Sunday, March 27, 2016

DI SINI ADA DIA - BAB 1


NASI yang menggunung di dalam pinggan dipaksa masuk ke dalam mulut. Suapannya lemah. Bukannya lauk-pauk yang terhidang tak menarik. Semuanya menyelerakan tapi tekak dia tak boleh nak terima. Selera dia mati. Mati kerana hati dan perasaan yang sakit.
“Arghhh!” Tengku Redza menjerit kecil.
Dia bersandar seketika. Memandang sayu isi pinggannya yang seperti tidak berusik. Mata ditebarkan pada hidangan di atas meja pulau pula. Kenapalah mama masak banyak-banyak? Mama tak tahu ke selera anak bujang dia ni dah hilang. Dah negatif. Bukan sifar lagi.
Dia mengeluh. Kembali menyumbat nasi ke dalam mulut. Kalau dekat luar memang tak mungkin dia akan ambil nasi dan lauk sebanyak ini. Masalahnya sekarang ini dia di rumah. Tak boleh tunjuk perubahan pelik. Buat aneh sikit cepat sahaja mem besar akan menyoal.
Buk!
Belakang badannya ditepuk kuat. Tersembur nasi yang baru separuh masuk ke dalam mulut. Habis berkecah di atas meja. Dia berpaling. Nak marah si pelaku. Memanglah selera dia di bawah paras sifar tapi itu bukan tiket untuk si pelaku sewenang-wenangnya buat dia macam tu.
“Mama?” Wajah yang tegang perlahan-lahan diubah riak. Dia tak pasti nak tersengih atau nak marah tapi yang pasti dia hairan kenapa mama buat dia macam ni. Ingatkan si abang yang ingin buat kejutan melawat si adik yang kecewa. Rupa-rupanya mem besar.
“Apa Redza dah buat? Tak ingat agama? Perangai tak semenggah tu macam mama dengan papa tak tahu mengajar anak!” Berdentum suara Puan Rozi memenuhi ruang dapur.
Perkhabaran yang sampai ke telinganya betul-betul membuat hati dia terbakar. Nasiblah pada hari kejadian dia tidak ada sama. Kalau tidak memang mati si anak dia kerjakan. Masa tu jangan salahkan dia kalau tubuh Tengku Redza dia kerat-kerat jadi lapan belas bahagian. Geram betul.
“Apa ni, ma? Tiba-tiba menjerit macam nak runtuh siling dapur ni.” Tengku Redza membalas sambil berjalan menuju ke sinki. Butir-butir nasi yang melekat di atas bibir dibuang. Mulutnya dibasuh.
“Redza tanya mama apa? Tengku Ahmad Redza Tengku Ahmad Radzi, tolong jangan berpura-pura tak tahu apa-apa!” Terjegil mata Puan Rozi dengan jawapan si anak. Matanya mencerlung tajam mengikut langkah Tengku Redza yang kembali melabuh punggung di atas bangku tinggi di tepi meja pulau.
“Yalah. Mama yang serang Redza. Siap pukul curi lagi. Nasiblah Redza ni tak ada sakit jantung. Kalau tak memang dah jalan anak mama ni.” Tengku Redza menjeling. Gelas minuman yang belum terusik isinya dicapai dan dibawa ke bibir. Dia menuntas pandang mamanya sambil menghirup air.
Mendengarkan kata-kata selamba yang dituturkan si anak buat Puan Rozi beristighfar panjang. Graf marahnya yang mencanak tinggi perlahan-lahan mula menurun. Hati yang panas berubah menjadi sejuk. Spontan bangku di sebelah Tengku Redza ditariknya.
“Kenapa sampai kejar isteri orang? Dah kurang ke anak dara kat Malaysia ni?” Paha si anak ditepuk-tepuk. Kali ini tonasi suaranya lembut. Tidak keras seperti tadi.
Tersedak Tengku Redza hingga terbatuk-batuk mendengar pertanyaan mamanya. Dia berdeham sedikit bila batuknya sudah reda. Mahu menghilangkan rasa perit yang terasa pada rongga tekaknya. Walau air yang diminum hanyalah air suam dan bukan air berperisa. Peritnya tetap sama.
“Betullah tu?” Puan Rozi menebak walau hati sebenarnya mahu si anak menafikan tapi tak mungkin suaminya menipu menceritakan kisah si anak yang mengejar cinta isteri orang.
“Mana mama dapat cerita palsu ni?” Tengku Redza masih mahu berteka-teki. Berharap sangat mamanya tidak melanjutkan pertanyaan.
Kalau tadi dia kata seleranya sudah hilang tapi tidak sekarang. Dia kembali menyambung makannya. Malah lahap pula meratah ikan siakap goreng cicah sambal kicap. Ikut perkiraan sudah sebulan selera makannya susut. Orang kata makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena sebab bercinta tapi dia sebaliknya. Cinta yang dikejar tak kesampaian.
Macam mana nak sampai cinta itu kalau yang dikejar sudah sah-sah hak milik orang. Kalau dalam Islam cinta yang dia dambakan dikategorikan haram. Nasiblah dia cepat sedar khilafnya. Pantas menjauhkan diri dari wanita yang berjaya mencuri hati.
Oh! Please, Tengku Redza. Jangan nak bangga diri sangat. Kalau tak kerana bisanya kata-kata suami wanita itu, tak mungkin kau akan sedar khilaf itu. Dia tersenyum.
“Takkanlah papa nak tipu mama.”
Tengku Redza tersentak. Lamunannya terbang melayang. Dia menoleh ke sisi. Bersama senyuman yang menghiasi bibir tangan kirinya meraih jemari kanan mamanya.
“Khilaf Redza, mama.”
“Kenapa sampai macam tu sekali? Anak mama masih ingat Allah, kan? Masih beragama Islam, kan? London did not change you, right?” Bertubi-tubi Puan Rozi bertanya. Ada nada risau dalam bicaranya.
Risau si anak sudah tersasar dari landasan. Bertahun si anak menetap di bumi asing. Tak mustahil iman si anak menipis. Godaan dan dugaan di tempat orang yang rata-rata tidak kisah apa yang orang lain buat membuatkan naluri seorang ibu sepertinya sedikit cuak. Manalah tahu Tengku Redza amalkan cara hidup orang barat.
Tengku Redza ketawa. Tak sangka teruknya kebimbangan mama pada dia. Mama lupa agaknya yang dia sudah dua puluh lima tahun sewaktu mengambil keputusan untuk merantau ke negara orang. Takkan semudah itu dia terpengaruh dengan budaya barat. Dia sudah matang. Dia tahu mana yang boleh dan mana yang tidak.
“Sampai ke situ pula mama ni. I’m still your Tengku Ahmad Redza, ma. I’m still me. I’m still a Muslim. Nothing change.”
“Alhamdulillah.” Puan Rozi menarik nafas lega. Wajah si anak yang tenang mengunyah nasi tetap dipandang.
“Tapi kenapa isteri orang?” Dia ulang semula soalannya tadi.
Tengku Redza lepaskan genggamannya. Dia angkat tangannya. Hanya jari telunjuk yang terlihat. Meminta mamanya menunggu. Dia mahu menghabiskan makanannya. Menjadi anak Puan Rozi Binti Bakar dia arif dengan sifat mamanya. Sifat tak pernah puas hati andai tidak diberitahu cerita sebenar. Sifat itu juga yang dia warisi.
“Hmmm… makanlah.” Puan Rozi tersenyum.
Takkanlah dia nak mendesak lagi. Bagilah Tengku Redza makan dulu. Sekurang-kurangnya si anak sudah berisyarat. Mahu bercerita kepadanya. Takut kalau dia berkeras, si anak meminggirkan diri pula.
Malas mahu mengganggu, dia bangkit dari situ.
“Bik, buatkan saya kopi o panas. Hantar ke depan,” arahnya pada pembantu rumah yang baru menapak masuk dari pintu belakang sebelum berlalu ke ruang tamu.
“Fuhhh!” Tengku Redza kesat dahi. Untuk seketika dia boleh menghela nafas kelegaan.
Macam mana papa boleh bercerita dengan mama? Ingatkan rahsia yang satu ni takkan sampai ke pengetahuan mama. Apa yang terjadi di Pulau Tioman habis dekat situ aje. Dia pun malu dengan tingkahnya sendiri. Lupa pada halal dan haram. Nasiblah Ainan tu keras hati. Buatnya membalas godaan dia, niaya.
“Saya pun nak juga, bik,” pintanya bila si pembantu rumah sibuk membancuh minuman yang dipinta mamanya.
Dia cepat-cepat menghabiskan makanannya. Mahu segera selesaikan dengan mama. Mahu bercerita dengan mama. Segala-galanya. Manalah tahu boleh ringankan beban kat dalam dada ni. Dah sebulan kut dia pendam rasa. Ingatkan nak berkongsi cerita dengan si abang. Nama saja ada abang tapi tak boleh pakai. Ajak berjumpa sekejap pun susah. Sikit-sikit on call. Sibuk betul tuan doktor seorang tu.
Sekarang ni harapannya cuma satu. Jangan mama buat plan gila-gila sudahlah. Manalah tahu sibuk carikan dia calon isteri macam si abang kena.
“Airnya saya udah letak di depan, tuan.”
“Hmmm…” Tengku Redza yang tersentak hanya mengangguk pada si pembantu rumah. Dia bingkas bangun dan mencuci tangan sebelum turut berlalu ke ruang tamu.
Matanya meliar mencari kelibat mama yang tak kelihatan di ruang tamu. Baru mahu melangkah ke luar rumah, mamanya muncul. Berjalan masuk dari luar sambil bercakap di telefon bimbit.
“Esok aunty datang. Ariani jangan beri dekat orang lain tau. Assalammualaikum.” Puan Rozi jongket kening pada Tengku Redza yang kaku berdiri memandang dia.
Telefon bimbit digenggam pada tangan kiri. Tangan kanannya segera menyauk lengan si anak. Menarik bersamanya ke sofa dan melabuh punggung di situ.
“Mama dah bersedia.” Dia tersenyum manis.
Tengku Redza ketawa. Alahai, mama ni. Manjanya buat dia tak sampai hati nak menolak untuk tidak bercerita. Bersediakah dia sebenarnya?
“Eh, sebelum terlupa! Esok petang Redza tolong ambil mama dekat spa, ya? Malas nak bawa kereta. Pagi tu papa yang akan hantarkan.”
“Spa? Spa mana satu?” Berkerut dahi Tengku Redza dengan permintaan mamanya. Selalu boleh aje mama memandu sendiri kalau nak ke mana-mana. Apahal pula esok dia kena jadi pemandu mama?
“Ariani Beauty & Spa. Alah dekat Bandar Baru Uda tu je. Tak jauh dari pejabat Redza.” Lengan Tengku Redza digosok-gosok.
Puan Rozi berharap sangat si anak tak menghampakan permintaannya. Kalau si anak menolak gagallah apa yang dia dah rancangkan. Itu pun puas juga memujuk ‘bos besar’ untuk turut sama bersekongkol. Asyik nak bermesyuarat saja. Apalah salahnya sekali sekala fikirkan si anak yang dah terlajak bujangnya ni. Sampai isteri orang pula dikejar.
“Setuju ajelah, ya. Sekarang ceritakan pada mama kisah Redza dengan isteri orang tu.”
“Biasa-biasa ajelah, ma. Tak ada yang menarik. Ainan isteri yang taat.” Tengku Redza pamer senyuman hambar.
Mengingatkan kembali respon Ainan pada dia sangat menyakitkan. Walau pelbagai usaha dia lakukan tapi wanita itu terlalu keras hatinya. Langsung tak cair dengan kata-kata dia. Keprihatinan dia pun tak berbekas langsung pada wanita itu. Beruntung Azri kerana memperoleh seorang isteri seperti Ainan.
