Friday, September 5, 2014

MUZIK HATI BERLAGU - BAB 10


AZITA angkat bakul baju yang telah penuh dengan pakaian yang sudah siap dibasuh. Pagi ini dia tidak dapat lakukan rutin hariannya. Semalam teruk dia kena bebel dengan papanya. Orang balik berjogging peluh satu badan tapi dia lencun dek air kolam ikan. Haruslah kena marah. Nasib baik Nenek Munah ada. Selamat dia dari terus kena ceramah.

“Rajin. I suka,” tegur Rizal yang muncul dari tepi rumah.

Azita menjeling. Apasal mamat tangan sotong ni menyibuk dekat sini? Muka tembok betul.

“Melawan. I suka.” Rizal semakin mendekati Azita yang sedang sibuk menjemur kain.

Azita mendengus. Kenapalah dalam banyak-banyak umat manusia dekat bumi ini, si mamat tangan sotong ni juga yang papa dan mamanya berkenan? Ya Allah, kau lindungilah hambamu ini.

“You jangan sombong-sombong, Azita. You ingat you dah ada budak kampung tu I tak berani nak apa-apakan you.” Rizal menari-narikan keningnya.

“Apahal kau ni? Merepek tak tentu pasal.” Sekali lagi Azita lemparkan satu jelingan tajam. Namun tangannya pantas membuat kerja.

“Papa you restu hubungan kita berdua. You jangan haraplah dapat bersama dengan budak kampung tu.” Tangan Rizal bermain-main dengan hujung selendang yang menutupi kepala Azita.

“Kau cakap baik-baik sikit, eh. Bila masa pula aku ada hubungan dengan kau?” Azita mendengus. Menyampah tahap petala.

“Ada. Kau aje yang tak perasan. Well, can’t wait to work with you.” Rizal tersengih-sengih. Gatal.

“Aku tak inginlah. Jangan harap. Pergi mati dengan kerja kau tu.” Azita melibas baju yang baru diambilnya dari bakul ke muka Rizal.

“Kau jangan cabar aku.” Rizal mengepal jari jemarinya.

Perbualan rancak Afqar dan Hashim yang sedang berjalan dari kedai ayahnya menuju ke kolam ikan terhenti. Telinga mereka menangkap suara orang seperti bergaduh. Kedua-duanya memandang antara satu sama lain sebelum memutuskan untuk mendekati belakang rumah Nenek Munah.

Hati Afqar berdebar bila terperasan kelibat Azita yang seperti sedang bertekak dengan Rizal. Semakin mendidih perasaannya bila dilihat tangan Rizal melekap kemas pada pergelangan tangan Azita.

"Tolong jangan biadaplah, Rizal. Lepaskan tangan aku." Azita cuba meleraikan pegangan tangan Rizal pada lengannya.

"Kau yang paksa aku." Rizal merenung Azita tajam.

"Hei, bro! Come on. Perempuan kut." Afqar tenang memandang perlakuan kasar Rizal pada Azita.

"Kau diam, budak kampung!" Rizal tuding jarinya kepada Afqar.

Hashim yang panas hati mendengar kata-kata Rizal ingin ke depan tetapi dihalang Afqar. Seboleh mungkin dia tidak mahu berlaku sebarang pergaduhan.

Rizal tersenyum sinis. Pegangan tangannya semakin kejap.

Azita menyeringai.

Afqar ketap bibir.

"Bos?" Hashim pandang muka Afqar. Jelas dia tidak berpuas hati dengan apa yang terjadi sekarang.

"Bos kau takkan berani punya." Rizal mengejek. Diheret Azita mengikut langkahnya.

“Dayus seorang lelaki bila buat seorang perempuan macam tu. Perempuan kan kaum yang lemah.” Afqar bersuara sebelum Rizal pergi melangkah lebih jauh.

Langkah Rizal terhenti. Hatinya panas. Kata-kata Afqar lagi berbisa dari perbuatannya.

“Lelakikah seorang lelaki bila mengheret seorang perempuan tanpa rasa belas?” Afqar menarikan keningnya.

Pak Cik Azim yang baru hendak melangkah ke tepi rumah terhenti bila mendengar ada suara orang bercakap-cakap dekat dengan ampaian ibu mentuanya. Dia mengintai. Matanya tertancap pada dua orang pemuda di depan Rizal dan Azita.

Kelihatan salah seorang pemuda itu tenang bercakap pada Rizal yang galak memegang tangan Azita. Hatinya mendidih bila melihat riak muka Azita seperti sedang menahan sakit.

“Apa yang abang intai tu?” Mak Cik Midah yang juga hendak ke belakang memanggil Azita terbantut bila melihat suaminya yang berdiri di sebalik dinding rumah.

“Ssshhh…” Pak Cik Azim memberi isyarat supaya diam.

Mak Cik Midah turut sama mengintai di belakang suaminya. Terperanjat dia bila melihat Rizal berlaku kasar pada Azita. Mungkin inilah yang Azita dan Nenek Munah maksudkan. Allah itu maha berkuasa. Tuhan mahu dia suami isteri menyaksikan sendiri perlakuan buruk Rizal tanpa diberitahu oleh sesiapa pun.

“Lepaskanlah tangan aku.” Azita cuba merentap tangannya.

“Kau ingat budak kampung ni nak tolong kau?” Rizal tersenyum sinis.

“Dia tolong atau tak tetap kau taka da hak nak pegang-pegang akulah.” Azita membentak. Semakin kuat pula dia rasakan pegangan tangan Rizal.

“Hei! kau jangan nak berlagak alimlah, Azita. Sedangkan Rita sepupu kau tu aku boleh bawa ke katil. Inikan pula budak hingusan macam kau.” Rizal ketawa-ketawa.

“Biadap!” Azita meludah ke muka Rizal.

“Kurang ajar!” Satu tamparan hinggap di pipi kiri Azita.

Azita meraba pipinya. Perit. Hujung bibirnya disentuh. Ada luka di situ.

“Ini dah lebih, bro. Datang kampung orang nak buat onar.” Afqar mendekati Rizal. Tangan Rizal digenggam. Dipaksa untuk melepaskan pegangan pada tangan Azita.

“Cis!” Rizal melepaskan satu tumbukan pada muka Afqar.

Afqar yang tidak bersedia terdorong ke belakang.

“Bos!” Hashim menyambut belakang Afqar. Mengampu Afqar. Mengelak Afqar dari terjatuh. Dia ingin ke depan tetapi Afqar menarik bajunya.

Ikut hati mudanya memang Afqar ingin membalas tetapi teringat pula pada pesanan guru silatnya.

“Jangan, Abang Hashim. Orang kalau tengah marah dia tak ingat apa. Api jangan dibalas dengan api.” Afqar menggeleng. Dia menggosok sedikit rahangnya yang terkena tumbukan padu Rizal tadi. Boleh tahan, hatinya berbisik.

“Baru kau tahu penangan budak bandar.” Rizal ketawa besar.

Menyedari tangan Azita sudah terlepas dari pegangannya, Rizal kembali mendapatkan Azita. Ditariknya Azita supaya mengikutnya ke belakang. Belum sempat dia bergerak, satu tamparan keras hinggap di pipinya.

“Uncle!” Rizal terjerit. Serta-merta pegangan tangan Azita dilepaskannya. Tangan kanannya naik ke pipi. Mengusap bekas ditampar.

“Itu balasan untuk Azita dan ini untuk Rita.” Satu tamparan lagi Azim hadiahkan pada pipi kiri Rizal.

Rizal mendengus. Dia meluru masuk ke dalam rumah.

“Maafkan papa, sayang.” Pak Cik Azim menarik Azita ke dalam pelukannya. Dipeluk erat badan Azita seketika sebelum dileraikan. Wajah Azita dibelek. Sayu hatinya melihat hujung bibir Azita yang terluka. Kesan biru bekas ditampar Rizal turut kelihatan.

Mak Cik Midah yang berdiri di belakang suaminya tersenyum. Sekurang-kurangnya suaminya nampak sendiri sikap sebenar Rizal. Tak perlu dia bersusah-payah memberitahu.

“Apa yang kecoh-kecoh ni? Azim, Midah?” Atuk Aziz yang baru keluar dari rumah memandang anak dan menantunya.

“Hal kecil aje, ayah.” Azim tersenyum.

“Eh! Kamu pun ada, Afqar? Ya Allah! Muka kamu bengkak ni. Apa semua ni?” Atuk Aziz menghampiri Afqar yang tenang berdiri di sebelah Hashim.

“Tak ada apa-apa, Tok Aziz. Tersadung akar pokok kelapa ni hah.” Afqar tersenyum. Tidak mahu hati tua ini risau. Matanya melirik pada Azita yang tunak memandang wajahnya. Nampak bibir Azita bergerak. Seperti menggumam perkataan maaf.

