Saturday, September 13, 2014

MUZIK HATI BERLAGU - BAB 14


SUASANA perkarangan rumah Atuk Aziz dan Nenek Munah sibuk dengan orang kampung yang bergotong-royong menjayakan majlis perkahwinan Azita dan Afqar keesokan harinya. Azita langsung tidak keluar rumah. Nenek Munah dan Mak Cik Midah tak benarkan. Dia hanya ditemani sepupunya, Rita.

“Rita…” panggil Azita dari balik cermin meja solek.

Rita yang sedang sibuk menggosok baju mengangkat wajah.

“Kau dengan Rizal…” Azita serba-salah nak terus bertanya.

“Lepas majlis kau, insya-Allah majlis aku pula.” Rita tersenyum.

Really?” Azita menoleh.

Mukanya menyeringai bila tangannya ditepuk kuat mak andam yang sedang memakaikan inai. Dia tersengih pada mak andam sebelum memandang Rita semula.

“Alhamdulillah. Dia datang sendiri kat aku. Terperanjat juga aku sebenarnya.” Rita berhenti menggosok. Dia mendekati Azita yang menggamitnya suruh duduk di birai katil.

“Biar betul?” Azita terkebil-kebil menatap muka Rita.

“Dia cerita apa yang berlaku dekat sini. Aku tak sangka dia buat kau macam tu.” Rita ketap bibir.

“Lupakanlah. Benda dah nak jadi. Alhamdulillah dia dah berubah. Sekurang-kurangnya dia berani bertanggung-jawab.” Azita mengangguk.

“Kan…” Rita mengangguk mengiyakan kata-kata Azita.

Sementara itu di rumah Pak Cik Ali, Afqar sibuk membantu mencari kayu kering di belakang rumah. Puas sudah dileter Mak Cik Asmah tapi tidak dipedulikannya.

Afqar menoleh bila telinganya menangkap bunyi ranting patah dipijak. Dia berpusing.

“Yana?” Afqar terus tegak berdiri. Tuala putih yang tersangkut di tengkuk ditarik. Dilap ke seluruh wajahnya.

Yana hanya tersenyum. Liur ditelan melihat Afqar. Baju yang dipakai Afqar melekap elok di badan menampakkan otot-otot pejal dek peluh yang mengalir.

“Kenapa ke sini? Tak elok kalau orang lain nampak.” Afqar betul-betul tidak suka dengan perangai Yana sejak akhir-akhir ini. Selama tiga tahun berkerja dengannya Yana tidak pernah sepelik ini.

“Maaf kalau Abang Afqar tak selesa tapi Yana kena juga jumpa Abang Afqar.” Yana bersuara memberanikan diri.

“Ada apa?” Afqar cuba berlagak tenang. Dia tidak boleh cepat melatah. Ada baiknya dia mendengar dulu apa yang ingin diperkatakan Yana.

“Abang Afqar dah fikir masak-masak ke nak nikah dengan Cik Azita?” tanya Yana. Matanya tepat merenung wajah Afqar.

“Insya-Allah abang yakin. Itu yang Allah tunjuk dalam setiap solat istikharah yang abang buat.” Afqar mengangguk dan tersenyum.

“Ohhh…” Yana mengeluh.

Afqar jongket kening. Kenapa dengan gadis ini?

“Yana suka dekat Abang Afqar. Dari zaman sekolah lagi. Yana suka tengok Abang Afqar. Tak pernah mengalah. Abang Afqar umpama idola pada Yana. Yana sedih bila Abang Afqar tak nampak apa yang Yana selalu buat untuk Abang Afqar. Yana ingat Abang Afqar baik dengan Yana sebab Abang Afqar pun suka dekat Yana.” Yana menunduk.

“Yana…abang memang suka dekat Yana tapi abang anggap Yana ni macam adik abang sendiri. Yana pun tahukan abang tak ada adik-beradik lain?” Afqar berjeda seketika sebelum menyambung bicaranya.

“Abang suka bila Yana rajin, tak pernah mengeluh kalau disuruh buat kerja lebih, suka menolong orang lain, tak lokek dengan senyuman tapi setakat itu aje suka abang.” Afqar mengeluh.

“Sikit pun tak ada perasaan cinta dalam hati Abang Afqar?” Yana mendesak.

Afqar menggeleng.

“Tak apalah Yana sedar diri. Yana tak secantik Cik Azita.” Yana menunduk. Suaranya sebak tika bertutur.

“Yana…abang tak pandang itu semua. Yana bukan tak cantik. Yana cantik tapi mungkin bukan abang jodoh Yana. Allah itu maha adil. Setiap hambanya Dia sudah sediakan sesuatu.” Afqar memujuk.

Bro!

Afqar dan Yana serentak menoleh.

“Adib? Hei!” Afqar berganjak dan berjalan ke arah lelaki berbadan sasa yang menegurnya.

Yana terpempan. Mata tak berkalih memandang tepat pemandangan indah di depan matanya.

“Pengantin pun buat kerja ke?” Adib menari-narikan keningnya.

“Alah…bukan berat mana pun. Tolong cari kayu kering aje ni.” Afqar menepuk-nepuk badan Adib selepas bersalaman.

“Yelah. Build up muscle. Esok malam nak berkerja keras.” Adib ketawa-ketawa.

“Weiii…cakap tu elok-elok sikit. Ada anak dara dekat sini tu.” Afqar memuncungkan mulutnya kepada Yana yang kaku memandang dia dan Adib.

“Bakal isteri ke?” Adib angkat kening.

“Kau gila aku nak berdating dekat sini dengan bakal isteri aku?” Afqar memicit pelipisnya.

“Dah tu siapa ni? Skandal?” Kening Adib semakin galak menari-nari.

“Yana, sini!” panggil Afqar.

Yana tersipu-sipu berjalan mendekati Afqar dan Adib.

“Ini Aryana, adik angkat aku. Dah tiga tahun kerja dengan aku.”

“Hai, Aryana. Saya Adib, sepupu kesayangan Afqar.” Adib tersengih-sengih.

“Banyaklah kesayangan kau. Jomlah masuk dalam. Panas dekat luar ni.” Afqar memaut bahu Adib.

Mereka berdua terus masuk ke dalam rumah Pak Cik Ali.

“Wow!” Terkebil-kebil mata Yana mengiringi dua susuk tubuh yang sudah meninggalkan dia bersendirian di situ.

“Hensem juga.” Yana tersenyum-senyum sambil berjalan meninggalkan perkarangan rumah Pak Cik Ali.



AFQAR keluar ke ruang tamu semula selepas selesai menunaikan solat sunat sebaik akad yang dilafazkan disahkan semua saksi. Bersyukur dia ke hadrat Ilahi segalanya dipermudahkan. Kini tiba masa untuk acara membatalkan air sembahyang.

Bro, malam nanti kau beleklah puas-puas.” Adib menyiku Afqar yang asyik merenung Azita yang bersimpuh manis di pelamin mini.

“Dalam bilik cerita lain. Sekarang cerita lain.” Afqar tersengih.

Adib hanya menggeleng. Dia yang bertindak sebagai pengapit Afqar menyerahkan bekas yang menempatkan seutas gelang emas kepada Afqar.

Afqar ambil dan memandang tepat wajah Azita yang berseri-seri mengenakan sepasang kurung moden lace berwarna putih sama seperti baju melayu yang tersarung di badannya.

“Assalammualaikum, Puan Ikan Buntal.” Afqar mengusik.

Azita jegilkan mata. Sabar sajalah dengan Afqar ni. Tak apa. Takkanlah dia nak malu sorang-sorang kan. Dia bersedia membuat serangan balas bila dilihat pengapit Afqar dan sepupunya Rita sedaya-upaya menahan ketawa mendengar usikan Afqar.

“Waalaikumussalam, Encik Sengal.” Azita tersengih.

“Wahhh…Puan Ikan Buntal melawan.” Afqar membalas semula.

“Aduh, Encik Sengal! Boleh cepat tak? Kesian semua orang dah lapar.” Azita ketap bibir.

“Maaflah. Mata ni tak puas tengok muka Puan Ikan Buntal. Tak sangka licin rupanya muka Puan Ikan Buntal tak sama yang macam dalam laut tu.” Afqar tersenyum-senyum.

“Ya Allah, Encik Sengal. Cepatlah!” Azita mula menekan suaranya. Muka dia dah merah padam. Semua orang dah pakat gelak. Boleh pula Afqar buat lawak tak berapa nak cerdik sekarang ni.

“Encik Sengal Puan Ikan Buntal menurut perintah.” Afqar raih tangan kanan Azita. Dipakaikan seutas gelang emas hadiah darinya. Dia mendongak. Tersenyum kacak memandang Azita.

Pasangan mempelai ini dihujani lensa kamera yang tidak berhenti-henti merakamkan saat indah kedua-duanya.

“Terima kasih.” Azita menggumam. Menunduk mengucup tangan Afqar.

Elok Azita tegakkan badan, bibir Afqar singgah di dahi Azita.

Semakin banyak lensa kamera yang menyinari mereka berdua.

“Hutang pertama dah tertunai.” Afqar kenyit mata selepas melepaskan kucupannya.

Azita tak mampu nak membalas kata. Takut semua orang bertanya. Biarlah itu rahsia antara dia dan Afqar.

“Alhamdulillah.” Suara Atuk Aziz berbunyi. Dia mengarahkan Tok Kadi untuk membacakan sepotong doa.

“Kau hutang apa dengan suami kau?” Rita berbisik di telinga Azita selepas doa habis dibaca. Dibantunya Azita untuk berdiri. Sekejap lagi mereka semua akan menjamu selera.

Azita hanya tersenyum senget. Tak mungkinlah dia nak bercerita. Biar pecah di perut jangan pecah di perut.

Afqar di sebelah dah tersenyum-senyum.

“Jangan nak suka sangat, eh.” Azita menggenggam kuat jemari Afqar yang sedari tadi sudah bersulam dengan jemarinya.

“Ada tiga lagi hutang tu nak dibayar. Mestilah saya suka.” Afqar meramas kembali jemari Azita.

“Teruklah orang macam ni.” Azita dah memuncung.

“Jangan risau. Saya tak akan dera awak.” Afqar tarik tangan Azita agar mengikut langkahnya keluar dari rumah Atuk Aziz.

“Siapa yang jadi pengapit awak?” tanya Azita bila dilihat Yana sedang rancak berbual dengan lelaki yang menjadi pengapit Afqar. Rita pula entah sudah hilang ke mana. Mungkin menemani Rizal yang turut datang ke majlis ini.

“Kenapa?” Afqar menoleh ke sisi.

Not bad.” Azita tersengih.

“Hutang tadi saya tambah balik.” Afqar bulatkan matanya.

“Teruknya.” Azita dah memuncung.

“Teruk tak teruk sebab awak dah puji Adib. Dia tu sepupu saya tau.” Semakin bulat mata Afqar.

“Bukan orang nak dekat dia pun. Yang kat sebelah ni pun tak tahu nak jaga macam mana. Dahlah sengal. Jenuh orang.” Selamba Azita menjawab.

“Sengal-sengal pun yang ini juga awak cari kan.” Afqar melepaskan genggaman. Pinggang Azita dipaut erat.

“Awak…” Azita dah malu-malu diperlakukan begitu. Apatah lagi banyak mata yang memandang.

“Jangan buat suara manja-manja macam tu. Nanti saya terus tarik awak masuk bilik. Lagi haru.” Afqar kenyit mata. Dia ketawa-ketawa.

“Afqar!” Merah terus muka Azita.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

20 comments:

  1. waaaaaaaa tq kak syeena <3 nak lagiii malam ni bulehh? - Flower Rissa

    ReplyDelete
  2. Encik sengal n puan ikan buntal... memang sempoi... serasi bersama... so sweet... akhirnya masing2 dah ada jodoh... rita n rizal... yana n adib...



    ReplyDelete
  3. tapi belum habis/TAMAT lagi kan? nak lagi nak lagi please.

    ReplyDelete
  4. Bahagia akhirnya En. Sengal dan Puan Ikan Buntal. Tq syeena.

    ReplyDelete
  5. Sambung lg yer akk....seronok plak. Sibuntal ngn si sengal

    ReplyDelete
  6. hahaha .. dh kwen mkin noty la afqar ni

    ReplyDelete
  7. masa melunaskan hutang....tq syeena hamdan buat cerita yang bikin sy senyum...sweet. nak lagi

    ReplyDelete