Sunday, October 25, 2015

JEREBU KASIH - PART 3


JEMARI Ainan berjalan pada nombor-nombor yang tertera di kalendar. Terhenti pada nombor yang dibulat merah. Tersungging senyuman manis di bibirnya. Tidak sabar hatinya menanti tarikh ini. 2 hari sahaja lagi. Selepas itu, hari-hari yang dilaluinya pasti berbeza. Insan yang dirindui akan senantiasa menemani dia walau hanya untuk 2 minggu tapi itu sudah mencukupi.
"Tersenyum-senyum. Dah macam kerang busuk pula aku tengok."
Ainan tak ambil pusing dengan bebelan temannya. Hati tengah senang. Cakaplah apa saja. Nak kutuk ke, nak keji ke. Dia tak kisah.
"Weiii... Tengku ajak dating ke?" Si teman yang masih tak berpuas hati menjolok lagi.
"Kau ni. Tak habis-habis dengan tengku tu." Terjegil mata Ainan bila ditebak begitu. Tak ada kerja dia nak tersengih ingatkan lelaki yang tiada kaitan dengannya. Buang masa sahaja.
"Dah tu, apahal sebenarnya? Ingatkan sebab tengku. Yalah kes dekat bilik mesyuarat tu memang epik gila." Si teman dah ketawa-ketawa.
"Azri cuti panjang. 2 minggu. Hujung minggu ni aku bertemanlah." Ainan pantas memintas sebelum temannya merepek yang bukan-bukan.
Rasa macam menang loteri sebab sudah 5 minggu tidak bersua muka dengan suami tersayang. Dalam kepalanya sudah bermacam agenda yang tersusun. Banyak perkara yang dia dan Azri boleh buat nanti. Seronoknya.
"Ooo... ingatkan sebab tengku." Si teman tersengih.
"Minta dijauhkanlah kalau sebab dia. Tak ada kaitan langsung." Ainan menjeling dengan ekor mata.
Kali ini matanya beralih pada skrin telefon bimbit. Membaca semula pesanan Azri dalam aplikasi WhatsApp. Senyuman manisnya kembali terukir.
"Jauh dari siapa? Apa yang tak ada kaitan?" Tengku Redza tersenyum sebaik berdiri di antara kubikel Ainan dan si teman. Matanya redup memandang Ainan yang nampak kaget dengan kedatangan dia.
Mati terus senyuman Ainan. Ingatkan selepas penolakan dia, Tengku Redza tidak mengganggu lagi. Rupa-rupanya lelaki ini memang tidak faham bahasa.
"Errr... maaf, tengku. Saya nak ke tandas sekejap." Si teman lekas-lekas meminta diri.
Tengku Redza mengangguk bersama senyuman yang melebar bila teman Ainan ini sangat memahami tujuan kedatangan dia. Sudah 3 hari dia tak masuk pejabat. Terpaksa ke luar kawasan. Bermakna sudah 3 hari tak dapat menatap wajah manis Ainan. Lagi pula sekarang dah masuk waktu rehat. Ainan pun dia lihat sedang bermalas-malasan. Manalah tahu Ainan sudi keluar makan tengah hari dengan dia.
Bulat mata Ainan bila temannya cepat sahaja meninggalkan dia terkontang-kanting seorang diri di situ. Semakin besar matanya bila si teman buat isyarat layan-Tengku-Redza tatkala berjalan di belakang Tengku Redza.
"Awak mengata saya ke, Ainan?"
Ainan hanya mampu menggeleng. Tipu memang betul hatinya sibuk mengata Tengku Redza. Takkanlah dia nak mengaku. Hishhh... Lelaki ni. Kenapalah terkejar-kejarkan dia. Bukan ke ramai lagi anak dara dalam syarikat ni. Dia dah kahwinlah.
"Telinga saya ni macam telinga lintah tau. Boleh dengar kalau orang sebut-sebut nama saya. Lagilah kalau yang menyeru tu awak." Tengku Redza menyambung kata seraya berjalan mendekati meja kerja Ainan.
Selamba sahaja dia menarik kerusi yang ada di depan meja Ainan. Tidak dihiraukan pandangan tidak puas hati yang Ainan tunjukkan. Kalau kata-kata pedas Ainan dia dapat serap, apalah sangat dengan riak kurang senang wanita ini.
Tegak terus badan Ainan. Sungguh apa yang perlu dia buat untuk menangkis serangan mahluk Tuhan yang satu ini. Nak suruh dia guna bahasa apa kalau bahasa melayu si tengku ni tidak faham. Agaknya guna bahasa russia kut.
So?”
Berlapis kedutan pada dahi Ainan. Apa maksud Tengku Redza dengan so? Dia ada terhutang apa-apakah dengan Tengku Redza?
Family day tu.” Sengaja Tengku Redza mengingatkan kembali permintaan dia pada Ainan. Dia berharap sangat Ainan pergi hari keluarga tu sebab dia tahu suami Ainan tidak mungkin dapat menghadirkan diri ke sana. Dapatlah dia mendekati wanita ini. Itulah tujuannya mendesak Ainan untuk turut serta.
“Saya pergi atau tidak tak penting, Tengku.”
“Siapa kata tak penting? Awak salah seorang urusetia. Jangan awak lupa, Ainan. Apa gunanya tanda tangan awak pada surat yang awak akan mematuhi setiap arahan yang diberi syarikat dari semasa ke semasa?” Tengku Redza tersenyum senget. Senang hati bila dapat menjentik sedikit hati Ainan. Ainan salah seorang pekerja yang berdedikasi. Tak mungkin akan melanggar arahan majikan.
Jemari Ainan naik memicit pelipis. Sungguhlah Tengku Redza ni. Nampak sangat dah salah guna kuasa. Sebenarnya dia agak terkejut bila mendapat email perlantikan dia sebagai salah seorang urusetia. Nak marah pun tak guna bila tengok nama pengirimnya.
So?” Sekali lagi Tengku Redza mendesak jawapan dari Ainan. Langsung tak endah apa masalah pun yang sedang melanda Ainan.
“Saya akan maklumkan kemudian.” Ainan mengalah. Terbit juga keluhan kecil dari bibir mungilnya. Susah juga bila jadi kuli ni. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Nampaknya dia dan Azri bakal berperang lagi.
Tengku Redza tersenyum.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

Saturday, October 24, 2015

UNTUKMU TIADA NOKTAH - BAB 15


            D
IAM tak diam perhubungan Asyikin dan Abrar sudah masuk 6 bulan. Kedua-dua pasangan ini sudah semakin sibuk. Kalut membuat persediaan untuk perkahwinan mereka yang dijangka akan diadakan pada hujung tahun.
Kalau ikutkan Abrar dia mahu menikah segera. Tak perlu tunggu hingga hujung tahun. Maklumlah dia sudah punya segala. Lagipun sudah ditimbang tara baik dan buruknya jika majlis perkahwinan mereka dipercepatkan.
Cuma Asyikin tidak mahu terburu-buru. Penat juga bertikam lidah dengan Abrar. Sampaikan satu tahap Abrar menuduh dia yang bukan-bukan. Apa lagi yang dia boleh buat melainkan bersabar. Resam pasangan bertunang agaknya. Diuji dan diduga.
"You rasa tak apa yang I rasa?" soal Abrar.
"Mana I tahu apa yang you rasa." Asyikin ketawa-ketawa. Telefon bimbit dilekapkan pada telinga tanpa dipegang.
"Asyikin, I seriuslah!" Suara Abrar tinggi setakuk. Entah kenapa sekarang ini dia mudah terasa. Tidak betah dengan sebarang gurauan atau usikan dari Asyikin. Pengalaman lalu betul-betul mengajar dia. Takut dikecewakan lagi.
"Betullah apa yang I cakap. Hati you. You aje yang rasa. Lainlah kalau I boleh bedah dada you. Keluarkan hati you. Buat analisis sikit then baru tahu apa yang ada dalam hati you tu." Asyikin semakin galak mengusik.
"You!" Abrar menjerit lagi. Kali ini dia bertindak mematikan perbualan mereka.
“Lahhh… awatnya Mr. G ni sentap sangat hari ini.” Asyikin pandang telefon bimbitnya yang sudah tidak bersambung taliannya. Bahu dijongketkan walau pelik dengan perangai Abrar sejak akhir-akhir ini.
Di rumah Abrar, dia duduk termenung. Telefon bimbit digenggam erat. Entah kenapa hari ini dia tidak boleh terima gurauan Asyikin. Sakit hatinya. Bertambah sakit bila mengingatkan ada lelaki lain yang turut mengejar hati Asyikin.
Telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Abrar pasti itu Asyikin yang membuat panggilan. Malas-malas dia menekan ikon berwarna hijau.
“Hurmmm…” Abrar menggumam.
Sorry.” Pendek sahaja Asyikin bersuara.
Abrar diam. Dibiarkan sahaja kata maaf Asyikin tanpa sahutan. Sakit di hati masih terasa walau dia tahu tidak sepatutnya dia berkelakuan begitu. Remeh sahaja hal tadi. Sekadar gurauan manja Asyikin.
“Abrar, I minta maaf. I tak bermaksud apa-apa. You tahu kan I macam mana orangnya. Lain kali I janji I tak bergurau pasal perasaan dengan you.” Asyikin merayu.
Abrar menghela nafas dalam-dalam. Cuba menenangkan perasaannya yang panas. Adilkah dia menghukum Asyikin atas usikan buah hatinya itu? Beristighfar dia dalam hati. Cuba dikawal hatinya itu agar tenang. Jangan diikutkan sangat hasutan syaitan.
Setelah merasakan dirinya kembali normal, dia bersuara.
“I sayang you, Asyikin. Sayang sangat-sangat. Rasa tu sentiasa mekar dalam hati I. Tak mungkin akan padam kecuali ajal yang memisahkan kita.” Senafas Abrar meluahkan rasa hatinya. Dia mahu Asyikin tahu marahnya tadi bersebab kerana rasa sayang yang sangat mendalam pada gadis ini.
“I tahu. Kalau you tak sayang I tak mungkin you berani nak masuk meminang secepat ini, kan.” Asyikin ketawa. Cuba untuk membuang rasa canggung yang bertandang. Tahu dia tersilap bermain kata tadi. Biarlah ia menjadi pengajaran buat dia.
“Amboi, cik tunang. Melebih nampak?” Abrar turut sama ketawa. Bahagia. Asyikin memang pandai memujuk. Macam manalah dia nak marah pada gadis yang namanya sudah memenuhi ruang dalam hatinya.
“Encik tunang sentap sangat hari ini. Haruslah cik tunang hiburkan.”
“Jom keluar?” ajak Abrar.
“Pergi mana?” Asyikin menyoal.
“Mana-mana pun tak kisah. You nak suruh I bawa you ke bulan pun boleh.” Abrar ketawa lagi.
“Banyaklah you punya bulan. Hari tu I ajak pergi Melaka pun banyak alasan you.”
“Ya ke? Kenapa I tak ingat you ada ajak?” Abrar tersenyum sendiri.
Dia ingat hal tu. Hampir seminggu jugalah Asyikin merajuk dengan dia sebab tak dapat nak penuhi hajat Asyikin. Bukan dia tak mahu tapi tuntutan kerja membataskan segala-galanya. Lagipun mereka belum ada ikatan yang sah. Takut lain hal pula yang terjadi bila berjauhan dengan keluarga.
“Lelaki. Sama aje.” Suara Asyikin mula kendur.
“Sayang, jangan cakap macam tu. I dah terang kan kenapa kita tak boleh ke Melaka. Hurmmm…” Abrar memujuk.
“Lepas kita nikah nanti, boleh?” Asyikin bertanya manja.
“Boleh. Malah ke mana-mana you nak pergi pun I boleh bawa.” Abrar ketawa cuba mengawal getaran di dada dek suara manja Asyikin yang kedengaran menggoda itu.
“You cepat-cepat datang ambil I tau. Jangan lambat macam selalu. Kalau tak I merajuk sehari dengan you.” Asyikin mengugut.
“Sehari aje? Kenapa tak setahun terus?” Abrar mengusik.
“You jangan cabar I, Abrar. I tak kisah setahun tu. Nanti you yang gigit jari. Setahun tu dah lepas tarikh kita nak menikah.” Giliran Asyikin pula mengenakan Abrar.
“Okey, okey. Cut the crap. Setengah jam lagi I sampai.”
“Assalammualaikum.” Asyikin ketawa di hujung kata-katanya.
“Waalaikumussalam.” Abrar menggeleng dan tersenyum.
Tak pasal-pasal dia juga yang terkena balik. Terus dicampak telefon bimbitnya dan berlari masuk ke bilik tidur.
             
             
ASYIKIN tersenyum sebaik pacuan empat roda milik Abrar berhenti betul-betul di hadapan dia. Dengan sabar dia menunggu Abrar keluar. Dia kaku sebaik terpandang Abrar. Direnung Abrar atas bawah. Sesekali bibirnya digigit.
"You, cepatlah." Abrar menggamit.  Hanya bersandar pada pintu pacuan empat rodanya. Menanti Asyikin mendekati dia.
Asyikin menggeleng. Langsung tidak berganjak.
"Hesy... apasal pula ni? Tadi dekat telefon bukan main suruh orang datang cepat." Abrar menggumam sendiri. Tangan naik menggaru kepalanya yang tidak gatal. Kalau masing-masing kaku, bila masa pula nak bergerak.
Langkah Abrar mati bila Asyikin menghampiri tika dia baru berkira-kira hendak melangkah ke tempat Asyikin berdiri. Semakin dia rasa serba tidak kena bila Asyikin memandangnya atas bawah.
"You?" Kening Abrar terangkat.
"You selalu ke pakai macam ni?" Jari Asyikin menuding Abrar atas bawah. Riak tidak senang dipamerkan pada wajahnya.
"Why?" Berkerut dahi Abrar. Biasa-biasa aje kut baju dan seluar 3 suku yang dipakainya. Masih lagi menutup aurat.
"Tak rasa seksi ke?"
"Seksi?" Abrar ketawa. Asyikin ni macam-macamlah.
"You jangan ketawa-ketawa. Seksa tau mata I tengok." Asyikin menjeling.
"Kita halalkan. Tak adalah you nak rasa terseksa. Lebih dari ini you boleh tengok." Abrar menari-narikan keningnya.
"Errr..." Asyikin terkedu.
Kalaulah permintaan Abrar itu umpama memetik jari, memang dia nak cepatkan segala-galanya. Dia sendiri dah mula rimas bila emaknya asyik berleter. Membebel pada dia bila tahu dia dan Abrar kerap sangat keluar berjumpa.
Puan Hafizah tu agak ortodoks sikit. Nama saja dah duduk di bandar tapi sikap masih kekampungan. Semuanya kena jaga. Adab orang timur sangat dititik beratkan. Nasib Encik Azmi sporting. Tidak kisah sangat tetapi harus menjaga batasan. Selalu mengingatkan dia yang dia adalah perempuan bukan lelaki.
Namun Asyikin percaya pada Abrar. Abrar bukan lelaki dayus yang suka mengambil kesempatan pada kaum yang lemah.
Uit… berangan?” Abrar besarkan mata. Merenung tanpa jemu wajah mulus yang berjaya memikat hati dia ini. Ringan sahaja tangannya ingin menyentuh. Namun disabarkan hati lelakinya itu.
Asyikin tersengih. Hidung dijongketkan sedikit.
“Semuanya sebab youlah.” Dia menyalahkan Abrar.
Abrar jongket bahu. Isyarat diberi agar Asyikin masuk ke dalam kenderaan setelah pintu sebelah penumpang dibukanya.
Asyikin menurut.
“Apa you kata tadi? You berangan sebab I? Dahsyat juga penangan I, kan?” Abrar yang sudah masuk ke dalam pacuan empat roda bertanya. Keningnya rancak ditarikan.
“Betul ke I cakap I berangan sebab you?” Mata Asyikin mengecil memandang Abrar. Bibir digigit.
Abrar berdeham. Alahai, cik jururawat. Jagalah sedikit tingkah itu. Entah sudah berapa kali kelakuan Asyikin sedikit sebanyak menggugat naluri lelakinya. Tidak sedarkah gadis ini akan perilakunya?
“Kenapa? Cat got your tongue?” Asyikin besarkan balik matanya bila Abrar membisu.
Abrar menggeleng. Kalau dia berterus-terang, apakah reaksi Asyikin agaknya?
“Kalaulah kita ni dah halal. Memang teruk you I kerjakan.” Dia berpaling menghadap jalan raya. Pacuan empat rodanya dipandu keluar.
“Errr…” Asyikin termalu sendiri. Segera dia membetulkan duduknya. Sedas Abrar membalas. Aduhai, Asyikin. Kenapalah tak reti jaga diri. Ini kalau Puan Hafizah tahu, masak dia kena berleter.
Abrar mengerling dengan ekor mata. Ada senyuman tersungging di bibirnya. Semakin dia menyenangi sikap gadis ini. Mudah menyedari silap yang dilakukan. Jujur dalam segala perbuatan. Ya Allah, Kau permudahkanlah perhubungan ini, doanya dalam hati.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

JEREBU KASIH - PART 2


AZRI melepaskan keluhan berat. Jaket kuning yang tersarung di badan ditanggalkan. Sudah 5 tahun jaket ini menjadi uniformnya. Pakaian rasmi dari jam 6.30 pagi hingga 6.30 petang. Adakah kemungkinan ianya akan menjadi sejarah?

"Kau ni kenapa? Dah beberapa hari asyik mengeluh aje. Kau ada masalah ke?"

Azri tersenyum pada teman sebiliknya. Teman susah dan senang. Di sini mereka rapat. Semuanya. Bagaikan satu keluarga. Mereka hanya ada satu sama lain. Hidup di atas pelantar dan di tengah-tengah lautan mereka tak boleh sombong.

"Bukan minggu lepas dah bergayut dengan orang rumah ke? Takkan tak hilang rindu lagi. Esok pun dah nak terbang ke darat, kan. Chill bro." Si teman dah ketawa-ketawa.

"Itulah masalahnya. Rindu hilang. Rasa lain pula yang datang. Haish... Tak tahulah sampai bila aku boleh bertahan." Azri menguak rambutnya. Melorot duduk di atas lantai. Tubuh yang letih dibawa bersandar pada katil.

“Jangan mudah putus asa. Korang baru nak mulakan hidup.” Si teman mula memberi nasihat.

“Aku tahu. Entahlah tak tahu nak cakap macam mana lagi dengan Ainan tu.”

“Sebagai suami tanggungjawab kita berat, Azri. Semuanya terbeban pada kita. Ni hah.” Si teman menepuk kedua-dua bahunya bila Azri memandang.

“Ada pada bahu kiri dan kanan. Salah kendali senget bahu kiri. Kata orang biarlah bahu kanan yang berat. Itu pun kalau betul jalannya.”

Azri masih lagi memandang si teman. Teman yang sudah lebih 15 tahun bergelumang dengan minyak dan air masin. Teman merangkap ketua di sini. Tabahnya si teman menempuh onak dan duri kehidupan. Dia yang baru bertatih cepat sahaja mahu mengalah dengan ujian sebesar kuman.

“Awal-awal dulu aku pun macam ni juga. Bertikam lidah macam dah jadi makanan. Ada saja yang tak kena.”

“Agaknya kita semua dekat sini alami pengalaman yang serupa.” Azri termenung.

“Betul tapi kalau kena caranya semuanya boleh diatasi. Bertolak-ansur. Itu kunci paling utama.”

Azri mengangguk. Setuju dengan kata-kata temannya. Ya, bertolak-ansur. Perlahan-lahan otaknya mula mencerna. Melihat pada perhubungan dia dan Ainan, perkataan bertolak-ansur seolah-olah semakin jauh dari mereka. Lebih tepat lagi tiada dalam kamus kehidupan yang baru dibina ini. Masing-masing ego. Masing-masing tidak mahu mengalah. Jadinya mana nak datangnya sefahaman.

“Kalau hitam kita warnakan hidup ini, hitamlah jadinya. Balik nanti bincang elok-elok.” Si teman yang sudah bangun menepuk bahu Azri.

Azri terkedu. Teman bertepuk tamparnya tadikah yang berbicara? Tak sangka si teman boleh mengeluarkan kata-kata bernas begitu. Patutlah si teman diangkat menjadi ketua. Dia nekad. Menurut nasihat diberi si teman. Balik esok segala-gala yang menjadi duri dalam perhubungan dia dan Ainan perlu dicantas. Segala-galanya perlu diperbetulkan. Moga perjalanan hidup dia dan Ainan yang belum panjang diberkati-Nya.

Laju dia bangkit dari duduknya. Tiba-tiba semangatnya berkobar-kobar untuk pulang ke rumah. Lepas mandi nanti dia nak berkemas. Kepulangan dia esok tidak dikhabarkan kepada Ainan. Cepat 2 hari dari yang dijadualkan. Ramalan cuaca buruk yang diterima pada tarikh sepatutnya dia pulang mengubah segala-galanya.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

Friday, October 23, 2015

UNTUKMU TIADA NOKTAH - BAB 14


            
ABRAR mengemas bilik kerjanya yang bersepah macam sarang tikus. Alasan kuno dia ialah dia seorang ahli geologi. Kerjayanya yang menuntut dia berkorban banyak masa di luar menyebabkan dia jarang terperuk dalam bilik ini. Apalagi hendak berkemas, memang dia tidak punya masa untuk itu. Kalau sesekali masuk pejabat, memang dicampak sahaja dokumen-dokumen yang dibawa balik.
           
“Gila bersepah bilik kau, bro.” Terbeliak mata Luqman memerhati sekeliling. Menggeleng dia sambil berjalan menuju ke meja kerja Abrar.

“Itu tandanya aku kuat berkerja.” Abrar ketawa sendiri dengan kata-katanya.

“Teori siapa kau pakai?” Luqman mencebik.

Kerusi di depan meja kerja Abrar ditarik. Dia duduk di situ. Kepalanya tidak duduk diam. Menoleh ke kiri, menoleh ke kanan.

“Teori Abrar Faris Akmal.” Meledak terus tawa Abrar.

Sebenarnya dia tak tahu nak mula di mana. Susun kertas di atas meja, matanya terpandang fail-fail di sudut bilik. Bila fail-fail itu mula disusun, dia ternampak pula longgokan kertas bercetak di bawah mejanya. Akhirnya dia sendiri turut bersandar pada kerusi empuknya.

“Kau panggillah Mak Cik Milah. Suruh dia tolong.” Luqman memberi cadangan.

“Tahu pula Mak Cik Milah mana yang aku nak guna lagi mana yang tak.” Abrar protes. Tidak bersetuju dengan saranan Luqman. Banyak dokumen penting dalam biliknya ini.

“Habis tu kau nak buat macam mana? Biarkan aje bersepah?” Terjegil mata Luqman. Tidak setuju dengan cara Abrar.

“Kalau itu memudahkan aku. Why not.” Abrar menari-narikan keningnya.

“Parah betullah kau ni. Agaknya dekat rumah kau pun sama bersepah macam ni kut.” Luqman meneka.

“Choi! Kau ingat aku teruk sangat ke, Luq?” Besar biji mata Abrar memandang Luqman.

“Manalah aku tahu.” Terhinggut-hinggut bahu Luqman menahan tawa.

“Aku tak adalah sampai nak menyusahkan bakal isteri aku nanti. Rumah aku kebersihannya tip top. Tak macam bilik ni.” Abrar tunjuk isyarat bagus pada Luqman. Membuktikan kata-katanya itu benar.

“Cakap pasal bakal isteri, lupa pula nak wish. Selamat bertunang. Semoga ke jinjang pelamin. Cuma satu aje aku nak ingatkan kat kau. Bertunang bukan lesen untuk kau berkelakuan macam suami isteri.” Luqman sengaja mengusik. Abrar tak mungkin lepas laku. Abrar yang dia kenali sangat menjaga batasannya sebagai seorang Muslim. Dia yakin tentang itu.

“Dulu dengan Iqa yang tak ada apa-apa pun aku masih boleh jaga batas. Inikan pula ikatan pertunangan dengan Asyikin.”

“Aku cuma nak ingatkan aje. Iqa lain. Asyikin lain. Aku nampak kau lebih bahagia bila dengan Asyikin.”

“Insya-Allah, Luq. Aku takkan lupa diri. Aku masih ingat batas yang perlu dijaga.” Abrar mengangguk penuh yakin. Sebenarnya dia sangat bersyukur mempunyai sahabat sebaik Luqman. Tak pernah mengajak dia ke arah yang bertentangan dari ajaran Islam.

“Baguslah macam tu. Ni aku nak bagitahu, syarikat dapat projek baru. Ada 2.” Luqman tegakkan badan. Bersedia untuk bangkit.

“Alhamdulillah. Dekat mana?” Abrar angkat kening. Memandang Luqman yang sudah berdiri.

“Pengerang dengan KL.”

“Jauhnya. Syarikat apa?”

“Dua-dua projek dari syarikat yang sama. Dato’ Azman.” Luqman sudah mula mengatur langkah.

“Dato’ Azman?” Berkerut dahi Abrar. Cuba mengingati nama yang disebut Luqman. Terasa macam dia biasa dengar nama itu. Cuma dia tidak ingat siapa dan di mana.

Luqman tersenyum. Faham dengan kerutan di dahi Abrar.

Daddy Iqa,” beritahu Luqman sambil berjalan ke pintu.

“Patutlah macam familiar nama tu.” Abrar mengeluh.

“Kau okey, kan?” Luqman berdiri seketika di ambang pintu.

Abrar merenung temannya. Dia okey ke? Mendengar nama itu sahaja dia sudah cukup benci. Empunya nama itulah yang membuatkan dia merana. Empunya nama itu yang membuatkan dia benci pada orang yang berkedudukan. Dalam zaman millennium ini masih lagi ada orang yang memandang pada wang dan darjat.

“Kau suruh orang lainlah, Luq. Tak kuasa aku nak menghadap muka orang tua tu.” Abrar bersandar lemah.

Luqman menggeleng. Dia dah boleh agak yang Abrar akan menolak tapi semuanya telah disusun oleh pihak pengurusan. Mahu atau tidak Abrar kena setuju.

Be professional, Abrar. Syarikat memang bercadang nak hantar kau. You’re our best geologist.” Luqman memujuk. Dalam pada itu, dia masih menyembunyikan satu perkara lagi. Tidak mahu Abrar menolak kerja yang memang dikhaskan untuk temannya ini.

Sungguh Abrar cuba untuk bersikap profesional tapi bila mengenangkan sejarah silam antara dia dengan Dato’ Azman hilang terus sikap itu.

“Jangan lupa minta tolong Mak Cik Milah. Rimas pula aku tengok bilik kau ni.” Sempat Luqman berpesan sebelum pamit dari situ. Meninggalkan Abrar berfikir sendirian bila Abrar seperti mengunci mulut untuk mengatakan ya.

“Mentang-mentanglah kau anak bos. Kau gunakan kuasa kau tu, eh. Apa punya member.” Abrar merengus.

“Aku dengar tu.” Kepala Luqman terjengul semula di balik pintu.

Siot kau.” Abrar baling segumpal kertas renyuk pada Luqman. Terperanjat disergah tanpa amaran. Sangkanya kata-kata dia tadi tidak sampai ke telinga Luqman. Tersilap perkiraan rupa-rupanya.

“Jangan lama sangat termenung. Laporan projek yang lepas jangan lupa bagi kat aku.” Luqman berpesan dalam ketawa sebelum beredar dari situ.

“Panggilkan Mak Cik Milah!” laung Abrar.

Akhirnya dia bersetuju juga dengan cadangan Luqman. Memang tak dan dia nak berkemas seorang diri. Banyak dokumen yang dia perlukan tetapi tidak dapat dicari di mana.

Khayalannya terganggu bila telefon bimbit miliknya berbunyi nyaring. Dengan malas Abrar mencapai telefon bimbit yang diletakkan di sebelah papan kekunci. Ada senyuman di bibirnya saat membaca nama yang terpapar di skrin.

Hello, assalammualaikum.” Abrar kembali bersandar saat menjawab panggilan.

“Waalaikumussalam. You sibuk ke?” Si pemanggil bertanya.

Not really. Why?” Abrar menyoal kembali.

“You penat tak?” Si pemanggil masih sibuk bermain kuiz soal dan jawab.

“Ada apa ni, cik tunang sayang? Hurmmm…” Suara Abrar sudah berubah nada. Romantis. Tak pernah-pernah cik tunang bersoal-jawab begini dengan dia. Mimpi apa agaknya si dia malam tadi.

“Nak cari barang. Mak dah bising. Majlis kita kan lama lagi tapi itulah mak tak faham.” Asyikin memberitahu manja.

“Bagus juga tu kalau buat persediaan awal. I pun dah kerap sangat kena outstation. Alang-alang I ada dekat sini, boleh juga kita beli apa yang patut.” Abrar bersetuju dengan kata-kata bakal mak mentuanya. Lagipun dah lama sangat tak bersua muka dengan Asyikin.

“Tak apa ke beli benda-benda tu semua awal-awal? Tak cepat sangat ke?” Suara Asyikin seperti ragu-ragu.

“Kalau tiba tarikhnya nanti you tak berkenan. Errr… maksud I kita tak berkenan, kita beli baru ajelah. Apa yang susahnya?” Abrar cuba meyakinkan Asyikin yang sudah mula risau.

“Kalau macam tu nanti you ambil I, eh. I off hari ni.” Suara Asyikin sudah berubah ceria.

“Lepas asar I datang tempat you, boleh?”

“Okey. Assalammualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Abrar tersenyum lebar. Sekarang apa sahaja yang dia buat semuanya untuk Asyikin. Dia bersungguh-sungguh mahu bahagiakan Asyikin.

Pintu biliknya dikuak lebar. Abrar mendongak.

“Masuk, Mak Cik Milah,” arah Abrar pada pembantu pejabat yang tersenyum memandang dia.

“Ya Allah, Encik Abrar! Bersepahnya.” Mata Mak Cik Milah terkebil-kebil memerhati sekeliling bilik.

Abrar ketawa. Gelagat Mak Cik Milah menggelikan hatinya. Reaksi Mak Cik Milah sama dengan Luqman tadi. Memang dia kena buat spring cleaning. Takut lepas ni kalau bos besar yang masuk, harus terkena serangan jantung orang tua itu bila tengok bilik dia.

“Saya pun tak sangka nak jadi macam ni, mak cik.” Abrar sudah berdiri.

“Nak mula dari mana ni?” Mak Cik Milah dah garu kepala.

“Mak cik kumpulkan dulu semua fail-fail satu tempat. Kertas-kertas tu biar saya yang susun. Takut ada yang saya masih nak guna,” beritahu Abrar.

Mak Cik Milah hanya mengangguk. Dia bergerak ke sudut bilik. Jemarinya pantas mengumpul fail-fail yang berterabur.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

