Sunday, January 24, 2016

CINTA SEJATI SEORANG PLAYBOY - BAB 6


ADWAN bersandar santai pada kerusi kerjanya. Merenung kosong menghadap pemandangan konkrit di luar tingkap pejabat. Timbul di dahinya beribu kedutan Sepintas itu bibir merahnya melorek senyuman lebar. Terngiang-ngiang dalam kepalanya satu peristiwa lucu. Berlaku dua tahun lepas. Nada Qaireen. Gadis yang pemalu dan keras hati.
Dua tahun lepas dia alpa. Alpa dengan nikmat duniawi. Kalau tidak kerana dia mementingkan kecantikan. Kalau tidak kerana dia memandang kesempurnaan tubuh perempuan. Nada Qaireen sudah pasti menjadi teman istimewanya. Sayangnya Nada Qaireen seorang gadis yang menjaga auratnya. Bertudung litup dan tidak mampu menggegar tulang rusuk dia ketika itu.
Mata hatinya telah ditutup dengan nafsu. Dia leka dengan keseronokan. Dia gembira bila Marlisa berjaya dimilikinya. Dia bangga mencipta kebahagiaan atas penderitaan orang lain. Hingga dia merasakan dalam dunia ini hanya dia dan Marlisa sahaja yang ada. Dia lupa sesuatu. Dia lupa keseronokan yang dia miliki diciptakan Allah. Dia lupa segala-galanya hanya sementara.
What goes around comes around. Macam mana Marlisa tinggalkan Akid untuk bersama dia. Begitulah juga Marlisa meninggalkan dia. Marlisa mengejar lelaki yang lebih hebat dari dia. Lelaki yang punya segala-galanya lebih dari apa yang dia mampu beri pada Marlisa. Apa yang penting lelaki berpangkat ‘Datuk’ itu berjaya mengalahkan dia. Biarpun lelaki itu seorang lelaki tua yang layak dipanggil ayah.
Sakit rupa-rupanya bila ditinggalkan tapi tak adalah parah. Kecewa? Dia tak rasa perasaan itu dalam hati. Allah dah tetapkan Marlisa bukan untuk dia. Dia semakin matang menghadapi dugaan. Seiring dengan peningkatan umur. Tanggungjawab juga semakin besar. Tiada istilah main-main atau berpoya-poya. Dia lebih bersungguh membantu Papa mengembangkan perniagaan mereka. Lagi-lagi bila Zuhayr Affan bertindak keluar dari rumah tanpa sebarang berita.
Nada Qaireen - Cik Seluar Kecil. Nama dan gelaran gadis itu meniti di bibir merahnya.
Dia tidak kekok menyebut nama itu. Gadis yang sekian lama menjadi sahabat baik adiknya. Gadis yang sentiasa bersama dengan adiknya. Bersama-sama mengharungi saat sedih dan kelam adiknya. Kata adiknya, Qaireen itu her best friend forever! Kawan kala susah dan senang.
Diam tak diam sebenarnya gadis itu kembali menarik perhatian dia. Mencuri masuk ke dalam hatinya. Entah sudi atau tidak si gadis andai dia cuba menyunting menjadi teman hidup? Nak bertanya dengan si adik tentang si gadis dia segan tapi sampai bila nak dipendam?
“Kalau aku tak cuba mana aku nak tahu, kan?” Dia menggumam sendiri. Lantas dia bertindak mencapai telefon bimbit. Mencari nama seseorang. Ikon hijau ditekan. Beberapa minit menunggu, dia tersenyum bila mendengar suara di hujung talian.
“Hello!”
“Assalammualaikum, little sister.” Adwan tergelak. Saja mengusik si adik macam dulu-dulu. Pantas benar masa berlalu hingga dia kurang percaya yang si adik bongsu sudah pun menginjak dewasa. Sudah tidak betah dipanggil little sister.
“Waalaikumussalam.” Suara Amanda acuh tak acuh saja menjawab salam dia.
“Tak okey lagi ke ni?” Berkerut dahi Adwan. Puting beliung manalah yang dah menyerang perhubungan adiknya dengan Akid.
Oh, ya! Amanda dengan Akid sekarang ni. Untuk kali ini, dia tidak mahu lagi menjadi penghalang dalam perhubungan Amanda. Biar pun dia tahu sikap sebenar Akid tapi dia yakin Akid mampu membuat Amanda bahagia. Cukuplah dia dah buat Amanda derita dengan sikap buruknya dulu yang memandang kebendaan. Kiranya kali ini dia cuba menebus kesalahannya yang lalu pada Amanda dan juga Akid.
“Okey kut.” Lemah Amanda membalas.
“Akid busylah tu.” Adwan cuba memujuk.
Akid itukan macam dia juga. Sibuk uruskan perniagaan keluarga. Beratnya menggalas tanggungjawab bila menjadi anak lelaki sulung. Tapi orang sekeliling tak tahu. Yang mereka nampak kesenangan yang kami peroleh.
“Malaslah nak fikir.” Suara pasrah Amanda buat Adwan berfikir sama ada mahu meneruskan misi hatinya atau tidak. Tapi takkanlah Amanda tak nak melayan permintaan dia. Nekadlah.
“Amanda.”
“Hmmm…”
“Errr… Aaa… Qaireen ada?” Adwan tepuktepuk mulutnya. Kenapalah boleh jadi gagap macam ni. Macam budak baru lepas bersunat nak mengurat anak dara orang.
“Ada. Kenapa?” Panjang harakat bunyi suara Amanda.
“Ada, eh? Hmmm… Dia tengah buat apa?” Adwan gigit bibir. Harap sangat suara dia tak kedengaran canggung pada telinga Amanda. Seriuslah rasa macam dia tak pernah sandang gelaran playboy pula.
“Manalah orang tahu. Serabutlah nak fikir hal orang lain.”
“Kalau serabut bak sini nombor telefon Qaireen. Along nak bercakap dengan dia,” Adwan cuba cucuk jarum. Inilah peluang yang dia tunggu.
“Dia kawan orang, Along.”
“Tahu. Dulu senang aje nak bagi nombor dia. Sekarang apasal kedekut sangat?”
“Dulu memang cadang nak kenenkan dia dengan Along. Tapi sekarang macam tak sesuai. Lagilah dia dah tahu perangai Along tu macam mana.” Apa yang Adwan tak tahu Amanda dah tersenyum-senyum di sebelah sana.
Please…” Panjang suara Adwan merayu. Harap sangat Amanda tak menghampakan permintaannya.
“Janji dulu,” ugut Amanda.
Just name it,” balas Adwan bersungguhsungguh. Siap angkat tangan kiri separas dada. Macamlah Amanda nampak.
“Jangan permainkan Reen. Dia sangat baik. Sangat naïf.”
“Itu aje? Small matter.”
“Small matterlah sangat. Ingat, eh. Kalau Along main-mainkan dia, siap Along. Orang bakar Along hidup-hidup.”
“Eee… takutnya!” Adwan gelak kuat.
“Mengada. Yalah. Nanti orang WhatsApp nombor dia.”
Thanks, little sister. Assalammualaikum.”
“Wa’alaikumussalam.”
Hujung telefon bimbit dibawa ke bibir. Adwan menanti dalam debar. Kertas yang bersepah di atas meja dipandang sepi. Tak ada mood nak sambung kerja.
Hesy, lamanya nak bagi? Amanda ni nak main-mainkan aku ke? Dia merengus. Tak sampai beberapa saat telefon bimbitnya bergetar. Kalut dia membaca mesej yang masuk. Dia melorek senyuman lebar. Tak menunggu lama terus sahaja jemarinya menaip sesuatu.
Adwan:
Assalammualaikum. Ingat saya?
“Encik Adwan!”
Hampir sahaja telefon bimbit Adwan tercampak ke lantai. Terkejut bila namanya diseru.
“Rina!” Bulat matanya memandang si pembantu peribadi yang menguak pintu bilik kerjanya. Geram bila disergah begitu.
“Maaf. Saya dah ketuk pintu dulu. Encik Adwan yang tak dengar.” Rina tersengih. Tunjuk tanda peace.
“Hmmm… ada apa?” Adwan menyoal. Telefon bimbitnya diletakkan kembali di atas meja kerja.
Appointment dengan Encik Akid, jadi ke?”
“Kenapa?”
“Amiraz Holding nak confirmation.”
“Mestilah jadi. Kenapa tak sambungkan pada saya terus?”
“Encik Adwan cakap tak nak terima apa-apa panggilan. Jadi saya tak berani nak sambungkan.”
“Ya ke?” Adwan berdecit. Terkebil-kebil cuba mengingati arahannya sendiri.
“Okey. Tak nak kacau Encik Adwan lagi.” Rina kenyit mata lalu merapatkan kembali daun pintu yang terbuka sedikit.
Adwan garu kepala. Masih lagi memandang pintu yang sudah ditutup.
“Apa yang tak kena dengan aku? Penangan Nada Qaireen ke?” Matanya kembali  memandang skrin telefon bimbit. Ikon WhatsApp menunjukkan ada mesej masuk. Laju sahaja dia menekan.
Qaireen:
Waalaikumussalam. Abang kawan baik saya.
Adwan:
You saved my number?
Qaireen:
Salah ke?
Adwan:
Tak… tak salah. Saya pula yang rasa bersalah.
Qaireen:
Why should you?
Adwan:
Teringat janji 2 tahun lepas.
Qaireen:
Ada ke?
Adwan:
Qaireennn… awak semakin buat saya rasa bersalah.
Qaireen:
Saya tak kisah pun. Tak ada rasa apa-apa. Masa tu awak dengan Lisa.
Adwan:
I feel bad.
Qaireen:
Playboy pun ada rasa mcm tu juga ke. Tak macho langsung.
Adwan:
Saya bukan playboylah.
Qaireen:
Kalau tukar-tukar perempuan tu bukan playboy ke?
Adwan:
Itu dulu. Sekarang dah insaf. Baru nampak yang mana boleh dibuat teman hingga akhir hayat.
Qaireen:
TQ sudi nak bermesej dengan saya.
Adwan:
Kalau macam tu saya ada peluanglah ni.
Qaireen:
Peluang?
Adwan:
Dinner esok?
Qaireen:
Tak kut.
What the… Astaghfirullahalazim! Adwan, kau kata nak berubah? Adwan meraup kasar wajahnya. Tak pernah dia merasa begitu tertekan. Timbunan dokumen yang perlu disemak pun tak adalah buat dia jadi macam ni. Gadis bernama Nada Qaireen berjaya merubah tahap tekanan perasaannya.
Nampaknya Qaireen masih tidak berubah. Sama seperti dua tahun yang lalu. Masih lagi tegas. Masih lagi keras hatinya. Masih buat dia sukar nak memikat. Makin buat hati dia berkeras mahu memiliki gadis ini.
Malas mahu menaip, laju sahaja Adwan menekan ikon telefon berwarna hijau. Rasarasanya bercakap lebih mudah. Lebih sampai ke hati si penerima.
“Assalammualaikum.”
Suara Qaireen lembut menyapa telinganya. Rasa marahnya tadi terus terbang melayang. Betullah aura Qaireen kuat.
“Waalaikumussalam.” Dia membalas.
Untuk seketika baik Adwan mahu pun Qaireen tidak menyambung kata. Membisu seribu bahasa. Sepertinya tidak tahu menggunakan kosa kata yang sesuai meneruskan bicara. Hanya deruan nafas masing-masing yang kedengaran.
Adwan berdeham. Masa amat berharga. Cukuplah dia sudah kehilangan dua tahun masa yang berharga. Hari ini, saat ini, dia tak mahu mengulanginya lagi.
“Qaireen.”
“Hmmm…”
“Maaf.”
“Huh?”
“Dua tahun lepas? Ingat lagi tak?”
“Apa yang terjadi dua tahun lepas? Saya ni ada masalah ingatan sikit. Short term memory.” Qaireen ketawa-ketawa di hujung talian.
“Seluar kecik. Merah dan berenda?” usik Adwan. Dia tahu Qaireen ingat. Dia tahu Qaireen cuba mengelak sebab Qaireen tak pandai menipu. Ketawa Qaireen ada janggalnya.
“Euwww, boleh tak jangan cakap pasal benda tu lagi.”
“Dah awak kata short term memory. Saya cubalah nak kembalikan ingatan awak tu.”
“Kut ya pun. Macam tak ada benda lain. Malulah saya.”
Adwan tersenyum lebar. Cuba membayangkan rona merah yang menghiasi wajah Qaireen. Agak-agaknya sama lagi tak macam dua tahun lepas. Aduh! Tak sabarnya nak bersua muka dengan gadis ini.
“Memang tak ada. Tak sempat nak ada memori daun pisang dengan awak. Maaf sekali lagi.”
“Tak mahu cakap lagilah pasal benda tu.”
“Makan malam dengan saya? I’ll shut my mouth.”
“Taktik kotor.”
“Setujulah ni.”
“Adwan!” Qaireen menjerit.
“Ya, saya.” Entah kenapa Adwan rasakan Qaireen seolah-olah menyanyi untuk dia. Merdu sekali.
“Esok satu hari saya sibuk.”
Dinner kan malam?” Adwan memujuk. Tak mahu berputus asa. Apa pun yang terjadi dia akan pastikan Qaireen bersetuju. Tak sabar nak luahkan rasa hati yang terpendam.
“Tak keluar tak apa, kan?”
“Hmmm… Nak buat macam mana. Orang tak sudi. Jangan salahkan saya kalau gambar seluar kecik tu tersebar dalam facebook.” Adwan tertawa.
“Ada saya kisah.”
“Qaireen, awak jangan cabar saya.”
“Bukan mencabar tapi awak mesti tahu jaga maruah saya sebagai seorang perempuan, kan. Macam awak jaga maruah Amanda.” Mendatar sahaja suara Qaireen membalas. Terdengar juga satu keluhan berat.
My bad. Sorry again.” Adwan mengeluh. Menampar mulutnya yang tidak pernah sehala dengan kata hati. Kalau macam inilah gaya dia memujuk, rasa-rasanya memang dia tak akan dapat Qaireen semula.
“Amazon. 8 malam.”
“Yalah. Saya kan tak sesuai dengan awak.”
“Ya, Allah! Adwan, awak dengar tak apa saya cakap tadi?” Qaireen menjerit.
“What?” Tegak terus badan Adwan. Kenapa Qaireen menjerit di sebelah sana? Apa yang tak kena lagi dengan kata-kata dia?
“Amazon. 8 malam.” Qaireen mengulang semula kata-katanya. Diam. Tiada sahutan.
Really?” Giliran Adwan pula menjerit. Gembira bukan marah.
“Assalammualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Adwan membalas walau talian sudah lama terputus. Dia tersenyum. Senang hati. Akhirnya. Ini baru permulaan. Harap-harap Tuhan permudahkan urusan hati dia. Mudah-mudahan niat sucinya Allah lorongkan pada jalan yang lurus.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

CINTA SEJATI SEORANG PLAYBOY - BAB 5


ADWAN tersenyum-senyum sewaktu masuk ke lobi Hotel Amazon. Macam manalah seluar kecil milik gadis itu boleh meloncat keluar. Gadis itu pula naïf sangat. Baru usik sikit, dia punya angin dahsyat betul.
“Selamat pagi Encik Adwan,” tegur penyambut tetamu yang bertugas.
“Selamat pagi.” Adwan membalas.
Dia menanggalkan cermin mata hitam jenama Ray-Ban yang dipakainya. Diletakkan di atas meja penyambut tetamu. Beg bimbitnya turut diletakkan di tempat yang sama.
“Ini surat-surat yang baru sampai.” Adwan menyambut beberapa pucuk surat yang dihulurkan kepadanya. Dibelek setiap satu. Senyuman masih tak lekang dari bibirnya.
“Errr… Encik Adwan okey ke?” tanya si penyambut tetamu.
“Kenapa?” Adwan mengangkat wajah. Mata membaca tanda nama pada baju si penyambut tetamu.
“Ter… senyum dari tadi,” jawab si penyambut tetamu takut-takut.
“Senyumkan satu sedekah. Kira awak beruntunglah, Mashita.” Adwan kenyit mata. Kembali mengenakan semula cermin mata hitamnya sebelum berlalu dari situ. Surat-surat yang dibeleknya tadi turut dibawa bersama.
Dia melangkah masuk ke dalam lif. Sempat melambai pada pekerjanya.
Si penyambut tetamu tersenyum.
Sampai di aras yang menempatkan pejabatnya, Adwan melangkah penuh bergaya keluar dari lif dan menuju ke bilik kerjanya. Sewaktu mahu melewati meja pembantu peribadinya, dia berhenti seketika.
Senyuman nakal tersungging di bibirnya. Melihat si gadis yang sedang membongkok di bawah meja seperti mencari sesuatu. Sesekali mengusik sedikit si gadis apa salahnya.
“Selamat pagi, Rina,” tegur Adwan.
“Ouchhh!” Si gadis yang dipanggil Rina kelihatan terkejut bila namanya dipanggil. Hinggakan kepalanya terhantuk pada meja. Kalut dia berdiri tegak.
Adwan tergelak. Lucu dengan tindakbalas pembantu peribadinya ini.
“Assalammualaikum, Encik Adwan.” Rina memberi salam sambil membetulkan sedikit tudungnya yang senget.
“Errr… wa’alaikumussalam.” Adwan mengurut perlahan tengkuknya. Malu.
Ucapan salam si pembantu peribadi sedikit sebanyak mengusik nalurinya. Ucapan yang telah lama dia tinggalkan. Tak mahu Rina perasan apaapa, dia meneruskan  langkahnya yang terbantut tadi.
“Awal hari ini, Encik Adwan?” Rina yang membontoti langkah Adwan bertanya. Di tangannya ada buku catatan dan sebatang pen.
“Selama hari ini bukan saya selalu datang awal ke?” Adwan memandang Rina sekilas.
Dia meletakkan beg bimbit di atas meja. Punggung dihenyakkan pada kerusi kerjanya yang empuk. Anak matanya  memandang si pembantu peribadi.
“Memanglah awal. Selalunya Encik Adwan masuk pukul dua belas tapi ini baru pukul sembilan. Wondering what had happened to my cheeky boss?” sindir Rina.
Memang dia agak pelik bila Adwan muncul di pejabat seawal jam ini. Paling cepat Adwan masuk selalunya memang pukul dua belas tengahari. Kalau tidak selepas waktu makan baru Adwan datang. Alasannya Adwan lebih suka berurusan dengan client mereka di luar berbanding di dalam pejabat.
“Awak perli saya, Rina?” Adwan jegilkan mata. Namun dibibirnya terukir senyuman manis.
“Buat apa saya nak sindir-sindir Encik Adwan. Bukan saya dapat apa-apa pun,” jawab Rina. Risau pula dia andai Adwan mengamuk. Baran bos dia ni boleh tahan juga.
“Okey tutup cerita. Apa plan hari ni?” Adwan tenang memerhati Rina.
“Sarapan pukul sepuluh dengan Cik Nadia, makan tengahari dengan Cik Nina, minum petang dengan Miss Carol,” beritahu Rina.
“Dato Zayd nak jumpa pukul sepuluh,” sambung Rina lagi.
“Apa tugas awak dekat sini, Rina?” Adwan jongket keningnya.
“Menguruskan apa sahaja keperluan bos terutama berkaitan kerja.” Rina menjawab dengan yakin. Memang itulah tugas hakikinya sebagai pembantu peribadi Adwan.
“Apa yang awak cakap tadi berkaitan dengan kerja ke?” tanya Adwan tenang.
“Errr…” Rina dah terkulat-kulat. Menggaru sedikit kepalanya yang tidak gatal.
“Batalkan semuanya kecuali appointment dengan Papa. Mulai hari ini, from nine to five, semuanya hanya berkaitan kerja. No more leisure. Faham?”
Kenyataannya sudah sebulan Adwan tidak melayan kerenah gadis-gadis yang mengejarnya. Takkanlah Rina tak perasan tapi dia tak salahkan Rina seratus peratus. Rina telah menjalankan tugasnya dengan baik.
“Tapi…”
“Awak boleh keluar sekarang.” Adwan tegakkan badannya. Tangan sudah mencapai dokumen yang diletakkan di dalam tray dokumen masuk.
“Okey.” Rina berpusing. Kepalanya ligat memikirkan alasan-alasan yang akan diberikan pada gadis-gadis yang tak jemu-jemu mengejar bosnya.
Teringatkan janji temunya dengan Marlisa malam ini, cepat-cepat Adwan menahan Rina dari terus keluar.
