Thursday, September 4, 2014

MUZIK HATI BERLAGU - BAB 7


AZITA terus campak kunci di atas meja makan. Gelas dicapai. Sebotol air mineral diambil. Diambil dan dibawa ke meja. Kerusi ditarik. Dia termenung.

“Mana ikannya?” Nenek Munah yang baru masuk dari pintu belakang memandang Azita. Dia bergerak ke sinki. Serai yang diambil dari laman belakang diletakkan di dalam sinki.

“Ikan? Errr…” Azita tak tahu nak cakap apa. Botol air mineral dibuka dan dituang airnya ke dalam gelas.

Nenek Munah berlalu ke peti sejuk. Tangannya sibuk mengalihkan barang-barang yang ada di dalam peti sejuk.

“Tak ada pun. Azita letak dekat mana ikan kerapunya?” Besar mata Nenek Munah memandang Azita.

Azita garu kepala. Agak-agak kalau dia cakap dia tak pergi ke kolam ikan tu, Nenek Munah marah pada dia tak?

“Kamu tertinggal dekat bakul motor ke?” Nenek Munah berjalan menghampiri Azita.

“Tak. Orang…Orang…” Aduh! Macam mana nak cakap dengan nenek ni. Azita garu kepala lagi.

Nenek Munah terus ke depan.

Azita dapat dengar. Pintu depan dibuka sebelum ditutup semula.

“Kamu beli ke tak ikannya?” Suara Nenek Munah sudah mula meninggi.

“Beli…errr…tak.” Azita mengangguk kemudian menggeleng semula.

“Kenapa dengan kamu ni, Azita? Takkanlah mama dengan papa kamu nak balik ke sini kamu dah jadi tak betul.” Nenek Munah menggeleng.

“Assalammualaikum.” Suara orang memberi salam di depan rumah Nenek Munah.

“Waalaikumussalam.” Nenek Munah menyahut. Dia hanya menggeleng melihat Azita. Kakinya segera dihayun ke depan.

Azita ketap bibir. Tahu dia bersalah. Dia turut sama mengikut jejak Nenek Munah.

Pintu dibuka. Azita nampak Afqar menjinjit sesuatu pada tangan kanannya.

“Azita tertinggal tadi. Entah apa yang dia ingat agaknya.” Afqar serahkan beg plastik berisi ikan kerapu kepada Nenek Munah.

“Muda-muda lagi dah pelupa. Kamu nak jadi apalah, Azita.” Nenek Munah menggeleng. Diambilnya beg plastik itu.

Azita ketap bibir. Malu. Kena marah depan Afqar satu hal. Peristiwa dekat kolam ikan tadi satu hal lagi. Berganda-ganda malu dia.

“Eh! Nenek nak tiga ekor aje. Kamu beli empat ke, Azita?” Nenek Munah pandang Azita setelah dia membelek ikan-ikan kerapu dalam plastik.

“Errr…” Azita terkedu.

“Seekor tu saya memang niat nak bagi, Nek Munah. Alhamdulillah, bulan ni ada rezeki lebih sikit.” Afqar tersenyum.

“Terima kasihlah, Afqar. Kamu duduk dulu. Nenek buatkan air sekejap.”

“Eh! Tak payah susah-susah, Nek Munah. Saya nak kena pergi ke kolam ikan tu semula.” Afqar menegah.

“Tak ada susahnya. Tunggu sekejap. Duduk dulu dekat situ.” Nenek Munah menunjukkan pangkin yang ada di laman rumahnya sebelum berlalu ke dalam rumah.

Afqar dan Azita memerhati Nenek Munah sehingga kelibat Nenek Munah hilang.

Masing-masing membisu. Tiada suara yang keluar.

Afqar berdeham.

Azita mendongak.

Afqar mainkan keningnya.

Azita ketap bibir. Mamat sengal ni nak apa. Aku buat apa dekat sini? Patutnya tinggalkan saja dia sorang-sorang dekat sini.

“Ikan kerapu tu seekor aje yang free.” Afqar buka mulut sebelum sempat Azita buka langkah masuk ke dalam rumah.

“Berapa semuanya?” Azita menjeling.

Sebenarnya nak tutup rasa malu. Nak marah lebih-lebih rasa tak adil pula sebab mamat sengal ni dah tolong dia banyak. Kalau tak masak dia nak menjawab dengan Nenek Munah.

“Tiga ekor tu kira enam puluh tapi lagi tiga ekor tu kau masih berhutang.” Afqar senyum-senyum.

