Wednesday, August 17, 2016

ADA AKU KISAH - BAB 3


AZIZAH keluar dari bilik tidurnya selepas selesai mandi dan bersolat asar. Dia berjalan menuju ke ruang dapur. Berhenti seketika di laluan tengah. Membongkokkan tubuhnya. Membetulkan lilitan tuala yang membungkus kepala. Habit yang biasa dia lakukan jika membasuh rambutnya yang separas dada itu.
Biar pun kepala terasa sedikit berat dek tuala itu tapi dia tak kisah. Orang kata perempuan ni sanggup menderita sebab nak cantik. Dia salah seorang yang tergolong dalam kelompok itulah. Cuma tak adalah ekstrim. Masih berpada-pada.
Bungkusan plastik berisi pisang goreng tadi diambil. Sebiji pinggan dicapai. Dibawanya ke ruang tamu. Televisyen dihidupkan sebelum dia melabuhkan punggung di atas sofa. Alat kawalan ASTRO diambil. Dia mencari rancangan kegemarannya. Siaran apa lagi HGTVlah. Melihat idea-idea segar bangsa asing. Manalah tahu boleh diterapkan di sini.
“Assalammualaikum!”
Azizah menoleh ke pintu utama yang dikuak dari luar. Nampak sahaja muka si pemberi salam terus dia menghenyakkan punggungnya di sofa. Sempat dia menjeling jam di dinding. Lambat pula temannya ini balik. Selalu jam 5:00 dah ada di rumah. Ini dekat 5:30 baru nampak batang hidung.
“Waalaikumussalam,” jawabnya sambil tangan pantas memindahkan pisang goreng tadi ke dalam pinggan.
Sepotong pisang goreng diambil. Sila ditarik. Belakang badan disandarkan pada sofa. Perlahan-lahan dia mengunyah. Si teman yang turut mengambil tempat di sebelahnya langsung tak dihirau.
“Tangan kau tu bersih ke kotor?” tegur Azizah bila tangan si teman baru nak menyentuh pisang goreng.
“Macam mak-maklah kau ni.” Temannya merungut. Malas-malas bangun juga si teman ke ruang dapur. Punggung berat nak diangkat tapi pisang goreng tu nampak menyelerakan. Sukar untuk dilepaskan.
“Kalau aku tak macam mak-mak, kau jangan panggil aku Jijah tau!” Azizah ketawa-ketawa.
Dia dah terbiasa menegur. Maklum sebagai anak sulung Puan Hasnah dan Encik Azizi, dia sudah dididik begitu. Menjadi seorang yang tegas dan contoh kepada adik-adik. Sebab itulah mulut dia ringan aje bercakap jika tak kena di mata.
“Yalah, Cik Jijah…” Meleret suara si teman menyahut.
“Alang-alang kau dah kat dapur tu. Tolong ambilkan air cokelat aku kat dalam fridge, Dina!” jerit Azizah kuat.
“Pandailah kau!” Dina pun tak nak mengalah. Sepelaung suaranya membalas di ruang dapur sana.
Kalaulah ada ibu-ibu yang sedang mencari calon menantu, rasa-rasanya nama kedua-dua mereka tiada dalam senarai. Selamba sahaja menjerit sana-sini. Walhal hanya mereka berdua sahaja yang mendiami rumah teres satu tingkat itu. Boleh sangat nak bercakap dalam nada biasa-biasa. Tapi kalau dah namanya Azizah dan Ardina, manalah reti nak berbual perlahan-lahan.
“Nah.” Dina meletakkan segelas air cokelat yang dipinta Azizah tadi di atas meja kopi. Dia langsung mencapai sepotong pisang goreng dan duduk bersandar sama di sebelah Azizah.
Thanks.”
Heaven. Nasib kau beli. Hilang kempunan aku. Aku singgah juga kat gerai Mak Cik Timah tadi. Nampak kerak aje. Punah impian.”
“Tu dah baca bismillah ke belum?”
“Dahlah. Dalam hati.”
“Aku ingatkan aje.” Azizah tersengih bila Dina menjelingnya.
Guess what?” Dina menepuk paha Azizah. Dia turut menarik sila dan duduk menghadap Azizah.
“Apa? Kau dapat bonus ke?” Azizah jongket kening.
“Bonus apanya tengah-tengah tahun? Eh tapi apa yang terjadi tadi kira bonus jugalah.” Dina tersenyum-senyum.
Sepotong pisang goreng dicapai lagi. Tubuhnya yang mengiring disandarkan kembali ke sofa. Teringat kembali kejadian tadi.
