Tuesday, August 30, 2016

ADA AKU KISAH - BAB 6


SEPANJANG perjalanan senyuman tak lekang di bibir Abu Zarr. Berbeza dengan orang di sebelahnya. Muka tu macam makan asam boi. Mencuka sangat-sangat. Bukannya suruh buat apa pun. Hanya dipaksa naik kereta dengan dia.
Not bad.” Dia menggumam sebaik sahaja keretanya diparkir di hadapan bangunan kedai perabut 3 tingkat. Memang tak salahlah dia memilih syarikat Eric untuk menata rias rumah yang baru dibelinya. Rumah sebandung 1 tingkat.
Azizah diam. Tak menyampuk. Elok sahaja enjin kereta dimatikan, cepat-cepat dia menanggalkan tali pinggang keledar dan keluar. Entah kenapa dia merasakan suhu badannya meningkat. Mana pernah terfikir nak naik satu kereta dengan Abu Zarr.
Bermati-matian tadi dia bertekak nak memandu sendiri. Sakit dia bukan sampai tak boleh nak memandu. Cuma apabila Abu Zarr dah gunakan nama Eric. Apalah yang dia boleh buat. Apalah lagi yang dia nak pertahankan. Setuju aje dengan cadangan gila Abu Zarr walau terpaksa. Paksa rela namanya.
Abu Zarr hanya menjongket kening. Menggeleng melihat susuk Azizah yang terus masuk ke dalam bangunan kedai. Meninggalkan dia terkulat-kulat seorang diri. Pandai-pandailah kau bawa diri, Zarr.
Lelaki cina yang berdiri dengan muka pelik memandang dia Azizah hanya mampu hadiahkan senyuman. Senyuman yang lebar. Selebar-lebarnya sebab nak tutup rasa bersalah. Bukan main awal pagi tadi dia telefon cakap tak jadi nak datang. Mestilah anak cina ni pelik tengok dia muncul tiba-tiba dekat sini.
“I ingat you tak jadi datang. Lucky you I belum nak keluar tau.”
“Banyak sorrylah, Jeff. Lupa nak call you semula. Tak sangka my client nak cepat juga.”  
Sungguh, Azizah memang terlupa nak maklumkan semula kedatangannya ke sini kepada Jeff. Semuanya gara-gara mr. super duper cerewet tu. Nasib baiklah anak cina ni tak keluar lagi. Kalaulah tidak entah apalah nasibnya. Mesti teruk kena bahan dengan Abu Zarr. Sebut-sebut nama orang tu, dia terasa seperti Abu Zarr sudah berdiri rapat di sebelahnya. Lantas menoleh ke sisi. Sengajalah tu. Memang panjang umur betul.
“Ehem…” Abu Zarr berdeham.
Jeff memandang Abu Zarr kemudian melihat Azizah semula. Dia memberi isyarat pada Azizah bertanyakan siapa.
“Ini Encik Abu. Client yang I cakapkan tadi.”
Azizah memperkenalkan Abu Zarr pada Jeff. Sengaja dia tak menyebut nama penuh Abu Zarr. Rasa nak tergelak tengok muka Jeff yang terkejut bila dia beritahu nama Abu Zarr. Mesti Jeff pelik. Maklum nama tu macam tak sepadan dengan tuannya. Hensem bangat. Eh, apa yang dia merepek ni. Jangan memuji, Jijah.
“Abu Zarr. Just call me Zarr.” Abu Zarr menghulurkan tangan kepada Jeff. Sempat dia menjeling Azizah.
“Jeff Lee. So, kita nak pergi tengok sekarang ke?”
Yes, please.” Abu Zarr membalas sebelum sempat Azizah menjawab. Dia mengekori Jeff yang dulu-dulu berjalan masuk ke ruang pameran.
“Eh, macam dia pula IDnya.” Azizah merungut. Malas-malas mengatur langkah sama.
Ikut hati nak saja dia duduk di sini. Biarkan Jeff melayan kerenah Abu Zarr. Tapi takkanlah nak buat macam tu. Nanti Abu Zarr mengadu pula dengan Eric. Sedangkan dia bertegas tak nak naik kereta lelaki itu pun dah kena ugut nak mengadu dengan Eric. Inikan pula hal kerja.
“Jijah!”
Laungan Abu Zarr membantutkan lamunan Azizah. Langkahnya dipercepatkan. Namun mulutnya tak berhenti mengomel.
“Ya! Hesy, tengok ajelah dulu. Mengada-ngada betul.”
