Thursday, September 25, 2014

LANGIT BIRU YANG SAMA - BAB 4

AINUN gagahkan diri mendail nombor telefon Mak Longnya. Dia terpaksa. Sudah hampir sebulan dia tidak mendengar khabar berita emaknya. Kalau ikutkan hati yang terluka memang dia tidak ingin menghubungi langsung Mak Longnya yang tamak itu.

“Hel…hello. Assalammualaikum.” Menggigil suara Ainun memberi salam.

“Waalaikumussalam.” Kasar suara yang menjawab panggilan Ainun.

“Mak Long.” Ainun cuba memberanikan diri demi emaknya.

“Hurmmm…” Acuh tak acuh saja Mak Long Ainun menjawab.

“Emak Ainun macam mana? Dia okey tak? Errr…maksud Ainun dia sihat tak?” Ainun bertanya.

“Entah.” Mak Long menjawab malas.

Hancur luluh hati Ainun mendengar jawapan Mak Longnya. Dia pasti Mak longnya tidak pernah sekalipun menjenguk emaknya. Walhal rumah emaknya itu hanya di sebelah rumah Mak Longnya.

“Ainun nak minta tolong sikit boleh tak, Mak Long?” Ainun cekalkan hati bertanya.

“Apa dia?” Keras sahaja suara Mak Long.

“Jeritkan Kak Ranti. Sekejap lagi Ainun telefon balik. Terima kasih, Mak Long.” Ainun matikan panggilan.

Dia termenung. Mata memandang jam pada telefon bimbitnya. Lebih kurang lima minit berlalu, Ainun mendail semula nombor telefon Mak Longnya.

“Hello.” Ainun memulakan bicara. Telefon bimbit ditekap kemas pada cuping telinga.

“Ainun. Kak Ranti ni.” Suara di hujung talian menyahut.

Ainun menarik nafas lega. Dia ingatkan Mak Long tak panggilkan Kak Ranti. Sekurang-kurangnya masih ada rasa kasihan pada hati Mak Long walau sekelumit cuma.

“Kak Ranti, mak macam mana? Dia sihat tak? Ada tanya-tanya pasal Ainun?” Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Ainun.

“Alhamdulillah. Mak Cik Aida sihat. Ada juga dia bertanyakan Ainun tapi Kak Ranti cakap yang macam Ainun suruh,” beritahu Ranti satu persatu.

“Lega Ainnun dengar. Bulan ni Ainun tak dapat nak balik lagilah, Kak Ranti. Nanti Ainun masukkan duit dalam akaun Tina. Macam biasa.” Sebak suara Ainun tika memberitahu dia tidak berkesempatan untuk pulang ke kampung.

“Macam mana Kak Ranti mahu khabarkan ya?” Terdengar seperti Ranti mengeluh.

“Nak khabarkan apa, Kak Ranti?” Dada Ainun tiba-tiba rasa berdebar. Entah apalah yang hendak diberitahu Kak Ranti kepadanya.

“Macam ni, Ainun.” Ranti berjeda.

“Apa dia, Kak Ranti? Pasal duit ke? Tak cukup ke upah yang Ainun bagi?” Asak Ainun tanpa menunggu Ranti menghabiskan kata-katanya.

“Bukan, bukan pasal duit, Ainun. Duitnya cukup. Malah ada lebih lagi. Ini Kak Ranti kena balik ke Indonesia. Emak Kak Ranti lagi sakit di sana.” Tenang sahaja suara Ranti bercerita.

“Huh! Balik Indonesia?” Suara Ainun naik satu oktaf. Sesak dadanya bila Kak Ranti sebut balik Indonesia. Siapa yang akan menjaga emaknya nanti?

“Errr…Kak Ranti cadangnya mahu balik hujung minggu ni.”

“Hujung minggu ni?” Terus terlepas telefon bimbit dari genggamannya. Apa dia perlu buat? Kenapa dia diduga begini?

“Hello! Hello!” Suara Ranti kedengaran dari telefon bimbit yang tercampak di hujung kaki Ainun.

Terketar-ketar Ainun mengambil kembali telefon bimbitnya.

“Kak Ranti tolong tengokkan emak dulu ya. Nanti Ainun usahakan balik hujung minggu ni. Terima kasih, Kak Ranti. Assalammualaikum.”

“Ya Allah! Kenapa begini berat dugaanmu?” Ainun merintih.

Perlahan-lahan dia meletakkan kepalanya di bantal. Mata merenung skrin telefon bimbit yang sudah gelap. Otak ligat berfikir. Sesekali terdengar dia mengeluh. Ainun pasrah.

Biar apa pun yang terjadi dia tak akan meminta Mak Longnya menjaga emaknya. Cukuplah sekali dulu dia tersilap membuat keputusan hingga emaknya terlantar di hospital semula.



PAGI itu, Ainun ke pejabat seperti biasa. Bezanya perwatakan dia tidak seceria selalu. Tiada lagi sapaan mesra kepada setiap orang yang dia jumpa. Hanya senyuman terpaksa yang terukir.

“Ainun sakit ke?” tanya Maimun bila melihat Ainun yang diam seribu bahasa ketika kaki melangkah masuk ke pejabat.

Ainun panggung wajah. Tersenyum sedikit dan menggeleng.

“Betul Ainun okey?” Maimun memandang minta kepastian. Risau dengan perubahan mendadak Ainun.

“Okey, Kak Mun. Ainun sihat.” Ainun tersenyum lagi.

“Kak Mun boleh nampak Ainun sihat. Maksud Kak Mun, Ainun ada apa-apa masalah ke?” Maimun bertanya lagi. Tidak berpuashati dengan jawapan Ainun.

“Seganlah nak cakap, Kak Mun.” Ainun muncungkan mulutnya. Memang betul. Dia tidak suka campur adukkan hal peribadi dengan kerja sebab itulah tiada siapa yang tahu tentang masalah keluarganya.

“Ya Allah! Sejak bila pula Ainun Rashid ni jadi penyegan.” Maimun julingkan matanya dan pandang ke atas.

“Memang saya ni penyegan apa. Lemah gemalai lagi.” Ainun tertawa. Hilang terus perihal emaknya di kampung. Tiba-tiba dia teringat apa yang dibuat dengan Alzam seminggu lepas.

“Macam-macamlah Ainun ni.” Maimun menggeleng dan tersenyum.

“Kak Mun, orang dalam tu dah datang ke? Dia dah habis kursus kan?” Suara Ainun tiba-tiba seperti berbisik.

“Dah. Kenapa? Rindu?” Maimun mengusik.

Pleaselah nak merindu bagai.” Giliran Ainun pula menjulingkan mata.

“Manalah tahu. Ainun kan suka bertekak dengan dia,” seloroh Maimun.

“Dah semuanya dia aje yang betul. Mana boleh jadi.” Ainun cemberut.

“Eloklah tu. Mula-mula memang bertekak. Lama-lama jatuh cinta. Lepas tu kahwin.” Semakin galak Maimun mengusik.

“Choiii…memang taklah.” Ainun buat gaya geli.

Maimun ketawa.

“Kak Mun, agak-agak kalau saya minta cuti dia bagi tak?” Mulut Ainun herot ke kiri ke kanan.

“Ainun nak pergi mana?” Maimun pandang muka Ainun.

“Balik kampung. Orang yang saya upah jaga mak saya tu nak balik Indonesia.”

“Lama ke dia balik? Habis tu mak Ainun macam mana?” tanya Maimun prihatin.

Seingat Maimun, Ainun pernah bercerita emaknya lumpuh dari pinggang ke bawah. Bermakna emak Ainun memang perlukan seseorang untuk menjaganya sepanjang masa. Yelah ayah Ainun pun dah meninggal.

“Itu yang saya susah hati ni. Ingatkan nak minta cuti seminggu. Kalau masih tak jumpa orang juga. Saya nak mohon cuti tanpa gaji. Kalau bos tak bagi saya berhenti kerjalah.” Ainun mengeluh.

“Janganlah sampai nak berhenti kerja. Sayang. Ainun kan dah lama kerja dekat sini. Ainun tak ada saudara-mara ke dekat kampung tu?” Maimun cuba memujuk.

“Ada. Mak Long. Sebelah rumak mak saya aje.” Mendatar sahaja suara Ainun.

“Boleh minta tolong Mak Long Ainun jaga.” Maimun cuba memberi cadangan. Dia ingatkan Ainun tiada saudara-mara.

“Seriklah, Kak Mun.” Ainun ketap bibir.

“Kenapa? Errr…kalau Ainun tak nak cerita tak apa. Maaflah. Banyak pula Kak Mun bertanya.” Maimun serba-salah. Risau Ainun tersalah anggap sikap keprihatinan dia.

“Dulu selepas mak lumpuh saya merayu minta Mak Long jaga. Yelah emak saya tu kan sedarah sedaging dia. Jadi memang saya mengharapkan dia tolong tengokkan emak.” Ainun berjeda. Hujung jari telunjuk sudah menyeka airmata yang beertakung di tubir mata. Nafas ditarik dalam-dalam. Cuba mengumpul kekuatan untuk bercerita.

Maimun sabar menanti. Ada rasa sebak di dadanya walau cerita sepenuhnya belum diluahkan Ainun.

“Mak Long marah-marah mak. Sepak terajang mak. Mak Long kata mak menyusahkan. Kesian mak. Dua minggu terseksa.” Ainun berhenti lagi. Kali ini dia membiarkan sahaja airmatanya mengalir.

Maimun kesat matanya dengan belakang tangannya. Tersentuh dengan cerita Ainun.

“Allah tu maha kaya. Dia nak tunjuk kat saya agaknya. Kebetulan saya balik mengejut. Nak tengok keadaan mak. Tuhan aje yang tahu perasaan saya masa tu, Kak Mun.” Ainun tersenyum.

“Maafkan Kak Mun, Ainun. Tak sangka dalam ceria Ainun ada cerita duka dalam hati.” Maimun tersenyum sama.

“Jangan cerita dengan sesiapa ya, Kak Mun. Saya tak nak orang berkawan dengan saya sebab simpati,” pinta Ainun.

“Dengan sayarat.” Maimun pandang muka Ainun.

“Eh! Bersyarat bagai.” Ainun ketawa-ketawa.

“Jangan pendam sorang-sorang. Kak Mun tahu Ainun perlukan seseorang untuk luahkan apa yang terpendam dalam dada Ainun tu.” Maimun mengangguk.

“Saya tak nak menyusahkan orang, Kak Mun. Ini pun dah kira menyusahkan sampai mengganggu kerja Kak Mun,” ujar Ainun.

“Tak mengganggu pun, Ainun. Bukan apa kalau Ainun simpan sendiri, Kak Mun takut segala yang terbuku tu akan bertukar menjadi dendam.” Maimun cuba menerangkan niat dia yang sebenar.

“Saya sentiasa cuba muhasabah diri, Kak Mun. Insya-Allah, saya akan cuba dari membiarkan semuanya bertukar kepada dendam.” Ainun bersandar lemah.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

No comments:

Post a Comment