Wednesday, September 24, 2014

LANGIT BIRU YANG SAMA - BAB 3

AINUN yang leka membelek dokumen yang diminta Alzam untuk dibetulkan mendongak bila terasa ada orang berdiri di depan mejanya. Hampir sahaja bertebaran segala dokumen di atas mejanya sebaik melihat orang yang dimaksudkan.

"Tuan Haji, Dato'." Ainun pantas berdiri. Tunduk sedikit tanda hormat. Dup dap duap jantung dia. Terperanjat melihat dua orang penting pengurusan Hotel Mutiara berada di depan dia sekarang ini.

"Ainun..." Pintu bilik Alzam terkuak dari dalam.

Ainun menoleh dan tersengih.

"Errr...atuk, papa." Alzam datang ke meja Ainun. Mata dibesarkan kepada Ainun. Berbicara tanpa suara.

Ainun jongket bahu. Manalah dia tahu kenapa dua orang lelaki ini ada di sini. Ingat dia ada sixth sense ke?

"Atuk dengan papa buat apa dekat sini?" Alzam angkat kening. Menoleh kembali kepada Tuan Haji Arshad dan Dato’ Arif.

"Tengok hotel sendiri pun tak boleh?" Tuan Haji Arshad terus masuk ke bilik Alzam.

Dato' Arif mengekori langkah bapanya.

Alzam bagaikan terpukul dengan kata-kata Tuan Haji Arshad segera mengeluarkan arahan kepada Ainun.

"Buatkan air," suruh Alzam.

"Air apa?" Ainun mati kutu. Tiba-tiba dia seperti hilang ingatan. Semuanya jadi serba tidak kena.

"Takkanlah kau tak tahu?" Alzam besarkan mata dan terus masuk ke biliknya.

"Ingat aku tea lady ke apa." Ainun membebel sambil berjalan menuju ke pantri.

Lima minit kemudian, Ainun masuk menatang dulang di tangan. Pergerakannya seakan kaku bila tiga pasang mata milik tiga generasi memandang kepadanya.

"Kenapa Tuan Haji?" Ainun memberanikan diri bertanya. Tak sanggup ditenung begitu. Ada karang sorang-sorang kena simbah dengan air kopi nanti.

Dato' Arif dan Alzam terus kalih pandang. Masing-masing membetulkan tali leher. Betul-betul bapak borek anak rintik.

"Dah tukar uniform?" Tuan Haji Arshad pandang Ainun atas bawah.

"Terpaksa tukar. Ada mata helang dekat sini." Ainun mengerling Alzam sekilas.

Alzam yang sedang menghirup kopi terbatuk-batuk.

"Kalau dari awal pakai macam ni rasanya dah lama ada yang masuk meminang. Manis," puji Dato' Arif pula.

"Saya tahu." Selamba Ainun membalas.

"Perasan." Alzam menggeleng.

Jealous.” Ainun terus berlalu pergi.

Tuan Haji Arshad ketawa.

Dato' Arif hanya tersenyum.

Lebih kurang setengah jam duduk berbual-bual di dalam bilik Alzam, Tuan Haji Arshad dan Dato’ Arif keluar dari bilik itu. Alzam turut sama mengekori langkah kedua-duanya.

Mereka bertiga berdiri betul-betul di depan meja kerja Ainun.

Ainun yang baru sahaja menyusun dokumen-dokumen ke dalam fail lantas berdiri.

“Jom ikut kami lunch sama-sama,” pelawa Tuan Haji Arshad.

Ainun menggeleng. Tak sanggup dia. Dahlah dia satu-satunya perempuan. Mesti jadi bahan tiga generasi ni nanti. Dia perlu mencari alasan logik untuk menolak pelawaan Tuan Haji Arshad.

Alzam besarkan mata. Tangan dah mencekak pinggang.

"Saya tak makan orang, Ainun." Tuan Haji Arshad tersenyum.

"Saya tahu, Tuan Haji. Seganlah." Ainun tersipu-sipu.

Makin besar mata Alzam melihat Ainun terliuk-liuk melentok. Bukan main lagi. Kalau dengan dia garang macam singa.

"Marilah, Ainun. Nak juga saya tahu progress Alzam. Sambil makan bolehlah awak bercerita." Dato' Arif pula memujuk.

"Kalau dato' nak tahu pasal Encik Alzam, saya emailkan aje report tu nanti." Ainun angkat kening pada Alzam.

"Dah, dah sambung kat meja makan. Sejuk nanti makanannya." Tuan Haji Arshad bergerak ke pintu.

Dato' Arif mengikut di belakang.

"Cepat." Alzam tarik hujung lengan baju Ainun.

"Tak pergi boleh kan?" Ainun kerdip-kerdipkan  mata.

"Jangan nak mengada." Alzam terus tarik Ainun.

Ainun ajuk kata-kata Alzam.

"Aku ni kan masih bersabar lagi. Iman pun masih tebal." Alzam menjeling.

"Teballah sangat." Ainun julingkan mata.

"Memang tebal. Kalau tak tebal memang aku dah cium mulut kau tu." Alzam tersengih. Sebelah mata dikenyitkan. Dia berjalan mendahului Ainun dengan kedua-dua belah tangan menyeluk kocek seluar.

“Sikit-sikit ugut. Benci.” Ainun berjalan dengan menghentak-hentak langkahnya.



 AINUN dan Alzam berdiri di luar hotel. Mengiringi Tuan Haji Arshad dan Dato’ Arif selepas selesai sesi makan tengahari bersama.

“Harap awak bersabar dengan kerenah Alzam ni, Ainun.” Tuan Haji Arshad menjeling Alzam.

“Insya-Allah, Tuan Haji. Selagi semua arahan dia dalam lingkungan kerja, saya boleh bersabar. Kalau dia lebih-lebih saya kakikan aje.” Ainun ketawa di hujung kata-katanya.

“Dengar tu, Alzam. Boleh tahan tajam tu tumit kasut Ainun.” Tuan Haji Arshad turut sama berseloroh.

“Dia fikir tajam tumit kasut dia aje, atuk. Dia tak tahu muncung kasut Alzam ni lagi tajam.” Kening Alzam menari-nari memandang Ainun yang terus mati ketawanya.

Tuan Haji Arshad ketawa. Dia boleh nampak sesuatu di antara Alzam dan Ainun tapi kedua-duanya tidak menyedarinya. Belum masanya kut.

“Abah, saya nak kena chair meeting pukul tiga nanti.” Dato’ Arif yang sudah menunggu di dalam kereta memanggil Tuan Haji Asrhad.

“Saya pergi dulu, Ainun. Terima kasih sebab sudi bantu Alzam.” Tuan Haji Arshad melangkah masuk ke dalam kereta Mercedes E-Class hitam.

No problem, Tuan Haji. Saya sedia berkhidmat demi Hotel Mutiara.” Ainun tundukkan kepala sedikit dan tersenyum.

“Jaga Ainun baik-baik, Alzam. Dia ni seorang pekerja yang bagus. Jangan cuba buat yang bukan-bukan.” Suara Tuan Haji Arshad serius seolah-olah memberi amaran kepada Alzam.

“Ya, atuk. Dah baik atuk gerak sekarang. Ada yang terlambat nanti.” Alzam menutup pintu.

“Assalammualaikum.” Tuan Haji Arshad melambai sebelum kereta yang dinaikinya bergerak.

“Waalaikumussalam.” Serentak salam dijawab Alzam dan Ainun.

“Bukan main lemah gemalai kau ya.” Alzam menyindir.

“Hei! Memang aku lemah gemalai apa.” Menyirap darah Ainun bila disindir Alzam. Baru aje nak bagi kredit sebab hormat orang tua. Terus jatuh ke angka sifar graf yang mencanak naik tadi.

“Lemah gemalai? Gedik aje aku tengok.” Alzam mencebik. Dia berpusing dan melangkah masuk ke lobi hotel.

“Kau rajin buka Kamus Dewan Edisi Keempat tak?” Ainun mengejar langkah Alzam yang lebar-lebar itu.

“Aku uruskan hotellah. Tak ada masa nak baca kamus bagai.” Alzam menjeling. Gadis ini biar betul. Baca kamus? Nampak macam gila-gila tapi ulat buku rupa-rupanya.

“Itulah kau. Silap banyak dekat situ. Patutlah kau tak tahu bezakan lemah gemalai dengan gedik.” Bersungguh-sungguh Ainun memberitahu.

“Kalau kau pandai sangat apa bezanya?” Alzam tekan butang lif. Tangan bersilang di dada memandang Ainun.

“Gedik tu maknanya lincah. Aku tak lincah. Aku dikategorikan lemah gemalai. Melenggok manis bila berjalan. Bahasa badan cantik aje.” Ainun mengikut langkah Alzam masuk ke dalam lif.

Alzam buat gaya nak muntah. Siap digoyangkan badannya. Geli.

“Tak percaya?” Ainun besarkan mata.

“Susah nak percaya.” Alzam mencebik.

“Aku demo eh. Tumpukan perhatian.” Ainun angkat tangannya separas mata. Jari telunjuk dan jari tengah dituding pada matanya sebelum dituju pada mata Alzam.

Alzam jongket bahu. Memerhati apa yang Ainun ingin lakukan.

Selamba Ainun berjalan melenggang-lenggok sebaik pintu lif terbuka. Dia berjalan hingga ke pintu masuk pejabat.

Alzam telan liur. Kerongkong tiba-tiba terasa berpasir. Spontan tangan naik merungkai tali leher. Lama-lama dekat sini makin nipis iman dia yang sememangnya senipis kulit bawang.

“Amacam? Percaya ke tak?” Ainun datang semula mendekati Alzam. Gaya berjalan masih sama.

“Jangan berjalan macam tu lagi.” Alzam melangkah laju masuk ke dalam pejabat.

“Eleh. Cubalah puji sikit. Kedekut.” Ainun mencebik.

Dia turut masuk ke dalam pejabat dengan gaya melenggang-lenggoknya. Kekalkan imej lemah gemalai kononnya.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

2 comments:

  1. Hahaha....ambik ko alzam... nak tengok sangat kan... xtergoda konon.... hihihi

    ReplyDelete