Friday, September 5, 2014

MUZIK HATI BERLAGU - BAB 9


        AFQAR hulurkan bekas biru di tangannya kepada Azita sebaik Azita sampai di sisinya. Matanya tak lepas memandang Azita yang tampak seperti berada di dunianya sendiri. Azita dilihatnya begitu leka melihat ikan-ikan kerapu yang berebut-rebut saat ditaburkan makanan ikan ke dalam kolam.

"Sedap sangat ke makanan ikan ni?" Soalan pelik Azita membuatkan Afqar merenungnya tajam. Dia tersengih. Tahu pertanyaan dia itu agak kurang cerdik.

"Nak rasa?" Afqar besarkan mata.

"Kau dulu rasa. Baru orang rasa." Azita jongketkan hidungnya. Tersengih-sengih.

Afqar sengaja suakan bekas biru di tangan ke muka Azita.

Menjerit-jerit Azita mengelak.

Semakin kuat Azita menjerit semakin galak Afqar mengusik.

Tanpa di duga, Azita hampir tergelincir. Spontan dia menarik baju Afqar. Sudahnya dua-dua dah ada dalam kolam ikan. Habis satu badan basah.

"Eee..." Azita berusaha untuk memanjat tebing semula.

Afqar percikkan air ke muka Azita.

"Janganlah. Orang dah basah ni." Azita memuncung. Dicubanya juga untuk naik ke atas.

"Alang-alang dah basah. Biar basah terus." Afqar campak seekor ikan kerapu ke badan Azita.

"Apa ni? Main kasar nampak." Azita terus capai seekor ikan kerapu. Dicampaknya ke arah Afqar.

Galak kedua-duanya baling membaling.

"Bos? Habislah ikan-ikan tu." Hashim terkebil-kebil merenung Afqar dan Azita.

Terdiam terus kedua-duanya.

Afqar garu belakang tengkuknya.

Azita dah malu-malu. Macam mana nak naik ke atas ni? Takkanlah nak minta Hashim tarik tangan dia. Bibirnya digigit.

"Boleh naik ke tak ni?" Afqar perlahan-lahan mendekati Azita.

Nak jawab apa? Tebing ni macam tinggi. Rasanya berkali-kali cuba pun dia tak dapat naik sendiri ni. Sangat memerlukan bantuan.

“Tunggu.” Afqar lonjakkan badannya ke atas tebing.

Hashim hanya memerhati.

Afqar berjalan ke tiang. Di ambilnya dua batang kayu. Dia berjalan semula ke tepi kolam.

“Abang Hashim pegang ni.” Afqar hulurkan sebatang kayu itu kepada Hashim.

“Kau nak buat apa dengan kayu tu?” tanya Azita yang mula menggigil kesejukan.

“Pegang kuat-kuat. Kami tarik kau naik ke atas.” Afqar memberi isyarat kepada Hashim agar menghulurkan kayu tadi kepada Azita.

Mereka berdua membantu Azita naik ke atas tebing. Tiga kali cuba akhirnya Azita Berjaya dinaikkan.

“Terima kasih.” Azita peluk tubuh. Menggigil.

Ingatkan air kolam ikan tak sejuk. Jemari dia pun dah mula kecut. Masa main baling-baling ikan tak ingat pula. Agak-agak pening tak ikan-ikan kerapu tadi? Aduhai, Azita! Ini kalau papa dan mama tahu, masak dia.

“Nah.” Afqar letakkan baju sejuknya yang tergantung pada tiang ke badan Azita.

Azita pandang wajah Afqar. Mata mereka bertaut. Lama sebelum dia kalihkan pandangan matanya. Kenapa dia nampak sisi lain pada Afqar? Atau hanya perasaan dia yang terperasan?

“Habis anak dara orang sampai basah-basah ni, bos.” Hashim mengusik.

“Dia yang tarik saya tadi, Abang Hashim. Bukan salah saya. Dah lima dah hutang dia.” Afqar ketawa-ketawa.

Azita memuncung. Tak suka bila Afqar ungkit-ungkit kisah salah laku dia. Ini pun macam dah berinci tebalnya muka dia.

“Banyak tu, bos. Masuk meminang ajelah, bos. Hutang langsai.” Hashim ketawa.

“Dah ajak dia kahwin tadi tapi dia tak nak. Saya bau ikan dia kata, Abang Hashim.” Afqar tersenyum memandang Azita.

Geram pula Azita mendengar usikan Hashim dan Afqar. Bercakap macam dia tak ada di depan lelaki berdua ini.

“Bau ikan Afqar sama macam bau duit tau, Azita.” Hashim angkat-angkat keningnya.

“Orang muda lagilah, Abang Hashim. Lagipun orang bukannya pandang duit. Keikhlasan tu lagi penting.” Azita tak senang diusik sebegitu.

“Itu Abang Hashim tak nafikan, Azita. Bukan niat Abang Hashim nak bodek tapi Afqar ni bagus orangnya. Tak rugi kalau Azita jadikan dia suami. Betul tak, bos?” Hashim angkat-angkat lagi keningnya.

Afqar hanya tertawa dan menggeleng.

“Memang bunyi macam tak bodek, Abang Hashim. Cumanya hati orang ni sipi-sipi pun tak tertarik dengan bos Abang Hashim ni.” Azita kalih pandang bila matanya sekali lagi bertembung dengan mata Afqar.

Afqar senyum sinis. Hatinya berdetik. Kalau nak tahu seseorang itu bercakap jujur, orang itu akan pandang mata kita bila bercakap tapi Azita tidak. Azita larikan anak matanya semasa berkata-kata tadi. Azita suka pada dia juga ke sama seperti dia yang mula menyenangi gadis manis ini.

“Bos, jangan tenung lama-lama. Pergi ajelah rumah Tok Aziz. Berterus-terang. Senang.” Hashim yang perasan kelakuan Afqar mengusik lagi.

“Dia cantik sangat, Abang Hashim. Ikan buntal saya ni tak sama dengan ikan kerapu dalam kolam.” Afqar tersengih.

Hashim ketawa mengekek-ngekek.

Azita dah tak tahu nak bereaksi macam mana. Terkedu, terkelu. Semuanya ada. Otaknya cuba mencerna apa yang Afqar ungkapkan tadi. Ikan buntal saya? Bunyi macam dia ni milik Afqar. Afqar suka pada dia ke?

“Errr…orang nak balik. Takut papa dan mama bising.” Azita pandang wajah Afqar. Sebelah tangannya diletakkan pada dahi. Menghalang silauan matahari.

Hashim kuis siku Afqar.

“Aku hantar. Eh! Hari ni bawa motor aje. Tak apa ke naik motor?” Afqar tepuk dahi.

Baru teringat keretanya dihantar ke bengkel. Semalam entah di mana silapnya ada sebuah motor melanggar belakang keretanya hingga kemik sedikit bonet belakang.

“Tak apa. Orang boleh balik sendiri.” Kalau teringin nak merasa papa kejar dengan parang, cubalah naik motor dengan lelaki bukan mahram. Walau dia tak suka dengan sikap mengawal papanya, Azita tetap akur pada setiap dari apa yang keluar dari mulut papanya.

“Kita jalan sama-sama.” Afqar mengikut langkah Azita yang sudah berjalan beberapa tapak di hadapannya.

Azita tidak menolak. Afqar hantar atau tidak dia tetap kena balik ke rumah Nenek Munah. Bajunya yang basah lencun sudah mula mengering. Dia perasan baju dan seluar Afqar turut sama sudah mula kering.

Belum sempat mereka berdua melepasi kolam ikan, ada seekor burung gagak terbang rendah dan mematuk kepala Azita.

“Papa!” Azita yang terperanjat hanya mampu menunduk dengan kedua-dua tangannya menutup seluruh wajah.

Kali ini Azita kawal diri agar tidak menyentuh Afqar lagi. Cukup-cukuplah dia memalukan dirinya atas insiden-insiden sebelum ini. Tak nak ‘hutang’ dia pada Afqar bertambah lagi. Yang sebelum-sebelum ini pun dia tidak tahu nak jelaskan macam mana.

Afqar kelam kabut menepis burung gagak yang cuba hendak hinggap sekali lagi di kepala Azita. Pelik pula dia. Kenapa burung gagak ini berminat dengan Azita?

Afqar mendekati Azita dengan lebih rapat lagi. Diteleknya kepala Azita yang masih menunduk itu. Ada sesuatu yang bercahaya. Diambilnya. Dia ketawa.

“Apa kau buat?” Azita terasa seperti tangan Afqar menyentuh kepala dia.

“Ni.” Afqar tunjukkan sesuatu.

“Apa tu?” Azita kecilkan matanya.

“Ada isi ikan melekat kat tudung kau sebab tulah gagak tu minat.” Afqar menggeleng.

Bila masa pula isi ikan tu boleh ada dekat kepala dia? Berkerut dahi Azita memikirkannya.

“Abang Hashim, tengok sikit dekat dalam kolam tu! Ada tak ikan yang luka. Asingkan.” Afqar menjerit pada Hashim. Berpaling semula kepada Azita bila Hashim menunjukkan isyarat okey.

“Mesti masa kita terjatuh tadi ada ikan yang tersangkut dekat kepala kau.” Afqar tersenyum.

“Semua ni salah kau. Siapa suruh kacau orang?” Azita meraba lagi kepalanya. Terasa perit sedikit tempat dipatuk burung gagak tadi.

“Kali ni memang salah aku. Sorry.” Afqar picit pelipisnya.

“Hmmm…” Azita menggumam. Dia menyeringai.

“Kenapa?” Risau pula Afqar melihat riak muka Azita.

“Tak tahu. Perit kat sini.” Azita tundukkan sedikit kepalanya. Menunjukkan tempat dia dipatuk burung gagak tadi.

“Ada darah. Agaknya terluka sebab kena patuk tak? Jom masuk pejabat aku dulu. Suruh Yana cucikan. Lepas tu letak ubat luka sekali.” Afqar tarik hujung baju Azita.

“Nanti orang buat sendirilah dekat rumah nenek.” Azita membantah. Kakinya dikeraskan supaya tidak bergerak.

No. Benda ni jadi sebab aku. Cepat!” Afqar tarik juga Azita supaya mengikut kata-katanya.

“Kalau perempuan muka tak siap tu tanya, orang nak cakap apa?” Azita malu sebenarnya. Mesti perempuan muka tak siap tu akan mentertawakan dia. Mesti perempuan tu akan cakap dia mengada-ngada.

“Berterus-terang aje. Siaplah dia kalau berani dia nak apa-apakan kau.” Afqar menoleh sekilas dan tersenyum.

“Kau panggil dia apa tadi?” Afqar menoleh Azita semula.

“Perempuan muka tak siap.” Azita ketap bibir.

Afqar hanya menggeleng. Macam-macam.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

6 comments:

  1. Adoiii...bila nk kawin kn diorg ni

    ReplyDelete
  2. best..... kahwinkan aje diaorang ni sweet sangat.

    ReplyDelete
  3. azita msh main tarik tali dgn afqar….msh x yakin dgn kata2 yg afqar luah kan…..tp, bl memikirkan ttg papa n mama azita, rs nya mcm ssh je utk afqar dan azita disatukn…..unless klau rizal si langau jantan tu dimusnahkn dgn aerosol….hahahahaha

    ReplyDelete