Sunday, January 24, 2016

CINTA SEJATI SEORANG PLAYBOY - BAB 4


TERBURU-BURU Qaireen memandu masuk keretanya ke perkarangan rumah keluarga Amanda. Dia tahu dia sudah terlewat dari masa yang dijanjikan. Apa yang penting dia sudah sampai. Dia sudah berjanji untuk ke Shah Alam bersama-sama dengan sahabat baiknya ini. Sebenarnya puas dia menolak ajakan Amanda. Seboleh mungkin dia tidak mahu menyusahkan Amanda tetapi dia ditempelak semula sebab dikatakan lupa kawan.
“Assalammualaikum!” Laungnya kuat sambil kalut menunduk untuk membuka kasut. Tanpa toleh kiri dan kanan dia meluru masuk ke dalam rumah. Kedatangannya tidak disambut siapa-siapa. Maklum dia sudah biasa berkunjung ke sini. Pada masa yang sama dia tidak perasankan kedatangan seseorang dari arah bertentangan sedang menghala ke arahnya.
“Ouch!” Qaireen menjerit kuat akibat jatuh terduduk.
Jeritannya turut berpadu dengan suara seorang lelaki. Serentak dengan bunyi suitcase jatuh ke lantai. Dia menggosok bahunya. Ada rasa sengal di situ. Dia mendongak. Mencari punca dia terduduk di atas lantai.
Tika itu matanya bersabung dengan sepasang mata yang mencerlung tajam kepadanya. Seorang lelaki kacak yang memakai sut pejabat.
“Kau!” Lelaki itu menuding jari telunjuk kepada Qaireen. Marah benar dia dengan pelanggaran mereka.
“Errr… maaf. Maaf sangat-sangat. Saya tak perasan.” Cepat-cepat Qaireen bangkit berdiri. Beg sandangnya yang turut terlepas dari bahu diambil. Dia menunduk berkali-kali. Meminta maaf atas kealpaan dia.
“Siapa kau? Terjah rumah orang tak beri salam. Macam pencuri.”
Qaireen terkebil-kebil. Lelaki ni tak dengar ke dia minta maaf tadi? Sinis betul.
“Tak ada nama?” Sergah lelaki itu lagi.
“Nada Qaireen. Kawan oranglah, Along.” Amanda yang sudah lama berdiri di belakang Adwan memerhati pertelingkahan kecil tadi lalu menjawab bagi pihak Qaireen. Dia berjalan menghampiri Qaireen.
“Huh!” Adwan menghadiahkan satu jelingan tajam. Dia menunduk. Mengambil beg bimbitnya.
Amanda menyiku Qaireen. Mulutnya menggumam tanpa suara bila Qaireen memandangnya.
“A… wak, maaf. Saya betul-betul tak perasan tadi.” Sedikit gugup Qaireen bersuara bila Amanda memberi signal untuk minta maaf lagi dengan abangnya.
Adwan pandang Qaireen. Tajam renungannya. Kalau tidak mengenangkan gadis itu kawan Amanda memang dah lama dia bahasakan. Dia menghela nafas perlahan-lahan.
“Lain kali mata tu pandang depan bukannya tengok bawah.” Dia menyindir sebelum menghayun kaki menuju ke pintu utama.
Qaireen pandang Amanda.
“Itu Along aku. Zulfan Adwan.” Amanda berbisik.
“Ooo…” Itu saja yang terluah dari mulut Qaireen.
“Along, tak sarapan dulu?” Amanda berbasa-basi.
Qaireen yang turut sama memerhatikan Adwan yang sedang menyarungkan stoking berdoa di dalam hati. Dia berharap sangat lelaki itu terus pergi kerja. Tak sanggup rasanya nak menghadap muka serius lelaki itu. Perawakan lelaki itu sangat berbeza dengan temannya ini. Cara lelaki itu melihat dia macam dia adalah objek yang enak untuk dimakan. Ngeri!
“Mama masak apa?” Adwan menoleh pandang. Mengerling sekilas pada teman Amanda. Dia tersenyum senget. Nampak sangat teman Amanda itu sedang mengata dia.
“Sekejap.” Amanda terus berlari anak ke ruang dapur. Meninggalkan Qaireen terkulat-kulat seorang diri di ruang tamu.
Hoi, Amanda! Kenapa tinggalkan aku sendirian? Sungguh Qaireen tak tahu nak buat apa. Nak saja dia mengekori langkah Amanda, tapi kakinya bagaikan digam dengan gam gajah. Lagilah bila matanya menangkap kelibat Adwan yang sedang berjalan menghampirinya.
Eh, mamat ni kenapa pergi ke sini pula! Bukan sepatutnya dia nak pergi kerja ke tadi? Hatinya tiba-tiba sahaja berdebar bila matanya bertaut dengan mata Adwan. Lagilah bila Adwan berdiri betul-betul di sebelah dia.
Ya Allah, hati ni. Jangan macam-macam boleh tak?
“Cuba tengok lutut kau?” Adwan mengarah.
Mata Qaireen mengecil. Cuba mencerna katakata Adwan. Dia menunduk. Memerhati kedua-dua belah lututnya.
“Tak ada matakan dekat situ? So, next time look ahead when you walk.” Adwan tersenyum senget. Dia terus pergi ke ruang makan.
Ikut perancangan asal dia mahu bersarapan dekat luar. Nak cuci mata melihat makhluk indah lain ciptaan Tuhan. Tapi kalau dekat rumah sekarang ini dia boleh berbuat begitu, apa salahnya bersarapan di sini. Jimat masa. Jimat duit.
“Reen!”
Qaireen mendongak. Tersengih pada Amanda yang bercekak pinggang memandang dia.
“Buat apa tercegat lagi dekat situ? Jom, makan sekali.” Amanda menggamit. Mengajak Qaireen ke ruang makan.
“Errr… aku dah kenyang.” Qaireen menolak. Sumpah selera dia dah hilang. Lagilah bila otaknya dapat berfikir dengan sempurna. Malu pada Adwan. Adwan menyindir dia tadi.
“Jangan nak mengada. Aku tahu kau tak sempat sarapan sebelum ke sini tadi.” Dengan riak tak puashati Amanda mendekati Qaireen. Dia menarik tangan temannya itu dan menuntun ke ruang makan.
Babe, kau ni buat macam aku ni budak kecillah.” Qaireen cuba merungkaikan pegangan tangan Amanda. Segan bila dia nampak Adwan memandang ke arah mereka.
“Habis tu siapa suruh tak nak mengaku belum makan apa-apa lagi,” bebel Amanda.
“Ya, ya. Aku memang belum makan lagi. Dah tak payah tarik-tarik. Aku jalan sendiri.”
Amanda tersengih. Pegangan tangannya dilepaskan.
Qaireen menggosok sedikit pergelangan tangannya. Sudahlah bahu dan pinggulnya masih terasa sengal. Bertambah lagi satu anggota tubuhnya yang sakit. Amanda ni pun satulah. Kuat pula tu dia  pegang.
“Kau duduk sini.” Amanda menarik keluar satu kerusi. Betul-betul berhadapan dengan Adwan yang sudah duduk dan sedang menikmati makanannya.
“Huh?” Liur ditelan. Qaireen hilang kosa kata. Amanda betul-betul mahu menguji hati dia.
Adwan hanya pandang dengan ekor mata. Tak kuasa nak menghayati drama sebabak Amanda dan temannya. Tangannya laju menyuakan sudu yang penuh dengan nasi lemak ke dalam mulut.
“Duduk, Reen. Tak payah nak segan-segan.” Datin Afia yang muncul dengan semangkuk shepherd pie di tangan menegur. Sempat dia menepuk bahu Adwan yang tak lepas memandang Qaireen.
Adwan tunjuk muka tak puas hati, tapi hanya seketika bila Qaireen mendekati Mamanya.
Aunty.” Qaireen bersalaman dengan Datin Afia.
Adwan hanya memerhatikan tingkah gadis itu. Bagus betul kawan Amanda ni. Sopan.
“Dah duduk. Makan.” Datin Afia mencedukkan nasi lemak dan sambal sotong ke dalam pinggan. Diletakkannya di depan Qaireen.
“Banyak ni, aunty.” Qaireen cuba berbasa-basi. Dia dah tak tentu arah sebenarnya. Adwan tengah ralit memandang dia. Kalau pandang biasa-biasa saja dia tak kisah. Ini pandang macam nak tembus ke dinding.
Babe, kau takkan mampu menolak masakan mama aku.” Amanda mencelah.
“Makan aje. Aunty nak naik atas sekejap. Nak tengok uncle.” Datin Afia tersenyum. Berlalu dari situ.
Qaireen mengangguk. Melihat kelibat Datin Afia hingga hilang dari pandangan. Matanya kembali memandang hidangan di depan matanya. Banyaknya, mana dia larat nak makan semua ni. Dia hanya mampu memandang sepi nasi yang menggunung di dalam pinggan makannya.
“Tak gemuknya pun kalau makan banyak,” perli Adwan.
Qaireen mendongak. Kali ini dia pula menghantar jelingan tajam.
“Siapa kata gemuk? Saya cuma cakap banyak sangat,” balas Qaireen geram.
“Perempuan semua sama. Konon tak nak makan banyak. Nak jaga badanlah tu.” Adwan mengutuk. Tak puashati dengan jawapan balas Qaireen.
Amanda jegilkan mata. Sempat dia menendang kaki abangnya.
What! It’s true, right?” Adwan turut buntangkan matanya. Kakinya turut sama membalas tendangan Amanda. Jangan dia tersalah tendang sudahlah.
“Boleh tak jangan persoalkan berapa banyak orang perempuan makan?” Amanda mempertahankan tindakannya. Tak faham betul dengan abangnya. Tiba-tiba nak meroyan pasal kuantiti makanan orang perempuan.
“Bukan persoalkan tapi kenyataan. Semua perempuan yang keluar makan dengan Along, semuanya makan sikit. Bila tanya kenapa, diet katanya.” Adwan mencebik. Sempat dia mengambil dua potong shepherd pie. Diletakkan di atas pinggannya.
“Tapi Reen makan apa saja, kan babe?” Amanda pandang Qaireen yang tiba-tiba sahaja senyap seribu bahasa.
“Errr…” Qaireen yang sedang mengunyah nasi lemaknya hanya mengangguk.
Apa yang Amanda dan Adwan tidak tahu, ada rasa bersalah timbul dalam hatinya. Dia tak berniat pun nak timbulkan isu makanan ni. Tak pasal-pasal dua beradik ini bertikam lidah untuk mempertahankan pendapat masing-masing.
“Yalah tu. Entah-entah sama aje,” perli Adwan.
“Cubalah keluar berdua dengan dia. Baru Along tahu banyak ke sikit Reen makan.” Amanda mencabar. Dia berani kata begitu sebab dia tahu Qaireen bukan jenis gadis yang abangnya suka untuk diajak keluar bersama.
Tersedak Qaireen mendengar cadangan luar alam Amanda. Kelam kabut dia mencapai air teh di depan mata. Terasa perit tekaknya walau sudah habis air teh itu diminumnya. Amanda ni pandai-pandai saja bagi cadangan luar alam tu. Boleh buat dia gantung diri.
If she doesn’t mind. Along boleh aje.” Adwan tersenyum sambil menari-narikan keningnya sebelum bingkas bangun dan berlalu dari situ.
Babe, apa ni?” Berkerut dahi Qaireen memandang Amanda.
Sungguh dia tak suka mendengar bicara Adwan tadi. Tak nampak macam lelaki itu mainmain. Nampak macam bersungguh pula dengan idea Amanda.
“Alah keluar makan dengan abang aku aje. Bukan dia makan kau pun. Tak beraninya dia buat apa-apa dekat kau.” Amanda memujuk.
Now I wish I can eat anything without getting fat.” Qaireen mencebik.
“Jangan nak melankolik sangatlah. Makan pai tu. Penat Mama aku buat.”
“Amanda!” Terhinggut bahu Amanda dan Qaireen.
Kedua-duanya menoleh ke arah pemilik suara yang memanggil.
Amanda bertindak untuk bangun mendapatkan Adwan. Firasatnya menebak pasti ada sesuatu yang tak kena. Kalau tidak abangnya tak akan melaung namanya nyaring begitu. Langkahnya mati ditembok  pemisah ruang makan dan ruang tamu.
Babe!” Amanda menggamit Qaireen.
Qaireen menerpa pada temannya. Mukanya merona merah. Segera kaki melangkah ke ruang tamu. Dia merampas seluar kecil di tangan Adwan dan terus dimasukkan ke dalam beg sandangnya yang diletakkan di atas sofa tadi.
“Betullah kau kurang makan. Kecil!” Adwan mengusik.
“Sibuklah!” Qaireen berpura-pura melihat-lihat ke dalam beg sandangnya. Malu.
Hati dah mendongkol geram pada diri sendiri. Macam mana dia boleh lalai sampai seluar kecil itu boleh tercicir. Nampaknya makin teruklah dia kena bahan dengan lelaki ini.
“Bukan nak kata apalah. Hampir-hampir aje nak terpijak tadi.” Adwan semakin galak mengusik. Lagilah bila melihat muka Qaireen sudah berubah rona, merah padam.
“Eee…” Qaireen tanpa sedar memukul kuat bahu Adwan. Bengang diusik begitu.
Adwan ketawa besar. Dia membiarkan saja perlakuan Qaireen.
Babe!”
Qaireen menoleh. Tangan yang galak memukul Adwan terhenti. Perlahan-lahan jatuh ke sisi. Ya Allah, berganda-ganda malu dia. Kalau tak kerana Amanda datang menegur kelakuan dia, memang sakitlah orang tu dia kerjakan.
“Errr… tak sengaja. Tindakan refleks. Maaf.” Qaireen terus capai beg sandangnya. Ingin berlalu dari  situ.
Tak sanggup rasanya nak tayang muka tak tahu malu nie pada Adwan lagi. Cukup-cukuplah dia dah malukan diri sendiri dengan seluar kecik tadi. Sekarang ditambah dengan perlakuan kurang sopan. Memukul anak teruna orang dengan selambanya.
“Hei, mana boleh pergi macam tu aje.” Adwan melelar lengan Qaireen.
“Huh?” Qaireen pandang muka Adwan.
Your number?” Adwan menarikan keningnya.
I’ll give it to you, Along. Now, let her go.” Amanda cuba menyelamatkan keadaan. Dia tahu pasti temannya sudah malu sangat-sangat.
“Jangan lupa. By the way, it suits you.” Adwan kenyitkan mata dan terus keluar tanpa menoleh.
“Huh?” Sekali lagi air muka Qaireen berubah. Merah.
“Kau ni banyak sangat huh. Dah jom sambung balik makan.” Amanda masuk semula ke ruang makan.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

No comments:

Post a Comment