Saturday, January 10, 2015

CINTAKU SETINGGI CITA-CITAMU - BAB 5


SEMUA suis lampu dimatikan kecuali di bahagian rak pameran dinding kaca yang menghadap ke kaki lima. Pintu kedai ditutup. Kunci diloloskan. Azim menolak sedikit pintu kaca itu untuk mempastikan ianya benar-benar berkunci. Setelah yakin dia berpusing ke belakang.

“Allah!” Azim mengurut dada.

Amili yang bersandar pada badan kereta Azim tersengih.

“Aku ingat Cik Ponti.” Selamba saja Azim mengutuk. Punat kunci keretanya ditekan.

“Kau!” Amili tuding jari pada Azim. Geram.

Ayat Azim memang menyakitkan. Baru sahaja dia berniat nak berbaik-baik dengan lelaki ini. Memandangkan lelaki itu sudi berkongsi makanan dengan dia lewat petang tadi.

“Ada apa malam-malam bertunggu tangga dekat kereta anak teruna orang?” Azim menarikan keningnya.

“Aku baru ajelah diri dekat sini,” tempelak Amili. Marah dengan tuduhan melulu Azim. Lelaki ini memang. Kata-kata tu kalau tak sarkastik memang bukan Azimlah namanya.

“Ya?” Azim jongket kening.

“Suka hatilah nak percaya ke tidak.” Amili buat muka. Menyampah. Pada masa yang sama menyesal. Kalau dia tahu beginilah layanan balas yang diterima, memang taklah dia nak terhegeh-hegeh berdiri di sini.

“Baru cakap sikit nak merajuk.” Azim ketawa-ketawa. Dia menapak mendekati keretanya. Badannya turut disandar pada keretanya. Betul-betul di sebelah Amili.

“Mana ada orang merajuk?” Amili menjeling.

“Kalau tak merajuk, apasal nak muncung-muncung pula?” Azim mengusik lagi. Tidak tahu kenapa sejak pertama kali bersua muka dengan Amili gadis ini seperti ada satu aura yang memaksa dia sentiasa ingin mengusik. Keletah Amili mencuit hatinya. Sifat kurang matang Amili nampak comel di mata dia. Agaknya sebab selama ini dia dibesarkan sendirian tanpa adik-beradik menyebabkan dia mudah untuk mendekati Amili.

“Eee…nak baliklah.” Amili berdiri tegak.

Dia mula melangkah perlahan-lahan. Sebenarnya dia berharap Azim akan memanggilnya tetapi sudah beberapa langkah meninggalkan lelaki itu, Azim masih berdiam diri. Langkahnya mati. Dia berpusing.

Azim yang memerhati menjongketkan kening.

“Errr…” Amili ketap bibir. Tidak tahu mahu mulakan semula bicara yang bagaimana. Takut Azim ketawakan dirinya. Umpama hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.

“Teman aku makan nak? Aku tak sempat makan tadi.” Wajah Azim serius. Dalam hati sebenarnya dia sudah gelak sakan. Dia tahu Amili mengharapkan dia menghalang Amili dari pergi meninggalkan dia. Gadis ini memang jujur. Tidak pandai menyembunyikan apa yang dirasa.

Berkerut dahi Amili. Dia salah pamer riak di wajah ke? Muka dia memang tertulis muka ajak lelaki ini makan ke?

“Tawaran terhad.” Azim tegakkan badan. Berjalan ke pintu sebelah pemandu.

Baru sahaja dia membuka pintu, senyuman terpamer di bibirnya. Lucu melihat gelagat Amili yang kelam-kabut masuk ke dalam keretanya. Dia menggeleng dan turut masuk ke dalam kereta.

“Mama kau dah tahu ke belum ni?” soal Azim sambil menghidupkan enjin kereta. Mengerling sekilas Amili di sebelah yang buat muka selamba.

“Dah. Selalu dia tak bagi aku keluar dengan lelaki terutama dengan Abang Zaki. Entah apa yang kau dah mandrem mama. Bila aku sebut nama kau senang pula mama bagi,” jujur Amili memberitahu.

“Dah ada pakwe.” Azim terangguk-angguk. Sedikit kecewa bila ada nama lelaki lain meniti di bibir Amili. Azim, kau dah kenapa? Takkanlah sudah jatuh hati dengan anak dara orang?

“Bukan pakwelah. Abang Zaki tu abang angkat aku.” Amili membetulkan fakta. Tidak suka bila Azim menuduh dia sudah ada pakwe. Dia belum bersedia memilih mana-mana lelaki untuk dijadikan teman istimewa. Umur dia masih muda. Lagipula mama pun dah bagi amaran. Selagi cita-cita tak kesampaian jangan berangan nak berkahwin.

“Kenapa anak-anak gadis sekarang suka sangat nak mengangkatkan lelaki bukan mahram sebagai abang? Dah tak ada abang tu buatlah cara tak ada abang.” Sinis sahaja kata-kata yang ditutur Azim sambil menggeleng.

Keretanya diundurkan sebelum meluncur laju membelah kepekatan malam.

“Suka hati oranglah.” Amili menjeling.

“Susah-susah sangat panggil aku abang. Senang. Lembutkan lidah panggil macam tu dari sekarang.” Azim membalas tanpa perasaan.

Eh! Dia ni dah kenapa? Dahi Amili berkerut. Hei, lama-lama aku tua sebelum umur jadinya. Spontan jemarinya naik ke dahi. Mengendurkan kerutan yang berlapis di situ.

“Sebab mama kau dah suka dengan aku. Untung-untung boleh aku jadi menantu dia.” Azim tergelak sendiri dengan kata-katanya.

“Siapa nak dengan kau? Ada hati nak jadi suami aku.” Amili mencemik.

“Eh, aku tak cakap nak jadi suami kau. Aku cakap jadi menantu mama kau.” Azim putar ayatnya.

“Hello! Macamlah aku ni ramai adik-beradik yang mama aku nak kahwinkan kau dengan saudara perempuan aku yang lain. Kau lupa ke yang aku anak tunggal?” Terjegil mata Amili memandang Azim. Ayat lelaki ini memang tak menahan langsung. Putar belit macam ular.

“Okey juga tu kalau kahwin dengan kau. Kalau orang lain yang jadi menantu Puan Fiza harus jadi menantu hantu tapi kalau aku mestilah menantu mithali.” Azim masih lagi ketawa-ketawa.

Amili merengus. Mulutnya mengomel sendiri. Perlahan hingga tak dapat ditangkap bicaranya oleh Azim.

Azim mengerling sekilas. Tersenyum senget melihat bibir nipis itu membebel sendirian. Semakin nampak comel di matanya.

Tiada ungkapan dari bibir kedua-duanya hinggalah Azim membelok masuk ke kawasan rumah pangsa. Di situ ada sebuah kedai makan yang terkenal dengan masakan dari Negeri Kelantan.

“Nak duduk dalam kereta aje ke?” Azim mengusik bila melihat Amili masih tidak membuka tali pinggang keledarnya. Kenyataannya dia tidak pandai memujuk. Entah Amili termakan kata-katanya atau tidak, dia tidak pasti.

Amili masih bungkam. Hanya tangannya yang bergerak. Kalut dibukanya tali pinggang keledar hingga tika dia hendak melangkah keluar hampir sahaja dia tersungkur.

Kelam-kabut Azim menarik pinggang Amili. Mengelak Amili dari jatuh tersembam.

“Errr…” Amili kaget. Jantungnya berdegup laju. Terperanjat. Bukan hanya kerana dia nyaris tersungkur tetapi kedudukan badan Azim yang terlalu rapat dengan tubuhnya.

Sorry.” Perlahan-lahan Azim melepaskan tautan tangannya. Badan terus disandarkan pada kerusinya semula.

Amili tidak tunggu lama. Terus keluar dari kereta. Laju melangkah menuju ke dalam kedai makan.

Azim cuba menenangkan perasaannya. Tangan melekap di dada. Ada debaran di situ. Bukan dia sahaja yang berperasaan sedemikian Amili pun sama. Mana dia tahu? Telinganya dapat mendengar dengan jelas hembusan nafas Amili yang laju tadi.

“Jangan perasanlah, Azim.” Azim menggeleng sendiri. Terus sahaja keluar dari kereta dan menuruti langkah Amili yang sudah masam mencuka menunggu dia di dalam kedai makan.

Amili merenung tajam Azim yang tersenyum-senyum berjalan menuju ke meja. Mulut tak ada insuran milik dia pantas sahaja memuntahkan kata.

“Kau kena belanja aku eh sebab kau…”

“Sebab apa?” Kening Azim menari-nari. Memintas kata-kata Amili sebelum sempat gadis itu menyudahkan bicaranya. Dia menarik kerusi yang terletak bertentangan dengan Amili.

“Tak ada apa-apalah.” Amili kalih pandang. Malas untuk bertelagah. Kalau diteruskan dia juga yang malu sendiri nanti.

Senyuman Azim semakin lebar. Merasakan kemenangan miliknya. Sebenarnya dia sendiri tidak selesa berbicara perihal tindakan refleks dia tadi. Tak perlulah dipanjangkan. Lalu pantas sahaja dia membuat pesanan bila pelayan kedai makan menghampiri meja mereka.

Terjongket kening Amili bila mendengar menu pilihan Azim. Langsung tak bertanya dengan dia. Geram betul. Nasib ajelah lelaki ini yang nak belanja. Telan sahajalah.

Tidak sampai 15 minit, makanan yang dipesan sudah sampai. Inilah salah satu sebab Azim memilih untuk makan di sini. Sedap dan pantas.

Masing-masing menikmati hidangan di depan mata. Azim terlebih dahulu menghabiskan makanannya. Merenung Amili seketika.

"Tak bosan ke hidup sorang-sorang?" Azim memandang Amili. Bersandar malas di kerusinya. Tangan bersilang di dada.

Tersedak Amili yang baru menghirup kuah tomyam. Kalut mencapai gelas berisi ais limau.

Azim jongket kening.

Apahal tanya dia soalan merepek ni. Terkerdip-kerdip mata Amili.

"Soalan aku bukan soalan Sains." Sinis sahaja Azim menyindir.

"Aku ada emak. Ada ayah. Mana pernah hidup sorang-sorang." Amili membalas. Dia tahulah soalan Azim tadi bukan soalan Sains. Sudahlah tu memaksa orang suruh jawab juga soalan dia.

"Untunglah." Azim buat muka.

Lahhh... ada masalah jiwa ke lelaki ni? Amili, cepat fikirkan sesuatu.

"Kau ada masalah ke?"

"Seronok kan bila kita hidup dengan orang-orang yang kita suka dan sayang." Azim tersenyum sendiri. Tidak menjawab soalan Amili. Sebaliknya meninggalkan teka-teki.

Sah. Lelaki ni memang ada masalah jiwa. Spontan Amili garu kepala.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

8 comments: