Friday, September 12, 2014

MUZIK HATI BERLAGU - BAB 12


AZITA serba tidak kena di ruang dapur. Sekejap dia berdiri sekejap dia duduk. Bosan ke sana ke sini, dia duduk bersandar di jenang pintu dapur menghadap ke laman belakang rumah Nenek Munah. Keluarga Afqar dan keluarganya sedang berbincang perihal dia dan Afqar. Rasa macam tak percaya dia telah disunting.

“Hesy…biar betul aku ni? Dah nak jadi isteri orang. Kerja pun tak lagi dah nak menggatal.” Azita garu kepala.

“Psssttt…”

Azita menoleh. Spontan tangan menekup mulut. Kalau tidak kalut satu rumah mendengar jeritan dia.

“Tak reti bagi salam ke?” Azita dah jegilkan mata.

Kenapalah mamat sengal ni suka sangat buat dia terperanjat. Dahlah pakai baju putih. Tahu-tahu saja muncul dalam gelap. Serupa cik ponti tau.

“Alololo…comel sangatlah buat mata macam tu. Bulat macam ikan buntal.” Afqar tersengih-sengih. Dia bertinggung di tepi tidak jauh dari Azita.

“Eee…orang tak sukalah ikan buntal tu.” Azita kembungkan pipi.

“Tak suka konon. Tu pipi kembung-kembung sebiji ikan buntal.” Afqar semakin galak mengusik.

“Afqar!” Azita menjerit tetapi dalam nada suara yang terkawal.

“Ya, sayang…” Afqar senyum meleret.

Azita julingkan mata ke atas.

“Siapa bagi datang sini? Tok Aziz tahu padan muka kau.” Azita menjeling.

“Tok Aziz dengan Uncle Azim yang suruh temankan kau dekat belakang ni. Takut kau lari. Manalah tahukan…” Afqar kenyit mata.

“Orang nak lari buat apa?” Kecil mata Azita memandang Afqar di sebelahnya.

“Tak nak kahwin dengan aku. Yelah aku bukan kerja dalam aircond. Bau ikan melekat sepanjang masa.” Afqar lontar pandang ke arah laman yang gelap.

Azita ketap bibir. Boleh pula si dia ni syahdu syahdan dekat tepi parit. Siapa kata tak nak kahwin dengan mamat sengal ni? Orang naklah. Macam mana nak cakap kat dia?

“Kau betul-betul nak kahwin dengan aku?” Afqar memandang Azita semula.

“Errr…” Azita kelu. Lidah ni masa inilah tak boleh nak bergerak.

“Aku tak paksa. Kalau kau tak sudi aku boleh beritahu ayah.” Afqar tunduk memandang simen. Terasa kakinya lenguh bertinggung dia berdiri.

“Eh! Nak pergi mana?” Azita kalut berdiri juga. Risau si dia merajuk dengan kebisuan dia.

“Takkanlah nak tinggalkan kau. Kaki sakit. Semut-semut.” Afqar tersengih. Suka tengok muka Azita yang nampak tak tentu hala kala dia berdiri tadi.

“Orang nak tau.” Azita tunduk malu-malu.

“Nak apa?” Afqar merenung Azita yang tertunduk malu-malu kucing.

“Kahwinlah.” Azita bermain dengan jari-jarinya.

“Tak menyesal?” Afqar bertanya lagi.

“Kau?” Azita mendongak.

“Aku tak sabar nak tuntut hutang yang lima tu.” Afqar angkat-angkat keningnya. Bibirnya mengukir senyuman nakal.

“Bukan empat ke? Datang mana yang ke lima tu?” Bercantum kening Azita. Dahi berkerut seribu memandang Afqar.

“Pagi tadi selamatkan kau dari Rizal harimau tu.” Lebar sengihan Afqar.

“Terima kasih.” Azita tersenyum.

“Kasih diterima tapi lagi empat tu tetap aku nak tuntut balik tau.” Afqar ketawa-ketawa.

“Tu orang nak kena bayar macam mana?” Azita mula mengembungkan pipinya.

