Thursday, August 18, 2016

ADA AKU KISAH - BAB 5


TELEFON BIMBIT dilemparkan ke sisinya. Kool fever yang dilekatkan di dahi ditanggalkan dan dicampak ke atas meja kopi. Azizah tersengih sendiri. Tak pasal hari ini buat dosa percuma. Lantaklah. Janji dapat mengelak dari mamat kekwat tu.
Ya ampun, Jijah! Kau dah tak ingat dosa pahala ke? Azizah tersengih. Nanti solat Zuhur dia minta ampun dengan Allah.
“Bagus sangatlah tu menambah dosa.” Dina yang baru keluar dari bilik tidur menegur. Beg tangannya diletakkan di sebelah Azizah. Dia bergerak ke rak kasut. Mengambil setokin hitam.
“Alah, sekali sekala. Lagi pun dah lama aku tak cuti sakit. Eric pun suruh berehat.” Azizah menjawab selamba. Bagaikan apa yang dibuatnya itu tidak salah sama sekali.
“Dosa tetap dosa. Niat tak menghalalkan cara. Zaman sekarang ni Allah bayar tunai tau. Kalau kau tak percaya cakap aku, kau tunggulah nanti.” Dina mula bertazkirah sambil memakai setokin. Kepalanya tergeleng dengan sikap Azizah. Mengenang sisi nakal si teman yang telah muncul kembali.
“Tahu.” Muncung Azizah sedepa. Dia bingkas berdiri.
“Sentaplah tu. Jijah, bukan kau aje tau yang boleh jadi mak-mak. Aku pun boleh.” Makin laju gelengan Dina melihat reaksi Azizah. Azizah macam itulah perangainya. Kalau ditegur mudah terasa tapi kalau dia yang kena tegur oleh Azizah terpaksalah memendam rasa.
“Tak mainlah sentap-sentap. Baik pi soru. Makan lontong Pak Man lagi bagus. Kenyang perut senang hati.” Azizah capai kunci keretanya dan berlalu ke pintu utama.
“Eh, aku ikut sekalilah. Masih ada masa lagi ni. Nanti tak payahlah aku keluar semula nak cari sarapan.” Kalut Dina bangkit. Beg tangan dicapai. Kunci keretanya dikeluarkan terlebih dahulu sebelum langkah Azizah dituruti.
“Encik Afif kau cuti ke hari ini?” Azizah jongket kening sewaktu Dina mahu melintasi dia yang sedang menghidupkan enjin kereta. Keningnya ditarikan pada Dina yang sudah membuntang mata kepadanya.
“Kau ni memang nak kena cili eh mulut tu? Dia tu tak ada kena mengena dengan akulah.” Dina menyambung langkah. Hentakan kakinya sedikit keras. Tanda menidakkan kata-kata Azizah.
“Yalah tu, Cik Ardina. Sekali Allah balikkan hati kau. Baru kau tahu langit tu tinggi rendah. Zaman la ni, semuanya tak mustahil tau!” Azizah membalas. Suaranya sedikit nyaring memandangkan Dina sudah sampai di keretanya yang berada di belakang MyVi dia. Dia terkekeh bila nampak Dina menjelir lidah kepadanya.
Setelah seminit berlalu, kedua-dua kereta itu bergerak keluar dari perkarangan rumah. Menuju ke gerai yang dimaksudkan. Tak jauh dari situ.
Abu Zarr terpaksa memandu dalam kelajuan sederhana memandangkan jalan raya masih lagi dipenuhi dengan kenderaan yang berpusu-pusu menuju ke destinasi masing-masing. Lagi pula dia bukan mahu ke mana-mana pun. Cuma mahu menemui Azizah.
Bila difikirkan dengan akal sihat, perlu ke dia menemui gadis itu? Bukan dia dan gadis itu punya hubungan pun. Ikatan istimewa pun tak ada. Entahlah. Mungkin perasaan bersalah dalam hati ini yang kuat mengatakan gadis itu demam angkara dia.
“Logik ke kena air takungan boleh demam? Entah-entah minah tu menipu? Manalah tahu nak mengelak dari aku.” Abu Zarr jongket bahu. Dia kembali fokus pada pemanduannya.
Signal diberi sebaik sahaja masuk ke lorong rumah Azizah seperti yang tertera pada nota kecil di tangannya. Rupa-rupanya selang dua lorong sahaja dari rumah emaknya. Kalaulah dia tahu begini dekat dia dengan Azizah, memang tak perlu dia ke pejabat Eric. Terus sahaja ke sini.
Kereta diberhentikan di hadapan rumah bernombor 52. Abu Zarr memerhati ke halaman rumah. Ragu-ragu mahu keluar dari kereta bila dilihat keadaan rumah itu seperti tidak berpenghuni.
“Alamat dah betul. Apasal rumah ni macam berkunci? MyVi minah tu pun tak ada. Betul ke dia demam?”
Dia terjenguk-jenguk dari dalam keretanya. Mencari kalau-kalau Azizah ada di sekitar rumah. Malas nak menyesakkan otak memikirkan gerangan Azizah, dia mengambil telefon bimbit.
Nombor Azizah didail. Tiada jawapan.
Dia mencuba lagi. Masih tidak berjawab. Balik-balik suara merdu operator telefon sahaja yang kedengaran.
“Minah ni memang sengaja menguji aku! Kau belum kenal siapa Abu Zarr, perempuan!”
Telefon bimbit langsung dicampak ke tempat duduk penumpang di sebelah. Panas hatinya. Sudahlah perut belum berisi. Kena pula dipermainkan Azizah. Tak pernah ada seorang perempuan yang berani menolak panggilannya. Nampaknya Azizah perlu diajar.
Abu Zarr mengundurkan kereta. Niat hati nak balik ke rumah. Teringat nasi lemak emaknya tadi tapi nanti mesti emaknya menyoal macam-macam. Beria-ia emaknya menyuruh makan tapi mentah-mentah dia menolak. Konon nak bersarapan dengan Cik ID perasan bagus tu. Cancel.
“Dekat mana pula nak cari sarapan yang sedap-sedap dekat sini?” Dia merungut sendiri.
Itulah dulu-dulu masa zaman sekolah rajin sangat berkawan. Mendapatlah bila tak ada kawan waktu sesak macam ni. Kalau tidak roger aje siapa-siapa. Zoom terus ke tempat yang diberitahu.
Dalam kalut memikirkan tempat makan, dia baru sahaja melepasi satu gerai berdekatan dengan pokok besar. Betul-betul berhadapan jalan besar masuk ke taman perumahannya.
“Eh?” Dia tertoleh-toleh. Seperti ternampak seseorang. Perempuan.
Matanya mengecil melihat cermin sisi. Cuba mengamati betul-betul adakah matanya tak tersalah lihat. Hatinya tak tersilap tebak.
Confirm! Kau tipu aku hidup-hidup, ya. Siaplah kau.”
Tanpa lengah Abu Zarr memandu keretanya menuju ke gerai tersebut. Dia meletakkan Nissan Skyline GTRnya jauh sedikit dari gerai. Enjin dimatikan dan dia keluar dari kereta. Berjalan tenang menuju ke gerai tersebut.
Sebaik sahaja sampai, dia melangkah berhati-hati ke belakang dua orang perempuan yang sedang enak menjamu selera. Tubuhnya dibongkokkan sedikit. Dia merapatkan mukanya dekat dengan salah seorang dari perempuan tadi.
“Baguslah klinik ni. Bukan dapat MC je. Dapat makan lontong lagi.” Dia berbisik.
Azizah yang terkejut disapa dengan bisikan Abu Zarr tersedak. Terbatuk-batuk dia menahan perit di rengkungnya. Kalut dia mencapai gelas. Matanya mengikuti pergerakan Abu Zarr.
“Oh, mak kau!” Serentak itu Dina juga melatah. Turut sama terkejut dengan kehadiran Abu Zarr. Cuma nasib dia lebih baik. Tak tersedak.
“Apa awak ni?” Azizah merengus sebaik sahaja berjaya memulihkan perit di rengkungnya.
Dia merenung tajam Abu Zarr yang selamba sahaja menarik bangku kosong di hadapannya. Bengang melihat riak tak bersalah lelaki itu. Seolah-olah tiada apa-apa yang telah berlaku.
“Hai, Zarr.” Dina angkat tangan pada Abu Zarr. Menutup rasa malu termelatah tadi.
Abu Zarr menoleh. Sebenarnya dia terlupa jika dia pernah berjumpa dengan kawan Azizah. Untuk tidak memalukan kawan Azizah, dia hanya mengangguk dan tersenyum. Matanya kembali memaku pandang pada Azizah.
“Kau tanya aku kenapa? Aku, client yang super kekwat dan cerewet ni sanggup berlapar semata-mata nak pergi kedai perabut dengan adalah seorang ID yang perasan bagus tu. Tapi boleh pula dia berhikayat dengan bos dia cakap dia demam. Rupa-rupanya dia tengah berseronok melayan tekak makan lontong dekat sini. Celah mana entah demamnya.” Panjang lebar dia membebel. Menyindir Azizah pada masa yang sama.
“Kan aku dah cakap kat kau, Jijah. Allah bayar tunai aje tau sekarang ni.” Dina menyiku Azizah. Bercakap sebelum Azizah bersuara.
Shut up, Dina!” Azizah menjeling.
“Betullah cakap kawan kau tu. Sebagai denda kau kena belanja aku pagi ini.”
Belum sempat Azizah membantah Abu Zarr mengangkat tangannya. Dia memesan makanan yang sama dengan Azizah dan memilih kopi o untuk diminum.
“Cukup lontong je? Eh orderlah apa-apa lagi. Saya memang berbesar hati dapat belanja Encik Abu yang super cerewet ni.” Azizah sengaja memprovokasi Abu Zarr. Memancing kemarahan lelaki itu.
Whatever, Cik Jijah. Yang penting perut aku berisi.” Abu Zarr buat muka tak hairan. Dia malas nak melayan kerenah Azizah.
Telefon bimbit dikeluarkan. Dia mencari nama seseorang.
Azizah mencebik. Bengang. Rasa macam dia dah kalah pula bila Abu Zarr tak melawan.
Dina yang memerhati gelagat Azizah dan Abu Zarr tersenyum-senyum. Kenapa dia rasa macam ada sesuatu di antara kedua-dua mahluk Tuhan ini? Agak-agak kalau dia cakap dengan Azizah, Azizah marah dia tak?
“Yang kau tersenyum-senyum ni, kenapa? Makan cepatlah. Karang Encik Afif kesayangan kau telefon. Menggelabah tak ingat.”
Abu Zarr panggung wajah sekilas bila terdengar Azizah menempelak temannya. Senyuman senget tersungging di bibirnya.
“Tahulah.” Dina memuncung. Tak pasal-pasal jatuh saham kena marah dengan Azizah. Yang mencari pasal Si Abu Zarr tapi tempiasnya terkena pada dia.
“Aku ingatkan aje. Kau tu bekerja hari ni. Lainlah aku ni. Dapat MC.” Sengaja Azizah tekankan perkataan MC. Mahu Abu Zarr mendengarnya.
Biar pun dia menipu pasal demam tu tapi dia betul-betul perlukan waktu untuk berehat. Tenaganya perlu dipulihkan. Sejak Eric meminta dia menguruskan hiasan dalaman rumah baru Abu Zarr, dia dah gunakan seluruh tenaga dalam tubuhnya. Segala organ dalaman dia dipaksa bekerja keras. Mulut dengan otak sama berjalan. Letih.
“Errr… Aku blah dulu. Takut sangkut kat traffic. Pergi dulu, Zarr. Nice meeting you. Assalammualaikum.” Dina cepat-cepat pergi. Sempat tinggalkannya not 10 ringgit kepada Azizah sebelum berlalu dari situ.
Abu Zarr mengangguk. Menjawab dalam hati. Memerhati Dina seketika sehingga gadis itu meloloskan diri ke dalam kereta. Dia kembali memandang Azizah sambil jarinya menekan sesuatu pada telefon bimbitnya.
“Nah.” Dia menyuakan telefon bimbit kepada Azizah.
“Nak buat apa?” Berkerut dahi Azizah.
“Jijah?”
Allah! Suara Eric tu. Azizah dah menggelabah. Nak mengelak dah tak boleh. Terang-terang Eric dah nampak muka dia. Mahu atau tidak dia ambil juga telefon bimbit Abu Zarr.
Abu Zarr tersengih. Kebetulan lontong dan air kopinya juga sudah sampai. Dia membiarkan sahaja Azizah melayan panggilan video yang dibuatnya kepada Eric itu.
“Errr… hai, Eric!” Azizah melambai.
“You dekat mana? Apasal telefon Zarr boleh ada dengan you?” soal Eric bertalu-talu.
Azizah tak tahu nak menjawab apa. Ini dah kira kantoi depan-depan. Dia balikkan skrin telefon kepada Abu Zarr bersama dehaman. Meminta lelaki itu menjawab sendiri.
Datinglah, bro.” Abu Zarr kenyit mata.
No, no!” Kalut Azizah membalikkan semula telefon bimbit. Sempat dia memberi jelingan tajam pada Abu Zarr yang tersenyum senget walau lelaki itu sedang menunduk menyuap lontong.
“Jijah?”
“I tengah sarapan ni. Dekat luar. Kawan you tu menyibuk. I rasa macam tak cukuplah satu hari MC, Eric. I perlu satu hari lagi. Serabut otak I ni.” Azizah buat muka letih. Cuba meraih simpati Eric.
“Dia sihat aje, bro. Kau dengan aku kena prank. Hebat staf kau ni.” Abu Zarr menyampuk.
Eee…Azizah rasa macam nak sumbat mulut Abu Zarr dengan nasi impit tu banyak-banyak. Menyibuk tak habis. Dia menjeling.
Abu Zarr menari-narikan keningnya. Tanda apa yang dia ungkapkan tadi betul. Lagi pun dia suka melihat riak tegang pada wajah Azizah. Nampak manis aje.
“Betul ke you tak demam, Jijah?”
“Errr…”
“If so, please proceed your job. Selesai projek ni, I luluskan cuti you. Cutilah berapa hari pun. I don’t mind.”
“Tak boleh extend?” rayu Azizah.
Eric menggeleng.
Okay then.” Lemah Azizah membalas. Bagilah berjuta alasan. Memang Eric tak akan layan. Dia kenal Eric macam mana. Soal kerja memang Eric sangat bertegas.
Got to go, dear. By the way, I’m hundred percent sure he likes you.” Eric kenyit mata.
Bye, Eric.” Cepat-cepat Azizah matikan panggilan video itu. Tak mahu hadam kata-kata Eric.
Sebenarnya dia berharap sangat Abu Zarr tak dengar apa yang Eric katakan. Eric kalau disuruh cakap merapu, memang dialah juara. Kalah Si Shahrul.
“Nah.” Azizah tolak telefon bimbit Abu Zarr yang diletakkannya di atas meja kepada lelaki itu.
“Jadilah kita ke kedai perabut tu?” Abu Zarr bertanya.
Lambat-lambat Azizah mengangguk sambil menyambung menghirup kuah lodeh. Lagi mahu tanya. Macamlah lelaki ini tak dengar apa yang Eric katakan tadi.
Good. Lagi cepat selesai lagi bagus. Minggu depan aku dah mula sibuk. Ada fashion show.”
“Semuanya boleh selesai cepat kalau awak tak cerewet.” Mata Azizah pandang ke atas. Bukan main lagi Si Abu Zarr ni bercakap. Mana nak selesai cepat kalau lelaki ini terlalu cerewet.
“Cerewet bersebab.”
Whatever.” Sekali lagi Azizah buat muka menyampah.
Abu Zarr ketawa kecil. Kelakar pula gadis di depan dia ni. Tak sampai setengah jam duduk semeja dengan gadis ini, pelbagai riak muka yang dipamerkannya.
“Aku boleh je tak nak cerewet.”
Azizah mencebik. Yalah sangat, Abu Zarr.
Gelas berisi air limau panas yang dipesannya tadi diambil. Dibawa dekat dengan bibirnya. Sambil menyisip minumannya matanya ditebarkan ke atas jalanraya. Tak berani nak pandang depan. Dia tahu Abu Zarr sedang memandang dia. Memanglah dia tak ada rasa apa-apa tapi dia akui lelaki ini punya aura tersendiri. Aura yang mampu menarik hati mana-mana gadis tak terkecuali dia. Sebab itu dia memilih untuk tidak memandang secara terus.
Tawa Abu Zarr meletus lagi. Girl, you don’t know what you have done.
“Nak tahu tak macam mana?” gesanya.
“Hmmm…” Mulut Azizah dah herot ke kiri dan ke kanan. Acuh tak acuh saja melayan.
Treat me nicely and I’ll do the same.” Abu Zarr kenyit mata.
What?” Hampir sahaja tersembur air yang ada di dalam mulut Azizah. Abu Zarr ni cakap apa? Nak suruh dia melayan nafsu lelaki inikah? Gila!
Sepertinya dapat membaca apa yang ada di dalam fikiran Azizah. Cepat-cepat Abu Zarr menempelak.
“Hei! Otak tu jangan kuninglah.”
“Mana ada.” Cepat-cepat Azizah menafikan tuduhan Abu Zarr walau sebenarnya apa yang diungkapkan lelaki itu benar.
Treat me nicely tu macam sekarang nilah. Kau belanja aku makan. Setiap kali pergi makan kau bayar. Amacam?”
Azizah terdiam. Dalam kepala galak mencongak duit yang ada dalam beg duit. Setuju ajelah. Nanti pandai-pandailah dia claim dengan Eric. Lagi pun Abu Zarr kan kawan Eric. Mesti lelaki ini bayar besar pada Eric.
“Okey.”
Abu Zarr tersenyum.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

No comments:

Post a Comment