Azizah buat muka. Tanda malas nak mendengar ocehan Dina. Mesti temannya ini nak bercerita pasal lelaki. Baik dia tengok tv. Ada juga faedahnya. Dia turut mengambil lagi sepotong pisang goreng.
“Aku tak sangkalah Mak Cik Timah ada anak lelaki hensem macam tu. Muka macam ala-ala model antarabangsa tau. Peramah pula tu. Tak kisah pun nak berbual dengan aku.”
Betul tak kata hatinya? Hujung bibir kanan Azizah ternaik. Kalau tak beri respon nanti Dina merajuk. Temannya ni kaki sentap juga. Mahu atau tak kenalah layan walau isu yang diperbualkan tak masuk kepalanya.
“Kau tak jumpa ke anak Mak Cik Timah tu tadi?” Dina memandang muka tak ada perasaan Azizah.
Azizah jongket bahu. Malas nak bercerita apa yang terjadi tadi. Mana dia sempat nak pergi gerai Mak Cik Timah. Takkan nak tayang body dekat situ. Memang orang akan mengata dia gila. Gelas air cokelatnya diambil.
“Rugilah kalau kau tak jumpa. Serius anak Mak Cik Timah tu memang hensem. Kalau tak silap tadi Mak Cik Timah panggil anak dia Zarr.”
Serentak itu tersembur air cokelat yang belum sempat ditelan Azizah.
“Allah!” Dia terjerit.
“Jijah!” Satu oktaf suara Dina bergema.
Kalut Azizah berlari ke ruang dapur dalam keadaan dia terbatuk-batuk. Nak cuci mulut. Air cokelat kut. Dalam pada itu sempat otak dia bekerja. Celah mana pula Abu Zarr tu boleh jadi anak Mak Cik Timah? Sekejap. Adakah Zarr yang dikatakan Dina tu sama dengan Abu Zarr si cerewet yang dia kenal?
“Selekehlah kau ni.” Cemberut muka Dina bila Azizah muncul semula di ruang tamu.
“Bukan kena kau pun.” Azizah mencebik.
Tangannya pantas mengelap sisa air cokelat di atas sofa dan di atas lantai. Nasib sikit aje.
“Memanglah tapi tetap selekeh.” Dina membantah.
“Dah kau sebut nama Zarr siapa suruh. Aku memang alergik dengan nama tu.” Azizah mempertahankan tindakannya tadi.
“Macamlah kau kenal Zarr tu. Bukan tadi kau kata tak terserempak ke dengan anak Mak Cik Timah? Celah mana pula tiba-tiba kau boleh alergik dengan nama tu?” Dina memandang Azizah pelik.
Wait a second.” Azizah tunjuk tapak tangannya kepada Dina.
Dia berlari anak ke ruang dapur. Mencampak kain lap tadi ke dalam sinki. Kemudian dia berlari ke dalam bilik tidurnya pula. Mengambil telefon bimbitnya sebelum kembali melabuh punggung di sebelah Dina.
“Ini Zarr yang aku kenal.”
Azizah menunjukkan gambar Abu Zarr yang diambilnya curi-curi semasa sesi lawatan ke rumah baru lelaki itu. Itu pun bapak kecik gambarnya. Yalah kalau dah Abu Zarr dekat sudut kiri dia dekat hujung sana. Mana nak dapat tangkap gambar yang jelas.
Dina melihat ke skrin telefon bimbit Azizah. Dia merampas telefon bimbit Azizah. Dibawa betul-betul di depan matanya. Gambar Abu Zarr dibesarkan. Mulutnya terlopong. Dia memandang Azizah.
Azizah jongket kedua-dua belah keningnya.
Dina mengangguk.
Client baru syarikat. Abu Zarr. Untuk lebih spesifik, kawan baik Eric.”
“Untunglah kau.”
Mata Dina kembali pada skrin telefon bimbit Azizah. Kembali menatap penuh minat gambar Abu Zarr. Dia cuba mencari gambar lain lelaki itu tapi hampa. Semuanya gambar ruang kosong dalam sebuah rumah.
“Untung apanya? Azab tahu tak. Cerewet dia tahap petala. Eh, silap! Tak ada tahap. Infiniti. Sudahlah tu. Sombong pula tu,” bidas Azizah.
Boleh kena sakit jantung berurusan dengan lelaki bernama Abu Zarr. Tak sangka lelaki yang boleh dikategorikan metroseksual tu dia punya cerewet, ya ampun. Allah sahajalah yang Maha Mengetahui. Berlagak pun boleh tahan juga.
“Okey aje dia berbual dengan aku tadi.” Dina menidakkan kata-kata Azizah. Berbeza betul perwatakan lelaki itu dengan apa yang diperkatakan Azizah.
