Sunday, October 25, 2015

JEREBU KASIH - PART 3


JEMARI Ainan berjalan pada nombor-nombor yang tertera di kalendar. Terhenti pada nombor yang dibulat merah. Tersungging senyuman manis di bibirnya. Tidak sabar hatinya menanti tarikh ini. 2 hari sahaja lagi. Selepas itu, hari-hari yang dilaluinya pasti berbeza. Insan yang dirindui akan senantiasa menemani dia walau hanya untuk 2 minggu tapi itu sudah mencukupi.
"Tersenyum-senyum. Dah macam kerang busuk pula aku tengok."
Ainan tak ambil pusing dengan bebelan temannya. Hati tengah senang. Cakaplah apa saja. Nak kutuk ke, nak keji ke. Dia tak kisah.
"Weiii... Tengku ajak dating ke?" Si teman yang masih tak berpuas hati menjolok lagi.
"Kau ni. Tak habis-habis dengan tengku tu." Terjegil mata Ainan bila ditebak begitu. Tak ada kerja dia nak tersengih ingatkan lelaki yang tiada kaitan dengannya. Buang masa sahaja.
"Dah tu, apahal sebenarnya? Ingatkan sebab tengku. Yalah kes dekat bilik mesyuarat tu memang epik gila." Si teman dah ketawa-ketawa.
"Azri cuti panjang. 2 minggu. Hujung minggu ni aku bertemanlah." Ainan pantas memintas sebelum temannya merepek yang bukan-bukan.
Rasa macam menang loteri sebab sudah 5 minggu tidak bersua muka dengan suami tersayang. Dalam kepalanya sudah bermacam agenda yang tersusun. Banyak perkara yang dia dan Azri boleh buat nanti. Seronoknya.
"Ooo... ingatkan sebab tengku." Si teman tersengih.
"Minta dijauhkanlah kalau sebab dia. Tak ada kaitan langsung." Ainan menjeling dengan ekor mata.
Kali ini matanya beralih pada skrin telefon bimbit. Membaca semula pesanan Azri dalam aplikasi WhatsApp. Senyuman manisnya kembali terukir.
"Jauh dari siapa? Apa yang tak ada kaitan?" Tengku Redza tersenyum sebaik berdiri di antara kubikel Ainan dan si teman. Matanya redup memandang Ainan yang nampak kaget dengan kedatangan dia.
Mati terus senyuman Ainan. Ingatkan selepas penolakan dia, Tengku Redza tidak mengganggu lagi. Rupa-rupanya lelaki ini memang tidak faham bahasa.
"Errr... maaf, tengku. Saya nak ke tandas sekejap." Si teman lekas-lekas meminta diri.
Tengku Redza mengangguk bersama senyuman yang melebar bila teman Ainan ini sangat memahami tujuan kedatangan dia. Sudah 3 hari dia tak masuk pejabat. Terpaksa ke luar kawasan. Bermakna sudah 3 hari tak dapat menatap wajah manis Ainan. Lagi pula sekarang dah masuk waktu rehat. Ainan pun dia lihat sedang bermalas-malasan. Manalah tahu Ainan sudi keluar makan tengah hari dengan dia.
Bulat mata Ainan bila temannya cepat sahaja meninggalkan dia terkontang-kanting seorang diri di situ. Semakin besar matanya bila si teman buat isyarat layan-Tengku-Redza tatkala berjalan di belakang Tengku Redza.
"Awak mengata saya ke, Ainan?"
Ainan hanya mampu menggeleng. Tipu memang betul hatinya sibuk mengata Tengku Redza. Takkanlah dia nak mengaku. Hishhh... Lelaki ni. Kenapalah terkejar-kejarkan dia. Bukan ke ramai lagi anak dara dalam syarikat ni. Dia dah kahwinlah.
"Telinga saya ni macam telinga lintah tau. Boleh dengar kalau orang sebut-sebut nama saya. Lagilah kalau yang menyeru tu awak." Tengku Redza menyambung kata seraya berjalan mendekati meja kerja Ainan.
Selamba sahaja dia menarik kerusi yang ada di depan meja Ainan. Tidak dihiraukan pandangan tidak puas hati yang Ainan tunjukkan. Kalau kata-kata pedas Ainan dia dapat serap, apalah sangat dengan riak kurang senang wanita ini.
Tegak terus badan Ainan. Sungguh apa yang perlu dia buat untuk menangkis serangan mahluk Tuhan yang satu ini. Nak suruh dia guna bahasa apa kalau bahasa melayu si tengku ni tidak faham. Agaknya guna bahasa russia kut.
So?”
Berlapis kedutan pada dahi Ainan. Apa maksud Tengku Redza dengan so? Dia ada terhutang apa-apakah dengan Tengku Redza?
Family day tu.” Sengaja Tengku Redza mengingatkan kembali permintaan dia pada Ainan. Dia berharap sangat Ainan pergi hari keluarga tu sebab dia tahu suami Ainan tidak mungkin dapat menghadirkan diri ke sana. Dapatlah dia mendekati wanita ini. Itulah tujuannya mendesak Ainan untuk turut serta.
“Saya pergi atau tidak tak penting, Tengku.”
“Siapa kata tak penting? Awak salah seorang urusetia. Jangan awak lupa, Ainan. Apa gunanya tanda tangan awak pada surat yang awak akan mematuhi setiap arahan yang diberi syarikat dari semasa ke semasa?” Tengku Redza tersenyum senget. Senang hati bila dapat menjentik sedikit hati Ainan. Ainan salah seorang pekerja yang berdedikasi. Tak mungkin akan melanggar arahan majikan.
Jemari Ainan naik memicit pelipis. Sungguhlah Tengku Redza ni. Nampak sangat dah salah guna kuasa. Sebenarnya dia agak terkejut bila mendapat email perlantikan dia sebagai salah seorang urusetia. Nak marah pun tak guna bila tengok nama pengirimnya.
So?” Sekali lagi Tengku Redza mendesak jawapan dari Ainan. Langsung tak endah apa masalah pun yang sedang melanda Ainan.
“Saya akan maklumkan kemudian.” Ainan mengalah. Terbit juga keluhan kecil dari bibir mungilnya. Susah juga bila jadi kuli ni. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Nampaknya dia dan Azri bakal berperang lagi.
Tengku Redza tersenyum.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

10 comments:

  1. Wowww..tengku ni tak mngalah yer

    ReplyDelete
  2. Tengku dh sewel kot.....isteri org tu.
    Xtahu hukum agama yer.....
    Wow....statement ku 😉

    ReplyDelete
    Replies
    1. Marah betul tu.... didikan agama cukup... dia yg perlekehkan...

      Delete
  3. Amboi...tengku pon...cam x dak pompuan lain ehhh......

    ReplyDelete
  4. Amboi Redza ni, tk tau hukum ke, kwn Ainan pun mcm bg chance je, tk betul sungguh semua. Nasiblah dh sure dpt baca nitk lama lagi kesian Ainan dan Azri. Best syeena, tq

    ReplyDelete
  5. wahhhh, nak lagi bab seterusnya hihihi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kena beli kompilasi cerpen IKP, Risah. Bicara Tentang Cinta ada kesinambungan cerita Jerebu Kasih ni. Anyway terima kasih sudi baca.

      Delete