"Cantiknya." Amanda larikan tangannya pada deretan selendang yang tergantung. Matanya bersinar-sinar. Corak dan warna selendang memukau mata yang memandang.
"Sayang!"
Panggilan kuat Akid bukan sahaja membuatkan Amanda terkejut malah beberapa pengunjung butik yang lain turut menoleh.
"What's this?" Akid tunjuk sehelai selendang yang hujungnya sedikit beropol dan ada taburan manik.
Amanda ketap bibir. Kenapalah Akid tanya soalan kurang cerdik. Lupa ke si dia ada dekat mana. Malu juga bila ada yang tertawa mendengarnya.
"Shawl. Why?" Amanda angkat kening.
"Macam pelik aje." Akid letak semula di tempatnya. Dia menghampiri Amanda.
"Inovasi. Senang nak pakai. Tak payah nak bentuk-bentukkan." Amanda berjalan ke depan. Sehelai selendang warna biru turkois ditarik.
"Orang perempuan ni macam-macamlah." Akid membebel.
"Apa yang macam-macam ni, abang?" Amanda menoleh ke sisi. Pada masa yang sama menyarung selendang tadi ke kepalanya.
"Tak perlulah nak berfesyen bagai. Macam orang dulu-dulu. Sarung aje dekat kepala. Yang penting tutup aurat." Akid menggeleng.
Mata tak lepas memandang Amanda yang terkial-kial membetulkan selendang di kepala. Dia turut membantu Amanda memperkemaskan letak duduk selendang itu.
"Untungnya ada abang hensem tolong." Terdengar suara berbisik di belakang Akid.
Akid tersenyum-senyum. Semakin galak tangannya membantu Amanda,
"Sayang tak jadilah nak beli selendang ni. Nak beli yang ekspres. Senang. Sarung aje." Amanda saja menguji. Faham sangat dengan Akid. Pantang ada yang memuji.
"Eh! Eh! Jangan nak mengada. Take your time. Our juniors dah bagi chance papa dengan mama bonding-bonding ni." Akid tarik pipi Amanda. Dia tersengih.
"Bukan tadi abang cakap pakai yang sarung aje lagi mudah? Yang penting tutup aurat kan." Sinis suara Amanda.
"Ada ke?" Akid angkat kening. Pura-pura tidak tahu apa-apa.
"Pantang kena puji." Amanda cubit lengan Akid.
Akid menyeringai. Lengannya digosok sedikit. Kepala didekatkan pada telinga Amanda. Dia berbisik.
"Untung tau ada abang hensem tolong." Bisikan Akid diiringi dengan tawanya.
"Hesy...kita kat dalam butiklah, abang." Amanda tolak badan Akid. Geram. Nak beromantik tak kira tempat.
Akid hanya tersenyum pada beberapa orang pengunjung yang memandang. Pandangannya jatuh kembali pada wajah Amanda yang sedikit kemerahan. Sayangnya semakin menebal melihat Amanda yang masih malu-malu. Indah sungguh ciptaan Allah yang satu ini.
P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.
No comments:
Post a Comment