JEREBU KASIH - PART 1



KERTAS di tangan direnung. Dia mengeluh kecil. Mahu buat keputusan sendiri, dia jadi serba-salah. Sudahlah banyak majlis yang dianjurkan syarikat sebelum ini dia tolak. Untuk kesekian kalinya dia buntu.
"Kau join, kan?" Rakan sebelah mejanya menyapa.
Ainan panggung wajah. Nak menggeleng tapi takut si teman kecil hati. Sudahnya dia kunci mulut.
"Jangan tidak lagi, Ainan. Dah banyak event company kau tak join sejak kau dah kahwin. Apa pula kata staf yang lain nanti." Si teman sambung bicara.
Itulah pokok utamanya. Teringat kembali sungutan yang dia luahkan kepada sang suami. Penamatnya dia dileteri semula. Kata Azri jangan terlalu nak fikir hati orang lain sebab orang lain tak pernah fikirkan apa yang kita rasa. Dia setuju itu dan leteran Azri yang seterusnya buat dia termenung. Orang hanya nampak bila kita senang tapi tak ada orang tahu bila masanya kita susah. Azri betul. Masalah yang menghimpit mereka mana ada orang lain ambil peduli.
"Bincanglah dengan Azri baik-baik. Kalau dia tak boleh pergi, mintalah izin kau pergi sorang." Si teman beri nasihat percuma.
Panjang muncungnya. Senang betul temannya memberi cadangan. Kehidupan dia berbeza dengan orang lain. Dia dan Azri, lelaki yang baru 3 bulan menjadi suaminya menjalani hidup asing-asing. Bukan mereka sengaja berpisah tetapi demi sesuap nasi, mereka terpaksa berjauhan.
"Hei, telefon kau dah menjerit tu." Si teman menepuk kuat mejanya. Leka termenung hingga bunyi telefon bimbit sendiri pun dia tidak dengar.
Kalut Ainan menggagau ke dalam tas tangan. Seketika ruang yang sunyi meriah dengan muzik yang terhasil dari deringan telefon bimbitnya. Wajahnya yang mendung tadi berubah ceria pabila melihat nama yang tertera. Si pemanggil ini macam tahu-tahu sahaja namanya diseru.
"Assalammualaikum Puan Ainan Zara."
"Waalaikumussalam Encik Azri Yusuf." Ainan tersenyum lebar. Rindunya pada si suami sedikit terubat bila suara garau Azri menyapa telinga. Hilang terus rasa walang dalam hati.
"Ainan, setengah jam lagi kita ada mesyuarat." Si teman mengingatkan sebelum berlalu dari situ seperti memberi ruang kepada Ainan.
Ainan hanya mengangguk. Fokusnya kembali kepada suara yang berbisik di hujung talian sana sambil mata mengekori jejak langkah si teman sehingga hilang dari pandangan.
"Rindu." Pendek sahaja ungkapan yang diluahkan si suami.
Rasa sebu menerpa dadanya. Bukan Azri sahaja yang merasa begitu. Dia juga sama. Malah rasanya rindu yang dia tanggung lebih sarat dari Azri. Dia sorang-sorang di rumah mereka. Tiada teman berbual. Tiada teman gaduh. Lainlah Azri. Walau di tengah lautan tetapi ramai orang di sekelilingnya.
"Ainannn..." Sayup dan meleret suara Azri di hujung talian.
Menitis airmata Ainan. Rasa macam nak paksa Azri terbang balik ke sini sekarang juga. Seksanya bila berjauhan begini. Tanpa sedar sedunya didengari Azri.
“Janganlah menangis. Ainan buat abang risau.”
“Mana ada Ainan menangis?” Ainan menafikan kata-kata Azri. Walhal jelas dan ketara memang dia sedang menangis. Laju jemarinya menyeka air mata yang mengalir. Malu dia bila Azri tahu dia menangis. Cengengnya dia.
Sob sob sob tu maksudnya rindu ya?” Azri tergelak di hujung sana.
“Abang! Benci.” Bibir Ainan muncung sedepa. Biarlah Azri tak nampak dia nak juga buat memek muka macam tu. Tak suka dengan usikan Azri tapi pada masa yang sama sebenarnya dia rindu dengan gurauan begitu.
“Tapi abang sayang Ainan. Janganlah benci-benci. Dah 3 minggu tak jumpa. Keras abang dekat sini.”
“Abanggg…!” Spontan Ainan menekup mulutnya. Mata meliar ke sekeliling. Takut ada yang memandang. Geram sangat dengan Azri. Suka sangat melencong. Hingga tanpa sedar suara dia sedikit meninggi. Lagilah bila Azri galak sangat ketawa di hujung sana.
Tanpa Ainan sedari di sebalik dinding ada sepasang mata yang sedari tadi mengintip setiap gerak-gerinya. Mata yang tak pernah lepas dari memerhati tingkahnya. Pemilik sepasang mata itu sudah terpukau dengan apa yang Ainan hidangkan. Ainan yang berjaya mencuri perhatian pemilik sepasang mata itu.
“Okey, okey. Tunggu abang, ya sayang. 2 minggu lagi abang balik. Lepas tu 2 minggu kita boleh habiskan masa bersama-sama.”
“Reda.” Ainan buat ayat pasrah.
Kenyataannya dia memang ikhlas dan reda dengan perjalanan hidup mereka. Sedari awal lagi dia tahu, kehidupan mereka suami isteri berbeza dengan pasangan yang lain. Tuntutan kerja Azri memaksa mereka berpisah. Pelantar minyak pilihan Azri untuk kesinambungan hidup di dunia sementara ini.
“Ainannn…”
“Hmmm… nampak gayanya tak dapatlah join hari keluarga tahun ni.”
“Bila?”
“Seminggu selepas abang kerja semula.”
“Penting ke?”
“Setiap tahun Ainan tak pernah tertinggal hari keluarga ni.”
Ainan ketap bibir bila terdengar Azri berdecit. Dia bukan memaksa tapi dia berharap sangat Azri dapat luangkan lebih masa dengan dia untuk kali ini. Lagi pula mereka baru sangat berkahwin. 2 bulan selepas menikah, Azri terbang ke pelantar.
“Bukan abang tak nak tapi Ainan faham kan kerja abang ni macam mana?" Suara Azri sedikit tinggi nadanya.
Ainan terdiam. Untuk apa lagi dia merayu kalau semuanya ditolak Azri mentah-mentah. Untuk apa lagi dia memujuk kalau pujukannya tidak lut. Sungguh dia terasa hati. Azri sedikit pun tidak mahu masuk dalam dunianya. Entah apa yang seronok sangat dekat laut sana tu.
"Ainannn..." Azri mengeluh. Berat.
Ainan diam. Tiada hati lagi mahu menyahut. Tiada hati lagi mahu bermanja-manja. Tiada hati lagi mahu meneruskan perbualan ini. Terasa kasih dan cintanya bergoyang.
Dia sedar acapkali mereka berhubung, pengakhirannya pasti dengan perbalahan kecil. Walau masing-masing sarat dengan beban rindu tetapi yang terluah dari mulut jauh dari apa yang tersimpan dalam dasar hati. Sakitnya bila terpaksa menempuh perhubungan jarak jauh begini.
"Kalau abang punya pilihan, abang tak pilih untuk ke sini. Sudahlah signal kadang-kadang dapat, kadang-kadang tidak. Ainan pula buat perangai macam ni." Azri menyambung kata lagi.
"Ainan kena masuk mesyuarat sekarang. Nanti kita berborak panjang lagi. Assalammualaikum," Talian terus dimatikan.
Ainan campak telefon bimbitnya ke atas meja. Air mata yang sudah kering kini mengalir kembali. Terasa. Dia sangat terasa. Sampai hati Azri menuduh dia begitu. Dia hanya pinta sedikit sahaja masa Azri. Tak banyak, satu hari pun sudah mencukupi.
"Ainan! Bos dah masuk." Si teman menggamit dari jauh.
Ainan angguk. Air mata disapu. Nafas dihela dalam-dalam. Buku nota dan sebatang pen dicapai. Dia bangkit. Berlalu ke bilik mesyuarat.
"Ainannn..." Azri memandang telefon bimbit yang sudah gelap.
Pelipis dipicit. Sakit kepalanya dengan tingkah kurang matang Ainan. Tidak tahu macam mana lagi nak buat Ainan faham. Berkerja sebagai jurutera di pelantar minyak, banyak perkara perlu dikorbankan. Hal ini mereka sudah bincangkan sebelum capai kata sepakat untuk bersatu lagi.
"Encik Azri!"
Azri menoleh. Telefon bimbit tadi di letakkan kembali ke atas mejanya. Keningnya dijongket.
"Paip ada masalah," beritahu pekerjanya.
"Jom." Tidak tunggu lama Azri bingkas bangun. Dia mencapai jaket keselamatan dan menyarungkannya ke badan. Setelah pasti semuanya okey, pantas dia melangkah keluar mengekori pekerja tadi.
Ainan menarik nafas lega setelah mesyuarat berakhir. Namun kelegaan itu hanya seketika. Ingatannya terganggu kembali apabila mengingatkan perbualan dengan Azri sebentar tadi. Dia hanya tersenyum menyorokkan rasa dalam hati apabila teman-temannya sibuk berbincang aktiviti apakah yang bakal mereka lakukan pada hari keluarga nanti. Lagilah bila hari keluarga tersebut bakal diadakan lebih kurang sebulan dari tarikh hari ini. Maklumlah lokasi yang dipilih bukan calang-calang. Pulau Tioman menjadi pilihan.
"Tengku pergi tak?" Kuat pertanyaan yang dilontarkan oleh salah seorang staf perempuan hingga menarik perhatian semua yang ada di dalam bilik itu. Keadaan yang bising tadi berubah sepi.
Semua mata tertumpu kepada lelaki yang duduk di sebelah Tengku Radzi termasuk Ainan. Anak pengerusi syarikat yang mendapat perhatian staf perempuan di sini sejak hari pertama memulakan tugas sebagai pengurus besar. Terutama mereka yang masih belum berumahtangga sebab Tengku Redza masih bujang dan belum berpunya.
Tengku Redza tersenyum. Matanya mengitari setiap staf yang ada dalam bilik itu sebelum berhenti pada Ainan. Memanah tepat pada wajah itu.
Ainan gelisah. Si teman di sebelah yang perasan pandangan Tengku Redza menyikunya. Dia berpura-pura menulis pada buku nota. Sungguh dia tidak suka dengan perhatian dari Tengku Redza. Merimaskan. Malah dia tidak perlukan itu semua. Kadang-kadang dia terfikir juga apa yang ada pada dia yang membuatkan Tengku Redza terlebih tengok. Apa tidak tahukah lelaki itu yang dia sudah berkahwin.
"Kalau Ainan pergi, saya pergi."
Jawapan Tengku Redza membuat Ainan terbatuk-batuk. Apa kena mengena dia pergi atau tidak dengan lelaki ini? Ya Allah, gila ke apa lelaki ini.
"Errr... Saya belum pasti lagi. Tengok kelapangan suami saya." Ainan menjawab juga bila semuanya sudah memandang dia. Lagi pula dia tidak mahu suara-suara sumbang di belakang yang mula berbisik tersalah anggap tentang hal ini.
Tengku Redza ketawa. Tidak tergugat langsung dengan jawapan Ainan. Dia tahu wanita itu sudah tidak senang duduk.
"Kau ada apa-apa ke dengan tengku?" Si teman sudah berbisik.
"Kau gila!" Ainan berbisik sama dengan nada sedikit keras. Namun masih hanya dia dan temannya sahaja yang mendengar.
“Patutlah tadi dia ada dekat ruang kita.” Si teman mengintai Tengku Redza dengan ekor mata.
“Apa kau cakap ni?” Kening Ainan sudah bertaut. Tidak faham maksud kata-kata temannya.
Si teman menggeleng bersama senyuman nipis.
Ainan bersandar. Saat dia panggung wajah, matanya bertembung dengan pandangan Tengku Redza. Laju dia alih mata ke arah lain.
Tengku Redza kekal begitu. Senyuman masih menghiasi bibirnya.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.