Tuesday, March 21, 2017

BERARAK AWAN CINTA - PART 3


SUNYI. SEPI. Itu yang boleh digambarkan suasana di dalam kereta ketika ini. Masing-masing membisu. Mulut berat untuk bersuara. Seolah-olah dizip ketat-ketat. Kekok untuk berbual mesra setelah apa yang terjadi di antara mereka.
Keadaan ini membuat Azza tidak betah. Ada rasa canggung menjengah dalam hatinya. Lantas dia membuang pandang ke luar tingkap. Nak bertanya ke mana destinasi mereka rasa takut pula. Lagilah dengan muka Ariq yang serius itu. Seriau.
Ariq langsung tak memandang Azza di sebelahnya. Fokusnya hanya pada pemanduan. Dalam pada itu otaknya ligat berfikir. Sebenarnya dia sendiri tidak pasti kenapa dia boleh bertindak sebegini. Berani-berani bawa lari anak dara orang. Eh? Tak. Bukan bawa lari. Pinjam. Nanti dia akan pulangkan balik.
Ahhh…ini semua salah Haidar. Sikit-sikit nak menyindir. Si budak kampung ni pula nampak macam suka aje bila ada yang membela. Memang mengambil kesempatan betul.
Errr…Azza ke dia yang ambil kesempatan sekarang ni? Ariq menguak perlahan rambutnya yang terjuntai ke dahi. Membuang rasa bersalah yang tiba-tiba datang tanpa diundang.
“Klinik mana kau selalu pergi?” Sekilas Azza dipandang.
“Huh? Klinik?” Azza memandang Ariq. Terjongket keningnya.
Lelaki ini mahu apakan dia? Ya Allah, selamatkan aku. Aku masih mahu hidup di muka bumi ini. Berilah aku peluang sebelum aku benar-benar bersedia meninggalkan kehidupan dalam dunia ciptaan-Mu ini.
“Kau tahukan, klinik? Tempat orang sakit jumpa doktor?” Sindir Ariq.
Bengang bila soalannya dibalas dengan soalan juga. Bukannya dia menyoal soalan merapu. Janganlah minah kampung ni cakap dekat kampung ni tak ada klinik. Mati akalnya nak mencari nanti.
“Tahulah. Ingat orang kampung macam aku ni bodoh sangat ke,” balas Azza geram.
Spontan perasaan beraninya muncul. Panas hati mendengar sindiran Ariq. Ringan aje tangannya nak hempuk Ariq. Berlagak tak habis. Cubalah rendahkan sedikit ego tu. Bukannya mati pun.
“Manalah tahu kut orang kampung masih jumpa bomoh,” sindir Ariq lagi.
“Hello! Kau ingat orang kampung kolot sangat ke? Kami pun dah majulah,” bentak Azza.
Bibirnya diketap. Geram. Sungguhlah orang bandar ni. Terlebih berlagak. Jangan sampai nanti dua-dua terpaksa jumpa doktor nak dapatkan rawatan.
Ariq pamer senyuman sinis. Sedikit pun tidak membalas kata-kata Azza.
“Depan sana tu ada Klinik Akmal,” beritahu Azza malas.
Jari dituding pada hujung unit kedai 2 tingkat sebaik kereta Ariq melepasi deretan kedai di kiri mereka. Ikutkan hati panasnya mahu dibiarkan saja Ariq sampai ke pinggir pekan. Biar Ariq cari sendiri tapi itulah. Hati dia ini mudah sangat rasa belas. Tak sampai hati mahu menganiaya orang.
Ariq terus menekan brek. Automatik tangan kirinya diangkat cuba menahan Azza dari terdorong ke depan. Namun terlambat. Azza terdorong juga ke papan pemuka. Dahi Azza terhantuk kuat.
“Aduh!!!” jerit Azza kuat. Sepantas kilat tangannya menggosok dahi. Orang bandar ni memanglah. Tak reti ke nak bagi amaran. Tak pasal-pasal dapat telur dekat dahi dia.
“Lain kali cakap awal-awal. Kalau tak memang terlepas sampai ke KL,” marah Ariq.
Menoleh sekilas dengan mata dijegilkan pada Azza yang masih ralit menggosok dahi. Nasib kena papan pemuka. Kalau kena cermin kereta ni mahu retak agaknya cermin kereta dia. Dah satu hal pula nak kena cari bengkel ganti cermin kereta.
“Kau tu tahu ke tak bawa kereta?” balas Azza tak mahu mengalah.
Geram dengan Ariq. Bukan nak rasa kasihan dekat dia. Sibuk nak bentak-bentak pula. Sendiri yang salah orang lain pula ditempelak.
“Lesen aku dah 10 tahunlah,” jawab Ariq ego. Sedikit pun tak mahu mengalah.
Azza mencebik. Setakat lesen 10 tahun pun nak berlagak. Kalaulah dia tunjuk isi dalam beg duitnya agak-agak budak bandar ni melopong tak? Dia tersenyum sendiri. Pada masa yang sama membelek tangannya.
“Darah?” Dia terkebil-kebil.
Mana datang darah ni? Tak sampai sesaat terasa dirinya seperti melayang-layang. Pemandangan sekelilingnya kelam. Berbalam-balam dan langsung gelap.
Ariq menoleh ke sebelah bila terdengar bunyi hentakan kuat. Bunyi yang sama seperti sewaktu kepala Azza terhantuk. Keningnya bertaut.
“Hoi!” panggilnya kuat. Tangannya dilayangkan di hadapan muka Azza yang kepalanya sudah terlentok di atas papan pemuka. Cuba untuk mengejutkan gadis itu.
Tiada respon.
“Aduh! Mabuk darah ke apa budak ni?”
Kelam-kabut Ariq meneruskan pemanduan. Menghala ke Klinik Akmal. Kalut dia meninjau mencari petak parkir kosong. Lega bila ada kekosongan betul-betul di hadapan pintu klinik. Enjin kereta dimatikan. Dia segera keluar. Pintu sebelah penumpang dibuka seluas-luasnya.
“Hei, bangunlah!” Ditolak sedikit bahu Azza dengan hujung jari telunjuknya.
Seperti tadi Azza masih tidak memberi sebarang tindakbalas. Kaku di tempatnya.
“Eee… menyusahkan betullah budak ni.”
Nampaknya Ariq tiada pilihan. Mahu atau tidak dia terpaksa mencempung Azza. Lantas dia membongkok. Kaki kanannya digunakan untuk menutup pintu kereta sebaik tubuh Azza berjaya diangkat. Laju dia melangkah. Berjalan masuk ke dalam klinik.
“Kak, tolong saya kak!” Ariq menjerit. Bukannya dia risaukan Azza sangat. Tangannya dah lenguh. Berat tubuh Azza hampir membuat dia melepaskan pegangan.
Pembantu klinik yang bertugas cepat-cepat keluar dari kaunter. Terus membukakan pintu bilik rawatan. Mengarahkan Ariq membawa Azza masuk dan meletakkan gadis itu di atas katil yang sedia ada di situ.
“Eh, Azza?” Pembantu klinik itu bersuara sebelum mendongak memandang Ariq.
“Encik ni siapa? Macam mana Azza boleh ada dengan encik? Apa dah terjadi pada Azza?” Bertalu-talu pembantu klinik itu menyoal. Berkerut dahinya.
Ariq jadi serba-salah dengan pandangan yang diberikan kepadanya. Laju jemari naik menggaru kepala yang tak gatal langsung. Dia nak jawab apa ni? Kenal Azza pun bersebab. Bawa Azza ke sini pun bersebab. Nampaknya kisah dia dan Azza takkan terhenti di sini.
“Kawan.” Akhirnya dia memilih jawapan selamat.
“Kawan? Azza tak pernah pula bercerita dia ada kawan lelaki. Pelik.” Pembantu klinik itu bertanya. Pandangannya tak lepas pada Ariq. Meski pun sedang menyelimutkan tubuh Azza hingga ke paras dada gadis itu.
“Akak kenal Azza?” Ariq menyoal semula tanpa menjawab soalan yang diaju. Bengang juga dia sebenarnya bila disoal tanpa henti. Ingatkan dah tak ada soalan lanjut.
“Kami sekampung. Mustahillah saling tak mengenali.”
Ariq mengangguk.
“Akak ni tempat mengadu dia. Encikkk…?” Pembantu klinik itu memandang Ariq.
“Ariq.” Tenang sahaja Ariq membalas. Tubuhnya dibawa bersandar pada dinding dengan kedua-dua tangan menyeluk poket seluar.
“Encik Ariq tunggu dulu. Doktor tengah ada patient sekarang. Sekejap lagi doktor datang.” Pembantu klinik itu terus keluar.
Ariq mengeluh lega. Nasib tiada lagi soalan-soalan pelik yang ditanya.
“Dah aku nak buat apa kat sini?” Dia menggosok belakang tengkuknya. Menoleh pada Azza. Ralit dia memandang.
“Tenangnya kau.” Dia menggumam.
Mencebik sedikit. Cemburu melihat Azza yang seperti sedang lena dibuai mimpi. Yang nyata terbit juga rasa bersalah dalam hatinya. Tindakan melulunyalah punca apa yang terjadi sekarang. Tak pasal-pasal bertanda pula dahi Azza. Tangan gadis itu mesti sudah membiru. Kuat kut cengkamannya tadi.
Pintu tengah yang dikuak membuat tubuh Ariq terus tegak. Terkejut. Dia tersenyum pada lelaki berjubah putih yang melangkah masuk ke ruang itu. Pada hematnya lelaki ini pasti doktor yang dimaksudkan pembantu klinik tadi.
“Assalammualaikum. Doktor Akmal.” Lelaki yang berjubah putih itu menghulurkan tangan bersama senyuman manis.
“Waalaikummussalam.” Ariq menyambut huluran tangan si doktor.
Doktor Akmal mendekati katil tempat Azza berbaring. Sebuah bangku ditarik. Wajah mulus Azza dibelek. Jemarinya memegang kesan darah kering pada dahi Azza.
“Kenapa ni?” Doktor Akmal memandang Ariq sekilas.
“Errr…” Ariq tak tahu nak jawab apa. Takkanlah nak jawab dia yang bersalah. Dia bukan sengaja nak tekan brek tiba-tiba. Silap Azza sendiri yang lambat memberitahu dia. Jika gadis ini cepat, pasti musibah ini dapat dielakkan.
“Azza ni mabuk darah. Dari kecik lagi memang dia tak boleh tengok darah,” beritahu Doktor Akmal. Dia mula memeriksa Azza. Jarinya menekan di tempat luka. Mahu memastikan kedalamannya. Sama ada perlu dijahit atau pun tidak.
Ahhh… sudah. Satu kampung memang saling mengenali ke? Masak dia. Sekali lagi Ariq mengurut tengkuknya.
“Tak tahu pula dia mabuk darah.” Dia menjawab perlahan. Serba-salah.
“Tak apa. Sekejap lagi dia sedarlah ni.” Doktor Akmal tersenyum. Bergerak ke kabinet mengambil ubat pencuci luka. Diletaknya ubat tersebut di atas troli. Semangkuk air bersih diambil dan diletakkan sama di situ.
“Boleh doktor tengokkan sekali lengan kanan dia?” pinta Ariq bila teringatkan pergelangan tangan Azza yang lebam.
“Kenapa dengan lengan dia?” Bertaut kening Doktor Akmal. Menghantar pandangan curiga pada Ariq.
Apa kaitan anak muda ini dengan Azza? Mereka bertemankah? Kalau berteman, kenapa dia tak pernah tahu?
“Ada kesan lebam saya rasa,” jawab Ariq takut-takut.
Rasa bersalah yang beransur hilang kembali bertandang di dalam hati. Menyesal pula memberitahu. Harap-harap doktor ni tak panggillah orang kampung. Mati dia kalau satu kampung datang menyerang.
“Sarimah!” panggil Doktor Akmal.
Alamak! Doktor ni nak buat apa? Ariq dah cuak. Hanya memerhati pembantu klinik tadi yang dipanggil Sarimah mendekati Doktor Akmal.
“Tolong saya lipatkan lengan baju Azza. Sebelah kanan. Encik ni cakap ada kesan lebam dekat situ,” arah Doktor Akmal.
“Lebam?” Kali ini giliran Sarimah pula memandang Ariq tajam.
Ariq kalih pandangannya saat lengan baju Azza dilipat kemas Sarimah. Liur yang ditelan terasa kesat. Mati dia. Memang silap besarlah bawa Azza ke sini. Kalau dia tahu jadi macam ni, lebih baik dia biarkan Haidar aje yang hantar tadi. Itulah nak sangat jadi hero. Ambik kau, Ariq.
“Kenapalah nasib kau selalu malang, dik.” Menitis air mata Sarimah sebaik melihat lengan Azza yang berbirat. 
“Dah. Awak pergi jaga depan,” halau Doktor Akmal. Tidak mahu ada adegan air mata di situ. Bukan dia tidak tahu keakraban Sarimah dan Azza. Kisah keluarga Azza memang dalam genggaman pembantunya itu.
Dia menyambung kerjanya semula. Bangku beroda 3 tadi ditarik semula. Melabuh duduk di situ. Troli ditarik ke sisi. Dengan tenang luka di dahi Azza dibersihkan. Selesai menampal kain kasa di dahi, kesan berbirat di lengan Azza pula diperiksa. Dia menekan sedikit. Muka Azza dipandang. Mahu melihat respon Azza.
Azza kelihatannya mengerutkan dahi. Namun mata gadis itu masih terpejam.
Doktor Akmal menekan lagi. Kali ini lebih kuat.
Ouchhh…!” Terpacul jeritan halus dari mulut Azza berserta mata yang terbuntang. Serentak dengan tangan yang memegang dahi. Meraba kain kasa yang ditampal Doktor Akmal tadi.
“Tenang, Azza.” Doktor Akmal tersenyum bila Azza memandang dia.
“Sakittt…” Azza merintih. Seiring dengan aliran air mata yang melurut dari juring matanya. Entah kenapa baru sekarang dia terasa sakitnya.
Ariq yang mendengar hanya mampu menelan liur lagi. Hilang terus rasa lapar. Sakit sangat ke gadis itu sampai menangis bersungguh-sungguh?
“Sikit aje ni. Uncle urut perlahan-lahan, ya,” pujuk Doktor Akmal.
Azza mengangguk. Air matanya masih mengalir. Ketika ini terbayang wajah daddy dan mommynya. Dia memejamkan mata cuba membuang kenangan pahit itu.
Budak kampung ni macam trauma aje. Kenapalah dia buat kerja bodoh tadi. Eh, tapi dia tak sengaja! Ariq melurut rambutnya perlahan-lahan.
“Teruk sangat ke, doktor?” tanyanya setelah agak lama hanya berdiam dan menjadi pemerhati.
Azza membuka matanya. Menoleh ke sisi. Mencari suara asing yang berbicara tadi. Masa inilah pandangannya berlaga dengan Ariq yang berdiri di belakang Doktor Akmal. Sungguh, dia terlupa pada lelaki ini. Lelaki yang menjadi penyebab dia menjadi begini. Lelaki ego dan berlagak.
“Nasib tak patah. Retak pun tak. Macam mana boleh jadi macam ni, Azza?” soal Doktor Akmal lembut.
Azza masih lagi memandang Ariq. Dilihatnya halkum Ariq bergerak-gerak. Seolah-olah bergelen air liur yang ditelan. Tautan mata mereka sepertinya lelaki itu meminta dia menyelamatkan diri lelaki itu. Nafas dihela dalam-dalam.
“Terlanggar tiang kedai pak long. Nak cepat sangat tadi,” bohongnya. Mata kembali memandang Doktor Akmal.
Ariq menarik nafas lega.
Azza menjeling dengan ekor mata.
“Lain kali hati-hati. Azza berhentilah kerja dengan pak long tu. Kan…”
Uncle, tolong…” Azza menggeleng. Tidak membenarkan Doktor Akmal meneruskan kata-katanya.
Dia tak mahu kisah dirinya diketahui oleh orang yang dia tidak kenali langsung. Kisah diri dia tidak perlu diperbesarkan. Cukuplah mereka yang rapat dengan dia sahaja yang mengetahuinya. Itu sudah memadai.
Ariq merenung Azza. Dia perasan tindakan Azza. Sepertinya ada sesuatu yang mengganggu gadis kampung ini. Biarlah. Gadis ini pun bukan sesiapa pada dia, bisiknya sendiri.
“Okey, siap. Azza tunggu dekat luar.” Doktor Akmal tersenyum.
Azza bangun dari perbaringan. Kaki dijuntai ke bawah.
Ariq menghampiri katil. Dia cuba untuk membantu.
Azza menjeling.
Ariq kaku. Tangannya diletakkan kembali ke sisi. Dia bergerak ke pintu dan menanti sehingga Azza keluar sebelum pintu ditutupnya semula.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

20 comments:

  1. Nak bawa kemana si Azza tu Ariq oittt..
    Hurmmmm

    ReplyDelete
  2. dlm sombong ada baiknyaaaa.... hehehheehe bertaman juga rupanya si Ariq niiiiii

    ReplyDelete
    Replies
    1. panas kena sindir dgn abang dia...tapi Ariq taklah kejam sangat...

      Delete
  3. hah tau lak nk bwk g klinik ekk? nak lagi akak.. hihi

    ReplyDelete
  4. Replies
    1. errrr..... klu rajin n berkesempatan ya kak ayu....

      Delete
  5. Bawak g klinik la 2..dh kena sindir dgn haidar...haha kan3

    ReplyDelete
  6. Erks..... Ariq..... Panas Baran pon sentap ker..... Apa cer??? Atau pon cemburu ngan Haidar eehh............. Kah kah kah. Tima kasih Syeena, bg citer baru... best pulak tu....eerrr....... Cinta Gadis Dobi.... mana sambungannyer?.... Upload dedua eehh....... Plisssssss plissssss @_@ (kita tak kesah pon walau digelar......... cam tamak jer)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ini citer pendek ajer.... CSGD masuk gua jap... hehehehehe...

      Delete