Tuesday, September 2, 2014

MUZIK HATI BERLAGU - BAB 1


TONG IKAN yang baru diturunkan dari lori, disusun elok-elok di sudut kedai. Afqar berhenti seketika. Peluh di dahi dilap dengan tuala kecil yang tersangkut di lehernya.

"Abang!" Seorang gadis berselendang kuning menegurnya.

Afqar memerhati si gadis atas bawah. Ada senyuman sinis tersungging di bibirnya. Budak hingusan. Terikut-ikut gaya orang bandar. Sakit mata melihat warna baju yang bertentangan. Hijau terang dengan kuning terang. Dia menggeleng.

"Saya belum tanya abang dah geleng. Abang pun tak tahu eh?" Si gadis mencebik.

Afqar berdeham. "Apa dia?"

"Mana satu ikan selar kuning?" Si gadis gigit bibir.

"Ikan selar pun tak kenal?" Terbuntang mata Afqar. Anak dara siapa ni? Malang betul siapa jadi suami si gadis ni kelak.

"Bukan tak kenal? Confuse." Si gadis tersengih.

"Azita, dah pilih ke ikan selarnya?" Seorang perempuan tua menghampiri Afqar dan si gadis.

"Belum. Orang kelirulah, nek." Si gadis garu kepala.

"Tak tanya dengan Afqar?" Perempuan tua memuncungkan mulut kepada Afqar.

"Abang ni pun macam tak tahu aje." Si gadis menuduh.

"Hesy...tauke ikan takkanlah tak kenal ikan selar." Jari perempuan tua laju memilih ikan-ikan segar di depan mata.

Afqar menjeling bila si gadis memandang kepadanya.

“Gila hensem tauke ikan ni.” Tanpa silu si gadis memuji.

Afqar rasa lain. Puji ke menyindir budak ni? Ingat orang jual ikan tak ada yang hensem ke?

“Sebab tu nenek suka makan ikan hari-hari.” Perempuan tua itu ketawa di hujung kata-katanya.

“Amboi, nek? Orang khabar kat atuk nanti.” Si gadis turut sama membelek ikan yang dipegang perempuan tua itu.

“Siapa ni, Nek Munah? Ikan selar pun tak kenal.” Afqar tepis tangan si gadis yang memicit-micit ikan yang tersusun di atas meja.

Si gadis mencebik.

Afqar nampak mulut si gadis terkumat-kamit. Dia hanya tersenyum senget.

“Cucu nenek. Azita Lily.” Nenek Munah memperkenalkan si gadis kepada Afqar.

“Nama sedap tapi sayang tak kenal ikan.” Afqar menyindir. Dia menunduk. Beberapa ekor ikan besar segar dikeluarkan dari tong yang bersusun tadi.

“Eee…perlu ke nak kenal ikan apa? Masuk dalam kuali, goreng, makan. Apa jenis pun rasa tetap ikan.” Azita membebel.

“Cik Azita Lily, memanglah rasa tetap ikan tapi feel tu lain kalau tahu nama ikan.” Afqar menjegilkan matanya.

Afqar rasa nak sumbat-sumbat saja mulut Azita yang mengejek dia apabila dia sedang bercakap. Nasiblah kau ni cucu Nek Munah, budak.

“Tak kira semua ikan rasa tetap ikan.” Azita masih tidak mahu mengalah.

“Eh! Eh! Budak bandar ni.” Afqar makin membesarkan matanya. Tangan dia memang ringan sahaja nak melibas tuala kecil di leher pada badan Azita.

“Budak bandar apanya, Afqar. Ini anak manja Mak Cik Midah kamu.” Nenek Munah memukul lengan Azita.

“Anak Mak Cik Midah?” Berkerut dahi Afqar sebelum senyuman lebar terpamer di bibirnya.

“Si ikan buntal?” Afqar besarkan mata.

“Yelah.” Nenek Munah mengiakan.

Azita dah pukul-pukul manja lengan Nenek Munah.

“Tak sangka dah selim melim.” Afqar menggeleng.

“Tengok oranglah.” Azita membalas.

“Kalau tengok orang memang orang tak nak tengok. Ikan buntal aje yang kau kenal.” Afqar ketawa.

Tak sangka pula anak perempuan Mak Cik Midah berubah tiga ratus enam puluh darjah bila dah menginjak dewasa. Kalau diingatkan dulu-dulu Azita memang kembang sebab tu digelar ikan buntal. Kalau Nenek Munah tak cakap ini anak Mak Cik Midah, memang dia tak kenal. Dia tak pernah ambil tahu nama sebenar Azita.

“Tengah kutuk oranglah tu.” Azita merenung Afqar tajam.

“Kira ni semua berapa, Afqar. Siangkan sekali.” Nenek Munah hulurkan bakul berisi beberapa ekor ikan selar kuning dan ikan merah.

Afqar ambil bakul dari tangan Nenek Munah. Sempat dia mengerling Azita yang jelas tidak berpuas hati dengan ejekan dia.