Tanpa sedar sesi pemilihan perabut berlarutan hingga 3 jam. Azizah tak tahu nak kata apa lagi. Kalau ada siapa-siapa yang berani menegur dia, memang makan penamparlah jawabnya. Hatta Abu Zarr sekali pun. Dia reda kalau diberhentikan kerja.
Pergi matilah dengan treat me nicely kalau beginilah gayanya Abu Zarr kata lelaki itu tak akan cerewet. Si Jeff ni pun macam dah give up. Dari mulut macam bertih jagung sampai dah berubah jadi robot. Hanya tangan yang bergerak. Mulut Jeff macam ada perekat. Sebutir suara tak terkeluar. Letih kut nak melayan tahap cerewet Abu Zarr.
“Sekejap-sekejap. I tak sure wardrobe ni sesuai dengan tema bilik tu.”
Jeff beri isyarat pada pekerjanya untuk menanti seketika bila Abu Zarr berkata begitu. Masa tu dua orang pekerjanya sudah ambil posisi masing-masing. Bersedia nak angkat.
Azizah tak kira. Dia nak blah sekarang. Rasa macam migrain dah menyerang. Berdenyut-denyut kepala dia.
“Jijah, betulkan apa yang aku kata?”
Azizah pejam mata. Boleh tak dia minta nak jadi pekak? Tak larat kut nak melayan mr. super duper cerewet ni.
“Eh, kau okey tak, Jijah?”
Walau tak buka mata Azizah dapat rasakan Abu Zarr berdiri terlalu hampir dengannya. Hesy, duduk jauh-jauh, boleh tak? Semaklah.
“Azizahhh...”
Automatik mata Azizah terbuka. Saat itu pandangan matanya bertaut dengan mata Abu Zarr.
“Eh?” Dia pegang kepalanya. Terasa apa yang ada di sekelilingnya seperti berpusing-pusing. Kalut dia berpaut pada perabut yang terhampir.
“Azizah?”
Azizah terasa lengannya seperti dipegang seseorang. Dia menoleh sekilas. Abu Zarr sudah berada di sisinya. Entah kenapa penglihatan dia semakin lama semakin berbalam dan terus gelap. Telinganya hanya mendengar bunyi derapan kaki orang dan suara-suara yang tidak jelas.
“Allah!” Abu Zarr lantas menahan tubuh Azizah dari terus terjelupuk ke lantai.
Sorry aku terpaksa.” Sempat dia berbisik di telinga Azizah walau dia tahu gadis itu tak dengar walau sebutir pun ungkapannya.
“Haiya, Cik Azizah! Bawa dia ke sini,” arah Jeff pada Abu Zarr. Dia mengambil satu bantal dan diletakkan pada salah satu sofa yang ada di situ.
“You ada air mineral ke, Jeff?” Abu Zarr memandang Jeff seraya membaringkan Azizah.
Gusar hatinya melihat muka Azizah yang pucat. Entah-entah memang Azizah demam tapi gadis ini berpura-pura sihat dan mengaku menipu pasal tahap kesihatannya. Ya Allah, apa yang telah dia buat ni?
Beberapa minit berlalu.
“Aduhhh…” Azizah pegang kepalanya. Terasa sedikit berdenyut-denyut.
“Azizah…”
Kedengaran ada keluhan kelegaan pada suara yang memanggil namanya. Azizah yang sudah membuka mata menoleh. Alamak! Abu Zarr tengah pandang dia dan dia tengah terbaring ni. Tak boleh jadi. Malu oiii.
“Ehhh…” Dia cuba untuk bangkit.
Just rest. Kau pengsan tadi.” Abu Zarr menghalang.
Nope. Dah okey ni.” Azizah bertegas. Dia tetap mahu bangkit. Rasa tak manis pula nak terbaring sambil dipandang mata anak adam yang bukan mahramnya.
Abu Zarr cuba membantu.
Please?” Azizah angkat tangannya tanda tidak bersetuju dengan apa yang cuba Abu Zarr lakukan. Walaupun dia tahu lelaki itu berniat baik tetapi haram tetap haram.
Sorry.” Abu Zarr tersenyum-senyum. Kalaulah Azizah tahu apa yang dia dah buat tadi, gadis ini akan memakinya tak?
“Saya yang patut minta maaf. Menyusahkan awak pula. Patutnya saya kena entertain client. Ini dah terbalik.” Azizah bersuara setelah duduknya selesa.
“Bukan salah kau. Aku yang memaksa. Client kau yang super duper cerewet, kan.”
Azizah memandang.
Abu Zarr jongket kening.
         Tawa meletus di antara keduanya.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

No comments:

Post a Comment