Friday, September 12, 2014

MUZIK HATI BERLAGU - BAB 11


AZITA ragu-ragu untuk membawa bekas berisi ais dan sehelai tuala di tangannya ke pangkin. Dia hanya berdiri di alang pintu depan. Bibir diketap melihat Afqar rancak berbual dengan papa dan atuknya.

“Lah…pergilah letak sana. Kesian dekat Afqar tu.” Mak Cik Midah yang sedang menatang dulang berisi minuman menghalakan mulutnya ke pangkin.

“Orang Seganlah, mama.” Azita menggeleng.

“Aik, dah jatuh berdua dekat dalam kolam ikan semalam pun masih segan?” Mak Cik Midah tersenyum-senyum.

“Eee…itu tak sengaja. Dia yang kacau orang.” Azita dah muncung.

“Anak dara mama ni gatal. Siapa suruh pergi kolam tu? Ada apa-apa ke?” Mak Cik Midah memandang muka Azita sambil menyarung selipar.

“Orang suka tengok ikan tu aje. Tak ada maksud apa-apa pun.” Azita menggeleng. Dia mengikut Mak Cik Midah dari belakang.

“Tengok ikan ke tengok tauke ikannya.” Mak Cik Midah ketawa-ketawa.

“Mamaaa…” Azita menghentak-hentakkan kakinya.

Mak Cik Midah meletakkan dulang di tangannya ke atas pangkin. Dia berlalu masuk ke dalam setelah menuangkan air teh ke dalam cawan dan mempelawa mereka semua di situ untuk minum.

“Letak dekat sini, Azita.” Pak Cik Azim mengarahkan bekas berisi ais diletakkan di sisi Afqar.

Azita menurut. Matanya sempat memandang Afqar yang tenang melihat apa yang dia buat. Ada debaran di dadanya saat pandangan mereka bertembung. Renungan anak mata Afqar sangat dalam. Ada sesuatu di situ tapi dia tidak tahu apa.

“Masukkan ais tu dalam tuala,” arah Atuk Aziz pula.

Azita buat seperti yang disuruh. Diambil tiga empat ketul ais. Diletakkan di tengah-tengah tuala kemudian dibungkusnya ais-ais itu. Diserahkan kepada Afqar.

“Terima kasih.” Afqar tersenyum.

Perlahan-lahan dibawa bungkusan ais itu wajahnya. Dia berdecit saat kulitnya disentuh benda sejuk.

“Sakit ke?” Azita gigit bibir. Tak sanggup tengok muka Afqar yang menyeringai.

“Sikit.” Afqar tekap tuala itu perlahan-lahan ke rahangnya.

Mata dipejam. Menahan rasa dingin yang mencengkam ke seluruh urat wajahnya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa dia sanggup hadapi apa sahaja demi gadis di depan dia ini. Afqar berbisik dalam hati.

Afqar buka mata. Tersenyum. Suka melihat wajah Azita yang tak lepas memandang kepadanya.

Azita tertunduk malu. Hesy…kenapa ralit sangat tengok anak teruna orang ni, Azita oiii?

“Dah lama ternak ikan tu, Afqar?” Pak Cik Azim bersuara.

Afqar tersentak. Dia berdeham sebelum menjawab.

“Alhamdulillah dekat tiga tahun dah.” Afqar tersenyum.

“Dah maju dah kolam ikan dia ni, Azim. Dapat kontrak bekal benih ikan tilapia lagi. Apa orang-orang muda cakap sekarang? Masyukkk…macam tulah.” Atuk Aziz menyampuk.

“Biasa-biasa ajelah, Tok Aziz. Rezeki dari Allah.” Afqar merendah diri.

“Sekurang-kurangnya tak adalah kamu duduk goyang kaki.” Pak Cik Azim mengangguk. Sempat menoleh pada Azita yang tak lepas memandang wajah Afqar. Dia tersenyum.

“Macam si Azita ni. Tanam anggur aje yang dia tahu.” Atuk Aziz mengusik.

“Atuk ni. Orang bukan tak nak kerja. Tak ada yang kena dekat jiwa.” Azita mempertahankan dirinya. Siap ditepuk-tepuk dadanya.

“Tak tahulah apa nak jadi dengan Azita ni, Afqar. Memilih sangat. Suruh kerja tak nak. Susah-susah unlce ingat nak kahwinkan aje dia ni.” Pak Cik Azim ketawa.

Afqar yang baru meneguk air teh ke dalam mulut terbatuk-batuk. Pantas diletakkan kembali cawan di tangan ke atas pangkin. Diurut-urut tekaknya.

“Kamu berkenan tak dengan anak uncle ni?” Pak Cik Azim memandang muka Afqar yang sudah kemerahan. Tak tahulah dia muka anak muda ni merah sebab tersedak atau merah sebab malu.

