Friday, March 24, 2017

BERARAK AWAN CINTA - PART 12



KERETANYA diperlahankan. Mata Ariq tepat memanah wajah Azza dari cermin pandang belakang. Kedua-dua belah keningnya terjongket tinggi bila renungannya mendapat perhatian Azza. Namun wajah selamba yang ditayang gadis itu menaikkan darjah kemarahannya.

Mak datuk, muka tu toya aje. Ingat aku ni driver dia ke?

“Kau dah tak reti duduk depan? Berangan nak jadi bos?” perlinya selepas Azza masih tidak menunjukkan sebarang reaksi. Tonasi suaranya sedikit keras.

Terhinggut bahu Azza. Tak sangka Ariq boleh melantunkan suara sekeras itu.

Amboi, mamat berlagak ni! Dah mula tunjukkan belang. Dah tak pandai nak bercakap lembut-lembut. Ini kalau dia pun turut sama berkeras, ada karang dia kena tinggal di tepi jalan. Susah kalau berurusan dengan mamat berlagak.

“Errr… kau berhentilah dekat tepi sekejap,” pintanya baik-baik.

Macam mana dia nak berpindah tempat duduk kalau kereta masih bergerak? Ingat dia stunt girl ke nak melompat dari tempat duduk belakang ke hadapan melalui tingkap. Eh, apa yang aku melalut ni!

“Ikut tengah ini aje,” arah Ariq. Masih lagi dalam nada yang keras.

Azza garu kepala. Ikut tengah? Aduh, badan dia bukannya kecik sangat nak buat macam yang disuruh. Sia-sia aje ni kalau terlanggar. Lantas tangan ditadah. Terkumat-kamit mulutnya membaca sesuatu sebelum mukanya diraup kasar.

Terjongket kening Ariq melihatkan perlakuan Azza. Bibirnya dicebikkan.

Pandangan pelik Ariq langsung tidak dihiraukan Azza. Ditanggalkan kasutnya. Dicampak ke ruang penumpang di hadapan. Lalu dengan berhati-hati dia melangkah untuk beralih tempat duduk seperti yang disuruh.

Bagaikan terkena renjatan elektrik, pantas Ariq anjakkan sedikit tubuhnya ke pintu bila punggung Azza mengenai bahunya. Sungguh, dia tidak menipu. Ada rasa lain yang timbul. Rasa yang dia sendiri tak pasti apa. Rasa yang ahhh… susahnya nak gambarkan.

“Maaf.” Azza menoleh sebaik sahaja punggungnya mencecah tempat duduk di sebelah Ariq. Malas nak fikir apa yang sedang menerawang dalam fikiran Ariq. Bohonglah dia tak rasa segan bila terlanggar bahu Ariq. Kalau tangan masih boleh dimaafkan. Ini tidak, salah satu aset penting miliknya kut yang berlaga tadi.

Ariq berdeham sedikit bagi menghilangkan rasa itu. Otaknya cuba dipesongkan dari memikirkan yang bukan-bukan.

“Hmmm…” Hanya perkataan itu sahaja yang mampu dia balas. Masih lagi terperanjat.

Azza ukir segaris senyuman sebelum tubuhnya dibawa bersandar. Dia membuang pandang ke luar tingkap.

Satu hari yang memenatkan bagi dirinya. Menghadap kerenah pak long dan Munirah. Mimpi ngeri yang dibawa Manaf. Klimaksnya, apabila Ariq menerima akadnya. Semuanya terjadi tanpa diduga. Ya Allah, bantulah hambaMu ini menghadap hari-hari esok.

Kelopak matanya yang sudah memberat dibiarkan sahaja menutup mata. Biarlah dia pejam seketika. Beri peluang dia bermimpi yang indah-indah. Melupakan seketika malang yang menimpa.

Malam yang kelam memaksa Ariq memandu dalam halaju kurang dari kelajuan yang biasa dipandunya. Biar lambat asalkan selamat. Bukan dia nak ke mana-mana pun. Cuma menuju ke rumah sewa. Nak pergi cari makan tapi seleranya dah hilang walau perut berkeroncong hebat. Kalau rasa lapar sangat, dia masak mee segera ajelah dekat rumah nanti.

Bunyi dengkuran halus yang datang dari kirinya mengganggu lamunan Ariq. Dia mengerling. Jelas di matanya bunyi itu datang dari bibir mungil Azza.

“Seksi.” Shoot! Apa yang kau merepek ni, Ariq? Dalam banyak-banyak benda, ke situ pula akal kau fikir. Kepalanya digaru.

