Wednesday, March 29, 2017

BERARAK AWAN CINTA - PART 15


AZZA menggosok-gosok matanya. Tidurnya terganggu dek deringan kuat telefon bimbit miliknya. Kalut sangat nak mengelak dari Ariq hingga dia terlupa memperlahankan bunyinya. Risau Ariq terjaga, cepat-cepat dia mencapai telefon bimbit yang diletakkannya di atas lantai.
Namun usahanya gagal walau berkali-kali mencuba. Sudahnya deringan itu mati. Dahi berkerut. Pelik. Seperti ada benda yang menyekat pergerakannnya. Tangan meraba pinggang.
“Apa ni?” Terbuntang matanya bila jemarinya menyentuh sesuatu yang sedikit berbulu. Berbulu? Laju dia mengerling belakangnya.
Eh, bila masa pula mamat ni…? Aduh, sesedap rasa pula dia peluk aku. Bibir diketap menahan rasa yang muncul. Tak tahu nak menjerit atau nak marah.  
Matanya semakin membulat bila dilihat bantal yang diletakkan di antara dia dan Ariq sebelum tidur elok tersusun di tepi dinding. Ini mesti kerja Ariq. Takkanlah dia mengigau nak buat semua tu. Buruk betul dia tidur sampai semuanya tak sedar. Dia menggeleng.
Telefon bimbitnya menjerit lagi. Manalah benda tu mengerti kesukaran tuannya. Mahu atau tak dia perlu jawab. Takut pula Ariq terjaga. Dia cuba mengalihkan tangan Ariq namun semakin kejap pula lelaki itu memeluk pinggangnya.
Setelah beberapa kali mencuba, akhirnya berjaya juga dia mencapai telefon bimbitnya. Matanya dikecilkan meneliti nama pemanggil. Dari London. Kenapa? Hati sudah berdebar-debar.
“Deborah, what’s up?” Dia berbisik.
Tanpa Azza sedari Ariq juga sudah terjaga dan sekarang sedang pasang telinga. Sebenarnya selepas bunyi deringan pertama lagi dia sudah terjaga. Dia hanya berpura-pura tidur. Malah sengaja kemaskan pelukan pada pinggang Azza. Jika dia tidak berbuat demikian, pastinya Azza akan keluar dari bilik dan dia tidak dapat mendengar butir perbualan Azza.
I can’t fly right now. For the time being, I will ask Elias to cope with that matter. I will monitor from here. Just email me the details.”
Fly? Ke mana? Kau siapa sebenarnya, Azza? Hati Ariq tertanya-tanya.
It’s three a.m here, Deborah.”
Kalau diikutkan perkiraan waktu, panggilan yang diterima Azza datang dari luar negara. Sayup-sayup Ariq dapat mendengar suara si pemanggil tetapi tidak jelas butir bicaranya.
“It’s okay. After all, it’s my responsibility. Do keep in touch. Thank you, Deborah. Bye.”
Azza merenung telefon bimbitnya. Dia mengeluh. Beratnya tanggungjawab yang ditinggalkan almarhum daddy. Serasa dia belum cukup kuat untuk menggalas tugas yang diamanahkan.
Lihatlah sekarang ini, kehidupan dia menjadi tunggang-langgang. Tahu-tahu saja dia sudah menikah. Tak menempuh alam percintaan, tiada gaduh-merajuk-dipujuk. Tup-tup gelaran dia sudah bertukar kepada puan. Isteri kepada seorang suami.
Matanya dipejam seketika. Dia perlu luahkan apa yang terbuku dalam dadanya ini. Takut meletup kalau dibiarkan. Pada siapa? Luah pada Ariq? Belum masanya. Saat ini rasanya hanya DIA tempat yang sesuai untuk mengadu nasib.
Telefon bimbit diletak di bawah bantal. Perlahan-lahan Azza mengalihkan tangan Ariq dari terus memeluk pinggangnya. Tertib sekali dia bergerak. Duduk seketika. Ariq di sebelah direnung. Dia tersenyum senang melihat wajah tenang lelaki itu. Lelaki yang tiba-tiba memegang gelaran suami kepada dia. Selimut ditarik perlahan-lahan menutupi sebahagian badan Ariq sebelum dia bangun dan keluar dari bilik.
Setelah pasti Azza telah keluar, Ariq buka matanya. Mengerling ke pintu. Yakin Azza telah tiada sepantas kilat dia mencari telefon bimbit Azza di atas lantai.
“Eh! Mana pula dia letak?” Tidak mahu berlengah, tangannya meraba di bawah bantal Azza.
Gotcha!” Senyuman terlakar. Laju jarinya menekan skrin sambil sebelah tangan lagi mencapai telefon bimbitnya sendiri. Jemarinya pantas menaip nombor yang baru sahaja diterima Azza tadi. Selesai semuanya, telefon bimbit Azza diletakkan kembali di bawah bantal. Dia berbaring semula dan pejamkan mata.
Azza masuk ke dalam bilik. Telekung dikeluarkan dari dalam beg baju. Matanya melilau mencari sesuatu. Dia tersenyum bila melihat benda yang dicari elok tersidai di penyangkut baju. Ini bermakna Ariq tak culas menunaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim. Namun senyumannya mati bila teringatkan sesuatu.
“Alamak! Mana arah kiblat? Takkanlah nak kejutkan dia.” Bibirnya digigit sambil mata terkebil-kebil memandang Ariq.
“Errr… kalau tak kejutkan macam mana aku nak solat.” Semakin dia ragu-ragu sama ada mahu mengejutkan Ariq atau tidak. Namun kakinya melangkah jua mendekati katil.
Ariq mengulum senyum. Riak mukanya dikawal seboleh mungkin. Tak mahu Azza tahu dia memang sudah terjaga.
“Ariq! Ariq!” Digoyang kuat bahu Ariq.
“Hmmm…” Ariq berpura-pura menggeliat. Tangannya sengaja didepangkan sehingga terkena tubuh Azza.
Laju Azza menjauh. Terkejut dengan reaksi spontan Ariq. Nasib baik dia sudah memakai telekung. Kalau tidak terbatal wuduknya.
“Mana arah Kiblat?” Melihatkan mata Ariq sudah terbuka, cepat sahaja dia bertanya. Takut lelaki itu tertidur semula.
Ariq menuding jari telunjuknya.
Tanpa berlengah Azza menghamparkan sejadah mengikut arah seperti yang ditunjuk.
Ariq kekal berbaring. Tidak terlintas mahu mengikut jejak Azza. Dia lebih selesa menjadi penonton. Sejuk matanya melihat Azza menunaikan solat tahajjud. Sesekali tangannya menutup mulut. Kantuknya masih terasa. Malah mata yang hampir layu cuba ditahan dari terpejam. Kalau boleh mahu ditongkat dengan batang mancis.
“Ya Allah! Kepada Mu aku menyerahkan diri, kepada Mu aku beriman, kepada Mu aku bertawakal, kepada Mu aku kembali, kepada Mu aku menghadapi musuh dan kepada Mu aku berhukum. Ya Allah! Ampunilah dosa-dosa ku sama ada yang lalu atau yang akan datang. Ampunilah juga dosa-dosa suamiku dan dosa-dosa alamrhum ibu bapaku.” Jeda. Esakan kecil mula terluah dari bibir Azza.
Suara Azza yang bernada sendu sampai ke telinga Ariq. Matanya dibuka luas-luas. Dia terlelap hingga tak sedar Azza sudah selesai. Azza yang menangis di atas sejadah dipandang lama.
“Sesungguhnya Engkau lebih mengetahui. Hanya kepada Mu aku meminta pertolongan. Berikanlah aku kekuatan untuk menghadapi hari-hari yang mendatang. Sesungguhnya berat ujian yang Engkau turunkan kepadaku. Keluarkanlah aku dari kenangan silam. Ya Allah! Berikanlah aku cahaya untukku hadapi bersama-sama suamiku ini. Berilah kami kebaikan di dunia dan kebaijkan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Ariq tak tahu apa yang Azza sudah lalui. Gadis itu seperti menceritakan sesuatu dalam setiap patah doa yang dituturkannya. Jika dia merasakan ujian untuk dirinya sudah hebat, entahkan dugaan untuk Azza lebih lagi.
Suara tangisan Azza mengganggu lamunan Ariq. Merentap tangkai hatinya. Tanpa disedari menitis setitik air mata lelakinya. Ikutkan hati mahu sahaja dia menerpa Azza yang masih berteleku di atas sejadah. Mahu memeluk tubuh itu erat. Mahu meminjamkan dadanya. Mahu menenangkan emosi gadis itu walau dia tak tahu apa yang telah gadis itu alami. Matanya dipejam rapat.
“Ariq, bangun! Dah subuh.”  
“Subuh?” Ariq terpisat-pisat. Jemarinya laju menggenyeh mata. Perlahan-lahan penglihatan yang kabur mula jelas. Terpampang wajah Azza yang sedang tersenyum kepadanya.
Bingkas dia dari baringnya. Menekur lantai seketika. Dia terlelap ke? Rasa macam baru sahaja dia pejamkan mata. Dia mendongak.
“Kau dah solat?” Azza yang sudah berganti baju dipandang atas bawah.
Azza hanya mengangguk. Tersenyum nipis lalu mula mengatur langkah untuk keluar dari situ.
“Lain kali kalau aku ada dekat rumah, kita solat berjemaah.”
Terberhenti langkah Azza di muka pintu. Dia berpaling. Memandang pada Ariq yang sedang berjalan ke arahnya.
You heard me.”
Ariq berhenti seketika di sisi Azza. Mendekatkan wajahnya pada muka Azza hingga memaksa gadis itu menjarakkan kedudukan mereka. Hujung hidung Azza dicuitnya sedikit sebelum berlalu meninggalkan gadis itu termangu-mangu dengan tingkah spontan dia. Tersungging senyuman senget di bibirnya dengan reaksi Azza.
Azza kaget. Perlahan-lahan jarinya naik menyentuh hidung. Sungguh, dia tak sangka Ariq boleh bertindak begitu. Namun terbit segaris senyuman di bibirnya. Bukan kerana dia suka dengan apa yang Ariq telah buat. Kata-kata Ariq pasal solat berjemaah lebih menarik perhatiannya. Kiranya dia tidak salah membuat keputusan bersetuju untuk menikah dengan Ariq.
Bersama senyuman yang masih terukir di bibir, dia mengatur langkah menuju ke ruang dapur. Ingin menjalankan tugas pertama sebagai seorang isteri. Menyediakan sarapan pagi untuk Ariq.
Peti sejuk dibuka. Sebelum itu sempat dia mengerling ke meja makan. Nampak ada sebungkus roti tawar. Dia tersenyum lebar. Sudah tahu apa yang ingin dibuat. Lalu sekotak susu, sebiji telur dan sepeket keju jenama chesdale digapai. Semua bahan-bahan itu dikeluarkan dan diletakkan di atas meja makan.
Langkahnya diatur pula mendekati kabinet dapur. Satu persatu pintu kabinet dibuka tapi benda yang dicari tidak berjumpa. Kepala yang tidak gatal digaru. Termenung dia seketika. Mengharapkan satu keajaiban. Manalah tahu kabinet yang bisu ini boleh memberitahu dia di mana tuan rumah letak kuali.
“Cari apa?”
Mommy!” Jeritan Azza nyaring memenuhi ruang dapur hingga tanpa sedar terlompat sedikit. Terkejut bila ada suara berbisik di telinganya. Dadanya yang masih berdebar diurut laju.
Pantas dia berpaling bila terdengar suara tawa Ariq. Matanya terkebil-kebil memandang Ariq yang tersenyum nakal kepadanya. Itulah, Azza. Minta lagi satu keajaiban. Kan sudah dikabulkan. Memang ajaib sungguh orang dekat depan ni. Bila masa agaknya berdiri di belakang dia.
Eh, alamak! Liur ditelan. Laju dia kalih pandangan. Ariq ni memang sengaja mendera perasaan dia. Boleh buta matanya kalau selalu dihidangkan dengan pemandangan begini. Boleh lelaki ini selamba sahaja hanya bertuala separas pinggang. Sudahlah badan lelaki itu masih basah dengan titisan air. Dah macam pelakon Baywatch. Ya Allah, otak dia dah tercemar! Sungguh, dia bukan sengaja.