“Mak Cik Midah tinggal kat kampung semula ke, Nek Munah?” Sambil menyiang ikan Afqar bertanya.

“Siapa nak tinggal kat kampung? Please…” Azita menyampuk.

Afqar tersentak. Rasa terhina dengan kata-kata Azita. Bukan tak boleh hidup kalau tinggal di kampung pun.

“Taklah tapi Azita ni Mak Cik Midah suruh tinggal kat sini sementara dia belum dapat kerja.” Nenek Munah mencubit lengan Azita.

Menyeringai muka Azita.

Afqar hulurkan beg plastik berisi ikan yang telah siap disiang. “Saya sedekah hari ni, Nek Munah.”

“Eh! Janganlah macam tu, Afqar. Kamu berniaga. Tak sedap pula nenek macam ni.” Nenek Munah tetap hulurkan not dua puluh ringgit kepada Afqar.

“Sekali sekala, Nek Munah. Sempena si ikan buntal balik kampung.” Afqar kenyit mata.

“Tak payahlah kamu nak raikan sangat si Azita ni. Serba-serbi tak kena kalau balik sini. Lupa agaknya dia asal dari kampung.” Nenek Munah menjeling Azita yang sudah monyok mukanya.

“Duduk kampung tak sama dengan duduk dekat bandar tu, Nek Munah. Itu yang si ikan buntal tak betah.” Afqar rasa seronok pula memanggil Azita dengan gelaran si ikan buntal. Biarlah Azita nak menghina orang kampung. Apa yang penting orang-orang kampong masih boleh maju dan berjaya.

“Apa ni panggil-panggil orang ikan buntal? Azita Lilylah.” Azita jegilkan matanya.

“Yelah, Azita Lilylah.” Afqar ketawa-ketawa.

“Eee…” Azita buat aksi hendak mencekik Afqar.

“Hesy…dah memang orang kampung kenal kamu dengan nama ikan buntal. Nak buat macam mana.” Nenek Munah sama naik mengusik Azita.

“Menyampahlah nenek ni.” Azita terus berjalan pergi dari situ.

“Terlebih gen orang bandar. Susah.” Nenek Munah hanya menggeleng. Dia menunduk mengambil beg-beg plastik berisi barangan dapur yang dibelinya.

Afqar tersenyum. “Nek Munah datang naik apa? Banyak tu nak bawak.”

“Jalan kaki aje, Afqar. Bukan jauh pun rumah nenek dari sini. Sebab itulah nenek ajak Azita.” Berkerut dahi Nenek Munah sewaktu mengangkat beg-beg plastic tersebut.

“Biar saya tolong.” Afqar ke depan. Dibantunya Nenek Munah.

“Menyusahkan kamu aje.” Nenek Munah tersenyum malu.

“Hal kecik aje ni. Ayah, Afqar keluar sekejap.” Afqar terus menuju ke keretanya. Beg-beg plastik tadi diletakkan ke dalam bonet keretanya.

“Eh! Mana pula si Azita ni? Terus balik ke?” Nenek Munah memandang ke depan mencari kelibat Azita.

“Dah sampai rumah kut.” Afqar hidupkan enjin kereta.

“Agaknyalah.” Nenek Munah terus masuk ke dalam kereta dan duduk di sebelah Afqar.

Tidak sampai lima minit, kereta Afqar sudah sampai di depan rumah Nenek Munah. Afqar membantu Nenek Munah mengangkat barangan yang dibeli hingga ke depan pintu. Setelah itu dia berpamitan.

“Nenek naik kereta siapa?” Azita berlari anak ke luar rumah bila terdengar bunyi enjin kereta.

“Afqar.” Ringkas sahaja jawapan Nenek Munah.

“Afqar?” Terbuntang mata Azita. Biar betul? Orang kampung pakai Mazda CX 9 tu. Tak mungkin si Afqar tu jual ikan saja-saja.

“Termenung pula. Tolong nenek ni. Dahlah tinggalkan aje semuanya,” sergah Nenek Munah.

“Afqar tu jual ikan aje ke nek?” Sambil beg-beg plastik dijinjit pada kedua-dua belah tangannya, Azita bertanya.

Nenek Munah hanya tersenyum.

“Orang tanya senyum pula dia.” Azita memuncung.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

8 comments:

  1. awek...ala2 bandar...ketemu ngan hero kampung...mmg best..so ikan buntal jgn lh pandang serong...pd org kn dh terbeliak mata..cam ikan uji rashid tuh...hehe...best dik...nk lagi...

    ReplyDelete
    Replies
    1. tq sudi baca kak norihan.....dah ada sampai bab 5 dlm blog ni.... ;)

      Delete
  2. penjual ikan bwk mazda cx9??????? wahhhhhhhhhhh…..hihihi

    ReplyDelete
  3. Penjual ikan yg hensem hokey! 😂

    ReplyDelete