Sunday, September 14, 2014

JEJAKA IDAMAN MALAYA - SPECIAL ENTRY

KEDUA-DUANYA mengintai melalui pintu bilik yang sedikit terbuka. Ada senyuman di wajah masing-masing. Kedua-duanya berpandangan. Bercakap dalam bahasa yang hanya mereka berdua sahaja yang faham.

Pintu bilik ditolak. Terkedek-kedek kedua-duanya masuk ke dalam. Sampai di tepi katil, mereka berusaha untuk naik ke atas. Seorang berjaya, seorang lagi masih berusaha.

Ibarat kata orang, kembar memang tidak boleh dipisahkan. Saling berkerjasama di antara satu sama lain. Ditarik tangan kembarnya. Membantu untuk naik ke atas katil. Akhirnya kedua-duanya sama-sama terbaring. Tak tunggu lama, mereka bangkit. Susuk tubuh yang berselimut separas pinggang dan tak berbaju diterjah.

“Pa…pa…” Terus muka disebam ke dada yang terdedah. Menjerit kesukaan kedua-duanya.

“Aduh!” Terjerit Hisyam. Dadanya digosok sedikit. Dipaut kedua-dua kembarnya dan dibaringkan ke atas katil. Digomol kedua-duanya silih berganti.

Terjerit-jerit kedua-duanya. Suara mereka boleh didengar hingga ke ruang makan.

“Apasal terjerit-jerit tu?” Datin Hanum yang baru masuk ke dapur memandang Aqeela. Dia terlewat bangun hari ini. Lewat balik malam tadi. Menemani Dato’ Azman bertemu dengan rakan niaganya.

“Biasalah, mommy. Papa dia orang punya hallah tu.” Aqeela menyenduk bihun goreng putih yang baru siap dimasak ke dalam mangkuk. Selesai semuanya dia menyerahkan kepada pembantu rumah Datin Hanum.

“Qeela, masak apa?” Datin Hanum meninjau ke dalam kuali. Senang hatinya dengan sikap Aqeela yang ringan tulang. Lebih suka memasak sendiri untuk Hisyam.

“Bihun goreng putih untuk si kembar. Nasi goreng kampung untuk kita. Spaghetti Aglio Olio untuk orang yang perasan mat salleh tu.” Aqeela ketawa di hujung kata-katanya.

“Banyak tu.” Datin Hanum turut ketawa. Teringat semasa mengandungkan Hisyam. Memang itulah makanan yang tekaknya boleh terima.

“Sikit aje tu. Jom kita makan, mommy.” Aqeela memaut lengan Datin Hanum untuk ke ruang makan.

Mata Aqeela dan Datin Hanum menyorot ke tangga bila nampak Hisyam yang baru turun dengan Alisha dan Airis di kelek kiri dan kanannya. Pautan pada tangan Datin Hanum dilepaskan.

“Bangun pun.” Aqeela tersenyum-senyum.

Hisyam yang berbaju putih ketat lengan pendek dan berseluar panjang nipis warna senada dipandang atas bawah. Jantungnya bergetar. Dadanya berdebar. Perasaannya tidak pernah berubah saat melihat Hisyam dalam pakaian begitu walau sudah dua tahun usia perkahwinan mereka.

Alisha memalingkan mukanya saat Aqeela menghulurkan tangan. Tidak mahu mengikut Aqeela.

“Pandai kan.” Hujung hidung Aqeela dicium. Hisyam dah boleh agak memang itu taktik Aqeela mengejutnya bangun pagi pada hujung minggu.

“Haruslah. Liat sangat nak bangun. Kena hantar askar-askar baru Jeneral nak bangun.” Aqeela tersengih. Tangan dihulurkan pula kepada Airis. Hujung bibir digigit bila Airis turut memalingkan muka.

“Dia suka bau badan papa dia yang baru bangun tidur ni. Sama macam mama dia dulu.” Hisyam kenyit mata dan terus membawa kembarnya ke meja makan. Diletakkan pada kerusi tinggi yang memang dikhaskan untuk mereka.

“Yalah tu.” Aqeela mencebik. Dia turut ke meja makan. Pinggan kosong diambil.

“Cucu-cucu tok mommy nak makan ya?” Datin Hanum meletakkan pinggan yang sudah berisi bihun goreng putih di depan si kembar.

“Ini untuk papa yang perasan mat salleh.” Aqeela suakan pinggan yang penuh dengan spaghetti aglio olio ke depan suaminya. Jus oren yang siap dituang turut diletak bersebelahan pinggan tadi.

