BERHATI-HATI Azza
meletakkan pinggan yang sudah dibasuh ke rak. Ariq dah lama menghilang ke ruang
tamu. Dia paksa lelaki itu menonton televisyen. Itu pun selepas puas mereka bertekak.
Berebut nak mengemas dapur selepas makan tadi. Lelaki itu takut sangat agaknya pinggan
mangkuknya pecah. Tahulah ini rumah Ariq tapi Ariq lupa sesuatu. Inilah rutin
harian yang dia buat selama tinggal dengan pak longnya.
“Done.” Azza tersenyum. Jemarinya yang
basah direnjis ke singki dan dilap menggunakan tuala kecil yang tergantung di
jeriji tingkap di depannya. Dia mengatur langkah bergerak ke ruang tamu.
“Amboi,
suara televisyen tu! Kalau tak kuat tak dengar agaknya.” Dari ruang dapur lagi
sayup-sayup telinganya menangkap bunyi orang bercakap-cakap. Cumanya tak sangka
pula sekuat ini.
Entah
rancangan apa yang ditonton Ariq dia malas nak ambil tahu. Sekarang ada benda
yang lebih penting lagi. Bercekak pinggang, matanya meliar di sekitar ruang
tamu.
“Beg
baju aku mana?” Rasa-rasanya tadi beg bajunya diletakkan berdekatan dengan rak
televisyen.
“Ada
dalam bilik.” Mulut berbunyi tapi mata Ariq kekal pada kaca televisyen.
“Bilik
yang mana?”
Tidak
menjawab lagi, Ariq menekan butang merah pada alat kawalan jauh. Meletakkan
alat itu di atas meja kopi dan terus bangun menuju ke bilik tidurnya. Ikutkan
hati mahu sahaja dia menyuruh Azza mencari sendiri tapi dia tahu nanti
macam-macam soalan keluar dari mulut gadis itu. Dah tengah malam ni, dia malas
nak bertekak. Esok-esok sajalah kalau-kalau Azza berhasrat nak berdebat
dengannya.
Kening
Azza bertaut seraya matanya tak lepas mengikuti gerak-geri Ariq. Bukan baru tengok
ke televisyen tu? Beritahu ajelah bilik yang mana satu. Dah kenapa nak masuk
juga ni? Hesy, memang saja tau. Mahu atau tidak, langkah Ariq dia turuti juga.
Ariq
tersenyum. Dia tahu pasti Azza tak sangka dia sendiri dengan senang hati nak
tunjuk letak duduk beg baju gadis itu. Dia memang menunggu gadis itu habis
mengemas dapur. Menonton tadi sekadar lakonan. Boleh saja kalau dia nak tunggu
di dalam bilik. Sengaja nak buat hati Azza tak keruan. Memang itu pun tujuan
dia. Mana boleh biarkan gadis itu bersenang-lenang di dalam rumah ni.
Masuk
sahaja ke dalam bilik, dilambung tubuhnya ke atas katil. Berbaring santai. Kepalanya
ditinggikan sedikit. Mudah untuk dia memerhatikan gerak-geri Azza.
Azza
terus saja mendapatkan beg bajunya. Dapat dirasakan pandangan nakal Ariq yang
mengekori langkahnya. Ahhh, mata helang itu mana pandai untuk tidak memandang
dia. Chill, Azza Humaira.
Bertenang?
Tak boleh. Usah dicerita dadanya yang berdebar sekarang ini. Debaran yang
menggila. Tersilap perkiraan boleh meletup. Kalau di ruang tamu yang luas, Ariq
boleh buat dia kaku. Tak mustahil dia boleh mati lemas di dalam bilik yang sempit
ini. Lagilah bila berdua-duaan begini. Serba tidak kena dia jadinya.
Berpura-pura
tidak nampak perbuatan Ariq. Dia duduk mengadap beg bajunya. Sepasang pijama
dan tuala dikeluarkan sambil sebelah tangan sibuk menggaru kepala. Tiba-tiba terasa
gatal pula.
“Eh?”
Dia terjerit kecil bila jemarinya menyentuh tudung yang sedikit lembap. Ingatkan
tudung ni dia dah tanggalkan. Patutlah kepalanya rasa gatal. Hesy, macam mana
dia boleh terlupa ni.
“Tanggalkan
ajelah tudung tu. Tak adalah kau nak tergaru sana tergaru sini. Dah macam
monyet pula aku tengok.”
Monyet?
Tak guna punya nyamuk. Bingkas Azza berdiri. Satu jelingan tajam dilemparkannya
sebelum menghayun langkah keluar dari situ.
Meledak
tawa Ariq. Kuat. Suka dia bila Azza tayang muka tak puas hati kepadanya. Suka
melihat wajah putih itu berubah rona. Marah atau malu? Ahhh, ada dia kisah.
Yang pasti pipi yang kemerah-merahan macam minta dicubit-cubit.
“Shoot, Ariq Ziad! Kau dah kenapa?” Tawanya
mati. Dia menggeleng dengan perangai sendiri yang tak matang. Melihat baju yang
tersarung di tubuh, laju dia bangkit. Mahu menukar pakaian.
Selepas
beberapa minit, Azza masuk semula ke dalam bilik. Dia sudah siap menukar
pakaiannya. Tudung juga sudah tidak menghiasi kepalanya. Entah kenapa matanya
gatal memandang ke katil.
Alamak!
Sepantas kilat dia kalih pandang. Terkejut. Tak semena-mena dadanya kembali
berombak kencang. Berdebar-debar walau sedaya upaya dia cuba mengawalnya.
Bukannya ada orang lain pun atas katil tu. Ariq juga. Bersandar santai pada
kepala katil. Bezanya Ariq hanya berseluar pendek. Tiada lagi baju melayu dan
kain pelekat tersarung pada tubuh itu macam tadi.
Ariq
mendongak bila hidungnya menangkap bauan wangi. Terhenti terus aktiviti memeriksa
e-mel di telefon bimbit. Liur ditelan. Figura di depan matanya yang pegun
berdiri membelakangkan dia dipandang tak berkelip.
Setelah
debarannya reda, Azza lekas-lekas menyidai tuala sebelum memanjat katil. Mengambil
tempat di sebelah ruang yang kosong.
Subhanallah!
Mata Ariq masih memaku pandang pada Azza. Rambut Azza yang lurus dan lebat
berkilat serta terbuai-buai mengikut langkah pemiliknya terasa seperti hendak
dibelainya.
Ahhh,
mudahnya dia tewas dengan ciptaan Allah yang satu ini. Walhal baru beberapa
minit berada dalam bilik tidur bersama-sama dengan Azza. Sehinggakan Azza yang
sedang menyusun beberapa biji bantal di tengah-tengah di antara mereka pun
tidak dia sedarinya.
Pap!
Bunyi tepukan kuat yang dihasilkan Azza menyedarkan Ariq dari khayalan.
“Eh!
Apasal banyak sangat bantal-bantal ni?” Azza yang sudah merebahkan badan dipandang.
Bertaut keningnya melihat susunan bantal bagai kubu pertahanan di sisinya.
“Petua
orang tua-tua. Kau mesti tak pernah tahu, kan?” Azza tersenyum bersama kening
yang ditarikan.
Tidak
menunggu jawapan balas Ariq, badannya diiringkan membelakangkan lelaki itu.
Selimut ditarik hingga ke paras dada. Bibirnya dikemam erat. Mengelak tawa yang
ditahan dari meletus.
“Petua
apa pula?” Kerutan dahi Ariq makin berlapis-lapis. Jemari naik memicit pelipis.
Azza ni biar betul? Tak habis-habis dengan petuanya.
“Halau
nyamuk. Barulah lena tidur.”
Terbuntang
mata Ariq. Halau nyamuk? Dia tak adalah moden sangat sampai semua pesanan orang
dulu-dulu dia tolak. Tapi sungguh dia tak pernah dengar petua yang dicakapkan
Azza. Agak lama juga dia membisu. Cuba mencerna kata-kata Azza. Tiba-tiba
terhambur ketawa dari mulutnya.
“Hesy,
kau tak reti nak tidur ke? Esokkan kau ada meeting.
Jangan nak salahkan aku pula kalau kau terlewat bangun.” Azza membebel sambil
menarik selimut hingga menutupi kepalanya. Berbungkus seperti mayat.
“Nyamuk
mana tahu tidur. Psssttt, jaga-jaga nyamuk suka buat bising dekat telinga.
Silap haribulan siap tinggalkan kesan.” Ariq membalas dalam sisa tawanya.
Badannya turut direbahkan di sebelah Azza.
Untuk kesekian
kalinya, Azza telan liur. Kata-kata Ariq bagaikan memberi amaran kepada dia.
Ariq dah tahu ke itu semua hanya kelentong?
Allah, dia rasa macam tak selamat pula nak tidur.P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.
Bestttt....
ReplyDelete