Tuesday, March 21, 2017

BERARAK AWAN CINTA - PART 4


SELESAI urusan di klinik, mereka keluar dari situ. Ariq membiarkan sahaja Azza berjalan di depannya. Dia memilih untuk berjalan di belakang sambil menggenggam kemas plastik ubat-ubatan yang perlu dimakan Azza. Manalah tahu kalau-kalau gadis kampung ini pitam lagi. Mudah dia nak sambut nanti. Sekurang-kurangnya membuktikan dia tidak lepas tangan pada Azza.
Sebenarnya hati Ariq masih tidak tenteram bila teringatkan pandangan mata Sarimah kepadanya. Bukan setakat itu sahaja, nasihat yang diberikan juga cukup pedas dan sentap. Macam dia pesalah jenayah berat. Sikit aje kut luka di dahi Azza. Sekurang-kurangnya dia masih lagi ingin bertanggungjawab atas apa yang dia telah buat.
 “Azza!”
Laungan nama Azza mematikan lamunan Ariq. Dia menoleh ke kanan. Serentak dengan Azza. Diamati tubuh empunya suara yang memanggil Azza tadi.
Mata Azza pula mengecil. Memerhati insan yang semakin mendekati dia dan Ariq. Satu keluhan kecil dilepaskan bila jelas di matanya siapakah insan itu. Nampaknya malang memang sinonim dengan dia. Tak habis-habis. Apalah mahunya Munira dengan dia kali ini.
Munira berjalan laju mendapatkan Azza. Manaf yang turut berada di sampingnya dihalang dari mengikuti langkahnya.
“Apa kau buat dekat sini?” Munira menepuk kuat pergelangan tangan kanan Azza sebaik sahaja dia sudah berdiri di depan Azza. Matanya turut melirik tajam pada lelaki berbaju kelabu di belakang Azza.
Rasa macam dia kenal lelaki ini. Kalau tak silap perkiraan dia, lelaki ini adalah lelaki berlagak yang makan di kedai makan abahnya. Apa lelaki ini buat dekat sini dengan Azza? Mana kawan-kawan lelaki ini yang lain?
“Aduh, sakitlah, Ira!” Azza mengaduh. Menyeringai.
Digosok-gosok pergelangan tangannya. Bukan dia mengada-ngada. Memang terasa sakitnya di situ. Masakan Munira tak ingat apa yang Ariq dah buat pada dia.
Tindakan refleks Azza membuatkan Ariq cepat sahaja berdiri di sebelah Azza. Risau melihatkan tingkah gadis yang sudah berdiri di depan Azza tadi. Takut gadis itu bertindak lebih jauh. Mencederakan Azza yang sememangnya sudah sakit dek kesilapan dia.
Matanya mula menganalisis gadis itu. Ini gadis dungu anak pemilik kedai makan. Kalau tak silap, gadis ini adalah sepupu Azza. Kenapa perlu berkasar sangat dengan Azza? Bukan ke tadi bicara gadis ini lembut sahaja sewaktu ingin mengambil pesanan dia dan rakan-rakannya? Tolong jangan cakap dengan dia masih wujud lagi kisah Cinderella di zaman serba maju dan canggih ini.
“Wah! Sekarang dah pandai keluar dengan jantan,” tempelak Munira.
Langsung tidak kisah dengan jegilan mata lelaki berbaju kelabu yang sudah berdiri di sebelah Azza. Berangan nak jadi herolah tu. Ingat dia takut. Sikit pun dia tak hairan.
“Jaga sikit mulut kau tu!” marah Ariq.
Panas hatinya bila dia dipanggil jantan. Kasar sekali bahasa gadis ini. Memang pantang dia kalau orang yang tak ada adab. Ringan sahaja tangannya mahu dilepaskan pada pipi gadis ini.
“Ariq, tolong?” Azza bersuara.
Menggeleng bila Ariq memandang dia. Ariq orang luar. Tidak sepatutnya Ariq masuk campur urusan dia dengan Munira walau dia tahu niat Ariq itu baik. Dia lebih arif dengan perangai Munira. Tahulah dia bagaimana mahu meladeni sikap kasar sepupunya ini.
Ariq mendengus. Plastik ubat diserahkan kepada Azza. Dia terus berjalan menuju ke keretanya. Yalah, tuan punya badan tak sudi dia ada di situ. Lebih baik dia beredar. Takkanlah dia nak mematung macam orang bodoh. Lagi pula tak ada faedahnya nak mendengar bicara 2 orang gadis ini. Bukan urusan dia pun.
“Ira, kau salah faham.” Bersungguh Azza menafikan kata-kata Munira. Dia tidak mahu Munira salah mentafsir keberadaan Ariq dengan dia di sini.
“Salah faham apanya? Kalau dah berdua-duaan, mestilah ada sesuatu yang kau dan lelaki itu buat.” Munira memandang sinis.
Mencebik melihat mimik wajah Azza yang seperti meminta simpati itu. Nak berlakon baik konon. Depan abah dia bolehlah. Ini Muniralah. Tak payah nak berpura-pura dengan dia.
“Aku pergi klinik aje, Ira.” Azza mempertahankan dirinya. Tidak suka dengan tuduhan Munira.
“Yalah tu.” Masih lagi sinis kata-kata yang keluar dari mulut Munira.
“Terpulang. Selama aku duduk dengan keluarga kau, tak pernah sekali pun aku membuat onar. Aku sedar siapa aku. Aku tahu jaga maruah pak long.”
Sebaik habis berkata-kata, Azza terus mengorak langkah menuju ke kereta Ariq. Dia sudah malas mahu mempertahankan dirinya. Rugi kalau dia beria-ia menghabiskan liurnya semata-mata mahu meraih kepercayaan Munira. Dia tahu sepupu dia ini tak akan ambil endah apa yang diberitahunya. Langsung tak lekat dalam kepala si sepupu. Umpama menjirus air pada daun keladi.
“Hei, aku belum habis cakap lagilah!” Munira membentak keras bila Azza terus pergi. Membiarkannya terkulat-kulat di situ. Bengang bila Azza sudah pandai mengelak tatkala dia masih lagi tak puas hati dengan jawapan yang diberikan Azza.
Ariq sudah menekan pedal minyak. Kuat ngauman enjin keretanya. Sudah tentu mengganggu orang di sekeliling. Biarlah. Itu isyarat untuk Azza. Dia tidak suka menunggu lama.
Tak boleh sabar agaknya budak bandar ni. Pening kepala dia macam ni. Munira ni pun, apa lagi yang dimahunya. Jemari Azza naik mengurut pelipis. Dia berpaling.
“Nanti kita cerita dekat rumah,” jawabnya mudah sebelum meloloskan diri masuk ke dalam kereta Ariq. Wajah masam Munira tidak dihiraukan. Untuk kali ini sedikit pun dia tidak gentar.
Sebaik sahaja Azza menutup pintu, pantas Ariq mengundurkan keretanya dan bergerak keluar dari kawasan parkir klinik.
Munira mengetap gigi. Kedua-dua tangannya digenggam erat. Mencerlung tajam kereta yang dinaiki Azza.
“Kau memang suka cabar aku, kan Azza. Kenapa nasib kau selalu baik? Maruah. Cara kau bercakap macam kau tu malaikat. Tak apa. Ada ubi ada batas. Kau belum kenal lagi siapa Munira.”
Dia berpaling. Kaki dihentak kuat sewaktu melangkah. Dia mendapatkan semula Manaf yang setia menantinya di hujung bangunan kedai 2 tingkat itu.
“Azza dengan siapa tadi tu? Untunglah dia. Pakwe ada kereta besar,” puji Manaf selamba walau dia nampak wajah Munira yang masam mencuka.
Munira tidak menjawab langsung. Kaki dihayun ke belakang bangunan kedai.
Manaf seperti biasa hanya menuruti perlakuan Munira. Menjadi pak turut kepada Munira seperti sudah menjadi amalannya. Walau adakalanya apa yang dibuat Munira itu salah dan terlarang. Tak diendahkan itu semua. Dia hanya mahukan duit Munira. Munira sumber kewangannya untuk kelangsungan hidup.
“Yang kau nak puji dia lebih-lebih dah kenapa?” bentak Munira sebaik mereka melewati lorong belakang.
Sakit hatinya apabila ada orang lain yang memuji Azza. Sejak Azza menetap di sini, nama Azza sentiasa meniti di bibir orang kampung. Sana sini tak lekang bercerita perihal Azza. Kebaikan yang dia pamerkan pula sudah tidak dipandang lagi.
“Serius, Azza memang beruntung. Sudahlah cantik, pandai, baik hati pula tu. Aku rasa kau ni kurang cantik dan bodohlah sebab tu tak ada lelaki kaya yang nak dengan kau,” kutuk Manaf selamba.
“Sedapnya mulut kau bercakap. Cuba kau cermin diri kau tu. Pakwe aku sekarang ni siapa?” Munira besarkan matanya.
Geramnya dengan Manaf bertambah-tambah. Bercakap tak pernah berfikir. Kalau dia bodoh, rasa-rasanya Manaf ni lagi berganda bodohnya.
“Akulah.” Manaf tersengih.
“Itu maknanya kau yang bodoh sebab tu tak kaya-kaya. Kalau kau pandai dah lama kau pakai kereta besar macam lelaki tadi,” sindir Munira melepaskan apa yang terbuku dalam benaknya.
Ek eleh. Aku pula. Blahlah kau.” Tersentak Manaf bila Munira menghina dia. Menonong laju dia mendapatkan motornya yang diletakkan berdekatan salah satu lot kedai yang terbiar.
Munira menepuk dahi. Manaf tak boleh tinggalkan dia terkontang-kanting seorang diri di situ. Dia perlukan Manaf.
“Alah merajuk pulak. Manaf! Manaf!” panggilnya.
Dia berlari anak. Buruk betullah jantan ni merajuk. Kalau tak kerana dia nak mempergunakan Manaf, memang taklah dia nak memujuk bagai. Selagi apa yang dia niatkan dalam hati tak tertunai, selagi itulah dia perlukan Manaf di sisinya.
Manaf langsung tak menoleh. Dibiarkan sahaja panggilan Munira tak bersambut. Sekali-sekala melawan kata-kata Munira apa salahnya.
“Kau nak kaya cepat tak?” tanya Munira sebaik sampai di sisi Manaf.
Pergerakan Manaf terhenti. Tidak jadi menyarungkan topi keledar ke kepala. Wajah Munira dipandang.
“Kaya cepat?” Dia menghantar pandangan pelik.
Munira tersenyum. Jeratnya mengena. Bukan susah pun nak memujuk Si Manaf ni. Nampaknya perancangan dia bakal terlaksana dan dia akan pastikan untuk kali ini segala-galanya berjalan dengan lancar.
“A’ah. Tapi kau kena buat sesuatu.” Munira tarikan kedua-dua belah keningnya. Dia pasti Manaf mesti suka. Lagi pun semua ni berbayar, bukan percuma.
Manaf masih lagi memandang Munira.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

16 comments:

  1. Hah tau rasa serba salah pulak si ariq ni.... tp apa yg dh jdik kt azza ni.... mcm teruk je

    ReplyDelete
  2. Sambung yunk syeena..dah mula rasa cam nk ujan ni....mesti hidup Azza penuh dngn berliku2 setelah kehilangan kedua2 ibu bapanya....sob...sob ..

    ReplyDelete
  3. smbung lgi ye stiap jam tgu nie....

    ReplyDelete
  4. salam Syeena...

    Cam ada sesuatu je pasal Azza ni... hurm siapa pak long... siapa kah arwah ibu bapa dia.... mesti Azzza ni seorang yg cerdikkk pandai..... hurm pandai ya syeena perangkap hati dan jiwa pembaacaaaa....

    ni cerpen or e-novel?....keep up good work my dear

    lots of luv
    kak itasukri

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehehe.... Tq kak ita..... Mini novella agaknya citer ni.....

      Delete
  5. Mini novella?
    Wow.....seronok ni. Gud luck dik

    ReplyDelete