Saturday, September 13, 2014

MUZIK HATI BERLAGU - BAB 15


SIANG sudah melabuhkan tirai. Kini malam menjelma. Azita masih lagi sibuk di ruang dapur membantu Nenek Munah dan Mak Cik Midah berkemas sejak selesai makan malam tadi. Saudara-maranya yang lain juga sudah beransur pulang. Termasuklah Rita yang sempat mengusiknya sebelum pulang ke JB tadi.

“Dah berhenti buat kerja tu. Esok-esok kita sambung kemas. Bawak air ni ke depan.” Nenek Munah menghulurkan dulang berisi cawan yang sudah dituang air teh kepada Azita.

“Yeay.” Azita tersengih.

Dikesat tangan yang basah sebelum menyambut dulang yang dihulurkan. Dia pun dah letih sebenarnya. Nak berhenti membasuh takut Nenek Munah bising. Jadinya dia teruskan sahaja apa yang sedang dibuat.

“Hesy…cuba jangan macam budak-budak. Ingat sikit awak tu dah bersuami.” Mak Cik Midah menepuk bahu Azita.

“Penat tau.” Azita sempat menjawab sebelum melangkah ke ruang tamu.

Afqar yang sedang rancak berbual terhenti seketika bila melihat Azita yang ayu berbaju kurung rona ungu lembut menatang dulang dari ruang dapur. Rambut Azita yang sedikit ikal melepasi bahu terbuai-buai mengikut hayunan langkah tuannya.

“Sabar. Tak ke mana pun Azita tu.” Atuk Aziz yang duduk di sebelah Afqar menepuk-nepuk paha Afqar.

Pak Cik Azim dan Pak Cik Ali yang ada di depan Afqar turut tertawa.

Afqar hanya tersengih. Belakang tengkuknya diurut-urut. Segan pula tertangkap begitu. Siapa suruh Azita berjalan ala-ala perempuan melayu terakhir? Bukan salah dia menikmati ciptaan indah yang ada di depan mata dia ini.

Azita yang mendengar usikan Atuk Aziz dah tersipu-sipu tetapi dia cuba mengawal rasa malunya. Perlahan-lahan diletakkan dulang yang ditatang itu ke atas meja kopi. Diletakkan setiap seorang secawan teh di depan mereka.

“Jemput minum.” Azita bangkit. Dia kembali ke ruang dapur.

Tegak badan Afqar bila melihat kelibat Azita yang meluru masuk ke bilik tidur.

“Errr…papa, atuk. Afqar nak…”

Hesy…segannya nak cakap. Nanti dia orang ingat dia pelahap tapi serius badan dia pun dah letih. Tiga periuk besar tu tadi kena sental. Puan Ikan Buntal? Haram nak tolongnya. Si dia lebih rela pegangkan getah paip saja. Banyak songeh Puan Ikan Buntal tu. Boleh si dia cakap tangan si dia alergi sabun basuh pinggan. Habis tadi dekat dapur bukan dia basuh pinggan mangkuk ke? Siaplah Puan Ikan Buntal tu.

“Kami faham. Pergilah masuk.” Pak Cik Azim tersenyum-senyum.

“Sungguh Afqar letih. Bukan sebab apa-apa pun.” Afqar bangun. Bersalaman dengan Pak Cik Ali, Pak Cik Azim dan Atuk Aziz sebelum beredar ke bilik tidur.

Pintu bilik dikuak perlahan-lahan. Afqar tersenyum melihat Azita yang sedang ralit mengemas baju-baju milik dia ke dalam almari. Dia mendekati Azita yang tidak menyedari kehadiran dia.

“Papa!” Terjerit Azita bila terasa ada tangan melingkar di kiri kanan pinggangnya.

“Ssshhh…ini sayalah.” Afqar ketawa.

Aduh! Ini belum pergi jauh Puan Ikan Buntal dah terjerit. Agak-agak kalau dia minta lebih lagi bagaimana agaknya reaksi si dia ni kan.

“Awakkk…” Azita urut dada. Terperanjat.

Dia cuba meleraikan pelukan Afqar. Debaran di dadanya menggila. Semput nafas. Apahal Encik Sengal main peluk-peluk ni? Bukan tadi si dia duduk bersembang dengan papa dan atuk ke?

“Ini bayaran sebab awak peluk saya masa kucing lompat dari pokok.” Afqar mengeratkan lagi pelukannya pada badan Azita. Bibirnya tidak jemu mengucup kepala Azita. Bauan yang terbit dari rambut Azita menenangkan jiwanya.