“Errr…” Afqar tak pasti nak jawab apa. Matanya terkebil-kebil memandang wajah Pak Cik Azim dan Atuk Aziz bersilih ganti. Akhir sekali barulah dia menoleh pada Azita.

“Kalau suka terus masuk meminang, Afqar. Senang sikit kami berdua ni. Keras kepala sangat si Azita ni. Manalah tahu bila dah kahwin dengan kamu boleh jadi lembut.” Atuk Aziz menyampuk.

Pak Cik Azim hanya mengangguk.

Azita dah tersipu-sipu. Mukanya sudah berbahang. Sabarlah wahai hati. Boleh pula papa dengan atuk ni bersekongkol.

“Dia tak nak dekat saya, uncle, Tok Aziz. Dia kata bau saya bau ikan.” Afqar tersenyum-senyum. Tiba-tiba dia dapat kekuatan untuk mengusik Azita sama.

Azita tersentak. Wajah dipanggung memandang Afqar tajam. Bibir diketap menahan geram.

Afqar kenyit mata.

“Rugilah kalau dia tak nak. Uncle rekomen kat orang lainlah macam ni.” Pak Cik Azim masih mahu mengusik.

“Papa!” Azita pukul paha Pak Cik Azim.

“Naklah ni?” Pak Cik Azim pandang wajah Azita yang sudah berubah rona.

“Errr…orang nak masuk dalam.” Azita bingkas turun dari pangkin dan berlalu ke dalam rumah.

Afqar, Pak Cik Azim dan Atuk Aziz bantai gelak melihat Azita yang kalut diusik.



AFQAR menguak kasar pintu pejabat. Berjalan menonong ke mejanya tanpa memandang Yana yang tunak memandang dia.

“Abang Afqar, kenapa muka tu?” Yana bangkit dan berjalan mendekati Afqar.

“Tak ada apa-apalah.” Afqar menggeleng.

“Bengkak ni. Abang Afqar bergaduh ke?” Yana mendekati kerusi Afqar. Berdiri betul-betul di sebelah Afqar. Tangannya ingin menyentuh wajah Afqar.

“Yana, please!” Afqar berundur ke belakang. Mengelak dari Yana pergi lebih jauh.

“Alah…Yana bukan nak buat apa-apa pun.” Yana mencebik. Berpusing dan pergi ke mejanya semula.

Afqar mengeluh. Inilah situasi yang cuba dia elakkan. Aduh! Apa nak cakap dengan Yana ni? Dia merenung wajah sedih Yana. Yana langsung tidak memandang pada dia.

Tiba-tiba Afqar tersenyum. Teringat Azita. Bagaimana gadis itu boleh menggelarkan Yana perempuan muka tak siap. Apa yang tak siapnya tu? Dibelek lagi wajah Yana. Hidung ke? Allah yang ciptakan. Azita memang tak patut betul.

“Ini order untuk minggu ni.” Yana meletakkan fail yang terbuka dengan kasar di depan Afqar.

Afqar tersentak. Tak perasan bila masa Yana sudah ada di depan dia.

“Abang Afqar dah berubah.” Yana bersuara tapi langsung tidak memandang Afqar. Dia bermain dengan jemarinya.

“Berubah? Abang masih orang yang samalah.” Afqar tegakkan badan. Dia mula membelek dokumen pesanan yang telah disusun Yana.

“Selama ni Abang Afqar tak pernah berangan. Sentiasa fokus pada kerja.” Yana mula bercerita.

“Abang masih fokus dengan kerja. Cuma kadang-kadang kalau serabut sangat kita perlu cari sesuatu untuk ringankan kepala otak kita. Tak adalah stagnant aje.” Afqar tersenyum-senyum.

Stagnant? Apa tu?” Yana dah garu kepala.

“Tak apalah, Yana. Tak penting pun. Fail ni nanti serah pada Abang Hashim. Untuk seminggu ni semuanya dia yang akan uruskan.” Afqar serah kembali fail tadi kepada Yana.

“Kenapa Abang Hashim pula yang kena uruskan? Abang Afqar nak pergi mana? Cuti-cuti Malaysia, eh? Bolehlah Yana ikut sekali.” Wajah monyok Yana sudah bertukar ceria.

“Taklah. Bukan cuti-cuti Malaysia pun. Ada hal peribadi.” Afqar tersenyum.

Dahi Yana berkerut. Dia kembali semula ke mejanya. Hal peribadi apa?

“Assalammualaikum.” Azita tersenyum masuk ke dalam pejabat Afqar.

“Waalaikumussalam.” Yana menjawab acuh tak acuh.

“Hai, Yana!” Azita kenyit mata. Selamba pergi ke meja Afqar.

Perempuan ni? Ya perempuan inilah penyebab Abang Afqar berubah. Abang Afqar sudah pandai berangan. Abang Afqar sudah tidak macam dulu. Kalau dulu Abang Afqar alergi dengan perempuan tapi sekarang tidak lagi. Yana berdecit.

