Friday, August 2, 2013

CUMA DIA KEKASIHKU - BAB 5


Kalau dah perempuan tu perempuan juga. Ikut suka dia, nak jalan dia jalan, nak berlari dia berlari. Nasib baik cantik. Erkkk… cantik? cantiklah agaknya, getus Akid sendiri. Kad nama di tangan di pegang kejap. Teringat perbualan dengan Danial semalam.

“Wani pesan dengan aku suruh kau bayarkan separuh lagi pakej yang dia tempah tu.”

“Aku nak kena sponsor majlis harijadi dia?” soal Akid bengang.

“Layankan aje. Aku dah ada plan baik untuk kau masa majlis tu nanti,” balas Danial tersenyum-senyum.

Tak pasal-pasal mesyuarat yang sepatutnya diadakan pagi ini ditangguhkan pada pukul dua petang. Bingit juga telinga Akid bila papanya bising. Bermacam-macam alasan diberi dan dia berjanji lain kali tak akan campur adukkan kerja dengan urusan peribadi.

Wani ni pun satu juga. Kenapalah pilih kedai cikai. Menyusahkan orang betul. Dahlah susah nak cari jalan. Tempat letak kereta pun sikit. Tak ada maknanya dia nak datang sini lagi. Akid mengeluh. Dia melangkah masuk ke dalam kedai yang dimaksudkan.

Sebaik pintu ditolak, aroma pastri dan kek menusuk masuk ke dalam hidung Akid. Ditambah dengan bau kopi yang menyegarkan. Bukan itu saja dekorasi kedai turut menarik perhatiannya. Dia terpegun. Lovely. Memang kena dengan namanya. Tak sangka pula wujud kedai macam ni di Malaysia.

Satu meja pameran bulat diletak di ruang tengah. Kek dipamer atas dulang yang ditutup dengan gelas saiz besar. Segala jenis roti diletak dalam bakul di rak. Pelbagai jenis biskut dalam balang kecil juga di pamer di rak. Lebih menarik bila ruang tersebut dipenuhi dengan warna pink, hijau lemon, maroon dan kuning. Unik.

Akid perasan Lovely Bakery dibahagikan kepada dua bahagian. Dibahagian yang satu lagi terdapat rak yang menempatkan pelbagai jenis buku dan majalah. Terdapat juga beberapa buah set meja kayu dan sofa. Hmmm… menarik. Tanpa sedar kata-kata pujian keluar dari mulutnya. Apa dia cakap tadi? Akid menggosok-gosok tengkuknya.

Akid melangkah perlahan ke kaunter bayaran. Rayban yang dipakai ditanggalkan dan disangkut di kocek kemeja. Tali leher dilonggarkan. Sesekali dia menguak rambut ke belakang. Senyuman diberikan pada pekerja-pekerja di kaunter yang ralit memandangnya.

“Ehem… ehem…” Akid berdehem kuat. Cuba mengejutkan lamunan dua orang gadis yang ternganga di depannya.

“Hoi, korang!” sergah budak lelaki yang turut berdiri di belakang kaunter.

“Eh… eh… Encik nak beli apa?” kalut gadis yang berbaju merah bertanya. Tangannya ligat pura-pura menyusun manisan di tepi kaunter.

“Kau buat apa kat sini? Pergi sanalah. Sibuk je. Tu ada orang nak beli air kopi.” Gadis berbaju biru menjuihkan bibirnya ke arah mesin pembuat kopi.

“Eeeee… kalau tak kerana abang ni panggil tapi korang melopong je, tak ada maknanya aku nak menyibuk kat sinilah.” Budak lelaki itu merengus dan berlalu ke tempatnya. Kedua-dua gadis itu hanya tersenyum kelat sambil memandang Akid.

Akid tersenyum sumbing.

“Saya nak jumpa bos awak. Dia ada tak?” lembut Akid bertanya.

“Bos? Bos tak ada. Dia baru keluar, kan Iza?” Gadis berbaju merah itu menyiku temannya.

“Aah… Dia baru je keluar tadi.” Gadis berbaju biru itu anggukkan kepala.

“Hmmm… ada sesiapa tak yang boleh saya jumpa?” tanya Akid sambil memandang jam Cerruti di pergelangan tangannya.

“Sekejap. Saya panggilkan Cik Qaireen. Dia second boss kat sini. Encik duduk dulu kat sana,” jawab gadis berbaju merah itu. Jari dia dituding ke sudut bacaan sebelum berlalu pergi.

Akid mengangguk.

“Kak Reen! Kak Reen!” panggil Hanim kala menjengukkan kepala dia di pintu bilik Nada Qaireen.

“Tak reti bagi salam ke, Hanim,” tegur Reen. Dada diurut. Sedikit terperanjat. Masuk ni dah dua kali dia terperanjat. Ada nanti dia jadi penghuni IJN.

“Opsss… maaf. Assalammualaikum,” balas Hanim sambil tersengih.

“Waalaikummussalam. Hmmm… ada apa?” soal Reen acuh tak acuh. Mata dia masih merenung skrin komputer. Jari jemarinya ligat menekan papan kekunci.

“Ada abang hensem nak jumpa Kak Amanda. Since Kak Amanda tak ada saya cakap dia boleh jumpa Kak Reen,” jawab Hanim.

“Abang hensem? Lelaki? Kak Amanda cakap dengan Kak Reen, Cik Wani yang nak datang hari ni. Salah kedai tak orang tu.” Malas betul dia nak layan. Entah siapa-siapa agaknya.

“Tak tahulah saya. Tapi gaya abang tu macam nak cepat. Baik Kak Reen jumpa dia dulu. Manalah tahu abang tu kawan Cik Wani. Hensemmm… Kak Reen. Rugi kalau tak tengok,” pujuk Hanim. Risau pula dia kalau orang yang dimaksudkan lama menunggu.

“Ya lah, ya lah. Macam-macamlah awak ni.” Reen bangun dari tempat duduk dan bergegas mendapatkan Hanim yang baru melangkah keluar dari bilik.

“Betul ke hensem?” tanya Reen. Sempat lagi. Aura gedik dah keluar. Dia berjalan beriringan dengan Hanim.

Hanim hanya menganggukkan kepala.

Setibanya di ruang café, Reen memandang ke arah abang hensem yang Hanim maksudkan. Oh, my! Melting. Betullah hensem. Macam pelakon telenovela. Santainya dia duduk. Hmmm… baca majalah bisnes. Bukan sembarangan orang ni.

Menyedari dia diperhatikan, Akid menoleh. Senyuman manis diberikan. Dia berdiri. Kemejanya diperkemaskan. Macam biasa. Akid. penampilan kena lima bintang. Dia berjalan menghampiri gadis yang berdiri dipintu dan memandang dia tanpa berkelip.

Arghhh… oksigen, oksigen. Macam nak pengsan. Reen terasa dadanya sesak bila abang hensem itu berdiri terlalu hampir dengannya. Dia berdehem. Membetulkan pernafasan.

“Hmmm… Selamat pagi. Apa yang boleh saya bantu ya?” tanya Reen.

Akid hanya mengangguk dan menghulurkan sehelai kertas pada Reen. Kenapalah dua tiga hari ni dia asyik jumpa perempuan bertudung yang cantik-cantik. Mata dia tajam memerhati Reen. Boleh tahan.

“Ooo… Cik Wani punya. Encik…?” tanya Reen memandang Akid di sebelahnya.

“Akid Rizq. Panggil Akid saja,” jawab Akid sopan.

“Saya Qaireen. Kenapa Cik Wani tak datang sendiri?” tanya Reen balik. Hesy…mulut ni pun. Kenapalah nak kepoh sangat. Reen tersenyum malu.

“Dia ada hal. Boleh saya bayar sekarang? Maaf sebab saya ada mesyuarat lepas ni,” pinta Akid. Kepoh pula minah ni. Reject.

My bad. Jom ke pejabat saya,” ajak Reen.

Setelah selesai semua, Akid melangkah keluar dari pejabat Reen. Sebaik melintasi kaunter pembayaran, dia berhenti sebentar.

Okay, girls. Saya balik dulu,”Akid tersenyum sambil mengenyitkan sebelah mata. Rayban yang tergantung di kocek di pakai semula. Dia melangkah penuh bergaya keluar dari Lovely Bakery.

“Ya Allah!” terjerit kedua-dua gadis tersebut sambil terkinja-kinja setelah Akid keluar dari kedai. Nasib baik tiada pelanggan waktu tu. Mahu pengsan semua orang kala dengar jeritan anak dara yang baru terkena panahan asmara.

Akid hanya tersenyum sebaik keluar dari Lovely Bakery. Bukan dia tak dengar jeritan gadis-gadis kaunter tu. Macam yang semua orang tahu, muka dia memang muka cari makan. Siapa yang tak cair kalau tengok senyumannya. Di tambah dengan gaya persis model. Mahu pengsan, dia ketawa sendiri.