Serius dia nak bayar macam mana dekat mamat sengal ni. Biawak, ular, kucing, burung semua tu haru dia nak kumpul sekali. Kucing bolehlah lagi tapi yang tiga lagi tu? eeeuwww…

“Kita nikah dulu. Nanti aku beritahu.” Afqar masih senyum-senyum.

“Sekarang tak boleh?” Azita kerdip-kerdipkan matanya.

“Jangan nak buat gaya puss in boots. Tunggu dah halal nanti.” Afqar ketawa. Kepala digeleng.

Azita, Azita. Kenapa polos sangat? Semakin buat dia tak sabar menanti hari bahagia mereka.

“Lahhh…kenapa tak diajak Afqar tu masuk, Azita?” tanya Nenek Munah bila dia perasan kelibat Afqar dari cermin tingkap dapur.

“Nenek ni…buat orang terperanjat aje.” Azita berpaling sambil mengurut dada.

“Mengada.” Nenek Munah besarkan matanya.

Azita tersengih.

“Boleh ke dia masuk? Orang bukan tak nak ajak. Takut kena marah.” Azita memandang Nenek Munah yang sedang menuang air ke dalam cawan yang bersusun di atas meja.

Afqar hanya berani mengintai di balik cermin tingkap. Dia pun segan juga sebenarnya. Belum apa-apa dah pandai nak berdua-duaan dengan anak dara orang.

“Masuklah, Afqar. Bukan tak biasa pun. Mari masuk. Kita makan sekali,” pelawa Nenek Munah.

“Masuklah.” Azita beri laluan.

“Aku ikut depanlah.” Afqar dah urut tengkuknya.

“Betul juga tu. Pergi lalu depan sana, Afqar.” Nenek Munah mengangguk setuju.

“Alahhh…siapa nak teman orang makan dekat dapur ni?” Azita dah memuncung.

“Eh, eh! Mengada-ngada pula budak ni. Pergi makan sekali kat depan tu,” arah Nenek Munah.

“Tak nak. Segan.” Azita menggeleng laju.

“Bukan ada orang lain pun. Mak pak Afqar juga.” Nenek Munah menggeleng.

Azita diam. Kepalanya menunduk menekur lantai.

“Tak apalah, Nek Munah. Saya makan dekat sini aje.” Tak sampai hati pula Afqar tengok Azita macam tu.

Azita panggung wajah. Tersengih lebar pada Afqar.

Afqar hanya menggeleng. Manja terlebih pula budak dua puluh dua tahun ini.

“Manjakanlah sangat Azita ni, Afqar. Ada karang semua benda kamu yang buat.” Nenek Munah membebel sambil meletakkan cawan-cawan yang sudah berisi air kopi ke dalam dulang.

“Dia sayang orang. Kan, kan?” Azita menari-narikan keningnya.

Afqar hanya mampu tersenyum malu. Lagilah bila dia perasan Nenek Munah ralit memerhati gelagat mereka berdua.

“Dah jangan nak menggatal kat situ. Hantar ni dulu.” Nenek Munah menyorong dulang tadi ke hujung meja. Mengarahkan Azita menghantar ke ruang tamu.

“Orang bukan nak menggatal. Nenek ni sukalah malukan orang.” Azita hentak-hentakkan kakinya. Dia berjalan mendekati meja makan. Ditatang dulang itu dan dibawa ke ruang tamu.

“Duduk dulu, Afqar. Nanti Azita hidangkan untuk kamu. Habis makan nanti terus ke depan.” Nenek Munah tersenyum sebelum turut ke ruang tamu semula.

Afqar mengangguk. Bersandar. Sabar menanti Azita di ruang dapur.

“Eh! Tak makan dekat depan sekali?” Mak Cik Midah yang baru masuk ke ruang dapur bersama mangkuk kosong di tangan terkejut melihat kelibat Afqar di dapur.

“Tak apa, aunty. Saya makan dekat sini aje.” Afqar tersenyum.

“Tak sabar ya?” Mak Cik Midah mengusik. Dia ke dapur untuk menambah lauk.

“Eh, taklah.” Afqar menggeleng laju.

Si ikan buntal ni memang nak kena. Apasal lambat sangat ni? Orang nak temankan dia boleh pula dia tinggalkan kita lama-lama. Tak pasal-pasal kena usik. Hesy…bakal mak mentua pun boleh tahan kuat mengusiknya.

“Mama, nenek suruh bawa nasi tambah sekali. Sekejap eh. Orang ambikkan nasi untuk kau.” Azita sempat meminta Afqar untuk menunggu dia sekejap.

Dia mendekati Mak Cik Midah. Dihulurkan magkuk nasi tambah. Mukanya masam bila Mak Cik Midah membisikkan sesuatu.

Afqar yang melihat dah terjongket kening. Butiran kata Mak Cik Midah langsung tak dengar. Entah apa agaknya yang dibisikkan dua beranak itu.

“Makan, Afqar. Jangan malu-malu. Aunty ke depan.” Mak Cik Midah menepuk-nepuk bahu Afqar. Dia terus keluar ke ruang tamu.

“Bisik apa dengan aunty?” tanya Afqar memandang Azita sebaik diletakkan pinggan nasi di depannya.

Matanya beralih ke meja. Liur ditelan melihat nasi yang menggunung. Ini nak suruh makan ke mentekedarah? Azita ni memang saja nak kenakan dia nampaknya. Si dia yang kena marah dengan Mak Cik Midah tapi dia pula yang jadi mangsa.

“Hmmm…mak marah orang panggil kau.” Azita tarik kerusi di sebelah Afqar.

Air sirap dituang ke dalam gelas. Dihulur kepada Afqar. Diambil seketul ayam goreng dan diletakkan ke dalam pinggan nasi Afqar. Sayur pucuk manis masak lemak turut diceduk dan diletakkan ke dalam pinggan Afqar. Kemudian diambil sambal kicap dan diletakkan sesudu pada ayam goreng tadi.

“Azita…” Afqar tak tahu nak cakap apa.

Luarannya Azita nampak manja, degil, keras kepala tetapi sekarang ini dia nampak sisi lain Azita. Azita nampak lebih matang. Cair hati lelaki dia dengan layanan Azita. Dia yakin dia tidak tersalah pilih. Azita sudah bersedia untuk menjadi seorang isteri tanpa Azita sendiri sedari.

“Orang nak kena panggil apa?” Azita menoleh ke sisinya.

“Kita makan dulu.” Afqar sudah tadah tangan bersedia untuk membaca doa makan.

“Okey.” Azita tersenyum. Manis.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

22 comments:

  1. Sweet manja. Azita ni ealaupun kalut tetapi memang bakal isteri yg baik kan. Pandai melayan bakal suami.

    ReplyDelete
  2. Sweet sangat, memang azita ni manja bertingkek- tingkek. Besar kemungkinan afqar kena berkepit dgn isteri muda yg sangat manja & mcm budak-budak ni.

    ReplyDelete
  3. tu lah... rasa bahagia bersama mrk kan... semoga mrk akan kekal begitu

    ReplyDelete
  4. comel...mesti si aqfar dah lama berkenan kat ikan buntal kan...tq syeena hamdan. saya suka

    ReplyDelete
  5. Wah melepas la Yana...Afqar dah ada ikan buntal.....yg sweet

    ReplyDelete
    Replies
    1. Afqar dah lama berkenan dgn ikan buntal...hehehehehe...

      Delete
  6. amboii.....:)
    along nk kutip utang ye

    ReplyDelete
  7. super sweet syeena hamdan

    azita...panggil la af ker dulu or fqar ker

    dah halal panggil la yg manja yg gedikss

    ngan siapa lg nk menggediks klu bkn ngan suami

    slmt jalan2 Syeena...cuti scool kn

    ReplyDelete
    Replies
    1. tq kak ita sudi baca citer biasa2 ni...bukan jenjalan mana pun....hahahahahahaha...

      Delete
  8. Heheheh....dua2 sengal tp swettttt....must lg suwettt lau pas kawen��

    ReplyDelete
  9. alahai comel nye azita ni tnya kt bakal suami cmtu .. hehe , manja tanpa sedar

    ReplyDelete