“Kau tak berkerja dengan dia. Bolehlah kut kau nak cakap macam tu.” Azizah mencebik.
“Tapi dia hensem.” Dina masih mempertahankan Abu Zarr.
“Model. Kenalah kut dengan muka tu.” Acuh tak acuh Azizah memberitahu.
“Serius?”
Azizah buat muka. Apalah yang menarik pada Si Abu Zarr tu sampai temannya ini teruja sangat. Sama macam Lina dan Shahrul. Lelaki itu biasa-biasa aje pun. Bersepah kut muka model macam tu.
Dina tersenyum-senyum. Rasa macam mimpi pula dapat berbual dengan model. Tiba-tiba telefon bimbit Azizah berbunyi.
“Encik Abu?” Berkerut dahinya.
Azizah berdecit. Abu Zarr telefon? Nak apa pula lelaki tu? Nak suruh bayar pisang goreng tadi ke?
“Siapa suruh kau sebut-sebut nama dia? Tak pasal aku kena jawab?” Dia mengambil telefon bimbitnya. Masih berkira-kira nak jawab atau tak.
“Siapa Encik Abu? Aku ada cakap pasal Encik Abu ke?”
Azizah jentik dahi Dina.
“Zarr kau tulah. Kan aku dah beritahu nama dia Abu Zarr.”
“Serius?” Jatuh rahang Dina.
Klasiknya nama model tu. Eh, sama dengan Azizahlah. Nama Azizah pun klasik. Dia tersengih.
“Macam berjodoh dengan kau.”
“Minta simpang.” Azizah buat muka.
Ditekan juga ikon telefon berwarna hijau. Karang tak dilayan, Si Abu Zarr ni mengadu pula dengan Eric. Tak pasal esok pagi kena menghadap angin Eric pula.
“Hello! Nak apa? Nak suruh saya bayar ke pisang goreng tadi?” Garang suara Azizah menjawab.
Dina yang memerhati dah terbuntang matanya. Kasar gila. Abu Zarr tu kut. Model hensem. Kalau dia mesti jawab dengan lemah lembut. Perempuan melayu terakhirlah katakan.
“Wuhuuu… Assalammualaikum, Cik Jijah.”
“Waalaikumussalam.” Mendatar suara Azizah membalas. Dijelingnya Dina yang mentertawakan dia.
“Esok kau nak pergi kedai perabut, kan?”
Yup. Why?”
Text aku alamat kedai tu.”
Serious?”
“Seriuslah. Aku takut kau salah pilih. Manalah tahukan. Kau pandai-pandai ubah ikut citarasa kau.”
“Saya tak segila itulah, Encik Abu. Encik Abu dah bayar pada kami takkanlah kami nak pandai-pandai ikut citarasa sendiri.”
Pre-caution.”
Azizah julingkan matanya ke atas. Ya Allah, berilah dia kesabaran yang tinggi.
“Boleh tak jangan susahkan kerja saya?”
“Mana ada menyusahkan kau. Lagi mudah rasanya dengan aku ada sekali dekat sana.”
Azizah mengeluh. Rasa-rasanya esok pagi nak MClah. Nak pass job ni pada Lina atau pun Shahrul. Penat kut nak melayan pelanggan cerewet macam Abu Zarr ni.
“Nanti saya textkan.”
ASAP. Assalammualaikum.” Talian diputuskan Abu Zarr.
“Waalai…” Azizah terkebil-kebil memandang telefon bimbitnya yang sudah gelap. Dia menyambung salam Abu Zarr dalam hati.
“Aku ikut esok?” Dina kerdip-kerdipkan mata cantiknya.
“Kau jangan nak tambah serabut kepala aku, boleh tak?” Azizah menjeling.
“Kedekut.” Dina mencebik.
“Bukan kedekut. Aku alu-alukan kalau kau nak ikut. Lagi senang. Kau aje yang melayan Si Abu tu tapi masalahnya. Kau tu pun kerja juga esok, kan? Kau nak Encik Afif kau mengamuk?”
“Bila masa dia jadi Encik Afif aku? Dahlah. Aku nak mandi. Nak solat. Melayan kau semua tak jadi.” Dina bingkas bangun.
“Astaghfirullahaladzim! Dah dekat pukul 6:00 Cik Ardina, oiii!” Azizah menggeleng.
Dina menjelirkan lidahnya. Sengaja berlenggang masuk ke dalam bilik tidurnya.
Azizah mencampak telefon bimbitnya ke sisi. Pelipisnya dipicit. Serabut. Entah apalah yang bakal berlaku keesokan hari ni.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

No comments:

Post a Comment