By the way Rina, please reserve a table for two at Waterfront Hotel. Candle light dinner. Eight p.m tonight.”
“Dengan siapa bos?”
Do I have to answer that?” Adwan bertanya semula.
Sorry. Selamat bekerja, bos.” Rina menggeleng. Pantas sahaja keluar dari situ bila terdengar telefon bimbit Adwan sudah berbunyi.
Adwan segera mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket seluar. Bingit pula telinga mendengar muzik rancak yang bergema.
“Hello,” Adwan menjawab malas. Mata tertancap pada beberapa helai kertas di atas meja.
“Assalammualaikum.”
“Wa’alaikumussalam, Papa.” Adwan bersandar. Memberikan perhatian pada perbualan telefon. Dengan Dato’ Zayd memang tak boleh main-main terutama bila berkait rapat dengan perniagaan.
“Awal hari ni?” sindir Dato’ Zayd.
“Along selalu datang awallah, Pa.” Adwan tertawa. Mesti Papa dah tahu hal dia selalu masuk pejabat lewat tapi itu sebulan yang lalu. Sekarang dia bukan macam tu. Kalau lewat masuk pun sebab ada janji temu dengan pelanggan mereka di luar.
“Baguslah kalau macam tu. Harap-harap semua urusan tak perlu bertangguh sampai dua tiga bulan,” tegas Dato’ Zayd.
“Along cuba, Pa. Papa nak jumpa Along pukul sepuluh nanti, kan?” Adwan cuba mengelak dari terus kena bebel. Cukup-cukuplah dekat rumah sahaja. Takkanlah dekat tempat kerja pun dia perlu alami perkara yang sama.
“Memang pun, tapi hari ni kan nak pergi Shah Alam. Kenapa kamu tak ikut sekali?”
“Bukan tak nak ikut, pa. Amanda lambat beritahu.” Adwan dah garu kepala.
“Keluar dengan siapa pula?”
“Keluar?”
“Buat-buat tanya pula. Telinga Papa belum pekak lagi, Along. Kamu ni bilalah nak berhenti bertukar-tukar perempuan?”
“Pa… dia orang yang datang pada Along. Bukan salah Along.” Adwan mempertahankan dirinya.
“Ada saja jawapan kamu nilah. Umur yang dijanjikan Allah semakin lama semakin singkat, Along. Kamu tu bukan semakin muda. Ini kami pergi sampai hari Ahad. Jangan balik lewat sangat. Kalau ada urusan pejabat yang memerlukan Papa hadir, Along gantikan.”
“Okey, Pa.”
“Assalammualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Adwan menggosok-gosok telinganya yang sedikit panas. Tak pasal pagi-pagi dah kena dengar tazkirah.
Telefon bimbit di tangan bergetar. Adwan mencerlung. Tersungging senyuman selepas membaca mesej yang diterima dari Amanda. Dia bersandar malas. Ikon aplikasi WhatsApp ditekan. Jemarinya rancak menaip sesuatu.
Adwan:
Merah & renda. Me like it. J
Telefon bimbit diletakkan di atas meja. Dia tersengih panjang. Pasti orang yang menerima mesejnya akan menjerit panjang. Fokusnya kembali pada kertas-kertas di atas meja.
Baru dia nak membaca, telefon bimbitnya bergetar lagi. Adwan capai dan terus membuka mesej yang baru diterima.
Qaireen:
S.E.N.G.A.L.
Mengekek-ngekek Adwan ketawa. Boleh tahan garang juga kawan Amanda ni. Tapi, lagi garang, lagi mencabar. Tak apa, dia memang sukakan cabaran. 
Adwan:
Aku sengal sebab terkejut.
Qaireen:
EEEEE… KAU DAH TAKDE KEJE KE?
Adwan:
Ada. Tengah layan pemilik seluar kecik. J
Qaireen:
OFF.
Adwan:
Comel. Jom keluar mkn.
Qaireen:
BUSY
Adwan:
Alah… belum kerja lagi, kan? Balik dari Shah Alam, eh?
Qaireen:
MALAS.
Tidak suka dengan penolakan, Adwan terus mendail telefon bimbitnya. Geram pula bila si gadis membalas pendek-pendek mesej yang diberi.
“Hmmm…” Kedengaran malas saja suara orang yang menjawab panggilannya.
“Assalammualaikum, cik seluar kecik,” usik Adwan.
“Waalaikumussalam. Kau memang dah tak ada kerja, eh,” jerkah si penerima panggilan.
“Garangnya. Tak kenyang ke makan nasi lemak tadi?” Adwan masih mahu mengusik.
“Sibuklah.”
“Balik dari Shah Alam nanti kau mesti freekan masa kau tu.”
“Tak kuasa.”
“Reen… cakap dengan siapa?”
Adwan terdengar suara adiknya di hujung talian. Dia memasang telinga.
“Errr… orang salah nombor.”
“Salah nombor? Apasal kau layan?”
“Errr… Aku pergi bawah sekejap.”
Adwan dah melonjak riang. Maknanya gadis naif ni masih nak berbual dengannya.
“Hello, Reen!” Panggil Adwan.
“Hmmm…”
“Aku tak salah nomborlah.” Adwan tertawa kecil.
“Kau nak apa sebenarnya ni?” Suara Qaireen sudah keras.
“Kalau kau tak nak aku ungkit pasal seluar kecik tu, janji dengan aku kita keluar lepas kau balik dari Shah Alam nanti,” ugut Adwan. Modalnya seluar kecik milik Qaireen.
“Dah habis ke stok perempuan seksi kau tu?”
“Sekali-sekala nak tahu juga best ke tak keluar dengan stok yang tutup-tutup ni.”
Whatever.”
It’s a deal, then.”
“Bila masa pula aku…”
“Merah dan renda. Seksi.”
“Yalah, yalah!” Qaireen menjerit.
I’ll text you, later. Bye.” Talian terus dimatikan. Adwan bersandar kembali. Tersenyum. Senyum kemenangan.
“Susah juga rupanya nak keluar makan dengan perempuan stok bertutup ni.” Dia menggumam.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

CINTA SEJATI SEORANG PLAYBOY - BAB 4


TERBURU-BURU Qaireen memandu masuk keretanya ke perkarangan rumah keluarga Amanda. Dia tahu dia sudah terlewat dari masa yang dijanjikan. Apa yang penting dia sudah sampai. Dia sudah berjanji untuk ke Shah Alam bersama-sama dengan sahabat baiknya ini. Sebenarnya puas dia menolak ajakan Amanda. Seboleh mungkin dia tidak mahu menyusahkan Amanda tetapi dia ditempelak semula sebab dikatakan lupa kawan.
“Assalammualaikum!” Laungnya kuat sambil kalut menunduk untuk membuka kasut. Tanpa toleh kiri dan kanan dia meluru masuk ke dalam rumah. Kedatangannya tidak disambut siapa-siapa. Maklum dia sudah biasa berkunjung ke sini. Pada masa yang sama dia tidak perasankan kedatangan seseorang dari arah bertentangan sedang menghala ke arahnya.
“Ouch!” Qaireen menjerit kuat akibat jatuh terduduk.
Jeritannya turut berpadu dengan suara seorang lelaki. Serentak dengan bunyi suitcase jatuh ke lantai. Dia menggosok bahunya. Ada rasa sengal di situ. Dia mendongak. Mencari punca dia terduduk di atas lantai.
Tika itu matanya bersabung dengan sepasang mata yang mencerlung tajam kepadanya. Seorang lelaki kacak yang memakai sut pejabat.
“Kau!” Lelaki itu menuding jari telunjuk kepada Qaireen. Marah benar dia dengan pelanggaran mereka.
“Errr… maaf. Maaf sangat-sangat. Saya tak perasan.” Cepat-cepat Qaireen bangkit berdiri. Beg sandangnya yang turut terlepas dari bahu diambil. Dia menunduk berkali-kali. Meminta maaf atas kealpaan dia.
“Siapa kau? Terjah rumah orang tak beri salam. Macam pencuri.”
Qaireen terkebil-kebil. Lelaki ni tak dengar ke dia minta maaf tadi? Sinis betul.
“Tak ada nama?” Sergah lelaki itu lagi.
“Nada Qaireen. Kawan oranglah, Along.” Amanda yang sudah lama berdiri di belakang Adwan memerhati pertelingkahan kecil tadi lalu menjawab bagi pihak Qaireen. Dia berjalan menghampiri Qaireen.
“Huh!” Adwan menghadiahkan satu jelingan tajam. Dia menunduk. Mengambil beg bimbitnya.
Amanda menyiku Qaireen. Mulutnya menggumam tanpa suara bila Qaireen memandangnya.
“A… wak, maaf. Saya betul-betul tak perasan tadi.” Sedikit gugup Qaireen bersuara bila Amanda memberi signal untuk minta maaf lagi dengan abangnya.
Adwan pandang Qaireen. Tajam renungannya. Kalau tidak mengenangkan gadis itu kawan Amanda memang dah lama dia bahasakan. Dia menghela nafas perlahan-lahan.
“Lain kali mata tu pandang depan bukannya tengok bawah.” Dia menyindir sebelum menghayun kaki menuju ke pintu utama.
Qaireen pandang Amanda.
“Itu Along aku. Zulfan Adwan.” Amanda berbisik.
“Ooo…” Itu saja yang terluah dari mulut Qaireen.
“Along, tak sarapan dulu?” Amanda berbasa-basi.
Qaireen yang turut sama memerhatikan Adwan yang sedang menyarungkan stoking berdoa di dalam hati. Dia berharap sangat lelaki itu terus pergi kerja. Tak sanggup rasanya nak menghadap muka serius lelaki itu. Perawakan lelaki itu sangat berbeza dengan temannya ini. Cara lelaki itu melihat dia macam dia adalah objek yang enak untuk dimakan. Ngeri!
“Mama masak apa?” Adwan menoleh pandang. Mengerling sekilas pada teman Amanda. Dia tersenyum senget. Nampak sangat teman Amanda itu sedang mengata dia.
“Sekejap.” Amanda terus berlari anak ke ruang dapur. Meninggalkan Qaireen terkulat-kulat seorang diri di ruang tamu.
Hoi, Amanda! Kenapa tinggalkan aku sendirian? Sungguh Qaireen tak tahu nak buat apa. Nak saja dia mengekori langkah Amanda, tapi kakinya bagaikan digam dengan gam gajah. Lagilah bila matanya menangkap kelibat Adwan yang sedang berjalan menghampirinya.
