Thursday, August 7, 2014

KASIH SETULUS HATI



Part 1
ARINAH memandang ke luar laman rumah keluarga Pak Ngah Hamid. Dapat dilihat ramai tetamu yang berkunjung sempena pertunangan sepupunya, Hajar. Perut yang bergendang minta diisi tapi Arinah segan hendak makan sorang-sorang.

“Rin! Dah makan?” tanya Mak Ngah Habsah yang sibuk menyusun beg cenderahati untuk tetamunya.

“Belum. Seganlah, mak ngah.” Arinah menggeleng.

“Nak segan apanya. Bukan rumah orang lain pun. Pergilah makan sana. Nak tunggu Hajar sampai ke malam kamu tak makan nanti.” Mak Ngah Habsah mendesak.

“Nanti-nantilah, mak ngah.” Arinah menolak lembut.

“Pergi aje sana. Orang tak perasanlah kamu makan sorang-sorang.” Mak Ngah Habsah menolak badan Arinah keluar dari rumah.

Nak tak nak Arinah tebalkan muka berjalan ke khemah. Dia yang terperasan sendiri. Tidak ada seorang pun yang memandangnya.

Arinah menatang pinggan berisi nasi beriani berlauk ayam masak merah dan segelas air oren di kiri dan kanan tangannya. Matanya memerhati keliling. Lega bila ternampak dua kerusi kosong di hujung khemah.

Baru sahaja Arinah melabuhkan punggungnya di kerusi ada suara yang menegur.

"Ada orang tak?" tegur seorang jejaka. Jari menuding pada kerusi di sebelah Arinah.

Arinah mendongak. Dia menggeleng.

"Terima kasih. Ramai betul orang." Si jejaka membebel.

Arinah hanya tersenyum.

"Kapten Aqhari. Datang pun." Bahu si jejaka ditepuk kasar. Orang yang menegur berjabat tangan dengan si jejaka.

"Eh! Rin?" Lelaki yang menegur si jejaka angkat kening.

"Makan, Abang Long." Arinah menyapa abang sepupunya.

"Rin kenal Aqhari?" soal abang sepupunya.

Arinah menggeleng laju.

"Ingat korang berdua." Abang sepupu Arinah tertawa.

"Tak ada kerusi kosonglah, Am." Aqhari tersengih. Tidak mahu teman baiknya tersalah anggap.

Arinah buat muka selamba. Malas nak layan. Ada nanti lagi panjang usikan abang sepupunya ini. Bukan boleh percaya sangat.

“Kau makanlah dulu. Aku nak ke sana sekejap. Rin, tolong layan kawan Abang Am sekali. Appreciate your kindness.” Am kenyit mata dan berlalu tanpa sempat Arinah membalas kata.

“Adik Am ke?” soal Aqhari. Dia hanya mengenali Hajar. Manalah tahu Am ada adik perempuan yang lain.

“Sepupu.” Pendek sahaja jawapan Arinah.

“Patutlah tak pernah nampak.” Aqhari mengangguk. Suapan pertama masuk ke dalam mulut.

Arinah hanya tersenyum nipis. Telefon bimbitnya bergetar. Tumpuannya dikalihkan pada skrin telefon bimbitnya. Aqhari di sebelah langsung tidak dihiraukan.

“Rin,” tegur seseorang.

Arinah mengangkat wajah. Terukir senyuman di bibir.

“Aunty Azi.” Arinah hulur tangan untuk bersalaman.

“Sorang?” Aunty Azi angkat kening.

Arinah menoleh ke sebelah. Dah kosong. Tidak perasan pula dia bila jejaka disebelahnya menghilang. Dia menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya tak adalah orang nak kaitkan dia dengan jejaka itu.

“Sorang, aunty. Belum ada yang nak temankan.” Arinah tersengih.

“Insya-Allah. Tak lama lagi bertemanlah tu,” usik Aunty Azi.

“Tunggu Hajar kahwin dulu kut.” Arinah tertawa.

“Hesy…lama sangat tu. Setahun lagi.” Aunty Azi menggeleng.

“Aunty dah makan?” Arinah kalih cerita. Malas mahu berbicara soal jodoh. Muak menjawab pertanyaan sensitif itu.

“Mama?” suara lelaki di sebelah kiri Arinah menyapa Aunty Azi.

“Angah? Bertuah punya budak. Bila balik?” Aunty Azi menepuk bahu anak bujangnya.

“Sampai aje terus ke sini.” Aqhari membalas.

Arinah terbatuk-batuk. Segera dicapai gelas orennya. Silap besar dia hari ini sebab setuju terima cadangan Hajar datang menemani sepupunya. Kenapalah semua orang yang menegurnya saling mengenali antara satu sama lain?

“Rin? Okey ke?” Aunty Azi mengurut belakang Arinah. Risau melihat wajah Arinah yang sudah kemerah-merahan.

Arinah hanya mengangguk.

“Mama kenal?” Aqhari jongket kening. Pinggan berisi kuih dan buah tembikai di tangan diletakkan di atas meja. Dia selamba duduk di kerusi tadi. Sepotong tembikai disumbat ke dalam mulut.

“Kenal. Angah kenal Rin?” soal Aunty Azi dengan senyuman lebar.

Arinah hanya menundukkan mukanya. Kalaulah dia dapat larikan diri dari dua beranak ni. Heaven.

“Baru sepuluh minit kenal.” Aqhari tersenyum.

“Cikgu Arinah ni pandai buat kek. Macam-macam kek. Tak lokek ilmu. Bila dia datang ke sini memang mama paksa dia ajar mama buat kek.” Tinggi melangit Aunty Azi memuji Arinah.

“Tak adalah pandai mana, aunty.” Arinah jadi segan pula. Bila dua beranak ni nak pergi dari sini? Tekak dia pula dah tak boleh terima nasi beriani yang berbaki separuh selepas tersedak tadi.

“Anak aunty ni suka makan kek cokelat. Itu yang aunty kena belajar tu,” beritahu Aunty Azi tanpa dipinta.

“Ohhh…” Arinah menoleh sekilas.

Aqhari hanya tersenyum nipis.

“Eh! Rin makanlah dulu. Aunty belum jumpa Mak Cik Habsah lagi.” Aunty Azi terus berlalu dari situ.

“Cikgu sekolah menengah ke rendah?” soal Aqhari. Mulut masih menguyah makanan.

“Menengah.” Ringkas Arinah membalas. Aci tak kalau dia nak bangun sekarang?

“Seronok jadi cikgu. Banyak masa terluang.” Aqhari masih mahu berbual panjang.

“Tak juga.” Arinah menggeleng.

Bro, kau cuti berapa lama pula kali ni?” Am yang datang tiba-tiba meyampuk perbualan Arinah dan Aqhari. Ditarik kerusi di depan Aqhari yang telah kosong.

“Dua minggu. Dah lama sangat tak bercuti.” Aqhari tersenyum.

Arinah hanya mendengar perbualan abang sepupunya dengan Aqhari. Dia perhatikan jejaka di sebelahnya ini tak pernah lekang dengan senyuman. Asyik tersenyum dari tadi.

“Rin! Kalau nak tahu Kapten Aqhari ni anak Aunty Azi.” Am sudah memulakan misinya.

Arinah buat memek muka macam nak gigit abang sepupunya. Bukan apa dah lama keluarga Pak Ngah Hamidnya berura-ura nak pasangkan dia dengan anak Aunty Azi. Sejak dia putus tunang setahun yang lalu. Cumanya dia memang tak pernah jumpa anak Aunty Azi sehinggalah hari ini.

“Dia dah tahulah, Am. Mama aku ada berbual dengan dia tadi.” Aqhari tolong jawab bila dilihat Arinah seperti malas mahu berbual.

“Laaa…dah tahu? Senanglah.” Am tertawa.

“Apa yang senang?” soal Aqhari yang tidak tahu apa-apa.

“Abang Long!” Arinah rasa macam nak menangis diusik Am tapi sebelum tu kalau boleh nak dicekiknya abang sepupunya ini.

“Tak ada apa-apalah. Eh! Kau masih dekat Kuantan ke?” Am kulum senyum.

“Dah tukar dekat Gong Kedak.”

“Wahhh…naik pangkat? Mejarlah ni?” Am besarkan mata.

“Bolehlah.” Aqhari merendah diri.

“Kalau kahwin lalu bawah pedang tak?” Am mengerling Arinah yang dah merah muka.

“Entah. Tak terfikir aku sampai ke situ.” Aqhari tersengih.

“Eh, Rin! Nak ke mana?” soal Am dengan senyuman mengusik bila dilihat Arinah sudah berdiri.

“Pergi basuh periuk.” Spontan Arinah menjawab dan cepat-cepat berlalu dari situ.

“Basuh periuk? Serius ke dia nak basuh periuk?” Aqhari pandang wajah Am.

Terburai terus tawa Am dengan soalan polos Aqhari.



Part 2
MASAM sahaja wajah Arinah. Tiada langsung senyuman manis yang menghiasi wajah putihnya. Kadang kala kedengaran bunyi pinggan mangkuk yang sengaja dihentak-hentak.

"Cuba ikhlas sikit hati tu," tegur Puan Halizah yang muncul dari ruang tamu.

"Ikhlaslah ni." Arinah menuang adunan kek cokelat ke dalam loyang yang telah siap digris dengan mentega.

"Masam aje muka tu," usik Puan Halizah.

"Mana ada masam? Ini nampak ni. Orang tengah senyum." Arinah koyak senyuman lebar hingga menampakkan barisan giginya yang cantik.

"Dah pergi masukkan loyang tu dalam oven." Bibir Puan Halizah memuncung pada oven di tepi kabinet.

"Hmmm..." Arinah hentak-hentak kakinya.

Puan Halizah hanya menggeleng dengan perangai Arinah. Saja nak tengok Arinah membuat kek. boleh tahan banyak juga tempahan yang Arinah terima. Dia ke depan semula.

Telefon bimbit Arinah berbunyi. Kelam kabut Arinah menutup pintu oven. Segera dicapai telefon bimbit di atas meja. Nama pemanggil dibelek sebelum dijawab.

"Huh...Hajar. Hello!" Arinah menjawab malas.

"Ada bau ikan busuklah. My lovely cousin is mad at me." Suara Hajar riang mengusik.

"Penat semalam tak hilang." Arinah bersuara mendatar.

"Dah siap ke kek-kek tu?" Hajar langsung tak pedulikan marah Arinah.

"Satu lagi on the way. Nanti kau datang ambik sebab kau pandai-pandai cakap dekat Aunty Azi aku rela hati nak buat." Arinah menekan sedikit suaranya. Geram dengan Hajar.

"Rin...pasal benda inilah aku telefon kau." Hajar membalas serba salah.

"Kau jangan macam-macam." Arinah seperti dapat mengesan sesuatu.

"Kau kena hantar sendiri dekat rumah Aunty Azi. Aku ada hal dekat rumah keluarga Haris. Boleh kan?" pinta Hajar lembut.

"Hajar...kau saja nak kenakan aku kan? Abang Long?" Arinah dah merengek. Dia kalau boleh tidak mahu jejakkan kaki di rumah Aunty Azi. Untuk dua minggu ini aje.

"Abang Long pun tak boleh. Rin, please?" Hajar merayu.

Arinah terdiam. Bibir diketap. Tak pasal-pasal dia terpaksa mencemar duli.

"Pukul berapa?" Arinah bertanya lemah.

"Sayang kau lebih, Rin. Six p.m. sharp."

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

ARINAH tarik brek tangan. Enjin kereta dimatikan. Dia keluar. Bonet belakang dibuka. Satu demi satu kek dikeluarkan dan diletakkan di atas meja di bawah khemah.

"Aunty." Arinah cuit lengan Aunty Azi yang leka memotong bawang.

"Rin...dah lama sampai ke?" Aunty Azi menyerahkan pisau kepada seorang perempuan di sebelahnya.

"Lama tak lamalah tapi dah angkut semua tu." Arinah tuding jari pada kek-kek yang dibawanya.

"Rin tolong susunkan sekali eh. Pergi ke dapur. Cari piring bertingkat." Aunty Azi menggosok lembut lengan Arinah.

Arinah mengangguk lemah dan masuk ke dalam rumah. Kalau semalam dia sibuk di rumah Mak Ngah Habsah di sebelah. Hari ini dia terjebak di rumah Aunty Azi pula.

Telinga Arinah dapat menangkap bunyi bising suara-suara orang berbual di belakang rumah. Dia mengintai di balik tingkap. Nampak beberapa orang lelaki sedang menggodak periuk besar.

Langkah diteruskan menuju ke dapur. Tiada kelibat sesiapa di situ. Arinah berpusing. Cuba berfikir di mana letaknya piring bertingkat yang Aunty Azi maksudkan.

"Errr...boleh tolong tak?" panggil Aqhari yang bercekak pinggang di pintu belakang.

Arinah menoleh bila merasakan ada yang memanggil. Yalah hanya dia seorang di dapur ketika ini.

"Rin?" Terperanjat Aqhari dengan kehadiran Arinah di dapur rumah keluarganya.

"Nak minta tolong apa?" Arinah turut terperanjat namun mukanya beriak seperti tiada apa-apa yang berlaku. Matanya dilarikan dari memandang tepat pada Aqhari yang menyingsing lengan baju t hingga menampakkan otot kekar lengannya.

"Tolong ambilkan tuala atas meja tu!" Aqhari tuding jari ke meja makan.

Arinah hulurkan tuala yang dipinta.

"Buat apa dekat sini?" tanya Aqhari sambil mengelap mukanya. Lengan yang berpeluh turut dilap sama.

Arinah telan liur. Ini nak menggoda ke apa.

"Hantar kek cokelat. Aunty Azi tempah." Mata Arinah memandang ke seluruh ruang dapur.

"Oh! Mana keknya? Bolehlah saya rasa sikit." Bulat mata Aqhari bila Arinah menyebut kek cokelat. Manisan kegemaran dia. Dia tersenyum.

Arinah pegang dada. Sesak nafasnya. Kenapalah si Aqhari ni murah dengan senyuman? Jantung ni macam nak tercabut dah. Sebab itulah kalau boleh dielak memang dia nak elak dari datang ke sini.

"Errr...ada dekat luar." Jari Arinah menunjuk ke belakangnya.

"Jomlah. Dah lama saya tak makan kek cokelat." Aqhari sudah mahu menapak ke depan tapi terhenti bila Arinah bersuara.

"Saya nak kena cari piring bertingkat dulu tapi tak tahu letak dekat mana." Suara Arinah berubah perlahan.

"Piring bertingkat?" Aqhari tanggalkan selipar jepun dan masuk ke ruang dapur. Satu persatu pintu kabinet dapur dibukanya.

"Ini ke?" Aqhari menunjukkan piring di tangan.

Arinah mengangguk. Diambil piring bertingkat itu dari tangan Aqhari.

Mereka kemudian berjalan beriringan ke laman depan rumah.

"Lama?" Kening Aunty Azie terjongket memandang Arinah. Keningnya semakin terangkat tinggi bila melihat Aqhari berjalan di belakang Arinah.

"Sorry, aunty. Tak tahu nak cari dekat mana." Arinah tersengih.

"Baru-baru memang macam tu. Lama-lama nanti biasalah." Aunty Azi tertawa. Tangan Aqhari yang galak mencuit sedikit kek cokelat di tepisnya.

Aqhari tersengih. Diambil juga sebiji kek cawan cokelat mini.

"Tunggu sampai habis baca doa selamat eh?" ajak Aunty Azi. Matanya membulat melihat Aqhari yang baru menyumbat mulut dengan kek cawan mini.

"Tak bolehlah, aunty. Tengoklah Rin pakai baju apa." Arinah menunjukkan baju t lengan panjang dan denim biru yang tersarung di badannya.

"Pinjamlah baju, Hajar." Aunty Azi cuba memberi cadangan.

"Hajar tak ada dekat rumah."

"Dia adalah. Baru tadi dia hantar sayur lemak labu," beritahu Aqhari.

"Aah." Aunty Azi turut mengiakan.

Arinah ketap gigi. Nampaknya ini strategi terancang sepupu-sepupunya. Siap dia orang.

"Macam mana?" Aunty Azi pandang Arinah penuh berharap.

Arinah mengangguk lemah.

"Angah!!!" Suara Aunty Azi naik satu oktaf. Geram melihat Aqhari yang dah telan kek cawannya lebih kurang lima biji.

"Sedap sangat. Peace, mama." Aqhari senyum dan berdiri. Sempat membuat isyarat keamanan sebelum berlari ke belakang rumah.

Arinah hanya tersengih dan bahu dijongketkan bila Aunty Azi memandang dia.



Part 3
HAJAR mengikut ke mana saja langkah Arinah. Arinah ke ruang dapur dia ikut. Arinah ke belakang tambah lauk untuk tetamu dia ikut. Arinah ke khemah dia ikut juga. Selagi Arinah tidak memaafkan dia, ke mana pun Arinah pergi dia setia mengekori.

“Rin…aku cuma ikut aje apa yang Abang Long suruh.” Hajar cuba menerangkan duduk perkara sebenar.

Arinah menjeling. Adik abang sama saja perangai. Tak sudah-sudah nak mengatur jodohnya. Tahulah tahun hadapan umur dia nak masuk tiga puluh tapi tak perlulah sibukkan jodoh dia. Segalanya kan sudah diatur cantik oleh Allah.

“Arinah, janganlah buat sepupu tersayang kau macam ni. Kesian aku.” Hajar mencebik.

Arinah selamba mengemas pinggan kertas yang telah diguna dan berselerak di atas meja.

“Dia sesuailah dengan kau. Kalau aku tak jumpa Haris harus aku yang mengurat dia.” Hajar tertawa.

“Gatal.” Arinah mendengus.

“Aku memang gatal tapi Mejar Aqhari tak pandang aku pun. Kalau dia nak dah lama dia cakap kat Abang Long.” Hajar merapati Arinah.

“Eee…tak kuasalah aku na fikir benda-benda ni semua. Serik tahu tak?” Arinah besarkan matanya pada Hajar.

“Sampai bila?” Hajar mendesak.

“Sampai aku penat.” Arinah terduduk.

“Rinnn…” Hajar memegang bahu Arinah.

Aqhari hanya memandang gelagat Arinah dan Hajar dari jauh. Keruh pada wajah Arinah seperti menyentap tangkai hatinya.

Bro.” Am menepuk bahu Aqhari. Dihulurkan bekas kosong untuk diisi lauk ayam masak merah.

Aqhari berpaling. Dia tersenyum.

“Berminat?” Kening Am menari-nari.

“Mengarutlah.” Aqhari menunduk. Tangan pantas menceduk lauk ayam ke dalam bekas di tangan Am.

“Belum cuba belum tahu,” giat Am lagi.

“Kau jangan pandai-pandai, Am.” Aqhari memberi amaran

Teringat kisah tiga tahun lepas. Am cuba menggandingkan dia dengan kawan Hani, isteri Am. Tidak ke mana pun perhubungan dia dengan kawan Hani tu. Kawan Hani tidak boleh terima perhubungan jarak jauh. Tak adalah jauh mana Kuantan dengan Johor Bahru tapi dah tiada jodoh. Dia reda.

“Dia pun pernah kecewa. Putus tunang setahun yang lepas.” Am bercerita tanpa dipinta.

“Orang cantik macam Arinah pun kena tolak?” Aqhari merenung kembali pada Arinah.

“Dah tak ada jodoh. Macam kau juga. Aku rasakan Allah dah tentukan kau dengan dia kut.” Am tertawa.

Don’t start, Am.” Aqhari menggeleng.

“Kali ini aku rasa kau tak akan kecewa. Cumanya kau kena kerja lebih keras. Hati Cikgu Arinah ni dah beku.” Am tepuk bahu Aqhari sebelum ke khemah untuk menghantar lauk ayam yang diambilnya tadi.

Patut ke aku mulakan? Aqhari ketap bibir. Nafas ditarik dalam-dalam. Langkah diatur menuju ke tempat Arinah dan Hajar yang sedang duduk berbual.

“Hajar pergilah hantar dekat belakang.” Arinah menolak mangkuk berisi kari ayam ke depan Hajar.

“Kaulah pergi. Aunty Azi kan sebut nama kau tadi.” Hajar menolak kembali mangkuk kari kepada Arinah. Telefon bimbit di tangan dipandang.

“Seganlah. Ramai orang lelaki dekat belakang tu.” Mulut Arinah dah muncung.

“Bukan kau tak ada hidung nak segan bagailah.” Hajar kembali membelek telefon bimbitnya.

“Teman aku.” Arinah bangkit. Ditariknya tagan Hajar agar mengikutnya ke belakang.

“Rinnn…” Hajar cuba merentap tangannya.

“Aku tak kira.” Semakin kuat pegangan tangan Arinah.

“Semuanya berpunca dari kau dengan Abang Long. Makanya Cikgu Arinah isytiharkan kau kena menurut perintah.” Arinah tertawa.

Elok sahaja dia berpusing, Arinah terlanggar seseorang. Dia tergamam. Rasa macam nak terjun dalam swimming pool milik Aunty Azi. Malunya.

Hajar dah berdesup lari meninggalkan Arinah.

"Errr...nak saya tolong lap ke?" Arinah pandang Aqhari yang bermandikan kuah kari ayam.

"Boleh ke?" Aqhari tersenyum-senyum.

"Errr...lap sendirilah. Tak apa kan?" Arinah ketap bibir. Nak cari nahas ke kalau dia yang buat. Bahagian yang kena tu rasanya lebih afdal Aqhari buat sendiri.

"It's okay." Aqhari capai tisu di atas meja. Dilap bahagian yang terkena kari. Bibirnya tak sudah menguntum senyuman.

"Tak marah?" Arinah yang kaku berdiri di depan Aqhari bertanya. Pelik bila Aqhari langsung tidak marah. Tenang dan tersenyum sentiasa.

"Perkara remeh aje ni. Lagipun Cikgu Arinah yang buat. Tak berbaloi nak marah-marah." Aqhari kenyit mata saat wajahnya didongakkan.

“Errr…” Arinah terkedu.

“Tapi kena dendalah.” Aqhari ketawa-ketawa.

“Denda?” Siapa yang cikgu ni? Arinah dah garu kepala.

“Teman saya makan? Saya tak sempat jamah apa-apa dari lepas maghrib tadi. Itu pun makan kek yang awak buat aje petang tadi.” Aqhari bergerak ke khemah.

Arinah masih berdiri kaku bagaikan patung cendana.

Aqhari tersenyum. Dia melangkah kembali ke tempat Arinah berdiri.

“Jangan sampai saya dukung awak.” Aqhari berbisik.

“Hesy…” Arinah seperti tersedar. Laju dia berjalan ke tempat makanan.

Aqhari tertawa.

Tanpa sedar gelagat Aqhari dan Arinah diperhatikan Aunty Azi dari ruang tamu. Suka melihat gaya Aqhari memikat Arinah. Sedari awal dia memang berkenan dengan Arinah tapi dia tidak mahu masuk campur urusan mencari jodoh anak-anaknya. Biarlah mereka cari sendiri. Mereka juga yang hendak hidup bersama di kemudian hari.

“Sikitnya?” Ternaik kening Aqhari memandang pinggan di tangan Arinah.

“Ini pun dah dikira banyak.” Arinah tunjuk apa yang diambilnya pada Aqhari.

“Saya suka bakal isteri saya makan banyak-banyak. Tak adalah orang mengata saya tak bagi makan,” seloroh Aqhari sambil ketawa.

“Nasib baik saya tak tersenarai.” Arinah turut tertawa.

“Siapa kata Cikgu Arinah tak tersenarai? Top on the list tau.” Aqhari tambah seketul lagi ayam ke dalam pinggan Arinah tanpa sempat Arinah menolaknya.

“Jangan buat lawak, Mejar Aqhari.” Arinah menggeleng. Dia berjalan ke meja kosong dekat dengan kolam renang.

“Kalau pasal jodoh, Mejar Aqhari tak pandai berlawak Cikgu Arinah.” Sekali lagi Aqhari kenyit mata.

“Tak naklah cerita pasal jodoh.” Arinah dah tak senang duduk.

“Kenapa? Takut terluka lagi?” tebak Aqhari. Ditarik kerusi bertentangan dengan Arinah.

Arinah kecilkan mata memandang Aqhari di depannya.

“Am yang bagitahu,” beritahu Aqhari seolah-olah faham bahasa mata Arinah.

Kali ini Arinah rasa memang abang sepupunya nak kena kerat dua belas. Habis semua kisahnya di jaja pada Aqhari.

“Saya pun pernah dikecewakan. Saya reda. Percaya pada qadak dan qadar Allah.” Aqhari tersenyum.

“Lelaki sehebat awak pun kena tolak? Buta agaknya mata perempuan tu,” perli Arinah.

“Kalau awak terima maknanya awak tak buta, Rin.” Aqhari renung wajah Arinah.