“Kena tumbuk dengan si Rizal, ayah.” Azim melepaskan tangannya pada Azita. Dia berjalan menghampiri Afqar.

“Tumbuk? Kamu bergaduh dengan Rizal ke Afqar?” Bulat mata Atuk Aziz memandang Afqar.

“Budak bandar tu yang mulakan dulu, Tok Aziz. Entah apa yang dia nak buat dekat Azita. Kebetulan kami lalu. Kami cuba nak haling. Tak pasal-pasal Afqar yang kena.” Hashim menerangkan duduk perkara sebenar.

“Abang Hashim.” Afqar menggeleng.

Azim tersentuh. Perilaku anak muda di depan dia ini sangat tinggi perketinya. Tidak mahu mengaibkan orang yang sudah buat salah kepada dirinya.

“Betul ke apa yang Hashim cakap ni, Afqar?” Atuk Aziz memandang muka Afqar meminta kepastian. Dia menoleh pada pada menantunya bila bahu kananya ditepuk.

“Betullah tu, ayah. Saya nampak semuanya. Saya sendiri tak sangka Rizal tu boleh jadi macam tu.” Pak Cik Azim mengeluh. Berdiri di sebelah bapa mentuanya.

Afqar hanya tersengih bila Atuk Aziz memandangnya semula.

“Maafkan uncle. Tak sangka anak kawan uncle tu boleh bersikap macam ni. Terima kasih sebab sudi pertahankan Azita.” Pak Cik Azim kemam bibir.

“Kalau bukan Azita pun saya tetap akan tolong, uncle. Perempuan kaum yang lemah. Kita sebagai orang lelaki kenalah lindungi mereka.” Afqar mengangguk dan tersenyum.

“Bengkak dah muka kamu ni. Azita, pergi minta dengan nenek kamu ais dengan kain. Nak kena tuam muka Afqar ni. Jom kita ke pangkin sana.” Atuk Aziz memaut belakang Afqar.

“Eh! Tak apalah, Tok Aziz. Sikit aje ni. Lagipun saya nak ke kolam dah ni.” Afqar menolak.

“Janganlah macam tu, Afqar. Uncle rasa bersalah pula kalau Afqar menolak.” Pak Cik Azim pula cuba memujuk.

Afqar pandang muka Hashim. Cuba meminta bantuan. Dia segan sebenarnya. Bukannya dia buat apa pun tadi.

“Bos, biar Abang Hashim ajelah yang ke kolam. Rasanya Jim dah sampai tu. Takut dia tertunggu-tunggu pula. Tok Aziz betul. Bengkak ni memang nak kena tuam cepat. Kalau tak makin besar.” Hashim turut mengiyakan kata-kata Atuk Aziz.

“Hmmm…” Afqar mengangguk jua.

Mereka semua bergerak ke depan rumah. Manakala Hashim meminta diri untuk ke kolam ikan Afqar.

Baru beberapa langkah, semua mata tertumpu pada Rizal yang menjinjit beg pakaiannya. Mukanya masam mencuka.

“Rizal,” tegur Azim.

“Saya nak balik. Tak guna saya nak berlama-lama dekat sini. Pandai-pandailah uncle dengan aunty nak balik ke JB nanti.” Rizal campak beg pakaiannya ke tempat duduk belakang.

“Maafkan uncle, Rizal.” Pak Cik Azim memandang Rizal yang nampak seperti tidak betah untuk tinggal di situ lagi.

Pintu sebelah pemandu dibuka. Enjin dihidupkan. Tanpa berpamitan Rizal memandu keluar Honda CRV dari perkarangan rumah Atuk Aziz.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

6 comments:

  1. thanks my sweet syeena

    yeehaaaa peluang my hero dah terbuka tuk azita...rizal ...belang kau dah timbul jelas

    hrp jgn rizal berdndam udah

    slmt menggua ya hingga isnin...kuar balik tau

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tq kak ita...menggua tu x pasti smpi bila....

      Delete
  2. wahhhhhh….hero kampung aka tokey ikan jd penyelamat lg lah….kali ni sambil diperhatikan oleh bakal mentua……bgs afqar….markah bonus di situ…..hihihi….
    kak syeena….tetiba kali ni citer kak syeena ni sy rs kampung sgt….sy suka…..

    ReplyDelete