Eh, mamat ni kenapa pergi ke sini pula! Bukan sepatutnya dia nak pergi kerja ke tadi? Hatinya tiba-tiba sahaja berdebar bila matanya bertaut dengan mata Adwan. Lagilah bila Adwan berdiri betul-betul di sebelah dia.
Ya Allah, hati ni. Jangan macam-macam boleh tak?
“Cuba tengok lutut kau?” Adwan mengarah.
Mata Qaireen mengecil. Cuba mencerna katakata Adwan. Dia menunduk. Memerhati kedua-dua belah lututnya.
“Tak ada matakan dekat situ? So, next time look ahead when you walk.” Adwan tersenyum senget. Dia terus pergi ke ruang makan.
Ikut perancangan asal dia mahu bersarapan dekat luar. Nak cuci mata melihat makhluk indah lain ciptaan Tuhan. Tapi kalau dekat rumah sekarang ini dia boleh berbuat begitu, apa salahnya bersarapan di sini. Jimat masa. Jimat duit.
“Reen!”
Qaireen mendongak. Tersengih pada Amanda yang bercekak pinggang memandang dia.
“Buat apa tercegat lagi dekat situ? Jom, makan sekali.” Amanda menggamit. Mengajak Qaireen ke ruang makan.
“Errr… aku dah kenyang.” Qaireen menolak. Sumpah selera dia dah hilang. Lagilah bila otaknya dapat berfikir dengan sempurna. Malu pada Adwan. Adwan menyindir dia tadi.
“Jangan nak mengada. Aku tahu kau tak sempat sarapan sebelum ke sini tadi.” Dengan riak tak puashati Amanda mendekati Qaireen. Dia menarik tangan temannya itu dan menuntun ke ruang makan.
Babe, kau ni buat macam aku ni budak kecillah.” Qaireen cuba merungkaikan pegangan tangan Amanda. Segan bila dia nampak Adwan memandang ke arah mereka.
“Habis tu siapa suruh tak nak mengaku belum makan apa-apa lagi,” bebel Amanda.
“Ya, ya. Aku memang belum makan lagi. Dah tak payah tarik-tarik. Aku jalan sendiri.”
Amanda tersengih. Pegangan tangannya dilepaskan.
Qaireen menggosok sedikit pergelangan tangannya. Sudahlah bahu dan pinggulnya masih terasa sengal. Bertambah lagi satu anggota tubuhnya yang sakit. Amanda ni pun satulah. Kuat pula tu dia  pegang.
“Kau duduk sini.” Amanda menarik keluar satu kerusi. Betul-betul berhadapan dengan Adwan yang sudah duduk dan sedang menikmati makanannya.
“Huh?” Liur ditelan. Qaireen hilang kosa kata. Amanda betul-betul mahu menguji hati dia.
Adwan hanya pandang dengan ekor mata. Tak kuasa nak menghayati drama sebabak Amanda dan temannya. Tangannya laju menyuakan sudu yang penuh dengan nasi lemak ke dalam mulut.
“Duduk, Reen. Tak payah nak segan-segan.” Datin Afia yang muncul dengan semangkuk shepherd pie di tangan menegur. Sempat dia menepuk bahu Adwan yang tak lepas memandang Qaireen.
Adwan tunjuk muka tak puas hati, tapi hanya seketika bila Qaireen mendekati Mamanya.
Aunty.” Qaireen bersalaman dengan Datin Afia.
Adwan hanya memerhatikan tingkah gadis itu. Bagus betul kawan Amanda ni. Sopan.
“Dah duduk. Makan.” Datin Afia mencedukkan nasi lemak dan sambal sotong ke dalam pinggan. Diletakkannya di depan Qaireen.
“Banyak ni, aunty.” Qaireen cuba berbasa-basi. Dia dah tak tentu arah sebenarnya. Adwan tengah ralit memandang dia. Kalau pandang biasa-biasa saja dia tak kisah. Ini pandang macam nak tembus ke dinding.
Babe, kau takkan mampu menolak masakan mama aku.” Amanda mencelah.
“Makan aje. Aunty nak naik atas sekejap. Nak tengok uncle.” Datin Afia tersenyum. Berlalu dari situ.
Qaireen mengangguk. Melihat kelibat Datin Afia hingga hilang dari pandangan. Matanya kembali memandang hidangan di depan matanya. Banyaknya, mana dia larat nak makan semua ni. Dia hanya mampu memandang sepi nasi yang menggunung di dalam pinggan makannya.
“Tak gemuknya pun kalau makan banyak,” perli Adwan.
Qaireen mendongak. Kali ini dia pula menghantar jelingan tajam.
“Siapa kata gemuk? Saya cuma cakap banyak sangat,” balas Qaireen geram.
“Perempuan semua sama. Konon tak nak makan banyak. Nak jaga badanlah tu.” Adwan mengutuk. Tak puashati dengan jawapan balas Qaireen.
Amanda jegilkan mata. Sempat dia menendang kaki abangnya.
What! It’s true, right?” Adwan turut buntangkan matanya. Kakinya turut sama membalas tendangan Amanda. Jangan dia tersalah tendang sudahlah.
“Boleh tak jangan persoalkan berapa banyak orang perempuan makan?” Amanda mempertahankan tindakannya. Tak faham betul dengan abangnya. Tiba-tiba nak meroyan pasal kuantiti makanan orang perempuan.
“Bukan persoalkan tapi kenyataan. Semua perempuan yang keluar makan dengan Along, semuanya makan sikit. Bila tanya kenapa, diet katanya.” Adwan mencebik. Sempat dia mengambil dua potong shepherd pie. Diletakkan di atas pinggannya.
“Tapi Reen makan apa saja, kan babe?” Amanda pandang Qaireen yang tiba-tiba sahaja senyap seribu bahasa.
“Errr…” Qaireen yang sedang mengunyah nasi lemaknya hanya mengangguk.
Apa yang Amanda dan Adwan tidak tahu, ada rasa bersalah timbul dalam hatinya. Dia tak berniat pun nak timbulkan isu makanan ni. Tak pasal-pasal dua beradik ini bertikam lidah untuk mempertahankan pendapat masing-masing.
“Yalah tu. Entah-entah sama aje,” perli Adwan.
“Cubalah keluar berdua dengan dia. Baru Along tahu banyak ke sikit Reen makan.” Amanda mencabar. Dia berani kata begitu sebab dia tahu Qaireen bukan jenis gadis yang abangnya suka untuk diajak keluar bersama.
Tersedak Qaireen mendengar cadangan luar alam Amanda. Kelam kabut dia mencapai air teh di depan mata. Terasa perit tekaknya walau sudah habis air teh itu diminumnya. Amanda ni pandai-pandai saja bagi cadangan luar alam tu. Boleh buat dia gantung diri.
If she doesn’t mind. Along boleh aje.” Adwan tersenyum sambil menari-narikan keningnya sebelum bingkas bangun dan berlalu dari situ.
Babe, apa ni?” Berkerut dahi Qaireen memandang Amanda.
Sungguh dia tak suka mendengar bicara Adwan tadi. Tak nampak macam lelaki itu mainmain. Nampak macam bersungguh pula dengan idea Amanda.
“Alah keluar makan dengan abang aku aje. Bukan dia makan kau pun. Tak beraninya dia buat apa-apa dekat kau.” Amanda memujuk.
Now I wish I can eat anything without getting fat.” Qaireen mencebik.
“Jangan nak melankolik sangatlah. Makan pai tu. Penat Mama aku buat.”
“Amanda!” Terhinggut bahu Amanda dan Qaireen.
Kedua-duanya menoleh ke arah pemilik suara yang memanggil.
Amanda bertindak untuk bangun mendapatkan Adwan. Firasatnya menebak pasti ada sesuatu yang tak kena. Kalau tidak abangnya tak akan melaung namanya nyaring begitu. Langkahnya mati ditembok  pemisah ruang makan dan ruang tamu.
Babe!” Amanda menggamit Qaireen.
Qaireen menerpa pada temannya. Mukanya merona merah. Segera kaki melangkah ke ruang tamu. Dia merampas seluar kecil di tangan Adwan dan terus dimasukkan ke dalam beg sandangnya yang diletakkan di atas sofa tadi.
“Betullah kau kurang makan. Kecil!” Adwan mengusik.
“Sibuklah!” Qaireen berpura-pura melihat-lihat ke dalam beg sandangnya. Malu.
Hati dah mendongkol geram pada diri sendiri. Macam mana dia boleh lalai sampai seluar kecil itu boleh tercicir. Nampaknya makin teruklah dia kena bahan dengan lelaki ini.
“Bukan nak kata apalah. Hampir-hampir aje nak terpijak tadi.” Adwan semakin galak mengusik. Lagilah bila melihat muka Qaireen sudah berubah rona, merah padam.
“Eee…” Qaireen tanpa sedar memukul kuat bahu Adwan. Bengang diusik begitu.
Adwan ketawa besar. Dia membiarkan saja perlakuan Qaireen.
Babe!”
Qaireen menoleh. Tangan yang galak memukul Adwan terhenti. Perlahan-lahan jatuh ke sisi. Ya Allah, berganda-ganda malu dia. Kalau tak kerana Amanda datang menegur kelakuan dia, memang sakitlah orang tu dia kerjakan.
“Errr… tak sengaja. Tindakan refleks. Maaf.” Qaireen terus capai beg sandangnya. Ingin berlalu dari  situ.
Tak sanggup rasanya nak tayang muka tak tahu malu nie pada Adwan lagi. Cukup-cukuplah dia dah malukan diri sendiri dengan seluar kecik tadi. Sekarang ditambah dengan perlakuan kurang sopan. Memukul anak teruna orang dengan selambanya.
“Hei, mana boleh pergi macam tu aje.” Adwan melelar lengan Qaireen.
“Huh?” Qaireen pandang muka Adwan.
Your number?” Adwan menarikan keningnya.
I’ll give it to you, Along. Now, let her go.” Amanda cuba menyelamatkan keadaan. Dia tahu pasti temannya sudah malu sangat-sangat.
“Jangan lupa. By the way, it suits you.” Adwan kenyitkan mata dan terus keluar tanpa menoleh.
“Huh?” Sekali lagi air muka Qaireen berubah. Merah.
“Kau ni banyak sangat huh. Dah jom sambung balik makan.” Amanda masuk semula ke ruang makan.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.