Arinah tunduk. Tak tahu nak membalas apa.

“Saya maksudkannya.” Aqhari tersenyum.

“Terlalu awal.” Arinah menolak lembut.

“Umur tak menunggu, Rin. Bukan selamanya kita muda.”

Arinah terdiam. Mulutnya disuap perlahan-lahan.



Part 4
SUDAH setahun peristiwa itu berlaku tetapi Arinah rasakan macam baru semalam. Dia takut perkara yang sama akan berulang. Sementelah lagi usia semakin meningkat. Perlukah dia buang kenangan pahit dan menyulam cerita manis? Betapa sukarnya mengecapi bahagia.

“Bolehkah dia terima aku, Hajar? Aku ni banyak celanya.” Arinah mengeluh.

“Kalau dia tak nak dekat kau dia tak cakaplah, Rin.” Hajar cuba menenangkan Arinah.

“Dia terlalu sempurna.” Arinah beralasan lagi.

"Kau nak yang macam mana lagi?" Hajar tinggikan suara. Geram dengan Arinah.

"Susahlah aku nak cakap." Arinah duduk di sofa. Kedua-dua tangan menopang dagu.

"Kalau kau susah nak cakap biar aku yang cakapkan." Hajar pura-pura hendak keluar rumah.

"Hajar!!!" Arinah menjerit.

"Errr..." Hajar pandang Arinah. Jari menuding ke belakang badannya. Dia kemudian berpaling memandang ke pintu semula.

"Am ada?" Aqhari yang tidak perasan Arinah ada di ruang tamu bertanya pada Hajar.

"Dekat atas. Kenapa Abang Aqhari?" tanya Hajar pelik.

"Abang kena panggil balik bertugas. Sepatutnya minggu depan baru mula. Itu yang nak jumpa Am sekejap," beritahu Aqhari.

"Oh?! Masuklah dulu. Hajar panggilkan Abang Long." Hajar terus naik ke tingkat atas. Sempat menggumam terima dia pada Arinah.

Aqhari buka kasut. Seperti biasa dia terus ke ruang tamu. Agak terkejut bila nampak Arinah di situ. Hati dia sudah pandai merindu walau tuan punya badan masih bertarik tali.

"Rin?!" sapa Aqhari.

"Hai!" Arinah tersenyum kelat. Lelaki ini macam tahu-tahu aje namanya disebut-sebut.

"Dah lama dekat sini?" Aqhari berbasa-basi. Kalau dia tahu Arinah ada dekat sini, awal-awal lagi dia dah bertandang.

"Adalah dalam sepuluh minit." Arinah kalih pandang bila Aqhari merenungnya.

"Bagus juga saya kena balik ke kem. Rezeki saya hari ni. Tunggu orang tu call sampai sudah tak ada." Aqhari tersenyum.

"Errr..." Arinah serba-salah.

“Rin dah ada yang punya ke?” tanya Aqhari jujur.

Arinah menggeleng.

“Kalau tak ada, apa yang buat Rin susah nak terima saya?” Aqhari angkat kening.

“Saya takut.” Arinah berterus-terang.

“Takut?” Aqhari tenung wajah Arinah.

“Awak terlalu sempurna, Aqhari. Dekat luar sana mesti ramai yang sesuai dengan awak.” Arinah turut merenung wajah Aqhari.

“Siapa kata saya sempurna?” Aqhari tegakkan badannya. Kenapalah gadis ini terlalu banyak alasannya.

“Awak ada kerjaya hebat, berpangkat, rupa paras yang elok, bentuk badan yang sempurna, kewangan yang kukuh. Pendek kata awak punya segalanya. Saya? Saya hanya seorang cikgu. Masih duduk bawah ketiak emak.” Arinah ketawa.

“Masya-Allah. Sampai ke situ awak teliti pasal saya, Rin?” Aqhari tersenyum-senyum.

Terhenti tawa Arinah. Tidak faham maksud Aqhari.

“Awak sedar tak, Rin? Maknanya awak tahu segala-galanya tentang saya.” Aqhari tertawa.

“Errr…” Arinah ketap bibir. Hesy…mulut ni memang tak ada insuran betullah.

“Jujur saya katakan saya semakin tertarik dengan awak.” Suara Aqhari lembut seolah-olah berbisik.

“Saya banyak celanya.”

“Saya pun tak sempurna. Tiada siapa pun hambaNya yang sempurna, Rin melainkan Nabi Muhammad s.a.w.”

“Saya takut saya tak mampu berjalan seiring dengan awak, Aqhari.”

“Awak tak perlu risau. Setiap langkah saya, saya akan pastikan tangan saya tidak lepas dari menggenggam tangan awak. Saya tidak akan biarkan awak jauh dari saya.”

“Nanti awak bosan.” Pandangan sayu Arinah lemparkan pada Aqhari.

Aqhari bongkokkan sedikit badannya. Takut Arinah tidak mendengar apa yang ingin dia perkatakan.

“Rin…saya minta mama datang rumah awak, ya?” Lembut Aqhari bertanya.

“Bukan apa bila semuanya dah halal senang saya nak tunjuk dekat awak betapa saya tak pernah bosan dengan pilihan hati saya ni,” sambung Aqhari lagi.

“Awak tak kenal saya, Mejar Aqhari.” Arinah masih mahu menolak.

“Kita kenal selepas bernikah, boleh kan?” Aqhari bersandar semula.

“Nanti awak menyesal.” Arinah memandang Aqhari.

“Selepas berjabat tangan dengan Tok Kadi tak akan ada istilah menyesal dalam kamus hidup saya.” Aqhari cuba meyakinkan Arinah.

“Dulu orang yang pernah bertahta di hati saya turut menuturkan kata-kata yang sama.” Arinah tunduk menekur lantai.

“Rin…lain orang lain caranya. Jangan sebabkan lelaki lain yang pernah lukakan hati awak, awak tutup pintu hati awak tu untuk saya. Please, Rin. Saya ikhlas nak ambil awak jadi isteri saya. Kita buat yang wajib saja. Tak perlu bertunang, nikah terus.” Bersungguh-sungguh Aqhari meluahkan rasa hatinya. Sangat telus dan berterus-terang.

“Tapi saya nak juga bersanding macam orang lain.” Mulut Arinah muncung. Hanya ekor mata memandang Aqhari. Tanpa sedar sebenarnya dia menyatakan persetujuan untuk dirinya disunting.

“Alhamdulillah.” Aqhari meraup wajahnya. Bibirnya mengukir senyuman lebar.

Arinah kerdip-kerdipkan matanya. Blur.

Bro, apahal?” Am datang dan duduk di sebelah Aqhari.

Baru Arinah sedar. Lamanya abang sepupunya mengambil masa untuk turun berjumpa dengan Aqhari. Strategi terancang lagi ke? Si Hajar pun dah tak nampak bayang ni.

“Aku kena panggil balik. Cuti baki seminggu tu dibatalkan,” beritahu Aqhari.

“Kenapa?” Am memandang pelik.

“Aku nak cakap lebih tapi tak boleh. Kau tahulah keadaan dunia sekarang ni macam mana kan.”

“Tak bahaya ke?” Arinah menyampuk. Gerun juga bila dengar kata-kata Aqhari.

“Bahaya ada dekat mana-mana, Rin. Laut dan darat tiada beza. Bukan di udara sahaja.” Aqhari tersenyum. Terasa seperti dia dihargai bila melihat riak bimbang pada wajah Arinah.

“Wahhh…tiba-tiba risau pula adik Abang Long ni. Ada apa-apa ke?” Kening Am menari ronggeng. Wajah Arinah dan Aqhari dipandang silih berganti.

“Arinah bagi mama aku datang rumah dia.” Aqhari masih berteka-teki.

Arinah dah tertunduk malu.

“Hesy…bukan ke Aunty Azi memang dah biasa pergi rumah Rin.” Berkerut dahi Am.

“Kadang-kadang aku tak fahamlah dengan kau, Am. Selalu lagi advance dari aku tapi hari ni boleh pula kau blur.” Aqhari ketawa.

“Masuk meminanglah, Abang Long.” Hajar yang datang dengan menatang dulang di tangan menyampuk. Sempat paha Am ditepuknya selepas dulang diletakkan di atas meja.

“Oh! Meminang…” Am mengangguk.

“Apa? Meminang? Rin setuju?” Am pandang Arinah dengan wajah terkejut.

Bro, kau sebenarnya bagi ke tak aku kahwin dengan adik sepupu kau ni?” Muka Aqhari berubah bila mendengar pertanyaan Am.

“Bagilah. Susah payah aku dengan Hajar merancang. Aku cuma terkejut aje. Cepat betul kau bertindak. Ingat kau handal tawan angkasaraya aje.” Am ketawa-ketawa.

“Rin dah agak dah. Memang semua ni korang punya kerja.” Arinah menjeling tajam.

“Aku menurut perintah aje.” Hajar angkat kedua-dua belah tangannya.

“Kata nak meramaikan umat Muhammad,” seloroh Am.

“Eh! Aku kena gerak sekarang. Takut lewat sampai sana nanti.” Am bangun selepas minum air yang dihidangkan Hajar.

Drive ke naik flight?” Am berjalan ke muka pintu seiring dengan Aqhari.

Arinah dan Hajar turut keluar sama.

“Tumpang kawan. Sekejap lagi dia sampai.” Aqhari sarung kasut. Matanya sempat memandang wajah Arinah. Pastinya hari-hari dia tak akan sama lagi selepas ini. Perasaan rindu akan sentiasa menemaninya sehinggalah mereka sah bernikah.

“Rin, pergilah teman Aqhari sampai kawan dia datang,” usul Am.

“Kena eh?” Arinah pandang Am.

“Wajib,” sampuk Aqhari dengan kenyitan mata.

“Wajib bila dah halallah, Abang Aqhari.” Hajar pula mengusik.

Muka Arinah rasa berbahang. Malu bila semua orang mula mengusik dia dan Aqhari.



Part 5
ARINAH tidak senang duduk. Hanya tinggal dua minggu sahaja lagi majlis pernikahan dia dan Aqhari akan berlangsung. Aqhari berjanji dengan dia hujung minggu ini Aqhari akan balik. Ada beberapa perkara yang mereka harus selesaikan bersama.

Mata memandang jam di dinding. Hampir pukul sembilan pagi. Telefon bimbitnya berlagu riang. Arinah tersenyum. Pantas dicapai telefon bimbit di atas meja sisi.

“Hello, Assalammualaikum!” Ceria Arinah memberi salam.

“Waalaikumussalam. Saya tak ada dekat sana pun awak happy ya?” Sapa Aqhari di hujung talian. Sempat mengusik Arinah.

“Laaa…habis tu nak suruh saya menangis ke tiap-tiap hari?” dahi Arinah berkerut seribu.

“Bukanlah sampai macam tu. Sekurang-kurangnya pura-puralah sedih saya tak ada dekat sebelah awak.” Aqhari ketawa.

“Tak kuasa saya. Semalam saya ceria, hari sebelum-sebelum pun saya ceria juga. Bila masa pula nak sedih-sedih bagai.” Arinah membalas. Ada tawa di hujung kata-katanya.

“Tak sabar ya?” usik Aqhari.

“Hesy…saya sabarlah. Awak tu yang tak sabar. Semua nak cepat.” Arinah membalas usikan Aqhari.

“Bukan tak sabar, takut ada yang menyambar nanti,” Aqhari ketawa. Jujur memang itu yang dia risaukan.

“Tak ada orang lain nak dekat saya ni. Awak ajelah yang sudi.” Arinah hanya menggeleng mendengar kata-kata Aqhari.

“Lega saya dengar. Susah kut kalau ada persaingan.”

“Ini bukan medan peperangan nak bersaing bagai, Mejar Aqhari,” seloroh Arinah.

“Suka bila Cikgu Arinah panggil saya Mejar Aqhari.” Aqhari ketawa.

Drop the subject. Pagi-pagi dah telefon saya ni, ada apa-apa ke?” tanya Arinah.

“Tak boleh ke?” Aqhari membalas dengan soalan.

“Bukan tak boleh tapi selalunya awak akan telefon sebelah petang.” Arinah cuba menerangkan maksud soalannya tadi. Tidak mahu Aqhari terasa hati.

“Sekejap lagi ada latihan penerbangan.” Suara Aqhari sedikit mengeluh.

“Baguslah. Bukan awak tak biasa kan?” Risau Arinah bila mendengar Aqhari mengeluh.

"Doakan saya," pinta Aqhari.

"Insya-Allah semuanya akan baik-baik. Dah telefon Aunty Azi?" Arinah ketap bibir. Hati dia sendiri rasa berdebar-debar.