“Eee…tiga ekor apa? Orang hutang apa?” Berkerut dahi Azita. Serius mana dia ada beli ikan berhutang dengan mamat sengal ni.

“Biawak, kucing, ular. What say you?” Afqar kenyit mata.

“I..itu semua bukan salah orang.” Azita ketap bibir.

Itulah Azita. Kau suka sangat kalut tak tentu pasal. Percuma aje mamat sengal ni dapat sentuhan kau. Errr…aku sentuh dia? Alahhh…macam mana ni?

“Habis tu aku nak kena tuntut dengan biawak, kucing, ularlah?” Afqar tarik wajah serius.

“Alahhh…orang tak sengaja. Orang nak minta maaf.” Azita menunduk menekur lantai.

“Maaf diterima tapi…” Afqar sengaja tidak menghabiskan kata-katanya. Dia ingin gadis ini memandang wajahnya.

Azita mendongak. Dapat dilihat senyuman segaris di bibir Afqar.

“Apa?” Azita besarkan mata.

“Mata tu sebiji macam mata ikan buntal.” Afqar ketawa-ketawa.

Tak tunggu lama, lengan Afqar dipukul-pukulnya. Azita berhenti bila terdengar suara Nenek Munah berdeham.

“Apa saja ni Azita, Afqar?” Nenek Munah menggeleng. Dia menyarung selipar dan menuju ke pangkin. Dulang yang ditatang di tangan diletakkan di atas pangkin.

“Baki pulangkan.” Azita hulurkan dua keping not lima puluh kepada Afqar sebaik Nenek Munah menjauhi mereka.

Afqar hanya ambil sekeping sahaja not lima puluh yang dihulurkan.

“Kata enam puluh?” Azita pandang muka Afqar.

“Belanja.” Afqar senyum-senyum.

“Belanja-belanja lepas tu ungkit. Suka buat orang rasa bersalah.” Azita mencebik.

“Salah tu tetap salah eh. Bukan mahram kut.” Afqar ketawa kecil.

“Orang tak sengajalah. Benda-benda tu pun masa tulah nak sibuk-sibuk dekat orang.” Azita menjeling.

“Benda-benda tu semua suka dekat ikan buntal.” Afqar terus berlalu ke pangkin bila Nenek Munah melambai kepadanya.

“Ya Allah, kenapalah aku kenal dengan mamat sengal ni.” Azita urut dada.



AZITA tayang muka menyampah. Kalau dia tahu mama dan papa dia nak bawa si Rizal ni datang bersama, memang taklah dia nak sambut kepulangan kedua orang tua dia. Rasa macam nak sekeh-sekeh saja muka toya si Rizal tu. Tak tahu malu betul.

“Azita, pergi tunjuk bilik tetamu kat Rizal.” Atuk Aziz memandang Azita yang hanya berdiri di alang pintu.

Rizal tersengih membawa bersama beg pakaiannya masuk ke dalam rumah.

Azita dah julingkan mata. Kelam kabut tadi dia menyarung tudung di kepala. Ingatkan mama dan papa balik berdua sahaja. Rupa-rupanya dibawa sekali mamat tangan sotong ini.

“Rindu dekat you.” Rizal tersenyum sebaik berdiri di depan Azita. Ringan sahaja tangannya nak menyentuh pipi Azita tapi ditahankan bila mengingatkan kembali pukulan karate yang dia pernah terima sebulan yang lalu.

Banyaklah kau punya rindu. Ingat aku tak tahu skandal kau dengan Rita sepupu aku tu. Siap sudah tidur bersama lagi. Azita mencebik.

“Itu bilik kau.” Azita bukakan pintu bilik yang terletak berdekatan dengan ruang dapur.

Rizal masuk ke dalam bilik. Beg bajunya dicampak ke atas lantai. Dia berpusing. Memerhati sekitar bilik.

Not bad. Tak sangka rumah kampung pun selesa.”

Melihatkan Rizal, Azita teringat reaksi dia sewaktu mula-mula menjejakkan kaki di rumah Nenek Munah. Sama sahaja tapi itu dua minggu yang lepas. Sekarang dia sudah mula menyukai suasana kampong malah sudah mula jatuh cinta dengan suasana kampung. Jauh dari hingar-bingar kesibukan kota.

“Nak mandi bilik air dekat belakang.” Azita baru hendak menutup semula pintu bilik tetapi ditahan Rizal yang sudah berdiri beberapa inci dari dia.

That’s it? You tak rindu dekat I ke, sayang?” Rizal tersenyum gatal. Wajahnya didekatkan dengan muka Azita.

