Tuesday, September 2, 2014

MUZIK HATI BERLAGU - BAB 5


AZITA keluar dari bilik dan terus ke ruang tamu. Telekung masih melekap di badannya. Dia termenung.

“Apasal monyok pula ni?” Nenek Munah memandang Azita yang sudah siap bertelekung. Duduk di atas sofa dengan muka masam mencuka.

“Mama telefon petang tadi. Dia kirim salam dekat nenek.” Azita pandang Nenek Munah yang sibuk melipat kain di depannya. Kain telekung di tangan dipintal-pintal.

“Waalaikumussalam. Bila dia nak balik sini?”

“Tak balik kut. Mama suruh orang balik JB cepat-cepat.” Azita dah memuncung.

“Kenapa?” nenek Munah jongket kening.

“Kawan papa suruh kerja dengan dia.”

“Baguslah. Taklah kamu tanam anggur. Bukan ada hasil pun.” Nenek Munah ketawa-ketawa.

“Orang tak suka. Anak kawan papa tu bukan boleh pakai. Gatal yang amat.” Azita memberontak.

“Jom, Azita.” Atuk Aziz sudah siap berkopiah dengan berbaju melayu hijau dan berkain pelikat.

“Nenek tak ikut?” Azita sudah mengekori langkah Atuk Aziz di muka pintu depan.

“Pergilah dengan atuk. Nenek tak sihat.” Nenek Munah tersenyum.

“Assalammualaikum, nek.” Azita tutup pintu setelah memberi salam.

Azita dan Atuk Aziz hanya berjalan kaki menuju ke masjid yang terletak di jalan masuk ke kampung. Tidak berapa jauh dari rumah Atuk Aziz dan Nenek Munah.

“Assalammualaikum, Tok Aziz.”

Azita mendongak bila terdengar suara lelaki memberi salam dan berjalan beriringan di sebelah Atuk Aziz.

Afqar kenyit mata bila pandangannya bertaut dengan Azita.

Azita kalih pandang. Muka panas tiba-tiba. Teringat kejadian petang tadi. Macam manalah dia boleh selamba pegang tangan mamat sengal ni. Biawak tu kalau dia jumpa memang dia pijak hidup-hidup. Biawak tulah punca segala-galanya.

“Berdua aje? Nek Munah mana?” Afqar pandang Atuk Aziz.

“Nek Munah tak sihat.” Atuk Aziz tersenyum.

“Ohhh…” Afqar mengangguk.

Atuk Aziz berhenti bila ada seorang lelaki tua menegurnya.

Azita serba salah. Nak berhenti juga atau nak berjalan terus. Akhirnya dia meneruskan langkah.

Afqar turut sama berjalan beriringan di sebelah Azita.

“Rajin?” tegur Afqar.

Azita pandang muka Afqar. Riak sinis dipamer.

“Niat kena ikhlas. Bukan kerana terpaksa.” Afqar tersenyum-senyum.

Azita rasa macam nak hempuk-hempuk saja kepala Afqar yang berjalan sambil kedua-dua belah tangan di dalam kocek baju melayu. Bajet hensemlah tu. Mulut kalau tak sinis memang tak sah.

“Orang ikhlaslah.” Azita menjeling.

“Ikhlas tak perlu diucap.” Afqar kulum senyum.

“Suka hati oranglah.” Azita julingkan mata.

“Kita kan nak pergi masjid. Janganlah marah-marah. Macam manalah nanti kalau kita nak dirikan masjid.” Afqar ketawa.

Dahi Azita berkerut. Telinga dia belum pekak lagi. Tadi macam dengar mamat sengal ni cakap nak dirikan masjid. Apa maksud dia?

“Balik saing eh? Tunggu aku tau.” Afqar terus berlalu ke pintu masuk yang dikhaskan untuk Jemaah lelaki.

Azita perasan Atuk Aziz pun baru tiba bersama-sama dengan lelaki tua yang menyapa Atuk Aziz di pertengahan jalan tadi.

“Balik sendiri-sendirilah. Sibuk nak saing-saing orang pula.” Azita membebel sambil menanggalkan selipar dan terus menuju ke bahagian Jemaah perempuan.

“Cik Azita,” tegur seseorang sewaktu Azita sibuk mencapai sejadah di lipatan sejadah yang menimbun di sudut masjid.

Azita mendongak. Perempuan muka tak siap pula. Penatlah otak dia asyik nak mengutuk orang saja lepas-lepas ni. Ya Allah, Azita! Kau di rumah Allah ni. Husnuzon, Azita.

“Yana…” Azita berpura-pura mesra.

“Rajin solat dekat masjid.” Yana tersenyum sinis. Sehelai sejadah dicapai.

Perempuan muka tak siap dengan mamat sengal ni memang satu spesislah. Tak boleh tengok dia senang agaknya. Suka hati dialah nak solat dekat masjid ke tidak.

“Cari pahala lebih.” Sarkastik bunyi jawapan Azita.

Masing-masing diam bila azan maghrib berkumandang.

Azita menunggu Atuk Aziz di tepi tembok masjid selepas selesai solat isyak. Tadi memang dia tidak balik ke rumah sebab ada sedikit tazkirah yang disampaikan oleh imam masjid. Seronok pula dia mendengarnya. Banyak ilmu agama yang dia perolehi.

“Azita!”

Azita menoleh. Tersenyum. Cepat-cepat dia menyarung selipar jepun miliknya. Dia berdiri menunggu Atuk Aziz mendekati dia. Senyumannya mati saat terpandang wajah mamat sengal di belakang Atuk Aziz yang tersengih-sengih. Nasib perempuan muka tak siap dah balik.

“Azita balik dulu dengan Afqar. Atuk nak berbual-bual dengan kawan-kawan tu. Takut lama.” Atuk Aziz menepuk-nepuk belakang Afqar yang tersengih memandang Azita.

“Tak apalah. Orang balik sendiri.” Seboleh-bolehnya Azita tak mahu berada dekat lagi dengan Afqar. Tak nak nanti dia bereaksi yang bukan-bukan hingga boleh memalukan diri sendiri.

“Gelap kat depan tu. Karang jadi macam-macam, papa kamu salahkan atuk pula.” Atuk Aziz masih meletakkan tangannya di bahu Afqar.

“Atuk percaya pula dengan dia ni.” Azita dah mencebik.

“Insya-Allah Afqar tak berani buat apa-apa dekat kamu. Kalau dia sentuh kamu, atuk parang kan aje nanti.” Atuk Aziz ketawa-ketawa.

Afqar masih tersengih. Sempat kenyit mata pada Azita.

“Nanti orang kampung cakap apa pula. Orang tak naklah.” Azita masih mahu menolak cadangan Atuk Aziz.

“Bukannya kamu berdua-duaan pun. Tu ramai tengah jalan balik rumah.” Muncung Atuk Aziz menghala ke jalanraya.

“Orang balik sendirilah.” Azita terus berjalan tanpa menunggu Afqar. Malas nak bertikam lidah dengan Atuk Aziz. Nanti lagi panjang Atuk Aziz membebel.

Atuk Aziz memberi isyarat kepada Afqar untuk mengekori Azita.

Afqar berlari anak mengejar Azita yang sudah jauh ke depan.

Azita tahu Afqar ada di belakangnya. Mana mungkin Atuk Aziz nak lepaskan dia berjalan sorang-sorang. Langkahnya sengaja dilajukan.

“Ada cerita seram pasal pokok besar dekat depan tu.” Afqar berbisik di sebelah Azita.

“Merepek.” Azita menjeling.

“Betul. Ada orang nampak bayang-bayang putih dekat situ.” Semakin galak Afqar menyakat.

Langkah Azita terus terpaku. Langsung tidak bergerak. Matanya terkebil-kebil memandang pokok besar yang dikatakan Afqar.

“Eh! Kenapa berhenti?” Afqar kulum senyum. Pantang kena usik si ikan buntal ni. Senang sangat termakan kata.

“Errr…orang ingat nak tunggu atuklah.” Azita ketap bibir.

“Lahhh…aku kan ada.” Terlepas juga senyuman pada bibir Afqar.

“Perut ni macam memulas. Nak ke tandas sekejap.” Muka Azita berubah. Sebenarnya dia takut.

“Takut?” Afqar menebak.

Azita menggeleng laju.

Then?” Terjongket kening Afqar.

“Kan orang cakap orang sakit perut.” Azita membentak.

“Dah, jalan cepat. Aku ikut dari belakang.” Afqar mendepa tangannya menyuruh Azita teruskan berjalan.

Dengan ragu-ragu Azita berjalan juga. Matanya tak lepas dari memandang pokok besar yang semakin hampir dilintasinya. Tiba-tiba dia ternampak sesuatu. Ada sepasang mata seakan-akan memandang dia. Semakin lama mata itu semakin membesar.

Tak tunggu lama Azita berpusing ke belakang. Kalut dia berlari dan bersembunyi di belakang Afqar. Sebelah tangan memegang tangan Afqar. Manakala sebelah tangan lagi menunjuk-nunjuk ke arah pokok besar. Mulutnya terkunci habis.

“Apa?” Afqar angkat kening.

Tangan Azita masih menunjuk ke pokok besar.

Afqar bergerak. Dia terpaksa mengheret Azita sekali yang langsung tidak melepaskan pegangan tangannya.

Azita mengikut sahaja langkah Afqar. Mulutnya terkumat-kamit.

Tiba-tiba ada benda melompat dari pokok besar itu.

Afqar menjerit tetapi suara Azita mengatasi jeritan Afqar.

Tanpa sedar Azita memeluk badan Afqar dari belakang. Pelukannya kejap. Mata pula terpejam rapat.

Afqar terkedu. Dadanya berombak kencang. Degupan jantung lari dari ritma. Dia tidak tahu nak bereaksi bagaimana tapi kalau dibiarkan begini boleh mengundang fitnah.

“Errr…Azita. Kucing aje tu.” Afqar bersuara.

“Huh?” Azita buka mata. Telinganya menangkap bunyi kucing mengiau. Seketika kemudian baru dia perasan apa yang berlaku.

Cepat-cepat Azita lepaskan pelukannya. Segera dia berdiri jauh-jauh dari Afqar. Kenapalah dengan kau ni Azita? Memalukan betul.

Afqar berdeham.

“Mana kucingnya?” Azita cuba membuang rasa canggung di antara mereka.

“Itu.” Afqar tuding jari pada kucing yang berjalan di atas rumput.

“Kau pun takutkan sebenarnya?” Azita pandang muka Afqar. Muka tak puashati. Tak pasal-pasal dia dah memalukan dirinya sendiri sekali lagi. Dua kali dalam sehari. Haiwan-haiwan dekat kampung ni berpakat ke dengan mamat sengal ni?

“Aku tak takut cuma terperanjat. Kau tu yang takut. Menjerit macam apa.” Afqar tersenyum-senyum.

“Orang jerit sebab kau jerit.” Azita pertahankan tindakannya.

“Kau pergi marah kucing tu. Siapa suruh kucing tu lompat dekat aku.” Afqar memandang kepada kucing yang berlingkar di atas rumput.

“Sengal. Orang nak balik.” Azita terus buka langkah.

“Hutang kau bertambah lagi satu.” Afqar mengikut langkah Azita dari belakang.

“Tadi tu tak sengajalah.” Azita menjeling.

“Okey. Yang petang tadi tu kira sengajalah eh.” Afqar menari-narikan keningnya.

            “Eee…” Azita tak layan. langkahnya semakin lebar dan laju. Telinganya dapat menangkap suara Afqar yang sedang mentertawakannya. Bersabarlah Azita.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

6 comments:

  1. hahaha antu kucing rupanya.. nsb baik azita takde lemah jtung klo tak dh msuk icu.. abis lah azita utang mkin btambh2

    ReplyDelete
    Replies
    1. hikhikhik.....esok2 apa agaknya lagi kannnn...

      Delete
  2. hahahahahaha….mula2 biawak, lps tu kucing plak….hihihihi
    tp nampak mcm afqar ada bg hint kt azita……adakah selama ini afqar mmg suka kan azita??? hihihihi

    ReplyDelete