"Dah. Baru aje tadi. Tak tahu kenapa ada rasa lain, Rin." Suara Aqhari perlahan.

"Ingat Allah. Dia sentiasa ada untuk kita. Saya tunggu awak." Arinah cuba menenangkan perasaan Aqhari walau dia sendiri tidak tenang.

"Terima kasih sebab sudi terima saya. Tak sabar nak jumpa." Aqhari tertawa.

"Awak, semoga semuanya selamat." Ada getar pada suara Arinah.

"Insya-Allah. Hujung minggu ni kita jumpa. Itu saya pasti." Aqhari berjanji.

“Insya-Allah. Banyak lagi nak kena settlekan,” beritahu Arinah.

“Kita buat sama-sama nanti, ya. Tunggu saya tau. Saya kena gerak sekarang, Rin.” Lemah sahaja suara Aqhari.

“Ya.” Arinah hanya membalas pendek kata-kata Aqhari.

“Rin…saya sayang awak.” Suara Aqhari sedikit bergetar.

“Aqhari…” Arinah berjeda. Dia mendongak. Menghalang dari airmatanya tumpah. Hati dia juga sudah pandai merindu.

“Arinah…” Aqhari berbisik.

“Hati-hati. Banyakkan berdoa. Saya akan sentiasa tunggu awak. Saya sayangkan awak juga.” Akhirnya Arinah bersuara setelah berjaya mengawal diri dari menangis.

“Insya-Allah. Terima kasih, Rin. Assalammualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Arinah hanya memandang telefon bimbit yang sudah gelap. Tangan melekap di dada. Entah kenapa sepanjang perbualan dengan Aqhari terasa ada debaran di dadanya. Dia beristighfar. Moga Allah melindungi orang yang dia sayang.

Arinah menggeliat. Terasa seperti sendi-sendinya sedikit menegang. Mata terpaku pada jam di dinding. Pukul sebelas. Ralit sangat menyiapkan cenderahati untuk diberikan kepada tetamu semasa majlis perkahwinannya kelak hingga tidak sedar sudah dua jam dia duduk berteleku di ruang tamu rumah.

Siaran berita pagi yang terpapar di kaca televisyen di pandang. Debaran yang sudah hilang pagi tadi bertandang kembali. Tajuk berita yang dibacakan penyampai berita membuatkan pergerakan adrenalinnya bertambah laju.

Arinah tidak tunggu lama. Tunggang-langgang barang-barang di depannya dilanggar. Segera dia berlari ke bilik. Tudung dicapai dan dipakai asal boleh saja. Kunci kereta dicapai.

“Mak, orang pergi rumah Aunty Azi!” Arinah menjerit dan terus berlari keluar. Sebaik saja enjin kereta dihidupkan, terus dipecut Toyota Vios keluar dari halaman rumah keluarganya.

Puan Halizah berkejar ke pintu. Tidak sempat menahan Arinah untuk bertanyakan apa yang menyebabkan Arinah kalut sebegitu. Mata menyorot hingga kelibat kereta Arinah hilang. Hanya dia berdoa dalam hati agar Arinah selamat dalam perjalanan tidak kira ke mana Arinah tuju.

Arinah bergegas keluar dari keretanya sebaik tiba di hadapan pintu pagar rumah Aunty Azi. Loceng pintu ditekan. Beberapa kali tetapi tiada jawapan. Jemarinya sibuk menyeka airmata yang tidak berhenti mengalir sejak tadi. Kaki dijengketkan memerhati ke halaman rumah. Tiada kereta. Dia kembali ke kereta. Mencari telefon bimbitnya. Dahi ditepuk. Pasti tertinggal di rumah.

Arinah tiada pilihan. Dia ke rumah Mak Ngah Habsah. Segera dia keluar dan menyerbu ke dalam rumah. Bagai tak cukup tanah dia berlari menuju ke bilik Hajar. Mak Ngah Habsah yang hampir dilanggarnya pun tidak ditegur.

“Hajar! Hajar!” Tercungap-cungap nafas Arinah ketika masuk ke dalam bilik sepupunya.

Hajar yang sedang leka membaca novel terpinga-pinga.

Arinah terus memeluk badan Hajar. Dia menangis tersedu-sedu.

“Hei, kenapa ni?” Hajar usap belakang Arinah. Cuba memujuk walau dia tidak tahu apa-apa.

“Aqhari, Hajar. Aqhari.” Suara Arinah tenggelam timbul.

“Kenapa dengan Aqhari?” Arinah yang masih memeluknya cuba ditenangkan Hajar.

“Ada jet terhempas.” Arinah cuba menerangkan sesuatu.

“Mengarutlah. Mana kau tahu?” Hajar rungkaikan pelukan Arinah. Wajah Arinah yang basah dipandang.

“Betul, Hajar. Keluar dalam berita tadi,” beritahu Arinah sungguh-sungguh.

“Kau dah telefon Aqhari?” soal Hajar.

Arinah menggeleng.

“Aunty Azi?” Kening Hajar terjongket.

Arinah menggeleng lagi. Dia memang tidak boleh berfikir. Sepatutnya memang itu yang dia lakukan. Tergamam punya pasal dia terus pecut kereta ke sini.

“Dah pergi rumah dia?” soal Hajar lagi.

“Dah tapi rumah tu berkunci. Kereta Aunty Azi pun tak ada.”

“Telefon kau mana? Biar aku telefonkan,” pinta Hajar.

“Tertinggal dekat rumah.” Arinah mengesat pipinya.

“Dah, dah. Jangan menangis. Kita telefon dulu. manalah tahu kau tersilap.” Hajar capai telefon bimbitnya.

Beberapa kali mencuba, Aqhari mahupun Aunty Azi gagal dihubungi. Hajar jongketkan bahu pada Arinah.

“Aku nak pergi sanalah, Hajar. Tak sedap hati aku ni.” Arinah termenung.

“Sabar, Rin. Kalau ada apa-apa mesti Aqhari atau Aunty Azi telefon kau,” pujuk Hajar. Dalam keadaan Arinah yang masih kebingungan tidak mungkin Hajar setuju dengan cadangan Arinah.

Arinah baring. Tangisannya bersambung kembali. Terasa seperti debaran di dadanya semakin kencang. Teringat kembali perbualan dengan Aqhari pagi tadi. Adakah itu petanda Aqhari akan tinggalkan dia buat selama-lamanya? Mata dipejamkan. Menidakkan apa yang dia rasa.



Part 6
PUAN HALIZAH duduk di birai katil. Tangannya memicit lengan Arinah. Baru sekejap tadi tuala di kepala Arinah dibasahkan. Sudah tiga hari Arinah demam panas. Suhu badannya tidak berkurang. Disuruh pergi ke hospital dia tidak mahu. Dia hanya mahukan Aqhari.

“Mak Uda, Rin macam mana?” Hajar menapak mendekati Puan Halizah.

“Macam inilah, Hajar. Tak berkurang pun.” Puan Halizah tersenyum lesu.

“Tak bawa dia pergi ke hospital ke?” Hajar usap pipi Arinah. Pucat betul muka sepupunya ini. Teruk sangat demamnya.

“Dia tak nak. Katanya selagi Aqhari tak balik dia tak mahu ke hospital.” Puan Halizah turut memandang Arinah.

“Degil betullah kau ni, Rin.” Hajar menggeleng.

“Ada apa-apa berita?” Puan Halizah memandang Hajar.

“Tak ada. Papa dengan mama cuba juga contact Aunty Azi dengan Uncle Raziq tapi tak dapat. Nak telefon Pengkalan Udara Gong Kedak tu takut mereka tak layan. Yalah kita ni tak ada apa-apa pertalian.” Hajar melepaskan keluhan berat.

“Abang Long?” Mata Puan Halizah membulat.

“Abang Long ada juga contact-contact kawan-kawan lama dia tapi sorang pun tak tahu apa-apa,” balas Hajar lagi.

“Dekat tv pun tak ada kisah jet terhempas ni. Entah betul entah tidak si Rin ni.” Puan Halizah menggeleng. Risau dengan tahap kesihatan Arinah yang semakin merundum sejak tengok berita jet terhempas di Kelantan.

“Persiapan kahwin Rin macam mana, Mak Uda?”

“Entahlah. Habis bersepah benda-benda yang Rin buat tu. Kamu pergilah tengok. Tolong kemas-kemaskan sikit. Mak Uda tak sempat. Kalau tak ada berita pasal Aqhari, nampaknya majlis kahwin tu tak jadilah.” Nada suara Puan Halizah seperti berputus asa.

“Jangan macam tu, Mak Uda. Insya-Allah, Aunty Azi mesti cari kita.” Hajar menggosok tangan Puan Halizah. Cuba memberi semangat.

“Harapnya macam tu lah.” Puan Halizah mengangguk lemah. Lengan Arinah dipicitnya lagi. Sesekali dia letakkan tangannya di leher Arinah. Memeriksa suhu badan Arinah.

“Hajar turun dulu, Mak Uda.” Hajar mengelus rambut Arinah sebelum berlalu dari situ.

Puan Halizah memandang Arinah. Diusap pipi Arinah yang semakin cengkung. Sayu melihat keadaan Arinah. Masa putus tunang dulu Arinah tak adalah sengsara seperti hari ini.

“Mak Uda! Mak Uda!” jeritan Hajar kedengaran di tingkat bawah.

Puan Halizah kelam-kabut bangkit dan menerpa ke luar. Dia menjenguk ke bawah.

“Ada orang nak jumpa ni, Mak Uda. Cepat turun.” Hajar melambai.

Puan Halizah turun ke bawah. Dadanya diurut. Hajar digamit.

“Bawa Rin turun, Hajar,” suruh Puan Halizah.

Hajar angguk. Kaki pantas meniti anak tangga. Lebih kurang sepuluh minit hajar turun ke bawah bersama Arinah yang dipapahnya.

“Rin…” Lembut Puan Halizah memanggil Arinah dari ruang tamu.

Arinah melangkah lesu mendekati Puan Halizah. Dia terpaku. Airmatanya mengalir laju. Terasa seperti sendi-sendi kakinya langsung tidak berfungsi. Dia terduduk.

“Rin!” Hajar cepat-cepat mengangkat Arinah dan dibawanya duduk di sofa.

Arinah seka airmata yang mengalir. Dia bukan sedih. Dia gembira. Doanya dimakbulkan Allah. Betapa memang dia menunggu saat ini.

Puan Halizah cuit Hajar untuk mengikutnya ke dapur.

Arinah hanya memandang kelibat Puan Halizah dan Hajar hingga hilang. Matanya kembali menatap wajah yang dirindui separuh mati.

“Alhamdulillah. Saya tak pernah bosan menunggu awak, Aqhari.” Mata Arinah tak berganjak dari memandang susuk tubuh yang turut merenung sayu kepadanya.

“Doa awak, doa mama dan doa kedua-dua keluarga kita telah selamatkan saya, Rin.” Ada segaris senyuman pada bibir Aqhari.

“Awak buat nafas saya sesak. Jantung saya berhenti berdenyut. Tiga hari langsung tiada khabar berita.” Arinah merintih. Lemah. Dia lemah bila mengingatkan kembali apa yang berlaku tiga hari lepas.

I’m sorry. Saya tak bermaksud nak susahkan hati awak.” Aqhari mengeluh.

“Hilang. Tiga hari awak hilang dari radar. Radar hati saya, Aqhari.” Arinah ketap bibir. Dia bersandar lemah. Kedua-dua belah kaki dinaikkan. Kepala dilentokkan pada bantal besar yang dijadikan hiasan di atas sofa. Tiada rasa malu tika ini. Biarlah Aqhari nak kata apa. Dia tidak kisah.

“Arinah…kalau kita dah halal, saya akan peluk awak. Peluk keta-ketat. Bukan awak sahaja yang sesak nafas, saya juga, Rin. Saya tak berdaya waktu tu. Saya bangkit sebab awak. Saya bangkit sebab janji. Saya bangkit sebab rindu.” Panjang lebar Aqhari luahkan apa yang turut dia rasakan.

“Apa yang terjadi?” Arinah tarik baju sejuk yang menyelimuti tubuhnya agar menutup kemas badannya.

Aqhari gigit bibir. Nampak betapa terseksanya Arinah di mata dia.

“Tak ada apa yang teruk pun.” Aqhari tersenyum.

“Tangan patah pun tak teruk? Dahi tu?” Berlapis-lapis kerutan di dahi Arinah bila mendengar kata-kata Aqhari.

Accident.” Selamba Aqhari menjawab.

