Thursday, September 25, 2014

LANGIT BIRU YANG SAMA - BAB 5

AINUN menopang dagu. Kertas di atas mejanya ditenung. Bibir diketap. Akal laju berfikir. Nafas dihela dan dilepaskan perlahan-lahan. Mulut terkumat-kamit menggumam sesuatu.

“Kenapa Ainun?” Maimun yang baru balik dari tandas memandang Ainun yang sedang merenung kertas di tangan.

“Nak mohon cuti. Agak-agak mamat berlagak kat dalam tu bagi tak, Kak Mun?” Ainun memuncung.

“Takkanlah dia tak luluskan. Ainun bukan suka-suka nak bercuti. Nak jaga emak kan. Cakaplah baik-baik dengan Encik Alzam tu.” Maimun cuba memberi kata-kata semangat.

“Hmmm…wish me luck.” Ainun berdiri. Kaki dihayun menuju ke bilik Alzam.

Maimun tunjuk isyarat bagus. Mata mengekori langkah Ainun hingga ke depan pintu bilik Alzam.

Pintu bilik Alzam diketuk. Setelah pasti Alzam mengizinkan dia untuk masuk, pintu dikuak. Ainun melangkah penuh yakin. Kaki diseret mendekati meja Alzam. Diletak kertas yang dipegangnya di atas dokumen yang sedang disemak Alzam.

Alzam pandang muka Ainun. Cuba membaca air muka si gadis. Gagal. Kening dijongket. Matanya beralih semula kepada kertas yang diletakkan Ainun tadi. Dibaca bait demi bait perkataan yang tercatat pada kertas itu.

"Tak boleh." Alzam tolak ke tepi kertas itu.

"What?!!!" Satu oktaf Ainun menjerit. Macam itu saja Alzam buat keputusan.

Alzam buat muka selamba. Dia kembali membelek dokumen yang sedang disemaknya sedari tadi.

"Aku dah lama tak cutilah." Ainun membentak. Bengang bila Alzam mentah-mentah menolak permohonan cutinya.

"Aku ada banyak kerja. Kau faham tak?" Alzam besarkan mata.

"Kau yang banyak kerja. Aku tak ada kerja." Ainun membalas tidak mahu kalah.

"Eh! Kau ni lupa agaknya. Meh sini aku nak ingatkan. Kau tu PA aku. P-A. Personal Assistant atau dalam bahasa pembantu peribadi. Kalau aku banyak kerja maknanya kau pun banyak kerja. Hurmmm…" Alzam jongket kening sebelum kepala tunduk semula.

"Melampau." Ainun mendengus.

Diambil kembali kertas tadi. Dia terus keluar. Hati memang menyumpah seranah Alzam. Lupa dosa mengutuk sesama saudara.

“Tutup pintu tu elok-elok. Jangan hempas pula. Tak ada bajet nak ganti baru.” Sempat Alzam perli.

“Eee…” Semakin bengan Ainun mendegar sindiran Alzam. Lelaki itu macam tahu-tahu saja.

Ainun melangkah lemah ke mejanya. Muka yang tadinya yakin kini berubah monyok.

"Macam mana?" tanya Maimun.

"Kalau dah namanya hantu. Mana nak dapat. Mentah-mentah dia tolak. Bukan nak tanya kenapa nak ambik cuti." Ainun hempas borang cuti di tangan ke atas meja.

"Habis siapa yang nak jaga mak Ainun tu?" soal Maimun lagi.

"Terpaksa jugalah minta Mak Long saya tengokkan dulu." Ainun mengeluh.

"Mak Long Ainun kan..." Maimun serba-salah nak meneruskan kata-katanya.

"Nak buat macam mana, Kak Mun." Ainun kesat matanya yang mula berkaca-kaca.

"Esok lusa Ainun cubalah lagi. Mana tahu masa tu hati Encik Alzam dah sejuk. Mungkin dia masih penat lagi agaknya. Maklumlah baru balik dari berkursus." Maimun cuba memujuk.

"Saya tak tahulah, Kak Mun. Saya nak ke tandas sekejap." Ainun berlalu dengan telefon bimbit di tangan.



ALZAM keluar dari bilik dengan fail penuh di tangan. Berjalan ke meja Ainun. Fail-fail yang dibawanya diletak di atas meja Ainun.

"Tolong susun ikut yang aku dah tag." Alzam pandang wajah Ainun.

"Hmmm..." Ainun tarik fail-fail dekat dengan dadanya. Dia langsung tak panggung wajah. Tak selera nak pandang muka orang yang tak boleh lebih kurang dengan dia.

"Aku nak sebelum pukul lima," beritahu Alzam lagi. Cuba memancing Ainun angkat muka memandang dia.

"Hmmm..." Ainun angguk sahaja.

Alzam ketap bibir. Tidak senang dengan reaksi Ainun. Rasa janggal bila Ainun jadi acuh tak acuh. Takkanlah marah sebab tak dapat cuti.

"Ainun!" panggil Alzam kuat untuk sekian kalinya.

"Apa?" Ainun mendongak juga. Suaranya juga sedikit keras.

Alzam tergamam. Mata Ainun yang merah buat lidahnya kelu. Disekeliling mata juga nampak seperti membengkak. Ainun menangis?

"Encik Alzam nak apa?" Ainun tenung Alzam. Nada suara yang serak akibat menangis cuba dikawal.

"Tak ada apa-apa." Alzam tidak jadi bertanya apa-apa. Dia terus masuk ke biliknya.

Alzam hempaskan punggung di kerusi empuknya. Badan disandar malas. Dia termenung. Masih terbayang mata Ainun yang merah. Macam baru lepas menangis. Betul ke Ainun menangis? Menangis sebab apa? Tak dapat cuti?

Untuk kepastian Alzam perlu bertanya. Tangan menekan butang interkom.

"Kak Mun masuk sekejap."

Tidak sampai seminit, Maimun sudah berdiri di depan Alzam.

“Duduklah, Kak Mun,” pelawa Alzam.

Maimun tersenyum. Dia duduk seperti yang diarahkan. Dahi berkerut memikirkan apa tujuan Alzam memanggilnya. Selama Alzam berkerja di sini tak pernah sekalipun dia dipanggil menghadap lelaki ini. Segala-galanya Alzam sampaikan melalui Ainun. Pelik.

“Maaflah kalau saya mengganggu Kak Mun.” Alzam mula berbicara.

“Eh! Apa pula mengganggu? Tak ada mengganggunya.” Maimun menggeleng. Rasa janggal pula bila bos cakap macam tu.

“Rasanya tak terlewat kalau saya nak berkenal-kenalan dengan semua pekerja saya kan.” Alzam tersenyum.

Maimun pun tersenyum juga.

“Kak Mun dah berapa lama kerja dekat sini?”

“Lebih kurang sepuluh tahun.”

“Ooo…maksudnya Kak Mun masuk dululah sebelum Ainun.”

“Aah…Ainun baru lima tahun.”

“Kak Mun rapat dengan Ainun? Maksud saya kenal dia dan keluarganya?” Alzam mula cucuk jarum.

“Errr…Kenal gitu-gitu aje.” Maimun tergagap-gagap.

“Pernah jumpa mak, ayah atau adik beradik dia?” tebak Alzam lagi.

Maimun menggeleng. Apa kes pula bos aku ni? Nak korek cerita Ainun ke? Pergilah tanya tuan empunya badan. Adehhh…

“Takkanlah…” Berkerut dahi Alzam.

“Ainun bukan seorang yang suka menjaja cerita keluarga dia. Tak pernah sekali pun terkeluar apa-apa cerita tentang mak, ayah atau adik-beradik dia. Cuma pagi tadi aje…” Maimun ketap bibir. Tidak jadi menghabiskan kata-katanya. Teringat janjinya dengan Ainun.

“Kenapa dengan pagi tadi?” Alzam betulkan duduknya. Tidak sabar mendengar kisah Ainun. Manalah tahu ada sangkut-paut dengan mata Ainun yang merah tu.

“Errr…Encik Alzam tanya dia sendirilah.” Maimun serba-salah. Tidak mahu mengkhianati kepercayaan Ainun.

Please, Kak Mun. Sebagai bos saya berhak tahu masalah pekerja saya supaya tidak mengganggu produktiviti mereka.” Alzam cuba menggunakan kuasa vetonya.

“Saya dah janji dengan Ainun, Encik Alzam.” Maimun cuba memberi alasan. Tangan dah naik menggaru kepala.

“Tak apalah, Kak Mun. Saya tak nak paksa tapi tadi saya perasan mata Ainun merah. Saya agak dia ada masalah. Itu yang saya bertanya. Risau pula saya. Nak tanya dengan dia sendiri takut dia kata saya busy body.” Alzam mengalah. Bibir digigit. Cuba menggunakan reverse psychology. Manalah tahu Maimun termakan dengan kata-katanya.

“Dia susah hati sebab orang yang dia upah jaga emak dia dekat kampung nak balik Indonesia. Encik Alzam pula tak luluskan cuti dia. Itu yang dia sedih agaknya.” Tanpa sedar Maimun bercerita.

Alzam sembunyi senyum. Strategi mengena.

“Ayah dia mana?” Alzam mula mengorek cerita Ainun lagi. Kali ini lebih berhati-hati agar tidak nampak keterlaluan.

“Ayah dia dah meninggal. Emak dia pula lumpuh.” Wajah Maimun berubah sedih.

“Oh!” Alzam terperanjat. Kata-kata Maimun seperti tidak membayangkan karakter sebenar Ainun.

“Tak percaya kan? Saya pun tak sangka Ainun ada cerita sedih. Dia tak pernah tunjuk yang dia sedih. Baru hari ini saya nampak sisi lain Ainun.”

Alzam terkebil-kebil. Masih cuba mencerna apa yang baru dia tahu. Sungguh dia tak sangka Ainun begitu cekal orangnya.

“Errr…rasanya dah banyak saya cerita dengan Encik Alzam ni. Ada apa-apa lagi ke, Encik Alzam?” Maimun angkat kening.

“Tak ada apa-apa. Terima kasih, Kak Mun.”

“Sama-sama, Encik Alzam. Kalau boleh Encik Alzam jangan cakap dengan Ainun eh saya beritahu pasal keluarga dia pada Encik Alzam. Mati saya nanti.” Maimun bangkit.

“Insya-Allah tak.” Alzam tersenyum.

“Saya keluar dulu.” Maimun beredar dari situ.

Alzam angguk. Dia kembali termenung. Kisah Ainun sedikit sebanyak menyentuh hati dia. Kenapalah dia susah nak beri sedikit kegembiraan kepada Ainun? Terang-terang Ainun tak pernah membantah segala arahan dia walau adakalanya Ainun menempelak kata-katanya.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

No comments:

Post a Comment