“Errr…orang tak habis kemas ni. Lagipun belum solat isyak lagi.” Azita cuba memujuk. Manalah tahu Afqar termakan kata.

“Saya pun belum solat juga. Kita solat sama-sama ya.” Afqar teringat. Perintah Allah yang satu itu belum ditunaikannya. Kisah dia dan Azita boleh sambung selepas ini.

Dipusingkan badan Azita menghadap dia. Anak mata Azita direnung dalam-dalam. Mencari cinta, mencari kasih, mencari sayang di dalam anak mata surinya ini.

Azita cuba untuk melihat ke arah lain tapi setiap kali dia kalih tumpuan, Afqar galak mencari anak matanya.

“Ini sebab awak peluk saya masa ular air melingkar atas tangan awak.” Afqar tarik Azita ke dadanya. Tubuh genit itu dipeluk erat. Seerat-eratnya.

Azita terpaku. Ya Allah, Encik Sengal ingat lagi semua tu? Sabar sajalah tapikan bila dah halal ada rasa lainlah. Rasa lebih disayangi.

“Tempoh hari tu bukan saya tak nak peluk awak balik tapi kita bukan mahram. Saya harap awak faham.” Afqar mengurut lembut belakang Azita.

Azita rasa macam nak tutup saja mulut Afqar ni. Boleh tak jangan kupas satu persatu perkara bodoh yang dia dah buat pada Afqar. Dia panik. Itu tindakan refleksi. Di luar kawalan. Takkanlah Afqar tak tahu.

“Dan ini.” Pelukan dilonggarkan. Kedua-dua tangannya memegang rahang Azita. Bibir Afqar lembut menyentuh bibir Azita.

Azita terkebil-kebil. Ini dia kena buat apa? Tak payah buat apa-apakan? Matanya cepat-cepat dipejamkan bila perasan Afqar mula membuka mata. Harus kena ada rasa malu. Kalau tak nanti Afqar mesti usik dia macam-macam.

“Hei, buka mata tu.” Afqar sudah lepaskan tautan bibir mereka.

Anak matanya merenung lembut ke dalam anak mata Azita.

Azita sudah rasa lain. Kenapa sendi lututnya lemah? Kenapa anak matanya tidak mahu pandang ke lain? Kenapa pandangan mata Afqar menusuk ke dalam hati? Kenapa semua ini Afqar lakukan? Kenapa dia dengan rela diperlakukan begitu oleh Afqar?

“Tadi tu sebab luka di kepala awak kena patuk dengan burung gagak. Saya tahu mesti pedihkan. Sakit lagi tak?” Afqar menyoal lembut.

Tangan Azita spontan mencari kesan luka. Rasa sakit dan pedih sudah hilang tapi dia tak nampak kesannya.

Tangan Afqar turut sama menyebak rambut Azita. Jemarinya mengikut ke mana sahaja jemari Azita pergi. Bila Azita berhenti, dia terus menguis rambut yang menutupi tempat luka.

“Ada warna merah dekat sini. Nanti lepas solat saya letakkan ubat.” Tangan Afqar sudah jatuh ke sisi.

“Afqar…” Azita menyeru lembut sebelum sempat Afqar melangkah ke bilik air.

“Hurmmm…” Afqar berpaling. Keningnya terjongket.

“Kenapa awak menikah dengan orang? Orang biasa-biasa aje tak macam perempuan lain.” Azita menyoal.

“Esok saya beritahu.” Afqar kenyit mata dan berlalu masuk ke dalam bilik air.

Apa yang dia tak tahu ni? Misteri betullah Encik Sengal ni. Azita hanya mampu menggeleng.

Usai bersolat berjemaah, Afqar tarik tangan Azita untuk sama-sama naik ke atas katil.

“Awak baring dulu. Sekejap lagi orang join.” Azita tersengih.

Aduh! Macam nak luruh jantung ni. Boleh pula Encik Sengal suka-suka ajak baring sama-sama.

“Nak buat apa tu? Kan dah malam ni.” Afqar merenung Azita yang bergerak ke meja solek.

“Sekejap, nak pakai losyen.” Azita tunjuk lima jari suruh Afqar bersabar.

Janganlah Encik Sengal perasan yang dia gugup. Pertama kali kena tidur dengan lelaki tau. Sudahlah seumur hidup mana pernah Azita pakai losyen sebelum tidur. Ini semua idea Rita. Siap Rita pesan suruh sembur pewangi sekali. Barulah syok malam pertama katanya. Pandai-pandai aje sepupu dia itu.

“Saya suka. Wangi.” Afqar tersengih gatal.

Nampak tak Encik Sengal punya sengih tu. Cuak dah ni. Nak buat macam mana. Pakai lambat-lambatlah.

“Awak, cepatlah. Saya dah tak larat nak tunggu ni.” Afqar memanggil perlahan.

Azita mendongak. Okey, sekarang dada dia kena berkerja lebih keras dari tadi. Encik Sengal dah bertukar rupa. Baju dekat badan dia dah tak ada. Kain pelekat pun dah hilang. Si dia pakai apa tu? Matanya mengecil cuba menelek apa yang tersarung pada tubuh Afqar.

“Sinilah. Tak payah intai-intai.” Afqar menggamit.

“Errr…huh…” Azita rasa mukanya dah berbahang. Malu. Dia bangkit juga dari bangku meja solek.

“Sini.” Afqar tepuk-tepuk ruang kosong di sebelahnya.

“Tak sejuk ke?” Azita menjeling. Punggung dilabuhkan di atas katil. Telan liur dia tengok Afqar hanya memakai boxer. Kalau tak silap dialah.

“Dah ada pemanas.” Afqar ketawa-ketawa.

“Pemanas?” Azita menoleh ke sisi. Mukanya kemudian beralih pada comforter. Kakinya turut dimasukkan di bawah comforter sama seperti Afqar.

“Kenapa awak ni polos sangat? Dua puluh dua bukan ke dah matang, sayang.” Afqar tarik Azita dekat kepadanya.

“Errr…awak nak buat apa dekat orang?” Azita semakin cuak. Kejung badan dia bila baring serapat ini dengan Afqar.

“Ssshhh…kalau awak nak ada apa-apa, adalah apa-apa tu, Puan Ikan Buntal. Kalau awak tak nak, kita tidur aje.” Afqar tarik hidung Azita.

“Amboi, Encik Sengal. Ada apa-apa macam mana tu?” Azita kuatkan semangat menoleh pada Afqar. Dia mengiring. Wajah Afqar ditatap puas-puas.

“Ya Allah, sayang. Sungguh sayang tak tahu apa-apa?” Pipi Azita dielus lembut.

Polosnya isteri dia ni. Alhamdulillah si dia ini memang terpelihara. Terima kasih mama, papa.

Lebih kurang jam lima pagi Azita sudah terjaga. Kelam-kabut dia bangkit terlebih dahulu dan masuk ke bilik air. Malu nak tengok muka Afqar setelah apa yang terjadi malam tadi. Ini semua Rita punya pasal. Afqar cakap dia wangi sangat.

“Awak, awak. Bangun!” Azita menggoyang-goyangkan badan Afqar setelah dia selesai mandi.

“Hurmmm…” Afqar yang meniarap di tengah-tengah katil hanya menggumam.

“Bangunlah dah nak subuh.” Azita goyangkan lagi badan Afqar.

“Hurmmm…” Afqar berpusing. Matanya dibuka perlahan-lahan. Dia tersengih.

“Sengih pula dia. Cepatlah. Semalam cakap nak jogging.” Azita beralih ke almari baju.

“Malam tadi kan dah jogging.” Afqar sudah duduk. Bibirnya mengukir senyuman memandang Azita yang hanya berkemban dengan tuala menutup bahu.

“Hesy…” Mulut Azita herot ke kiri herot ke kanan.

“Terima kasih.” Afqar cium pipi Azita sekilas. Dicapai tuala di penyidai dan terus berlalu ke bilik air.

“Awak, orang dah ambil wuduk tau!” Menjerit Azita tapi dia hanya mendengar suara ketawa Afqar sahaja.



AFQAR menggenggam kemas jemari Azita sepanjang mereka menyusur jalan kampung. Masing-masing cuba menenangkan diri selepas berlari anak lebih kurang setengah jam tadi.

“Kita nak pergi mana ni?” soal Azita.

Afqar bawa dia menyusur ke celah-celah belukar. Dia tiada idea. Rasanya tempat ini bukan laluan orang-orang kampung.

“Sekejap lagi sayang tahu.” Afqar tersenyum. Semakin kemas genggaman tangannya.

“Eh! Macam bunyi air.” Azita memandang Afqar. Teruja dia bila mendengar deruan air yang mengalir.

Afqar hanya tersenyum.

“Air terjun? Kenapa orang lupa pasal air terjun ni?” Azita memandang Afqar.

“Sebab sayang saya ni dah lama sangat tinggalkan kampung ni.” Afqar tarik hidung Azita.

“Sekejap.” Azita berhenti. Cuba kembalikan memori zaman kanak-kanaknya.

“Dah ingat?” Afqar angkat kening.

“Orang pernah datang sini.” Azita leraikan pegangan tangan mereka.

Perlahan-lahan dia mendekati kaki air. Dia menoleh memandang Afqar yang masih berdiri di tempat tadi.

“Ramai budak-budak mandi dekat sini. Seronok tengok mereka bermandi-manda dan bergurau senda tapi…” Suara Azita bertukar sebak.

“Tak ada siapa nak kawan dengan orang. Tak ada siapa pun yang ajak orang mandi sama-sama. Semua orang ejek orang ikan buntal. Mentang-mentanglah badan orang gemuk. Sedihnya orang masa tu.” Tidak semena-mena air mata mengalir di pipi Azita.

“Siapa kata tak ada orang yang nak kawan dengan ikan buntal ni? Cuba sayang ingat-ingat balik.” Afqar paut bahu Azita. Dipeluk erat. Airmata yang mengalir diseka dengan jemarinya.

“Siapa? Oh!” Azita tekup mulut kala mendongak memandang Afqar.

Afqar mengangguk.

“Itu awak ke? Budak lelaki kurus kering yang pujuk orang, yang bagi orang kongsi roti di tangan dia?” Azita tunak memandang muka Afqar.

“Saya sebenarnya tak suka budak-budak tu persendakan awak. Ayah dan mak tak pernah ajar saya macam tu.” Afqar gosok-gosok lengan Azita.

“Nasib saya tak kena duduk dekat sini lama-lama. Lega saya bila mama ambil saya semula.” Azita peluk badan Afqar.

“Ya. Awak pergi macam tu aje. Awak pergi tanpa pesan. Awak dah tinggalkan sesuatu dekat sini.” Afqar lekapkan tapak tangannya di dada.

“Awak suka orang? Awak suka ikan buntal ni?” Azita pandang Afqar lagi.

“Ikan buntal ni buat saya tak lena tidur. Sampai saya berniat saya kena belajar bersungguh-sungguh kalau saya nak cari awak. Hanya dengan cara itu sahaja saya boleh keluar dari kampung ini.” Bersungguh-sungguh Afqar bercerita.

“Awak buat orang rasa terharu. Orang tak sangka ada juga yang sudi pada orang yang macam ikan buntal ni.” Azita kembali memeluk badan Afqar. Kejap.

“Ikan buntal itulah yang buat saya terpikat. You are who you are dan saya tak perlu bersusah payah mencari awak. Awak datang sendiri dekat saya.” Pelukan Azita Afqar balas.

“Tapi orang berlagak kan? Awak mesti benci dengan orang.” Azita leraikan pelukan mereka.

“Saya tak kisah. Satu cabaran buat saya untuk dapatkan awak. Nasiblah binatang-binatang dekat kampung ni berkawan dengan saya.” Afqar ketawa di hujung kata-katanya.

“Tak naklah ingat semua tu. Malu. Seronok sangat orang peluk anak teruna Pak Cik Ali.” Azita sorokkan mukanya di dada Afqar.

“Comel.” Afqar menggeleng.

“Awak…terima kasih sudi ambil orang jadi isteri. Banyak yang orang nak kena belajar. Harap awak tak muak nak ajar orang. Bersabar dengan orang sebab orang tak pandai masak, malas, keras kepala, berangin. Serba-serbi orang kurang. Terima kasih Afqar Din.” Azita tersenyum.

“Sama-sama kasih, sayang.” Afqar hadiahkan kucupan di dahi Azita. Dia bersuara lagi bila bibirnya diangkat. Muka Azita dipandang.

“Muzik hati saya mula berlagu saat pertama kali nenek beritahu siapa awak masa dekat kedai ayah. Irama yang berdendang semakin rancak bila awak kerap mendekati saya. Kita saling memerlukan, sayang. Kekurangan awak saya lengkapkan. Kekurangan saya awak lengkapkan. Azita Lily saya bersyukur awak sudi terima pinangan saya.” Afqar tunduk sedikit. Lembut bibirnya terbenam pada bibir Azita.

Perancangan Allah adalah sebaik-baik rancangan. Berpisah ketika kecil tetapi bertemu semula setelah masing-masing meningkat dewasa. Memang betul jodoh itu rahsia Allah tetapi Afqar tidak pernah duduk diam. Dia mencari ke mana cinta hatinya pergi hingga hampir sahaja berputus asa. Namun Tuhan tidak kejam. Cinta hatinya sendiri yang datang kepadanya. Uniknya Azita memang telah lama memikat hati dia. Nama Azita Lily sudah lama tersemat dalam hati Afqar Din. Semoga Afqar dan Azita berbahagia selamanya.



TAMAT


P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

58 comments:

  1. Kak syeena dah tamat ke?? Cm xcaya je saya suka suka suka best best best

    ReplyDelete
  2. sukanye... rpnye dorg da lme kenal cume azita je x igt hihihi... sweet afqar

    ReplyDelete
    Replies
    1. tq rockheart....azita ni kan kalut...short term memory...

      Delete
  3. Emmm cinta hati sejak kecik2 lagi rupanya...apa2 pun sweet sgt...

    ReplyDelete
  4. alhamdulillah bahagia milik mereka .. best kak , moga dpt hasilkan karya yg makin bernas dan best

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih ummu...insya-Allah akan sentiasa menjadi lagi baik...

      Delete
  5. ending yang sweet ....best sgt...

    ReplyDelete
  6. kalau dah jodoh tak kemana...... walau berpisah jauh jodoh itu pasti akan kembali...

    ReplyDelete
  7. Alah dah habis dahh.. Going to miss both of them .. Tahniah kak .. :)

    ReplyDelete
  8. Terharunya. Kalau Allah dah kata itu jodoh...mala bersatulah hati dlm ijab dan kabul. Well done syeena hamdan. Harap cerita ini kekal utk tatapan kami. Rasanya..kesemua cerita syeena ni patut dibukukan dalam satu koleksi sepertimana yg dilakukan oleh ramai penulis lain.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih...semua itu mmg ada dlm perancangan saya tapi saya memerlukan sedikit masa untuk laksanakannya...

      Delete
  9. waaa syeena...

    rindulah kak ita ngan en sengal sama ikan buntal...

    terimakasih byk2 krn syeena tak pernah gagal menghasilkn e novel, cerpen, novel or else yg begitu menarik...

    seperti CDK...membacanya tidak pernah jemu..ulang ulang...bgtu juga hasilan nukilan lain...harap syeena akan terus berkarya

    kisah ini berakhir dgn manis bermadu...harap nanti ada se ...blh la tahu sikit kisah rita rizal yana abidmmmu
    love
    kak ita

    ReplyDelete
  10. aaaawwwwww������������������
    se-sweet-honey-gula-and-yg-seangkatan-dgnnya��������������
    salute-to-Afqar-yg-tersangatla-setia...
    cuteness-to-si-ikanbuntal-yg-bernama-AzitaLily...����������

    ReplyDelete
  11. Baru berkesempatan tuk baca...Adoi...melting n terharu ngn kisah cinta en sengal n cik ikan buntal...Tahniah Syeena tuk citer yg best!

    ReplyDelete
  12. Finally... tamat juga citer afqar n azita.... sweet... suka suka suka... thnx kak Syeena...

    ReplyDelete
    Replies
    1. welcome dear and thanks to u too Umi Alauwiah...

      Delete
  13. Ohh my....afqaf yg overloaded sweetness..innocent azita. Crita yg sgt memikat sys. Thumbsup sys!

    ReplyDelete
  14. Best Kak Syeena...Sweet couple..Cinta Ikan Buntal dan mamat tilapia..hahhahaaha..Thank you for the gogeous story..

    ReplyDelete
    Replies
    1. thanks to u too dear AuliaDanisya Zarief sudi baca cerita sempoi ni...

      Delete
  15. Waaaa sweet endin!!jalan cerita pon menarik..setiap saat senyum sorang2.keep it up!! ��

    ReplyDelete
    Replies
    1. tq zawani....thanks again sbb sudi baca cerita sempoi ni...

      Delete
  16. Sweetnya.... Jln cerita yg sgt menarik..

    ReplyDelete
  17. Besttt...org lain dah lama baca...kita br baca...heheheh.... Suka ngan Afqar Din ni...memg sengal...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Better late than never... terima kasih mazliana sudi baca... Sangat sengal Afqar Din tu...

      Delete