Accident? Jet terhempas tu?” Semakin ketara kerutan pada dahi Arinah.

“Apa yang dilaporkan dalam tv tu tersilap. Mana ada jet terhempas. Cuma tersasar sikit masa mendarat.” Aqhari memberitahu hal sebenar.

Are you flying that jet?” Arinah bertanya minta kepastian.

Yup. Ingat tak saya cakap ada rasa lain dekat sini?” Aqhari tunjuk ke dadanya.

Arinah angguk.

“Mungkin sebab itu saya tersasar. Hilang fokus.” Aqhari menguak rambutnya.

“Masya-Allah. Saya pula fikir yang bukan-bukan.” Arinah ketap bibir. Kepala ditegakkan kembali.

“Tangan ni bukan sebab salah landing jet.”

“Habis tu?”

“Mungkin sebab trauma. Saya kemalangan masa balik dari latihan penerbangan tu. Terlanggar tembok.”

“Sampai hati tak beritahu dekat saya.” Suara Arinah kendur. Merajuk.

“Masing-masing panik waktu tu, Rin. Mama, papa even saya sendiri terlupakan pasal orang lain. Banyak benda nak kena uruskan. Mana nak buat report pasal latihan penerbangan saya tu, report dekat balai polis lagi dan yang paling epik saya minta discharge. Siap bergaduh dengan doktor lagi. Tak tahan sakit rindu.” Aqhari ketawa-ketawa.

Arinah ketap bibir.

“Maaf sebab saya awak jadi macam ni, Rin. How I wish I could turn back the clock.” Aqhari mengeluh.

“Berbaloi kut saya jadi macam ni.” Arinah tertawa halus.

I miss you. Tak tahu nak kata macam mana lagi.” Jujur Aqhari luahkan apa yang dia rasa.

“Memang berbaloilah saya sakit. Rindu juga orang tu dekat saya.” Arinah mengusik.

“Arinah…saya serius.” Aqhari bulatkan mata.

You don’t know how I miss you too.” Arinah kalih pandang. Jemarinya disulamkan.

“Saya tahu. Saya boleh nampak.” Aqhari mengiakan kata-kata Arinah.

“Huh…jadilah lalu bawah pedang, ya?” Hajar yang datang dengan menatang dulang ditangan menyampuk.

Puan Halizah yang turut sama ke ruang tamu dengan semangkuk nasi goreng turut tersenyum sama.

“Apa kau ni?” Arinah menjeling.

“Jadi. Siapa kata tak jadi.” Aqhari tersenyum lebar.

“Nasib baik tangan kiri yang patah tau, Abang Aqhari. Kalau tidak menangis sebulanlah orang tu.” Hajar masih mahu mengusik.

“Hajar!!!” Arinah menepuk bahu sepupunya.

“Amboi! Dah sihat nampak?” perli Puan Halizah pula.

“Mak…” Arinah muncungkan bibir.

Aqhari tertawa. Senang melihat wajah ceria Arinah. Betapa ini hanya sedikit sahaja dugaan yang Allah turunkan untuk dia dan Arinah. Mungkin ada banyak lagi. Tiada siapa yang tahu. Hanya Dia yang mengetahui segalanya.




Part 7
PAGI itu di bilik guru, Arinah sibuk mengedarkan kad undangan majlis perkahwinannya yang bakal diadakan pada hujung minggu ini. Arinah turut dihujani dengan ucapan tahniah. Tidak kurang ada juga yang seakan mencebik dengan kebahagiaan yang dia kecapi.

“Rin! Dah cari cikgu relief?” tanya Amna salah seorang guru yang rapat dengan Arinah.

“Aku baru tengok jadual semua orang. Hanya dua orang aje yang boleh gantikan aku. Cikgu Ong dengan Cikgu Zana,” beritahu Arinah.

“Dah tanya dengan dia orang?” Amna seperti risau bila melihat Arinah seperti sambil lewa tentang perkara ini.

“Cikgu Ong dah. Dia tak boleh. Dah kena ganti Cikgu Azman.” Arinah mengeluh.

“Zana?” Kening Amna terjongket.

“Belum. Dia nak ke tolong aku?” Mulut Arinah herot ke kiri ke kanan.

“Kau cubalah. Takkanlah dia tak nak tolong. Ini masa kau. Masa dia belum tahu lagi.” Amna cuba memujuk.

Arinah hanya mengangguk. Dia memandang ke luar. Ternampak Cikgu Zana yang baru keluar dari salah satu kelas yang diajarnya. Segera dia mengejar.

"Cikgu Zana!" panggil Arinah.

Cikgu Zana menoleh. Berhenti dari terus berjalan. Menanti Arinah mendekati dia.

"Boleh gantikan kelas saya untuk seminggu?" tanya Arinah lembut.

"Kenapa?" Masam muka Cikgu Zana bila mendengar permintaan Arinah.

"Nak cuti kahwin." Arinah tersenyum-simpul. Sekeping kad undangan dihulurkan.

"Laku juga ya. Ingat lepas putus dah tak ada orang nak." Cikgu Zana mencebik. Kad undangan dibuka dan dibaca.

"Boleh tak, cikgu?" Arinah tak peduli dengan sindiran Cikgu Zana. Dah lali. Apa yang penting sekarang dia perlu cari cikgu pengganti.

"Lusa nanti saya beritahu." Cikgu Zana terus berlalu.

"Lusa?" Lusa dia dah mula bercuti. Sampainya hati. Ada juga insan yang begini perangainya. Wajah Arinah berubah mendung. Kaki lemah dihayun masuk kembali ke bilik guru.

Tengahari itu Aqhari menunggu Arinah di perkarangan sekolah. Dia dengan rela hati menghantar dan mengambil Arinah dari sekolah sementelah dia telah mula bercuti. Kalau diikutkan cutinya bermula lusa tetapi diawalkan bila dia ditimpa kemalangan.

“Ehem…”

Aqhari yang bersandar santai pada Nissan Fairlady 350Z miliknya menoleh ke kanan bila terdengar suara dehaman seseorang. Badan ditegakkan. Senyuman kacak dipamerkan. Matanya mengerling pada tanda nama yang dipakai. Zana.

“Tunggu siapa?” tanya Cikgu Zana.

“Suri hati.” Aqhari masih tersenyum.

“Suri hati? Siapa?” Cikgu Zana membalas senyuman Aqhari. Dia selamba bersandar pada kereta Aqhari. Betul-betul di sebelah kanan Aqhari. Mata tunak memandang Aqhari yang nampak santai tapi kacak walau tangan kirinya berbalut.

“Cikgu Arinah.” Aqhari tersenyum lebar sewaktu menyebut nama Arinah.

“Arinah? Ohhh…” Terperanjat Zana mendengar nama yang disebut Aqhari. Nampaknya dia kalah dengan Arinah. Bakal suami Arinah jauh lebih kacak dari tunang dia.

Sorry, Mejar Aqhari. Lupa nak bagitahu ada kelas tambahan tadi.” Arinah sengaja menekan perkataan mejar ketika menegur Aqhari. Bukan niat dia hendak menunjuk tapi dia tidak suka dengan cara Cikgu Zana yang seperti ulat beluncas.

It’s okay, sayang.” Aqhari mendapatkan Arinah. Buku-buku tulis yang didakap Arinah diambilnya.

“Cikgu Zana tak balik lagi?” Arinah saja berbasa-basi dengan Cikgu Zana. Kalau tidak ditegur nanti dia dikatakan sombong pula. Tahu sajalah mulut Cikgu Zana ni macam mana.

“Tunang saya belum sampai.” Cemberut muka Cikgu Zana. Tidak suka melihat Arinah yang kelihatannya sangat bahagia.

“Rasanya itu tunang Cikgu Zana kut?” Arinah tuding jari pada sebuah motorsikal yang baru masuk ke kawasan sekolah.

Cikgu Zana mendengus. Perlahan-lahan dia berjalan mendapatkan tunangnya.

“Cikgu Zana! Jangan lupa datang majlis saya nanti.” Arinah tersenyum. Sempat berpesan pada Cikgu Zana.

“Baik ke dengan cikgu tu?” Aqhari bukakan pintu untuk Arinah.

“Saya dengan semua orang baik tapi tak tahulah kenapa dia tak suka saya.” Arinah melangkah masuk ke dalam kereta.

Aqhari berlari anak ke tempat duduk sebelah pemandu.

“Dunia, Rin. Kalau semuanya baik, siapa nak pegang watak jahat.” Aqhari tersenyum.

“Lain kali kalau terserempak dengan dia, awak jangan nak melayan sangat.” Arinah memberi amaran.

“Nanti orang kata saya sombong pula.” Aqhari masih tersenyum.

“Biar sombong dari kena caras.” Arinah bulatkan mata memandang Aqhari.

Jealous?” Kedua-dua kening Aqhari terangkat.

“Tak kuasalah nak jealous bagai.” Arinah menidakkan kata-kata Aqhari.

Jealouslah tu.” Aqhari mengusik.

“Eh! Boleh ke awak drive ni?” Berkerut dahi Arinah bila melihat Aqhari terkial-kial hendak memandu.

“Boleh tapi slow sikitlah.” Aqhari kenyit mata.

“Biar saya yang bawalah. Tangan awak kan tak elok lagi tu.” Arinah semakin risau.

“Retak aje ni pun. Bukannya patah.” Perlahan-lahan Aqhari memandu keluar dari kawasan sekolah. Sempat dibunyikan hon tatkala melintasi Cikgu Zana dan tunangnya.

“Degil.” Arinah menggeleng.

“Kalau saya tak degil, lambat lagi tau kita menikah.” Aqhari tertawa.

“Eh! Ke situ pula.” Arinah menjeling.

“Betullah apa yang saya cakap ni. Kalau saya tak degil, awak kurus kering rindukan saya.” Aqhari ketawa lagi.

“Hari tu bukan sebab rindu eh. Saya tak cukup tidur aje.” Arinah membalas tidak mahu kalah.

“Yalah tu. Mak cakap awak siap meracau panggil nama saya.” Aqhari tersenyum.

“Tangan tok kadi belum jabat lagi. Ada hati panggil mak kita mak.” Arinah mencebik.

“Saya bukan suka-suka tau nak panggil macam tu. Mak awak yang paksa. Oleh sebab bakal menantu mithali ni tak nak kecilkan hati bakal mak mentua, makanya kita panggillah mak orang tu mak.”

Arinah ketap bibir. Tak tahu nak balas apa lagi. Memang Puan Halizah yang berkeras nak Aqhari memanggilnya dengan panggilan mak. Nak buat macam mana kan. Panggil ajelah.

“Kita singgah makan dulu, ya?” Aqhari menoleh sekilas.

“Errr…saya belum solat zuhur lagi.” Arinah membalas. Seboleh mungkin cuba mengelak untuk keluar berdua sebelum menikah.

“Kalau macam tu kita singgah masjid. Lepas tu baru kita pergi makan. Kita tak pernah pun pergi lunch date kan?” Aqhari memperlahankan kenderaan bila ternampak masjid lebih kurang lima ratus meter di depan.

“Errr…tapi mak tak tahu kita nak pergi makan. Buatnya dia dah masak banyak macam mana?” Arinah mainkan keningnya.

“Orang tak sudi nak buat macam mana kan. Saya tunggu dalam kereta.” Muka Aqhari berubah. Brek tangan ditarik. Dia langsung tidak pandang Arinah. Telefon bimbit yang diletakkan berdekatan dengan radio dicapai.

Arinah tarik nafas dalam-dalam. Pintu kereta dibuka. Hati berat hendak menunaikan solat fardu dengan meninggalkan Aqhari yang sedang merajuk. Namun bila dilihat Aqhari ralit membelek telefon bimbit, dia terus keluar dari kereta.

Lebih kurang lima belas minit berlalu, Aqhari menoleh ke sebelah bila Arinah membuka pintu kereta. Dia masih ralit membelek telefon bimbit.

“Mejar Aqhari,” panggil Arinah lembut.

“Hmmm…” Aqhari jawab acuh tak acuh.

“Jom pergi makan? Perut saya dah berbunyi ni.” Arinah menepuk-nepuk perutnya.

“Saya dah kenyang.” Aqhari selamba membalas.

“Saya lapar. Mak cakap awak dah minta izin.” Arinah cuba memujuk lagi.

“Saya hantar awak balik.” Aqhari letak telefon bimbitnya. Brek tangan diturunkan. Kereta menyusur perlahan membelah jalanraya.

“Awakkk…janganlah macam ni. Saya minta maaf, okey.” Arinah duduk mengiring memandang Aqhari.

“Awak bayar.” Wajah Aqhari masih serius.

“Tak kisah. Asal Mejar Aqhari yang terlebih kacak ni tak marah pada saya lagi.” Arinah mengusik.

Cheeky.” Aqhari tersenyum akhirnya.

“Semakin kacaklah Mejar Aqhari kita ni bila dia senyum.” Arinah galak mengusik.

“Arinahhh…” Aqhari toleh sekilas.

Arinah tunjuk dua jari tanda keamanan.

Aqhari menggeleng. Segaris senyuman terukir di bibir.



Part 8
DUA hari sebelum majlis pernikahan berlangsung kelihatan Aqhari bertandang di rumah keluarga Arinah. Puas Arinah menegah tapi ada Aqhari kisah. Kalau penat mulut orang mengata berhentilah dia. Arinah malas dah nak cakap.

“Dah siap ke semuanya?” Aqhari menyisip kopi o panas yang dihidangkan Arinah untuk dia.

Ninety five percent.” Arinah tersenyum.

“Lima peratus lagi?” Bulat mata Aqhari meminta penjelasan.

“Tunggu awak jabat tangan tok kadi.” Arinah tertawa.

“Salam tok kadi satu peratus aje. Empat peratus lagi tu aktiviti malam. Barulah lengkap.” Ada tawa di hujung kata-kata Aqhari.

Terbuntang terus mata Arinah. Muka pun dah rasa kebas. Bukan main lagi Mejar Aqhari ni sejak-sejak dah nak jadi suami.

“Betullah. Solat sama-sama. Berjemaah. Mesti seronok jadi imam pada isteri sendiri.” Aqhari tersenyum.

Arinah tarik nafas lega. Kalau Aqhari asyik bergurau perkara tu mahu putus nafas dia. Memang dia kena cari tong oksigen nampak gayanya.

“Aktiviti yang satu lagi tu pun seronok juga.” Terburai terus tawa Aqhari bila Arinah campak kusyen kecil kepadanya.

“Cakap lagi macam tu jangan harap lepas nikah nak tidur sebilik dengan saya.” Arinah mengugut.

“Laaa…bukan ke nikah tu untuk menghalalkan apa yang sepatutnya?” Kening Aqhari menari-nari bersama senyuman nakal.

“Eh! Eh! Mejar Aqhari makin gatal nampaknya ya.” Arinah ketap bibir. Rasa macam nak cekik-cekik aje Aqhari di depannya ini.

Aqhari ketawa.

"Pernah dengar sword bearer?" Aqhari angkat kening. Bersandar malas pada sofa.

"Sword tu pedang kan? Hmmm...kenapa timbul cerita pasal pedang ni pula? Awak kan kat udara?" Kening Arinah turut terjongket. Berperang guna pedang ke Mejar Udara ni.

"Ada kaitan dengan kerja sayalah, Rin." Aqhari tertawa kecil. Lucu melihat Arinah yang polos.

"Sekejap-sekejap nak google." Ipad diambil. Arinah menaip sesuatu. Dahi berkerut. Wajah didongakkan. Mata bulat memandang Aqhari.

"Kita akan lalu bawah pedang tu tau." Aqhari tersenyum.

“Tak lalu tak boleh ke?” Arinah merenung Aqhari.

“Boleh tapi lepas tu awak kena sain boranglah.” Aqhari ketawa-ketawa.

Arinah dah rasa lain macam. Borang apa lagi. Dahinya berkerut seribu.

“Borang bagi izin saya kahwin lagi satu sebab saya nak juga lalu bawah pedang tu,” seloroh Aqhari.

“Amboi! Yang satu ni pun belum lepas ada hati nak pasang lagi satu.” Arinah menjeling.

“Sekali seumur hidup. Boleh ya, Rin?” Aqhari memandang penuh harap.

“Mesti banyak protokol.” Arinah ketap bibir.

It is an honour given to me as a Major in the Royal Malaysian Air Force.” Nada suara Aqhari tegas. Raut mukanya serius sewaktu menuturkan kata-kata.

Arinah terkebil-kebil. Mungkin beginilah Aqhari ketika bertugas. Serius dan tegas. Perlahan-lahan dia mengangguk memberi persetujuan kepada Aqhari. Lebih-lebih lagi bila teringatkan yang keluarga kedua-dua belah pihak bersetuju untuk mengadakan sekali sahaja majlis resepsi.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

ARINAH memandang tangannya yang digenggam erat Aqhari. Matanya beralih kepada barisan rakan-rakan Aqhari yang telah beratur dan bersedia untuk membuat silang pedang. Para jemputan yang hadir pun dilihat tidak sabar menantikan dia dan Aqhari berjalan di bawah pedang menuju ke pelamin di atas pentas.

“Dah sedia?” Aqhari berbisik.

Arinah mengangguk. Senyuman manis dilorek. Pandangannya tidak lepas memandang Aqhari. Aqhari nampak segak dengan pakaian istiadat TUDM. Tidak pernah terlintas dihatinya yang dia akan berkahwin dengan lelaki beruniform suatu hari nanti.

“Jaga-jaga tau. Jangan sampai terlanggar pedang. Kesian saya malam nanti sorang-sorang.” Aqhari tertawa.

Arinah menjeling. Aqhari tidak habis-habis dengan usikan nakalnya.

Mereka berjalan menuju ke pelamin. Tiba di hujung, berpaling menghadap pegawai pengiring. Satu tabik hormat diberikan. Kelihatan berpuluh lampu kamera

“Hati-hati.” Aqhari pegang tangan Arinah membantu Arinah untuk duduk di atas pelamin.

Selepas setengah jam bersanding, Arinah dan Aqhari duduk di meja makan untuk acara makan damai. Selesai makan beradap, mereka sudah berdiri di hadapan meja yang menempatkan kek setinggi tiga tingkat. Rakan-rakan Aqhari turut berada di kiri dan kanan mereka.

Sebelum memotong kek, Aqhari dan rakan-rakannya mengangkat pedang ke udara dan melaga-lagakan pedang di atas kek pengantin. Selepas itu barulah, Aqhari dan Arinah memotong kek.

“Terima kasih.” Aqhari berbisik dekat dengan telinga Arinah.

“Untuk apa?” Arinah pura-pura tidak tahu apa-apa.

“Sanggup ikut protokol ni semua.” Sengaja Aqhari dekatkan wajahnya dengan pipi Arinah.

“Tak apa. Saya tak kisah. Boleh cuci mata,” seloroh Arinah.

Tegak terus badan Aqhari.

Arinah paut tangan Aqhari.

“Cuci mata dengan orang sebelah ni aje. Yang lain-lain tu bagi orang lain tengok.” Arinah tertawa.

“Kawan-kawan saya tu semua dah kahwinlah.” Aqhari menggeleng dan tersenyum.

“Kalau baju istiadat ni putih macam navy punya lagi yummeh.” Arinah mendongak memandang Aqhari.

“Arinahhh…” Bulat mata Aqhari mendengar usikan Arinah.

“Ssshhh…” Arinah tertawa.

“Malam ni siaplah awak.” Aqhari tarik hujung hidung Arinah.

“Takutnya.” Arinah sambung ketawa.

“Arinah.” Seorang lelaki berdiri di hadapan pengantin baru

Arinah dan Aqhari menoleh ke depan.

“Madi.” Arinah gugup.

“Selamat pengantin baru, Rin.” Madi tersenyum kelat.

“Terimah kasih. Oh, ya! Awak, ini tunang Cikgu Zana.” Arinah memperkenalkan Madi kepada Aqhari.

“Ooo…Mana Cikgu Zana?” Aqhari tertoleh-toleh mencari.

“Ada. Dia ke tandas sekejap,” beritahu Madi.

Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan suara orang menjerit-jerit di hujung dewan. Kelihatan dua orang wanita sedang berbalas cakap. Ada beberapa orang yang turut mengelilingi wanita-wanita itu.

Arinah, Aqhari dan Madi bergegas ke hujung dewan.

“Zana!” Madi menarik tangan Zana. Malu dengan perlakuan tunangnya.

“Dia yang mulakan,” bentak Zana pada seorang perempuan.

“Kau tu yang gatal. Suami orang pun nak kacau.” Perempuan yang dituding jari Zana dah menyinga.

“Zahid apahal ni?” soal Aqhari pada temannya yang juga merupakan salah seorang pegawai pengiring untuk acara silang pedang tadi.

Zahid hanya menjongketkan bahu. Perempuan yang menyinga tadi ditarik ke sisinya pula.

Arinah mengagak mesti perempuan itu isteri Zahid.

“Zana, sudahlah. Malu. Kita kan seorang guru. Bukan ke kita kena tunjukkan adab yang baik pada semua orang?” tegur Arinah. Bukan Arinah tidak nampak apa yang Cikgu Zana lakukan tadi. Perkara yang sama pernah dia alami setahun yang lepas.

“Cikgu?! Cikgu apa kalau perangai tak semenggah macam ni.” Isteri Zahid menyampuk lagi.

“Zahid.” Aqhari memberi isyarat agar Zahid membawa isterinya jauh dari situ.

“Zana, Apa lagi yang awak nak? Tak cukupkah dengan apa yang awak ada?” soal Arinah.

Zana mendengus. Tangannya yang dipegang Madi cuba dileraikan tetapi Madi semakin kejap memegangnya.

“Tak semua yang kita nak kita boleh dapat, Zana. Allah dah tetapkan bahagian masing-masing. Hargai apa yang ada di depan mata. Terima kasih sebab datang majlis perkahwinan kami.” Arinah tarik tangan Aqhari untuk berganjak dari situ. Rasanya Zana faham dengan apa yang dia tuturkan. Cukuplah untuk secebis nasihat itu.

“Arinahhh…” Meleret suara Aqhari memanggil nama Arinah. Dia rasakan seperti Arinah menyembunyikan sesuatu dari dia tapi dia tidak mahu memaksa.

“Madi pernah jadi tunang saya.” Arinah pandang Aqhari dengan senyuman.

“Oh?!” Kuat genggaman tangan Aqhari. Terperanjat.

“Sebab itu saya cakap jangan layan Zana. Saya takut, Aqhari. Saya bukan selamanya kuat.” Arinah menunduk.

Aqhari tarik tangan Arinah untuk duduk di salah sebuah meja yang telah kosong.

“Dia licik menggoda. Entahlah, apa salah saya pada dia pun saya tak tahu. Saya tak minta saya dapat lebih dari dia. Ini semua rezeki dari Allah. Alhamdulillah, saya bersyukur atas nikmatNya.”

“Arinahhh…” Aqhari mengusap jemari Arinah.

Arinah mendongak. Matanya berkaca. Tunggu masa untuk pecah.

“Saya tak pernah bercinta. Pertama kali kita berjumpa saya suka tengok awak. Suka dengan gelagat awak yang kadangkala kalut, selamba, tak pedulikan orang lain. Itu istimewanya awak. Kesetiaan awak menunggu saya walau tiada khabar berita dari saya buat kan saya semakin tekad untuk jadikan awak suri hati saya.” Aqhari berjeda.

“Rin, saya berjanji saya akan jaga awak hingga hujung nyawa saya. Insya-Allah moga Allah tetapkan hati saya hanya untuk awak.” Tangan Aqhari naik ke pipi Arinah. Diseka airmata yang mula menitis di pipi Arinah.

“Sayang awak.” Arinah menggumam.

“Saya pun sayangkan awak, Arinah.” Aqhari tersenyum.



Part 9
TANGAN Arinah menepis benda yang menjalar di telinganya. Selimut ditarik menutupi seluruh badan. Hujan lebat di luar memaksa dia berbungkus di atas katil.

Sekali lagi Arinah gosok cuping telinganya. Ada sesuatu yang menghembus di situ. Dia cuba bergerak tetapi badannya tidak berganjak. Seolah-olah dikunci. Mata yang terpejam dibuka perlahan-lahan.

“Assalammualaikum.” Aqhari tersengih. Kedudukan badannya rapat betul dengan Arinah. Sebelah tangan dijadikan bantal untuk kepala Arinah. Kaki pula membelit tubuh Arinah.

“Waalaikumussalam.” Arinah tutup mukanya dengan kedua-dua belah tapak tangan. Macam mana dia boleh lupa. Ada insan lain yang turut berkongsi katil yang sama dengan dia.

“Wahhh…cikgu pemalu.” Aqhari mengusik.

“Eee…mengada tau.” Arinah sembamkan mukanya ke dada Aqhari.

Spontan Aqhari mencium kepala Arinah. Wajahnya mendekati telinga Arinah. Dia membisikkan sesuatu.

“Terima kasih. Terima kasih sudi berkongsi segalanya dengan saya.” Bibir Aqhari yang lembut menjamah pipi Arinah. Tangan sudah memeluk Arinah erat.

Arinah tolak badan Aqhari.

“Baru nak manja-manja.” Aqhari tarik muka masam.

“Tuan mejar pun pandai manja-manja ke?” Kening Arinah menari-nari.

“Jangan cerita dengan orang tau.” Aqhari mencari bibir Arinah. Kembali cuba merangkul badan Arinah.

“Dah, dah. Bangun. Dah nak subuh ni.” Arinah cuba rungkaikan pelukan Aqhari. Kaki Aqhari yang membelit tubuhnya juga ditolak lembut.

“Subuh dah ke?” Aqhari telentangkan badannya.

“Ya, tuan mejar.” Arinah bingkas bangun. Jubah mandi yang tersangkut di penyidai segera dicapai untuk menutup tubuhnya. Ekor mata melirik pada Aqhari yang masih terbaring.

“Tak payah nak cover-cover, Arinah. Saya dah nampak semuanya.” Aqhari ketawa-ketawa.

“Macam mata helang. Semuanya nampak.” Arinah bergerak ke pintu gelangsar. Dibuka sedikit. Membiarkan angin subuh memenuhi ruang bilik tidur.

“Itu kepakaran seorang juruterbang yang tak ada pada orang lain.” Aqhari memeluk Arinah dari belakang. Rambut Arinah dihidu penuh asyik.

“Hesy…janganlah. Pergi mandi sana.” Arinah berpaling menghadap Aqhari. Mata memandang Aqhari dari atas ke bawah. Serta-merta dia membelakangkan badannya semula.

“For your eyes only. Tak payahlah malu-malu.” Aqhari mengusik. Tangan dilingkarkan semula pada pinggang Arinah.

“Eee…tak malu. Pergi mandi cepat.” Arinah goyang-goyangkan badannya. Tak rela diusik Aqhari lagi.

“Baru pukul lima. Sempat lagi ni. Jom mandi sama.” Tanpa amaran Aqhari mencempung badan Arinah. Kaki dihayun menuju ke bilik air.

“Aqhari!” Dada sasa Aqhari dipukul bertalu-talu. Arinah turut menggoyangkan kakinya dengan harapan Aqhari akan menurunkan dia.

“Ssshhh…cuba duduk diam-diam. Jatuh kita nanti.” Aqhari koyak senyuman nakal.

“Biar jatuh. Biar dua-dua sakit.” Arinah masih tak berhenti memukul dada Aqhari.

Aqhari tertawa. Kata-kata Arinah umpama satu lelucon kepada dia.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

ARINAH hanya memandang Aqhari yang sedang menjawab telefon dari meja makan. Mata mengerling pada nasi lemak di pinggan Aqhari yang masih berbaki.

“Rin?” Puan Halizah yang baru keluar dari ruang dapur memandang Arinah yang termenung.

“Makan, mak.” Pelawa Arinah.

“Makanlah. Mak tak ada selera. Penat semalam tak hilang lagi.” Puan Halizah menuang air kopi o dari teko ke cawan di depan matanya.

“Ingatkan bila kita buat dekat dewan tak adalah rasa penat. Tak sangka dua kali ganda penatnya. Rumah tetap bersepah juga.” Puan Halizah sambung membebel.

“Kalau kita buat yang wajib mesti mak tak penat. Kesian mak.” Arinah sayu memandang wajah Puan Halizah.

“Hesy…kamu tu satu-satunya anak emak. Takkanlah tergamak mak nak buat kecil-kecilan aje.” Puan Halizah tersenyum.

“Apa yang dibualkan ni?” Aqhari kembali ke meja makan. Punggung dilabuhkan semula di sebelah Arinah.

“Tak ada apa-apalah, Aqhari. Bual-bual kosong aje.” Puan Halizah menjawab.

“Mak dia mengadu cakap penat. Saya pun tak sangka. Ingatkan relakslah sikit buat dekat dewan.” Arinah memberitahu perkara sebenar.

“Mak nak saya cari orang kemaskan rumah ni ke? Rasanya ada syarikat yang tawarkan perkhidmatan kemas rumah.” Aqhari cuba membantu.

“Hesy…tak payahlah. Bukannya mak tak biasa kemas rumah.” Puan Halizah menggeleng.

“Ada ke?” Dahi Arinah berkerut.

“Ada.” Aqhari mengangguk.

“Tak payahlah, Aqhari. Kamu berdua kan ada? Kamu berdua ajelah yang tolong mak.” Puan Halizah berkeras menolak.

“Errr…bukan saya tak nak tolong, mak.” Aqhari pandang wajah Puan Halizah sebelum beralih pada wajah Arinah.

Arinah buntangkan mata tanda tidak faham maksud Aqhari.

“Saya kena panggil balik kem. Kena lapor diri selewat-lewatnya esok,” beritahu Aqhari.

“Awak kan masih bercuti?” Muka Arinah dah masam mencuka. Tidak suka dengan perkhabaran yang didengarnya.

“Kerja macam kami ni terutamanya badan beruniform, Rin. Lain sikit. Bercuti pun tak serupa bercuti.” Aqhari cuba menerangkan situasi perkerjaan badan beruniform.

“Hmmm…” Arinah bangkit. Menonong dia ke ruang dapur tanpa memandang Aqhari.

“Arinahhh…” Aqhari cuba menahan Arinah yang sudah merajuk.

“Biarkanlah dia, Aqhari. Dia lupa agaknya yang suami dia ni bukan milik dia seorang. Dia kena berkongsi dengan kerajaan.” Puan Halizah ketawa.

“Mak tak kisah ke?” tanya Aqhari bila dilihat Puan Halizah tenang sahaja semasa dia memberitahu dipanggil bertugas semula.

“Berkhidmat untuk negara itu kan tugas utama kamu. Pergilah. Mak tak kisah.” Puan Halizah tersenyum.

“Terima kasih, mak.” Aqhari turut tersenyum sama.

Arinah berlalu melepasi meja makan. dia terus naik ke tingkat atas.

“Errr…” Aqhari terkedu dengan reaksi Arinah.

“Pergilah pujuk isteri manja kamu tu.” Puan Halizah menggeleng.

Tanpa buang masa Aqhari terus meniti tangga menuju ke bilik tidur dia dan Arinah di tingkat atas. Perlahan-lahan pintu bilik dikuak.

Arinah duduk di atas katil membelakangkan pintu. Bunyi pintu yang dikuak Aqhari langsung tidak dipandangnya. Baju-baju Aqhari yang dikeluarkan dari almari disusun di atas katil.

“Arinahhh…” Aqhari perlahan-lahan duduk di birai katil. Belakang badan Arinah digosok-gosok.

Arinah langsung tidak menyahut panggilan Aqhari. Kolam airmatanya pecah. Diseka dengan belakang tapak tangan.

“Saya bukan suka-suka nak tinggalkan awak, Rin. Awak tahu kan tugas saya macam mana?” pujuk Aqhari.

"Yalah orang tu dah tak sayang kita." Arinah kesat pipinya yang dibasahi air mata. Baju-baju yang bersusun di atas katil satu-persatu dimasukkan ke dalam beg baju Aqhari.

"Arinahhh..." Aqhari memicit pelipis. Ketandusan idea hendak memujuk Arinah.

“Kerja lebih penting kan.” Suara Arinah seakan-akan jauh hati bila dia rasakan Aqhari tidak mengutamakan dia sebagai seorang isteri.

“Janganlah macam tu.” Aqhari mengeluh kesal.

Arinah diam.

“Saya janji habis aje tugas dekat sana, cepat-cepat saya balik ke sini.” Bahu Arinah dipegang dari belakang. Kepala Arinah diciumnya.

“Hmmm…” Arinah menggumam.

“Kalaulah Sukhoi tu boleh landing dekat belakang rumah ni, mesti best kan? Tak payahlah orang tu nak merajuk,” usik Aqhari.

“Banyaklah awak punya landing. Ingat Sukhoi tu awak yang punya?” Terjegil mata Arinah memandang Aqhari.

“Bukan eh?” Aqhari garu kepala yang tidak gatal.

“Mengada.” Arinah tersenyum.

“Lega hati saya nak tinggalkan awak dengan mak. Barulah tak rasa risau.” Aqhari menarik bafas kelegaan.

“Janji dengan saya awak akan balik dengan selamat?” Arinah tenung wajah Aqhari.

“Insya-Allah, Rin. Kalau itu yang diizinkan Allah.” Aqhari mengangguk.

Arinah tersenyum.



Part 10
AQHARI merenung tepat wajah Arinah. Tangan memegang rahang Arinah. Kepala ditundukkan. Bibir merah Aqhari bertaut dengan bibir nipis milik Arinah. Lama. Umpama seluruh kasih sayang disalurkan melalui ciuman penuh kasih.

Perlahan-lahan Aqhari lepaskan bibir Arinah. Digalas beg sandang di bahu kanan. Tangan kiri memaut kepala Arinah. Satu kucupan hangat singgah di dahi Arinah pula.

I love you.” Aqhari menggenggam kemas tangan kanan Arinah.

Love you too.” Jemari Arinah menggenggam kuat jemari Aqhari. Senyuman manis terukir di bibir walau hati sedikit galau dengan perpisahan sementara ini.

“Jom.” Aqhari tarik tangan Arinah keluar dari bilik tidur mereka.

Arinah memeluk kuat pinggang Aqhari sewaktu menuruni anak tangga.

Tangan Aqhari merangkul kemas bahu Arinah. Sayangnya tidak bertepi pada Arinah yang baru dia nikahi tiga hari lepas. Hatinya sendiri berat dengan perpisahan ini.

“Mak.” Aqhari mendekati Puan Halizah yang sedang duduk di sofa.

“Hati-hati memandu tu. Kalau mengantuk berhenti.” Nasihat Puan Halizah tika menyambut huluran tangan Aqhari.

“Ya, mak. Saya minta maaf sebab kena pergi. Mak tolong tengok-tengokkan Arinah untuk saya. Takut saya tak sempat balik hujung minggu ni.” Aqhari tersenyum selepas mencium tangan Puan Halizah.

“Yalah.” Puan Halizah tersenyum sama.

Aqhari menarik tangan Arinah yang hanya mendiamkan diri sedari tadi. Mengajak Arinah menghantar dia hingga ke kereta. Pintu kereta dibuka. Beg sandang dicampak ke tempat duduk sebelah penumpang. Dia berpaling.

Arinah tenung wajah Aqhari. Tangannya naik ke muka Aqhari. Menjalar pada setiap bahagian wajah kacak Aqhari. Seolah-olah cuba mengingati setiap inci wajah tenang itu.

Aqhari tersenyum. Jemari Arinah dipegang. Dibawa ke mulut. Dikucup penuh kasih.

“Arinahhh…” Mata Aqhari merenung tepat pada anak mata Arinah.

“Janji dengan saya, awak akan balik untuk saya, Aqhari?” Arinah kerdipkan mata.

“Tubuh saya, nyawa saya, segala yang ada pada saya semuanya milik Allah yang satu. Kalau diizinkan olehNya saya balik dengan selamat, insya-Allah saya akan balik, Rin. Kalau Dia berkehendakkan selainnya, saya harap awak reda.” Aqhari tersenyum.

Arinah terus memeluk erat badan Aqhari. Wajahnya disembamkan pada dada sasa Aqhari. Sayu mendengar kata-kata yang diluahkan Aqhari. Betapa segala yang dipinjamkan olehNya tidak selamanya kekal. Dia reda andai itu yang harus dia tempuhi.

“Saya nak minta tolong sikit, boleh tak?” Aqhari menunduk memandang kepala Arinah yang masih memeluknya.

“Tolong apa?” Suara Arinah tenggelam timbul.

“Balik rumah mama. Tolong kemaskan bilik saya. Hari tu tak sempat kemas. Takut selepas ni tak sempat nak ke sana,” pinta Aqhari.

“Hmmm…” Arinah hanya mengangguk.

“Saya kena pergi. Lambat bertolak takut terlewat sampai.” Aqhari leraikan pelukan mereka.

“Selamat jalan, Mejar Aqhari.” Arinah cium tangan Aqhari. Ada airmata yang menitis.

“Terima kasih, Cikgu Arinah. Terima kasih untuk kasih sayang awak. Saya bahagia. Jangan menangis, sayang. Perpisahan ini hanya sementara.” Aqhari kucup dahi Arinah sebelum kedua-dua belah pipi Arinah turut menerima ciuman darinya. Jemari kasarnya mengesat airmata Arinah.