Ariq jongket kening bila Azza kembali memandang dia.
“Ca…cari ku…kuali.” Bibir diketap menahan debar. Merenung tepat pada wajah yang berjarak tidak sampai seinci dari dia. Dah kenapa dengan dia ni. Tergagap bagai. Ya Allah, malunya! Sahlah Ariq tahu dia tengah gabra.
Ariq tersenyum. Dia menunduk sedikit. Kuali yang diletakkan di bahagian bawah kabinet dikeluarkan.
Eh! Boleh pulak dia buat wayang dekat sini. Janganlah tuala tu tertanggal. Azza menutup mukanya dengan kedua-dua belah tapak tangan. Seram.
“Nah.” Ariq letak kuali di atas dapur.
Azza mengintai di balik celahan jemarinya.
“Apa yang kau takut sangat?” Ariq mengecilkan matanya. Menggeleng perlahan dan berlalu dari situ.
Betul kata Ariq. Apa yang dia takutkan? Hailaaa. Azza menggeleng.
Malas mahu memikirkan benda remeh, segera dia mencapai mangkuk plastik besar untuk membancuh telur. Lagi lama dia termenung lagi lambatlah siap sarapan pagi mereka.
“Kalau nampak pun tak apa. Dah halal,” sakat Ariq yang menjengukkan kepalanya sedikit di balik dinding yang memisahkan ruang dapur dan ruang tamu sebelum pantas berlalu dari situ.
Terpelanting bekas plastik di tangan Azza.
“Ariq!!!” Bergema suara Azza satu rumah. Senada dengan tawa Ariq.
Ariq terus sahaja bersiap-siap usai menunaikan solat subuh. Senyuman masih tidak lekang di bibirnya. Masih terbayang-bayang di matanya telatah Azza tadi. Kalut betul gadis itu. Naif dan polos tingkahnya. Khayalannya terbang bila kedengaran telefon bimbit Azza berdering nyaring.
Sambil mengemaskan butang kemeja dia mendekati night stand. Telefon bimbit Azza diambil. Matanya mengamati nombor yang tertera. Nombor yang sama. Siapa agaknya yang sibuk sangat menghubungi Azza ni?
“Azza, telefon kau!” jeritnya selepas telefon bimbit Azza diletakkan semula.
Terkocoh-kacah Azza berlari anak masuk ke dalam bilik. Macam mana dia boleh terlupa membawa keluar telefon bimbitnya tadi. Dia berharap sangat bukan Deborah yang membuat panggilan. Kalau tidak memang masaklah dia. Ariq pasti akan bertanya macam-macam.
“Eh!” Terpaku dia seketika. Namun cepat-cepat mendapatkan telefon bimbitnya.
Ariq tersengih. Dia sengaja berdiri di depan pintu bilik dengan hanya berkemeja tanpa seluar. Lambat-lambat dia mengemaskan butang lengan bajunya sambil mata tak lepas memandang Azza.
Azza melihat nombor yang tertera di skrin telefon. Deborah. Macam mana ni? Takkan nak jawab dekat sini? Ini nak keluar pun payah. Ariq ni pun satulah. Boleh pula dia buat tayangan perdana. Kenapalah nak seksi-seksi sangat? Seksa mata dia.
“Kenapa tak jawab? Tak risau ke kalau-kalau panggilan tu penting?” Ariq menari-narikan keningnya. Dia kekal berdiri di depan pintu.
Perlahan-lahan Azza bawa telefon bimbit melekap ke telinga. Mata tetap bersabung pandang dengan Ariq.
“Hello! Deborah, I’ll call you later.” Tona suaranya perlahan sahaja dan panggilan yang diterima terus diputuskan.
Telefon bimbit digenggam. Nafas dihela dalam-dalam sebelum kaki dihayun. Mahu segera keluar dari situ. Tidak mahu bersoal-jawab dengan Ariq. Naluri hatinya dapat merasakan sepertinya Ariq dapat meneka sesuatu tetapi entahlah. Harap-harap tebakan hatinya tidak betul.
Ariq tersenyum senget.
Who are you actually, wifey?” Dia menyoal kala Azza mahu melintasinya.
Langkah Azza mati. Wajah lelaki di depannya ditatap.
Dealing with someone from London? You’re not an ordinary kampong girl.”
Crap! Mana Ariq tahu dia berhubung dengan seseorang dari London? Lewat pagi tadi Ariq tersedar ke?
You owe me an explaination. We will talk about this later. Lunch time. Now, please get my pant,” arah Ariq.
Kalau ikutkan banyak yang ingin dia bertanya tetapi memandangkan dia perlu segera ke tapak pembinaan hal itu boleh ditangguhkan dulu. Tengah hari nanti Azza tidak boleh tidak mesti terangkan segala-galanya kepada dia.
Azza berpaling. Menurut seperti yang diperintah. Takut nak membantah bila melihatkan riak serius pada wajah Ariq. Dia mengambil seluar Ariq di atas katil kemudian dihulurkan pada lelaki itu dan berdiri macam patung cendana kala Ariq menyarungkannya.
My tie.”
Bagaikan robot, Azza patuh. Dia membetulkan ikatan tali leher Ariq. Nak cakap tak tahu nampak macam penipu. Orang yang pandai berbahasa inggeris pastinya tidak kolot. Ikatan tali leher hanya di hujung jari sahaja. Tambahan pula semasa bersekolah dia pernah menjadi pengawas.
Ariq tersenyum. Seraut wajah putih Azza diamati betul-betul. Tanpa sedar tangannya membelai rambut Azza. Terpukau dengan bauan wangi yang terbit. Malah sejak malam tadi lagi dia berangan-angan untuk menyentuh rambut Azza. Ini kalau orang tengok mesti nampak mereka berdua macam lovey dovey couple. Macam orang dah bercinta bertahun hingga akhirnya disatukan.  
“Errr…Ariq. Done.”
Thanks.” Satu ciuman dihadiahkan pada dahi Azza sebelum Ariq berlalu keluar.
Azza kaku.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

BERARAK AWAN CINTA - PART 14


BERHATI-HATI Azza meletakkan pinggan yang sudah dibasuh ke rak. Ariq dah lama menghilang ke ruang tamu. Dia paksa lelaki itu menonton televisyen. Itu pun selepas puas mereka bertekak. Berebut nak mengemas dapur selepas makan tadi. Lelaki itu takut sangat agaknya pinggan mangkuknya pecah. Tahulah ini rumah Ariq tapi Ariq lupa sesuatu. Inilah rutin harian yang dia buat selama tinggal dengan pak longnya.
Done.” Azza tersenyum. Jemarinya yang basah direnjis ke singki dan dilap menggunakan tuala kecil yang tergantung di jeriji tingkap di depannya. Dia mengatur langkah bergerak ke ruang tamu.
“Amboi, suara televisyen tu! Kalau tak kuat tak dengar agaknya.” Dari ruang dapur lagi sayup-sayup telinganya menangkap bunyi orang bercakap-cakap. Cumanya tak sangka pula sekuat ini.
Entah rancangan apa yang ditonton Ariq dia malas nak ambil tahu. Sekarang ada benda yang lebih penting lagi. Bercekak pinggang, matanya meliar di sekitar ruang tamu.
“Beg baju aku mana?” Rasa-rasanya tadi beg bajunya diletakkan berdekatan dengan rak televisyen.
“Ada dalam bilik.” Mulut berbunyi tapi mata Ariq kekal pada kaca televisyen.
“Bilik yang mana?”
Tidak menjawab lagi, Ariq menekan butang merah pada alat kawalan jauh. Meletakkan alat itu di atas meja kopi dan terus bangun menuju ke bilik tidurnya. Ikutkan hati mahu sahaja dia menyuruh Azza mencari sendiri tapi dia tahu nanti macam-macam soalan keluar dari mulut gadis itu. Dah tengah malam ni, dia malas nak bertekak. Esok-esok sajalah kalau-kalau Azza berhasrat nak berdebat dengannya.
Kening Azza bertaut seraya matanya tak lepas mengikuti gerak-geri Ariq. Bukan baru tengok ke televisyen tu? Beritahu ajelah bilik yang mana satu. Dah kenapa nak masuk juga ni? Hesy, memang saja tau. Mahu atau tidak, langkah Ariq dia turuti juga.
Ariq tersenyum. Dia tahu pasti Azza tak sangka dia sendiri dengan senang hati nak tunjuk letak duduk beg baju gadis itu. Dia memang menunggu gadis itu habis mengemas dapur. Menonton tadi sekadar lakonan. Boleh saja kalau dia nak tunggu di dalam bilik. Sengaja nak buat hati Azza tak keruan. Memang itu pun tujuan dia. Mana boleh biarkan gadis itu bersenang-lenang di dalam rumah ni.
Masuk sahaja ke dalam bilik, dilambung tubuhnya ke atas katil. Berbaring santai. Kepalanya ditinggikan sedikit. Mudah untuk dia memerhatikan gerak-geri Azza.
Azza terus saja mendapatkan beg bajunya. Dapat dirasakan pandangan nakal Ariq yang mengekori langkahnya. Ahhh, mata helang itu mana pandai untuk tidak memandang dia. Chill, Azza Humaira.
Bertenang? Tak boleh. Usah dicerita dadanya yang berdebar sekarang ini. Debaran yang menggila. Tersilap perkiraan boleh meletup. Kalau di ruang tamu yang luas, Ariq boleh buat dia kaku. Tak mustahil dia boleh mati lemas di dalam bilik yang sempit ini. Lagilah bila berdua-duaan begini. Serba tidak kena dia jadinya.
Berpura-pura tidak nampak perbuatan Ariq. Dia duduk mengadap beg bajunya. Sepasang pijama dan tuala dikeluarkan sambil sebelah tangan sibuk menggaru kepala. Tiba-tiba terasa gatal pula.
“Eh?” Dia terjerit kecil bila jemarinya menyentuh tudung yang sedikit lembap. Ingatkan tudung ni dia dah tanggalkan. Patutlah kepalanya rasa gatal. Hesy, macam mana dia boleh terlupa ni.
“Tanggalkan ajelah tudung tu. Tak adalah kau nak tergaru sana tergaru sini. Dah macam monyet pula aku tengok.”  
Monyet? Tak guna punya nyamuk. Bingkas Azza berdiri. Satu jelingan tajam dilemparkannya sebelum menghayun langkah keluar dari situ.
Meledak tawa Ariq. Kuat. Suka dia bila Azza tayang muka tak puas hati kepadanya. Suka melihat wajah putih itu berubah rona. Marah atau malu? Ahhh, ada dia kisah. Yang pasti pipi yang kemerah-merahan macam minta dicubit-cubit.  
Shoot, Ariq Ziad! Kau dah kenapa?” Tawanya mati. Dia menggeleng dengan perangai sendiri yang tak matang. Melihat baju yang tersarung di tubuh, laju dia bangkit. Mahu menukar pakaian.
Selepas beberapa minit, Azza masuk semula ke dalam bilik. Dia sudah siap menukar pakaiannya. Tudung juga sudah tidak menghiasi kepalanya. Entah kenapa matanya gatal memandang ke katil.
Alamak! Sepantas kilat dia kalih pandang. Terkejut. Tak semena-mena dadanya kembali berombak kencang. Berdebar-debar walau sedaya upaya dia cuba mengawalnya. Bukannya ada orang lain pun atas katil tu. Ariq juga. Bersandar santai pada kepala katil. Bezanya Ariq hanya berseluar pendek. Tiada lagi baju melayu dan kain pelekat tersarung pada tubuh itu macam tadi.
Ariq mendongak bila hidungnya menangkap bauan wangi. Terhenti terus aktiviti memeriksa e-mel di telefon bimbit. Liur ditelan. Figura di depan matanya yang pegun berdiri membelakangkan dia dipandang tak berkelip.
Setelah debarannya reda, Azza lekas-lekas menyidai tuala sebelum memanjat katil. Mengambil tempat di sebelah ruang yang kosong.
Subhanallah! Mata Ariq masih memaku pandang pada Azza. Rambut Azza yang lurus dan lebat berkilat serta terbuai-buai mengikut langkah pemiliknya terasa seperti hendak dibelainya.
Ahhh, mudahnya dia tewas dengan ciptaan Allah yang satu ini. Walhal baru beberapa minit berada dalam bilik tidur bersama-sama dengan Azza. Sehinggakan Azza yang sedang menyusun beberapa biji bantal di tengah-tengah di antara mereka pun tidak dia sedarinya.
Pap! Bunyi tepukan kuat yang dihasilkan Azza menyedarkan Ariq dari khayalan.
“Eh! Apasal banyak sangat bantal-bantal ni?” Azza yang sudah merebahkan badan dipandang. Bertaut keningnya melihat susunan bantal bagai kubu pertahanan di sisinya.
“Petua orang tua-tua. Kau mesti tak pernah tahu, kan?” Azza tersenyum bersama kening yang ditarikan.
Tidak menunggu jawapan balas Ariq, badannya diiringkan membelakangkan lelaki itu. Selimut ditarik hingga ke paras dada. Bibirnya dikemam erat. Mengelak tawa yang ditahan dari meletus.
“Petua apa pula?” Kerutan dahi Ariq makin berlapis-lapis. Jemari naik memicit pelipis. Azza ni biar betul? Tak habis-habis dengan petuanya.
“Halau nyamuk. Barulah lena tidur.”
Terbuntang mata Ariq. Halau nyamuk? Dia tak adalah moden sangat sampai semua pesanan orang dulu-dulu dia tolak. Tapi sungguh dia tak pernah dengar petua yang dicakapkan Azza. Agak lama juga dia membisu. Cuba mencerna kata-kata Azza. Tiba-tiba terhambur ketawa dari mulutnya.
“Hesy, kau tak reti nak tidur ke? Esokkan kau ada meeting. Jangan nak salahkan aku pula kalau kau terlewat bangun.” Azza membebel sambil menarik selimut hingga menutupi kepalanya. Berbungkus seperti mayat.
“Nyamuk mana tahu tidur. Psssttt, jaga-jaga nyamuk suka buat bising dekat telinga. Silap haribulan siap tinggalkan kesan.” Ariq membalas dalam sisa tawanya. Badannya turut direbahkan di sebelah Azza.
            Untuk kesekian kalinya, Azza telan liur. Kata-kata Ariq bagaikan memberi amaran kepada dia. Ariq dah tahu ke itu semua hanya kelentong? Allah, dia rasa macam tak selamat pula nak tidur.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

BERARAK AWAN CINTA - PART 13


AZZA bersandar di balik pintu bilik air. Tangan kanannya melekap di dada. Dibawa berlari dari atas ke bawah. Berkali-kali. Cuba meredakan jantung yang berdegup kencang. Cuba mengatur semula larian nadi yang juga sudah bertukar rentak. Berdetak di luar normanya. Bagaikan baru sahaja selesai marathon 5 kilometer. Ketara apa yang dilakukan Ariq tadi merancakkan perjalanan adrenalin dalam tubuhnya.
“Kenapa dengan aku ni?” Dia yang sudah bergerak ke sinki menatap wajah sendiri di cermin. Wajah yang sudah berubah rona dibelek. Kedua-dua tapak tangan melekap di pipi.
“Layakkah aku merasai itu semua?” Dia bermonolog lagi.
Termenung. Perlakuan Ariq padanya sebentar tadi kembali terlayar di minda. Namun aksi itu hilang serta-merta bila terdengar ketukan bertalu-talu dari luar.
“Oh, please! Jangan buat drama malam-malam buta ni! Jangan cakap dekat aku yang kau nak tidur dalam bilik air!” Sinis sahaja bunyi suara Ariq di luar sana.
Azza mencemik. Dia tak gilalah nak tidur dalam bilik air ni. Sejuk kut. Orang hilang akal aje yang buat macam tu.
Yang dia bengang sekarang ni ialah sikap Ariq. Lelaki itu umpama mempunyai split personality. Baru sahaja tadi berbisik romantis macam mulut tu penuh gula. Bibir bersalut madu. Sampai ke tahap hati dia menjadi cair, dada dia berdebar, jantung dia berdegup kencang.
Sekarang, sekelip mata buat hati dia panas. Mendidih tahap 100 darjah celcius. Kalau letak telur mentah di atas kepala dia, hangit agaknya telur tu.
Wei, Azza! Dahsyat betul metafora kau. Alah, sekali-sekala berfikir ala-ala Jabir Ibnu Hayyan. Apa salahnya. Dia tersenyum.
“Kau jangan sampai aku pecahkan pintu ni!” Ketukan di pintu bersambung lagi.
“Mental.” Azza bercakap sendiri.
Pantas sahaja paip air dibuka. Membasahkan mukanya ala kadar dengan harapan pelbagai rasa dalam hati dapat dihilangkan. Wajahnya diamati sekali lagi. Berpuas hati dia berpaling. Pam tandas ditarik sebelum pintu bilik air dibuka.
“Arghhhh…!”
Ariq tersenyum senget. Mata mengekori Azza yang berjalan melepasi dia. Dia yakin Azza tidak menyangka yang dia akan menanti gadis itu di luar. Tak perlu ditanya pada empunya diri. Riak terkejut yang terpamer pada wajah gadis itu menggambarkan segala-galanya. Dia sendiri pun hairan dengan tingkahnya. Tak pernah dia nak buat kerja bodoh macam ni. Entah-entah telahan dia tentang jampi itu betul.
Nonsense.” Rambutnya dikuak. Langkahnya diatur menuruti jejak Azza yang menonong ke ruang tamu.
Azza terus sahaja melabuhkan punggung di tempat yang sama tadi. Tangannya menggenggam kuat kerusi. Badannya digoyang-goyangkan. Mahu menghilangkan debaran dalam dadanya yang bertandang kembali. Jika mahu beraksi normal, dia perlu menempatkan dirinya di zon bertenang. Bukan dalam zon panas yang membuatkan dia bertingkah luar biasa.
Namun sejauh mana sahajalah dia boleh pergi selain dari ruang tamu ini atau ruang dapur. Inikan rumah Ariq. Dia bersembunyi celah mana pun pastinya Si Mata Helang itu boleh mencari dia.
“Kau dah makan?”
“Allahuakbar!” Tegak terus badan Azza. Ringan aje tangannya nak ketuk kepala Ariq kalau tak memikirkan Ariq ni dah menjadi suaminya.
Hesy, kenapalah suka main terjah-terjah macam ni. Apa Ariq ingat semangat dia kuat ke? Dia pun ada kelemahan. Tak pasal-pasal jantung dia dipaksa berkerja keras. Penat tau. Karang ada juga dia daftar masuk wad jantung.
Senyuman senget kembali menghiasi bibir Ariq. Tidak tahu kenapa suka pula dia melihat kekalutan Azza. Kekalutan yang kadangkala buat mulut comel itu sukar menuturkan jawapan.
Kalut pun comel? Ariq, kau kena ingat bagaimana kau orang berdua boleh menikah, suara jahat berbisik. Ariq berdeham. Disebabkan soalannya tadi tidak berjawab, lantas tubuhnya dibongkokkan sedikit.
“Dah ke belum?” Tona suaranya diperlahan. Seperti berbisik. Dekat dengan telinga Azza.
Azza mengangguk laju.
“Eh?” Dia menggeleng pula. Laju juga gelengannya.
Sekarang Azza rasa nak ketuk kepala sendiri. Macam orang miring. Sekejap angguk, sekejap menggeleng. Ini semua salah Ariq. Siapa suruh lelaki itu berbisik? Dia jadi tidak keruan. Sampai gagal memberi keputusan yang logik.
Senyuman Ariq semakin lebar. Terus sahaja pergelangan tangan Azza digenggam. Ini dia baru bisik-bisik. Agak-agak kalau dia bagi hint yang ‘satu’ itu macam manalah agaknya reaksi Azza nanti. Terletus tawa kecil dari mulutnya.
“Ap…” Terpinga-pinga Azza yang tidak bersedia bila tangannya ditarik tanpa amaran. Mahu atau tidak dia terpaksa menurut. Kalau tak diikutkan kesakitan yang masih bersisa akan menyerang kembali.
Ariq yang menyedari sesuatu terus melonggarkan pegangan tangannya tetapi tidak melepaskan terus tangan Azza.
“Maaf tak sengaja.”
Azza hanya herotkan mulutnya. Malas mahu membantah. Malas nak peritkan tekak bertikam lidah. Dah orang tu beria-ia nak pegang, bagi ajelah peluang. Walhal dia sudah besar panjang bukannya budak kecil yang perlu dituntun.
Ariq membawa Azza mendekati kabinet dapur. Salah satu pintu kabinet di bahagian atas dibuka dengan sebelah tangan yang bebas.
“Mee segera boleh?” Azza dipandang sekilas.
Azza hanya angguk. Takkanlah nak cakap dia nak makan nasi ayam. Mahu kena tangan dengan mamat mata helang ni nanti. Dia pun bukannya lapar sangat. Orang dah rela hati nak masakkan untuk dia, bersyukurlah. Orang kata rezeki jangan ditolak.
Ariq ambil dua bungkus mee segera jenama Maggi. 2 biji telur pula dikeluarkan dari peti sejuk. Semuanya diletakkan di atas meja. Kemudian dia mencapai sebiji periuk dan diletakkan di atas dapur.
Azza tak tahu nak rasa kagum atau macam mana sejak dari awal memerhati setiap pergerakan Ariq. Hebat lelaki ini. Boleh pula buat kerja dengan sebelah tangan sahaja. Tak reti ke nak lepaskan tangan dia. Dia bukan nak lari ke mana-mana pun.
Mulutnya diherotkan ke kiri dan ke kanan. Nak meluah kata dia malas. Itu sahajalah yang mampu dia buat. Terasa seperti dia diperhatikan, lantas wajah didongak. Liur ditelan berkali-kali apabila pandangannya bertaut dengan Ariq.
Why?” Ariq jongketkan keningnya.
Kantoi. Tak mahu panjangkan cerita Azza memuncungkan bibirnya. Lebih kepada memberitahu Ariq tentang tangan mereka yang bertaut.
Ariq mendekat sehingga mukanya dan muka Azza hanya berjarak beberapa inci sahaja
“Eh? Kau nak buat apa ni?” Azza mengundurkan tubuhnya. Tanpa sedar sebelah tangan sudah melekap kemas di dada Ariq. Menahan lelaki itu dari terus merapatinya. Semuanya berlaku di luar kawalan. Bukan sengaja. Darurat.
“Mulut tu. Bukan kau nak minta cium ke?” Ariq menari-narikan keningnya. Dia tahu maksud isyarat mulut Azza. Saja nak mengusik. Usik mengusikkan membawa bahagia. Poyolah kau, Ariq. Dah berkenan ke?
“Aku masih waras lagilah.” Azza jegilkan matanya.
Ariq ketawa.
“Tu tangan kau tu. Boleh lepaskan tak?” Azza menyambung kata seraya melirik ke bawah. Pada tangan Ariq yang kemas memegang pergelangan tangannya. Tak berani nak muncungkan mulut macam tadi. Buatnya Ariq betul-betul memaknakan kata-katanya. Sahlah dia menjadi salah seorang penghuni wad jantung hari ini.
Pandangan Ariq turut jatuh ke tempat yang sama. Dia tersenyum.
“Ooo… Cakaplah suruh lepaskan tangan. Hmmm tapi tak salahkan kalau kita…” Dia tersengih nakal. Keningnya semakin rancak ditarikan.
“Jangan nak miang!” Azza faham sengihan itu lantas ditolak sekuat hati tubuh Ariq. Hingga Ariq terdorong sedikit ke belakang. Pegangan tangan mereka juga terungkai.
Tidak mensia-siakan peluang yang ada, pantas sahaja Azza menjarakkan kedudukan. Tangannya menggapai salah satu kerusi makan. Laju ditariknya keluar. Punggung dilabuhkan di situ. Kedua-dua tapak tangan menekap pipi. Panas. Berbahang. Aduh, lagi lama dia duduk dalam rumah ini memang boleh mati kejung. Asyik kena sakat saja.
Serentak itu, tawa Ariq meletus kuat. Gelagat Azza benar-benar mencuit hatinya. Ini baru permulaan, my dear. Esok, lusa, tulat dan seterusnya akan ada macam-macam agenda lagi. Nampaknya kehidupan dia selepas ini tidak akan membosankan. Dia kembali menghadap dapur.
Setelah menunggu lebih kurang 10 minit, akhirnya terhidang 2 mangkuk mee segera di atas meja makan. Ariq tersenyum seraya memandang Azza.
“Nah! Ini aje yang ada dekat rumah ni. Kalau tak tertelan, kau cubalah bayangkan yang kau tengah makan nasi ayam.” Ariq tergelak. Lucu dengan kata-katanya sendiri.
“Bolehlah dari tak ada.” Azza pamer senyuman paksa.
Dia bukan penggemar mee segera. Malah arwah ibunya memang tak menggalakkan segala jenis makanan segera. Tapi disebabkan perut dia pun seronok sangat main lagu keroncong, telan ajelah apa yang ada. Nanti kalau kata tak nak, kecik pula hati Ariq. Lagi pula orang tu dah penat-penat masakkan untuk dia. Bersyukurlah sangat-sangat.
Lalu tangannya ditadah membaca doa makan. Usai meraup wajah, sudu segera dicapai.
“Sedap tak?” Azza yang baru hendak menyudu kuah disoal.
Terhenti pergerakan Azza. Kalau ikut perut yang dah lapar ni dia rasa nak tangankan aje orang yang bertanya. Tak nampak ke dia dah makan ke belum.
“Belum rasa lagi.”
“Tak sabar nak tahu sedap ke tak.” Ariq tersengih.
Terherot sebelah mulut Azza. Apa kes? Ada juga orang macam ni. Dah nama mee segera, rasa mee segera ajelah. Tak kiralah jenama apa pun. Sibuk nak tahu sedap ke tak. Bukannya nasi biryani pun atau paling koman nasi ayam.
“Macam mana?” Ariq bertanya lagi.
Sebenarnya dia nak tergelak dah ni. Entah tersampuk apa agaknya sibuk nak tahu mee segera yang dimasak sedap atau tidak. Selama berkelana dekat tempat orang ni tak pernah pun dia kisahkan apa yang dimakannya sedap atau tidak. Yang penting perut yang kosong mesti diisi. Kalau tidak, tidurlah dalam kelaparan. Cumanya malam ini ada rasa bahagia yang bertandang dalam hati. Itu yang mengada terlebih.
“Sedap.” Tanpa perasaan pujian dilemparkan juga oleh Azza sebaik kuah mee yang dihirup mengalir melalui rengkungnya. Bagi muka sikit pada orang tu yang dah berpenat lelah memasak. Kalau tak cakap apa-apa nanti takut sentap pula.
“Okey.” Ariq kenyit mata. Barulah dijamah makanannya dengan berselera sekali. Puas hati dengan jawapan yang diterima. Walau dia nampak reaksi Azza yang tidak senang dengan soalan kurang cerdiknya.
“Tiap-tiap malam kau dengan Abang Haidar makan ini aje ke?”
“Tak adalah tiap-tiap malam. Tapi malam ni last aku makan mee segera.”
“Apasal pulak?” Berlapis-lapis kerutan di dahi Azza.
Ariq mendongak selepas menghirup kuah.
“Apa guna ada isteri kalau tak boleh masakkan makan malam untuk suami, betul tak?” Dia tersengih lebar.
Azza tarik muka. Cemberut. Suapannya diperlahankan. Sungguh, tiba-tiba tekaknya rasa macam tertelan pasir. Apa makna kata-kata Ariq? Dia wajib memasaklah ni.
Walau wajahnya menunduk, matanya mencuri pandang Azza tanpa disedari si gadis. Ariq tersenyum sendiri. Kata kau orang kampung, mesti pandai masak. Hoi, cik isteri! Tak berani ke?
“Errr… Nanti aku nak tidur dekat mana?”
Wajah Ariq yang sedang ralit menghirup kuah dipandang. Baru Azza teringat akan hal itu. Yalah takkan dia nak tidur dekat ruang tamu yang hanya ada kerusi kayu. Mahu sakit-sakit badan bila bangun esok pagi. Selagi diizinkan-Nya, tubuh dia ini nak diguna lama.
Terjongket tinggi kedua-dua belah kening Ariq. Tidak menjangkakan soalan itu keluar dari mulut Azza. Namun jongketan itu tidak lama apabila bibirnya mengukir senyuman pula. Bukan senyuman biasa tetapi senyuman nakal.
Reaksi yang ditunjukkan Ariq buat Azza menelan liur berkali-kali. Membasahi rengkungnya yang tiba-tiba kembali terasa perit. Dia tidak suka dengan senyuman itu. Nampak sangat miang. Nampak sangat menyeramkan. Salah dia juga menyoal begitu. Macam tak sabar sangat nak tidur bersama-sama dengan Ariq. Bodohnya kau, Azza Humaira.
“Rumah ni ada 2 bilik aje. 1 bilik Haidar dan 1 lagi bilik aku. Haidar dah kunci bilik dia. So, kau pilihlah nak tidur bilik mana.” Ariq tersenyum simpul.
Terbatuk-batuk Azza mendengar jawapan selamba Ariq. Kalut mencapai gelas berisi air suam. Diteguknya rakus. Tak ada masa nak jadi perempuan melayu terakhir.
Belakangnya disandarkan setelah batuknya berkurangan. Ariq yang tersengih macam kerang busuk direnung tajam. Psiko betul mamat mata helang ini. Sudah terang lagi bersuluh macamlah dia boleh buat pilihan yang mana satu. Nak main-mainkan dia, ya.
“Hmmm… Banyak tak bantal dekat dalam bilik kau tu?” Tiba-tiba timbul satu idea yang Azza rasakan paling selamat buat sementara waktu. Selamat ke? Selamatlah kut.
“Bantal… bantal… Boleh tahan banyaklah. Saja spare sebab Chan dengan Rama kadang-kadang datang tidur sini.” Bersungguh-sungguh Ariq memberitahu.
“Bagus.” Azza tersenyum penuh makna.
Ariq tersenyum sama tanpa mengetahui maksud disebalik senyuman Azza.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

Friday, March 24, 2017

BERARAK AWAN CINTA - PART 12



KERETANYA diperlahankan. Mata Ariq tepat memanah wajah Azza dari cermin pandang belakang. Kedua-dua belah keningnya terjongket tinggi bila renungannya mendapat perhatian Azza. Namun wajah selamba yang ditayang gadis itu menaikkan darjah kemarahannya.

Mak datuk, muka tu toya aje. Ingat aku ni driver dia ke?

“Kau dah tak reti duduk depan? Berangan nak jadi bos?” perlinya selepas Azza masih tidak menunjukkan sebarang reaksi. Tonasi suaranya sedikit keras.

Terhinggut bahu Azza. Tak sangka Ariq boleh melantunkan suara sekeras itu.

Amboi, mamat berlagak ni! Dah mula tunjukkan belang. Dah tak pandai nak bercakap lembut-lembut. Ini kalau dia pun turut sama berkeras, ada karang dia kena tinggal di tepi jalan. Susah kalau berurusan dengan mamat berlagak.

“Errr… kau berhentilah dekat tepi sekejap,” pintanya baik-baik.

Macam mana dia nak berpindah tempat duduk kalau kereta masih bergerak? Ingat dia stunt girl ke nak melompat dari tempat duduk belakang ke hadapan melalui tingkap. Eh, apa yang aku melalut ni!

“Ikut tengah ini aje,” arah Ariq. Masih lagi dalam nada yang keras.

Azza garu kepala. Ikut tengah? Aduh, badan dia bukannya kecik sangat nak buat macam yang disuruh. Sia-sia aje ni kalau terlanggar. Lantas tangan ditadah. Terkumat-kamit mulutnya membaca sesuatu sebelum mukanya diraup kasar.

Terjongket kening Ariq melihatkan perlakuan Azza. Bibirnya dicebikkan.

Pandangan pelik Ariq langsung tidak dihiraukan Azza. Ditanggalkan kasutnya. Dicampak ke ruang penumpang di hadapan. Lalu dengan berhati-hati dia melangkah untuk beralih tempat duduk seperti yang disuruh.

Bagaikan terkena renjatan elektrik, pantas Ariq anjakkan sedikit tubuhnya ke pintu bila punggung Azza mengenai bahunya. Sungguh, dia tidak menipu. Ada rasa lain yang timbul. Rasa yang dia sendiri tak pasti apa. Rasa yang ahhh… susahnya nak gambarkan.

“Maaf.” Azza menoleh sebaik sahaja punggungnya mencecah tempat duduk di sebelah Ariq. Malas nak fikir apa yang sedang menerawang dalam fikiran Ariq. Bohonglah dia tak rasa segan bila terlanggar bahu Ariq. Kalau tangan masih boleh dimaafkan. Ini tidak, salah satu aset penting miliknya kut yang berlaga tadi.

Ariq berdeham sedikit bagi menghilangkan rasa itu. Otaknya cuba dipesongkan dari memikirkan yang bukan-bukan.

“Hmmm…” Hanya perkataan itu sahaja yang mampu dia balas. Masih lagi terperanjat.

Azza ukir segaris senyuman sebelum tubuhnya dibawa bersandar. Dia membuang pandang ke luar tingkap.

Satu hari yang memenatkan bagi dirinya. Menghadap kerenah pak long dan Munirah. Mimpi ngeri yang dibawa Manaf. Klimaksnya, apabila Ariq menerima akadnya. Semuanya terjadi tanpa diduga. Ya Allah, bantulah hambaMu ini menghadap hari-hari esok.

Kelopak matanya yang sudah memberat dibiarkan sahaja menutup mata. Biarlah dia pejam seketika. Beri peluang dia bermimpi yang indah-indah. Melupakan seketika malang yang menimpa.

Malam yang kelam memaksa Ariq memandu dalam halaju kurang dari kelajuan yang biasa dipandunya. Biar lambat asalkan selamat. Bukan dia nak ke mana-mana pun. Cuma menuju ke rumah sewa. Nak pergi cari makan tapi seleranya dah hilang walau perut berkeroncong hebat. Kalau rasa lapar sangat, dia masak mee segera ajelah dekat rumah nanti.

Bunyi dengkuran halus yang datang dari kirinya mengganggu lamunan Ariq. Dia mengerling. Jelas di matanya bunyi itu datang dari bibir mungil Azza.

“Seksi.” Shoot! Apa yang kau merepek ni, Ariq? Dalam banyak-banyak benda, ke situ pula akal kau fikir. Kepalanya digaru.

“Betul ke apa yang aku buat ni? Dah bersediakah aku menggalas tanggungjawab? Bukan kecil tapi besar. Apa kata mama dengan papa kalau aku beritahu semua ini?”

Nafasnya dihela dalam-dalam kemudian dihembus perlahan. Untuk hari ini dia malas mahu memikirkan lagi apa yang telah terjadi. Cukuplah. Dia penat. Otak dia juga sudah penat. Fizikal yang dikerah seharian di tempat kerja juga memerlukan rehat.

Esok? Esok sahajalah dia fikirkan. Apa yang bakal terjadi? Dia percaya Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk dia. Rencana Allah untuk setiap hamba-Nya adalah perancangan yang terbaik. Sebagai hamba-Nya, dia kena reda.

Enjin dimatikan. Badan dibawa bersandar. Rumah sewa yang dihuninya sejak sebulan yang lalu direnung seketika sebelum beralih memandang Azza yang masih terlena. Wajah putih itu diamati dalam-dalam.

Gadis ini tidak bersalah. Dia juga tidak bersalah. Mungkin jodoh mereka berdua diaturkan oleh-Nya dengan cara begini. Menyesal? Tipu kalau dia kata tidak tetapi berbalik semula pada fitrah kejadian yang ada di muka bumi ini. Kun Fa Ya Kun.

“Aku berserah kepadamu, ya Allah.” Dia berbisik perlahan sebelum bahu Azza dicuit sedikit. Mengejutkan gadis itu dari lena.

Azza bertindak-balas. Bola matanya bergerak-gerak walau kelopak mata masih tertutup. Cepat-cepat Ariq buka pintu kereta. Malas mahu menunggu hingga Azza betul-betul terjaga. Sempat dicapai telefon bimbit Azza yang hendak dia pulangkan tadi sebelum melangkah keluar dari kereta.

Azza menggosok-gosok matanya. Dia berpaling ke tempat duduk pemandu.

“Eh?” Terpinga-pinga dia bila orang yang dicarinya tiada di situ. Laju saja matanya merenung ke hadapan.

“Rumah dia? Memang kena tidur sini ke?” Matanya tak lepas dari memandang Ariq yang sedang membuka pintu rumah. Akal dangkalnya mula berfungsi. Mula memberi idea yang bukan-bukan.

“Kalau aku tidur dalam kereta aje tak boleh ke?” Tersungging sedikit senyuman di bibirnya. Namun senyumannya mati bila Ariq berpaling dan bercekak pinggang memandang dia.

“Kau memang tak ada pilihan, Azza Humaira.” Dengan rasa malas, pintu kereta dibuka.

Dia melangkah keluar. Baru sahaja ingin menapak, tangan kanannya otomatik menekap dada. Tiba-tiba dia terasa darah gemuruhnya datang. Baru terfikir sesuatu. Dia dan Ariq. Serumah. Berkongsi bilik yang sama. Malah mereka bakal tidur di atas katil yang sama. Mimpi ngeri.

Oh, sesaknya dada dia! Berdua dalam rumah dengan lelaki yang baru dikenalinya memang boleh buat nafas dia terhenti. Lagilah dengan si pemilik mata helang yang memandang dia macam nak telan. Oksigen yang bertebaran di bumi Allah yang maha luas ini dirasakan seperti tidak mencukupi.

“Kau nak masuk ke tak? Kalau tak nak aku nak kunci pintu ni!” Ariq mengugut bila dilihat Azza masih lagi tercegat di tepi kereta.

Bukan tak mahu menggunakan kuasa veto yang baru digalasnya. Dia tidak suka memaksa. Tambahan pula mereka berdua belum betul-betul kenal di antara satu sama lain. Prinsip dia mudah. Sesuatu yang berlaku biarlah datang dari hati yang paling dalam. Keikhlasan.

Azza mencebik. Perlu ke nak tinggi-tinggikan suara? Dia bukannya pekak. Lagi pula jarak mereka tak adalah jauh mana.

“Kau tidurlah dalam kereta tu!”

