ARIANI merenung kad nama yang dihulurkan uminya. Kejuruteraan Elektrik R & R Sdn. Bhd. Tengku Ahmad Radzi Bin Tengku Abdullah. Chairman. Uncle Radzi ni teman lama abah masa di universiti dulu. Entahlah dia tak ingat walau umi kata semasa dia masih di sekolah rendah rajin jugalah keluarga Uncle Radzi menziarahi kami.
Kebetulan semasa dia bercuti di Pulau Tioman
bersama-sama teman-teman rapatnya, terjumpa Uncle
Radzi di sana. Itu pun Uncle Radzi
yang menegur dia dulu. Kalau tak silap syarikat Uncle Radzi buat hari keluarga di resort yang sama dia menginap.
Bila dia bertanya dengan umi dan abah macam mana Uncle Radzi boleh cam dia. Sedangkan hubungan
kedua-dua keluarga terputus bila Uncle
Radzi ambil keputusan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Jawapan abah mudah
saja. Berhubung melalui emel. Maklum waktu itu media sosial seperti Facebook atau WhatsApp belum wujud.
“Jangan tak pergi tau, Ria.”
Puan Anisah yang sibuk membasuh pinggan mengingatkan
Ariani. Tengok dari gaya Ariani merenung kad nama macam nak tembus tu macam si
anak endah tak endah sahaja. Risau pula.
“Hari ini juga ke, umi?” Muncung Ariani dah panjang.
Dia tayang muka monyok.
Sebenarnya dia tak faham kenapa umi dan abah
beria-ia suruh dia berjumpa dengan Uncle
Radzi. Takkanlah nak suruh dia bekerja dengan kawan abah tu? Tahulah dia ada
ijazah dalam bidang kejuruteraan elektrik tapi dia memang tak berminat dalam
bidang yang dia ambil tu. Lagi pun sekarang dia selesa dengan apa yang sedang dia
usahakan. Biarlah butik kecantikannya kecil. Asalkan dia tak makan gaji.
“Wajib hari ini juga.”
“Dah jatuh hukum wajib pula? Ikut nas mana ni?”
Wajah uminya yang tersengih dipandang. Ariani ketap
bibir. Macam ada sesuatu aje umi ni. Selama hayat tak pernah nak paksa-paksa
dia.
“Pergi ajelah. Mana tahu ada rezeki dekat situ.”
Ariani terpempan. Bermakna selama ini uminya
menyimpan rasa tidak senang melihat dia membuka perniagaan sendiri. Macam dia
tidak tahu menghargai titik peluh umi dan abah yang gigih mencari rezeki
membayar yuran pengajiannya.
“Umi tak suka ke Ria berniaga sendiri?”
“Ke situ pula dia. Rezeki ada dalam macam-macam
bentuklah.” Terjegil mata Puan Anisah. Lengan Ariani dipukul.
“Ingat umi tak suka.” Ariani tersengih sambil
menggosok lengannya. Hilang rasa gusar yang singgah di hatinya tadi.
“Uncle
Radzi yang suruh datang. Abah bukan tak menolak. Yalah segan dengan kawan dia
tu. Kita ni biasa-biasa saja. Nanti orang ingat nak ambil kesempatan atas
kesenangan orang lain.”
Panjang lebar Puan Anisah terangkan duduk perkara
seperti yang diceritakan suaminya. Pagi tadi suaminya mengingatkannya lagi sebelum
keluar ke stesen minyak yang diusahakan mereka sejak dua puluh tahun yang
lepas.
Ariani terkebil-kebil. Cuba mencerna bait-bait kata
uminya. Cuba mencari di mana logiknya perjumpaan itu nanti.
“Tapi kenapa Uncle
Radzi nak jumpa Ria?”
“Hesy, budak bertuah ni. Kalau tak berjumpa macam
mana Ria nak tahu kenapa Uncle Radzi
nak jumpa.” Puan Anisah jegilkan mata. Kali ini dicubitnya lengan Ariani.
Banyak betul alasan si anak.
Ariani menyeringai. Sempat juga membalas. Mencubit
manja uminya sebelum menggosok-gosok lengannya yang dicubit tadi.
“Tak ada agenda tersembunyi, kan?” tanyanya lagi.
“Ingat parti politik ke apa nak ada agenda
tersembunyi?”
“Manalah tahu. Kutlah Uncle Radzi tu ada anak lelaki dan umi dengan abah nak kenen-kenenkan dengan Ria,” seloroh
Ariani. Memandang uminya yang sudah melabuh duduk di depan dia.
Tangan Puan Anisah yang sedang mencedok nasi goreng
ke dalam pinggan terhenti. Wajah Ariani dipandang. Dia tersenyum.
“Memang Uncle
Radzi tu ada anak lelaki.”
“See!
Betullah ni ada agenda tersembunyi.”
Ariani buang kad nama ke atas meja. Dia bersandar.
Memandang tajam uminya. Memang dia jarang tersilap meneka di sebalik yang
tersirat.
“Boleh tak jangan nak berprasangka. Anak-anak lelaki
Uncle Radzi tu tak pandangnya Ria.
Sekarang ni abah Ria kata Uncle Radzi
tu nak minta tolong dengan Ria tapi dia tak beritahu abah Ria apa bendanya.”
“Anak-anak? Ramai ke anak lelaki Uncle Radzi tu?”
Ariani gigit bibir. Maklumat yang baru umi beritahu
lebih menarik minat. Bebelan umi langsung tak terkesan. Jangan salah sangka.
Bukan dia nak mengurat pun. Untuk cuci mata aje.
“Sibuk sangat anak orang tu ada berapa orang kenapa?
Tadi bukan main melenting lagi. Agenda tersembunyi bagai.”
Ariani tersengih. Tak menyahut langsung omelan
uminya. Dia bingkas berdiri. Kad nama yang dicampaknya tadi diambil.
“Wish me luck,
umi!” Dia kenyit mata dan berlalu dari situ.
Puan Anisah menggeleng. Melihat Ariani hingga susuk
si anak hilang dari pandangan. Wajahnya yang serius berubah riak. Ada segaris
senyuman menghiasi bibirnya.
Itu cerita setengah jam yang lalu. Sekarang ini
Ariani dah tercongok di depan bangunan yang menempatkan pejabat Kejuruteraan
Elektrik R & R Sdn. Bhd.
“Bismillahirrahmanirrahim.” Serentak itu dia menolak
pintu cermin di depannya.
Berhati-hati dia melangkah masuk. Mendekati meja
penyambut tetamu. Setelah memberitahu tujuannya datang ke situ, dia diminta
untuk menunggu seketika di sofa yang terdapat di ruang lobi itu. Dia akur.
Berjalan ke ruang menunggu.
Tengku Redza melangkah keluar dari perut lif. Menyusun
tenang langkahnya walau perut sudah berbunyi minta diisi. Tadi dia tak sempat
nak bersarapan di rumah. Hari ini ada beberapa borang tender yang perlu
dihantar. Itu yang dia berkejar ke pejabat. Sudahnya hingga jam sebelas dia
terlupa untuk bersarapan.
Hayunan langkahnya mati pabila matanya tertancap
pada figura yang sedang duduk di ruang menunggu. Santai menunduk sambil membaca
majalah. Figura itu macam dia kenal. Rasanya macam pernah bersua tapi dia tak
ingat di mana.
Kakinya dilencongkan. Tidak jadi menuju ke pintu
keluar. Sebaliknya dia berjalan mendekati kaunter penyambut tetamu.
“Tengku.” Si penyambut tetamu menegur ramah bersama
senyuman manis.
“Itu, ada appointment
dengan siapa?”
Mulut menyoal tapi mata Tengku Redza tunak memandang
figura yang begitu ralit dengan majalah hingga tak sedar ada mata yang
memandang. Pada masa yang sama dia masih lagi memerah otak. Mencari hari dan
masa di mana dia dan figura itu pernah bertembung.
“Ooo... Itu Cik Ariani, tengku.” Si penyambut tetamu
memberitahu.
“Ariani?”
Si penyambut tetamu mengangguk laju bila Tengku
Redza memandang dia dengan kerutan berlapis di dahi minta kepastian.
Macam familiar, bisik hati Tengku Redza. Kerutan di
dahinya hilang. Berganti dengan senyuman sinis. Patutlah dia rasa pernah
berjumpa. Pemilik spa kesukaan mama rupa-rupanya.
Seperti terasa namanya diseru, Ariani mendongak.
Terbuntang matanya melihat lelaki yang sedang bersandar pada kaunter tidak
berapa jauh dari tempat dia duduk. Lelaki berkemeja lengan panjang warna
kelabu, berseluar hitam dan bertali leher merah itu sedang memandang dia. Dia
kenal lelaki itu.
Cepat-cepat dia menunduk semula. Tengku Redza
bekerja di sini ke? Okey, dia tak sempat nak lari keluar dari situ.
Kenapalah dia bersetuju dengan arahan abah untuk ke
sini? Tak baik salahkan abah. Dia anak yang taat. Kaki dia yang gatal nak masuk
juga ke dalam bangunan ni. Salahnya ialah dia tak korek habis-habis pasal anak
lelaki Puan Rozi ini. Kalau tidak tak perlulah dia nak menadah telinga
mendengar mulut tak berinsuran itu bercakap. Tidaklah dia memenatkan lidah mematah
kata-kata pedas si pemilik mulut laser itu.
“Rasa-rasanya syarikat ini tak ada keluarkan produk
kecantikan.” Tengku Redza sudah berdiri di depan Ariani. Kekal melorek senyuman
sinis.
Terhinggut bahu Ariani. Mendongak sekilas memandang
Tengku Redza. Sungguh, dia tak sedar bila masanya Tengku Redza berjalan ke
sini.
Sekarang dia malas nak melayan kerenah Tengku Redza.
Ini tempat Tengku Redza. Dia tetamu. Tak naklah memalukan diri sendiri bertikam
lidah dengan Tengku Redza yang tak punya perasaan ni.
“You heard me,
right?” Suara Tengku Redza keras. Bengang bila bicaranya tidak berbalas.
“Redza!” Tengku Radzi yang baru keluar dari lif
mendekati Tengku Redza dan Ariani.
“Uncle!” Ariani
terjerit kecil.
Dia bingkas berdiri mahu mendapatkan Tengku Radzi. Melanggar
sedikit tubuh Tengku Redza yang menghalang laluannya hingga teranjak kedudukan
lelaki itu. Dia terus bersalam dengan Tengku Radzi. Ikutkan hati macam nak
peluk tubuh tua ini sebab dah menyelamatkan keadaan tapi nanti apa pula kata
Tengku Redza.
“Pa?” Berkerut dahi Tengku Redza. Menuntut
penjelasan dari papanya. Tingkah Ariani macam sudah biasa bertemu dengan
papanya. Ariani dan papa memang kenal ke?
Tengku Radzi tersenyum. Teringat kembali cerita
isterinya.
“Alang-alang Redza dah ada ni, bolehlah ikut papa
dan Ria sekali. Kita pergi restoran depan tu. Ria tak kisah, kan?”
“Mana-mana aje, uncle.”
Ariani tersenyum bila Tengku Radzi meminta pendapatnya.
Sebenarnya dia gugup dan terperanjat. Terkejut sebab
Tengku Redza panggil Tengku Radzi papa. Gugup sebab tak sangka Tengku Redza
anak Tengku Radzi. Teringat perbualan dengan uminya. Boleh ke dia cuci mata
kalau spesis lelaki seperti Tengku Redza?
“Jomlah. Lambat bergerak lambat kita makan.” Suara
Tengku Radzi memecah keheningan.
Keningnya terjongket tinggi melihat kedua-dua anak
muda ini. Seorang tayang muka tak puas hati. Seorang lagi tayang muka tak
bersalah. Kalau begini gayanya boleh terlaksana ke rancangan yang dia dan Aris telah
bincangkan.
“After you,
uncle.” Ariani tersengih.
Tengku Radzi menggeleng. Mula berjalan meninggalkan
ruang lobi.
Ariani cepat-cepat mencapai beg tangannya di atas
meja kopi. Takut tertinggal. Tak nak dia berjalan dengan Tengku Redza.
Rasa-rasanya lebih selamat berjalan dengan Tengku Radzi.
Baru sahaja mahu melangkah terasa tali beg tangannya
seperti ditarik. Dia menoleh.
“We’re not
finish yet.” Tengku Redza bulatkan matanya.
“Sorry.
Tak ada we dalam cerita ini.”
Ariani kenyit mata. Menarik tali beg tangannya dari
terus dipegang Tengku Redza. Dia dengan berlagaknya berjalan menuruti langkah
Tengku Radzi yang semakin menghampiri pintu keluar.
Tengku Redza ketap gigi. Menahan rasa geram dan
bengang. Panas hatinya dengan tingkah Ariani. Jagalah gadis tu.
“Redza?” panggil Tengku Radzi yang setia memegang
daun pintu.
“Coming!”
Tengku Redza menyahut dan berjalan pantas.
Mereka memilih meja yang terletak di sudut restoran.
“Senang cari pejabat uncle?” Tengku Radzi memulakan perbualan santai.
Dia menarik nafas lega tadi bila diberitahu
setiausahanya yang Ariani sedang menanti dia di bawah. Tak sangka semudah itu
anak gadis temannya ini bersetuju untuk berjumpa. Kalau ikutkan kata Aris,
Ariani tak akan berurusan dengan orang yang tak dikenali.
Tengku Redza yang duduk bertentangan dengan Ariani
hanya berdiam diri. Lebih senang memerhati.
“Guna Waze.”
Ariani tersengih. Matanya hanya fokus pada Tengku Radzi sahaja. Biarlah leher
dia rasa sakit dek terteleng lama. Namun nak memandang orang di depannya ini
memang taklah. Pandang orang macam nak telan.
Tengku Radzi mengangguk. Mahu menyambung perbualan
tapi telefon bimbitnya berbunyi. Pantas sahaja dia melihat nama si pemanggil.
“One second.”
Dia pandang Ariani sambil menunjuk pada telefon bimbitnya.
Ariani tersenyum dan mengangguk. Tak mengapalah.
Takkanlah Tengku Radzi nak berbual lama. Lagi pula Tengku Radzi yang mengundang
dia ke mari. Sambil itu dia mengerling Tengku Redza. Mahu melihat apa yang
lelaki itu buat. Ah, lelaki itu masih lagi memandang dia.
Sepuluh minit berlalau. Tengku Radzi masih rancak
berbual di telefon. Tengku Redza juga masih setia memandang Ariani. Cuma gaya
duduknya sudah berubah.
Aduh! Nak buat apa ni? Ariani ketuk perlahan
jemarinya di meja. Dia dah macam cacing kepanasan. Tak macam Tengku Redza yang
tenang bersandar sambil bersilang kakinya. Uncle
Radzi ni masa inilah pula nak bersembang panjang dekat telefon. Hatinya
berdesis kala memandang Tengku Radzi.
Bila mata berkalih ke depan. Bertembung dengan
renungan tajam Tengku Redza. Eh, korek biji mata tu karang! Dia bulatkan
matanya pada Tengku Redza.
Tengku Redza memalingkan wajahnya sekilas. Tarik
senyum sinis sebelum kembali memaku pandang Ariani. Gadis ini ingat dia gerun melihat
mata itu yang terbuntang? Sekelumit pun tak takutlah.
“Laaa Redza, kenapa tak orderkan minuman untuk Ariani?” Tengku Radzi memandang anaknya.
Telefon bimbit diletakkan di atas meja.
“Dia tak cakap pun dia nak minum.” Selamba sahaja
Tengku Redza menjawab sambil membetulkan tali lehernya. Kedua-dua keningnya
dijongket sekali pada Ariani.
Ariani gigit bibir. Dasar hati batu. Hello!
Takkanlah dia dengan muka tak malu nak cakap dia haus. Tetamu kut. Mana adab
lelaki ini.
Tengku Radzi tepuk dahi. Terus mengangkat tangan
memanggil pelayan restoran.
Hahaha. Emo semacam si redza nih.
ReplyDeleteKannnn
Deletex pa Ariani layan ja sengal TR tu... kita tengok sejauh mana dia boleh tahan...
ReplyDeleteKikiki...
Deletehehe berangin betullah TR nie....
ReplyDeletekannnnnn
Delete