Aqhari masuk ke dalam kereta. Perlahan-lahan mengundurkan keretanya. Tangan dilambaikan.

Arinah membalas. Menunggu sehingga kereta Aqhari hilang. Kakinya diseret lemah masuk ke dalam rumah.

“Susah-susah isi borang pindah.” Puan Halizah menegur bila melihat Arinah yang tidak bermaya.

“Orang dah hantar sebelum menikah lagi tapi belum dapat keputusan.” Arinah membalas dengan pandangan sayu.

“Tak payah nak sedih. Aqhari bukan pergi berperang. Pergi kerja aje.” Puan Halizah cuba memujuk.

“Tahu. Esok orang nak pergi rumah mama. Aqhari suruh kemaskan bilik dia.” Arinah memanjat tangga menuju ke bilik tidurnya.

Kedatangan Arinah ke rumah Aunty Azi menceriakan hati wanita tua itu. Betapa dia rindu dengan menantu barunya ini.

“Maaf, mama. Lepas majlis tu kami terlupa nak jenguk mama dengan papa. Mama sihat?” Arinah memeluk erat badan Aunty Azi.

“Tak apa. Mama faham. Mama sihat.” Aunty Azi tersenyum.

“Abang ada telefon mama? Dia telefon Rin malam tadi aje. Beritahu yang dia dah sampai kem.” Arinah turut tersenyum sama. Teringat perbualan panjang dengan Aqhari malam tadi.

“Ada. Ni Rin dah lunch ke belum? Kalau belum mama boleh hidangkan.”

“Dah. Tadi dah makan dengan mak.”

“Tak apalah. Nanti kita boleh minum petang sama-sama.”

“Rin ingat nak kemas bilik Abang. Dia kata bilik dia bersepah.” Arinah melentuk manja pada bahu Aunty Azi.

“Pergilah.” Aunty Azi tersenyum.

Baru Arinah hendak meniti tangga, kedengaran suara orang memberi salam. Dia berpaling. Matanya memerhati dua orang lelaki yang berpakaian uniform tentera udara di muka pintu utama rumah mentuanya. Hatinya berdebar-debar. Entah kenapa diseretkan kakinya mendekati Aunty Azi.

Aunty Azi pergi ke pintu yang memang terbuka luas. Dia menoleh ke sisi bila Arinah memaut lengannya.

“Ini rumah Encik Raziq ke?” tanya salah seorang lelaki.

“Ya, saya. Saya isteri dia,” jawab Puan Halizah.

“Kami dari Kem Pengkalan Udara Bukit Lunchu. Kami diarahkan untuk memberitahu yang Mejar Aqhari…”

Arinah terasa kepalanya berdenyut-denyut. Badannya lemah. Pandangannya gelap saat mendengar nama Aqhari disebut. Dia terus terjelepok ke lantai. Suara Aunty Aiz pun sayup-sayup sebelum dia langsung tidak mendengar apa-apa lagi.

“Arinah!!!”



ARINAH buka mata bila terasa pipinya dielus lembut. Terbuntang terus matanya melihat susuk tubuh yang duduk di birai katil.

Aqhari tersenyum.

“Awak!” Arinah bingkas bangun. Dipeluk badan Aqhari.

Aqhari usap belakang Arinah. Cuba menenangkan Arinah yang sudah tersedu-sedan.

“Awak janji jangan tinggalkan saya lagi?” Arinah pandang muka Aqhari. Diusap-usap wajah Aqhari. Rindu sangat-sangat dengan wajah tenang ini. Tangannya turut menjalar meraba ke seluruh badan Aqhari.

Aqhari tersenyum. Dia mengangguk dan berdiri.

“Awak nak pergi mana?” soal Arinah risau.

Aqhari hanya tersenyum. Perlahan-lahan dia melangkah ke pintu. Berhenti sejenak dan berpaling. Satu senyuman manis dilemparkan.

“Aqhari!!!” Arinah menjerit.

“Rin! Rin! Rin!” Arinah terasa badannya digoyang-goyang.

Tangan Arinah naik menutup mata. Menghalang dari cahaya menembus masuk terus ke matanya. Perlahan-lahan matanya dibuka besar.

“Alhamdulillah.” Aunty Azi tersenyum melihat Arinah sudah sedar.

“Aqhari! Aqhari! Abang mana mama?” Arinah bingkas bangun.

“Rin…Rin rehat dulu ya, sayang. Badan Rin lemah lagi ni.” Aunty Azi cuba membaringkan Arinah.

“Rin nak Aqhari, mama! Rin nak abang! Tadi abang ada dekat sini. Panggil dia, mama! Aqhari, awak dekat mana?” Arinah meraung.

Aunty Azi kalih pandang. Tidak sanggup melihat keadaan Arinah tapi dia sendiri perlu kuat. Aqhari anaknya. Dia lagi terasa.

“Rin, baring dulu, ya sayang. Nanti kita jumpa Aqhari. Aqhari masih dekat Kelantan.” Aunty Azi sekali lagi memujuk.

“Mama janji ya?” Arinah pandang wajah Aunty Azi.

“Ya, sayang. Nanti Rin dah sihat, dah kuat. Kita pergi tengok ya.” Aunty Azi tersenyum.

Wajah Arinah berubah ceria. Perlahan-lahan dia rebahkan badannya semula.

Aunty Azi tarik selimut hingga menutupi dada Arinah. Dia keluar. Pintu bilik dibiarkan tertutup separuh.

“Macam mana?” tanya Encik Raziq.

“Saya tak sampai hati nak beritahu.” Aunty Azi tunduk. Matanya yang berair diseka.

“Sampai bila?” Encik Raziq memicit pelipis.

“Tengok keadaan.” Aunty Azi memandang wajah Encik Raziq.



Batu nisan yang sedikit berlumut dibersihkan. Jemari Arinah berjalan pada nama yang tertera. Airmatanya menitis sedikit. Teringat kembali kenangan manis bersama pemilik batu nisan ini. Mata melirik pada jam di tangan. Dia bangkit.

Arinah pandang sekeliling. Ramai juga yang mengunjungi tanah perkuburan itu hari ini. Mungkin disebabkan musim perayaan. Tangannya melekap pada perut yang sudah membusung. Ada tendangan dari si kecil yang menghuni perutnya kini. Usia kandungannya sudah mencecah lapan bulan.

“Rin…” panggil Puan Halizah.

Arinah tersenyum. Dia reda kini. Segalanya ketentuan Ilahi. Tiada siapa yang mampu mempertikaikan qadak dan qadar Allah.

“Mama, papa.” Arinah hulur tangan untuk bersalaman dengan Aunty Azi dan Encik Raziq.

“Rin sihat?” soal Aunty Azi.

“Alhamdulillah.” Arinah tersenyum.

“Cucu mama dekat dalam ni sihat?” Aunty Azi pegang perut Arinah.

“Degil macam mommy dia juga,” sampuk Puan Halizah.

“Jemput ke rumah, Kak Lizah? Dah lama kita tak berbual,” pelawa Aunty Azi.

Puan Halizah pandang Arinah yang sibuk menabur bunga di atas kubur.

“Arinah…”

Arinah berpaling. Senyuman lebar dilemparkan.

“Madi.” Arinah menanti Madi datang dekat kepadanya.

“Dah nak balik?” Madi berdiri di depan Arinah dengan sebotol air di tangan.

“Aah. Mana Zana?” Arinah memandang ke belakang Madi. Nampak Zana yang juga sedang sarat melambai kepadanya.

“Jemput ke rumah nanti. Aku balik dulu,” pelawa Madi sebelum beredar dari situ.

“Insya-Allah.” Arinah angguk.

Arinah cuba untuk mengambil tikar yang dia gunakan untuk duduk tadi. Perut dipegang. Dia membongkok. Terlupa tadi meminta Puan Halizah menggulungkan tikar itu. Emaknya sudah berjalan terlebih dahulu beriringan dengan mentuanya.

“Arinahhh…” Suara keras menegur.

Arinah menoleh dan tersenyum.

“Abang suruh tunggu sekejap kan?” Aqhari tepis tangan Arinah.

“Abang lambat.” Arinah mencebik.

“Kaki masuk selut tadi. Abang bersihkan sekejap.” Aqhari tersengih.

“Alasan.” Arinah menjeling.

“Jangan jeling-jeling, sayang. Nanti baby kat dalam tu pun terikut perangai mommy dia.” Aqhari ketawa-ketawa.

“Eee…” Jemari Arinah hinggap pada perut Aqhari.

Ouchhh…” Aqhari menyeringai.

Sorry, sorry. Rin terlupa.” Arinah gosok perut Aqhari. Lupa luka sebab kemalangan lapan bulan lepas masih belum sembuh sepenuhnya.

“Luka ni sikit aje. Luka hati keluarga Amin macam mana lagilah agaknya.” Aqhari termenung.

“Abang…benda tu bukan kemahuan abang. Allah dah tentukan segalanya.” Arinah paut tangan Aqhari.

“Kalaulah masa tu abang tak berkeras suruh dia yang bawak.” Aqhari merenung kosong ke hadapan.

“Abang…kalau Rin boleh terima keadaan abang masa tu, kenapa tidak keluarga Amin.” Arinah cuba memujuk.

“Arinahhh…” Aqhari pandang Arinah. Genggaman tangannya diperkemaskan. Takut Arinah terjatuh.

Arinah balas pandang.

“Terima kasih untuk kasih yang tulus. Terima kasih sudi jaga abang sepanjang abang terlantar sakit. Terima kasih untuk ini.” Tangan Aqhari melekap pada perut Arinah. Tanpa silu Aqhari paut kepala Arinah. Dikucup penuh kasih. Mata-mata pengunjung yang memandang tidak dihiraukan.

“Abang…Rin yang patut ucapkan terima kasih pada abang. Abang tak pernah mungkir janji. Abang sentiasa ada untuk Rin. Rin tak mahu minta lebih lagi. Cukuplah abang selamat pulang ke pangkuan Rin dan keluarga. Cikgu Arinah sayang Mejar Aqhari.” Arinah koyak senyuman manis. Tangan memeluk kejap pinggang Aqhari.

“Syukur kepada Allah. Dia yang salurkan kasih sayang setulus hati untuk kita sebarkan dan kongsi bersama. Aqhari Raziq sayang Arinah Azman.” Senyuman penenang jiwa untuk Arinah Aqhari pamerkan.

“Jom kita pergi beraya rumah mama dulu. Penat telinga abang kena bebel. Mama cakap sejak Rin ikut abang duduk di Kelantan kita tak pernah nak jenguk dia.” Aqhari tarik tangan Arinah berhati-hati.

Arinah hanya tersenyum. Hati memanjat kesyukuran kepada yang maha Esa. Berharap Allah panjangkan usia mereka bagi mengecapi bahagia yang baru bermula.


TAMAT



P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

22 comments:

  1. senyum sampai telinga . yeah happy

    ReplyDelete
  2. Mmg terbaiklah��������

    ReplyDelete
  3. Salam Syeena

    Setelah hampir separuh hari syeena buat jantung kak ita nak pecah... kena hentakan kuda berlari.. kerana sesah debar.. macam jantung kena panah busur... dlm keterpaksaan kaki melangkah ke kelas ... membawa lara jiwa.. tetapi hati tetap berkata Aqhari selamat dari segala mara bahaya...

    nak mengajar hati separuh resah...akhirnya senyuman kak ita mampu mencecah telinga..

    so nampaknya kak ita hutang a big hug dgn seribu kisess sb Syeena akhirinya KSH dengan ending yg berjuta lemon """"Puassssss"""""

    aiiii like

    love u & muaaaahhhhh
    kak ita

    ReplyDelete
  4. Suspen2.....bestttttt sangattttt.....☺☺☺☺☺☺

    ReplyDelete
  5. Suspen2...
    Hati dub dab je bce.. Hehe.. Ending yg best... Nk cerpen lagi..✌✌✌

    ReplyDelete
  6. tunggu n3 nie masuk blog dr aritu...ms raya terlepas bnyak n3 syeena..Yeahhhhhh ..... thanks u my syeena...

    ReplyDelete
  7. teruja utk baca hingga ke akhir... tahniah!!..

    ReplyDelete
  8. baru kita nak baca ... takut trauma kalau ending yang sedih. tapi sebaliknya. HAPPY ENDING , sukaaaa nyer kita. terima kasih Syeena.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sekali sekala klu kita buat sad ending takpe kan mask d... ;)

      Delete
  9. haha.. baca lagi.. sukalah cerita ni..

    ReplyDelete