Hisyam tampar punggung Aqeela. Geram. Sedari tadi tak habis-habis mengenakan dia.

Aqeela jegilkan mata. Malu. Datin Hanum ada kut di depan mereka.

“Qeela makan dulu. Layan orang perasan mat salleh tu. Biar mommy layan Airis dengan Alisha. Lagipun daddy belum turun lagi.” Datin Hanum menyuap sesudu bihun ke dalam mulut Airis.

“Mommy!” Hisyam dah memuncung. Bengang bila Datin Hanum turut bersekongkol dengan Aqeela.

“Betullah cakap mommy tu.” Aqeela yang sudah duduk di sebelah Hisyam menyampuk.

“Bukan main lagi sekarang eh. Mentang-mentang ada orang sokong dia.” Hisyam mendekatkan hidungnya pada pipi kanan Aqeela.

“Mommylah.” Aqeela berbisik. Wajahnya dijarakkan sedikit. Matanya terbuntang. Pagi-pagi Hisyam dah buat drama. Memang tak menahan betul.

“Hai! Lovebirds. Kat meja makan pun nak beromatika d’amor,” tegur Dato’ Azman yang baru turun dari tingkat atas. Tersenyum-senyum dia berjalan menghampiri meja makan.

Serentak itu Aqeela memukul bahu Hisyam. Kantoi lagi dengan Dato’ Azman. Entah dah kali ke berapa dia pun tak kira. Rasa macam nak masuk bawah meja saja. Tebal dah muka ni.

Hisyam selamba melabuhkan juga bibirnya pada pipi kanan Aqeela sekilas. Tersenyum. Spaghetti air tangan Aqeela disuap ke dalam mulut. Dia tidak peduli langsung dengan teguran Dato’ Azman. Itu cara dia meluahkan kasih sayang kepada Aqeela. Biarlah berapa kali pun Dato’ Azman dengan Datin Hanum nampak.

“Ma…ma…” Alisha dah merengek memanggil Aqeela. Airis turut sama berbunyi. Bising sekejap suasana ruang makan.

Aqeela yang baru beberapa sudu menyuap nasi ke dalam mulut bangun dan mendekati anak-anaknya. Dia mengambil alih melayan mereka dari Datin Hanum.

“Bagi Qeela rehat dulu, Syam. Kesian daddy tengok. Sorang berbunyi yang sorang lagi pun ikut.” Dato’ Azman yang sudah duduk di kepala meja hanya memandang Aqeela yang sabar melayan cucu-cucunya.

“Syam pun tolong samalah, daddy. Tak pernah lepas tangan.” Hisyam turut memandang kepada Aqeela. Senyuman terukir di bibir melihat telatah Aqeela dan anak-anak mereka.

“Bukan itulah maksud, daddy.” Dato’ Azman menggeleng.

“Dah tu?” Hisyam pandang wajah Dato’ Azman.

“Kurang-kurangkanlah hantar Alisha dengan Airis dekat bilik kami,” sampuk Datin Hanum. Ada tawa di akhir kata-katanya.

“Isteri Syam tu, mommy, daddy.” Hisyam mengurut belakang tengkuknya. Macam ada magnet kalau dia berada dalam bilik tidur dengan Aqeela. Memang tak boleh dielakkan.

Aqeela pandang Hisyam dan mentuanya. Kening ditarikan seolah-olah bertanya kepada Hisyam.

“Mommy dengan daddy ni.” Bibir Hisyam dimuncungkan kepada Dato’ Azman dan Datin Hanum.

“Kenapa?” Nampak lapisan kerutan pada dahi Aqeela.

“Mommy dengan daddy cakap ‘hubungan’ suami isteri tu kena kurang-kurangkan.” Hisyam siap angkat kedua-dua belah tangannya dan dibuat isyarat inverted comma.

“Ooo…Huh?!” Aqeela terus pandang anak-anaknya. Panas dah mukanya. Ini semua Hisyam punya pasal. Sikit-sikit dikirimkan Alisha dan Airis ke bilik tidur mentuanya. Kan dah tak pasal-pasal kena usik.

Terburai terus tawa Dato’ Azman dan Datin Hanum.



AQEELA perlahan-lahan menarik selimut menutupi badan Airis. Dia kemudian beralih kepada Alisha. Selimut yang sedikit tersingkap ditarik hingga ke paras dada. Ditepuk punggung Alisha bila si kecil itu bergerak menukar posisi. Bila melihat Alisha sudah selesa dalam lenanya, dia berhenti menepuk.

“Askar-askar abang dah tidur?” Hisyam memeluk Aqeela dari belakang. Kepala Aqeela dikucup lama sebelum dagu dilabuhkan pada bahu Aqeela.

“Baru aje.” Aqeela tersenyum. Tangan Hisyam yang melingkar di pinggang dielus lembut.

“Penat?” Hisyam eratkan lagi pelukannya.

“Taklah. Seronok. Lasak mereka aje yang tak larat nak layan. Dengan nakalnya lagi.” Aqeela tepuk sedikit punggung Airis bila dilihat mata anaknya terbuka sedikit. Mungkin terganggu dengan suara papa dan mamanya.

“Nakal abang larat tak nak layan?” Hisyam benamkan mukanya pada belakang leher Aqeela. Bauan yang terbit di situ tidak pernah menjemukan dia.

“Abanggg…” Suara Aqeela meleret manja. Badan dipusingkan menghadap Hisyam.

“Ya, sayang.” Hisyam letakkan dahinya pada dahi Aqeela.

“Baru siang tadi daddy dengan mommy cakap.” Bukan Aqeela tidak faham isyarat yang diberikan Hisyam. Faham sangat. Cuma bila diingatkan balik kata-kata mentuanya itu ada betul juga.

“Duduk sebilik dengan Aqeela, mana boleh pandang-pandang aje. Hurmmm…” Hisyam menggeselkan hidungnya pada hidung Aqeela.

“Qeela tahu. Tapi bolehkan kita jarakkan sedikit? Qeela suka kita punya anak ramai. Cumanya kalau keluar sekali dua. Tiga kali beranak dah enam. Pengsan Qeela.” Aqeela tertawa.

“Abang faham. Biar Alisha dan Airis besar sedikit baru bagi mereka adik. Terima kasih Aqeela Hajna kerana sudi mengandung dan melahirkan anak-anak Awad Hisyam. Pengorbanan Qeela tak mampu abang balas. Abang cuma mampu berikan kasih sayang, harta dan duit yang tidak semewah mana untuk Qeela dan anak-anak.” Hisyam mengucup dahi Aqeela. Lama bibirnya didaratkan di situ.

“Apa yang abang bagi dah melebihi dari apa yang Qeela harapkan. Perhatian dan kasih sayang abang kepada kami tidak pernah tidak cukup. Qeela bahagia. Terima kasih juga kepada abang.” Aqeela menatap wajah Hisyam. Renungan redup Hisyam meresap ke dalam hatinya. Tidak tahu kenapa getaran itu masih terasa. Sama seperti di awal perkahwinan mereka.

“Yang pasal family planning tu kita mula esok. Malam ni kita kerja overtime.” Bibir Aqeela dipagut seketika sebelum dilepaskan. Hisyam menunduk. Badan Aqeela dicempung dan dibawa ke katil.

Aqeela kemam bibir menahan dari suaranya terkeluar. Takut anak-anaknya terjaga. Dada bidang Hisyam dipukul-pukul manja. Namun dia tidak menolak permintaan Hisyam andai itu boleh membahagiakan suaminya. Satu kerugian jika menolak jejaka idaman Malaya. Bahagia Hisyam bahagialah dia.




TAMAT

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

14 comments:

  1. Besttttt3 ...keluarga bahagiaaa...swetttttt sgt diorg berdua❤❤....story akk semua best2 dan paling best abis kt blog

    ReplyDelete
    Replies
    1. tq mona....ceritanya semua biasa-biasa aje...

      Delete
  2. Nnt ada story baru hupdate yer...antara blog faberet yg selalu terjah...hihi

    ReplyDelete
  3. sweet super dosss ..happy family dgn spasang anak kembar ...

    sesungguhnya syeena x pnh gagal memberi yg terbaik

    gook luck dear...teruskb berkarya...

    akak terus sokong dri belakang

    ReplyDelete
  4. sweetnya couple ni….tp msg blm sesuwit akid n amanda…..tp JIM tetap best…..

    ReplyDelete
    Replies
    1. tq jumay....harus tak boleh lawan kesuwitan abang kawasan...

      Delete
  5. U are the best kak....akak mengingatkan saya dengan hendan yahya...plot citer yang sempoi tapi sangat2 makan dalam.....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tq Haslah...tinggi sangat pujian tu...sis pun masih bertatih lagi ni....thanks again sudi baca...

      Delete
  6. Ok..memang best..maraton dr mula sampai habis..keep it up..tq eh..

    ReplyDelete
  7. Bestnya akak.. x puas membaca novel akak ni..

    ReplyDelete