“Sebab tu Redza terpikat?”
Tengku Redza menoleh. Cuba untuk menidakkan tapi lain yang berlaku. Dia angguk. Tebakan mamanya tepat. Bicaranya bersambung.
“Bukan kerana tu aje. Dia lain dari yang lain. Dia punya aura yang tak ada pada gadis-gadis yang selalu berdamping dengan Redza. Yakin pada diri sendiri. Tak hairan pandangan serong orang lain kepadanya. Sangat berdikari.”
“Redza tahu kan rencana Allah itu cantik? DIA cipta Ainan begitu sebab DIA dah ciptakan lelaki yang terbaik untuk menjadi imam Ainan. Yang pastinya bukan anak mama ni. Untuk Redza, mama percaya Allah itu tak kejam. DIA pastinya sudah menyediakan bidadari cantik di luar sana. Wanita yang bakal menjadi makmum anak mama. Hanya menunggu Redza untuk melamar dia.” Puan Rozi memujuk.
Jelas di matanya Tengku Redza nampak kecewa dengan apa yang telah berlaku. Dia tak salahkan Ainan menolak si anak. Dia juga tak menyalahkan Tengku Redza. Semua ini adalah kehendak DIA. Qadak dan qadar Allah. Ujian buat Tengku Redza mungkin sebelum berjaya memiliki idaman hati.
Tengku Redza mengeluh. Sudah sebulan dia cuba muhasabah diri. Cuba mencari mana-mana kekurangan diri. Suruhan-Nya dia lipat gandakan melakukannya. Tak mahu tercicir lagi dalam menggapai nikmat Allah. Manalah tahu taat setianya ini berbaloi. Bukan dia berharap diberi balasan. Dia ikhlas tapi dia tahu Tuhan tidak kejam. Macam yang mamanya perkatakan.
“Kalau memang Redza betul-betul nak cari…”
Stop it, ma! Jangan cuba nak jadi cupid. Jangan cuba-cuba nak atur blind date.” Laju Tengku Redza memintas.
Betul sangkaannya. Mama tak akan berdiam diri. Lagilah bila tahu dia dah buat kerja gila. Memang cepatlah mama atur rencana. Dia kena cari Doktor Tengku Ahmad Riyadh. Minta tips nak menepis plan mama. Dulu-dulu si abang berjaya menolak calon-calon isteri yang diperkenalkan mama.
“Alah, tak cuba tak tahu.” Puan Rozi merengek.
No, ma. Redza bukan budak-budak. Dah tiga puluh tahun pun, kan.” Tengku Redza cuba untuk tidak meninggikan suaranya.
Betul dia tak suka dengan apa yang mamanya buat tapi itu bukan tiket untuk dia membuat mama terasa hati. Mama syurganya. Seboleh mungkin dia mengelak dari membuat dosa tanpa sedar.
“Sebab Redza dah tiga puluh tahunlah mama nak tolong. Tengoklah bila Redza cari sendiri. Habis isteri orang nak dirampasnya.” Puan Rozi tak berputus asa. Masih cuba mencucuk jarum.
A big no, ma.” Tengku Redza menggeleng laju. Tetap dengan keputusannya.
“Tak rasa rugi?”
“Naaa…”
Puan Rozi tersenyum melihat Tengku Redza yang beria-ia menggeleng. Menolak habis-habisan cadangan dia. Cawan di atas meja diambil. Dia hulurkan kepada Tengku Redza.
“Okey tapi esok Redza mesti ambik mama dekat spa tau.”
“Ya.”
Terus sahaja Tengku Redza bersetuju. Kalau itu boleh menamatkan perbincangan yang tak masuk akal, lebih baik dia layan sahaja permintaan mama.
Puan Rozi tersenyum saat mulutnya mencecah bibir cawan.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

10 comments: