“Hmmm…mama…”
meleret suara Adni Farha memanggil mamanya. Datin Hasnah yang sedang menceduk
lauk masuk ke dalam bekas untuk hidangan makan malam mereka terhenti. Dia
berpaling memandang Adni Farha yang bersandar di tepi kabinet di sebelahnya.
“Manja
sangat panggil mama ni, mesti ada apa-apa kan?” tebak Datin Hasnah. Senduk kemudian
dihulurkan pada Tini. Tini mengambilnya dan menyambung kembali apa yang dibuat
Datin Hasnah sebentar tadi.
“Alah…mama
ni, asal Adni manja sikit aje cakap ada apa-apa. Ada apa-apa. Tak suka lah.”
Muncung Adni Farha dah muncul. Tangannya bersilang di dada. Mukanya masam
mencuka.
“Hesy…ingat cantik sangat agaknya buat
macam ni.” Datin Hasnah menarik mulut Adni Farha. Adni Farha menepis. Tini dah
ketawa melihat gelagat manja anak majikannya.
“Habis
tu mama suka sangat cakap macam tu?” Adni Farha masih tayang muka masamnya.
“Memang
betulkan? Mama bukan tak kenal perangai anak dara mama ni. Dari dalam perut lagi
mama dah faham sangat perangai sayang.” Datin Hasnah memujuk lembut Adni Farha.
Dia mengambil bekas-bekas makanan yang sudah siap diisi lauk pauk dan di bawa
ke ruang makan.
“Baru
nak manja-manja. Mama ni cepat sangat faham.” Adni Farha memaut tangan kanan
Datin Hasnah. Datin Hasnah hanya menggelengkan kepalanya. Bukan Adni Farha nak
tolong bawakan sekali tetapi menambah beban di tangan dia pula.
“Cakaplah…nak
apa sebenarnya?” Datin Hasnah menyusun bekas-bekas yang berisi lauk pauk di
atas meja makan. Dia kemudian menarik kerusi dan terus duduk. Pinggan makan
dicapai. Nasi disenduk.
“Papa
lama lagi tak kat Jepun?” Adni Farha turut sama menarik kerusi dan duduk di
sebelah Datin Hasnah. Pinggan berisi nasi yang dihulur Datin Hasnah diambil.
“Kenapa?”
Datin Hasnah memandang Adni Farha.
“Hmmm…hujung
minggu ni ada kawan ajak dinner kat
luar.”
“Hmmm…ingatkan
apa lah tadi. Papa extend lagi
seminggu.”
“Lamanya…?
Bid tender apa?” Berkerut dahi Adni
Farha. Papa dia jarang ke luar negara lebih dari seminggu.
“Business triplah, sayang. Ikut rombongan
kementerian.” Datin Hasnah faham kerisauan Adni Farha. Dia akui suaminya jarang
berada di luar negara lebih dari seminggu tapi demi mencari rezeki dia redha
andai itu telah ditetapkan olehNya.
“So…boleh tak Adni pergi dinner tu?” Adni Farha memandang penuh
harap.
“Dinner dengan siapa?” Datin Hasnah
bertanya sambil menuang air sirap ke dalam gelas.
“Errr…Encik
Ayman,” jawab Adni Farha malu-malu.
“Ooo…huh?
Ayman Fareeq? Hati beku? Mulut longkang?” suara Datin Hasnah tinggi satu oktaf.
Adni Farha hanya tersengih. Mama dia memang tak boleh disebut sikit nama Ayman
Fareeq.
“Hesy…mama ni. Itu pun nak jerit-jerit,”
bidas Adni Farha.
“Macam
tak percaya pula mama,” Datin Hasnah memandang pelik muka Adni Farha.
“Keluar
makan ma…macam kawan-kawan yang lain.” Adni Farha cuba memberi alasan. Tidak
mahu Datin Hasnah fikir yang bukan-bukan.
“Errr…dah
tak macam kucing dengan anjinglah ni?” sindir Datin Hasnah.
“Itu
Adni tak janji. Boleh tak ma?” Adni Farha kerdip-kerdipkan matanya.
“Dia
ambik kat rumah ke?”
“Nope. Nanti pecah rahsia.”
“Habis
tu balik malam-malam lagi buat mama risau?”
“Mama…jiran-jiran
kita ni kan baik-baik semuanya. Siap turn
on lampu keliling tembok lagi. Abang Razak pun ada mama, jaga kat depan tu.
Jangan risaulah.” Adni Farha cuba meyakinkan mamanya. Razak merupakan pengawal
yang diupah Dato’ Hussain untuk mengawal kediaman mereka pada waktu malam.
Maklumlah bila duduk di kawasan elit memang kena berjaga-jaga.
“Ya
lah. Dah makan tu.” Akhirnya Datin Hasnah mengizinkan Adni Farha untuk pergi
keluar makan malam hujung minggu nanti.
“Thanks, ma.” Adni Farha menceduk lauk
asam pedas ikan pari ke dalam pinggan Datin Hasnah. Datin Hasnah hanya
tersenyum. Manja-manja Adni Farha tapi anak dara dia memang pandai dalam bab memujuk.
Sejuk hati dia. Mereka berdua kemudian bersama-sama menikmati makan malam.
Ayman
Fareeq mencampakkan beg sandangnya di atas sofa. Dia bergegas ke dapur mencari
sesuatu untuk di makan. Dua hari ini dia sangat sibuk hingga tak sempat untuk
memasak makan malam sendiri. Tadi pun terpaksa singgah di masjid dahulu untuk
solat maghrib takut tak sempat nak solat kat rumah. Ini semua gara-gara Hisyam
yang cuti kecemasan menyebabkan dia terpaksa menggantikan teman sepejabatnya itu
untuk projek UEM yang sudah sembilan puluh peratus siap. Pihak pengurusan
mengarahkan dia untuk mengambil alih buat sementara. Tak pasal-pasal terpaksa
menghadap muka dua orang gadis yang memang dia cuba elakkan.
Hati
dia memang mendidih melayan kerenah Qashrina yang memang tak lepaskan peluang untuk
sentiasa berdampingan dengan dia. Rimas. Menghimpit aje kerjanya. Padahal
khidmat Qashrina memang tak diperlukan buat masa ini. Itu satu hal, hal yang
lain pula Athirah. Macam tak pernah buat laporan. Sikit-sikit nak tanya. Benda
yang tak berkaitan pun nak bertanya bagai. Nasiblah Athirah tu perempuan kalau
lelaki memang dah lama dia cepuk kepala gadis itu.
Perut
memang dah berkeroncong untuk ana. Pintu kabinet atas dibuka. Sepeket mee
segera dicapai. Periuk dikeluarkan dan diisi air lalu diletak atas dapur. Api
dihidupkan. Sebutir telur dari dalam peti sejuk diambil dan dibasuh. Sementara
menunggu air mendidih, BlackBerry 10 dibelek sambil duduk di meja makan. Satu
persatu email dibacanya. Sekejap-sekejap Ayman Fareeq memicit pelipisnya. Jika
keadaan ini berterusan semakin menimbunlah kerja-kerja di pejabat. Nampaknya
dia perlu hubungi seseorang untuk membantunya. Adni Farha. Ayman Fareeq
tersenyum sendiri.
Usai
membersihkan badan, Ayman Fareeq menunaikan solat Isya’. Diakhir solatnya,
panjang dia berdoa. Dia berharap agar hatinya sentiasa tetap mengingati Allah
yang telah mengurniakan rezeki yang melimpah ruah kepada dia. Tidak lupa juga
doa dititipkan buat ibunya agar dikurniakan kesihatan yang baik. Akhir sekali,
Ayman Fareeq berharap dipertemukan jodoh yang baik-baik untuk bersama-sama
dengan dia hingga ke Jannah.
Sejadah
di gantung di penyidai. Songkok diletakkan di atas meja solek. Kain pelikat dan
baju melayu ditukar. Ayman Fareeq lebih selesa tidur mengenakan boxer dan bersinglet. BlackBerry 10
dicapai. Dia berbaring di atas sofa kulit moden putih dua tempat duduk yang
memang diletakkan dalam bilik tidur utama rumahnya. Jarinya laju mencari nama
seseorang.
“Hello!”
Adni Farha menjawab panggilan yang diterima dengan suara mengah. Seolah baru
lepas berlari seratus meter.
“Assalammualaikum,”
Ayman Fareeq memberi salam.
“Errr…waalaikummussalam.
Siapa ni?” Siapa pula yang rajin sangat nak call
dia malam-malam ni, omel Adni Farha.
“Adni
Farha!” Ayman Fareeq meninggikan suara. Geram. Si rambut karat tak simpan ke
nombor dia.