“Betul ke apa yang aku buat ni? Dah bersediakah aku menggalas tanggungjawab? Bukan kecil tapi besar. Apa kata mama dengan papa kalau aku beritahu semua ini?”

Nafasnya dihela dalam-dalam kemudian dihembus perlahan. Untuk hari ini dia malas mahu memikirkan lagi apa yang telah terjadi. Cukuplah. Dia penat. Otak dia juga sudah penat. Fizikal yang dikerah seharian di tempat kerja juga memerlukan rehat.

Esok? Esok sahajalah dia fikirkan. Apa yang bakal terjadi? Dia percaya Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk dia. Rencana Allah untuk setiap hamba-Nya adalah perancangan yang terbaik. Sebagai hamba-Nya, dia kena reda.

Enjin dimatikan. Badan dibawa bersandar. Rumah sewa yang dihuninya sejak sebulan yang lalu direnung seketika sebelum beralih memandang Azza yang masih terlena. Wajah putih itu diamati dalam-dalam.

Gadis ini tidak bersalah. Dia juga tidak bersalah. Mungkin jodoh mereka berdua diaturkan oleh-Nya dengan cara begini. Menyesal? Tipu kalau dia kata tidak tetapi berbalik semula pada fitrah kejadian yang ada di muka bumi ini. Kun Fa Ya Kun.

“Aku berserah kepadamu, ya Allah.” Dia berbisik perlahan sebelum bahu Azza dicuit sedikit. Mengejutkan gadis itu dari lena.

Azza bertindak-balas. Bola matanya bergerak-gerak walau kelopak mata masih tertutup. Cepat-cepat Ariq buka pintu kereta. Malas mahu menunggu hingga Azza betul-betul terjaga. Sempat dicapai telefon bimbit Azza yang hendak dia pulangkan tadi sebelum melangkah keluar dari kereta.

Azza menggosok-gosok matanya. Dia berpaling ke tempat duduk pemandu.

“Eh?” Terpinga-pinga dia bila orang yang dicarinya tiada di situ. Laju saja matanya merenung ke hadapan.

“Rumah dia? Memang kena tidur sini ke?” Matanya tak lepas dari memandang Ariq yang sedang membuka pintu rumah. Akal dangkalnya mula berfungsi. Mula memberi idea yang bukan-bukan.

“Kalau aku tidur dalam kereta aje tak boleh ke?” Tersungging sedikit senyuman di bibirnya. Namun senyumannya mati bila Ariq berpaling dan bercekak pinggang memandang dia.

“Kau memang tak ada pilihan, Azza Humaira.” Dengan rasa malas, pintu kereta dibuka.

Dia melangkah keluar. Baru sahaja ingin menapak, tangan kanannya otomatik menekap dada. Tiba-tiba dia terasa darah gemuruhnya datang. Baru terfikir sesuatu. Dia dan Ariq. Serumah. Berkongsi bilik yang sama. Malah mereka bakal tidur di atas katil yang sama. Mimpi ngeri.

Oh, sesaknya dada dia! Berdua dalam rumah dengan lelaki yang baru dikenalinya memang boleh buat nafas dia terhenti. Lagilah dengan si pemilik mata helang yang memandang dia macam nak telan. Oksigen yang bertebaran di bumi Allah yang maha luas ini dirasakan seperti tidak mencukupi.

“Kau nak masuk ke tak? Kalau tak nak aku nak kunci pintu ni!” Ariq mengugut bila dilihat Azza masih lagi tercegat di tepi kereta.

Bukan tak mahu menggunakan kuasa veto yang baru digalasnya. Dia tidak suka memaksa. Tambahan pula mereka berdua belum betul-betul kenal di antara satu sama lain. Prinsip dia mudah. Sesuatu yang berlaku biarlah datang dari hati yang paling dalam. Keikhlasan.

Azza mencebik. Perlu ke nak tinggi-tinggikan suara? Dia bukannya pekak. Lagi pula jarak mereka tak adalah jauh mana.

“Kau tidurlah dalam kereta tu!”

“Hesy…”

Azza pasrah. Langkahnya mula diatur. Lemah sahaja dia berjalan. Kaki dipasak bila betul-betul sampai di depan pintu rumah. Kedua-dua tangannya ditadah. Mulutnya terkumat-kamit membaca doa.

Berkerut dahi Ariq. Pelik. Baca apa? Doa masuk rumah ke? Kalau betul doa masuk rumah, baguslah. Jangan jampi serapah pula. Eh, entah-entah memang minah ni baca jampi! Panjang sangat bacaan tu. Tak habis-habis dari tadi. Kalaulah doa masuk rumah, bukan dia tak tahu. Tak adalah nak berjela sangat bacaannya.

“Baca apa?” Dia menyoal juga usai Azza meraup wajah. Nalurinya tidak tenang selagi kepastian tidak diperolehi.

“Doa.” Azza terus melangkah masuk melepasi Ariq yang bersandar pada jenang pintu.

Kelam-kabut Ariq turut mengikut sama. Daun pintu ditutup rapat.

“Doa? Doa apa panjang sangat? Bukan jampi serapah, kan?” Dia bertanya lagi setelah pintu rumah dikunci.

Azza menjeling. Mulut mamat ni memang tak ada insuran betul. Ingat dia amalkan benda-benda syirik itu ke.

“Tolak bala.” Pendek sahaja dia membalas seraya melabuh duduk di atas salah satu kerusi kayu yang terdapat di ruang tamu. Tak kisahlah Ariq tak pelawa pun. Takkanlah dia nak jadi tugu negara kat situ. Sempat matanya curi-curi melatari sekeliling ruang tamu.

“Bala apa pula? Kau jangan nak bawa benda-benda tahyul kat dalam rumah ni.” Menyinga Ariq. Apa Azza ingat dia ada membela ke sampai gadis itu perlu baca doa tolak bala. Merepek.

Kakinya dihayun menuju ke kerusi bertentangan dengan Azza duduk. Menghenyakkan punggungnya di situ. Dia lebih selesa duduk berhadapan. Mudah untuk mereka berkomunikasi.

“Nyamuklah.” Azza menjawab dengan penuh yakin.

“Nyamuk? Nyamuk tu bala ke?” Ariq garu kepala.

Kerutan di dahinya semakin ketara lapisannya. Sungguh, dia tak faham kaitan antara kedua-dua itu. Wajah Azza direnung. Dia bernikah dengan manusia, kan? Kalau betul manusia, kenapa perangai gadis ini pelik-pelik.

“Memang balalah. Kau apa tahu.” Azza mencemik.

“Amboi, cakap tak mahu kalah!”

“Habis tu, kau nak aku cakap macam mana lagi?”

“Agaknya banyak sangat kau makan ulam ni. Itu yang perangai kau pun pelik-pelik. Kau kelentong aku aje, kan?” Boleh pakai ke kata-kata minah ni? Bimbang juga Ariq andai nyamuk yang maksudkan sebagai bala itu betul. Hei, Ariq Ziad! Takkanlah kau nak percaya?

 “Eh, ada tak telefon aku tertinggal dalam kereta kau tadi?” Azza cepat-cepat menukar topik sebelum Ariq bertanya lanjut. Manalah tahu lelaki ini suruh dia baca semula doa tadi. Sudahlah doa tadi ada kena mengena dengan lelaki ini. Apa yang dia berdoa tadi? Rahsia. Biarlah dia dan Allah sahaja yang tahu.

“Kau ni memang sengaja, kan.” Ariq berdecit sambil tangannya menyeluk poket seluar. Matanya memaku pandang wajah Azza yang beriak selamba.

Sah! Ada yang tak kena ni. Apa kata dia bagi pengajaran sikit. Biar gadis ini tahu bukan si dia aje yang panjang akal. Otak dia pun bijak juga.

Telefon bimbit dikeluarkan. Dihulurkan kepada Azza. Baru sahaja Azza hendak mencapainya, dia menarik kembali huluran tangannya. Terletus tawa dari mulutnya bila Azza menarik muncung sedepa.

“Bak sinilah telefon tu. Hak milik aku, kan!” Azza berkeras. Bengang dipermainkan Ariq begitu. Apa yang kelakar sangat sampai ketawa macam nak berguling-guling?

Permintaan Azza tak dihiraukan. Ariq masih lagi melayan tawanya. Setelah hilang rasa geli di hatinya, tangannya kembali dihulurkan. Kali ini telefon bimbit Azza hanya diletakkan di atas telapak tangannya.

“Nah.”  

“Hesy.”

Azza cuba mencapai lagi dari tempat duduknya. Namun tidak sampai. Sakit hatinya bila melihat Ariq menari-narikan keningnya. Sengajalah tu nak kenakan dia. Lantas dia bangkit dari duduknya. Merapati Ariq. Sepantas kilat merampas kembali telefon bimbitnya.

Sebagaimana lajunya Azza, begitu juga pantasnya tindakan Ariq. Lengan Azza disauk hingga gadis itu terduduk di atas ribanya. Tubuh Azza dipeluk kemas. Erat. Tiada niat terpesong. Sekadar mahu membalas usikan doa tolak bala yang dibaca oleh Azza tadi.  

“Kau nak kata akulah nyamuk tu, kan.” Lembut sahaja dia berbisik. Dekat dengan telinga Azza. Malah sengaja dia merehatkan dagunya pada bahu Azza. Memandang wajah gadis itu dari tepi. Nak tengok setebal mana benteng hati gadis yang baru dinikahi ini. Setebal Tembok Besar China, ke?

“Mana ada!” Azza membentak kuat. Cuba untuk melepaskan diri. Hesy, mamat ni. Main peluk-peluk pula.

Rangkulan erat Ariq cuba diuraikan. Pergelangan tangan yang masih terasa ngilunya tidak dihiraukan. Apa yang penting, wajib lepaskan diri dari lelaki ini. Dada dia ni macam nak meletup. Tak pernah-pernah berdebar begini hebat. Pipi dia pula terasa berbahang. Dingin malam tak mampu menangani kepanasan yang melanda.

“Kau tahukan nyamuk hisap darah, hurmmm…” Ariq masih dalam mood mengusik. Entah kenapa dia suka rona merah yang terbit pada pipi Azza. Mempersonakan. Menggugat naluri lelakinya.

“Errr…” Azza kaku. Tak terluah untuk membalas kata. Terasa nafas Ariq menyapu lembut pipinya. Ini kalau dia toleh juga memang bibir bertemu bibir. Ya Allah, Azza Humaira! Kenapalah boleh berfikir sampai ke situ? Rasa nak aje ketuk kepalanya yang tiba-tiba ting-tong ni.

“Jangan risau. Nyamuk yang ini spesis baik-baik. Dia tak hisap darah tapi…” Ariq rapatkan wajahnya pada pipi Azza.

“A… aku nak pergi tandas.” Sekuat tenaga Azza melepaskan pelukan Ariq. Berjaya. Dia berlari ke ruang dapur walau dia tak tahu di mana sebenarnya tandas dalam rumah itu.
Ariq ketawa lagi. Kali ini lebih kuat dan galak berbanding tadi. Nasib baik Azza bertegas. Kalau tak dengan dia-dia sekali hanyut. Tak tipu. Aroma badan Azza sangat menggoda. Mencuit-cuit hatinya untuk membawa gadis itu ke katil.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

40 comments:

  1. Replies
    1. kak zaiiiiii....... awatnya suka buat saya fengsannnnn....

      Delete
  2. alahai ariq..romantik sguh.. cian kt nasib azza.. kejam nya manusia smp sgup mbunuh.. betul 2 ariq cpt2 knlkn azza krg tak pasal azza merajok trs lari..

    ReplyDelete
    Replies
    1. hikhikhik.... org x de pemikiran mmg mcm tu... sabar yer ariq tgh fikir ni...

      Delete
  3. nak panjang2 lagi hehehehehe jgan kcwakan azza....

    ReplyDelete
  4. Komen mcm biasa.....nak lagi...eheks!

    ReplyDelete
  5. Baru nak bahagia ada sahaja rintangan yg akan mendatang harap ariq kuat menangani dan menghadapinya dan mempertahankan sang isteri yg mula mendapat tempat dihatinya..

    ReplyDelete
    Replies
    1. betulllll..... ariq dah nekad sekali jer goncang tangan to kadi...

      Delete
  6. aduhhh makin berat pulak dugaan... harap ariq boleh bahagiakan azza

    ReplyDelete
  7. berat mata memandang..lagi berat bahu yg memikul..kan...

    ReplyDelete
  8. Huhuhuhu..abam ayman ade la...
    ehem..ehem...romantikadiamour la plak c ariq ni...
    kak syeena yg cun..walau berdebo nk tgu launching...mcm biase ler next part plez!!!!..keh3..

    ReplyDelete
  9. Aduuhhh..... Ariqqqq.... Knapa plak dukung Azza kt tmpt awam? Ye ye btul cpt kenalkan Azza dgn parentmu itewww. Azza... Bertabahlah n jgn lepaskan Ariq tau. Sy sokong awak dr calon menantu mama Ariq.

    ReplyDelete
  10. Mmg interesting lh novella ni....
    up lg dik

    ReplyDelete
  11. kak syeena....nk ayman adni....rindu nya kt si diva tu...huhu...blh x tetiba je muncul ayman dini kt sini....hihi - jumay jue

    ReplyDelete
  12. bila nak sambung lg ni..terbantut ne....alahai...ariq..azza...hopefully diaorg bahagia..

    ReplyDelete
  13. haiiii... ariq the sweet the great ariq...

    ReplyDelete