Wednesday, October 29, 2014

UNTUKMU TIADA NOKTAH - BAB 2


LOKAR dibuka. Asyikin keluarkan beg sandang miliknya. Pencuci muka diambil. Beg sandang itu disimpan semula. Pintu lokar turut dikunci kembali. Kaki dihayun menuju ke tandas. Ketika itu dia perasan ada seseorang yang sedang berjalan menuju ke arahnya.

"Dah habis shift ke, Ikin?" tegur Doktor Naim sebaik menghampiri ruang lokar. Matanya mengitari sekitar ruang itu. Tiada siapa-siapa di situ selain Asyikin.

"Yup." Asyikin terus berlalu. Tiada mood mahu melayan. Dia baru sahaja selesai bertugas shift malam. Meletihkan dan turut menyebabkan moodnya ke laut.

Doktor Naim hanya memandang. Faham sangat dengan sikap Asyikin. Namun dia tidak pernah putus asa. Biarlah orang nak kata hidung dia tak mancung pipi dia tersorong-sorong. Mulut orang mana mampu dia menutupnya. Kalau mulut tempayan tahulah juga dia nak buat macam mana.  Hakikatnya hanya Asyikin satu-satunya gadis yang berjaya mengetuk pintu hatinya kini.

Bangku panjang yang ada di ruang itu dikibas. Punggung dilabuhkan di situ. Mahu menunggu Asyikin di sini.

“Eh!” Terperanjat Asyikin bila melihat Doktor Naim masih di sini sebaik dia keluar dari bilik air. Sangkanya lelaki ini tidak akan menunggu. Sementelah pula tiada orang lain di sini. Takut meninggalkan fitnah.

Satu senyuman segaris dilemparkan. Mata Doktor Naim menyapa wajah Asyikin.

Asyikin mengerling sekilas. Berlalu berjalan menuju ke lokar.

“Bukan you tengah duty ke, doktor?” Berkerut dahi Asyikin memandang Doktor Naim.

Apa kes pula lelaki ni melepak dekat sini. Lokar yang berkunci tadi dibukanya semula. Beg sandang miliknya terus dikeluarkan dan dibawa ke bangku panjang.

Break sekejap. 10 minit.” Doktor Naim ralit memandang sahaja kelaku Asyikin. Sedikit pun matanya tidak lari dari memerhati.

“Kenapa duduk sini?” Asyikin mendongak. Keningnya terjongket. Menanti jawapan yang sebenarnya dia sudah tahu.

“Dekat sana bising.” Muncung Doktor Naim menghala ke arah sekumpulan doktor yang rancak berbual dan ketawa. Alasan sahaja itu. Sebenarnya dia ada agenda lain.

“Nanti orang kata you sombong pula, doktor. Tak bercampur dengan mereka.” Asyikin menggeleng. Cuba menghalau Doktor Naim secara tidak langsung. Kekok dia jadinya bila mereka berdua berada di ruang yang sedikit tersembunyi ini.

“Biarlah dia orang nak kata apa. I dah biasa dengar.” Selamba sahaja Doktor Naim memberikan alasan. Berpura-pura tidak faham dengan kata-kata Asyikin.

“You tak takut kena pulau?” Sengaja Asyikin menyoal begitu.

Tangannya ligat memasukkan barang-barang peribadi miliknya yang diletakkan di dalam lokar tadi. Bukan dia sengaja bercakap macam tu. Ada yang terdengar oleh telinganya beberapa orang doktor yang bercerita perihal Doktor Naim ini yang suka menyendiri.

“You dah nak balik ke?” soal Doktor Naim bila dilihat Asyikin sudah mula berkemas. Soalan Asyikin tadi dibiarkan tanpa jawapan.

Shift I dah habis. Lagipun I dah penat sangat ni. I need a rest.” Asyikin tersenyum. Secara tidak langsung sekali lagi menghalau doktor kacak ini agar berlalu dari situ.

“You tak boleh stay sekejap ke? Teman I makan tengah hari?” Doktor Naim cuba menyatakan hajatnya. Pandang penuh harapan dipamerkan.

“Errr…” Asyikin panggung wajah. Terkebil-kebil. Serba-salah.

Pleaseee…” Doktor Naim merayu tanpa silu.

“Orang lain kan ada? Doktor Chong, Doktor Azman, Doktor Marina.” Asyikin mencadangkan beberapa nama.

Rasanya termasuk yang ini sudah 5 kali dia menolak perlawaan Doktor Naim. Perasaan bersalah itu ada tapi biarlah dari memberi harapan pada doktor kacak ini. Bukan dia tidak tahu niat sebenar Doktor Naim. Perasaan yang satu itu mana boleh dipaksa-paksa.

“Kalau dia orang boleh temankan saya, tak adalah saya tanya awak.” Doktor Naim menjeling. Bengang bila pelawaannya ditolak lagi.

“Masalahnya ini baru pukul 7.00 pagi.” Asyikin besarkan mata. Hati dia dah meronta-ronta hendak balik sekarang juga. Badannya dah letih sangat. Melekit jangan ceritalah.

“Okey macam ni. You balik asrama dulu. Nanti dalam pukul 1.00 you datang ke sini semula, boleh?” Doktor Naim cuba memberi cadangan. Dari gaya bicara Asyikin tadi macam ada peluang untuk dia keluar makan bersama-sama dengan gadis ini.

“You ajak orang lainlah, doktor. I really need a rest. Malam ni nak kerja lagi.” Asyikin mengeluh. Susahnya nak suruh orang tak reti bahasa ini faham penolakannya. Sudah terang lagi bersuluh. Takkanlah orang cerdik pandai macam Doktor Naim ini tidak faham.

“Orang tak sudi kan. Tak apalah.” Doktor Naim tarik muka masam. Kecewa.

Lantas dia bangkit dan ingin berlalu dari situ.

Asyikin mengeluh lagi. Tunak memandang wajah muram Doktor Naim. Lelaki kalau merajuk memang buruk. Nafas dihela sebelum bersuara.

“Okey, okey. I tunggu dekat parking. 1.00 tepat. Lambat, I balik asrama semula.” Asyikin mengalah. Untuk sekali ini. Menghormati pelawaan seorang kawan. Harapannya selepas ini Doktor Naim tidak akan mengajaknya lagi.

Ada segaris senyuman pada bibir merah Doktor Naim.
             
             
TEPAT pukul 12.00 Doktor Naim sudah terpacak di tempat letak kereta untuk kakitangan. Matanya tak berkalih memandang pada laluan pejalan kaki. Menanti-nanti kelibat Asyikin. Sesekali dia mengerling jam tangannya.

“Mana dia ni? Tak mungkin dia lupa.” Doktor Naim membebel sendiri. Janganlah Asyikin mempermain-mainkan dia. Malu besar dia kalau betul diperolok.

“Doktor!”

Doktor Naim menoleh mengikut arah jeritan suara. Dari kejauhan dia nampak Asyikin melambai-lambai sambil berlari-lari anak menuju ke tempatnya berdiri.

Matanya tak lepas memandang Asyikin sehingga gadis itu berdiri di depannya. Asyikin nampak lain. Lebih manis bila tidak beruniform walau hanya mengenakan denim hitam dan baju-t lengan panjang warna senada. Tudung berwarna hijau lembut yang dikenakan Asyikin menaikkan seri wajah gadis itu.

Sorry. Terlajak.” Asyikin angkat tangan sebaik terpacak di depan Doktor Naim. Tonasi suaranya tidak teratur ketika bercakap. Tercungap-cungap.

“Tak apa. Demi you, I boleh aje tunggu.” Doktor Naim tersenyum-senyum.

Asyikin membalas dengan senyuman kelat. Malu pada diri sendiri. Bukan main lagi dia mengugut doktor kacak ini tadi. Penyudahnya dia yang terlewat. Kata dulang paku serpih, mengata orang diri sendiri yang lebih.

So, kita nak makan dekat mana?” Asyikin cuba kalih topik. Tidak mahu kelewatan dia menjadi bahan bualan mereka.

“Restoran belakang tu. You tak kisah kan?” Jari telunjuk Doktor Naim menuding ke arah belakang Asyikin.

“Asalkan you yang belanja. I don’t mind.” Asyikin berpaling dan terus berjalan.

“I yang ajak mestilah I yang belanja.” Doktor Naim membalas sambil berusaha menyaingi langkah pantas Asyikin.

“You jangan terkejut tau kalau I ambil macam-macam.” Asyikin ketawa-ketawa.

Anything for you, Ikin.” Tawa Asyikin disambut dengan ketawa juga.

Serta-merta tawa Asyikin mati. Tidak suka dengan jawapan balas Doktor Naim. Lelaki di sebelah dia ini selalu tersalah anggap. Menyesal pula menerima perlawaan makan tengah hari ini.

“You keluar makan dengan I ni tak ada yang marah ke, doktor?” Asyikin menoleh ke sebelah.

“Siapa pula yang nak marah?” Hampir bercantum kening Doktor Naim mendengar soalan Asyikin. Dia mana ada kawan perempuan lain selain Asyikin. Gadis ini mahu memerangkap dia agaknya.

“Isteri?” Asyikin mainkan keningnya.

Doktor Naim besarkan mata.

Terletus tawa Asyikin. Tanpa Asyikin sedari perlakuan dia ini semakin menambat hati Doktor Naim.

Hanya gelengan yang dibalas Doktor Naim. Semakin dia senang dengan sikap Asyikin. Tidak perlu berpura-pura untuk menjadi diri sendiri. Itulah daya penarik Asyikin.

Lebih kurang 10 minit berjalan mereka tiba di restoran yang dimaksudkan.

“You masuk dulu. I nak pergi tandas sekejap,” pesan Doktor Naim dan terus berlalu ke tandas.

Asyikin jongket kening. Mata mengekori langkah Doktor Naim sebelum beralih ke dalam restoran.

“Dah ramai.” Asyikin menggumam sendiri sambil berjalan mendekati rak lauk-pauk yang dijual.

Setelah menceduk nasi, Asyikin berjalan ke hadapan sedikit. Nyaris dia terlanggar susuk tubuh tegap yang berdiri membelakangkan dia.

Excuse me. Boleh ke tepi sikit?” tegur Asyikin dengan kedua-dua belah kening terangkat.

Ops! Sorry.” Orang yang ditegur memberi laluan kepada Asyikin.


Not bad, desis Asyikin dalam hati. Mengerling lelaki berbadan tegap yang merapati tong nasi sebelum matanya difokuskan kembali ke depan.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

14 comments: