Tuesday, September 2, 2014

MUZIK HATI BERLAGU - BAB 2


AZITA mengheret lemah kakinya menuju ke kedai milik Pak Cik Ali. Kalau tak mengenangkan Nenek Munah nak memasak memang dia sanggup berlapar sampai ke malam. Tak sanggup nak jumpa mamat sengal yang konon-kononnya si tauke ikan.

“Eh!” Hampir sahaja Azita jatuh ketika baru hendak masuk ke dalam kedai.

Sorry! Sorry!” Suara orang yang melanggar Azita risau.

“Kau?” Azita pandang si pemilik suara atas bawah. Matanya tak berkerdip.

Betul ke ini Afqar? Kenapa kemas sangat? Berkot bagai. Tak macam tauke ikan pun.

“Ohhh…Si ikan buntal.” Ada nada mengejek ketika Afqar menyebut gelaran itu.

“Apa si ikan buntal? Orang tak sukalah.” Azita menjeling.

“Tak pergi lagi, Afqar?”

Kedua-duanya menoleh apabila ada suara menegur dari belakang Afqar.

“Nak pergilah ni. Nak terlanggar si ikan buntal. Itu yang terberhenti.” Afqar tersengih sebelum terus keluar dari kedai menuju ke keretanya.

Azita besarkan mata. Kalau tak kerana ada orang lain memang dia dah cekik-cekik tauke ikan ni.

“Jangan ambil hati, Azita. Afqar tu memang macam tu.”

“Dia nak pergi mana, Pak Cik Ali?” Azita berjalan ke rak yang menempatkan tepung dan gula pasir.

“Ada orang perikanan nak jumpa. Ada pemborong berminat nak beli benih ikan.” Pak Cik Ali tersenyum memandang ke luar hingga kereta Afqar hilang dari pandangan.

“Benih ikan?” Azita terkebil-kebil. Tauke ikan ada jual benih ikan?

“Aah. Dah dekat tiga tahun Afqar buat pembenihan ikan tilapia. Kalau Azita perasan kat hujung kampung ada kolam ikan kan. Itulah kolam ikan Afqar.” Pak Cik Ali menoleh pada Azita.

“Ohhh…” Melopong mulut Azita mendengar cerita Pak Cik Ali.

“Kalau Azita ada masa pergilah ke sana. Dah banyak orang beli dengan Afqar. Kalau tak silap pak cik ada dua ke tiga pemborong tetap yang beli dengan dia setiap minggu.” Pak Cik Ali tersenyum.

Azita boleh nampak riak kebanggaan pada wajah Pak Cik Ali. Bangga ada anak macam Afqar. Dia? Apa yang papa dengan mama nak bangga dengan dia? Dia masih menganggur. Kerja pilih-pilih. Konon tak masuk jiwa. Ada segulung ijazah pun tak boleh pakai.

“Afqar nak pula dia buat kerja macam tu?” Azita meletakkan sekampit tepung, gula dan serbuk kunyit di atas kaunter.

“Dia cakap berbudi pada tanah lagi lumayan dari duduk rumah tanam anggur.” Pak Cik Ali memasukkan barang-barang yang dibeli Azita ke dalam plastik.

Ouchhh! Kenapa dia rasa macam Pak Cik Ali memerli dia walau orang tua ini tak bermaksud begitu.

“Baguslah.” Suara Azita sedikit bergetar. Terasa hati.

“Pak cik bukan perli kamu tapi Afqar tu ada ijazah biologi marin pun susah nak dapat kerja. Alhamdulillah pak cik ada tanah kosong. Itu yang dia kerjakan.” Pak Cik Ali serahkan bungkusan plastik pada Azita.

“Terima kasih, Pak Cik Ali.” Azita bayar semua harga barang dan berlalu keluar.

Sepanjang perjalanan dia membebel sorang-sorang. Agak-agak kalau dia berkerja sendiri macam Afqar, papa dengan mama bagi tak. Kenapalah susah sangat firma-firma arkitek nak ambil dia jadi pekerja mereka. Azita mengeluh.

Sampai sahaja di rumah Nenek Munah, Azita kelam kabut meletakkan barangan yang dibeli di atas meja makan. Dia kemudian berlari masuk ke dalam bilik. Lima minit selepas itu dia sudah bersalin baju.

“Nak pergi mana?” tanya Nenek Munah bila melihat Azita siap berpakaian sukan.

“Jogging.” Azita tersengih.