“Hei, mimpi?” Afqar tersenyum sebaik Azita duduk di kerusi berdepan dengan meja kerjanya.

“Tak boleh ke kalau orang nak datang sini?” Azita tersengih.

“Boleh. Memang kau suka ke sini kan?” Afqar menari-narikan keningnya.

“Dekat sini macam tenang tapi itulah banyak sangat haiwan-haiwan yang mendekat.” Azita membebel.

“Kau orang baru sebab tu semua haiwan-haiwan tu suka.” Afqar mengusik. Sesekali tangannya naik memegang muka.

“Sakit lagi ke?” Azita dah mula risau.

“Tak seteruk tadi?” Afqar menggeleng. Tidak mahu Azita risau.

“Oh! Jadi kaulah penyebab Abang Afqar jadi macam ni.” Jerkah Yana tiba-tiba.

“Papa!” Terperanjat Azita. Memang betul perempuan muka tak siaplah budak ni. Suka-suka aje mencelah orang tengah berbual.

Afqar laju mengurut dada. Apa kena dengan si Yana ni? Semakin pelik pula.

“Yana…boleh tinggalkan kami?” Afqar menuding jari ke meja Yana.

“Tak. Sekarang beritahu Yana, betulkan Cik Azita ni yang buat Abang Afqar jadi macam ni?” Yana tidak berganjak. Selagi dia tidak tahu kisah di sebalik lebam di muka Afqar selagi itulah dia tidak berpuashati.

Azita dah gigit bibir. Meroyan pula perempuan muka tak siap ni. Apa kes? Entah-entah dia ada hati dengan Afqar kut.

“Yana! Kenapa ni?” Suara Afqar sudah meninggi satu oktaf.

“Errr…” Yana terkedu. Afqar tak pernah tinggikan suara kepada dia.

“Afqar…” Azita menggeleng.

“Apa yang abang buat tak ada kena mengena dengan Azita. Kalau sesuatu terjadi pada Yana pun abang tetap akan pertahankan. Itu memang tanggungjawab abang sebagai seorang lelaki.” Senafas Afqar memberitahu.

“Yana cuma risau aje. Maaf.” Yana kembali ke tempat duduknya semula.

Azita menoleh ke belakang. Jelas matanya menangkap riak sedih di wajah Yana. Dia memandang Afqar semula.

“Kesian dia.” Azita memang maksudkannya.

“Huh! Kesianlah dekat dia. Dia ada hati dekat bakal suami kau ni.” Afqar menggeleng.

Really? Eh! Bakal suami siapa?” Azita dah senget muka.

“Eh! Lagi mahu tanya?” Afqar menari-narikan keningnya.

“Abang Afqar nak kahwin dengan Cik Azita ke?” Yana kembali berdiri di tepi meja Afqar.

Kali ini Azita dapat mengawal diri. Ada juga yang tidur hospital malam ni. Perempuan muka tak siap ni memang saja cari pasal nampaknya.

“Insya-Allah. Bulan depan, kan sayang?” Afqar mengiyakan soalan Yana. Matanya merenung Azita minta sokongan.

“Errr…orang…” Azita pandang wajah Yana dan Afqar bersilih ganti. Okey dia bukan terperanjat pasal kahwin tu tapi terperanjat sebab Afqar panggil dia sayang. Sweetnya.

Afqar besarkan matanya.

“Errr…aah…” Azita rasa macam nak putus nyawa mengiyakan kenyataan Afqar tapi itulah kenyataannya. Malam ini keluarga Afqar akan datang merisik sebelum dia kembali ke JB semula.

“Oh? Tahniah.” Yana hulur tangan.

“Errr…” Azita sambut. Dia tahu gadis ini kecewa tapi bukan salah dia. Jodoh, ajal, maut, rezeki kan semuanya Allah yang tentukan. 

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

12 comments:

  1. Terbaik..nak lagi.. nak lagi sambungan.

    ReplyDelete
  2. jangan si yana nak sabotaj hubungan yang baru nak berbunga ni sudahla....aqfar dah keluar panggilan syg tu...phewitttt

    ReplyDelete
  3. Good Afqar.. So sweet tak sabar nk tggu part dorg nk kahwin. Azita dlm ego tu hati ada taman ye. Yana muka tak siap sila pi main jauh2 ye tak pon blh ngorat si tgn sotong tu. Sesuai you
    Azrien osaki

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahahahahaha.....tq dear @azrien Osaki....nnt ku fikir2kan saper pasangan yana tu ya...

      Delete
  4. Amboi afqar.. x menyempat.. lg sebulan ek.. jgn si yana wat dajal udah.. nnti soh la azita keje ngan afqar.. heheh

    ReplyDelete
    Replies
    1. bagi sebulan aje....takut rizal masuk jarum balik...huhuhu...

      Delete