakan kurang bijaknya sudah membuat semua orang dalam rumah ni runsing. Dia memandang ke sebelah bila dirasakan genggaman tangan Hisyam semakin kuat.

“Alhamdulillah. Baguslah kalau Qeela dah okey. Daddy bukan apa. Risau. Lain kali kalau ada apa-apa yang tak puas hati, jangan simpan sendiri. Cari mommy atau daddy. Insya-Allah kalau kami boleh bantu kami bantu,” nasihat Dato’ Azman.

“Qeela minta maaf kalau Qeela buat semua orang risau pasal Qeela. Insya-Allah perkara ni tak akan berulang lagi.” Aqeela menunduk. Matanya bergenang.

“Dalam hal ni, daddy tak kata Qeela salah. Syam pun sama juga tapi tak semestinya kamu berdua betul. Perkahwinan bukan perkara main-main macam main pondok-pondok masa kecil dulu. Setiap apa yang dibuat mesti fikirkan pasangan kita. Bukan untuk diri sendiri aje,” tegas Dato’ Azman.

“Syam tahu, daddy. Syam yang silap. Mudah sangat percaya cakap orang luar.” Hisyam memandang wajah Dato’ Azman.

“Sebab tu daddy selalu cakap komunikasi tu penting. Kalau masing-masing simpan sendiri, macam nilah jadinya. Seorang ke hulu seorang ke hilir. Tak tahu nak betulkan yang silap sebab tak tahu dekat mana silapnya.” Dato’ Azman menoleh ke sisi bila Datin Hanum menghulurkan cawan kepadanya.

“Minum dulu, Qeela, Syam.” Datin Hanum memandang Hisyam dan Aqeela.

Aqeela meleraikan genggaman tangan Hisyam. Diambilnya cawan yang berisi teh kosong dan disua kepada Hisyam. Dia turut ambil satu untuk dirinya.

“Daddy kena keluar sekarang. Nak semak dokumen tender yang baru tu.” Dato’ Azman berdiri. Tangan dihulurkan kepada Datin Hanum.

Aqeela dan Hisyam turut berdiri.

“Ingat pesan daddy tu. Ini baru sikit ujian yang Allah bagi. Masih banyak lagi yang kamu berdua kena hadapi nanti.” Dato’ Azman meletakkan tangannya pada kepala Aqeela.

Aqeela hanya mampu tersenyum.

“Pergilah bercuti. Bawa Qeela jalan-jalan. Tenangkan fikiran. Untung-untung daddy dengan mommy dapat cucu cepat.” Dato’ Azman menepuk bahu Hisyam. Ada tawa di hujung kata-katanya.

Don’t worry, daddy. Syam tengah berkerja kuat ni.” Hisyam tersengih. Mata memandang tepat pada wajah Aqeela yang berona merah.

“Hanum, anak awak ni semuanya nak cepat. Tak sabar. Bercakap tak pernah berfikir. End up diri sendiri yang galau.” Sempat Dato’ Azman menyindir. Kesian pula melihat Aqeela yang sudah malu-malu dengan kata-kata Hisyam.

“Errr…” Hisyam menggosok tengkuknya. Tak pasal-pasal disindir ayah sendiri.

Dato’ Azman dan Datin Hanum ketawa.

Aqeela hanya mampu tersenyum. Sedikit sebanyak dia turut terkena tempias sindiran Dato’ Azman.

“Daddy pergi dulu. Assalammualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Serentak dibalas Hisyam dan Aqeela.

Datin Hanum menghantar Dato’ Azman hingga ke kereta.

Aqeela dan Hisyam duduk kembali.

Aqeela mengambil piring kuih kaswi. Dihulurkan pada Hisyam.

“Suap.” Hisyam menganga.

“Mengada.” Disuakan juga sepotong kuih ke mulut Hisyam. Aqeela terjerit bila Hisyam menggigit jemarinya.

Hisyam hanya ketawa. Ditarik jemari Aqeela dan dibawa ke mulut. Dikucup penuh kasih.

Datin Hanum yang baru hendak masuk ke dalam rumah berpatah keluar semula. Tidak mahu mengganggu anak dan menantunya. Ada senyuman terukir di bibirnya melihatkan kemesraan Hisyam dan Aqeela. Moga kebahagian itu akan berpanjangan.

“Sayang nak pergi mana?” Hisyam mengelus lembut pipi kanan Aqeela yang sedang mengunyah pizza.

Aqeela menoleh. Sempat dia mencubit sedikit pizza di tangan dan disuakan ke dalam mulut Hisyam.

Hisyam kunyah perlahan. Mata tak lepas dari memandang Aqeela. Merenung anak mata Aqeela dalam-dalam.

“Abang nak pergi mana?” Soalan Hisyam dibalas dengan soalan.

“Abang tak kisah asalkan Qeela sentiasa ada dengan abang.”

“Qeela takkan kemana-mana tanpa abang. Cukuplah dua minggu ini kita memendam rasa. Sakitnya hanya tuhan yang tahu. Rindu sangat-sangat.”

Hisyam tarik Aqeela rapat ke dadanya. Dahi Aqeela dikucup. Lama. Cuba untuk membayar kembali hari-hari yang hilang tanpa kasih sayang.

“Errr…abang. Ruang tamu ni.” Aqeela mendongak.

Tanpa bicara bibir Hisyam mendarat pula pada bibir Aqeela.

Aqeela terkebil-kebil bila Hisyam melepaskan bibirnya. Terasa berbahang mukanya dengan tindakan spontan Hisyam.

“Suka sangat potong mood.” Hisyam besarkan matanya.

Aqeela hanya tersengih.

“Ke mana pun abang pergi walau ke hujung dunia sekalipun, abang akan pastikan Qeela sentiasa ada di sisi abang. Cukuplah apa yang dah terjadi pada kita. Kita sama-sama belajar dari kesilapan. Semoga Allah memudahkan perjalanan hidup kita bersama. Love you till Jannah.” Hisyam kembali memeluk Aqeela.

         “Love you till Jannah too.” Aqeela membalas pelukan Hisyam. Berharap agar perkahwinan mereka berkekalan hingga ke hujung nyawa.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

10 comments: