Thursday, August 18, 2016

ADA AKU KISAH - BAB 5


TELEFON BIMBIT dilemparkan ke sisinya. Kool fever yang dilekatkan di dahi ditanggalkan dan dicampak ke atas meja kopi. Azizah tersengih sendiri. Tak pasal hari ini buat dosa percuma. Lantaklah. Janji dapat mengelak dari mamat kekwat tu.
Ya ampun, Jijah! Kau dah tak ingat dosa pahala ke? Azizah tersengih. Nanti solat Zuhur dia minta ampun dengan Allah.
“Bagus sangatlah tu menambah dosa.” Dina yang baru keluar dari bilik tidur menegur. Beg tangannya diletakkan di sebelah Azizah. Dia bergerak ke rak kasut. Mengambil setokin hitam.
“Alah, sekali sekala. Lagi pun dah lama aku tak cuti sakit. Eric pun suruh berehat.” Azizah menjawab selamba. Bagaikan apa yang dibuatnya itu tidak salah sama sekali.
“Dosa tetap dosa. Niat tak menghalalkan cara. Zaman sekarang ni Allah bayar tunai tau. Kalau kau tak percaya cakap aku, kau tunggulah nanti.” Dina mula bertazkirah sambil memakai setokin. Kepalanya tergeleng dengan sikap Azizah. Mengenang sisi nakal si teman yang telah muncul kembali.
“Tahu.” Muncung Azizah sedepa. Dia bingkas berdiri.
“Sentaplah tu. Jijah, bukan kau aje tau yang boleh jadi mak-mak. Aku pun boleh.” Makin laju gelengan Dina melihat reaksi Azizah. Azizah macam itulah perangainya. Kalau ditegur mudah terasa tapi kalau dia yang kena tegur oleh Azizah terpaksalah memendam rasa.
“Tak mainlah sentap-sentap. Baik pi soru. Makan lontong Pak Man lagi bagus. Kenyang perut senang hati.” Azizah capai kunci keretanya dan berlalu ke pintu utama.
“Eh, aku ikut sekalilah. Masih ada masa lagi ni. Nanti tak payahlah aku keluar semula nak cari sarapan.” Kalut Dina bangkit. Beg tangan dicapai. Kunci keretanya dikeluarkan terlebih dahulu sebelum langkah Azizah dituruti.
“Encik Afif kau cuti ke hari ini?” Azizah jongket kening sewaktu Dina mahu melintasi dia yang sedang menghidupkan enjin kereta. Keningnya ditarikan pada Dina yang sudah membuntang mata kepadanya.
“Kau ni memang nak kena cili eh mulut tu? Dia tu tak ada kena mengena dengan akulah.” Dina menyambung langkah. Hentakan kakinya sedikit keras. Tanda menidakkan kata-kata Azizah.
“Yalah tu, Cik Ardina. Sekali Allah balikkan hati kau. Baru kau tahu langit tu tinggi rendah. Zaman la ni, semuanya tak mustahil tau!” Azizah membalas. Suaranya sedikit nyaring memandangkan Dina sudah sampai di keretanya yang berada di belakang MyVi dia. Dia terkekeh bila nampak Dina menjelir lidah kepadanya.
Setelah seminit berlalu, kedua-dua kereta itu bergerak keluar dari perkarangan rumah. Menuju ke gerai yang dimaksudkan. Tak jauh dari situ.
Abu Zarr terpaksa memandu dalam kelajuan sederhana memandangkan jalan raya masih lagi dipenuhi dengan kenderaan yang berpusu-pusu menuju ke destinasi masing-masing. Lagi pula dia bukan mahu ke mana-mana pun. Cuma mahu menemui Azizah.
Bila difikirkan dengan akal sihat, perlu ke dia menemui gadis itu? Bukan dia dan gadis itu punya hubungan pun. Ikatan istimewa pun tak ada. Entahlah. Mungkin perasaan bersalah dalam hati ini yang kuat mengatakan gadis itu demam angkara dia.
“Logik ke kena air takungan boleh demam? Entah-entah minah tu menipu? Manalah tahu nak mengelak dari aku.” Abu Zarr jongket bahu. Dia kembali fokus pada pemanduannya.
Signal diberi sebaik sahaja masuk ke lorong rumah Azizah seperti yang tertera pada nota kecil di tangannya. Rupa-rupanya selang dua lorong sahaja dari rumah emaknya. Kalaulah dia tahu begini dekat dia dengan Azizah, memang tak perlu dia ke pejabat Eric. Terus sahaja ke sini.
Kereta diberhentikan di hadapan rumah bernombor 52. Abu Zarr memerhati ke halaman rumah. Ragu-ragu mahu keluar dari kereta bila dilihat keadaan rumah itu seperti tidak berpenghuni.
“Alamat dah betul. Apasal rumah ni macam berkunci? MyVi minah tu pun tak ada. Betul ke dia demam?”
Dia terjenguk-jenguk dari dalam keretanya. Mencari kalau-kalau Azizah ada di sekitar rumah. Malas nak menyesakkan otak memikirkan gerangan Azizah, dia mengambil telefon bimbit.
Nombor Azizah didail. Tiada jawapan.
Dia mencuba lagi. Masih tidak berjawab. Balik-balik suara merdu operator telefon sahaja yang kedengaran.
“Minah ni memang sengaja menguji aku! Kau belum kenal siapa Abu Zarr, perempuan!”
Telefon bimbit langsung dicampak ke tempat duduk penumpang di sebelah. Panas hatinya. Sudahlah perut belum berisi. Kena pula dipermainkan Azizah. Tak pernah ada seorang perempuan yang berani menolak panggilannya. Nampaknya Azizah perlu diajar.
Abu Zarr mengundurkan kereta. Niat hati nak balik ke rumah. Teringat nasi lemak emaknya tadi tapi nanti mesti emaknya menyoal macam-macam. Beria-ia emaknya menyuruh makan tapi mentah-mentah dia menolak. Konon nak bersarapan dengan Cik ID perasan bagus tu. Cancel.
“Dekat mana pula nak cari sarapan yang sedap-sedap dekat sini?” Dia merungut sendiri.
Itulah dulu-dulu masa zaman sekolah rajin sangat berkawan. Mendapatlah bila tak ada kawan waktu sesak macam ni. Kalau tidak roger aje siapa-siapa. Zoom terus ke tempat yang diberitahu.
Dalam kalut memikirkan tempat makan, dia baru sahaja melepasi satu gerai berdekatan dengan pokok besar. Betul-betul berhadapan jalan besar masuk ke taman perumahannya.
“Eh?” Dia tertoleh-toleh. Seperti ternampak seseorang. Perempuan.
Matanya mengecil melihat cermin sisi. Cuba mengamati betul-betul adakah matanya tak tersalah lihat. Hatinya tak tersilap tebak.
Confirm! Kau tipu aku hidup-hidup, ya. Siaplah kau.”
Tanpa lengah Abu Zarr memandu keretanya menuju ke gerai tersebut. Dia meletakkan Nissan Skyline GTRnya jauh sedikit dari gerai. Enjin dimatikan dan dia keluar dari kereta. Berjalan tenang menuju ke gerai tersebut.
Sebaik sahaja sampai, dia melangkah berhati-hati ke belakang dua orang perempuan yang sedang enak menjamu selera. Tubuhnya dibongkokkan sedikit. Dia merapatkan mukanya dekat dengan salah seorang dari perempuan tadi.
“Baguslah klinik ni. Bukan dapat MC je. Dapat makan lontong lagi.” Dia berbisik.
Azizah yang terkejut disapa dengan bisikan Abu Zarr tersedak. Terbatuk-batuk dia menahan perit di rengkungnya. Kalut dia mencapai gelas. Matanya mengikuti pergerakan Abu Zarr.
“Oh, mak kau!” Serentak itu Dina juga melatah. Turut sama terkejut dengan kehadiran Abu Zarr. Cuma nasib dia lebih baik. Tak tersedak.
“Apa awak ni?” Azizah merengus sebaik sahaja berjaya memulihkan perit di rengkungnya.
Dia merenung tajam Abu Zarr yang selamba sahaja menarik bangku kosong di hadapannya. Bengang melihat riak tak bersalah lelaki itu. Seolah-olah tiada apa-apa yang telah berlaku.
“Hai, Zarr.” Dina angkat tangan pada Abu Zarr. Menutup rasa malu termelatah tadi.
Abu Zarr menoleh. Sebenarnya dia terlupa jika dia pernah berjumpa dengan kawan Azizah. Untuk tidak memalukan kawan Azizah, dia hanya mengangguk dan tersenyum. Matanya kembali memaku pandang pada Azizah.
“Kau tanya aku kenapa? Aku, client yang super kekwat dan cerewet ni sanggup berlapar semata-mata nak pergi kedai perabut dengan adalah seorang ID yang perasan bagus tu. Tapi boleh pula dia berhikayat dengan bos dia cakap dia demam. Rupa-rupanya dia tengah berseronok melayan tekak makan lontong dekat sini. Celah mana entah demamnya.” Panjang lebar dia membebel. Menyindir Azizah pada masa yang sama.
“Kan aku dah cakap kat kau, Jijah. Allah bayar tunai aje tau sekarang ni.” Dina menyiku Azizah. Bercakap sebelum Azizah bersuara.
Shut up, Dina!” Azizah menjeling.
“Betullah cakap kawan kau tu. Sebagai denda kau kena belanja aku pagi ini.”
Belum sempat Azizah membantah Abu Zarr mengangkat tangannya. Dia memesan makanan yang sama dengan Azizah dan memilih kopi o untuk diminum.
“Cukup lontong je? Eh orderlah apa-apa lagi. Saya memang berbesar hati dapat belanja Encik Abu yang super cerewet ni.” Azizah sengaja memprovokasi Abu Zarr. Memancing kemarahan lelaki itu.
Whatever, Cik Jijah. Yang penting perut aku berisi.” Abu Zarr buat muka tak hairan. Dia malas nak melayan kerenah Azizah.
Telefon bimbit dikeluarkan. Dia mencari nama seseorang.
Azizah mencebik. Bengang. Rasa macam dia dah kalah pula bila Abu Zarr tak melawan.
Dina yang memerhati gelagat Azizah dan Abu Zarr tersenyum-senyum. Kenapa dia rasa macam ada sesuatu di antara kedua-dua mahluk Tuhan ini? Agak-agak kalau dia cakap dengan Azizah, Azizah marah dia tak?
“Yang kau tersenyum-senyum ni, kenapa? Makan cepatlah. Karang Encik Afif kesayangan kau telefon. Menggelabah tak ingat.”
Abu Zarr panggung wajah sekilas bila terdengar Azizah menempelak temannya. Senyuman senget tersungging di bibirnya.
“Tahulah.” Dina memuncung. Tak pasal-pasal jatuh saham kena marah dengan Azizah. Yang mencari pasal Si Abu Zarr tapi tempiasnya terkena pada dia.
“Aku ingatkan aje. Kau tu bekerja hari ni. Lainlah aku ni. Dapat MC.” Sengaja Azizah tekankan perkataan MC. Mahu Abu Zarr mendengarnya.
Biar pun dia menipu pasal demam tu tapi dia betul-betul perlukan waktu untuk berehat. Tenaganya perlu dipulihkan. Sejak Eric meminta dia menguruskan hiasan dalaman rumah baru Abu Zarr, dia dah gunakan seluruh tenaga dalam tubuhnya. Segala organ dalaman dia dipaksa bekerja keras. Mulut dengan otak sama berjalan. Letih.
“Errr… Aku blah dulu. Takut sangkut kat traffic. Pergi dulu, Zarr. Nice meeting you. Assalammualaikum.” Dina cepat-cepat pergi. Sempat tinggalkannya not 10 ringgit kepada Azizah sebelum berlalu dari situ.
Abu Zarr mengangguk. Menjawab dalam hati. Memerhati Dina seketika sehingga gadis itu meloloskan diri ke dalam kereta. Dia kembali memandang Azizah sambil jarinya menekan sesuatu pada telefon bimbitnya.
“Nah.” Dia menyuakan telefon bimbit kepada Azizah.
“Nak buat apa?” Berkerut dahi Azizah.
“Jijah?”
Allah! Suara Eric tu. Azizah dah menggelabah. Nak mengelak dah tak boleh. Terang-terang Eric dah nampak muka dia. Mahu atau tidak dia ambil juga telefon bimbit Abu Zarr.
Abu Zarr tersengih. Kebetulan lontong dan air kopinya juga sudah sampai. Dia membiarkan sahaja Azizah melayan panggilan video yang dibuatnya kepada Eric itu.
“Errr… hai, Eric!” Azizah melambai.
“You dekat mana? Apasal telefon Zarr boleh ada dengan you?” soal Eric bertalu-talu.
Azizah tak tahu nak menjawab apa. Ini dah kira kantoi depan-depan. Dia balikkan skrin telefon kepada Abu Zarr bersama dehaman. Meminta lelaki itu menjawab sendiri.
Datinglah, bro.” Abu Zarr kenyit mata.
No, no!” Kalut Azizah membalikkan semula telefon bimbit. Sempat dia memberi jelingan tajam pada Abu Zarr yang tersenyum senget walau lelaki itu sedang menunduk menyuap lontong.
“Jijah?”
“I tengah sarapan ni. Dekat luar. Kawan you tu menyibuk. I rasa macam tak cukuplah satu hari MC, Eric. I perlu satu hari lagi. Serabut otak I ni.” Azizah buat muka letih. Cuba meraih simpati Eric.
“Dia sihat aje, bro. Kau dengan aku kena prank. Hebat staf kau ni.” Abu Zarr menyampuk.
Eee…Azizah rasa macam nak sumbat mulut Abu Zarr dengan nasi impit tu banyak-banyak. Menyibuk tak habis. Dia menjeling.
Abu Zarr menari-narikan keningnya. Tanda apa yang dia ungkapkan tadi betul. Lagi pun dia suka melihat riak tegang pada wajah Azizah. Nampak manis aje.
“Betul ke you tak demam, Jijah?”
“Errr…”
“If so, please proceed your job. Selesai projek ni, I luluskan cuti you. Cutilah berapa hari pun. I don’t mind.”
“Tak boleh extend?” rayu Azizah.
Eric menggeleng.
Okay then.” Lemah Azizah membalas. Bagilah berjuta alasan. Memang Eric tak akan layan. Dia kenal Eric macam mana. Soal kerja memang Eric sangat bertegas.
Got to go, dear. By the way, I’m hundred percent sure he likes you.” Eric kenyit mata.
Bye, Eric.” Cepat-cepat Azizah matikan panggilan video itu. Tak mahu hadam kata-kata Eric.
Sebenarnya dia berharap sangat Abu Zarr tak dengar apa yang Eric katakan. Eric kalau disuruh cakap merapu, memang dialah juara. Kalah Si Shahrul.
“Nah.” Azizah tolak telefon bimbit Abu Zarr yang diletakkannya di atas meja kepada lelaki itu.
“Jadilah kita ke kedai perabut tu?” Abu Zarr bertanya.
Lambat-lambat Azizah mengangguk sambil menyambung menghirup kuah lodeh. Lagi mahu tanya. Macamlah lelaki ini tak dengar apa yang Eric katakan tadi.
Good. Lagi cepat selesai lagi bagus. Minggu depan aku dah mula sibuk. Ada fashion show.”
“Semuanya boleh selesai cepat kalau awak tak cerewet.” Mata Azizah pandang ke atas. Bukan main lagi Si Abu Zarr ni bercakap. Mana nak selesai cepat kalau lelaki ini terlalu cerewet.
“Cerewet bersebab.”
Whatever.” Sekali lagi Azizah buat muka menyampah.
Abu Zarr ketawa kecil. Kelakar pula gadis di depan dia ni. Tak sampai setengah jam duduk semeja dengan gadis ini, pelbagai riak muka yang dipamerkannya.
“Aku boleh je tak nak cerewet.”
Azizah mencebik. Yalah sangat, Abu Zarr.
Gelas berisi air limau panas yang dipesannya tadi diambil. Dibawa dekat dengan bibirnya. Sambil menyisip minumannya matanya ditebarkan ke atas jalanraya. Tak berani nak pandang depan. Dia tahu Abu Zarr sedang memandang dia. Memanglah dia tak ada rasa apa-apa tapi dia akui lelaki ini punya aura tersendiri. Aura yang mampu menarik hati mana-mana gadis tak terkecuali dia. Sebab itu dia memilih untuk tidak memandang secara terus.
Tawa Abu Zarr meletus lagi. Girl, you don’t know what you have done.
“Nak tahu tak macam mana?” gesanya.
“Hmmm…” Mulut Azizah dah herot ke kiri dan ke kanan. Acuh tak acuh saja melayan.
Treat me nicely and I’ll do the same.” Abu Zarr kenyit mata.
What?” Hampir sahaja tersembur air yang ada di dalam mulut Azizah. Abu Zarr ni cakap apa? Nak suruh dia melayan nafsu lelaki inikah? Gila!
Sepertinya dapat membaca apa yang ada di dalam fikiran Azizah. Cepat-cepat Abu Zarr menempelak.
“Hei! Otak tu jangan kuninglah.”
“Mana ada.” Cepat-cepat Azizah menafikan tuduhan Abu Zarr walau sebenarnya apa yang diungkapkan lelaki itu benar.
Treat me nicely tu macam sekarang nilah. Kau belanja aku makan. Setiap kali pergi makan kau bayar. Amacam?”
Azizah terdiam. Dalam kepala galak mencongak duit yang ada dalam beg duit. Setuju ajelah. Nanti pandai-pandailah dia claim dengan Eric. Lagi pun Abu Zarr kan kawan Eric. Mesti lelaki ini bayar besar pada Eric.
“Okey.”
Abu Zarr tersenyum.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

ADA AKU KISAH - BAB 4


LINA yang baru melabuhkan punggung di tempatnya kembali berdiri. Terkebil-kebil matanya melihat makhluk indah ciptaan Tuhan yang sedang berjalan ke arahnya. Hensemnya. Dia tersengih.
“Errr…maaf I main masuk aje.” Abu Zarr tersenyum sambil menanggalkan kaca mata sport jenama Oakley dari mukanya. Digantung pada kocek baju T.
“Tak apa. Tak apa. Tak kisah pun.” Tersipu-sipu Lina membalas.
Sekali seumur hidup kut dapat berbual dengan model kacak macam Abu Zarr ni. Macam bulan jatuh ke riba. Nak harapkan Azizah memperkenalkan dia pada jejaka hensem ni. Nan hado. Kedekut Azizah tu. Nak makan soranglah tu. Eh, agak-agak kalau dia ajak selfie nak tak lelaki ni? Muat naik kat Instagram mesti dapat banyak like.
“Eric ada?”
Lina mengangguk laju. Jari telunjuknya menuding pada bilik kerja Eric.
“Boleh I jumpa dia?”
Sekali lagi Lina mengangguk. Bibirnya bagai digam. Suaranya pula bagaikan tersekat untuk dikeluarkan. Hati bukan main lagi merancang macam-macam tapi begini pula terjadinya.
Thanks.” Abu Zarr meleretkan senyuman paksa. Berkerut dahinya dengan tingkah Lina.
Dia menggeleng kecil sebelum terus sahaja melangkah ke bilik kerja Eric.
Phew!” Lina terduduk. Terasa kejang kakinya menahan dari terjelupuk. Tiba-tiba sahaja dia menepuk mulutnya sendiri.
