Wednesday, August 17, 2016

ADA AKU KISAH - BAB 2


SIGNAL kiri dihidupkan. Perlahan-lahan Azizah memandu Myvi hitamnya ke bahu jalan. Kalau ikutkan sisi nakalnya mahu saja berhenti betul-betul di depan gerai menjual pisang goreng tu. Turunkan cermin tingkap kereta dan berteriak apa mahunya.
Maklum dia dan tuan punya gerai tu rapatnya macam dah cium mulut. Tapi kalau dia buat macam tu kasihan pula dengan pelanggan yang lain. Boleh tahan juga ramai yang berhenti membeli. Pisang goreng Mak Cik Timah memang laku keras. Kalau lambat memang dapat keraknya sajalah.
Sebelum melangkah keluar, dia menjenguk ke luar tingkap. Memerhati keadaan jalan yang basah. Risau pula kalau dia tersalah parkir di kawasan lecak. Mahu tenggelam sneakers barunya ni. Sudahlah berebut dan bergaduh semasa nak membeli.
Clear.”
Dia tersengih. Lantas membuka pintu kereta. Dia keluar. Teringatkan sesuatu tubuhnya membongkok. Sebal. Boleh pula dia terlupa mengambil beg duit sekali. Baru sahaja ingin berdiri tegak, telinganya disapa ngauman enjin kereta. Akibat terkejut, kepalanya terhantuk pada bumbung kereta.
“Aduh!” Dia menjerit kuat.
Cepat-cepat dikeluarkan separuh tubuhnya dari kereta. Mahu berpaling. Mahu menyumpah si pemandu biadap. Tiada etika memandu. Namun lain pula yang terjadi. Habis satu badannya basah. Disimbahi air takungan di atas jalan raya yang baru sahaja dilalui sebuah kereta Nissan GTR hitam.
“Arghhh!” Jeritnya kuat sambil mengepal jari jemari.
Sungguh, dia rasa nak bunuh orang sahaja sekarang ni. Malang tak berbau betul. Menyesal tak berhenti sahaja di depan gerai Mak Cik Timah tadi. Menyesal tak ikut kata hati. Sekarang ni keinginan yang menggebu mahu menikmati pisang goreng panas lenyap begitu sahaja. Takkanlah percuma sahaja dia nak ke sana. Tayang diri menjadi tontonan. Memang taklah.
Mana pemandu biadap tadi? Matanya meliar. Dia nak bahasakan orang tu cukup-cukup. Maaf Puan Hasnah. Hari ini anakmu tak boleh nak berkata manis-manis.
Apa yang Azizah tak tahu pemandu kereta Nissan GTR tadi sedang terbahak-bahak mentertawakannya.
“Bodoh! Ingat lawa sangat agaknya tertonggeng macam tu kat tempat awam.” Si pemandu tergeleng-geleng.
Enjin kereta dimatikan. Kunci kereta dicabut. Dia melangkah keluar dari keretanya. Langkahnya diatur berhati-hati. Jalannya persis seorang model di pentas peragaan. Tahu banyak mata yang memandang. Dia sudah biasa.
“Assalammualaikum, mak.” Dia menyapa perempuan tua yang sedang leka melayan pelanggan.
“Waalai... Bertuah punya anak!” Lengan si pemandu dipukul sebaik sahaja perempuan tua itu menoleh.
“Mak! Mak! Settlekan dulu order orang tu.” Si pemandu menahan asakan emaknya. Matanya memberi isyarat kepada pelanggan yang sedang memerhatikan mereka berdua.
“Apa Zarr dah buat anak bertuah oiii!” Mulut Mak Cik Timah mula mencecer sambil tangan pantas membungkus. Si anak dijeling tajam.
“Buat apa?” Abu Zarr bertanya semula. Selamba mengambil sepotong pisang goreng dan disumbat ke dalam mulutnya.
“Kesian budak Azizah tu.” Mak Cik Timah perasan kejadian tadi. Cuma tak sangka itu kereta anaknya. Maklum dia rabun. Mana nak perasan itu kereta Abu Zarr.
“Azizah mana pula mak ni? Jangan nak mengarutlah. Zarr mana ada kawan nama Azizah.” Berkerut dahi Abu Zarr mendengarnya. Namun mulutnya masih lagi disumbat. Kali ini dengan jemput-jemput pisang pula.
“Pergi hantar ni kat budak perempuan sana tu.” Mak Cik Timah menghulurkan satu plastik penuh dengan pisang goreng. Mulutnya dimuncungkan pada Azizah yang leka memerah baju di bahu jalan sana.
“Eh, biar dia datang sini sendirilah, mak!” Abu Zarr membantah. Tak hirau dengan suruhan emaknya. Malah ditarik satu bangku plastik ke arahnya.
“Jangan nak mengada. Pergi hantar sana. Minta maaf sekali.” Mak Cik Timah menarik lengan Abu Zarr. Menghalang si anak dari terus duduk. Dah buat salah tapi tak nak mengaku. Dah besar macam ni pun perangai masih kebudak-budakan.
Abu Zarr berdecit. Merampas plastik di tangan emaknya. Dia berjalan malas ke tempat perempuan yang dimaksudkan emaknya. Ikut hati jahat memang tak kuasa dia nak pergi. Tapi syurgakan di bawah tapak kaki ibu.
Perbuatan Azizah terhenti bila ada satu tangan menyuakan seplastik penuh pisang goreng kesukaannya. Dia terkebil-kebil.
“Nak ke tak nak?”
Azizah terkesima. Suara tu. Macam biasa dengar. Maklum suara itu rajin berkicau dekat cuping telinganya. Sudah seminggu. Takkanlah. Tak mungkin orang tu. Dia menggeleng.
“Betul?”
Azizah pantas panggung kepala.
“Kau?”
Kedua-duanya menggumam serentak.
“Cik Jijah, ID perasan bagus...” Meleret sinis suara Abu Zarr.
Ya Allah, kenapalah kau buat dunia ni kecil sangat. Hati Azizah berbisik. Apalah malang nasib dia terpaksa berhadapan lagi dengan lelaki cerewet tahap gaban ni. Bukan, bukan. Cerewet lelaki ini tak ada tahapnya. Tadi sahaja dia baru bertikam lidah dengan lelaki ini. Semua lakaran interior dia ditolak mentah-mentah. Ada sahaja yang tak kena pada mata lelaki ini. Serupa tak payah mengupah ID.
“Encik Abu...” Azizah turut membalas sinis. Dia tahu lelaki ini mana suka dengan panggilan begitu. Ada dia kisah. Mulut dia. Sukahati dialah nak menyebut apa.
“Ambik ni. Pergi balik. Bersihkan badan kau tu. Aku tak hadaplah nak tengok warna hitam kat dalam tu.” Abu Zarr tersenyum senget.
Spontan Azizah menutup dadanya. Cis, cis dan ciskek. Kenapa dia boleh terlupa perkara yang satu ini. Tertamgkap basah oleh mata Abu Zarr pula tu.
Abu Zarr letakkan bungkusan plastik itu di atas bumbung kereta Azizah dan berlalu pergi.
Azizah ketap bibir. Jari jemarinya kembali dikepalkan. Sebal. Dia dapat mendengar tawa mengejek Abu Zarr walau lelaki itu sudah jauh meninggalkan dia.
Namun seketika sahaja aksinya. Cepat-cepat membalikkan badan ke arah keretanya bila dirinya menarik perhatian pengguna jalan raya yang lain. Malunya. Dia hantukkan dahinya pada bumbung kereta.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

No comments:

Post a Comment