Azita tanpa rasa bersalah terus meludah tepat pada muka Rizal.

“You!” Suara Rizal tinggi satu oktaf. Dia menjauhi Azita. Dikesat air ludah yang melekat di pipinya dengan lengan bajunya.

“Depan papa dan mama aku bolehlah kau nak berlagak seperti malaikat tapi kau kena ingat. Satu hari nanti Allah akan balas juga.” Azita terus berlalu meninggalkan Rizal.

“Tak guna punya perempuan. Jaga kau.” Rizal menutup pintu bilik dengan kuat.

“Azita! Nak pergi mana?” Nenek Munah menegur Azita yang laju berjalan menuju ke biliknya.

“Bersiap nak ke masjid.” Azita berhenti di depan pintu bilik. Sebelah tangan sudah memegang tombol pintu.

“Hari ni solat Jemaah dekat rumah ajelah.” Atuk Aziz memujuk.

“Yelah, sayang. Mama dengan papa kan baru sampai. Boleh kita berjemaah bersama-sama.” Midah tersenyum memandang Azita.

“Tengoklah.” Azita terus masuk.

Azim hanya menggeleng melihat gelagat Azita.

Lima belas minit sebelum masuk waktu maghrib Azita sudah bersiap sedia bertelekung ingin ke masjid.

“Azita…”

Azita yang ingin menyarungkan selipar menoleh. Mamat tangan sotong ni memang bajet alimlah. Apahal pula berkain pelikat dengan baju melayu dan bersongkok ni? Bukan ke mamat tangan sotong ni dah lama tak bersolat?

“Ikut?” Rizal tersengih.

“Eloklah Rizal ikut sekali.” Azim yang duduk berbual dengan Atuk Aziz mengiyakan.

Azita tak cakap banyak. Dia terus keluar.

Rizal pantas mengekori Azita.

Azita menjarakkan langkahnya dari berjalan terlalu dekat dengan Rizal. Di pertengahan jalan dia nampak Afqar yang baru keluar dari simpang.

“Afqar!” laung Azita.

Afqar menoleh. Tersenyum. Menunggu Azita menghampirinya. Pada masa yang sama dahinya berkerut melihat seorang pemuda yang turut sama berjalan di sebelah Azita.

“Tok Aziz tak ke masjid?” Afqar pandang Azita yang sentiasa nampak manis pada matanya walau telekung yang dipakai memjadikan rupa Azita sedikit bulat.

“Tak.” Azita meneruskan langkah.

“Siapa ni?” Afqar menundukkan sedikit kepalanya dan berbisik dekat dengan Azita.

“Entah.” Azita menjawab selamba.

“Rizal, pakwe Azita. Betul tak you?” Rizal yang seolah-olah faham dengan pandangan mata Afqar menghulurkan tangan. Tersenyum-senyum memandang Azita.

Afqar sambut huluran tangan Rizal. Pada masa yang sama keningnya terjongket memandang muka tak puashati Azita.

“Kau boleh tak jangan nak perasan? Bila masa aku lantik diri aku jadi makwe kau?” Terjegil mata Azita memandang Rizal.

“Aku lantik sendiri.” Rizal tanpa silu menjawab dengan yakin.

Afqar hanya memerhati. Pandangan mata dia boleh membaca sesuatu. Jelas dan nyata Azita tidak menyukai pemuda yang entah datang dari mana ni.

“Jomlah, Afqar. Orang malas nak layan dia ni. Buat sakit kepala aje.” Azita terus tarik tangan Afqar.

“Eh! Eh! Aku ada wuduk ni.” Afqar yang terpinga-pinga mengikut juga langkah Azita yang laju berjalan meninggalkan Rizal di belakang mereka.

“Air kolah dekat masjid tu banyak. Bukan tak boleh ambil wuduk balik.” Selamba Azita bercakap seolah-olah tiada apa-apa yang terjadi.

“Tak kisahlah. Apa yang penting hutang kau dah jadi empat.” Afqar ketawa-ketawa.

Menyedari sindiran Afqar, Azita terus melepaskan pegangan tangannya. Aduhai, Azita. Kenapalah kau jadi macam ni kalau dekat dengan Afqar? Afqar yang sengal ke atau kau yang gatal? Dia menggeleng.

Afqar masih lagi ketawa-ketawa.


Rizal di belakang hanya mampu mengetap bibir melihat kemesraan di antara Azita dan Afqar.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

No comments:

Post a Comment