“Kenapalah mulut ni susah sangat nak bercakap. Dah depan mata kut. Bodohnya.” Dia membebel sendiri.
“Siapa yang bodoh, noks?”
“Opocot, mak kau!” Terus sahaja Lina berdiri tegak hingga pahanya berlaga dengan meja. Sakit. Terkejut bila ada suara ala-ala jantan berbisik di telinganya.
Mengekek Shahrul ketawa. Namun tawanya terhenti bila melihat Lina mencapai pembaris besi. Tak cukup tanah dia berlari bila Lina mula mengejarnya. Kalut dia mencari tempat persembunyian. Pantri. Lantaklah Eric nak marah. Yang penting selamatkan badan sado dia dari lebam dek pukulan pembaris besi.
Bunyi bising di luar memaksa Eric memusat pandang pada pintu bilik kerjanya yang terbuka.
What the…” Dia menggigit bibir bila kelibat Shahrul dan Lina melepasi bilik kerjanya.
Abu Zarr yang sudah melabuhkan punggung pada kerusi di depan Eric turut sama berpaling. Dia tersenyum sinis.
“Macam-macam perangai staf kau.” Dia menyindir bila duduknya kembali menghadap Eric.
Dorang tu terlebih kreatif.” Eric membalas. Dalam hati menyumpah perangai tak cukup matang Shahrul dan Lina. Sungguh memalukan. Siaplah budak berdua tu selepas ni.
“Kreatiflah sangat. So, mana ID terbaik kau tu? Tak nampak batang hidung pun. Janji pukul 8:00. Ini dah 8:15.”
“Jijah?”
Abu Zarr mengangguk.
“Kau ada janji dengan dia ke?” Terangkat kedua-dua belah kening Eric.
Biar betul kawan dia ni? Sebab itukah Abu Zarr sanggup mencemar duli ke pejabatnya pagi ini? Azizah pun tak ada update apa-apa pun pasal janji temu gadis itu dengan Abu Zarr. Ada sesuatu yang dia tak tahu ke? Azizah dan Abu Zarr?
“Hari ni nak pergi kedai perabut, kan? Aku nak pergi sekali. Nak tengok dengan mata sendiri perabut yang dia pilihkan. Takut tersilap.” Hujung bibir Abu Zarr ternaik sedikit.
Jatuh rahang Eric. Patutlah. Patutlah Azizah mengadu dengan dia mengatakan Abu Zarr cerewet. Sejak bila pula kawan dia ni bersikap macam ni? Setahu dia Abu Zarr yang dia kenal jenis tak kisah. Seorang yang boleh berkompromi. Apa yang telah diputuskan, itulah yang dipersetujui.
So?” Sebelah kening Abu Zarr terjongket.
Belum sempat Eric menjawab, telefon bimbitnya berbunyi. Dia memandang. Nampak muka Azizah di situ. FaceTime. Pantas jari telunjuknya naik di depan muka Abu Zarr. Memberi isyarat tunggu sebentar. Jemarinya menekan ikon hijau.
“Ya, Cik Jijah…”
Matanya terbuntang bila melihat ada pelekat kool fever di dahi Azizah. Dah kenapa pula dengan staf dia yang seorang ni. Jangan Azizah cakap gadis itu demam sudahlah. Semalam elok sahaja. Tapi melihatkan hidung gadis itu yang merah sepertinya tebakan dia betul.
Abu Zarr betulkan duduknya bila terdengar Eric menyebut nama Azizah.
Morning super duper handsome boss.” Suara Azizah bergema. Tidak merdu. Kedengaran sengau.
What happened to you?”
Duduk Abu Zarr berubah posisi. Tidak senang mendengar pertanyaan Eric pada Azizah. Apa yang tak kena dengan gadis itu? Nak aje dia meminta Eric palingkan skrin telefon bimbit lelaki itu ke arahnya. Eh, tak boleh. Nanti Eric fikir lain pula.
“Demam. Demam panas. Plus flu. You boleh tolong I tak?”
Anything.”
“I sepatutnya pergi kedai perabut pagi ni. Nak tengok perabut untuk rumah Encik Abu tu. You tahulah kan a friend of yours yang super kekwat dan cerewet tu. Dia nak ikut sekali.”
Super what?” Eric tahan senyumannya dari menguntum. Mata memandang Abu Zarr di depan. Nampak mata si teman dah membuntang.
“I tahu you tak pekak. Ni boleh tak you suruh Lina ganti tempat I?”
Eric pandang lagi Abu Zarr bila si teman menggeleng kepala.
“Nanti I tanya Lina kalau dia free.”
Thanks, Eric,”
Just get a rest, Jijah.”
Bye.”
Eric panggung kepala sebaik sahaja panggilan video itu tamat. Wajah Abu Zarr direnung.
“Kau dengar sendiri, kan? Azizah tak sihat. Aku akan minta Lina temankan kau ke kedai perabut tu.”
“Tak perlu.”
“Betul?”
“Errr… kau boleh bagi alamat rumah Jijah?”
What for?”
Just give it to me. Aku rasa aku tahu kenapa staf kau jadi macam tu.” Abu Zarr bertegas.
Sebenarnya ada perasaan bersalah bersarang dalam hatinya. Entah-entah demam Azizah ada kaitan dengan kejadian semalam.
I smell something fishy here.” Eric ketawa-ketawa.
Sehelai post-it note ditarik. Dia menulis sesuatu di atasnya.
“Tak ada fishy-fishylah.”
“Nah. Kau jangan macam-macam dengan dia. Dia ni budak baik.” Eric memberi amaran seraya menyerahkan nota kecil yang bertulis tulisan tangannya tadi kepada Abu Zarr.
Don’t worry.” Abu Zarr tersenyum.
Dia membaca apa yang ditulis Eric. Dahinya berkerut. Eh, macam dekat dengan rumah emak dia? Lahhh… setaman ke? Patutlah emak dia kenal dengan Azizah.
“So, sekarang ni tak jadilah pergi ke kedai perabut tu.”
Later. Thanks, Eric. Aku pergi dulu.” Abu Zarr bergegas bangun. Tergesa-gesa bersalaman dengan Eric dan berlalu dari situ.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

Wednesday, August 17, 2016

ADA AKU KISAH - BAB 3


AZIZAH keluar dari bilik tidurnya selepas selesai mandi dan bersolat asar. Dia berjalan menuju ke ruang dapur. Berhenti seketika di laluan tengah. Membongkokkan tubuhnya. Membetulkan lilitan tuala yang membungkus kepala. Habit yang biasa dia lakukan jika membasuh rambutnya yang separas dada itu.
Biar pun kepala terasa sedikit berat dek tuala itu tapi dia tak kisah. Orang kata perempuan ni sanggup menderita sebab nak cantik. Dia salah seorang yang tergolong dalam kelompok itulah. Cuma tak adalah ekstrim. Masih berpada-pada.
Bungkusan plastik berisi pisang goreng tadi diambil. Sebiji pinggan dicapai. Dibawanya ke ruang tamu. Televisyen dihidupkan sebelum dia melabuhkan punggung di atas sofa. Alat kawalan ASTRO diambil. Dia mencari rancangan kegemarannya. Siaran apa lagi HGTVlah. Melihat idea-idea segar bangsa asing. Manalah tahu boleh diterapkan di sini.
“Assalammualaikum!”
Azizah menoleh ke pintu utama yang dikuak dari luar. Nampak sahaja muka si pemberi salam terus dia menghenyakkan punggungnya di sofa. Sempat dia menjeling jam di dinding. Lambat pula temannya ini balik. Selalu jam 5:00 dah ada di rumah. Ini dekat 5:30 baru nampak batang hidung.
“Waalaikumussalam,” jawabnya sambil tangan pantas memindahkan pisang goreng tadi ke dalam pinggan.
Sepotong pisang goreng diambil. Sila ditarik. Belakang badan disandarkan pada sofa. Perlahan-lahan dia mengunyah. Si teman yang turut mengambil tempat di sebelahnya langsung tak dihirau.
“Tangan kau tu bersih ke kotor?” tegur Azizah bila tangan si teman baru nak menyentuh pisang goreng.
“Macam mak-maklah kau ni.” Temannya merungut. Malas-malas bangun juga si teman ke ruang dapur. Punggung berat nak diangkat tapi pisang goreng tu nampak menyelerakan. Sukar untuk dilepaskan.
“Kalau aku tak macam mak-mak, kau jangan panggil aku Jijah tau!” Azizah ketawa-ketawa.
Dia dah terbiasa menegur. Maklum sebagai anak sulung Puan Hasnah dan Encik Azizi, dia sudah dididik begitu. Menjadi seorang yang tegas dan contoh kepada adik-adik. Sebab itulah mulut dia ringan aje bercakap jika tak kena di mata.
“Yalah, Cik Jijah…” Meleret suara si teman menyahut.
“Alang-alang kau dah kat dapur tu. Tolong ambilkan air cokelat aku kat dalam fridge, Dina!” jerit Azizah kuat.
“Pandailah kau!” Dina pun tak nak mengalah. Sepelaung suaranya membalas di ruang dapur sana.
Kalaulah ada ibu-ibu yang sedang mencari calon menantu, rasa-rasanya nama kedua-dua mereka tiada dalam senarai. Selamba sahaja menjerit sana-sini. Walhal hanya mereka berdua sahaja yang mendiami rumah teres satu tingkat itu. Boleh sangat nak bercakap dalam nada biasa-biasa. Tapi kalau dah namanya Azizah dan Ardina, manalah reti nak berbual perlahan-lahan.
“Nah.” Dina meletakkan segelas air cokelat yang dipinta Azizah tadi di atas meja kopi. Dia langsung mencapai sepotong pisang goreng dan duduk bersandar sama di sebelah Azizah.
Thanks.”
Heaven. Nasib kau beli. Hilang kempunan aku. Aku singgah juga kat gerai Mak Cik Timah tadi. Nampak kerak aje. Punah impian.”
“Tu dah baca bismillah ke belum?”
“Dahlah. Dalam hati.”
“Aku ingatkan aje.” Azizah tersengih bila Dina menjelingnya.
Guess what?” Dina menepuk paha Azizah. Dia turut menarik sila dan duduk menghadap Azizah.
“Apa? Kau dapat bonus ke?” Azizah jongket kening.
“Bonus apanya tengah-tengah tahun? Eh tapi apa yang terjadi tadi kira bonus jugalah.” Dina tersenyum-senyum.
Sepotong pisang goreng dicapai lagi. Tubuhnya yang mengiring disandarkan kembali ke sofa. Teringat kembali kejadian tadi.
Azizah buat muka. Tanda malas nak mendengar ocehan Dina. Mesti temannya ini nak bercerita pasal lelaki. Baik dia tengok tv. Ada juga faedahnya. Dia turut mengambil lagi sepotong pisang goreng.
“Aku tak sangkalah Mak Cik Timah ada anak lelaki hensem macam tu. Muka macam ala-ala model antarabangsa tau. Peramah pula tu. Tak kisah pun nak berbual dengan aku.”
Betul tak kata hatinya? Hujung bibir kanan Azizah ternaik. Kalau tak beri respon nanti Dina merajuk. Temannya ni kaki sentap juga. Mahu atau tak kenalah layan walau isu yang diperbualkan tak masuk kepalanya.
“Kau tak jumpa ke anak Mak Cik Timah tu tadi?” Dina memandang muka tak ada perasaan Azizah.
Azizah jongket bahu. Malas nak bercerita apa yang terjadi tadi. Mana dia sempat nak pergi gerai Mak Cik Timah. Takkan nak tayang body dekat situ. Memang orang akan mengata dia gila. Gelas air cokelatnya diambil.
“Rugilah kalau kau tak jumpa. Serius anak Mak Cik Timah tu memang hensem. Kalau tak silap tadi Mak Cik Timah panggil anak dia Zarr.”
Serentak itu tersembur air cokelat yang belum sempat ditelan Azizah.
“Allah!” Dia terjerit.
“Jijah!” Satu oktaf suara Dina bergema.
Kalut Azizah berlari ke ruang dapur dalam keadaan dia terbatuk-batuk. Nak cuci mulut. Air cokelat kut. Dalam pada itu sempat otak dia bekerja. Celah mana pula Abu Zarr tu boleh jadi anak Mak Cik Timah? Sekejap. Adakah Zarr yang dikatakan Dina tu sama dengan Abu Zarr si cerewet yang dia kenal?
“Selekehlah kau ni.” Cemberut muka Dina bila Azizah muncul semula di ruang tamu.
“Bukan kena kau pun.” Azizah mencebik.
Tangannya pantas mengelap sisa air cokelat di atas sofa dan di atas lantai. Nasib sikit aje.
“Memanglah tapi tetap selekeh.” Dina membantah.
“Dah kau sebut nama Zarr siapa suruh. Aku memang alergik dengan nama tu.” Azizah mempertahankan tindakannya tadi.
“Macamlah kau kenal Zarr tu. Bukan tadi kau kata tak terserempak ke dengan anak Mak Cik Timah? Celah mana pula tiba-tiba kau boleh alergik dengan nama tu?” Dina memandang Azizah pelik.
Wait a second.” Azizah tunjuk tapak tangannya kepada Dina.
Dia berlari anak ke ruang dapur. Mencampak kain lap tadi ke dalam sinki. Kemudian dia berlari ke dalam bilik tidurnya pula. Mengambil telefon bimbitnya sebelum kembali melabuh punggung di sebelah Dina.
“Ini Zarr yang aku kenal.”
Azizah menunjukkan gambar Abu Zarr yang diambilnya curi-curi semasa sesi lawatan ke rumah baru lelaki itu. Itu pun bapak kecik gambarnya. Yalah kalau dah Abu Zarr dekat sudut kiri dia dekat hujung sana. Mana nak dapat tangkap gambar yang jelas.
Dina melihat ke skrin telefon bimbit Azizah. Dia merampas telefon bimbit Azizah. Dibawa betul-betul di depan matanya. Gambar Abu Zarr dibesarkan. Mulutnya terlopong. Dia memandang Azizah.
Azizah jongket kedua-dua belah keningnya.
Dina mengangguk.
Client baru syarikat. Abu Zarr. Untuk lebih spesifik, kawan baik Eric.”
“Untunglah kau.”
Mata Dina kembali pada skrin telefon bimbit Azizah. Kembali menatap penuh minat gambar Abu Zarr. Dia cuba mencari gambar lain lelaki itu tapi hampa. Semuanya gambar ruang kosong dalam sebuah rumah.
“Untung apanya? Azab tahu tak. Cerewet dia tahap petala. Eh, silap! Tak ada tahap. Infiniti. Sudahlah tu. Sombong pula tu,” bidas Azizah.
Boleh kena sakit jantung berurusan dengan lelaki bernama Abu Zarr. Tak sangka lelaki yang boleh dikategorikan metroseksual tu dia punya cerewet, ya ampun. Allah sahajalah yang Maha Mengetahui. Berlagak pun boleh tahan juga.
“Okey aje dia berbual dengan aku tadi.” Dina menidakkan kata-kata Azizah. Berbeza betul perwatakan lelaki itu dengan apa yang diperkatakan Azizah.
“Kau tak berkerja dengan dia. Bolehlah kut kau nak cakap macam tu.” Azizah mencebik.
“Tapi dia hensem.” Dina masih mempertahankan Abu Zarr.
“Model. Kenalah kut dengan muka tu.” Acuh tak acuh Azizah memberitahu.
“Serius?”
Azizah buat muka. Apalah yang menarik pada Si Abu Zarr tu sampai temannya ini teruja sangat. Sama macam Lina dan Shahrul. Lelaki itu biasa-biasa aje pun. Bersepah kut muka model macam tu.
Dina tersenyum-senyum. Rasa macam mimpi pula dapat berbual dengan model. Tiba-tiba telefon bimbit Azizah berbunyi.
“Encik Abu?” Berkerut dahinya.
Azizah berdecit. Abu Zarr telefon? Nak apa pula lelaki tu? Nak suruh bayar pisang goreng tadi ke?
“Siapa suruh kau sebut-sebut nama dia? Tak pasal aku kena jawab?” Dia mengambil telefon bimbitnya. Masih berkira-kira nak jawab atau tak.
“Siapa Encik Abu? Aku ada cakap pasal Encik Abu ke?”
Azizah jentik dahi Dina.
“Zarr kau tulah. Kan aku dah beritahu nama dia Abu Zarr.”
“Serius?” Jatuh rahang Dina.
Klasiknya nama model tu. Eh, sama dengan Azizahlah. Nama Azizah pun klasik. Dia tersengih.
“Macam berjodoh dengan kau.”
“Minta simpang.” Azizah buat muka.
Ditekan juga ikon telefon berwarna hijau. Karang tak dilayan, Si Abu Zarr ni mengadu pula dengan Eric. Tak pasal esok pagi kena menghadap angin Eric pula.
“Hello! Nak apa? Nak suruh saya bayar ke pisang goreng tadi?” Garang suara Azizah menjawab.
Dina yang memerhati dah terbuntang matanya. Kasar gila. Abu Zarr tu kut. Model hensem. Kalau dia mesti jawab dengan lemah lembut. Perempuan melayu terakhirlah katakan.
“Wuhuuu… Assalammualaikum, Cik Jijah.”
“Waalaikumussalam.” Mendatar suara Azizah membalas. Dijelingnya Dina yang mentertawakan dia.
“Esok kau nak pergi kedai perabut, kan?”
Yup. Why?”
Text aku alamat kedai tu.”
Serious?”
“Seriuslah. Aku takut kau salah pilih. Manalah tahukan. Kau pandai-pandai ubah ikut citarasa kau.”
“Saya tak segila itulah, Encik Abu. Encik Abu dah bayar pada kami takkanlah kami nak pandai-pandai ikut citarasa sendiri.”
Pre-caution.”
Azizah julingkan matanya ke atas. Ya Allah, berilah dia kesabaran yang tinggi.
“Boleh tak jangan susahkan kerja saya?”
“Mana ada menyusahkan kau. Lagi mudah rasanya dengan aku ada sekali dekat sana.”
Azizah mengeluh. Rasa-rasanya esok pagi nak MClah. Nak pass job ni pada Lina atau pun Shahrul. Penat kut nak melayan pelanggan cerewet macam Abu Zarr ni.
“Nanti saya textkan.”
ASAP. Assalammualaikum.” Talian diputuskan Abu Zarr.
“Waalai…” Azizah terkebil-kebil memandang telefon bimbitnya yang sudah gelap. Dia menyambung salam Abu Zarr dalam hati.
“Aku ikut esok?” Dina kerdip-kerdipkan mata cantiknya.
“Kau jangan nak tambah serabut kepala aku, boleh tak?” Azizah menjeling.
“Kedekut.” Dina mencebik.
“Bukan kedekut. Aku alu-alukan kalau kau nak ikut. Lagi senang. Kau aje yang melayan Si Abu tu tapi masalahnya. Kau tu pun kerja juga esok, kan? Kau nak Encik Afif kau mengamuk?”
“Bila masa dia jadi Encik Afif aku? Dahlah. Aku nak mandi. Nak solat. Melayan kau semua tak jadi.” Dina bingkas bangun.
“Astaghfirullahaladzim! Dah dekat pukul 6:00 Cik Ardina, oiii!” Azizah menggeleng.
Dina menjelirkan lidahnya. Sengaja berlenggang masuk ke dalam bilik tidurnya.
Azizah mencampak telefon bimbitnya ke sisi. Pelipisnya dipicit. Serabut. Entah apalah yang bakal berlaku keesokan hari ni.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.