Friday, February 20, 2015

CERPEN - PELANGI HIDUPKU


            BINGIT telinganya mendengar jeritan suara-suara kecil saat kaki menjejak tanah. Beg bimbit yang diletakkan di tempat duduk sebelah penumpang dicapai. Kot yang tergantung di kepala kerusi turut diambil. Pintu kereta ditutup. Dia memandang seketika di sekeliling rumahnya.

Dia mengukir senyuman. Bangga dengan apa yang dia perolehi kini. Penat lelahnya selama ini sangat berbaloi. Cumanya kini dia perlu tingkatkan usaha lagi. Sementelah kos hidup semakin lama semakin meningkat. Apa yang ada sekarang hanyalah cukup-cukup makan.

“Papa!”

Serentak jeritan nyaring itu, kakinya dipaut. Tersentak Adee dari lamunannya. Dia menunduk bila terasa pelukan di kakinya semakin kejap.

“Apa  ni, Ami?” Dirungkaikan tautan anak kecil itu sambil itu matanya mencari kelibat seseorang. Punca menyebabkan si kecil ini jadi begini.

“Tolong Ami, papa…” Ami merengek. Masih tidak mahu melepaskan tangannya.

“Afi!” Adee menjerit kuat. Tangan sudah mencekak pinggang. Beg bimbit dan kotnya tadi dicampak sahaja ke tanah.

Yang dipanggil perlahan-lahan melangkah menghampiri Adee. Kepala menunduk memandang ke tanah. Tidak berani mengangkat wajah.

“Berapa kali papa dah pesan. Jangan kacau adik. Afi tak faham-faham lagi ke?” Adee menengking.

Terhinggut bahu Afi. Namun masih tidak berani membalas pandang.

Ami yang pada mulanya seronok bila abangnya dimarahi mula melonggarkan pelukannya. Terus sahaja dia berlari ke arah abangnya. Tangan abangnya digenggam kuat.

Perlakuan dua beradik itu membuat Adee menyedari sesuatu. Dikuak kasar rambutnya ke belakang. Nafas dihela dalam-dalam.

“Pergi masuk sana. Mandi. Dah petang pun masih nak main-main lagi,” arah Adee. Walau suaranya tidak sekeras tadi tetapi masih ada nada tegas dalam kata-katanya.

Kedua-dua beradik itu pantas berlari ke dalam rumah. Terdengar si adik menangis kuat. Si abang memeluk si adik erat. Memujuk barangkali.

Adee beristighfar dalam hati. Sungguh bukan maksud dia melukakan hati anak-anak. Sikap mereka menjadikan dia begitu. Sudahlah dia penat. Ditambah pula dengan kenakalan mereka. Setiap hari, inilah yang dihidangkan kedua beradik itu apabila dia pulang ke rumah.

“Dee…”

Satu suara lunak menegurnya sebaik dia melabuhkan punggung di sofa. Matanya yang hampir terpejam dicelikkan. Memerhati susuk tubuh yang datang mendekat.

“Air you.”

Segelas air suam dihulurkan kepada Adee. Satu-satunya benda yang membuat hati dia tidak sabar pulang ke rumah adalah layanan mesra yang dia terima. Tengok sahajalah sekarang ni. Kakinya terasa lega apabila dipicit-picit.

“Dah lama you balik?” soal Adee kepada orang di sebelah.

“I ambil separuh hari, hari ni.”

“Kenapa?” Kening Adee terjongket. Dihulurkan kembali gelas yang sudah kosong.

Yang ditanya hanya tersenyum. Tiada jawapan. Malah sudah berdiri untuk ke ruang dapur.

“Aweennn…” Tangan si isteri dicapai. Mengharapkan isterinya ini memberikan jawapan. Ada yang dia terlupakah?

“You naiklah dulu, Dee. Mandi. Dah dekat nak maghrib ni. Budak-budak tu mesti dah tunggu kita nak solat bersama-sama.” Aween tersenyum. Menggosok lembut tangan Adee sebelum berlalu dari situ.