“Jogging apa dah dekat pukul sembilan? Tak takut gelap kulit tu?” Nenek Munah mengambil tepung yang dibeli Azita tadi.

“Cahaya matahari kan bagus untuk kulit. Vitamin D. Orang pergi dulu. Kalau ada apa-apa, nenek call handphone orang tau.” Azita terus berlalu keluar dari rumah.

Nenek Munah hanya menggeleng.

Azita mula berlari anak dari depan rumah Nenek Munah hingga ke hujung kampung. Dia berhenti seketika untuk mengambil nafas. Mengah pula rasanya. Inilah bahananya kalau dah terlalu lama tidak bersukan. Kalaulah Nenek Munah tahu kenapa tiba-tiba dia rajin sangat nak berjogging memang malu setahun dia.

Azita buat regangan otot di sebalik deretan pokok-pokok yang terdapat di tepi jalan. Dari kejauhan dia sudah nampak kolam ikan air tawar milik Afqar. Dia juga boleh nampak kereta Afqar ada di situ.

Azita mula berjalan perlahan-lahan menyusur tepi kolam ikan yang berpagar. Perlahan-lahan dia masuk ke perkarangan letaknya kolam ikan itu. Berhenti seketika. Dia bertinggung. Ralit matanya memerhati ikan yang berenang. Ikan apa memang dia tidak tahu. Ikan yang kecil pun dia tak kenal. Inikan lagi ikan bersaiz besar.

Di salah satu kolam, dia nampak ada dua orang pekerja sedang memberi makan kepada ikan-ikan di dalamnya.

“Mesti masyuk kan. Kalau tak takkanlah mamat tu boleh berkereta mewah. Aku juga masih patah kaki.” Azita membebel sendiri. Terbit rasa kagum dengan pencapaian Afqar. Itulah mulut dia ni. Suka-suka kutuk orang kampung. Sekali tengok dia orang lagi berjaya berbanding dia.

Azita mengeluh. iPhone 5s dikeluarkan. Ditala telefon bimbit itu ke arah kolam. Dirakam beberapa keping gambar. Dia mula rasa seronok.

Perlahan-lahan, Azita meniti tebing menghala ke arah dua orang pekerja. Berbual-bual dengan mereka. Dia dihulurkan bekas berisi makanan ikan. Mulanya dia menolak tapi bila dipujuk dia turut sama menabur makanan untuk ikan-ikan itu.

Afqar mengiringi tiga orang lelaki dari jabatan perikanan hingga ke kenderaan mereka. Dia berbual seketika sebelum ketiga-tiganya meminta diri untuk pulang.

Afqar tersenyum puas apabila urusan pembekalan anak benih ikan tilapia selesai. Alhamdulillah dia dapat mengikat perjanjian pembekalan untuk dua tahun.

Matanya merenung ke arah kolam-kolam ikannya. Mata Afqar mengecil bila ternampak susuk tubuh perempuan ada bersama-sama dengan dua orang pekerjanya.

“Siapa?” Berkerut dahi Afqar. Cuba memikirkan siapakah gerangan si gadis.

“Abang Afqar!” panggil seorang gadis yang berdiri di depan pintu bangunan yang menempatkan pejabat kecil Afqar.

“Ada apa?” Afqar menoleh sekilas. Suaranya sedikit bengang. Seolah-olah terganggu dengan panggilan gadis itu.

“Yana dah sediakan sarapan. Jomlah makan dulu.” Gadis yang membahasakan dirinya Yana tersenyum-senyum.

“Yana makanlah sendiri. Abang dah kenyang. Tolong letakkan benda ni kat atas meja abang. Rimas.” Afqar tanggalkan kot di badan. Tali leher turut dirungkaikan. Diberi kepada Yana yang sudah masam mencuka.

“Banyak-banyak makanan tu siapa nak habiskan?” Yana dah memuncung.

“Tinggalkan sikit. Kita ada tetamu.” Afqar tersenyum sebelum berlalu menuju ke kolam sambil lengan baju dilipat hingga ke paras siku.

“Tetamu?” Yana mengintai di sebalik tubuh tinggi lampai Afqar yang menghalang pandangannya.

“Perempuan? Siapa tu?” Yana mencebik bila nampak ada seorang gadis sedang bergelak ketawa dengan dua orang rakan sekerjanya di tebing pemisah antara dua buah kolam.

Azita semakin seronok bila Ahmad dan Hashim mengajar dia bagaimana hendak menangkap ikan. Ada pelbagai teknik. Kalau nak seekor dua guna jaring saja. Kalau untuk dijual guna pukat tarik.

“Gemuk-gemuk ikan ni.” Azita seronok melihat ikat yang ditangkap dalam jaring melompat-lompat. Dia bertinggung di sisi tebing.

“Kami kena jaga kualiti, Azita. Kalau tak pemborong merungut.” Hashim memberitahu.

Ahmad mengambil seekor ikan kerapu yang sudah ditangkap dan disuakan betul-betul di hadapan muka Azita.

“Ini ikan apa, Abang Ahmad?” Jari Azita cuba menyentuh ikan kerapu itu.

“Ikan kerapu.” Ahmad lepaskan bila Azita dengan berani-berani takut dah memegang sebahagian badan ikan kerapu itu.

“Ohhh…” Azita mengangguk.

“Hai, ikan buntal.” Afqar sergah dari belakang Azita.

“Papa!” Terlepas ikan kerapu dari tangan Azita dan melompat masuk semula ke dalam kolam. Hampir sahaja dia sendiri tergelincir masuk ke dalam kolam ikan itu. Kelam kabut dia memaut rumput di tebing.

Ahmad dan Hashim dah ketawa mengekek melihat aksi Azita.

“Eee…” Azita yang sudah berdiri bertindak memukul lengan Afqar berkali-kali. Geram. Tak habis-habis nak menyakat dia dengan panggilan tu. Dahlah memang dia terperanjat habis bila kena sergah macam tu.

Afqar hanya ketawa. Membiarkan sahaja Azita memukul lengannya.

“Bos, dah settle ke semua tadi tu?” Hashim bertanya setelah Azita berhenti memukul Afqar.

“Hesy…dah berapa kali saya cakap, Abang Hashim. Tak payahlah nak panggil bos.” Afqar menggeleng sambil tersenyum.

“Masyuk tak, bos?” Ahmad menyampuk.

“Alhamdulillah.” Afqar mengangguk sambil mengerling pada Azita yang sedang mengibas-ngibas punggung.

“Bolehlah kami dapat extra bulan ni,” seloroh Hashim.

“Boleh, Abang Hashim. Tak ada hal.” Afqar tersenyum. Keningnya terjongket bila Azita merenung dia tidak berkelip.

“Kami nak pergi kolam sebelah sana.” Hashim menggamit bahu Ahmad untuk mengikutnya.

Afqar angguk. dipandang susuk belakang dua orang pekerjanya sebelum menoleh semula kepada Azita yang masih merenung dia.

“Apa Cik Ikan Buntal buat dekat sini?” Afqar menari-narikan keningnya.

“Kenapa suka panggil orang ikan buntal?” Azita jegilkan mata.

“Unik.” Afqar tersengih sambil tangan kanan membuka butang baju paling atas. Matahari sudah mula naik tinggi memaksa dia berbuat demikian. Maklumlah dia memang kurang selesa mengenakan kemeja lengan panjang kalau bukan untuk urusan rasmi.

Terlopong Azita melihat apa yang Afqar buat. Matanya tertancap pada dada Afqar yang terdedah sedikit. Ada bulu dada. Matanya pantas dikalih bila perasan Afqar nampak apa yang mata dia lihat.

“Kenal tak ikan apa dalam kolam ni?” Afqar jongket kening.

“Kerapulah.” Azita menjawab dengan lagaknya. Itu pun sebab Ahmad yang beritahu.

“Kerapu kenal. Selar tak kenal.” Afqar tersenyum sinis.

“Orang kenallah ikan selar tu. Semalam tu saja aje nak menguji orang tu.” Azita membela diri tak mahu mengalah.

“Yelah tu. Mimpi apa datang sini?”

“Kena mimpi baru boleh datang, eh?” Azita jongket kening.

“Manalah tahu Cik Ikan Buntal mimpi kena serang dengan ikan selar kuning.” Afqar ketawa dengan kata-kata dia sendiri. Mencecet dia berlari mengelak bila Azita mula hendak memukul dia.

Azita tak cukup tanah memijak mengejar Afqar yang nyata berlari lebih laju dari dia.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

2 comments:

  1. kak syeenaaaaaaa….ku tlh jatuh cinta dgn afqar….mcm mn ni….hihihihihi

    ReplyDelete
    Replies
    1. ku tak tahu nak tolong macam mana jumay...miahahahahaha....

      Delete