Banyak mata yang memandang Akid sepanjang dia berjalan menuju ke keretanya yang diparkir di hujung bangunan. Maklumlah banyak kedai dah mula beroperasi memandangkan jam sudah menunjukkan pukul sembilan setengah pagi. Dia hanya melemparkan senyuman maut. Memang tak lekanglah mata anak gadis yang memandang. Sebaik masuk ke dalam kereta, telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Wani. Dia mendengus.

Darlingthanks,” sapa Wani manja.

“Hmmm…” Akid menjawab malas. Baru nak ceria-ceria. Pagi-pagi dah ada yang mengganggu.

“You ni macam tak suka je I telefon?” rengek Wani.

“Bukan tak suka tapi you tu pagi-pagi dah suruh I macam-macam. Sampai I kena tangguh mesyuarat,” balas Akid.

“Maaflah, Darling. You juga yang cakap dekat I nak sponsor majlis harijadi I kan,” balas Wani lembut.

“Hmmm…” balas Akid lemah. Kalau tak kerana idea gila Danial tak ada maknanya dia nak sponsor bagai. Tapi sebab nak lari dari Wani terpaksa dia layankan.

Darling, jangan lupa tau Ahad malam. You kena datang. Wear something nice. I’ve a surprise for you.”

“Tengoklah macam mana nanti. Kalau I tak ada apa-apa hal,” balas Akid.

“You! Jangan tak datang pula,” kata Wani separuh menjerit. Risau dia. Hancur rancangannya nanti. Penat dia mengerah otak. Itu saja perkara yang dapat mengikat Akid supaya terus setia dengan dia.

Akid menjauhkan telefon bimbit dari telinga. Ingat dia pekak ke apa.

“Wani, I’ve to hang up now.” Talian terus dimatikan. Perempuan ni, pagi-pagi dah meroyan. Telefon bimbit dicampak ke tempat duduk sebelah pemandu. Enjin kereta dihidupkan. Kereta Audi R8 hitam meluncur laju membelah jalan.

Sementara di sebelah sana, Wani dah menjerit geram.

BlackBerry 10 Akid berdering nyaring. Mengganggu pemanduannya. Tanpa melihat nama pemanggil, dia terus jawab.

“You nak apa lagi Wani?” marah Akid.

“Wowowo… bro. Apahal pagi-pagi dah nak mengamuk?” tanya Danial.

“Kau… maaf. Ini semua kau punya pasallah,” balas Akid.

“Aik, aku? Aku baru telefon kut,” jawab Danial tak mahu mengalah.

“Idea sengal kau nilah. Tak pasal-pasal si Wani paksa aku datang jugak raikan harijadi dia. Kalau ikut aku, aku nak terbang je malam tu. Pergilah mana-mana pun. Janji tak terjebak dengan dia.”

Bro, kalau kau lari, esok-esok dia cari kau juga. Kau kan bank bergerak dia,” Danial gelak.

“Ni apahal telefon aku?” soal Akid. Geram bila mengingatkan idea gila Danial. Hesy… boleh pula jammed jalan ni. Selalunya waktu-waktu macam ni dah okey. Signal sebelah kiri dihidupkan. Tanpa sedar jalan pintas yang dipilih akan melalui Hotel Amazon.

Calm down. Calm down,” pujuk Danial.

“Banyak kau punya calm down. Macam tak menyempat. Balik pejabat nanti aku ceritalah,” jawab Akid.

“Cerita tu memang aku nak tahu. Ni Tan Sri Razlan cari kau. Dia nak bincang dulu dengan kau pasal MOU tu sebelum mesyuarat petang ni. Ten a.m. sharp.”

“Apasal kau tak mesej aku je tadi?” marah Akid.

“Mesej lambatlah, bro. Telefon lagi cepat. Aku dah suruh Kak Mai sediakan semua fail. Tinggal tunggu kau je. Cepat sikit jangan lambat,” gesa Danial.

“Bergayut dengan kau ni yang jadi lambat. Okeylah. Off. Bye.”

Ketika kereta Akid melintasi Hotel Amazon dia terperasankan kelibat seseorang. Macam gadis yang melanggar dia pagi tadi. Kereta diperlahankan. Cermin pandang belakang dipandang. Macam kenal, kata Akid. Lampu signal kiri dihidupkan. Dia berhenti di bahu jalan. Berkira-kira sama ada mahu keluar atau tidak. Tapi bila teringatkan Tan Sri Razlan nak berjumpa, hasratnya dibatalkan. Kelibat gadis tersebut pun dah hilang. Dia meneruskan perjalanan. 

2 comments:

  1. Bila akid & Amanda ni nak jumpa, x sabar rasanya....

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehehehehe.... tunggu majlis harijadi wani ya... tq sudi baca eijan...

      Delete