Jawapan Aween membuatkan dia semakin rasa bersalah. Apakah yang dia terlupa? Berkerut-kerut dahinya cuba memikirkan apakah sebenarnya yang menyebabkan isterinya ambil cuti separuh hari. Puas difikirkan namun masih tiada jawapan.

Akhirnya Adee mengambil keputusan untuk naik ke bilik. Tidak mengapa. Lepas solat nanti dia akan dapatkan jawapannya dari Aween. Isterinya itu mana pandai simpan rahsia lama-lama.



USAI mengaminkan doa dan bersalam-salaman, Aween kelam kabut meminta diri untuk menyediakan makan malam mereka. Tidak sempat Adee mahu bertanya. Anak-anaknya juga turut sama membontoti langkah mama mereka.

“Apa semua ni? Apa yang mereka sembunyikan dari aku?” Jemari Adee naik memicit pelipis. Rasa bersalah yang mula terbit sejak petang tadi semakin menjalar dalam hatinya kini.

Perlahan-lahan dia bangkit dari duduknya. Mengemas sejadah yang telah digunakan. Walau dia memang memperuntukkan satu bilik untuk dijadikan ruang solat tetapi dia tidak suka bilik ini bersepah-sepah. Memang itu pantang bagi dia.

Mujur Aween tak pernah bersungut. Walau isterinya itu turut berkerja, namun Aween ringan tulang. Tak pernah dia lihat rumah mereka bersepah sewaktu dia pulang dari pejabat. Dia besyukur sangat-sangat dikurniakan seorang isteri yang sangat rajin.

Adee menapak masuk ke bilik tidur. Kopiah di kepala diletakkan di meja sisi. Punggung dilabuhkan di birai katil. Sebuah buku dicapai. Itulah kebiasaannya. Membaca sehelai dua muka surat sebelum turun ke bawah untuk makan malam.

Tidak sampai 10 minit dia membaca, telefon bimbitnya berbunyi. Kalut dia mencari letak duduknya telefon bimbitnya. Biasanya ada saja di atas meja sisi tetapi untuk mala mini tak ada pula di situ.

Adee berdiri. Memerhati sekeliling. Cuba menangkap arah datangnya bunyi telefon bimbitnya. Tersenyum dia bila ternampak telefon bimbitnya. Kaki menapak menuju ke sudut bilik.

“Kenapalah kau duduk dekat dalam ni.” Dia menggeleng. Diambil telefon bimbit yang sudah separuh badan masuk di dalam kocek kotnya.

“Ya, sayang.” Dia mendengar seketika.

“Okey, I turun sekarang.” Talian dimatikan. Dicampak sahaja telefon bimbit itu ke atas katil. Segera dia menghayun langkah keluar dari bilik.

Sampai sahaja di tingkat bawah, Adee menangkap suara anak-anaknya yang riuh di ruang makan. Kakinya dihalakan ke ruang itu.

“Apa bising-bising ni?” tegur Adee sebaik muncul di ruang makan.

Terdiam terus suara-suara yang seperti bergaduh tadi. Masing-masing menikus. Duduk diam-diam di kerusi yang biasa mereka duduki. Menanti kata-kata yang akan keluar dari mulut Adee. Membisu seperti menanti dijatuhkan hukuman.

“Dee, duduklah,” pelawa Aween. Ditarik sebuah kerusi yang memang menjadi kegemaran Adee.

Adee terpaku. Kakinya seakan-akan beku untuk menghampiri meja makan. Lemah. Longlai. Nasib sahaja dia masih berdiri berdekatan dinding yang memisahkan ruang tamu dan ruang makan. Dapatlah dia berpaut pada dinding itu.

Matanya seolah-olah tidak mahu percaya apa yang dilihatnya. Pelbagai makanan yang terhidang di atas meja makan. Ada laksa, ada nasi beriani, ada buah-buahan dan yang paling penting ada dua biji kek di atas meja itu.

“Dee… budak-budak dah lapar. I pun dah lapar. You pun mesti lapar juga, kan?” Tangan Adee diraih Aween. Ditarik suaminya itu mendekati meja makan.

“Sayang, I…” Kelu lidah Adee untuk meneruskan kata-katanya.

“Ssshhh… kita cerita nanti,” Aween berbisik. Seperti biasa tidak mahu anak-anak tahu apa masalah mereka.

Sempat Adee melirik pada dua biji kek tadi. Ya Allah, dia memang terlupa. Patutlah Aween berbaju cantik. Patutlah Afi dan Ami berbaju cantik juga. Dia? Dia hanya mengenakan baju pagoda dan berkain pelekat. Malunya.

Happy seventh anniversary, Dee. I harap perkahwinan kita ni akan kekal hingga ke Jannah. You adalah hadiah terbaik untuk I dan anak-anak. Terima kasih, Dee.” Aween hulurkan bungkusan kecil berbalut keemasan kepada Adee. Jemari Adee diraih. Dikucup lembut sebelum satu ciuman dihadiahkan pada pipi kanan Adee.

“Aweennn…” Adee rasa macam nak menangis. Kenapa dia boleh lupa tarikh keramat ini.

Aween menggeleng. Memberi isyarat untuk Adee tidak berkata apa-apa.

“Papa.” Afi dan Ami sudah berdiri di belakang Aween. Takut-takut untuk mendekati Adee.

Adee menggamit. Memanggil anak-anaknya datang mendekat.

“Ini untuk papa. Afi dan Ami tulis.” Afi menghulurkan sekeping sampul surat kepada Adee.

Ami yang berdiri di sebelah Afi mengangguk. Mengiyakan kata-kata abangnya.

“Terima kasih.” Kepala Afi dan Ami diusap lembut. Dikucup pipi kedua-dua anaknya itu. Terharu kerana anak-anaknya ingat tarikh keramat ini.

“Okey. Cukuplah tu. Sekarang Afi dengan Ami nak hadiah tak?” Aween mencelah. Cuba untuk merubah suasana hening.

Semakin Adee terkesima. Terlupa. Memang dia terlupa. Tarikh ulangtahun perkahwinan dia dan Aween dikongsi bersama dengan anak-anaknya. Kuasa Allah. Mereka berdua dilahirkan pada tarikh yang sama dia menikah dengan Aween. Bezanya Cuma tahun. Afi sudah 6 tahun dan Ami pula sudah 4 tahun.

“Yeay!” Bersorak riang kedua-dua anak kecil itu.

Aween hulurkan hadiah setiap satu kepada anak-anaknya.

“Thank you, mama. Sayang mama.” Afi dan Ami memeluk erat Aween. Selepas itu kedua-duanya berpaling kepada Adee.

Adee tersenyum. Keningnya dijongketkan.

“Papa belikan apa untuk kami?” soal Afi.

“A’ah?” Si adik turut bertanya sama.

“Errr… papa…” Adee tidak tahu mahu berkata apa. Rasa macam dia nak lari keluar dari rumah. Rasa macam dia bukan seorang papa yang terbaik untuk anak-anaknya. Dia terlupa. Terlupa semuanya. Maafkan papa, anak-anakku.

“Dee, you lupa ke? You kan ada belikan dia orang hadiah juga.” Aween menghulurkan dua bungkusan besar kepada Adee.

“Ya… Ya… Papa lupalah.” Tergagap-gagap Adee menjawab. Berpura-pura menepuk dahi sebelum diambil bungkusan hadiah yang dihulurkan Aween. Sempat dia menitipkan perkataan terima kasih tanpa suara kepada isterinya.

Aween hanya tersenyum dan mengangguk.

“Yeay!” Semakin kuat sorakan Afi dan Ami. Seronok menerima hadiah-hadiah dari kedua-dua papa dan mama mereka.



ADEE menarik selimut menutupi badan Ami. Dikucup pipi anaknya yang sudah terlena. Lampu bilik ditukar kepada lampu tidur. Pintu bilik tidur anak daranya ditutup separuh. Dia melangkah masuk ke bilik Afi pula.

“Tak tidur lagi?” Adee duduk di birai katil. Memandang wajah Afi yang masih terkebil-kebil di atas katil.

“Papa, minggu depan dah cuti sekolah. Kita pergi jalan-jalan nak? Dah lama papa tak jalan-jalan dengan kami. Kesian dekat mama. Penat layan kami.”

Adee tersenyum. Patutlah si bujang ni tak tidur lagi. Ada hajat besar rupa-rupanya.

“Afi nak pergi mana?” Kepala Afi diusap lembut.

“Legoland? Errr… kalau papa penat tak apalah. Afi tak nak kacau. Mama selalu cakap, jangan kacau-kacau papa. Papa penat sangat sebab papa kena kerja. Nak cari duit untuk Afi dan Ami.” Petah sekali Afi berbicara.

Ya Allah, apa yang telah aku lakukan? Menyerahkan segala-galanya kepada Aween. Sedang Aween sendiri pun berkerja juga. Culasnya aku menjalankan tanggungjawab sebagai ketua dalam keluarga ini. Adee merintih sendiri.

“Tak, sayang. Papa tak penat. Nanti kita pergi sama-sama.” Adee tersenyum.

“Betul ni?”

“Ya.” Adee mengangguk.

“Janji?”

“Janji, sayang. Sekarang Afi tidur. Dah malam sangat ni. Esok pagi-pagi boleh ikut papa pergi taman. Kita jogging. Esok kan tak sekolah?” pujuk Adee lagi.

“Okey.” Afi tadah tangan. Membaca doa sebelum tidur.

Adee tersenyum memerhati. Sungguh momen ini dia tidak pernah nampak. Selama ini yang dia tahu bertanya sahaja pada Aween sama ada anak-anak sudah tidur atau belum ketika isterinya itu masuk ke dalam bilik tidur mereka. Sedangkan dia hanya duduk bersantai di atas katil sambil membaca. Tidak pernah terfikir olehnya untuk sama-sama menunaikan tanggungjawab ini.

Pintu bilik tidurnya dikuak. Matanya memerhati sekeliling. Mencari kelibat si jantung hati. Tiada di situ. Dia menapak masuk. Mungkin Aween ada di dalam bilik air.

Selepas selesai makan malam tadi, dipaksanya Aween untuk terus naik ke bilik tidur mereka. Dia berbesar hati mengambil alih semua tugasan yang biasa Aween lakukan. Itu tekadnya bermula hari ini. Jika dia tidak mulakan dari sekarang, entah bila lagi dia akan berubah.

Baru sahaja dia ingin melabuhkan punggung di atas katil, Adee terperasan pintu gelangsar yang menempatkan balkoni terbuka. Matanya tertancap susuk Aween yang sedang bersandar pada besi penghadang di luar sana. Dia melangkah ke situ.

“Terima kasih, sayang.” Adee memeluk erat badan Aween dari belakang. Ada satu perasaan yang menjalar dalam hatinya. Menusuk ke dasar hati. Sangat dalam.

Please don’t.” Aween memusingkan badannya. Dihadiahkan satu senyuman manis untuk tatapan Adee.

“I malu. Sangat-sangat malu.” Adee mula meluahkan apa yang dia rasa sejak kakinya menjejak ruang makan tadi dan sehingga kini.

“I faham. You sibuk.” Lembut sahaja bicara Aween. Mengusap lembut lengan Adee yang masih melingkar di pinggang dia.

Adee terpana. Dirasakan bagai Aween menyindir dia walau sebenarnya tiada tanda-tanda berbau sinis dalam kata-kata isterinya itu.

“I memang betul-betul terlupa. Maafkan I, sayang.” Adee jatuhkan dahinya pada dahi Aween. Malunya berganda-ganda dengan Aween.

“Dee…” Aween pegang kedua-dua belah pipi Adee.

Adee angkat wajah. Merenung penuh sayu muka Aween.

“I tak kisah. I faham you berkerja keras untuk keluarga kita. You cuba untuk memberikan yang terbaik untuk kita semua.” Aween mengangguk.

Tangan Adee sudah beralih. Dipegang kedua-dua belah tangan Aween. Digenggam erat jemari isterinya itu.

“Sebab you tak kisahlah menjadikan I macam ambil kesempatan. I’m sorry, sayang. Really, really sorry.” Nada suara Adee sedikit bergetar. Matanya juga sudah berkaca-kaca.

“I maafkan tapi dengan satu syarat.” Aween bercanda. Ada tawa dalam kata-katanya.

Just name it.” Adee tersenyum. Tahu sangat dengan perangai Aween. Isterinya ini mana suka mereka berdua bersedih-sedih. Alergik dengan air mata. Itu yang membuatkan dia semakin sayang dengan Aween.

“Sebab tadi you marah-marah anak, you lupa beli hadiah untuk mereka dan you lupa tarikh ulangtahun perkahwinan kita. You kena buat kerja rumah selama seminggu, boleh?” Aween kerdip-kerdipkan matanya.

Eye-eye, madam.” Adee buat tabik hormat.

“Dee…” Lengan Adee dipukul manja. Aween ketawa.

“Aween sayanggg…” seru Adee lembut.

“Hurmmm…” Aween membalas manja.

Mata Aween direnung dalam-dalam.

“Terima kasih. Terima kasih sebab sudi menjaga maruah I. Terima kasih sebab sudi menjadi kaki dan tangan I. Terima kasih untuk tujuh tahun yang berlalu dan untuk tahun-tahun yang mendatang. Terima kasih untuk semuanya. You umpama pelangi dalam hidup I dan anak-anak. Memayungi kami dengan pelbagai warna yang ada dalam diri you.” Jeda. Mata mereka masih bertatapan.

“I tak dapat bayangkan hidup I dan anak-anak tanpa you di sisi kami. I love you, Aween. Sayang I pada you tak terkira banyaknya.”

I love you too, Dee.”

Satu ciuman diberikan pada bibir Aween sebelum ditarik tubuh Aween ke dadanya. Adee peluk seerat-eratnya. Seolah-olah langsung tidak akan melepaskan jantung hatinya itu.

Adee bersyukur sangat-sangat. Diberikan peluang untuk tidak mengabaikan tanggungjawabnya kepada keluarganya. Terima kasih, ya Allah. Aku tidak meminta lebih selain dari apa yang telah engkau berikan kepadaku kini.




TAMAT

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

16 comments:

  1. Besstttttttt.....kisah kekeluargaan kasih syg n tanggungjawab

    ReplyDelete
  2. Best...best....klu mcm ni cuti lame2 pn xpe...msti ade je cerpen yg menyusul...hehehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. hamvoi hamvoi hamvoiiiii.... bukan men ya zura.... ini namanya ku stress... tengah siapkan benda len... stuck sat ku beralih ke crpen plak...

      Delete
  3. Sweet sangat wife dia... best..

    ReplyDelete
  4. Best...ada pngajaran..ada ksh syg...ada pngrbanan......

    ReplyDelete
  5. Untung dapat pasangan yg memahami...rumahtangga bahagia..best citer nie..tahnian. Sheena citer santai tapi ada maksud yg mendalam...

    ReplyDelete
  6. wahhh congrats kak syeena .. besttt

    ReplyDelete
  7. Superb... saling memahami n bertolak ansur agar rumahtangga kekal bahagia...

    ReplyDelete
  8. Wow best! Suka cerita mcm ni. Simple tp ada pengajarannya. Kasih sayang & tanggungjawab. Congrats kak Syeena 😍😘

    ReplyDelete