“Hesy…”

Azza pasrah. Langkahnya mula diatur. Lemah sahaja dia berjalan. Kaki dipasak bila betul-betul sampai di depan pintu rumah. Kedua-dua tangannya ditadah. Mulutnya terkumat-kamit membaca doa.

Berkerut dahi Ariq. Pelik. Baca apa? Doa masuk rumah ke? Kalau betul doa masuk rumah, baguslah. Jangan jampi serapah pula. Eh, entah-entah memang minah ni baca jampi! Panjang sangat bacaan tu. Tak habis-habis dari tadi. Kalaulah doa masuk rumah, bukan dia tak tahu. Tak adalah nak berjela sangat bacaannya.

“Baca apa?” Dia menyoal juga usai Azza meraup wajah. Nalurinya tidak tenang selagi kepastian tidak diperolehi.

“Doa.” Azza terus melangkah masuk melepasi Ariq yang bersandar pada jenang pintu.

Kelam-kabut Ariq turut mengikut sama. Daun pintu ditutup rapat.

“Doa? Doa apa panjang sangat? Bukan jampi serapah, kan?” Dia bertanya lagi setelah pintu rumah dikunci.

Azza menjeling. Mulut mamat ni memang tak ada insuran betul. Ingat dia amalkan benda-benda syirik itu ke.

“Tolak bala.” Pendek sahaja dia membalas seraya melabuh duduk di atas salah satu kerusi kayu yang terdapat di ruang tamu. Tak kisahlah Ariq tak pelawa pun. Takkanlah dia nak jadi tugu negara kat situ. Sempat matanya curi-curi melatari sekeliling ruang tamu.

“Bala apa pula? Kau jangan nak bawa benda-benda tahyul kat dalam rumah ni.” Menyinga Ariq. Apa Azza ingat dia ada membela ke sampai gadis itu perlu baca doa tolak bala. Merepek.

Kakinya dihayun menuju ke kerusi bertentangan dengan Azza duduk. Menghenyakkan punggungnya di situ. Dia lebih selesa duduk berhadapan. Mudah untuk mereka berkomunikasi.

“Nyamuklah.” Azza menjawab dengan penuh yakin.

“Nyamuk? Nyamuk tu bala ke?” Ariq garu kepala.

Kerutan di dahinya semakin ketara lapisannya. Sungguh, dia tak faham kaitan antara kedua-dua itu. Wajah Azza direnung. Dia bernikah dengan manusia, kan? Kalau betul manusia, kenapa perangai gadis ini pelik-pelik.

“Memang balalah. Kau apa tahu.” Azza mencemik.

“Amboi, cakap tak mahu kalah!”

“Habis tu, kau nak aku cakap macam mana lagi?”

“Agaknya banyak sangat kau makan ulam ni. Itu yang perangai kau pun pelik-pelik. Kau kelentong aku aje, kan?” Boleh pakai ke kata-kata minah ni? Bimbang juga Ariq andai nyamuk yang maksudkan sebagai bala itu betul. Hei, Ariq Ziad! Takkanlah kau nak percaya?

 “Eh, ada tak telefon aku tertinggal dalam kereta kau tadi?” Azza cepat-cepat menukar topik sebelum Ariq bertanya lanjut. Manalah tahu lelaki ini suruh dia baca semula doa tadi. Sudahlah doa tadi ada kena mengena dengan lelaki ini. Apa yang dia berdoa tadi? Rahsia. Biarlah dia dan Allah sahaja yang tahu.

“Kau ni memang sengaja, kan.” Ariq berdecit sambil tangannya menyeluk poket seluar. Matanya memaku pandang wajah Azza yang beriak selamba.

Sah! Ada yang tak kena ni. Apa kata dia bagi pengajaran sikit. Biar gadis ini tahu bukan si dia aje yang panjang akal. Otak dia pun bijak juga.

Telefon bimbit dikeluarkan. Dihulurkan kepada Azza. Baru sahaja Azza hendak mencapainya, dia menarik kembali huluran tangannya. Terletus tawa dari mulutnya bila Azza menarik muncung sedepa.

“Bak sinilah telefon tu. Hak milik aku, kan!” Azza berkeras. Bengang dipermainkan Ariq begitu. Apa yang kelakar sangat sampai ketawa macam nak berguling-guling?

Permintaan Azza tak dihiraukan. Ariq masih lagi melayan tawanya. Setelah hilang rasa geli di hatinya, tangannya kembali dihulurkan. Kali ini telefon bimbit Azza hanya diletakkan di atas telapak tangannya.

“Nah.”  

“Hesy.”

Azza cuba mencapai lagi dari tempat duduknya. Namun tidak sampai. Sakit hatinya bila melihat Ariq menari-narikan keningnya. Sengajalah tu nak kenakan dia. Lantas dia bangkit dari duduknya. Merapati Ariq. Sepantas kilat merampas kembali telefon bimbitnya.

Sebagaimana lajunya Azza, begitu juga pantasnya tindakan Ariq. Lengan Azza disauk hingga gadis itu terduduk di atas ribanya. Tubuh Azza dipeluk kemas. Erat. Tiada niat terpesong. Sekadar mahu membalas usikan doa tolak bala yang dibaca oleh Azza tadi.  

“Kau nak kata akulah nyamuk tu, kan.” Lembut sahaja dia berbisik. Dekat dengan telinga Azza. Malah sengaja dia merehatkan dagunya pada bahu Azza. Memandang wajah gadis itu dari tepi. Nak tengok setebal mana benteng hati gadis yang baru dinikahi ini. Setebal Tembok Besar China, ke?

“Mana ada!” Azza membentak kuat. Cuba untuk melepaskan diri. Hesy, mamat ni. Main peluk-peluk pula.

Rangkulan erat Ariq cuba diuraikan. Pergelangan tangan yang masih terasa ngilunya tidak dihiraukan. Apa yang penting, wajib lepaskan diri dari lelaki ini. Dada dia ni macam nak meletup. Tak pernah-pernah berdebar begini hebat. Pipi dia pula terasa berbahang. Dingin malam tak mampu menangani kepanasan yang melanda.

“Kau tahukan nyamuk hisap darah, hurmmm…” Ariq masih dalam mood mengusik. Entah kenapa dia suka rona merah yang terbit pada pipi Azza. Mempersonakan. Menggugat naluri lelakinya.

“Errr…” Azza kaku. Tak terluah untuk membalas kata. Terasa nafas Ariq menyapu lembut pipinya. Ini kalau dia toleh juga memang bibir bertemu bibir. Ya Allah, Azza Humaira! Kenapalah boleh berfikir sampai ke situ? Rasa nak aje ketuk kepalanya yang tiba-tiba ting-tong ni.

“Jangan risau. Nyamuk yang ini spesis baik-baik. Dia tak hisap darah tapi…” Ariq rapatkan wajahnya pada pipi Azza.

“A… aku nak pergi tandas.” Sekuat tenaga Azza melepaskan pelukan Ariq. Berjaya. Dia berlari ke ruang dapur walau dia tak tahu di mana sebenarnya tandas dalam rumah itu.
Ariq ketawa lagi. Kali ini lebih kuat dan galak berbanding tadi. Nasib baik Azza bertegas. Kalau tak dengan dia-dia sekali hanyut. Tak tipu. Aroma badan Azza sangat menggoda. Mencuit-cuit hatinya untuk membawa gadis itu ke katil.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.