“Errr…Encik
Ayman.” Adni Farha garu kepala. Malu. Sah sekejap lagi dia kena dengan Ayman
Fareeq. Kenapalah dia cuai sangat tak dapat nak mengecam suara bos dia ni.
Dahlah dia memang lupa nak simpan nombor Ayman Fareeq.
“Awak
tak simpan nombor saya ke, Adni?” suara Ayman Fareeq mendatar. Bengang.
“Bukan
tak simpan…saya…” Tergagap-gagap Adni Farha cuba memberi alasan.
“Takpelah.
Nombor saya bukan penting pun,” balas Ayman Fareeq perlahan.
“Janganlah
cakap macam tu, Encik Ayman.” Adni Farha cuba memujuk.
“Nombor
saya awak tak simpan saya boleh maafkan tapi panggilan encik tu kan saya dah
pesan. Selepas waktu pejabat…”
“Ya,
ya, saya tahu. Jangan panggil encik.” Adni Farha menjawab sebelum Ayman Fareeq menghabiskan
kata-katanya. Kedengaran sedikit merajuk.
“Dah
decide nak panggil saya apa?” tanya
Ayman Fareeq lembut. Tak jadi nak merajuk bila dengar nada suara Adni Farha dah
berubah. Faham sangat yang Adni Farha sentap bila ada orang meninggikan suara
pada dia.
“Telefon
saya ada apa?” Adni Farha mengelak untuk menjawab pertanyaan Ayman Fareeq. Dia
sebenarnya tak tahu nak panggil apa. Panggil awak macam budak-budak aje tapi
kalau panggil abang lagilah geli. Kenapalah tak boleh panggil encik saja, kan
mudah. Mengada tahap gaban betullah.
“Ada
dua benda ni nak minta tolong, boleh tak?” Ayman Fareeq faham. Adni Farha sukar
untuk memanggilnya dengan gelaran lain selain dari encik.
“Tolong
apa?” tanya Adni Farha acuh tak acuh.
“Macam
tak ikhlas je nak tolong…” Ayman Fareeq pura-pura merajuk.
“Awak
nak saya tolong buat apa, Ayman Fareeq…?” Adni Farha melembut-lembutkan suaranya.
“Hmmm…that’s sound good.”
“Eee…mengadalah.
Nak minta tolong apa sebenarnya?”
“Garangnya…”
usik Ayman Fareeq. Tak tahu kenapa sejak kejadian hari tu dia suka mengusik
gadis berambut karat ini.
“Dia
yang selalu garang-garang dengan kita, lupa ke?” balas Adni Farha.
“Ada
ke? Bukan selalu saya cakap lembut-lembut ke?”
“Saya
letak telefon,” ugut Adni Farha.
“Nak
cepat-cepat kejar apa?”
“Ada
lah…”
“Cakap
cepat.”
“Sibuk
nak tahu buat apa?” templak Adni Farha.
“Hobi.”
Ayman Fareeq membalas.
“Sejak
bila pula jadi hobi?” Adni Farha dah julingkan mata. Bengang dengan bos mulut
longkang dia.
“Sejak
awak kata lesung pipit saya boleh membunuh hati seorang perempuan.” Terkeluar
suara Ayman Fareeq ala-ala dalam bilik tidur.
“Errr…”
Adni Farha telan liur. Tak tahu nak jawab apa. Orang tak pernah bercinta macam
ni lah jadinya. Erkkk…apa yang dia melalut ni. Adni Farha garu kepala.
“Esok
hari jumaat.” Ayman Fareeq tak menunggu jawapan Adni Farha. Tahu si rambut karat
pasti malu.
“Hmmm…”
Apa kaitan hobi dengan hari jumaat? Mental betul bos dia ni, fikir Adni Farha.
“Nanti
ambil fail-fail projek atas meja saya, tolong amend apa yang saya dah review,”
arah Ayman Fareeq. Adni Farha mengeluh.
“Tak
baik mengeluh. Sekali kita mengeluh, selangkah rezeki lari,” nasihat Ayman
Fareeq. Adni Farha dah garu kepala. Susah betul kalau dapat bos stok-stok imam
muda ni.
“Banyak
ke yang nak kena buat? Kalau saya bagi-bagi kat yang lain boleh tak?” seperti
biasa Adni Farha cuba tawar menawar.
“Adni
Farha, boleh tak untuk kali ini awak buat semua sorang-sorang? Kata nak belajar? Kalau semua kerja nak share-share dengan orang, sampai
sudahlah awak tak tahu apa-apa,” tegas Ayman Fareeq. Mengenali Adni Farha dalam
tempoh yang singkat sepertinya dia sudah memahami sikap si rambut karat ini.
“Tak
bolehlah ni?” Adni Farha cuba memujuk Ayman Fareeq dengan suara yang sengaja
dilembutkan. Selembut-lembutnya.
“Tak!!!”
Ayman Fareeq bersuara kuat.
“Tak
payahlah nak jerit-jerit. Saya belum pekak lagilah,” marah Adni Farha pula.
“Opsss…sorry tak sengaja.” Ayman Fareeq dah
urut-urut lehernya. Si rambut karat tawar menawar mahu dia tak bengang. Adni
Farha telan liur. Something is wrong
somewhere. Bos mulut longkang minta maaf. Patut tak dia buat sujud syukur?
Selalunya jawapan cliché si dia, ada
saya kisah. Oh, My! Seram pula.
“Apa
dia? Saya tak dengar,” balas Adni Farha berpura-pura.
“Soft copy nanti saya email,” jawab Ayman
Fareeq selamba. Memang taklah dia nak ulang balik perkataan sorry tu. Entah macam mana boleh
terlepas pula tadi.
“Ya
lah,” Adni Farha mencebik. Kedekut. Bukannya salah pun ulang balik cakap sorry tu. Dasar hati beku, memang macam
tu lah.
“Kalau
saya sempat, lepas solat jumaat saya masuk pejabat.” Tanpa dipinta Ayman Fareeq
memberitahu. Dia rindu dengan si rambut karat. Dah tiga hari tak bersua muka.
“Okey,”
polos Adni Farha menjawab.
“Okey?”
Ayman Fareeq bertanya balik.
“Habis
tu nak suruh cakap apa?” Soalan Ayman Fareeq, Adni Farha balas dengan soalan.
“Tak
apa lah, esok kita jumpa.”
“Okey.”
Adni Farha dah rasa lain. Apa maksud si hati beku ek?
“Errr…dah
baik-baik belum dengan kawan-kawan awak tu?” Ayman Fareeq cuba alih topik.
“Huh?”
“Nadia,
Aqilah dengan Zara.”
“Belum.”
“Belum?
Habis tu pergi makan dengan siapa?” Ayman Fareeq mula risau.
“Sorang-sorang je lah. Bukan tak biasa
pun.” Apasal pula banyak tanya ni, bebel Adni Farha dalam hati.
“Adni…dah
berapa hari tak bercakap dengan diaorang?”
suara Ayman Fareeq kedengaran keras di cuping telinga Adni Farha.
“Masuk
esok dah tiga hari,” selamba Adni Farha menjawab. Geram.
“Pernah
dengar tak hadis pasal tak bertegur sapa sesama Muslim lebih dari tiga hari?”
Ayman Fareeq mengendurkan sedikit suaranya. Dia kena berlembut dengan si rambut
karat.
“Pernah…”
perlahan Adni Farha menjawab. Suara Ayman Fareeq yang lembut memang makan
dalam.
“Then?”
“Esok
saya minta maaf dengan diaorang…” lemah Adni Farha menjawab. Ayman Fareeq di
hujung talian dah senyum senget. Adni Farha memang manja. Kalau kita berkeras
dia akan melawan tapi kalau sebaliknya…hmmm…memang menurut kata.
“Alhamdulillah...lagi
satu…” Ayman Fareeq berjeda. Adni Farha dah berdebar-debar. Apa pula kali ini.
“Islam mewajibkan perempuan menutup aurat.”
“Tahu.”
Pendek jawapan Adni Farha.
“Tahu?”
Soal Ayman Fareeq semula.
“Errr…”
Adni Farha kelu. Tak tahu nak jawab apa.
“Hmmm…untuk
permulaan bolehkan kurangkan pakaian yang menyakitkan mata lelaki?”
“Pakaian
yang macam mana?” polos soalan tak berapa cerdik dari Adni Farha.
“Adni
Farha!!!” Ayman Fareeq menyebut nama penuh si rambut karat.
“Ya.
Ya. In shaa Allah…” Ayman Fareeq ni memang tak boleh blah. Suka tau memaksa dia, getus Adni Farha. Tahu sangat kalau dah
sebut nama penuh tu. Sendiri kena ingatlah.
“Dah
pergi tidur sana. Assalammualaikum.” Panggilan terus dimatikan.
“Waalaikummussalam.
Ek eleh…dia yang telefon aku. Dia
pula yang emo.” Adni Farha rasa macam
nak baling aje telefon bimbitnya. Nasib masih waras. Sengal punya bos.
Adni
Farha membelek biasan dirinya di cermin. Terpusing-pusing dia seketika. Baju
yang hanya setahun sekali dipakai nampak sangat cantik dan terletak elok pada
tubuh tinggi lampai persis model itu. Baju kurung moden hijau pucuk pisang menyerlahkan
putih mulus kulit Adni Farha.
"Agak-agak
orang akan pelik tak tengok aku pakai macam ni?" gumam Adni Farha
sendirian. Ini semua gara-gara kata-kata yang dituturkan si hati beku pada dia
lewat malam tadi. Terkesan juga dia.
Beg
tangan dicapai. Adni Farha segera keluar dari bilik. Sampai di bawah dia
mencari Datin Hasnah di dapur. Namun kelibat mamanya tidak kelihatan. Hanya
Tini sahaja yang sibuk menyediakan sarapan pagi.
“Adni,”
Datin Hasnah menepuk lembut bahu anak daranya bila dilihat Adni Farha macam
mencari sesuatu.
“Oh,
papa!” terjerit kecil Adni Farha. Terperanjat. “Mama…” Adni Farha memukul
lembut badan Datin Hasnah.
“Terhendap-hendap.
Cari siapa?” Datin Hasnah memandang Adni Farha atas bawah atas bawah.
“Cari
mamalah…” Adni Farha membalas pandangan pelik Datin Hasnah.
“Ada
majlis apa hari ni?”
“Kenapa?”
“Baju
kurung?” Datin Hasnah jongketkan keningnya.
“New chapter.” Adni Farha tersenyum.
“Cantik,”
puji Datin Hasnah. Tak sabar pula nak memberitahu suaminya akan perubahan anak
manja mereka.
“Dah
tahu dah…” Adni Farha tergelak kecil.
“Diva…”
Datin Hasnah geleng kepala. Pakaian dah okey. Perangai tetap sama. Perasan diva
tak habis-habis.
“Ma…Adni
breakfast kat ofis hari ni. Dah lama
tak sarap dengan kawan-kawan.”
“Pergilah…”
Datin Hasnah hanya mengangguk. Adni Farha keluar selepas bersalam dengan Datin
Hasnah.
Hari
ini Adni Farha memandu dengan tenang. Semangat baru. Harap-harap tak ada yang
mati terkejut dengan perubahan dia dan juga tiada yang mengata. Semasa sampai
di perkarangan tempat meletak kenderaan di hadapan bangunan pejabat Perunding
Klasik, Adni Farha perhatikan baru beberapa buah kenderaan yang ada. Dia
tersenyum. Sekurang-kurangnya tak ada lah dia terlalu awal. Enjin kereta kemudian
dimatikan. Dia keluar dari Mini Cooper Cabrio. Punat kunci ditekan. Adni Farha
berjalan dengan berhati-hati masuk ke dalam bangunan.
Keluar
dari perut lif, Adni Farha terserempak dengan Zara. Masing-masing saling
berpandangan.
“Zara,”
tegur Adni Farha dulu. Teringat akan janjinya pada Ayman Fareeq malam tadi.
Zara hanya mendiamkan diri. Sedikit pun dia tidak bergerak. Adni Farha
mendekati Zara. Kedua-dua belah tangannya memegang tangan Zara.
“Aku
nak minta maaf. Silap aku. Macam budak-budak. Sorry again.” Adni Farha tayang muka monyok. Muncung memang dah
sedepa.
“Dah…tak
payah nak panjang sangat muncung tu. Aku dah maafkan. In fact kitaorang semua dah maafkan kau.” Zara anggukkan kepala.
Adni Farha pusing ke belakang bila mendengar derapan kasut di belakangnya.
Nadia dan Aqilah mendepakan tangan. Mereka berempat berpelukan di depan pintu
lif itu juga.
“Jom
pergi breakfast? Aku belanja,” ajak
Adni Farha.
“On…” serentak Nadia, Aqilah dan Zara
menjawab.
“Sekejap
nak letak handbag dulu. Malas nak
bawa sekali. Besar sangat.” Adni Farha melangkah ke mejanya dan menyimpan beg
tangan di dalam laci. Dia hanya membawa beg duit sebelum kembali menyertai
rakan-rakannya itu.
“Eh!
Aku baru perasan. Kau nampak lain hari ni,” tegur Nadia semasa mereka berada
dalam perut lif. Matanya melirik pada Adni Farha atas bawah.
“Mana
ada lain? Sama ajelah.” Adni Farha tayang muka selamba.
“Ya
lah. Kau nampak manis berbaju kurung,” puji Zara.
“Ada
apa-apa ke?” tanya Aqilah.
“Hesy…korang ni. Apa-apa, apa? Tak ada apa-apa
lah,” bidas Adni Farha.
“It’s okay. Kita tengokkan aje nanti,”
Nadia masih tidak mahu berhenti mengusik.
“Dah,
dah. Jom.” Adni Farha menarik tangan-tangan rakannya untuk keluar dari lif sebaik
pintu lif terbuka dan berjalan menuju ke keretanya.
“Kita
duduk kat meja luar ni ajelah,” cadang Nadia sebaik mereka sampai di restoran
yang terkenal dengan nasi lemaknya.
“Bagus
juga. Sambil-sambil tu boleh cuci mata sekali,” balas Zara.
“Hesy…hari
jumaat kut…” Aqilah geleng kepala.
“Hari
jumaatlah baru boleh tengok lelaki-lelaki kacak pakai baju melayu. Mana tahu
ada yang berkenan,” giat Adni Farha.
“Dah,
dah…bukan kenyang pun cuci mata tu. Pergi ambik nasi tu cepat,” arah Nadia.
Mereka bergilir-gilir mengambil makanan.
Terdengar
tawa mereka berempat sewaktu menikmati hidangan hingga menarik perhatian
pengunjung yang lain. Ada saja topik yang dibincangkan. Macam-macam cerita yang
keluar. Umpama dah bertahun tak bersua muka. Bertepuk tampar seperti selalu. Jelas
terpancar keceriaan di wajah masing-masing.
Pasangan
yang baru keluar dari Honda Freed putih menarik perhatian empat sekawan. Pada
ketika itu Adni Farha sedang menundukkan kepalanya untuk mengambil duit syiling
lima puluh sen miliknya yang terjatuh selepas dikembalikan pekerja restoran
terbabit. Nadia, Aqilah dan Zara terdiam. Adni Farha pelik. Segera dia
menegakkan badannya semula. Matanya terpaku melihat pasangan yang semakin
menghampiri meja mereka. Dadanya berdebar. Kawan-kawannya pula meneruskan
suapan mereka yang terhenti tadi. Sepatah perkataan pun tidak keluar dari mulut
masing-masing.
Ayman
Fareeq berjalan tenang di sebelah Qashrina. Ikutkan hati dia nak bersarapan di
café UEM saja, malas nak bersarapan dekat luar. Tapi Qashrina beria-ia
mengajaknya siap cakap akan memandu keretanya sendiri. Kebetulan pula Athirah
tak datang kerja hari ini. Nak tak nak terpaksa Ayman Fareeq turuti. Tak sedap
pula sebab dah beberapa kali dia menolak ajakan Qashrina.
Sesekali
Ayman Fareeq membetulkan jaket kulit cokelat yang dipakainya. Qashrina di
sebelah hanya tersenyum-senyum. Suka bila untuk pertama kali Ayman Fareeq sudi
makan bersama dengan dia. Bagus juga Hisyam cuti kecemasan. Peluang yang ada
memang Qashrina tak lepaskan. Mata Ayman Fareeq tertancap pada meja yang
diduduki empat orang gadis. Dia amat mengenali mereka dan yang paling penting
dia merindui si rambut karat yang tidak berkelip memandang padanya.
“Assalammualaikum,”
tegur Ayman Fareeq sebaik tiba di meja empat sekawan itu. Qashrina hanya
tersenyum kelat. Adni Farha tunduk, pura-pura menyuap nasi lemak di depan mata.
“Waalaikummussalam,”
jawab mereka berempat hampir serentak. Masing-masing tersenyum kecuali Adni
Farha. Arghhh…jerit Adni Farha dalam hati. Kenapa mesti dia nak rasa lain. Si
hati beku ni bukan siapa-siapa pun pada dia.
“Jauh
makan?” tanya Ayman Fareeq. Matanya merenung tajam pada Adni Farha. Si rambut
karat nampak manis berbaju kurung hijau pucuk pisang hari ini. Nampak lain. Ayman
Fareeq senyum senget. Adni Farha memang mendengar kata. Namun dia sedikit
terusik bila Adni Farha langsung tak memandangnya. Adni Farha leka menyuap
makanannya.
“Errr…Ayman,
I pergi ambik makanan dulu lah. Nanti
kita duduk kat meja sana, eh,” Qashrina minta diri. Dia tak berapa selesa bila
melihat mata Ayman Fareeq langsung tak lekang dari memandang Adni Farha. Sempat
Qashrina menuding jari ke meja makan di sebelah dalam kedai. Ayman Fareeq angguk.
“Qash,
orderkan teh tarik untuk I sekali,” pesan Ayman Fareeq. Adni
Farha pandang ke lain. Hatinya perit. Ada satu rasa yang sukar dia taksirkan
saat mendengar suara Ayman Fareeq bercakap dengan Qashrina.
“Join sekali, Encik Ayman?” pelawa Nadia.
Ajak-ajak ayam.
“Apa
lah kau ni, Nad. Encik Ayman kan tengah dating
dengan Cik Qashrina tu,” usik Aqilah yang tidak tahu apa-apa. Nadia dan Zara
dah besarkan mata. Aqilah tarik muka tak faham. Adni Farha bengang tapi dia tak
salahkan Aqilah. Lagi pun dia memang tiada apa-apa dengan Ayman Fareeq.
“Betulkan,
Encik Ayman?” soal Aqilah tak puas hati. Ayman Fareeq dah gosok belakang
tengkuk dia.
“Errr…pandai
awak ajelah, Aqilah. Saya kan ada kerja kat UEM sebab tu lah Qashrina belanja
saya makan. Okeylah. Tak nak kacau you
all. Saya ke sana dulu.” Ayman Fareeq lekas-lekas beredar dari situ. Dia
tidak mahu para pekerjanya menyangka yang bukan-bukan. Lebih-lebih lagi si
rambut karat yang langsung tidak memandang muka dia.
“Kau
ni dah kenapa, Aqilah?” marah Nadia.
“Entahnya,
minah ni,” Zara turut sama memarahi Aqilah. Adni Farha hanya mendiamkan diri.
“Apa
yang aku dah buat?” soal Aqilah tanpa rasa bersalah. Zara dan Nadia buat memek
muka. Lama Aqilah memandang mereka berdua sebelum kalih pandangan pada Adni
Farha. Baru dia menyedari sesuatu.
“Errr...sorry, Adni.” Aqilah memandang Adni
Farha yang tayang muka selamba.
“Hesy…tak
ada apa-apalah. Korang…aku tunggu kat
kereta, eh.” Adni Farha terus bangun menuju ke kereta dia. Bising mulut
rakan-rakannya sebaik dia meninggalkan meja mereka.
Tanpa
Adni Farha sedari Ayman Fareeq memerhati tingkah dia dari jauh. Ayman Fareeq
meraup mukanya. Ada sekelumit rasa bersalah yang timbul dalam hatinya. Dia tak
pasti kenapa.
“You okey ke, Ayman?” soal Qashrina.
“Huh?”
Ayman Fareeq bertanya balik.
“I tanya you okey ke tak?”
“Okay. Nothing to worry about.” Ayman Fareeq mula menyuap makanan di
depannya. Dalam kepala sebenarnya tertanya-tanya kenapa dengan Adni Farha.
Nampak gayanya fokus dia pada kerja seharian ini akan terjejas. Qashrina hanya
mencebik. Nampak sangat pembohong. Susah hati lah tu bila minah seksi tu
langsung tak melayan dia.
ayman dah rasa something dkt adni.. <3
ReplyDeleteHehehe...baru dia tahu bila orang tak pandang muka dia langsung...
DeleteX sabar nk tunggu next entry
ReplyDeletekita tgk nnt Ayman pujuk mcm mn yer..... sudi-sudikanlah join grup kat fb http://www.facebook.com/groups/460780710692490/
Deletetq baby mio...keep on supporting me...
ReplyDeletenak lagi
ReplyDeletejap....sabarrrr....
Deleteyesss...rasa itu dah sampai and harap2 Adni n Ayman faham. Best..
ReplyDeleteAda dlm n3 seterusnya cik baba...
Delete